Anda di halaman 1dari 11

Tulisan Jawi Lambang Bangsa Bermaruah

Para sarjana menamakan bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman


dahulu sebagai bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa itulah
yang mewujudkan bahasa Melayu yang kita kenal pada hari ini. Para
sarjana juga mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah
mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya.

Tulisan itu, yang dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang
terdapat di Sumatera dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan
berasal daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita
warisi kerana daun lontar yang dijadikan kertas tulis pada zaman itu tidak
tahan lama, orang dahulu kurang berminat menyimpannya dan kerana
beberapa malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja yang
dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau
Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di Kepulauan ini.

Oleh sebab kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada
zaman awal pertumbuhannya itu berupa telahan, kita boleh mengatakan
bahawa pada masa itu bahasa Melayu bukan bahasa yang penting tetapi
hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam
kepulauan Melayu sahaja.

Perkembangan bahasa Melayu kuno boleh dianggap bermula pada abad
ketujuh Masehi. Ada empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu
bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit
Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu bersurat yang kedua dijumpai di
Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi; batu bersurat yang
ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi; dan batu
bersurat yang keempat ditemui di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686
Masehi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali
(Pallava) iaitu huruf orang Pallava di selatan India. Bahasa yang terdapat
pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada bahasa
Melayu kini.

Para sarjana menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu
kuno. Sebuah batu bersurat lagi dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah.
Batu bersurat itu ditulis dengan huruf Nagiri. Huruf ini berasal dari utara
India dan mempunyai hubungan rapat dengan agama Buddha. Batu
bersurat itu dianggap sebagai penyata betapa jauhnya pengaruh bahasa
Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengah-tengah Pulau Jawa,
satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali.

Batu-batu bersurat di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno
menggunakan tulisan yang dibawa dari India. Batu bersirat bertarikh
1356 Masehi yang ditemui di Pagar Ruyong dan batu bersurat (nisan)
bertarikh 1380 Masehi di Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa
tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas. Catatan
pengembara Cina pula, seperti ITsing yang pernah singgah di Sriwijaya
pada tahun 672 Masehi, serta beberapa bukti sejarah yang lain,
menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan
bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah
maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah
menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga
belas.

Profesor Ismail Husain membuat kesimpulan: Maka dapatlah kita anggap
sebagai satu hal yang pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam
abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah dapat dan memang
digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal
tertentu digunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di
daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang
sebenarnya.

Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita
ketinggian bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari
India itu. Batu Nisan Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masehi dan masih
menggunakan huruf Pallava, mungkin boleh dianggap sebagai
membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga sudah
dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus tetapi tidaklah
sebanding dengan mutu bahasa Batu Bersurat Terengganu, yang 83
tahun lebih awal daripada Batu Nisan Minye Tujuh itu, lebih dekat dengan
gaya bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas.
Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada Batu Nisan Minye Tujuh
ialah gaya bahasa pra-Islam.

Lebih menarik lagi apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed
Muhammad Naguib al-Attas yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba
di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu bahasa umum yang boleh
digelar bahasa Melayu. Menurut beliau, Bahasa Melayu kuno yang
difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan sebagai Melayu,
kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu.
Prasasti-prasasti sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup
dan jelas terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah
tulisan-tulisan yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa
campuran bahasa Pali dan lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa
golongan tertentu yang tiada membayangkan bahasa orang sehari-hari.
Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman pra-Islam tiada
terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu serta
dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang
boleh diberi gelaran Melayu.

Daripada perbincangan tadi kita boleh membuat beberapa kesimpulan
tentang kedudukan bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan
tulisan Jawi. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh
Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga abad kedua belas merupakan
tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini bahasa Melayu
berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu tetapi
belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju.

Pada tahap ini bahasa Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa
daerah yang terdapat di Kepulauan ini, iaitu belum menjadi bahasa
persatuan kerana belum dianggap standard. Pada tahap ini juga bahasa
Melayu mula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu pengetahuan tetapi
belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang
sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan
tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis.

Kemunculan tulisan Jawi membuka lembaran baharu dalam sejarah
bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masehi
di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu.
Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan Jawi tertua di
Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah
bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masehi.

Inti batu bersurat itu ialah pengumuman sepuluh fasal syarat undang-
undang. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua
raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan
ajaran Rasulullah s.a.w.

Batu itu disurat supaya pengumuman dan perisytiharan
itu sampai kepada kumpulan sasarnya. Hal ini bermakna, sebelum tahun
1303 Masehi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang
mengetahui (boleh membaca) tulisan Jawi. Jika tidak, masakan si
penyurat memilih tulisan itu untuk menyampaikan mesejnya. Juga,
apabila diteliti tulisan pada batu itu, terdapat 20 daripada 29 abjad Arab
dan lima huruf ciptaan.

Walaupun abjad Arab yang digunakan itu cuma 20, hal ini tidaklah
bermakna si penyurat tidak mengetahui huruf-huruf yang lain. Semasa
menulis satu catatan ringkas, tidak semestinya semua huruf terpakai.
Oleh itu dapat kita katakan bahawa pada tahun 1303 Masehi huruf
tulisan Jawi sudah lengkap, iaitu 29 huruf Arab dan lima huruf ciptaan.

Apabila mengingat bahawa proses menyesuaikan sesuatu tulisan untuk
digunakan sebagai tulisan bahasa lain dan proses penciptaan huruf
baharu memakan masa yang panjang; apabila mengingat bahawa tulisan
Jawi itu tidak lengkap dengan serta-merta, boleh kita katakan bahawa
tulisan Jawi wujud pada akhir abad ketiga belas. Abjad tulisan Jawi itu
lengkap dan digunakan untuk menyampaikan maklumat pada awal abad
keempat belas.

Jelas pada kita bahawa huruf Arab menjadi asas tulisan Jawi. Tulisan ini
sebenarnya boleh dinamakan sebagai tulisan Arab-Melayu tetapi orang
Melayu lebih suka menamakannya tulisan Jawi. Kata jawi berasal
daripada istilah Arab al-Jawah. Sumber-sumber Arab sebelum abad
keempat belas Masehi menunjukkan bahawa orang Arab menggelar
semua bangsa di Kepulauan Melayu ketika itu, terutamanya bangsa-
bangsa di Sumatera, sebagai Jawi atau al-Jawah. Tidak syak lagi daripada
kata inilah kemudian tercipta ungkapan beras jawi dan masuk Jawi.

Beras jawi ialah beras biasa (bukan beras pulut). Nasi daripada beras ini
menjadi makanan utama semua bangsa di Kepulauan Melayu. Hal ini
menunjukkan satu sifat umum mereka dari satu sudut. Masuk Jawi,
kadang-kadang disebut juga masuk Melayu, dari segi lahiriahnya
bermakna berkhatan tetapi takrif sebenarnya ialah memeluk agama
Islam. Dengan kata lain, orang Arab menggelar semua penduduk di
Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam sebagai Jawi atau
al-Jawah.

Makna kata ini memperlihatkan penyataan berbagai-bagai bangsa melalui
satu agama sesuai dengan tuntutan agama itu sendiri. Dengan ini jelas
pula pada kita akan sebab bahasa Melayu dinamakan juga bahasa Jawi
dan tulisan bahasa itu dinamakan tulisan Jawi. Bahasa Jawi dan tulisan
Jawi itu ialah bahasa dan tulisan semua penduduk Kepulauan Melayu
yang sudah memeluk agama Islam. Dengan ini juga jelas pada kita
bahawa Islam dan mereka yang menyampaikan risalahnya melakukan
peranan utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa umum,
bukan bahasa satu bangsa lagi tetapi bahasa semua bangsa atau
bahasa persatuan, dengan tulisan Jawi sebagai tulisan tunggal mengikat
dan menyatukan bahasa-bahasa daerah ke dalam satu golongan yang
disebut bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu mula menjadi
bahasa baku apabila penduduk Kepulauan Melayu menerima Islam dan
menerima abjad Arab sebagai tulisan bahasa Melayu.

Lebih jauh daripada itu, Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas
berkata: Konsep Jawi yang merangkum pelbagai bangsa itu sebagai satu
berdasarkan penyatupaduan bahasa Melayu sebagai bahasa umum
melalui alat satu tulisan yang sama terdapat di mana-ana dalam kalangan
bangsa Melayu-Indonesia inilah juga salah satu unsur kebudayaan yang
menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan faham kebangsaan
dalam peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.

Penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu menolong bahasa
itu menjadi bahasa pengantar dan bahasa ilmu pengetahuan di institusi
pendidikan Islam seperti masjid, surau dan pondok. Bahasa Melayu dan
tulisan Jawi menjadi bahasa dan tulisan rasmi kerajaan Melayu-Islam,
iaitu Samudera-Pasai (1280 1409 Masehi), Melaka (1409 1511
Masehi), Aceh (1511 1650 Masehi) dan Johor-Riau (1650
1800 Masehi). Kitab agama dan hasil kesusasteraan pada zaman ini
menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Syair
Perahu, Rubai Hamzah Fansuri, Syarab al-Asyikin, Bustanus Salatin,
Bustanul Katibin, Gurindam Dua Belas dan Tuhfat an-Nafis ialah karya
contoh daripada sekian banyak hasil kesusasteraan Melayu yang
menggunakan tulisan Jawi. Hasil kesusasteraan ini sangat tinggi nilainya.
Malah, Syair Perahu dan Rubai HamzahFansuri karya Hamzah Fansuri
(1550 1600 Masehi) dan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji (1809
1870 Masehi) sukar ditandingi hingga kini.

Kenyataan ini menunjukkan tulisan Jawi adalah praktis. Selama beberapa
abad tulisan Jawi berupaya menjadi tulisan tunggal mengiringi bahasa
Melayu sebagai bahasa perantaraan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi
pemerintahan, bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa kesusasteraan.

Tidaklah dapat disangkal lagi bahawa pengaruh Islam dan tulisan Jawi
memungkinkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Perkembangan ini
memungkinkan pula bahasa Melayu menerima beribu-ribu kosa kata
Arab, termasuk istilah dalam bidang falsafah yang dianggap sebagai ilmu
duniawi yang tertinggi. Bahasa Arab itu bukan sekadar menambah
perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi memberikan jiwa
baharu terhadap kata-katanya. Tentang hal ini, Abdul Rahman Rukaini
menulis:

Dari sudut pandangan Islam, perkataan langit, bumi, bulan, bintang,
gunung, sungai (tidak semestinya kata Arab) dan sebagainya bukan
sahaja memberikan erti kejadian alam atau benda yang telah dijadikan
tetapi juga memberikan erti siapa yang menjadikan dan untuk siapa
dijadikan. Jadi jiwa bangsa Melayu yang sebelumnya kuat dipengaruhi
oleh faham dogmatis yang tahayul telah bertukar menjadi jiwa yang
rasional lagi intelektual. Penerimaan itu bukan setakat itu sahaja tetapi
melibatkan penerimaan hakikatnya sekali gus. Maka itulah yang
dilaksanakan dalam sistem pendidikan tradisi (zaman Islam di Alam
Melayu), iaitu menerapkan jiwa kata-kata itu dalam kehidupan sehari-hari
dan hal ini menjadi asas pembentukan pandangan hidup mereka.

Bahasa dan tulisan yang mempunyai jiwa yang utuh tidak akan mudah
mengalah kecuali bangsa yang memiliki tulisan itu sendiri meracunnya.
Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Tulisan
Jawi tetap berdaulat pada peringkat awal konteks Kepulauan Melayu
dengan kuasa-kuasa Barat. Warisan sejarah yang masih dapat dibaca di
perpustakaan luar negara menunjukkan surat izin berniaga dan perjanjian
antara raja-raja Melayu dengan penjajah Barat menggunakan bahasa
Melayu dan tulisan Jawi.

Abjad Jawi yang sebahagian besarnya berasal daripada abjad bahasa
Arab (bahasa al-Quran) itu pernah menolong mengurangkan perbezaan
sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Hal ini dikatakan
demikian kerana Islam menyuruh penganutnya membaca al-Quran
dengan betul (irab). Imam sembahyang juga dituntut supaya terdiri
daripada qari atau orang yang terbaik bacaan al-Qurannya. Melalui ilmu
tajwid, antara lain, ditegaskan cara mengeluarkan bunyi huruf dengan
betul. Oleh sebab semua huruf hijaiyah al-Quran itu digunakan dalam
tulisan Jawi, mubaligh dahulu melafazkannya dengan sebutan yang betul
dan tetap. Khabar diucapkan /xabar/, ramai diucapkan /ramai/ dan kata
yang seharusnya diucapkan /a/ tetap diucapkan demikian dan bukan /e/.

Oleh sebab kedudukan mereka dipandang tinggi ketika itu, sikap mereka
diteladani oleh penutur lain. Hal ini menyebabkan pengucapan bahasa
Melayu itu agak seragam. Malangnya, semasa kuasa-kuasa Barat
menjajah Kepulauan Melayu ini, kita dijauhkan (atau sengaja menjauhkan
diri kerana takut dianggap kolot) daripada bahasa al-Quran itu dan
dijauhkan daripada ilmu tajwid. Apabila kita lupa pada dasar tulisan itu,
kita mulai menemui masalah atau sengaja menari-cari sebab untuk
berasa sukar mengucapkannya. Di sini saya turunkan keluhan seorang
ahli bahasa kita, Lutfi Abas, yang sepatutnya menjadi keluhan kita juga.

Izinkan juga di sini saya menyentuh adanya segolongan orang Melayu
yang mahu melafazkan alif be te se dan yang menganggap mereka
berbeza daripada orang Melayu yang lain, baik di Malaysia sendiri atau di
luar Malaysia yang melafazkan alif ba ta sa. Golongan yang pertama
beranggapan bahawa persatuan sesama Melayu biarlah dilambangkan
oleh huruf pertama sahaja, dan mulai dari huruf kedua mereka berbeza
daripada orang Melayu yang lain. (Hal ini ialah) satu kejahilan yang
merosakkan ikhwan Islam.

Huruf alif bukan sahaja lambang persatuan tetapi juga lambang
kekuasaan atau kekuatan. Huruf itu berdiri tegak. Huruf itu
melambangkan pengislaman seluruh jazirah Arab, Afrika Utara dan
Andalusia. Huruf itu juga melambangkan pengislaman seluruh Nusantara.
Orang Melayu jadi terbangun daripada tidur mereka selama berabad-
abad, bangkit berdiri, mendirikan syiar Islam, dan mendirikan kerajaan
Islam. Bangsa Melayu terkenal sebagai orang yang berani mengharungi
laut Nusantara dan belayar jauh sampai ke benua lain.

Dengan sedih saya mengatakan di sini semangat itu kelihatan seperti
pudar, dan bunyi /e/ mulai kedengaran di mana-mana menggantikan
bunyi /a/. Bunyi /e/ ialah lambang kejahilan, kembali ke zaman jahiliah,
dan tiada mempunyai semangat. Dalam ilmu bahasa, perubahan bunyi
/a/ kepada bunyi /e/ disebut proses neutralization. Bunyi itu dilafazkan
dengan menggunakan tenaga sedikit mungkin. Lidah dalam keadaan
rehat sehingga orang sedang tidur pun boleh mengeluarkan bunyi itu
tanpa disedarinya.

Penjajahan Barat sebagai alasan, sikap orang Melayu sendiri sebagai
puncanya, lama-kelamaan tulisan Jawi hidup segan mati tak mahu. Pada
tahun 1904, satu panitia dibentuk oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu yang dikenali dengan nama Panitia Wilkinson, untuk
membentuk sistem ejaan Rumi yang telah mula diperkenalkan sedikit-
sedikit sebelumnya. Panitia ini diketuai oleh H. Conway Belfield,
Pemangku Residen British, Perak; D.G. Campbell, Pemangku Residen
British, Selangor; R.J. Wilkinson, Inspektor Sekolah-sekolah Melayu.
Hasilnya, ejaan Rumi yang dinamakan Ejaan Sekolah tetapi lebih dikenali
dengan nama Ejaan Wilkinson, menjadi ejaan rasmi bagi bahasa Melayu
di Malaya.

Pada bulan Januari 1954, Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang
kedua di Sereban membuat rumusan: Bahawa Kongres Persuratan
Melayu se-Malaya yang kedua yang bersidang di Seremban pada
1 Januari 1954 ini, setelah mengkaji penyata tulisan Jawi-Rumi yang
dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi-Rumi itu,
mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi
persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga asa
akan menentukannya.

Pada bulan Mac tahun yang sama, Asas 50 mengemukakan memorandum
menyokong ketetapan kongres itu. Memorandum itu menghuraikan
sebelas kelebihan tulisan Rumi dan satu sahaja kekurangannya, serta
satu sahaja kelebihan tulisan Jawi (yang dianggap kekurangan juga) dan
dua belas kekurangan tulisan Jawi.

Bagaimanapun perkara ini diimbangi oleh Sidang Bahagian C (i), Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah Melayu Ketiga pada bulan
September 1956. Rumusan sidang itu diturunkan sepenuhnya:

Sidang Bahagian C (i) telah mengambil ketetapan membentuk satu
badan yang diberi tugas memelihara tulisan Jawi: (a) Bagaimana cara-
cara memelihara tulisan Jawi supaya kekal hidup di Malaya ini, dan (b)
Bagaimana cara-cara menyamakan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di
Malaya dengan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di Indonesia. Sidang ini
mengambil ketetapan memberi kuat kuasa membentuk badan tersebut
kepada Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah
Melayu. Lokman Musa, Pengerusi, Sidang Bahagian C (i)

Peristiwa-peristiwa ini mungkin mempengaruhi penggubalan Akta Bahasa
Kebangsaan dan tercatatlah ayat ini dalam akta itu: Tulisan bagi bahasa
kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang
penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama
tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Dengan kata lain tulisan Jawi tetap dilindungi. Bagaimanapun, sebelum
tahun 1970, bolehlah kita katakan tulisan Jawi hidup berkelana di masjid
surau, pondok, di pinggir kurikulum sekolah Melayu dan agak subur
sedikit di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

TULISAN JAWI DALAM KURIKULUM

Tulisan Jawi dimasukkan semula dalam kurikulum sekolah rendah yang
dilaksanakan pada tahun 1970. Kandungannya dalam kurikulum itu
dinamakan Pelajaran Jawi, iaitu satu dari aspek bahasa mata pelajaran
Bahasa Malaysia. Pelajaran Jawi itu dimulakan pada darjah dua.
Matlamatnya tidak diberi. Bagaimanapun, berdasarkan kegiatan
pengajaran dan pembelajaran pada darjah lima dan enam, boleh kita
katakan pelajaran itu bertujuan agar pada akhir program itu pelajar boleh
membaca dan menulis Jawi. Pada akhir program pelajar dijangka dapat
mengeja, termasuk ejaan Arab, dapat membaca bahan Jawi yang sesuai
dan dapat menulis karangan pendek dengan menggunakan tulisan Jawi

Pelajaran Jawi itu diteruskan di sekolah menengah rendah dengan tujuan
memahirkan murid menulis dan membaca Jawi. Pelajaran itu merupakan
satu daripada lima aspek bahasa mata pelajaran Bahasa Malaysia.
Pengajaran digabungjalinkan dengan aspek bahasa lain, iaitu bacaan dan
kefahaman dan karangan.

Perkara ini mula dilaksanakan pada tahun 1973. Pada tahun ini, mengikut
program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pelajaran Jawi baru sampai di
darjah empat. Sekolah menengah hanya menerima pelajar yang boleh
membaca dan menulis Jawi, hasil program Bahasa Malaysia sekolah
rendah, pada tahun 1976. Jadi, adalah sebab untuk guru Bahasa Malaysia
di sekolah menengah untuk tidak mengajarkan aspek bahasa ini.
Malangnya, selepas tahun 1976 hingga kini, banyak guru Bahasa Malaysia
di sekolah menengah mengabaikan pengajaran aspek bahasa ini. Alasan
utama mereka ialah murid tidak boleh membaca dan menulis Jawi. Hal ini
membayangkan pengabaian yang serupa berlaku di sekolah rendah.

Banyak guru Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan di sekolah menengah
rendah tidak sedar bahawa mereka mesti mengajarkan pelajaran Jawi.
Segolongan mereka menganggap aspek bahasa itu tidak wajib diajarkan
kerana tidak diuji dalam peperiksaan. Sebahagian lagi memberikan alasan
yang cukup mudah, iaitu mereka sendiri tidak boleh membaca dan
menulis Jawi. Keadaan ini membayangkan mutu latihan yang mereka
terima di maktab perguruan.

Bagaimanapun, pada tahun 1973 maktab perguruan di Semenanjung
memulakan program Kursus Perguruan Asas Dua Tahun (Bersepadu),
dikuti oleh Sabah dan Sarawak beberapa tahun kemudian. Dalam
program itu pelajaran Jawi merupakan sebahagian daripada kandungan
sukatan pelajaran Bahasa Malaysia (Kod 08 dan Kod 09). Dalam
peperiksaan, soalan mengenai tulisan Jawi juga dimasukkan.

Berdasarkan catatan di atas kertas, sepatutnya semua guru lepasan
maktab perguruan di Semenanjung pada tahun 1975 dan seterusnya,
menguasai tulisan Jawi. Oleh sebab kenyataan yang ada tidak dapat
membuktikan hal ini, bolehlah kita katakan catatan di atas kertas itu
dilaksanakan sambil lewa sahaja, menggambarkan sikap tidak apa dalam
kalangan ahli bahasa kita tentang hal ini. Sikap yang sama tertayang lagi
beberapa tahun kemudian apabila tulisan Jawi langsung tidak disentuh
oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ketika
meneliti kurikulum Bahasa Malaysia.

Namun, sikap tidak ambil peduli ini tidak menyeluruh. Seminat Dasar V
dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengenai Nilai-nilai Sosial
yang Penting di Sisi Pemupukan Keperibadian Malaysia merumuskan agar
digalakkan semula pengajaran dan penggunaan tulisan Jawi. Seminar
Pendidikan Islam Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada
tahun 1972 juga membuat rumusan yang serupa.

Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang
membuat perakuan supaya sistem ejaan Jawi yang ada kini dikaji dan
diperkemas, memperlihatkan sikap positif jawatankuasa yang berkenaan
terhadap tulisan Jawi.

Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada 9 hingga 11 April yang lalu
menunjukkan perubahan besar sikap masyarakat kita terhadap tulisan
itu. Rumusan yang dibuat nampaknya cukup menyeluruh. Pelaksanaan
rumusan itu menjanjikan harapan baharu untuk kebangkitan tulisan Jawi.
Di bawah payung pemerintah yang cenderung melihat diri
sendiri, cenderung melihat masa lalu untuk mengenal diri dan
untuk membina masa hadapan, dan mengutamakan nilai-nilai Ilahi
semula; rasanya apa-apa yang sudah dirumuskan itu segera menjadi
bukti. Kita menjangka tidak lama lagi tulisan Jawi akan menunjangi
bahasa Melayu semula. Peranannya pada masa hadapan tidaklah sama
dengan peranannya masa lalu. Kita menjangka, tidak lama lagi tulisan
Jawi sebagai tunjang, tulisan Rumi sebagai adik yang gagah, akan
bersama-sama membina bahasa, sastera, budaya dan tamadun kita.

PENUTUP

Nyatalah pada kita bahawa tulisan Jawi sangat berharga. Tulisan itu
berjaya memainkan peranan yang cukup besar dan sangat penting untuk
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dalam semua
bidang kehidupan kita. Tulisan jawi memungkinkan bahasa
Melayu digunakan oleh lebih 175 juta manusia di Asia Tenggara dan,
dari segi jumlah penuturnya, merupakan bahasa yang kelima di dunia.

Sayangnya, ketika ini tulisan Jawi semacam terpisah daripada bahasa
yang pernah dibinanya itu. Disebabkan oleh proses sejarah dan kelalaian
pemiliknya yang bersikap seperti kacang lupakan kulit, tulisan itu hidup
merana dan baru pada akhir abad kedua puluh ini menunjukkan tanda
untuk berjiwa semua.

Oleh sebab pelbagai pihk sudah dan sedang berusaha meletakkan tulisan
Jawi semula pada tepatnya yang wajar, kita mesti menyokong usaha-
usaha itu. Sesuai dengan perisytiharan Batu Bersurat Terengganu, sesuai
dengan usaha menerapkan nilai-nilai Islam, sesuai dengan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan, menyedari bahawa bahasa Arab ialah bahasa
pilihan Islam, dan untuk menjadi supaya tulisan Jawi terus hidup; sudah
sampai masanya bahasa Arab disejajarkan dengan bahasa Inggeris dalam
kurikulum kita supaya bahasa itu terus mendasari perkembangan batin
bahasa Melayu.

Rujukan:

1. Abbas Mohd. Sharif, 1979. Ulasan Terhadap Rencana Abdul
Rahman Rukaini: Pencemaran Terhadap Istilah Agama Islam,
Dewan Bahasa, 23: 10 (Oktober 1979), h. 60-69.
2. Abdul Rahman Rukaini, 1979. Pencemaran Istilah Agama
Islam I III, Dewan Bahasa, 23: 5 7 (Mei Julai 1979), h. 23
28.
3. Abdul Rahman Rukaini, 1982. Tulisan Jawi: Ditelan
Mati Emak, Dewan Budaya, 1: 2 (Januari 1982), h. 4 5.
4. Abdul Samad Ahmad, 1974. Sejarah Kesusasteraan Melayu I.
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Abdullah Hassan, 1980. Linguistik Am untuk Guru Bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
6. Amran Kasimin, 1979. Transliterasi Arab-Melayu, Dewan
Bahasa, 23: 10 (Oktober1979), h. 48 59.
7. Edwar Djamaris, 1980. Ulasan terhadap Rencana
Transliterasi Arab-Melayu Tulisan Amran Kasimin, Dewan Bahasa,
24: 1 (Januari 1980), h. 66 68.
8. Ismail Hussein, 1981. Sejarah Pertumbuhan Bahasa
Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Kamal Hassan, 1979. Ke Arah Penyerapan Unsur-unsur Islam
dalam Dasar Pendidikan Negara, dalam Hamdan Hassan, penyusun,
1979.
10. Islam dan Kebudayaan Kebangsaan, Kuala Lumpur: Utusan
Melayu.
11. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1973. Asas
Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan.
12. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1972. Sukatan Pelajaran
Bahasa Malaysia untuk Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
13. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(a). Sukatan Pelajaran
Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I III. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
14. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(b). Sukatan Pelajaran
Bahasa MalaysiaKursus Perguruan Asas Dua Tahun. Kuala Lumpur:
Bahagian Latihan Guru.
15. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979. Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
16. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981. Laporan Jawatankuasa
Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.