Anda di halaman 1dari 10

BAHASA MELAYU MODEN : BAHASA MALAYSIA

BAHASA MELAYU MODEN : BAHASA MALAYSIA


1.1 Pengenalan
Kedudukan bahasa Malaysia hari ini jelas mencerminkan masyarakat penggunanya
yang sedang mengalami pembangunan pesat. Dalam proses pembangunan ini, kita
tidak sunyi daripada menemui segala macam perkara baru: fikiran baru, konsep baru,
kereta baru, sabun baru, bateri baru, bangunan baru, dan segala macam yang baru.
Penutur bahasa Malaysia tentulah merasa perlu mengungkapkan segala yang baru ini
di dalam bahasa Malaysia. Dalam keadaan seperti ini jelas kelihatan perkembangan
pesat di dalam bahasa Malaysia, sehingga ramai penuturnya yang merasa kecewa
apabila melihat perubahan tersebut telah meninggalkan mereka jauh di belakang. Hal
ini banyak membawa implikasi tertentu dalam usaha mengembangkan bahasa tersebut.
Kita bukan saja terpaksa mencari satu norma baku untuk bahasa Malaysia bagi
pengajarannya, tetapi juga meyakinkan penutur bahasa Malaysia keseluruhannya,
bahasa perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu yang normal dan akan terus
berlaku.
1.2 Masalah Bahasa Malaysia Hari Ini
Telah dikatakan awal-awal tadi bahawa masyarakat Malaysia ini sedang membangun,
dan perlu mengungkapkan segala sesuatu yang baru ditemuinya. Bagi mereka yang
mahir di dalam bahasa Malaysia tentulah tidak akan timbul sebarang masalah. Tetapi
bagi mereka yang tidak mahir di dalam bahasa Malaysia, cabaran ini akan menjadi
masalah. Pada dasarnya masalah itu akan timbul sebagai kekacauan kerana ada dua
atau lebih bahasa yang bertembung dan yang satu mempengaruhi yang lain, atau
kedua-duanya saling mempengaruhi.
Agak perlu juga dipisahkan dua jenis bahasa di sini. Pertama penggunaan
bahasa Malaysia umum untuk perhubungan biasa, baik rasmi atau tidak rasmi. Kedua
ialah bahasa saintifik untuk bidang atau disiplin pengajian tertentu.
Bahasa Malaysia itu sendiri sedang berkembang untuk menampung sebarang
keperluan baru yang dikatakan di atas. Dari sebuah bahasa harian tiga puluh tahun
dulu, bahasa Malaysia sudah menjadi bahasa ilmiah untuk memikul banyak fungsi baru
terutama sekali sebagai bahasa penghantar di sekolah, maktab dan universiti. Daripada
sebuah bahasa orang-orang biasa, bahasa Malaysia telah menjadi bahasa pentadbiran
kerajaan dan perantaraan awam. Dari sebuah bahasa yang hanya mempunyai satu dua
akhbar harian, sekarang ia telah menjadi bahasa yang mempunyai tidak kurang
daripada tiga buah akhbar harian kebangsaan yang mempunyai edaran lebih sesuku
juta. Perkembangan ini besar ertinya kepada bahasa Malaysia kerana bahasa tersebut
terpaksa melahirkan ungkapan-ungkapan yang diperlukan untuk menjalankan tugas-
tugas ini. Oleh sebab bahasa Malaysia sedang berkembang pesat maka definisi norma
bakunya juga agak menyulitkan waktu ini. Memang ada satu norma baku tetapi bahasa
itu terus berkembang sehinggakan norma baku bagi bahasa Malaysia itu juga turut
berubah. Apa yang dianggap sebagai baku kelmarin mungkin sudah tidak lagi baku
pada hari ini.
Di samping berkembang dengan sendirinya, pembinaan bahasa Malaysia ini
dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tugas ini memang besar dan
permintaan penutur bahasa Malaysia untuk kata-kata baru, istilah, ejaan, kamus, dan
pedoman tatabahasa, dan pedoman sebutan masih belum dilaksanakan dengan
sepenuhnya. Ada beberapa faktor yang menyusahkan perkembangan bahasa
Malaysia. Sikap kebanyakan pengguna bahasa Malaysia, baik orang Melayu atau
bukan Melayu memang banyak menyulitkan keadaan bahasa Malaysia hari ini. Ramai
yang menganggap bahasa Malaysia itu satu bahasa yang mudah; mudah disebut, dieja
atau dipakai tanpa pertimbangan yang serius. Pandangan yang menganggap bahasa
Malaysia itu mudah, memang sukar diatasi. Apabila bahasa Malaysia itu dirasai sukar
maka ia dianggap pula sebagai bahasa yang berubah-ubah, tidak baku dan
sebagainya. Ramai pula di antara yang berkata demikian itu, tidak dapat memberi
sebarang penjelasan mengenai perkara yang berubah-ubah itu.
Memang sebab yang paling merosakkan ialah kekurangan kemahiran di dalam
bahasa Malaysia itu sendiri. Satu contoh mudah di dalam hal ini ialah yang
digambarkan oleh iklan-iklan yang salah. Misalnya, sebuah buku persendirian di Pulau
Pinang diberi nama Utara-Timur. Ini jelas menunjukkan pengaruh dari perkataan
bahasa Inggeris north east, padahal terjemahannya yang wajar ialah: Timur Laut. Nama
kedai makan Boston Ais-cream Restoranmenganggap bahawa rentetan kata dalam
bahasa Inggeris itu serupa dengan bahasa Malaysia dan pengubahsuaian ejaan sudah
mencukupi. Sebuah contoh lain telah ditemui di belakang sebuah bas Majlis
Perbandaran Pulau Pinang:Merokok mujarab untuk kanser. Mujarab itu
bermaknasangat sesuai untuk menyembuhkan penyakit; jadi iklan itu bermakna
merokok itu paling baik untuk menyembuhkan kanser!. Kebanyakan firma hanya
menyerahkan nasib bahasa Malaysia dalam iklan kepada tukang cat papan iklan itu
saja. Ramai pula tidak tahu iklannya itu salah, songsang, lucu, malah ada yang tidak
bermakna.
Guru-guru bahasa Malaysia juga masih berkurangan. Banyak sekolah yang
merungut tidak mempunyai guru bahasa Malaysia. Kalaupun ada diberi guru bahasa
Malaysia, selalunya terdapat pula guru yang tidak terlatih secara khusus, dan tidak
mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mengajar bahasa Malaysia. Guru mata
pelajaran lain kerap kali diarahkan mengajar bahasa Malaysia. Keseluruhan faktor ini
menimbulkan satu keadaan bahawa bahasa Malaysia itu banyak mengandungi unsur-
unsur yang berkacau pada hari ini.
Sering juga terdapat kekacauan yang disebabkan oleh pengaruh bahasa-bahasa
lain seperti Inggeris, Cina, India dan Arab. Unsur-unsur dari bahasa lain yang sering
dipindahkan ke dalam bahasa Malaysia itu biasanya ialah sebutan, ejaan, tatabahasa,
dan fahaman budaya. Misalnya sebutan pembaca berita di televisyen; umumnya
pembaca berita bahasa Malaysia yang terdiri daripada orang bukan Melayu, memang
cukup baik, tetapi ada seorang dua yang membawa masalah seperti seorang pembaca
berita daripada kaum India, yang didapati tidak dapat membunyikan k dan h di akhir
kata seperti dalam tida(k), dan tenga(h). Dari segi ejaan-ejaan nama tempat
seperti Teluk Datoh, Air Itam, jelas menunjukkan kekacauan dari bahasa Inggeris.
Begitu juga banyak gerabak barang Keretapi Tanah Melayu yang mempunyai
tulisan pungut, punggut, pengget dan penggah(pungut dan punggah?). Demikian juga
kesalahan di dalam memakai ganti nama seperti kita untuk kami; adalah terlalu ketara
kekeliruannya sehingga ada orang yang tidak lagi mengenali penggunaan yang betul
bagi kedua-dua ganti nama tersebut. (Lihat 3.5 untuk perbincangan yang lebih lanjut
mengenai kesalahan bahasa.)
1.3 Peristilahan
Soal peristilahan amat penting, sebab di dalam pembinaan bahasa, usaha perluasan
kosa kata atau istilah merupakan peringkat yang menentukan keefisienan bahasa itu
(S.T. Alisjahbana, 1975.). Kemampuannya mengungkapkan sebarang konsep atau
proses di dalam ilmu pengetahuan adalah ukuran muktamad sama ada bahasa itu
sudah cukup terbina menjadi bahasa moden untuk kepentingan sesebuah masyarakat
moden.
Pembentukan istilah telah berjalan selama lebih kurang 30 tahun. Daripada dua
buah jawatankuasa untuk Jawatan dan Perjawatan yang terbentuk dalam tahun 1956
(LaporanDBP 10 Tahun), bilangannya telah bertambah menjadi 28 buah jawatankuasa
pada hari ini. Ada pula jawatankuasa di universiti-universiti untuk menampung
keperluan masing-masing. Dalam kiraan yang dilakukan terhadap semua istilah yang
tercipta untuk bahasa Malaysia setakat ini, sebanyak 186,000 buah istilah telah
dibentuk (Hassan Ahmad, 1982: 533 DBP). Ternyata jumlah ini adalah banyak,
sedangkan (Kamus Dewan 1970) hanya mempunyai 28,000 kata masukan, bahkan
yang perlu untuk pertuturan asas hanyalah 800 patah kata saja, seperti yang digunakan
dalam Kamus Sukarelawan Amerika. Walau bagaimanapunbukan semua istilah ini
perlu diketahui oleh semua orang. Istilah khusus dalam seseuatu bidang itu hanya perlu
diketahui oleh sarjana berkenaan saja. Untuk menjamin istilah yang dibentuk tidak
bercanggah anatara satu sama lain, maka diadakan pula Jawatankuasa Penyelarasan
Istilah. Keseluruhan usaha ini dibimbing oleh Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia
yang diuruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Walau bagaimanapun ternyata ada masalah di antara istilah yang dicipta itu
dengan istilah sekolah dan universiti. Guru baru lepasan universiti menggunakan istilah
baru dan menyebabkan pelajar sekolah merasa binggung. Guru baru juga menghadapi
masalah kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan istilah sekolah dan buku teks.
Sebenarnya masalah ini tidak akan berpanjangan. Ini adalah masalah peralihan.
Memang pelajar masih bertanya-tanya sama ada mahu
memakai jangkasuhu atau termometer, oksijan atau oksigen,
saikologi atau psikologi. Masalah ini harus akan hapus apabila buku teks yang tercetak
memakai istilag baru secara selaras dan konsisten. Walau bagaimanapun, istilah-istilah
ini amat khusus dan bukan untuk penggunaan orang ramai, tetapi memadailah kalau
hal tersebut diambil berat oleh orang yang berkenaan saja. Misalnya istilah kimia
memamng hanya melibatkan ahli-ahli kimia saja. Orang lain, ahli seni bina misalnya
tidaklah akan terlibat di dalam peristilahan kimia tersebut.
Dalam peristilahan ini, satu perkembangan baru telah timbul dengan adanya
kerjasama antara Indonesia dan Malaysia. Memang telah menjadi hasrat DBP dan
direstui oleh rakyat Malaysia supaya bahasa Malaysia itu diselaraskan dengan bahasa
Indonesia. Kerjasama ini telah lama berjalan dan satu langkah yang lebih formal telah
dilakukan pada tahun 1972 apabila Majlis Bahasa Indonesia Malaysia (MBIM) dibentuk.
Dengan ini terbukalah saluran untuk kerjasama yang lebih rapat dan teratur. Majlis ini
telah menghasilkan pedoman pembentukan istilah dan pedoman ejaan baru. Kerjasama
dalam penyelarasan istilah di antara kedua-dua negara ini sedang licin berjalan.
Setakat ini sudah banyak bidang istilah yang telah dibincangkan dan diselaraskan.
Sememangnya perlu disedari bahawa persamaan 100% dalam bidang istilah di antara
kedua-dua negara ini tidak akan tercapai, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar
daripadanya akan dapat diselaraskan. Persamaan istilah di antara kedua0dua negara
ini akan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sebagai
bahasa ilmu. Mulai 1985 pula, Brunei Darussalam telah menjadi ahli di dalam Majlis ini,
dan dengan itu nama majlis berubah menjadi Majlis Bahasa Brunei-Darussalam dan
Indonesia Malaysia (MABBIM).
Implikasi kemasukan istilah baru ini di dalam perkembangan bahasa Malaysia
memang banyak. Pengguna bahasa Malaysia memang akan mudah merasa terperanjat
apabila melihat kata-kata yang begitu banyak dipinjam dan pasti akan mempengaruhi
bahasa Malaysia. Agaknya yang penting diketahui ialah bahawa kita tidak perlu merasa
bimbang di dalam hal ini. Istilah ialah kata-kata untuk bidang khusus yang perlu
dibentuk atau dipinjam untuk sesuatu bidang ilmu. Perkara yang lebih melibatkan orang
ramai ialah pengejaan dan sebutan beberapa kata asing yang dipinjam ke dalam
bahasa Malaysia umum. Jadi peristilahan tidak perlu menimbulkan kebimbangan
semua orang.
1.4 Bahasa Baku
Memang selalu didebatkan Apa betulkah ada suatu norma baku di dalam bahasa
Malaysia? Rasanya soalan seperti ini harus tidak timbul lagi (Asmah 1971). Hal ini
telah dibincangkan dan sedikit sebanyak telah dapat memberi penjelasan. Setelah
melihat hakikat bahawa bahasa Malaysia itu sedang dibina dan berkembang, di
samping kekacauan yang tidak boleh dielakkan maka, mungkin ada dua perkara yang
harus kita perhatikan dulu.
1. Apakah bahasa Malaysia?
2. Apakah norma baku?
1.4.1 Apakah Bahasa Malaysia?
Bahasa Malaysia ini hanya satu nama yang timbul selepas 13 Mei, 1969 demi untuk
menghilangkan konotasi bahawa bahasa Melayu itu adalah kepunyaan orang Melayu
saja. Dengan menamakannya sebagai bahasa Malaysia, maka diharapkan agar kaum-
kaum lain mudah menerimanya. Sebenarnya bahasa itu tetap serupa walau apa pun
nama yang diberikan kepadanya. Apa yang lebih penting kita fahami di sini ialah,
bahawa, dengan bertambah ramainya penutur bahasa Malaysia ini maka kita haruslah
lebih berhati-hati memilih corak bahasa Malaysia yang boleh dijadikan asas pembinaan
dan pengembangan. Adalah difikirkan penting juga mengetahui sedikit tentang pola
dalam penguasaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan pembelajaran
bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua. Hal ini akan sedikit sebanyak memberi
pengetahuan terhadap kemahiran di dalam bahasa Malaysia yang dicapai oleh
generasi sekolah hari ini. Ada empat pola yang timbul daripada pemerhatian secara
kasar.
1. Penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung di rumah, dan
diperkukuhkan di sekolah oleh guru yang mahir dalam bahasa Malaysia.
2. Penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung di rumah, tetapi
mengalami gangguan di sekolah-sekolah daripada guru-guru yang kurang
mahir.
3. Bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan dikukuhkan di
sekolah oleh guru yang mahir.
4. Bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan tidak
menerima pengukuhan daripada guru bahasa Malaysia yang mahir di
sekolah.
Sebenarnya hanya pola 1 dan 3 yang dapat menghasilkan penutur bahasa Malaysia
yang dapat dianggap baik. Tetapi pola 1 ini jarang ada. Akibatnya, terhasillah bahasa
Malaysia yang agak menderita. Jarang sekali terdapat orang Melayu yang dapat
bertutur dalam bahasa Malaysia rasmi yang baik. Kebanyakan teragak-agak, tergagap-
gagap, dan tidak lancar. Memang ada individu yang mahir, fasih dan lancar, dan dalam
kebanyakan hal, ini timbul daripada bakat penutur itu sendiri. Orang yang bukan
penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung pula, jarang terjumpa yang betul-
betul mahir, fasih dan lancar, melainkan mereka yang datang dari daerah yang bahasa
Malaysia itu lebih dominan.
Ada banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Pertama, bahasa Malaysia yang
diajarkan di dalam kelas itu tidak boleh dituturkan di luar kelas. Ragam yang diajarkan
ialah, ragam bahasa tulisan (rasmi), dan bukan untuk dipakai bertutur di luar kelas.
Ragam bahasa Malaysia yang mereka pelajari di dalam kelas itu bukan untuk
berhubung secara lisan. Kalaulah kita gunakan bahasa Malaysia yang diajarkan di
dalam kelas itu untuk berhubung di luar kelas, alangkah janggalnya. Sebenarnya yang
patut diajarkan ialah bahasa yang boleh mereka gunakan di luar kelas. Kedua,
pengukuhan pembelajaran bahasa Malaysia itu jarang wujud, iaitu suasana keluarga
dan sosial tidak menggalakkan. Di rumah bahasa Malaysia mungkin tidak digunakan.
Kalau adapun suasana untuk menggunakan bahasa Malaysia seperti di pejabat
kerajaan, pejabat pos, dan hospital, jarang bahasa Malaysia dapat digunakan kerana
bahasa Inggeris masih kuat bertahan dalam perhubungan lisan. Dalam sektor
perdagangan, jarang sekali bahasa Malaysia dapat digunakan, baik secara tulisan atau
lisan. Ketiga, tidak semua guru bahasa Malaysia di sekolah itu terlatih khusus untuk
mengajarkan bahasa Malaysia. Pemegang Ijazah Pengajian Melayu pun belum tentu
betul-betul mahir dan faham selok-belok tatabahasa bahasa Malaysia untuk
mengajarkan bahasa Malaysia. Tidak ada kursus bahasa Malaysia yang khusus untuk
guru bahasa Malaysia di universiti sebelum tahun 80-an. Hanya mereka yang lulus
jurusan Linguistik Pengajian Melayu (UM) yang mempunyai kemahiran ini. Jadi,
walaupun ada cukup bilangan guru bahasa Malaysia di sekolah-sekolah, tetapi
kebanyakannya tidak terlatih dan tidak betul-betul mengetahui tatabahasa bahasa
Malaysia. Mereka mungkin memegang ijazah Pengajian Islam, Geografi, Sejarah,
Sosiologi, dan sebagainya. Dalam hal ini guru-guru bahasa Melayu yang dihasilkan di
Maktab Bahasa dulu adalah lebih sesuai. Tetapi sayangnya di Maktab Bahasa
dihentikan. Sejak tahun 1980, USM, UKM, dan UPM telah mual mengajarkan kursus
bahasa Malaysia pada peringkat ijazah.
Ada lagi satu faktor yang jarang-jarang difahami orang Bahasa Malaysia tidak pernah
diberi analisis perbandingan sepenuhnya untuk pembelajaran dan pengajaran kepada
kaum Cina dan kaum India. Walaupun Lufti Abas (1977, 1978) membandingkan bahasa
Malaysia dengan bahasa Cina, bahasa Tamil, dan bahasa Inggeris, tetapi ada banyak
bahasa Cina dan bahasa India. Ada sembilan buah bahasa Cina dan 13 buah bahasa
Tamil di Malaysia. Guru-guru perlu faham betul langkah-langkah untuk mengajarkan
bahasa Malaysia kepada penutur bahasa Cina yang berlainan dan bahasa India yang
berbagai-bagai ini.
Dalam hal ini ternyatalah bahawa bahasa Malaysia yang harus kita jadikan pegangan
itu ialah bahasa Malaysia yang dituturkan oleh penutur yang mahir, iaitu yang
menguasai bahasa Malaysia melalui pola 1. Penguasaan bahasa Malaysia dengan pola
lain tidak akan sesuai untuk dijadikan pegangan.
1.4.2 Apakah Norma Baku?
Baik juga kita perhatikan sedikit tentang apa yang dimaksudkan dengan istilah baku.
Perkara ini jangan kita kelirukan dengan sesuatu impian seperti menegakkan satu
jenis sebutan. Bahasa baku itu hanyalah satu norma yang ingin kita capai. Norma ini
boleh kita tentukan. Apa sebutan yang kita mahu? Apa ejaan yang kita tentukan. Apa
sebutan yang kita mahu? Apa ejaan yang kita terima? Apa corak tatabahasa yang
dianggap menjadi pegangan? Ini semuanya boleh ditentukan. Sebutan yang digunakan
oleh juruhebah Radio dan Televisyen Malaysia, misalnya boleh dijadikan pegangan.
Ejaan baharu bolehlah dirasmikan dan tatabahasa Zaba boleh diperbaik dan
diperlengkap untuk dijadikan pegangan. Walau bagaimanapun, kita haruslah menyedari
bahawa pewujudan satu dialek baku itu tidaklah boleh menimbulkan satu keseragaman
100%. Mestilah juga ada neka sahaja, di Amerika ada satu neka lain, dan di India pun
ada nekanya sendiri. Semuanya ini adalah neka satu bahasa baku.
Kita harus sedar hakikat ini supaya dapat mengelakkan rasa kecewa kalau misalnya
kita masih mendapati ada perbezaan antara sebutan bahasa Malaysia baku di Perak
dengan sebutan bahasa Malaysia baku di Kelantan. Kita tidak dapat lari daripada
kenyataan ini sebab bahasa Malaysia baku juga mesti ada banyak nekanya menurut
pengaruh dialek daerah dan sosial seseorang penutur itu. Misalnya, dua pertuturan,
katakan oleh Datuk Sanusi Junid dan Datuk Musa Hitam, jelas menunjukkan
perbezaan-perbezaan besar tetapi kedua-duanya adalah sebutan baku..hanya
perbezaan dalam nekanya sahaja yang timbul kerana latar belakang daerah, profesion,
dan sosial mereka adalah berlainan.
Jadi, daripada perbincangan di atas, apa yang kita sebut sebagai bahasa Malaysia itu
bukanlah sebuah bahasa baharu. Hanya namanya sahaja yang baharu. Bahasa
Malaysia itu ialah bahasa Melayu, iaitu; khususnya bahasa Melayu moden. Ini jelas
kelihatan, sebab kita agak sukar menerima sebarang rujukan kepada bahasa Melayu
sebelum tahun 1970 itu sebagai bahasa Malaysia; sebelum itu istilahnya ialah bahasa
Melayu. Di samping itu pula, apabila kita berbincang tentang budaya bahasa, budaya
bahasa Malaysia ialah budaya bahasa Melayu. Umur bahasa Malaysia agak terlalu
muda untuk menimbulkan budayanya sendiri.
1.5 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dapat ditimbulkan beberapa perakuan untuk mengatasi masalah
dalam bahasa Malaysia ini.
Kekacauan dalam ejaan akan dapat dihapuskan dengan mengeluarkan sebuah daftar
ejaan dengan menggunakan sistem ejaan baharu. Lebih lama ditunggu, akan lebih
banyaklah kekeliruan yang akan timbul. Sebuah daftar ejaan seperti yang dikeluarkan
oleh Zaba (1937) itu, tentu akan dapat menyelesaikan masalah remeh yang
menyebabkan orang ramai merungut, menelefon, dan menulis surat cacian dalam
akhbar tentang ejaan baharu itu. (Daftar Ejaan Bahasa Malaysia hanya diterbitkan oleh
DBP pada tahun 1980). Kadang-kadang tidak ada asasnya, hanya mereka tidak ada
panduan. Memberi taklimat itu sesuai juga, tetapi taklimat ini amat akademik, walhal
orang ramai memerlukan sesuatu yang praktis. Membiarkan kamus sahaja
menjalankan tugas ini memang tidak memuaskan.
Satu sistem sebutan juga harus dihasilkan untuk pedoman umum dengan segera. Di
samping itu unsur intonasi juga harus diperjelas supaya dapat membantu pengajaran
dan pembelajaran bahasa Malaysia.
Demikian juga halnya dengan tatabahasa. Sebuah buku tatabahasa lengkap bagi guru
dan pelajar perlu diterbitkan sekarang. Memang Zaba dalam mukadimah Pelita Bahasa
Melayu I ada menyarankan supaya bukunya itu diperbaik. Tugas ini belum dilakukan
lagi. Ini memang bukan tugas satu atau dua orang, tetapi beberapa orang yang
berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang tatabahasa bahasa Malaysia. Hal ini
ada implikasi penting. Dalam hal ini Pelita Bahasa Melayu I yang selama ini dipakai
mungkin dapat menjadi panduan asas kita. Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayatoleh Nik
Safiah Karim et al., telah terbit pada tahun 1986. Buku tatabahasa ini tentu dapat
membantu pemantapan dan pembakuan bahasa Malaysia. Buku tatabahasa lain seperti
Asmah Hj. Omar (1980) dan Abdullah Hasssan (1986) juga boleh membantu mengisi
keperluan ini.
Salah satu daripada saluran yang baik untuk memperbaik keadaan ini ialah melalui
sekolah. Kalau buku teks dan sukatan pelajaran dapat ditentukan, maka yang tinggal
ialah kemahiran guru bahasa Malaysia itu sendiri yang perlu dibaiki. Di samping itu
kemahiran guru di sekolah, maktab dan universiti dalam menggunakan bahasa
Malaysia untuk menyampaikan pelajaran mereka memang lama diragukan. Misalnya,
selalu dapat dibaca dalam akhbar tentang guru yang mengajar dalam bahasa Inggeris
walaupun dia sepatutnya menggunakan bahasa Malaysia. Ada guru yang membuka
ucapannya dengan sepatah dua kata bahasa Malaysia dan yang lainnya masih dalam
bahasa Inggeris. Apa yang lebih tenat lagi ialah dakwaan bahawa ada guru yang tidak
mahir, dan difikirkan sampai bila-bila pun tidak akan mahir. Untuk mengatasi masalah
ini guru-guru yang tidak mahir ini hendaklah dilatih supaya menjadi mahir dalam bahasa
Malaysia. Sekiranya mereka tidak mahir, kekurangan mereka akan menular kepada
pelajar.
Mungkin bidang yang patut diberi perhatian yang lebih berat lagi ialah terhadap
penyediaan guru-guru yang khusus untuk mengajarkan bahasa Malaysia, bukan
membiarkan pengajaran bahasa Malaysia dikendalikan oleh sebarang guru sahaja, dan
jauh sekali guru yang dirinya sendiri belum mahir dalam bahasa Malaysia. Mereka yang
dilatih di peringkat maktab atau universiti untuk mengajarkan bahasa Malaysia
hendaklah mengikuti kursus yang khusus tentang bahasa Malaysia, dan bukan sekadar
Pengajian Melayu atau Kesusasteraan Melayu. Guru-guru ini perlu mempunyai
pengetahuan yang luas dan mendalam tentang bahasa Malaysia, dari segi fonologi,
morfologi, sintaksis, semantik, gaya, dan kaedah mengajarkannya. Satu atau dua
kertas yang diikuti di peringkat diploma ternyata masih belum dapat melengkapkan guru
bahasa Malaysia dapat dijamin baik, maka masalah-masalah lain tentu akan dapat
dikurangkan kalaupun tidak dihapuskan.
Di jabatan-jabatan kerajaan kerap juga terdapat masalah penggunaan bahasa Malaysia
yang masih kacau. Hal ini tentu tidak akan berlaku sekiranya sekolah menghasilkan
pengguna bahasa yang dapat menguasai atau mempelajari bahasa Malaysia dengan
baik. Ternyata syarat lulus bahasa Malaysia dengan kepujian di peringkat SPM tidak
menyelesaikan keseluruhan masalah ini, mungkin perlu diberi suatu langkah yang lebih
positif.
Umumnya, apa yang dimaksudkan dengan perancangan bahasa itu ialah adanya
badan atau orang tertentu mengambil keputusan untuk menentukan bagaimana
bahasa, atau aspek bahasa itu mesti digunakan. Ini dijalankan untuk membina sesuatu
bahasa yang dapat menanggung sebarang peranan yang diberikan kepadanya dengan
berkesan. Dalam hal ini biasanya ejaan diberi perhatian dulu, dan kemudian
memodenkannya supaya dapat mengungkapkan segala macam konsep, samalah
seperti bahasa lain yang sudah maju. Barulah timbul bahasa Malaysia baku. Pendek
kata bahasa Malaysia mesti sanggup mendukung peranan yang sama dalam semua
hal, seperti juga bahasa Inggeris yang ternyata sudah lengkap dalam serba-serbinya.
Bahasa Malaysia hanya dapat dikatakan sedang berkembang menuju matlamat
tersebut. Perkara ini, sama ada dapat diselesaikan segera atau tidak, kita masih perlu
meneruskan tugas untuk mengajarkan bahasa Malaysia baku itu.

Anda mungkin juga menyukai