Anda di halaman 1dari 30

1.

0 PENDAHULUAN

Tajuk ini mengandungi sub-sub tajuk iaitu, pengenalan kajian, refleksi pengajaran dan
pembelajaran dan refleksi nilai pendidikan.

1.1 Pengenalan

Pendidikan merupakan satu proses terancang untuk mewujudkan suasana proses pengajaran
dan pembelajaran antara guru dan murid supaya proses tersebut menjadi lancar dan dapat
mengembangkan potensi diri masing-masing. Usaha melahirkan generasi yang produktif
beberapa aspek perlu diberi penekanan seperti jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Perkembangan murid dari segi jasmani kini dilihat sebagai satu keperluan untuk
seseorang murid itu berkembang dan membina karakternya. Mata pelajaran Pendidikan
Jasmani merupakan salah satu mata pelajaran teras yang diajar di sekolah-sekolah di Malaysia.
Proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani adalah satu proses yang
menyeluruh merangkumi kesemua aspek domain seperti psikomotor, kognitif dan afektif serta
meliputi aspek sosial dan emosi selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Mata pelajaran Pendidikan Jasmani ini dibahagikan
kepada 3 tunjang iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Murid-murid diberi peluang
untuk untuk mempelajari asas permainan dalam tunjang kemahiran. Antara permainan yang
dijadikan sukan teras adalah permainan badminton. Setiap permainan ini telah dibahagikan
mengikut kemahiran-kemahiran asas bagi memastikan teknik lakuan yang betul dapat diajar
kepada murid supaya murid dapat menguasai permainan badminton ini. Servis bawah tangan
merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid. Teknik lakuan yang
salah akan menyebabkan bulu tangkis tidak dapat sampai ke sasaran ataupun tidak cukup
tinggi.

Proses pengajaran yang berkesan dapat dilaksanakan melalui kaedah pengajaran yang
sesuai dan menarik. Terdapat banyak kaedah yang dapat diguna pakai dalam proses
pengajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Mosston dan Ashworth (2002) mengatakan
spektrum pengajaran adalah rangka kerja model pendidikan berdasarkan guru dan murid.
Model ini memberi pilihan kepada guru untuk mempelbagaikan kaedah atau gaya
pengajarannya mengikut kesesuaian. Kaedah resiprokal ini menekankan kepada pengajaran
secara berpasangan. Penggunaan senarai semak kriteria serta gambar teknik lakuan
kemahiran pengajaran menjadi lebih mudah dan terancang.

1.2 Refleksi Sesi pengajaran dan Pembelajaran

Semasa melaksanakan praktikum fasa ketiga, pengkaji telah dihantar ke sekolah di kawasan
Sri Permaisuri. Sama seperti guru-guru lain, pengkaji ditugaskan untuk mengambil alih
beberapa kelas untuk tempoh selama tiga bulan. Dalam tempoh tersebut, pengkaji ditugaskan
untuk mengenalpasti masalah yang berlaku di dalam konteks pengajaran mata pelajaran
Pendidikan Jasmani. Tumpuan diberikan dalam skop isi pengajaran melibatkan murid tahun 5.

Setelah beberapa bulan di sekolah tersebut, beberapa masalah telah berjaya
dikenalpasti. Pengkaji mengenalpasti masalah-masalah ini setelah membuat rujukan terhadap
guru pembimbing dan melakukan satu ujian terhadap subjek. Berdasarkan pengajarannya
terhadap kelas-kelas tahun 5 sebelum ini, guru pembimbing menekankan kemahiran-kemahiran
dalam permainan badminton merupakan masalah lazim yang sering berlaku dalam kalangan
para muridnya. Oleh sebab itu, pengkaji menjalankan satu ujian ringkas bagi menguji tahap
penguasaan dalam permainan badminton. Hasil dari keputusan ujian tersebut mendapati
hanya beberapa orang yang mendapat skor yang tinggi dan sederhana. Subjek yang lain
kebanyakannya daripadanya tidak dapat melakukan servis bawah tangan dengan baik malah
terdapat juga subjek yang langsung tidak dapat memukul bulu tangkis ketika melakukan servis
bawah tangan tersebut.

Dalam Huraian Sukatan Pelajaran untuk Tahun 5, kemahiran servis merupakan salah
satu daripada kemahiran yang perlu diajar melalui sesi pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran servis digunakan untuk memulakan permainan. Penguasaan subjek dalam sesuatu
permainan dilihat khususnya dari segi penguasaan kemahiran asasnya. Melihat kepada jumlah
murid yang tidak dapat melakukan kemahiran asas ini, satu intervensi perlu dilaksanakan bagi
mengatasi masalah tersebut.

Pemerhatian yang lebih khusus dilaksanakan bagi mengenalpasti faktor yang
menyumbang kepada penguasaan kemahiran servis bawah tangan yang lemah dalam
kalangan murid tahun 5. Teknik lakuan yang salah merupakan antara penyebab utama murid
tidak dapat melakukan kemahiran itu dengan baik. Teknik lakuan kemahiran ini melipouti
pelbaghai aspek seperti postur badan, kelajuan hayunan, trajektori bulu tangkis dilepaskan dan
lain-lain lagi. Dalam situasi ini setiap murid mempunyai masalahnya sendiri seperti tidak
mengetahui kedudukan postur badan serta hayunan yang terlalu laju atau terlalu perlahan untuk
melakukan servis bawah tangan yang baik. Murid-murid kelas 5 Delima ini tidak dapat
mengikuti butiran mengajar yang diberikan.

Faktor lain yang menyebabkan murid-murid kelas 5 Delima tidak dapat melakukan
aktiviti dengan baik adalah kerana faktor kekuatan tangan. Kemahiran servis bawah tangan
ataupun high serve memerlukan murid untuk memukul bulu tangkis tinggi ke bahagian belakang
gelanggang. Kemahiran seperti ini memerlukan kekuatan tangan yang mencukupi bagi
memastikan hayunan tersebut cukup kuat untuk memukul bulu tangkis bagi mencapai
ketinggian dan jarak yang diperlukan.

Selain itu juga, faktor motivasi diri yang rendah juga dapat mendorong masalah ini
berlaku. Kekurangan motivasi diri akan menyebabkan murid berasa tidak yakin dan berasa
malu untuk melakukan akiviti kerana takut ditertawakan. Faktor ini jelas dilihat ketika murid
disuruh melakukan kemahiran servis bawah tangan. Murid-murid menolak-nolak rakan-rakan
mereka untuk melakukan kemahiran tersebut dahulu dan apabila disuruh mereka akan mencari
alasan.
Kesemua faktor yang disenaraikan ini merupakan penyumbang kepada berlakunya
masalah ini. Berdasarkan faktor-faktor yang disenaraikan, tinjauan awal haruslah dilaksanakan
bagi mengenalpasti punca utama masalah ini. tinjauan yang dilaksanakan nanti akan
menunjukkan faktor manakah yang lebih menyerlah.

1.3 Refleksi Nilai Pendidikan

Pendidikan merupakan satu aset bagi seseorang guru. Kemampuan sesorang guru ini dilihat
dari sejauh mana bekalan ilmu yang dibawa oleh seseorang guru ini untuk digunakan dan
disampaikan. Pelbagai strategi,pendekatan dan kaedah dapat digunakan dalam satu-satu
pengajaran. Tetapi guru perlu memilih langkah yang paling mudah dan berkesan untuk
pengajarannya. Dalam situasi ini, pengkaji akan memilih langkah yang paling sesuai bagi
menjalanakan intervensi berdasarkan faktor yang dikenalpasti semasa tinjauan awal.

Pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengenalpasti langkah pengajaran yang sesuai
dilaksanakan untuk masalah ini. Hasil dari perbincangan dengan rakan-rakan dan rujukan
melalui beberapa sumber pengajaran berdasarkan maklum balas adalah sesuai untuk
pengajaran melibatkan kemahiran-kemahiran dalam permainan lebih-lebih lagi permainan yang
banyak melibatkan teknik lakuan seperti badminton. Pengajaran melibatkan maklum balas ini
juga tidak mengkhususkan maklum balas itu perlu datang dari guru tetapi bersifat terbuka
dimana rakan-rakan juga boleh memberikan maklum balas kepada pelaku. Kaedah yang
menjurus kepada pengajaran melibatkan maklum balas ini adalah pembelajaran gaya resiprokal
yang diperkenalkan oleh Mosston melalui Spektrum Gaya Pembelajarannya.

Terdapat beberapa kajian yang melibatkan pembelajaran gaya resiprokal dan
kemahiran-kemahiran dalam permainan. Melalui kajian lepas yang dilaksanakan oleh Nur Ajlali
Asmaa Binti Ismail (2013), menunjukkan gaya pengajaran resiprokal dapat meningkatkan
ketepatan pukulan dalam kemahiran memukul dalam permainan hoki. Jessrey T. dan Steven T.
(1997) dalam artikelnya mengatakan pengajaran gaya resiprokal ini sesuai dilaksanakan untuk
pengajran melibatkan kemahiran motor. Begitu juga hasil daripada kajian oleh Tzetzis G. &
Votsis E. (2006) yang menunjukkan peningkatan dari segi penguasaan kemahiran-kemahiran
dalam sukan badminton setelah didedahkan dengan pengajaran berasaskan maklum balas.
Magill (2011) berpendapat kombinasi maklumbalas yang memberitahu teknik lakuan yang betul
dan maklum balas yang membetulkan kesalahan dapat memotivasikan seseorang individu itu
untuk terus berlatih bagi meningkatkan penguasaannya.

Spektrum Gaya Pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mosston pada tahun 1966.
Spektrum ini menumpukan kepada kerangka pilihan dalam hubungan guru dan pelajar.
Terdapat 10 kaedah dimana guru dan murid masing-masing memainkan peranan dan
bertanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran. Gaya atau kaedah pengajaran ini
boleh dibahagi kepada dua aspek iaitu berpusatkan guru dan pelajar.

Gaya atau kaedah resiprokal ini boleh menjadi satu kaedah yang afektif dalam
perubahan terhadap kaedah mengajar di dalam kelas. Gaya ini berada dibawah kategori
berpusatkan guru. Dalam gaya pengajaran ini adalah guru akan menentukan apa yang akan
dipelajari. Guru juga akan memberikan penerangan sebelum memulakan aktiviti dan membuat
pemerhatian ke atas murid-murid. Murid-murid pula akan melakukan aktiviti ini secara
berpasangan. Seorang murid akan melakukan aktiviti dan pasangannya bertindak sebagai
pemerhati. Pelajar yang menjadi pemerhati akan menilai pasangannya berdasarkan kriteria
perlakuan yang telah disediakan. Secara menyeluruhnya guru akan berperanan
bertanggungjawab sepenuhnya pada awal proses pengajaran dan pengajaran. Walaupun
kaedah ini dilaksanakan dalam bentuk berpasangan, pelaku akan menilai sendidri perlakuan
yang telah dipelajarinya. Melalui kaedah resiprokal ini juga guru akan bertindak dengan
menyediakan senarai semak dan lampiran gambar kepada pelajar. Fokus kaedah ini adalah
kepada perhubungan sosial di samping mempelajari kemahiran.

Secara umumnya kaedah pengajaran yang bertepatan dan sesuai perlu dipilih untuk
kajian ini supaya iainya boleh menyumbangkan sesuatu dalam bidang pendidikan. Selain itu
kajian pengkaji juga adalah untuk membantu murid menjadi cergas, aktif, dan berpengetahuan
melalui pemupukan kemahiran, nilai, dan amalan kecergasan dalam Pendidikan Jasmani
(Sukatan Pelajaran Rendah dan Menengah, 1999)

2.0 FOKUS KAJIAN
Kajian ini secara khususnya mengfokuskan untuk meningkatkan kemahiran servis bawah
tangan dalam permainan badminton dalam kalangan murid tahun 5 Delima. Fokus kajian ini
dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu isu kajian, tinjauan literatur dan istilah kajian.

2.1 Isu Kajian

Dalam sub tajuk ini akan dihuraikan secara terperinci mengenai tinjauan awal kajian, analisis
tinjauan awal dan kriteria pemilihan fokus kajian.

Permainan badminton merupakan antara permainan yang perlu dipelajari menurut
Huraian Sukatan Pelajaran bagi Tahun 5 (Sukatan Pelajaran Rendah dan Menengah, 1999). Ini
bermakna subjek perlu diberi pendedahan mengenai kemahiran-kemahiran dalam permainan
badminton ini.Pengkaji berpendapat bahawa penguasaan kemahiran asas dapat menambah
minat subjek untuk terus bersukan. Oleh sebab itu, penguasaan kemahiran ini sangat penting
bagi memastikan murid tidak ketinggalan ketika subjek lain menjalankan aktiviti.

2.1.1 Tinjauan Awal

Pengkaji menjalankan tinjauan awal selepas merujuk kepada guru pembimbing mengenai
masalah yang berlaku dalam skop Pendidikan Jasmani. Satu ujian telah dijalankan bagi
menguji tahap penguasaan subjek terhadap kemahiran servis bawah tangan oleh murid Tahun
5 Delima. Semua murid dikehendaki melakukan servis bawah tangan sebanyak 10 percubaan
ke arah sasaran yang telah ditetapkan. Skor 8 dari 10 di anggap tinggi, 5 dari 10 dianggap
sederhana dan 4 ke bawah dianggap lemah. Pengkaji mendapati hampir semua subjek
mendapat skor yang rendah walaupun mereka selalu pernah bermain badminton sebelum-
sebelum ini. Pengkaji telah menunjukkan demonstrasi kepada subjek-subjek tetapi mereka
masih tidak mampu melakukannya.

Melalui tinjauan awal, pengkaji telah mengenalpasti 3 faktor yang mempengaruhi tahap
penguasaan kemahiran servis bawah tangan yang rendah iaitu teknik lakuan, motivasi diri dan
kekuatan otot tangan. Oleh itu, 3 ujian diognostik telah dilaksanakan bagi menguji faktor utama
masalah ini berlaku. Ketiga-tiga ujian ini telah ditadbir sendiri oleh pengkaji dan dibantu oleh
guru pembimbing dan beberapa orang rakan.

Ujian yang pertama adalah Ujian Kriteria Servis Bawah Tangan. Ujian ini bertujuan
untuk menguji teknik lakuan yang dilakukan oleh murid. Pengkaji telah telah mengadaptasi dari
buku teks untuk menghasilkan senarai semak, salah seorang jurulatih badminton peringkat 2
dari England. Kriteria mengenai teknik lakuan servis bawah tangan dimasukkan dan dijadikan
sebagai senarai semak. subjek diberi 3 kali percubaan dan pengkaji sendiri akan menyemak
kriteria perlakuan subjek.

Untuk faktor kekuatan tangan, pengkaji menggunakan keputusan Ujian Tekan Tubi yang
dilaksanakan dalam ujian SEGAK. Keputusan itu merupakan keputusan terkini kerana ujian
SEGAK baru saja dijalankan untuk murid Tahun 5. Dalam ujian tekan tubi ini, subjek
dikehendaki membuat aktiviti tekan tubi sebanyak mungkin mengikut prosedur yang telah
ditetapkan dalam masa seminit. Subjek-subjek telah diberikan 2 kali percubaan.

Faktor motivasi diri ataupun keyakinan diuji melalui soal selidik. Pengkaji telah
menyiapkan borang soal selidik dan borang itu telah diedarkan kepada semua murid kelas 5
Delima. Soal selidik itu mengandungi item berkaitan pengalaman subjek dan perasaan subjek
terhadap kemahiran dalam sukan badminton.

Keputusan untuk ketiga-tiga ujian tersebut telah dicatat dan dianalisis. Berdasarkan
keputusan kesemua ujian tersebut, pengkaji mendapati bahawa masalah penguasaan
kemahiran servis bawah tangan yang lemah berpunca dari teknik lakuan yang tidak betul.

2.1.2 Analisis Tinjauan Awal

Pengkaji menekankan kepada keputusan dari Ujian Kriteria Servis Bawah Tangan kerana ianya
menunjukkan subjek-subjek tidak mengetahui teknik lakuan yang betul. Keputusan bagi kelas 5
Delima adalah seperti berikut:

Kemahiran Servis Bawah
Tangan
Bilangan Murid Peratusan
Dapat melakukan dengan
teknik yang betul

3

10%
Tidak dapat melakukan
dengan teknik yang betul

27

90%


Keputusan analisis menunjukkan hanya 3 orang subjek dari 30 dapat melakukan
dengan teknik yang betul dengan peratusan 10%. 27 orang subjek lagi tidak dapat melakukan
kemahiran tersebut dengan dengan peratusan 90%. Subjek yang dapat memukul masuk bulu
tangkis ke tempat lawan tetapi teknik perlakuannya salah dikira sebagai tidak dapat melakukan
dengan teknik yang betul.



Terdapat 4 item yang ditekankan dalam teknik lakuan servis bawah tangan ini iaitu fasa
persediaan, hayunan tangan, pukulan bulu tangkis dan ikut lajak. 3 orang subjek yang dapat
melakukan dengan teknik yang betul berjaya dalam pengujian keempat-empat item. Daripada
27 orang yang tidak dapat melakukan kemahiran tersebut, 20 daripadanya atau 74.1% tidak
berjaya pada 3 item yang sama iaitu item fasa persediaan, hayunan tangan dan pukulan bulu
tangkis. Cuma ada 7 orang subjek ataupun 25.9% yang hanya bermasalah pada satu item
sahaja iaitu pukulan bulu tangkis. Walaubagaimanapun, kesemua subjek dapat menunjukkan
teknik ikut lajak dengan betul.

Pengkaji telah memilih 27 orang murid yang gagal dalam Ujian Kriteria Servis Bawah
Tangan untuk menjalankan intervensi untuk mengatasi masalah tersebut. Intervensi untuk
subjek- subjek ini berlandaskan pengajaran kemahiran menggunakan kaedah pengajaran
resiprokal atau timbal balik.



0
5
10
15
20
25
30
35
Fasa Persediaan Hayunan Tangan Pukulan Bulu
Tangkis
Ikut Lajak
Berjaya
Tidak Berjaya
2.1.3 Kriteria Pemilihan Fokus Kajian

Terdapat beberapa kriteria yang menyebabkan pengkaji memilih isu tersebut sebagai fokus
kajian antaranya ialah aspek kebolehtadbiran, kepentingan, kebolehgunaan, kawalan,
kolaborasi dan kerelevanan kepada sekolah.

i. Kebolehtadbiran

Pengkaji yakin bahawa kajian yang dilakukan ini dapat ditadbir sepenuhnya kerana terdapat
beberapa faktor yang membolehkan kajian ini boleh ditadbir. Pertamanya adalah kerana
pengkaji merupakan guru matapelajaran Pendidkan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan bagi
semua subjek yang terlibat dengan intervensi ini. Walaupun hanya mengajar bagi 2 bulan,
pengkaji yakin bahawa subjek dari kelas berkenaan boleh mendengar arahan dengan baik serta
selesa untuk memberi kerjasama dengan pengkaji.

Faktor kedua adalah kerana kaedah resiprokal atau timbal balik ini sudah biasa
digunakan oleh pengkaji semasa pengajaran di dalam kelas. Pengkaji juga turut mendapat
pendedahan di dalam kuliah di kampus. Kaedah ini sangat sesuai dilaksanakan untuk
pengajaran melibatkan teknik kemahiran. Pengkaji juga yakin dengan penggunaan kad kriteria
dan gambar, murid-murid lebih mudah untuk memahami dan mengenalpasti kesalahan yang
dilakukan.

Faktor yang ketiga adalah kerana pengkaji akan menjalankan intervensi dalam hari
subjek terlibat dengan kelas Pendidikan Jasmani. Tempoh bagi melaksanakan intervensi
hanyalah 4 minggu. Pengkaji menetapkan untuk mengadakan intervensi pada setiap minggu
iaitu pada Khamis. Pengkaji akan meminta kebenaran dari pihak sekolah untuk mengadakan
intervensi pada waktu rehat.

ii. Kepentingan

Penguasaan kemahiran servis ini adalah penting kerana kemahiran ini merupakan asas bagi
permainan badminton. Permainan badminton ini merupakan salah satu permainan yang wajib
dipelajari oleh murid-murid Tahun 5 berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan
Jasmani Tahun 5 dan kemahiran servis merupakan antara kemahiran asas yang perlu dipelajari
oleh murid Tahun 5 (Sukatan Pelajaran Rendah dan Menengah, 1999).

Penguasaan subjek terhadap servis bawah tangan ini dapat meningkatkan lagi minat
subjek terhadap suka badminton ini. Kebanyakan murid tidak bermain badminton kerana tidak
tahu cara bermain. Dengan menguasai kemahiran asas ini, subjek akan lebih berminat untuk
mempelajari permainan badminton. Selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
menggalakkan murid berkembang secara seimbang dari segi semua aspek termasuk aspek
fizikal atau jasmani.

iii. Kebolehgunaan

Kaedah pengajaran yang digunakan dalam intervensi kajian ini adalah kaedah resiprokal.
Tumpuan kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan salah satu kemahiran subjek
dalam sukan badminton. Kaedah resiprokal ini menumpukan kepada pengajaran melalui
maklum balas yang dibekalkan oleh pasangan pelaku yang bertindak sebagai pemerhati.
Pemerhati akan dibekalkan dengan senarai senarai semak kriteria dan gambar teknik lakuan
yang betul. Hasil keputusan kajian ini akan membantu guru-guru untuk memilih kaedah
pengajaran yang lebih sesuai untuk mengajar teknik kemahiran dalam satu-satu permainan.




iv. Kawalan

Pengkaji merupakan guru bagi matapelajaran Pendidikan Jasmani bagi kelas 5 Delima. Subjek-
subjek dari kelas 5 Delima sudah biasa dengan pengajaran dari pengkaji. Ini memudahkan
pengurusuan kajian kerana murid-murid 5 Delima ini mampu mendengar arahan pengkaji
dengan baik. Persekitaran yang terbuka dan selamat membolehkan pengkaji menjalankan
kajian dengan lancar dan selamat.

Selain itu juga, intervensi yang dilaksanakan dijalankan dalam masa yang pendek bagi
memastikan subjek tidak mempunyai lebihan masa boleh menyebabkan mereka melakukan
aktiviti diluar daripada kajian. Pengkaji juga akan lebih mudah untuk mengawal pergerakan
subjek jika mereka mampu mendengar arahan dengan baik.

v. Kolaborasi

Untuk menjalankan kajian ini dengan lancar, kerjasama dari pihak sekolah. Kolaborasi dengan
pihak sekolah yang dimaksudkan disini adalah melibatkan pihak pentadbir, guru kelas dan -
subjek kajian. Kolaborasi bersama pihak sekolah adalah sangat penting semasa menjalankan
kajian supaya kajian dapat diadakan dan dijalankan dengan lancar. Memandangkan kajian ini
dijalankan pada waktu persekolahan, maka kebenaran untuk menjalankan kajian dimaklumkan
pada pihak pentadbir. Pengkaji juga merujuk kepada pensyarah tetapi hanya untuk beberapa
kali sebelum praktikum bermula.





vi. Kerelevanan

Kerelevenan dapat dilihat dari sudut meningkatkan penguasaan kemahiran servis bawah
tangan subjek dalam permainan badminton. Masalah ini dikaji disebabkan pengkaji ingin
meningkatkan tahap penguasaan subjek kajian melalui pendekatan yang digunakan kerana
tidak semua subjek kajian mempunyai bakat pengalaman pemainan yang sama. Guru-guru
Pendidikan Jasmani yang meningkatkan penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran
menggunakan kaedah resiprokal atau timbal-balik ini sebagai salah satu kaedah pengajaran.

Pengkaji juga sudah memeriksa peralatan yang terdapat dalam stor sukan sekolah dan
mendapati peralatan yang hendak digunakan mencukupi dan selamat. Keadaan persekitaran
sekolah yang sesuai dan lengkap dengan kemudahan seperti gelanggang badminton
membolehkan kajian yang dilaksanakan relevan dan boleh diterima.

2.2 Tinjauan Literatur Berkaitan dengan Isu Kajian

Sub-tajuk ini menerangkan perkara berkaitan dengan penggunaan teori, model, strategi dan
kaedah yang digunakan dalam kajian ini.

2.2.1 Kajian berkaitan Teori, Model, Pendekatan dan Strategi berkaitan

Pemilihan teori, model atau pendekatan dan strategi ke atas sesuatu pengajaran selalunya
akan dinilai terlebih dahulu dari tahap keberkesanannya melalui pemerhatian dan juga dari
kajian-kajian yang dilaksanakan. Pengkaji terlebih dahulu merujuk kepada kajian-kajian tertentu
yang melibatkan teori dan model yang hendak digunapakai. Dalam konteks ini, pengkaji
merujuk kepada kajian yang melibatkan kaedah pengajaran resiprokal.

Kajian yang menjurus kepada kaedah pengajaran resiprokal ini dilaksanakan oleh
Jeffrey T. & Steven T. (1997) dari National Institute of Education di Singapura. Kajiannya
menekankan latihan dan kaedah resiprokal dalam pengajaran Pendidikan Jasmani di sekolah
rendah. Kajian ini membandingkan kedua-dua kaedah ini dalam pengajaran Pendidikan
Jasmani. Dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa kaedah latihan berkesan untuk melatih
kemahiran motor tetapi kaedah resiprokal ini mampu membina kemahiran sosial ketika sesi
pengajaran. Subjek yang terlibat dengan pengajaran resiprokal akan membina karekter sebagai
jurulatih dan perkara ini menyumbang kepada subjek menimba lebih pengalaman berbanding
dengan subjek yang terlibat dengan kaedah latihan.

Kajian yang dilaksanakan oleh Tzetzis G. dan Votsis E (2006). menekankan kesan
maklum balas terhadap penguasaan latihan. Melalui kajian ini, pengkaji mendapati maklum
balas yang lengkap iaitu merangkumi teknik lakuan yang betul serta kesalahan yang dilakukan,
mampu meningkatkan penguasaan murid ke tahap yang optimum. Kepentingan maklum balas
ini dibuktikan melalui hasil dapatan kajian tersebut.

Sharifah Fakhira (2013) menjalankan kajian untuk meningkatkan kemahiran
servis rendah badminton dengan menggunakan maklum balas penambahbaikan dalam
kalangan murid Tahun 5. Dalam kajiannya, pengkaji telah membahagikan subjek kepada dua
kumpulan. Satu kumpulan akan menjalankan latihan dengan maklum balas penambahbaikan
manakala satu lagu kumpulan akan menjalankan latihan tanpa maklum balas penambahbaikan.
Hasil kajian menunjukkan kumpulan dengan latihan yang disertakan maklum balas
penambahbaikan mempunyai peratusan peningkatan yang lebih tinggi berbanding dengan
kumpulan tanpa maklum balas penambahbaikan.
Kajian oleh Vassiliki D. dan Maria P. (2007) mengkaji mengenai kemahiran motor dan
perbezaan mengenai dua kaedah pengajaran. Satu kaedah iaitu kaedah arahan dan satu lagi
kaedah penemuan terbimbing. Kaedah arahan ini lebih berpusatkan kepada guru manakala
kaedah penemuan terbimbing ini lebih berpusatkan murid. Dalam kajiannya ini, 59 subjek terdiri
dari kanak-kanak berumur 6 dan 7 tahun ditugaskan melaksanakan The Test of Gross Motor
Development. Dalam kajiannya, murid yang terlibat dengan kaedah berpusatkan murid lebih
berpengetahuan dan pengajaran penemuan terbimbing ini lebih berkesan berbanding dengan
pengajaran kaedah arahan.

2.2.2 Kajian berkaitan permainan

Sub-tajuk ini menerangkan mengenai kajian-kajian yang mempunyai perkaitan di dalam
permainan badminton ataupun menjurus kepada penguasaan sesuatu kemahiran dalam
permainan.

Kajian yang paling berkait rapat dengan kajian ini merupakan kajian yang telah
dilaksanakan oleh Tzetzis G., & Votsis E., (2006) dari Aristotelian University of Thessaloniki.
Kajian mereka adalah untuk mengkaji kesan memberi tiga jenis rangsangan maklum balas
kepada tiga kumpulan yang berasingan. Sebanyak 48 subjek yang terdiri dari atlet remaja lelaki
dibahagikan kepada tiga kumpulan yang sama banyak. Ketiga-tiga jenis rangsangan maklum
balas yang diberikan adalah maklum balas perlakuan yang betul, maklum balas kesalahan
perlakuan dan maklum balas perlakuan yang betul dan kesalahan perlakuan. Dua kemahiran
telah yang diuji adalah kemahiran servis belakang tangan dan servis bawah tangan. Dalam
perbincangan kajian mereka, maklum balas yang menyeluruh mengenai teknik perlakuan dan
kesalahan pelaku merupakan maklum balas yang paling sesuai untuk diberikan kepada atlet-
atlet remaja.

Selain itu terdapat kajian yang melibatkan kesan latihan yang berbeza dari segi
intensistinya terhadap penguasaan kemahiran ketiga-tiga servis yang dilaksanakan oleh Sinah
G. dan Richard A. M (1986). Kajian ini akan membantu jurulatih untuk menilai semula jadual
latihan supaya atlet dapat meningkatkan tahap penguasaannya ke tahap optimum. Selepas
menjalankan latihan yang berbeza-beza, semua subjek akan diuji dengan menggunakan
French Short Serve Test dan Scott and Fox Long Serve Test. Hasil dapat akan menunjukkan
kesan latihan manakah yang memberi kesan yang optimum terhadap tahap penguasaan
kemahiran ketiga-tiga servis.

Kajian-kajian lain yang melibatkan permainan badminton ini merupakan membentuk
corak fisiologi servis pendek: perspektif psikofisiologi terhadapa kewaspaan dan kebangkitan
oleh Farnaz F. dan Mohammad V. M (2011). Dalam kajian ini, pengkaji telah memantau kadar
degupan jantung serta tahap konduktiviti kulit ketika melaksanakan servis pendek sebanyak 30
kali. Subjek yanh dipilih merupakan 20 atlet berpengalaman dan 20 atlet baru dalam sukan
badminton.

2.3 Istilah Kajian

Servis
Servis bermaksud hantaran (pukulan atau tamparan) pertama bola dalam permainan
badminton, tenis, skuasy, dan sebagainya (Kamus Dewan 2010). Dalam kajian ini servis
membawa maksud lakuan memukul bulu tangkis kepada pihak lawan bagi memulakan
permainan.

Resiprokal
Resiprokal ini membawa maksud timbale balik (Kamus Dewan 2010). Dalam konteks kajian ini,
resiprokal bermaksud proses memberi dan menerima maklum balas dalam pengajaran
melibatkan dua orang subjek.

Maklum balas
Maklum balas adalah maklumat yang diterima kembali sebagai menjawab pertanyaan (soal
selidik dan sebagainya atau sebagai reaksi dan sebagainya sesuatu tindakan (kegiatan,
keputusan, dan sebagainya). Dalam konteks kajian ini, maklum balas membawa maksud
maklumat yang diberi oleh pemerhati setelah pelaku melakukan sesuatu perlakuan samada
maklum balas itu bertujuan membetulkan kesalahan atau meningkatkan motivasi.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN

Sub-tajuk ini pula menjelaskan objektif umum, objektif khusus dan persoalan kajian yang
ditetapkan oleh pengkaji merujuk pada masalah yang dikenalpasti.

3.1 Objektif Umum

Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan kemahiran servis bawah tangan dalam
permainan badminton menggunakan pengajaran kaedah resiprokal.

3.2 Objektif Khusus

Murid-murid Tahun 5 Delima akan dapat :
Melakukan servis bawah tangan permainan badminton dengan betul sebanyak 8 kali
dari 10 kali percubaan.
Melakukan servis bawah tangan permainan badminton dengan teknik lakuan yang betul
dan tepat mengikut kriteria yang telah ditetapkan.
Meningkatkan penguasaan kemahiran servis bawah tangan permainan badminton
menggunakan kaedah pengajaran resiprokal.






3.3 Persoalan Kajian

Antara persoalan-persoalan kajian yang timbul dalam kajian ini adalah :
Adakah murid Tahun 5 Delima dapat melakukan servis bawah tangan permainan
badminton dengan betul sebanyak 8 kali dari 10 kali percubaan?
Bagaimanakah murid Tahun 5 Delima hendak melakukan servis bawah tangan
permainan badminton dengan teknik lakuan yang betul dan tepat mengikut kriteria yang
telah ditetapkan?
Dapatkah murid Tahun 5 Delima meningkatkan penguasaan kemahiran servis bawah
tangan permainan badminton menggunakan kaedah pengajaran resiprokal?














4.0 KUMPULAN SASARAN

Kajian ini melibatkan 27 orang subjek daripada 30 orang keseluruhannya, daripada Tahun 5
yang mana terdiri daripada 11 orang subjek kajian lelaki dan 16 subjek kajian perempuan.
Kesemua 27 orang subjek kajian ini dipilih melalui ujian diagnostik yang telah dijalankan oleh
pengkaji sedang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Ujian diagnostik ini
mengandungi 4 item utama merujuk kepada tiga fasa yang terdapat dalam kemahiran servis
bawah tangan. Fasa persediaan, fasa perlaksanaan dan fasa ikut lajak. Fasa perlaksanaan
dipecahkan kepada 2 iaitu hayunan tangan dan pukulan bulu tangkis.

Kesemua subjek yang dipilih merupakan murid gagal melaksanakan kemahiran servis
bawah tangan mengikut kesemua kriteria yang terdapat dalam senarai semak. Ini menunjukkan
subjek ini tidak mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk melaksanakan servis bawah
tangan ini.












5.0 TINDAKAN YANG DICADANGKAN

Menurut Model Penyelidikan Tindakan Kurt Lewin (1946) melalui Buku Garis Panduan Kursus
Penyelidikan Tindakan Untuk Maktab Perguruan Malaysia (2001), mempunyai proses kitaran
yang terdiri dari lima langkah iaitu mengenal pasti aspek amalan, perancangan, tindakan,
pengumpulan data dan refleksi. Tetapi langkah mengenal pasti aspek amalan hanya
dilaksanakan sekali dan tidak termasuk dalam kitaran.

5.1 Kitaran 1
5.1.1 Perancangan

Setelah menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti masalah iaitu subjek tidak dapat
melakukan servis bawah tangan permainan badminton dengan betul, satu kitaran intervensi
telah dirancang. Intervensi tersebut akan dilaksanakan sebanyak empat sesi iaitu pada hari
Khamis untuk tempoh empat minggu. Sesi intervensi akandilaksanakan pada waktu rehat
supaya tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran. Intervensi yang dilaksanakan
melibatkan pengajaran menggunakan kaedah resiprokal

Pengkaji mestilah terlebih dahulu memohon kebenaran dari pihak sekolah dan juga
kebenaran daripada ibu bapa kepada subjek yang terlibat. Jadual perlaksanaan sesi intervensi
perlu disediakan bagi memudahkan perjalanan sesi intervensi tersebut. Persiapan intervensi
seperti kad kriteria, gambar teknik lakuan dan borang senarai semak kriteria untuk ujian pra dan
pasca telah disediakan. Peralatan-peralatan lain yang digunakan dalam intervensi seperti raket,
bulu tangkis dan jaring badminton akan diperiksa bagi memeriksa tahap keselamatannya.



5.1.2 Tindakan

Ujian Kriteria dengan menggunakan senarai semak yang telah digunakan untuk mengenalpasti
punca masalah. Pengkaji seterusnya memilih untuk menjalankan ujian French Long Serve
Test sebagai ujian pra. Ianya bertujuan untuk mengetahui tahap penguasaan kemahiran servis
bawah tangan dalam badminton dalam kalangan subjek dari 5 Delima. Subjek seterusnya akan
menjalankan intervensi seperti yang dirancang. Selepas itu, subjek akan menjalankan ujian
pasca pula dan keputusan kedua-dua ujian tersebut akan disimpan datanya. Pengkaji akan
menganalisis data yang diperolehi daripada ujian kedua iaitu ujian pasca untuk menentukan
samada intervensi yang dijalankan mendatangkan kesan atau tidak.

Instrumen yang digunakan dalam ujian pra dan pasca adalah Scott and Fox Long Serve
Test. Kemahiran servis jauh atau servis bawah tangan dapat dinilai dengan ujian yang telah
dicipta oleh Scott & French (1959) melalui Sinah G. & Richard A. M (1986). Di dalam ujian ini,
pelaku akan berdiri di dalam right service court. Pengkaji dikehendaki menanda 5 garisan
melengkung berpusatkan titik pertemuan singles sideline dan long service line. Setiap garisan
melengkung tersebut mempunyai lebar 5cm dan masing-masing diletakkan pada jarak
55cm,75cm, 95cm, dam 115cm dari titik pertemuan tersebut. Satu tali direntangkan selari
dengan jaring pada ketinggian 2.6m dan pada jarak 4.3m dari jaring. Bulu tangkis yang
melepasi rentangan tali tersebut akan menggandakan mata yang diperolehinya. Subjek akan
diberi peluang yang mencukupi untuk melakukan servis kerana setiap subjek akan diberi
sebanyak 10 kali percubaan. Servis yang menyebabkan bulu tangkis yang mendarat di luar
kawasan yang ditanda tidak akan mendapat sebarang mata.




Untuk menjalankan ujian pra, satu borang skor untuk Scott and Fox Long Serve Test
telah disediakan. Markah untuk setiap subjek akan dicatatkan dan akan dibandingkan dengan
keputusan ujian pasca. Borang pemarkahan adalah seperti berikut:



NAMA
ULANGAN / SKOR
JUMLAH
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
11.

Borang skor markah Scott and Fox Long Serve Test



Dalam memastikan kajian yang dilaksanakan berjalan dengan lancar, pengkaji telah
menyediakan jadual perancangan dan perlaksanaan kajian.

Perancangan Perlaksanaan
1. Ujian Pra Scott and Fox Long Serve Test
2. Pengumpulan Data Borang Skor Scott and Fox Long Serve Test
3. Intervensi Pengajaran kemahiran servis bawah tangan
menggunakan kaedah resiprokal
4. Ujian Pasca Scott and Fox Long Serve Test
5. Pengumpulan data Borang Skor Scott and Fox Long Serve Test


5.1.3 Pemerhatian

Tempoh Intervensi yang dirancang adalah 4 minggu. Dalam tempoh masa yang ditetapkan itu,
sebanyak 8 sesi yang telah diaturkan iaitu dua sesi untuk setiap minggu. Bagi melancarkan
proses kajian yang dijalankan, pengkaji telah membahagikan beberapa kriteria yang ingin
ditekankan dalam intervensi mengikut sesi-sesi pada setiap minggu.

Terdapat empat kriteria yang ditekankan dalam intervensi ini kriteria ini telah dirujuk
didalam buku teks Pendidikan Jasmani Tahun 5. Kriteria yang telah dipilih adalah fasa
persediaan, hayunan tangan pada fasa perlaksanaan, pukulan buku tangkis pada fasa
perlaksanaan dan juga fasa ikut lajak. Dua sesi telah diperuntukkan bagi setiap kriteria pada
setiap minggu. Untuk minggu pertama, aktiviti yang dijalankan menjurus kepada fasa
persediaan. Untuk sesi pertama subjek akan didedahkan dengan postur badan dan kedudukan
kaki. Untuk sesi kedua pula subjek akan didedahkan dengan kedudukan kedua-dua tangan dan
pegangan raket. Aktiviti yang dilaksanakan lebih kepada perbincangan dan demonstrasi subjek
bersama pasangan.

Minggu kedua pula memperlihatkan intervensi melibatkan hayunan tangan. Untuk sesi
pertama, pengkaji memilih aktiviti yang melibatkan pergerakan kedua-dua tangan. Sesi kedua
pula menekanakan kepada hayunan tangan yang memegang raket dari belakang ke depan.
Aktiviti yang dipilih melibatkan demonstrasi dan pemerhatian oleh setiap pasangan. Setiap
subjek akan melakukan perlakuan dan pasanganya akan memerhatikannya.

Minggu ketiga pula melibatkan pukulan bulu tangkis. Sesi pertama untuk minggu ketiga
ini akan menekankan kepada titik kontak bulu tangkis dan raket sementara sesi kedua
menekankan posisi aksi pukulan itu dilaksanakan. Pengkaji memilih aktiviti pukul belon dan
demonstrasi memukul. Sama seperti intervensi pada minggu pertama dan kedua, intervensi
untuk minggu ketiga ini juga dilaksanakan bersama pasangan.

Minggu keempat atau minggu terakhir menekankan kepada fasa ikut lajak.Untuk sesi
pertama, subjek dikehendaki melakukan demonstrasi hayunan tangan dan diikuti oleh fasa ikut
lajak. Untuk sesi kedua, subjek akan melakukan lakuan penuh kemahiran servis bawah tangan
menggunakan bulu tangkis dan raket. Aktiviti yang dilaksanakan adalah secara berpasangan
seperti sebelum-sebelum ini.

Selepas kesemua intervensi dijalankan, pengkaji akan menjalankan ujian pasca bagi
melihat kesan intervensi tersebut. Jika hasil yang diperolehi tidak menunjukkan kesan atau
perbezaan. Kitaran kedua akan dilaksanakan.

5.1.4 Refleksi

Dalam melakukan intervensi ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan supaya
tidak berlakunya masalah semasa proses intervensi ini berlangsung. Pengkaji perlu menilai
semula semua perkara yang melibatkan intervensi tersebut.

Pengkaji berpendapat bahawa pihak sekolah banyak membantu proses intervensi
tersebut walaupun bantuan tersebut bukanlah secara langsung. Pihak sekolah telah
menyediakan pelbagai peralatan yang dapat digunakan semasa intervensi sepert raket, bulu
tangkis, belon dan tali. Kemudahan seperti gelangang badminton juga disediakan disamping
kawasan zon permainan yang lapang dan luas. Pihak sekolah juga membenarkan pengkaji
menggunakan dewan terbuka jika hari hujan. Penggunaan dewan terbuka juga boleh
dilaksanakan untuk cuaca yang terlalu panas. Pihak sekolah juga memberi kebenaran untuk
menggunakan waktu rehat murid untuk menjalankan sesi intervensi. Intervensi yang dirancang
perlu dilakukan dalam waktu rehat kerana intervensi tidak boleh dibenarkan dijalankan dalam
waktu pengajaran dan pembelajaran. Pada waktu petang pula, sekolah petang menggunakan
kawasan permainan. Dengan kebenaran oleh pihak sekolah ini, masalah kekurangan waktu
dapat diatasi.

Walaupun begitu, masalah yang timbul di sini adalah peralatan yang disediakan tidak
berkualiti dan tahap ketahanannya adalah rendah. Peralatan yang dimaksudkan adalah raket
dan bulu tangkis. Penggunaan yang kerap akan menyebabkan bulu tangkis dan raket menjadi
rosak. Sesi intervensi yang dirancang melibatkan tempoh masa empat minggu. Peralatan yang
digunakan perlulah mampu bertahan sehingga tempoh intervensi itu tamat.

Penambahbaikan untuk masalah tersebut adalah dengan menjaga peralatan yang
mudah rosak itu dengan baik. Penggunaan raket dan bulu tangkis itu perlu dikurangkan. Raket
dan bulu tanglkis hanya digunakan apabila subjek dikehendaki melakukan pukalan terhadap
bulu tangkis. Semasa aktiviti demonstrasi, pengkaji boleh menggunakan peralatan lain dahulu.
Selain itu, pengkaji boleh mengatasi masalah itu dengan menyediakan sendiri peralatan yang
diperlukan. Sebagai contoh, pengkaji boleh membeli raket dan bulu tangkis ataupun
meminjamnya dari pihak institut perguruan. Masalah kekurangan alatan seperti ini perlulah
dibendung supaya sesi intervensi dapat dilaksanakan dengan lancar.



5.2 Cara Pengumpulan Data

Sub-tajuk ini menerangkan bagaimana pengkaji mengumpulkan data bagi melihat tahap
keberkesanan sesi intervensi yang telahpun dirangka. Pengumpulan data yang berkesan
memudahkan lagi pengkaji merumuskan samada intervensi telah berjaya atau tidak berjaya.
Pengumpulan data yang tidak berkesan akan menyebabkan keputusan yang diperolehi dari
analisis tidak kukuh dan tidak boleh digunapakai.

5.2.1 Ujian

Ujian yang dilaksanakan dalam kajian ini adalah ujian Scott and Fox Long Serve Test. Ujian ini
telah dirujuk daripada kajian oleh Sinah G. dan Richard A. M. (1986) dari Louisiana State
University. Ujian ini akan menghasilkan data berbentuk skor mentah. Ujian ini digunakan
semasa ujian pra dan ujian pasca dan hasil dari kedua-dua ujian tersebutkan dibandingkan.
Perbandingan yang diperolehi akan merumuskan keberkesanan tahap intervensi sekaligus
membuktikan kajian yang dilakukan berjaya atau tidak.

5.2.2 Pemerhatian

Pengkaji akan melakukan pemerhatian ke atas sesi intervensi yang dilaksanakan. Pengkaji
perlu peka terhadap perkembangan subjek dan sesi intervensi tersebut. Hasil pemerhatian ini
akan dijadikan panduan untuk merancang sesi intervensi seterusnya samada sesuatuperkara
itu perlu diubah ataupun tidak.




5.3 Cara Menganalisis Data
Sub tajuk ini menerangkan tentang perancangan pengkaji untuk menganalisis data yang
diperolehi. Hasil analisis ini akan membolehkan pengkaji merumuskan keberkesanan intervensi
yang dilaksanakan.

5.3.1 Ujian

Terdapat dua ujian yang dilaksanakan iaitu ujian pra dan juga ujian pasca. Ujian pra merupakan
penetu tahap sebenar subjek sebelum mendapat pendedahan. Ujian pasca pula merupakan
penanda yang menunjukkan tahap perkembangan penguasaan kemahiran servis bawah tangan
permainan badminton. Kemudianya kedua-dua data ujian ini akan direkod dan dianalisis secara
statistik deskriptif dalam bentuk jadual perbandingan dengan mencari min dan sisihan piawai.
Borang skor telah digunakan untuk merekodkan skor setiap subjek.

5.4 Perancangan Perlaksanaan Tindakan

5.4.1 Jadual Perlaksanaan

Bil Minggu Aktiviti
1 Pertama
(Fasa Persediaan)
Taklimat ringkas berkenaan ujian pra
Ujian pra - Scott and Fox Long Serve Test
Data dikumpulkan menggunakan borang skor.
Sesi Pertama
Demostrasi postur badan dan kedudukan kaki.
Sesi Kedua
Demonstrasi pegangan raket dan kedudukan kedua-dua
belah tangan.
2 Kedua
(Hayunan Tangan)
Sesi Pertama
Demonstrasi pergerakan kedua-dua tangan
Sesi Kedua
Demonstrasi hayunan tangan
3 Ketiga
(Pukulan Bulu
Tangkis)
Sesi Pertama
Pukul Belon
Sesi Kedua
Demonstrasi memukul
4 Keempat
(Ikut Lajak)
Sesi Pertama
Hayun tangan dan ikut lajak
Sesi Kedua
Demonstrasi lakuan penuh dan ikut lajak

Ujian pasca - Scott and Fox Long Serve Test
Data dikumpulkan menggunakan borang skor.



5.4.2 Kos Kajian

Kajian ini tidak memerlukan perancangan dari segi kos perbelanjaan alatan dan tempahan
gelanggang kerana kerana dan kemudahan sudah disediakan dan boleh dipinjam dari pihak
institut perguruan.





6.0 RUJUKAN
1. Fahimi, F. & Mousavi M. V. (2011), Physiological patterning of shortbadminton serve: a
psychophysiological perspective to vigilance and arousal. World Applied Sciences. 12
(3): 347-353
2. Goode, S. & Magill, R.A. (1986), Contextual interference effects in learning three
badminton serves. Research Quarterly for Exercise and Sport. 57, 308-314
3. Jeffrey, T. & Steven, T. (1997), Practice and reciprocal styles of teaching in primary
school physical education. REACT. (1), 46-50
4. Magill, R.A. (2011). Motor learning and Control: Concepts and applications (9th ed.).
New York: McGraw-Hill
5. Mosston, M., Ashgworth, S. (2002). Teaching Physical Education. (5
th
ed.). San
Francisco: Benjamin Cummings.
6. Noresah, B. (2010). Kamus Dewan Bahasa edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa & Pustaka.
7. Tzetzis, G. & Votsis, E. (2006), The effect of different feedback methods on badminton
skills acquisition and retention. Perceptual and Motor Skills. (102: 275-284, 2006)
8. Tzetzis, G. & Votsis, E. (2008), The effect of different corrective feedback methods on on
the outcome and self confidence of young athletes. Journal of Sports Science and
Medicine.7, 371-378
9. Vassiliki, D. & Maria, P. (2007),Motor skills and concept acquisition and retention: a
comparison between two styles of teaching. Intenational Jornal of Sport Science. (3), 37-
47