Anda di halaman 1dari 1

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan
penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan
kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah
berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang
drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang
mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk
membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama
kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap
menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana
keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan
hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku
semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan
lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong
berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan
kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu
untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia
menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus
menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau
bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru,
pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan
dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama
penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia
yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional
perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua
sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap
diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus
berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan
baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan
peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat
harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi
pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan
yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan
tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan.
Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana
merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah
ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi
masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu.
Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat
yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah
menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita
semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah
ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama
seperti alam?