Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu
bapa perlu menjadi role-model kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan
yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi
dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling
menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang
tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka
kerana bapa borek, anak rintik. Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-
anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan
menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam
kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama
lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di
rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-
kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika
apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak
berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.
Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-
main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Daripada realiti ini, dapatlah kita katakan
bahawa ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu
bapa yang berperangai buruk dan menunjukkan sikap negatif seperti merogol, mendera dan
sebagainya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang
masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya.Sejak kecil lagi, ibu bapa perlu menampilkan sikap penyayang kepada anak-anak.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-
kelamaan anak-anak akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat yang penyayang akan
dapat dilahirkan. Tegasnya, peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan masyarakat yang
penyayang.
MEMBERIKAN KASIH SAYANG
Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk
dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan
kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir
90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit
sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan
golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa
mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang
daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia,
ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa
yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Pada masa ini, kerajaan telah
mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula turut memberikan
pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan
bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah
penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan
memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk
mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama
dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada
anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat
menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat
ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng
keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat
menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang,
sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong
ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak
mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus
dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan
anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap
penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah
akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa
amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa
berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam
peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian
oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat
diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan
waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir
dengan diri anak-anak.
Seperti yang telah dinyatakan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kepada
anak-anak supaya dapat melahirkan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa
sewajarnya memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak bagi mengelakkan
mereka terlibat dalam gejala yang negatif. Ibu bapa boleh meluangkan masa untuk menemani
anak-anak mereka pada masa lapang dan merancang aktiviti yang berfaedah bersama-sama anak-
anak mereka. Perkara ini amat berkesan berbanding ibu bapa yang hanya tahu bekerja sahaja dan
memenuhi segala permintaan anak mereka tanpa meluangkan masa untuk anak-anak mereka.
Biar kita ambil contoh, ibu bapa boleh cuba berkomunikasi dengan anak-anak mereka dan
memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka serta memberikan sokongan kepada
mereka supaya mereka dapat menyelesaikan masalah. Dengan berbuat sedemikian, jalinan
ukhuwah antara ahli-ahli keluarga akan menjadi lebih baik dan anak-anak akan dapat merasai
kasih sayang yang secukupnya daripada keluarga mereka serta tidak terlibat dengan gejala
negatif semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa. Hal ini bersesuaian dengan
peribahasa yang berbunyi bagai menatang minyak yang penuh. Oleh itu , ibu bapa mesti
memberikan perhatian terhadap anak-anak dan memberikan kasih sayang yang sepenuhnya
kepada anak-anak mereka untuk melahirkan masyarakat yang penyayang .
DIDIKAN AGAMA DAN MORAL
Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat
menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan
agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan
generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat
memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan
agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri.
Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai
disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi
didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-
anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama
sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat
diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang
mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan
agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil
lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain
putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral
yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-
anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi
anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak
dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini
dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan
anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-
anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal.
Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat
pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa
perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan
berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni
selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang
mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, segala-galanya bermula di rumah. Begitulah ungkapan
kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai
agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada
hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah
ini.Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada
menyebut, kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang. Setiap perbuatan yang dilakukan
oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab
ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas
anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat
hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan
peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota
metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus
anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu
bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat
dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik
dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa
harusmemberikan didikan agama atau didikan moral yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu
bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan sahsiah remaja
kerana didikan agama dan moral dapat menjamin kekuatan iman remaja agar mereka dapat
membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Seterusnya, mendorong
remaja mengawal tingkah laku mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara yang bukan
sahaja menjatuhkan maruah diri malah mencalar maruah keluarga. Tanggapan sesetengah ibu
bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan
makan minum anak-anak serta tempat tinggal memang tidak benar sama sekali. Mereka juga
harus memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama atau didikan moral yang
sempurna supaya mereka mempunyai pemikiran yang positif. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah
meluangkan masa untuk memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak mereka masih kecil
lagi. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak
mereka mempunyai benteng jati diri yang kukuhsekukuh Tembok Besar China untuk menolak
ajakan rakan-rakan yang tidak bermoral untuk melibatkan diri dalam kebejatan sosial yang
mampu mencemarkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah institusi keluarga.
Kurangnya penglibatan remaja dalam kancah sosial merupakan agenda yang boleh
mempengaruhi sekali gus melahirkan masyarakat penyayang dengan secepat mungkin dan
masyarakat Malaysia dapat dijadikan suri teladan yang baik kepada masyarakat dunia.