Anda di halaman 1dari 8

Biodata

Nama sebenar: Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin
Qarth bin Razaah bin 'Adi bin Kaab
Nama Ibu: Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran: Al-Faruq (Pemisah antara yang haq & batil)
Keturunan: Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir: 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan: Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan: 634M
Tempoh Jawatan: 10 tahun
Tarikh Meninggal dunia: 23H @ 644M
Umur: 63 tahun
Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk
mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah
SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang
dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.

Pengislaman Umar
KISAH Saidina Umar yang berdepan dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira
sebagai satu penghinaan kepadanya amat diketahui umum.
Namun sebelum itu, dikisahkan bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau
Makhzum, bernama Nu'aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah
memeluk Islam itu.
Dalam sesetengah riwayat yang lain, dikatakan Nu'aym sebenarnya terdiri dari kalangan kafir
Quraisy, bukan yang telah memeluk Islam seperti yang disebutkan sebelum ini.
Maka Nu'aym bertujuan menyindir Umar mengenai Fatimah yang memeluk Islam ketika Umar
tergesa-gesa dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad. Apapun niat sebenar Nu'aym itu,
menyebabkan Umar mengamuk setiba di rumah adiknya itu.
Umum mengetahui bahawa Fatimah dan suaminya Saad adalah kalangan yang terawal memeluk
Islam malah dikatakan kekuatan iman suaminya itu antara 10 orang yang dijamin memasuki syurga.
Ketika Umar sampai ke rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang sedang membaca al-Quran.
Iaitu Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang sahabat
mereka, Khabbab bin Arat.
Khabbab dikatakan dihantar sendiri oleh Nabi Muhammad untuk membantu atau mengajar Fatimah
dan Saad membaca al-Quran.
Apabila terdengar mereka membaca al-Quran, kemarahan Umar tidak boleh ditahan-tahan lagi lalu
dia mengamuk di hadapan pintu rumah Fatimah.
Semua yang ada dalam rumah itu begitu terkejut dan wajah masing-masing pucat lesi. Namun
Fatimah dengan segera menyembunyikan Khabbab dan membuka pintu untuk menghadapi apa juga
kemungkinan yang akan berlaku apatah lagi abangnya itu terkenal dengan sikap kejam, tegas dan
garang tanpa mengira sesiapa.
Tanpa banyak soal Umar terus bertanya kepada Fatimah: "Apa yang aku dengar tadi?"
"Tidak ada apa-apa!" Kata Fatimah dengan wajah yang agak selamba.
"Aku telah mendengar tadi, jangan bohong! Adakah bacaan yang aku dengar tadi adalah dari
Muhammad?" Bentak Umar.
Adik dan ipar Umar menjadi serba salah untuk menjawab.
Lalu Umar bertanya terus kepada iparnya: "Adakah kalian sudah murtad?"
Tanpa sebarang ragu-ragu Saad pun menjawab dengan tenang: "Kami tidak murtad wahai Umar
tetapi kami semua telah masuk Islam."
Belum sempat Saad menyudahkan kata-katanya itu, satu tamparan yang kuat telah singgah ke
mukanya sehingga berdarah hidung suami Fatimah itu.
Malah dalam sesetengah riwayat yang lain, Umar bukan sahaja menampar adik iparnya itu malah
diterkamnya Saad lalu dihenyak-henyak dengan kakinya sehingga berdarah-darah.
Melihat suaminya teruk dicederakan Umar, Fatimah pun cuba menghalang abangnya itu daripada
terus mencederakan Saad. Ini menyebabkan Umar bertambah marah malah adik kesayangannya itu
turut menjadi mangsa.
Fatimah juga menurut riwayat Ibnu Ishaq telah teruk dipukul oleh abangnya sehingga cedera dan
berdarah. Kejadian teruk dipukul oleh Umar ini menyebabkan Fatimah menangis, bukan kerana
menanggung kesakitan tetapi sedih mengenai sikap abangnya itu yang begitu kuat memusuhi Islam.
Sehinggakan adik dan ipar sendiri sanggup dipukul malah dibunuh jika tidak menjadi halangan.
Tangisan Fatimah itu akhirnya menyebabkan hati Umar bertukar menjadi sayu, lembut dan simpati
terhadap adiknya itu.
Lalu Umar berkata: "Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!"
Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci
al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar.
Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: "Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu
yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!"
Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada
abangnya itu: "Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana engkau bukan
kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis.
"Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian
barulah engkau boleh membacanya."
Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu
Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap
sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu.
Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian
yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya
Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah
sembahyang untuk mengingatiku.
Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: "Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini
disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini."
Umar yang telah bertukar nada 360 darjah itu kemudiannya meminta untuk berjumpa sendiri
dengan Rasulullah. Khabbab yang sedari tadi menyorok di rumah Fatimah itu pun keluar dan
menawarkan diri untuk membawa Umar bertemu Nabi Muhammad.
"Terimalah berita gembira wahai Umar, sesungguhnya aku sentiasa mengharapkan doa Rasulullah
agar engkau memilih jalan Islam akan menjadi satu kenyataan juga akhirnya," kata Khabbab.
Lalu mereka menuju ke Darul Arqam, rumah milik seorang lagi sahabat, iaitu Al Arqam bin Abi Arqam
yang menawarkan kediamannya sebagai pusat pengajian mengenai Islam yang diketuai dan dipimpin
oleh Rasulullah.
Masih berpakaian baju perang lengkap pedang tersisip di pinggang, Umar dan Khabbab pun tiba di
Darul Arqam yang dikatakan terletak agak tersorok di lereng Bukit Safa yang ketika itu telah tersebar
berita mengenai baginda bakal diserang atau dibunuh oleh Umar.
Maka seluruh para pengikut dan sahabat yang berada dalam Darul Arqam itu telah bersiap sedia
untuk mempertahankan baginda lebih-lebih lagi bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib.
Tanpa mereka mengetahui apa yang telah terjadi di rumah adik Umar, Fatimah sebentar tadi.
Sebaik sahaja tiba, Umar pun mengetuk pintu dan menyatakan hajat untuk menemui Rasulullah.
Serentak itu juga, Hamzah bangun dan cuba untuk menghunuskan senjata.
"Biar aku yang bunuh Umar ini dengan pedangku ini," tegas Hamzah.
Hamzah merupakan satu-satunya lawan atau seteru yang dikatakan boleh mengalahkan Umar
walaupun di seluruh kota Mekah, Umar dikatakan seorang yang sangat gagah dan perkasa.
Seperti yang kita selalu baca sebelum ini ketokohan dan kegagahan Hamzah tiada tolok banding
malah sanggup menggadaikan nyawa sehingga terkorban demi mempertahankan Islam. Tidak
sekadar Nabi Muhammad itu merupakan anak saudaranya.
Namun baginda meminta supaya Hamzah tidak bertindak melulu sehinggalah baginda sendiri
membuka pintu dan mempersilakan Umar masuk.
Hamzah terpaksa patuh dan masing-masing seperti menahan nafas apabila Nabi Muhammad
memberanikan diri membuka pintu tanpa sebarang pengawal kerana mereka tahu Umar seorang
yang sanggup melakukan apa sahaja, menurut nafsu dan amarahnya itu.
Sebaik sahaja Umar melangkah masuk dengan perawakannya yang gagah itu, beliau terus mendekati
Nabi Muhammad. Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat
sehingga Umar jatuh terduduk di hadapan Rasulullah.
Sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: "Bila lagi
kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga
ditimpa bala dan ancaman dari Allah? Sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya
Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!"
Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata
yang sangat mengejutkan semua pihak.
"Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!"
Betapa bersyukur seluruh alam apabila Umar yang keras bak batu itu akhirnya tunduk kepada
keesaan Allah.
Pengislaman Umar itu tentunya menimbulkan pelbagai reaksi selain begitu mengejutkan orang
ramai.
(Buku Sejarah Khalifah Rasulullah karya Prof. Dr. Amin Qudah (Terbitan PTS 2009)
* Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar
adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah
Toha ayat 1-5).

Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.
Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy
berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu
meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak
saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan
negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar
sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau
dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib.
Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang
disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang
anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-
tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan
keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.
Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa
menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf,
beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam
Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata
Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali
wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan
ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu
lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian
suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini.
Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan
pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka
mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani
menyahut cabaran Umar berlawan senjata.
Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang
bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi,
sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan
puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata.
Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan
kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy.
Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari
kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa
teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab,
dengan aman tanpa sebarang gangguan.
Umar menjadi khalifah








Pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi, Saidina Umar Al-Khattab telah dilantik menjadi
khalifah Islam yang kedua. Pelantikannya telah dicadangkan sendiri oleh Abu Bakar sebelum
meninggal dunia. Para sahabat yang lain mengikut cadangan Abu Bakar kerana Umar sememangnya
pilihan yang tepat untuk menjadi pemimpin Islam. Islam begitu gemilang di bawah pemerintahan
Umar. Jajahan takluk Islam juga begitu luas sehingga ke Eropah dan melebihi separuh dari dunia.
Selama pemerintahan Umar, kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih
Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan dinasti Sassanid serta mengambil alih Mesir,
Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari pemerintahan Romawi (Byzantium).
Sejarah mencatat banyak pertempuran besar yang menjadi awal penaklukan ini. Pada pertempuran
Yarmuk, yang terjadi di Damaskus pada tahun 636 M, 20 ribu pasukan Islam mengalahkan pasukan
Romawi yang mencapai 70 ribu dan mengakhiri kekuasaan Romawi di Asia Kecil bahagian selatan.
Pasukan Islam lainnya dalam jumlah kecil mendapatkan kemenangan atas pasukan Parsi dalam
jumlah yang lebih besar pada pertempuran Qadisiyyah (tahun 636M), di sungai Eufrat. Pada
pertempuran itu, jeneral pasukan Islam yakni Sa`ad bin Abi Waqqas mengalahkan pasukan Sassanid
dan berhasil membunuh jeneral Parsi yang terkenal, Rustam Farrukhzad.
Pada tahun 637M, setelah pengepungan yang lama terhadap Yerusalem, pasukan Islam akhirnya
mengambil alih kota tersebut. Saidina Umar diberikan kunci untuk memasuki kota oleh pendeta
Sophronius dan diundang untuk solat di dalam gereja (Church of the Holy Sepulchre). Umar memilih
untuk solat ditempat lain agar tidak membahayakan gereja tersebut. 55 tahun kemudian, Masjid
Umar didirikan ditempat beliau solat.

KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB
Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab.
PENTADBIRAN:
- Membentuk majlis syura
- Membahagikan wilayah-wilayah Islam
- Memperbaharui undang-undang tanah
EKONOMI:
- Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan
juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan
mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan
dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam)
untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang
dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai
menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah. Beliau juga turut memajukan sistem
pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana
ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.
- Memajukan sistem pertanian (Terusan Nil)
SOSIAL:
- Kalendar Islam telah diperkenalkan oleh Umar mengikut Tahun Hijrah.
- Pengumpulan nasakh Al-Quran juga bermula pada zaman ini,kerana Umar menyedari semakin
ramai hafiz yang gugur syahid di medan perang.
Saidina Umar r.a Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)
Hadith tentang Saidina Umar r.a
1. Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan
sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk Umar"
Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-
Turmizi
3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari
Umar. Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya bagi penduduk Syurga.
6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar
7. Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai
(kerana kebaikannya), jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya.
Hadith riwayat Bukhari.
8. Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh
Umar, nescaya turunlah al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata
Abdullah bin Umar)
Saidina Umar, berjalan di malam hari untuk mengetahui derita rakyatnya.
Pada suatu malam, ketika Umar berjalan melihat keadaan rakyatnya bersama seorang pembantu
melalui lorong-lorong kota Madinah, mereka bertemu dengan seorang wanita dan anak-anaknya
duduk mengelilingi periuk besar di atas api. Anak-anak itu mengeluh kelaparan. Lalu Khalifah Umar
mendekati keluarga itu bertanya kepada ibu itu apa yang terjadi, maka ibu itu menjawab anak-
anaknya kelaparan kerana sudah 2 hari mereka tidak makan, yang dimasaknya hanyalah air dan batu
supaya anak-anaknya boleh menunggu hingga tertidur. Umar bertanya kepada ibu tadi kenapa tidak
diberitahu kepada Khalifah Umar? Maka berkatalah ibu tadi: Seharusnya dialah yang tahu keadaan
kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak dirumahnya
sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan, tanpa dia mengetahui orang yang
ada dihadapannya adalah Khalifah Umar.
Mendengar jawapan itu Saidina Umar terus ke gudang menyimpan gandum dan mengambil satu
karung gandum bersama minyak samin. Saidina Umar mengendong sendiri gandum dan minyak itu
walaupun pembantunya melarang dan ingin membantunya membawa barangan tersebut. Umar
berkata: "Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?" , kemudian Umar ke tempat
wanita itu membawa barangan tersebut dan menghidupkan api serta memasak gandum yang
dibawa bersamanya. Kemudian Saidina Umar r.a meminta perempuan tersebut mengejut anak-anak
nya untuk makan makanan yang telah dimasaknya,sebelum berlalu Saidina Umar meminta wanita
itu datang ke pejabat khalifah untuk mendapatkan bantuan segera, pagi harinya wanita itu pergi ke
pejabat khalifah dan dia sangat terkejut kerana orang yang membantunya semalam adalah Saidina
Umar bin Al-Khattab.
Begitu juga kisah Umar berjalan di malam hari, pada suatu ketika Umar r.a sangat tertarik dengan
seorang anak gadis yang enggan mencampurkan susu dengan air kerana takutkan Allah. Bahkan
Umar melamar gadis itu untuk puteranya, Ashim bin Umar.

Wafatnya Saidina Umar r.a
Saidina Umar wafat pada tahun 644 M selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi Parsi yang
bernama Abu Lu'lu'ah atau Pirouz. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam
terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar
menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi
Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah
selepas kematiannya

Anda mungkin juga menyukai