Anda di halaman 1dari 12

RASUAH : Ditakrifkan sebagai memberi sesuatu kepada orang-orang yang tertentu dengan

niat untuk mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya.



Memberi sesuatu itu samada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan,
janji manis dan sebagainya. Ianya diberikan kepada orang yang tertentu yang tidak layak
menerimanya. Mungkin orang yang diberi rasuah itu mempunyai gaji dan upah yang tertentu,
lebih kaya dan berjawatan dan bukan pula kaum keluarga si pemberi. Pemberian yang diberi
dengan niat agar suatu masa mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar dari orang-
orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-Quran
rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti
merompak, memeras ugut dan menipu. rasuah ataupun corruption dalam Bahasa Inggeris,
tidak diberi definisi yang khusus di dalam undang-undang Malaysia. Tetapi ditakrikan sebagai
suapan.

Walau bagaimanapun ada beberapa definisi yang telah diberi oleh beberapa pihak yang
pakar dalam bidang ini. Di dalam kamus Concise Law Dictionary. P. G. Osborne memberi
definisi bribery and corruption sebagai perbuatan giving or offering any reward to any person
to influence his conduct; or the receipt of such reward

John B. Saunders pula menulis dalam kamus Mozley and Whiteleys Law Dictionary memberi
definisi corruption is the taking or giving of money for the performance or non-performance
of a public duty.

Rasuah dalam bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak,
menggoyahkan, memutar balik, menyogok).

Menurut Transparency International pula, rasuah ialah perilaku buruk di jabatan-jabatan atau
pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak
wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya
(keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam
yang diberi kepada mereka.

Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi: Melanggar undang-undang yang
dikuatkuasakan, Penyalahgunaan harta Negara, yang akan merugikan Negara, serta
memperkaya diri sendiri dan kaum kerabat.







NAMA LAIN BAGI RASUAH

Dalam dunia hari ini rasuah disebut dalam berbagai sebutan agar ianya tidak nampak sebagai
rasuah. Ada yang disebut sebagai sogokan, suapan, tumbuk rusuk, makan suap, wang saku,
duit kopi, bawah meja dan sebagainya. Semuanya itu bermaksud rasuah.

Jenayah rasuah adalah satu tegahan agama, baik agama Islam mahupun agama-agama lain.
Allah s. w. t. berfirman yang bermaksud:-

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu
dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah)
kepada hakim- hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Hadis nabi SAW ada menyatakan :Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah
mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal
hukum menghukum (HR. Abu Daud & Tirmizi)

Ibnu Masud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut:

Sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barangsiapa yang telah memberi
sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat
mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka
pemberian itu dinamakan sogokan juga. Perbuatan sedemikian diharamkan kerana
mengandungi beberapa perkara yang diharamkan oleh agama di antaranya :

1) Tidak akan berlaku kebenaran dalam sesebuah masyarakat selagi mana perbuatan sogok
menyogok masih dilakukan oleh manusia.

2) Dengan sogok menyogok itu manusia selalu melanggar hukum untuk memenuhi kehendak
hawa nafsunya.

3) Dengan sogok menyogok juga manusia dapat membalas dendam antara seorang dengan
orang yang lain dan sebagainya.

Dalam Islam rasuah juga bermaksud harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu
kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari
kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan (imbuhan).

Adakala orang yang mendapat sesutu projek atau pekerjaan tidak memberi sesuatu dalam
bentuk yang boleh dikatakan rasuah dan seumpamanya tetapi selepas mendapat upah dan
imbuhan, diberinya sedikit wang atau seumpamanya kepada seseorang pegawai atas dasar
penghargaan maka hal ini akan menjadi satu perkara syubhat. Mungkin pemberiannya kerana
penghargaan semata-mata dan tidak mengharapkan apa-apa lagi selepas itu. Adakalanya
memberi kerana penghargaan tetapi ada niat tersembunyi yang mungkin hanya pemberi dan
penerimanya sahaja yang mengetahui.

HUKUM MEMBERI DAN MENERIMA RASUAH

1. Haram dan berdosa besar, wajib bertaubat nasuha dengan segera samada pemberi,
penerima atau yang berkaitan dengannnya. Jika sampai melibatkan individu tertentu yang
teraniaya TAUBAT NASUHA TIDAK MEMADAI TANPA MEMOHON KEMAAFAN ATAU
MEMBAYAR GANTIRUGI KEPADA MEREKA. Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-
Quran dan Hadis. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

Ertinya : Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara
kamu dengan jalan yang batil (tidak halal) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu
kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu
dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 188 )

Disebutkan dalam hadits :-

Ertinya : Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam
penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain).
( HR. At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

2. Dilaknat oleh Allah S.W.T dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram
(seperti rasuah), Neraka lebih utama untuknya. Dengan rasuah akan hilang keberkatan dalam
kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan tetapi terdorong ke arah
kemaksiatan dan kejahatan.

3. Akibat rasuah kuasa, jawatan, pangkat, kedudukan yang hasil daripada rasuah ia tidak akan
mendapat keberkatan dan tidak akan berkekalan lama, di akhirat pula akan dimasukkan ke
dalam neraka sekiranya ia tidak bertaubat, atau bertaubat tetapi tidak diterima oleh Allah
taubatnya.

SUAPAN ATAU SOGOKAN

Suapan atau makan suap juga boleh terjadi dalam bentuk wang derma, alang, pinjaman, fee,
hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta,
sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

1. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-
apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa
sifat;

2. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi
atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

3. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan atau
peratusan;

4. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau
benda berharga;

5. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa
penalti atau ketakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa
tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah
dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa
hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

6. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk
memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (1) hingga (5) yang
terdahulu;

PUNCA DAN SEBAB RASUAH

Berbagai faktor dikaitkan mengapa seseorang itu melakukan perbuatan jenayah rasuah.
Walaupun begitu Islam melihat kelakuan rasuah adalah disebabkan beberapa sikap buruk dari
jiwa seseorang manusia dan didorong oleh kekuatan syaitan, kerana lemahnya iman bahkan
tidak beriman kepada qadha dan qadar Allah s.w.t. Secara terperinci amalan rasuah
disebabkan oleh sikap;

1. Tamak dan haloba.

2. Dengki dan khianat.

3. Sombong dan Takabbur.

4. Suka berbuat yang haram.

5. Tiada keberkatan Hidup

6. Nafsu serakah.

7. Gila Kuasa.

8. Menafikan hak orang lain.

9. Ingin menunjuk-nunjuk.

10. Zalim dan kasar.

Walau bagaimanapun secara ringkasnya, berdasarkan pengalaman Badan Pencegah Rasuah
di Malaysia, perbuatan jenayah rasuah berlaku disebabkan oleh:

1. Di mana seseorang ingin hidup mewah dan cepat kaya dan sentiasa mengejar kebendaan
tanpa mengira halal haram. Apa yang dipentingkannya hanyalah nilai-nilai material, dengan
membuang jauh tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam yang diamanahkan
dengan kuasa dan pertanggungjawaban. Individu seperti ini tidak mahu mengambil kira
langsung bahawa dengan melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan dan
penyalahgunaan kuasa, sebenarnya dia telah melakukan kezaliman, penganiayaan dan
menafikan hak-hak orang lain atau memberikan hak sesuatu itu bukan kepada orang yang
sepatutnya mendapat hak itu.

Sebagai contoh, oleh kerana seorang pegawai di Bahagian Bekalan menerima suapan secara
rasuah, kontraktor yang sepatutnya dan layak membekalkan peralatan ketenteraan, atau
membekalkan makanan telah tidak dipilih. Perbuatan pegawai ini menyebabkan Kementerian
Pertahanan atau Angkatan Tentera telah dinafikan yang terbaik yang boleh dibekalkan oleh
kontraktor berkenaan.

Allah swt telah berfirman:
dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan
jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu ( memberi rasuah )
kepada hakim-hakim kerana hendak memakan ( atau mengambil ) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah: ayat 188)

2. Di samping itu, sikap hidup yang suka bermegah-megah menjadi amalan. Menyara hidup
pula melebihi pendapatan hinggakan terpaksa berhutang di sana sini. Akhirnya, akibat
bebanan hutang jenayah rasuah dilakukan.

3. Kurangnya penghayatan nilai-nilai murni. Selain dari itu, kedangkalan ilmu-ilmu keagamaan,
kurangnya penghayatan nilai-nilai murni dan hilangnya nilai-nilai akhlak yang baik juga
menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang itu bergelumang dalam jenayah rasuah.

Menurut seorang penulis, nilai ialah beliefs about right and wrong. Manakala etika pula
ditakrifkan sebagai thinking systematically about morals and conduct and making judgments
about right and wrong. (Carol W. Lewis: The Ethics Challenge in Public Service).

4. Kerendahan moral ditambah dengan nafsu yang tidak lagi dapat membezakan antara nilai-
nilai yang baik dan buruk, hingga mengenepikan nilai-nilai suci dalam agama mendorong
seseorang itu melakukan pelbagai kemaksiatan dan jenayah. Justeru itu, individu seperti ini
akan memperhambakan dirinya kepada nafsu yang mengongkong kehidupannya.

5. Kurangnya penyeliaan oleh pegawai atasan. Berdasarkan pengalaman BPR juga. kurangnya
penyeliaan pegawai atasan akan menyebabkan mana-mana individu yang didorong oleh
unsur-unsur yang tidak sihat akan mengambil kesempatan dari keadaan itu untuk melakukan
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

6. Kurangnya komitmen kepimpinan untuk mengenalpasti ruang-ruang yang boleh me-
nyebabkan berlakunya perbuatan rasuah, dan ditambah pula wujudnya pemimpin yang takut
untuk menjadi tidak popular, menyebabkan keadaan akan tidak terkawal.

7. Terlalu banyak penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasannya
akan juga membuka banyak ruang berlakunya perbuatan rasuah, penyelewengan dan
penyalahgunaan kuasa.

8. Kelemahan Peraturan atau Sistem Pelaksanaan Kerja. Selain dari itu, longgarnya tatacara
dan peraturan kerja atau kelemahan dalam sistem pelaksanaan kerja itu sendiri, boleh
menyebabkan sesebuah Jabatan / Agensi itu sentiasa terdedah dengan perlakuan perlakuan
seperti jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai dan
kakitangannya.

Sekali lagi, komitmen kepimpinan khususnya, dan sikap serta perasaan pertanggungjawaban
semua kakitangan bagi mempastikan ketelusan tatacara kerja dan sistem pelaksanaan kerja
adalah sangat penting.

KESALAHAN RASUAH

Meminta/ Menerima Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan
rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk
melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan
dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.

Menawar/Memberi Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan
rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk
melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan
dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.

Membuat Tuntutan Palsu
Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada prinsipal/majikannya,
suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang
mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk
mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.

Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat
suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-
apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu- nya ada
kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

KESAN BURUK DARI RASUAH AMNYA

1. Menganiayai orang yang sepatutnya berhak mendapat sesuatu seperti, projek pembinaan
dan seumpamanya. Ini akan menimbulkan pula kesan jangka panjang dimana orang yang
dianianya akan turut melakukan rasuah pada lain waktu, agar pekerjaan yang lain jatuh pula
ketangannya.

2. Projek pembinaan akan terbengkalai atau mudah rosak. Jika suatu projek pembinaan yang
sepatutnya diluluskan oleh Engineer atau Arkitek mengikut kesesuaian spesifikasi ilmu yang
mereka pelajari tidak diguna pakai ketika itu kerana dirasuah dan menerima rasuah dari
seseorang kontraktor maka projek pembinaan itu akan mudah terbengkalai atau mudah rosak.
Kerana kontraktor yang membina projek berkenaan mahu cepat kaya dan inginkan marjin
keuntungan yang tinggi.

3. Menyemarakkan perasaan dendam dan api kemarahan, sehingga boleh mencetuskan
permusuhan. Hal ini biasanya akan terbit dari pihak yang merasa dianiaya yang mengetahui
haknya jatuh ke tangan orang yang memberi rasuah.

4. Tidak akan ada keadilan dalam keputusan yang dibuat oleh hakim di mahkamah. Akibat
rasuah orang yang sepatutnya bersalah lepas bebas dan orang yang tidak bersalah pula
masuk penjara.

5. Jika pihak menegakkan undang-undang seperti Polis, SPRM, Kastam menerima rasuah,
maka kes-kes kejahatan dan perbuatan buruk seperti membunuh, mengedar dadah,
penyeludupan, aduan kes rasuah, merogol dan seumpamanya tidak dapat diselesaikan.
Bahkan rakyat akan hilang kepercayaan kepada jabatan-jabatan berkenaan.

1. Kesan Terhadap Individu:

(i) Kehilangan pekerjaan.
(ii) Kejatuhan moral atau maruah.
(iii) Menerima hukuman.
(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.
(v) Keluarga terabai.

2. Kesan Terhadap Masyarakat:

(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.
(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.
(iii) Membebankan golongan orang susah.
(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi
membantu rakyat miskin diselewengkan.

3. Kesan Terhadap Negara:

(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.
(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.
(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.
(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.
(v) Mengurangkan pendapatan negara.
(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.

PEYELESAIAN PENYAKIT RASUAH

Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini
daripada berleluasa, antaranya:

1. Kembali kepada Islam dengan menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada
masyarakat seperti menjelaskan hukum Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti
perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Taala mahupun yang sebaliknya.

2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan
bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada
melakukan kejahatan.

3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh
kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.

4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.

5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keagamaan, seperti membaca,
menghafal dan merenung isi kandungan al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab
agama.

6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri
daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .. (11)
(Surah ar-Rad: 11)

7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup yang sementara ini.
Terimalah ketentuan Allah dengan redha dan berlapang dada..

8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam. Jauhi daripada sifat mahukan
hak orang lain.

9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti
sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat.

10. Menjalankan hukuman tazir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga
untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.

11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah
daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta
berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.

KESIMPULAN

Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syarak, bahkan mereka yang terlibat dengan
amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Taala dan Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam.

Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang
salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah
yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam
bersabda:

Maksudnya: Wahai Kaab bin Ujrah: Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada
dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.
(Hadis riwayat Ahmad)

Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal,
Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:

1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan
kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.

2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan
ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan,
kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia
selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.

3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara
salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan
dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi
ekonomi.

Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah
memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa
mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara
mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat
dan negara yang aman lagi makmur

Oleh : Aziran Mat Nor





































Rasuah didefinisikan sebagai pemberian hadiah atau wang untuk mempengaruhi seseorang
supaya memenuhi keinginannya. Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan pada era
Edo (1603-1868) yang diistilahkan sebagai sidepno-shito yang bermaksud wang dari bawah
meja. Apabila disebut sahaja rasuah, terbayanglah kepada kita ada dua pihak iaitu yang
memberi dan yang menerima. Menyedari betapa seriusnya keadaan ini, Perdana Menteri
Malaysia kelima, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, berikrar untuk membanteras
perbuatan rasuah hingga ke akar umbi. Hal ini kerana rasuah adalah umpama barah yang
akan meruntuhkan negara jika tidak dibendung dengan segera. Terdapat beberapa faktor
yang menyebabkan seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.

Antara faktor berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah.
Individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah
dipengaruhi oleh orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan
pelbagai kemewahan seperti harta benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah
sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon
tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal Water Gate. Ada kalanya penerima
rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk hidungnya dan mudah patuh dengan kehendak
pemberi rasuah. Akibatnya, amalan rasuah menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan
terhadap individu dan kepimpinan organisasi berkenaan.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya
perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh
dan mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan
peluang yang ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak
memikirkan akibatnya, rasuah menjadi rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat
dengan rasuah tidak berasa malu atau takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia
ataupun pada hari akhirat.

Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak
langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai
peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran
terpaksa melalui banyak saluran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentulah pemprosesan
sesuatu permohonan memerlukan masa yang lama atau panjang. Bagi individu yang terdesak
atau mahu segera menyelesaikan masalah, mereka akan mudah memberikan imbuhan
dengan harapan pemprosesan permohonan didahulukan oleh penerima rasuah. Oleh hal
yang demikian, sudah tentu situasi ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap
golongan yang tidak terlibat dengan rasuah.

Di samping itu, amalan rasuah turut meninggalkan pelbagai kesan. Malah, amalan rasuah jika
tidak dicegah akan terus merebak dan membawa banyak kesan negatif kepada individu,
masyarakat ataupun negara. Individu yang terlibat dengan rasuah akan dipandang hina oleh
masyarakat. Keluarga mereka juga akan dicemuh dan dipulaukan oleh jiran-jiran. Apabila
seseorang menjadikan rasuah sebagai amalan biasa, sudah tentulah amalan ini akan merebak
dan mempengaruhi orang lain. Oleh itu, rasuah perlu dibanteras segera supaya tidak
memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran dan sosial negara. Masyarakat perlu
mengambil sikap berwaspada agar perbuatan rasuah tidak menjadi barah dalam masyarakat.

Sebenarnya, jika perbuatan rasuah tidak dibendung, kehidupan masyarakat dan birokrasi
sistem pemerintahan akan terganggu dan sekali gus menyebabkan imej negara pada mata
dunia tercalar. Seluruh masyarakat, bangsa dan negara akan menjadi kucar-kacir dan hancur
seperti yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun besar dunia seperti di Mesir dan
Mesopotamia. Natijahnya, negara tersebut bukan sahaja akan dipandang serong oleh negara
lain. Malahan, hubungan dagangan yang sedia ada juga akan terputus dan ekonomi negara
akan terjejas teruk lalu agenda pembangunan negara akan terbantut. Oleh itu, perbuatan
rasuah yang bagaikan duri dalam daging hendaklah dibanteras sejak awal lagi.

Kesimpulannya, rasuah merupakan musuh negara yang berbahaya dan perlu dibanteras
melalui kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa.Adakah kita rela melihat tabiat
buruk ini terus menular? Tegasnya, adalah penting bagi semua pihak untuk melaporkan gejala
rasuah kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR). Islam mengharamkan umatnya memberi dan
menerima rasuah. Jika kita sayang akan negara kita, cegahlah rasuah sebelum parah.
Sesungguhnya, amalan rasuah hanya menjual prinsip, maruah dan harga diri!

Anda mungkin juga menyukai