Anda di halaman 1dari 3

Pada 11, 12 dan 13 April 2014, Sekolah Menengah Kebangsaan Bahang telah

mengadakan perkhemahan unit beruniform yang merupakan salah satu daripada program
tahunan unit kokurikulum sekolah. Perkhemahan pada tahun ini telah diadakan di Binsulok
Nature Resort, Membakut dan telah disertai oleh 143 orang pelajar yang terdiri daripada
pelajar aliran perdana, khas dan pra-U SMK Bahang. Perkhemahan ini adalah bertujuan
untuk membantu mempertingkatkan lagi usaha sekolah dalam mengimbang dan
menyatupadukan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial pelajar supaya menjadi
insan yang berketrampilan dan berbudi pekerti mulia selaras dengan kehendak FPK.
Pihak sekolah telah memilih keretapi sebagai pengangkutan utama dalam
perkhemahan pada kali ini. Justeru, seawal jam 10.30 pagi, para peserta perkhemahan telah
diarahkan untuk berkumpul dan mendaftarkan diri di kantin sekolah bagi memastikan
kehadiran peserta perkhemahan. Kemudian, para peserta telah bertolak ke stesen keretapi
tanjung aru pada jam 11.30 pagi untuk menaiki keretapi yang akan bertolak ke membakut
pada jam 1.40 petang. Pengalaman menaiki keretapi sabah ini merupakan satu pengalaman
baru kepada para peserta perkhemahan kerana berpeluang untuk melihat keindahan semula
jadi Sabah disepanjang laluan ke Membakut. Perjalanan ke Membakut adalah mengambil
masa sekitar sejam setengah yang mana para peserta telah tiba di stesen keretapi membakut
sekitar jam 3.30 petang. Kemudian, perjalanan ke binsulok nature resort telah diteruskan lagi
dengan menaiki van mini yang telah disewa oleh pihak sekolah.
Setibanya di tapak perkhemahan, para peserta telah dikumpulkan mengikut unit
beruniform masing-masing untuk mendengar taklimat daripada En. Nelven, selaku kem
komandan bagi perkhemahan kali ini. Selepas taklimat kem komandan, para peserta telah
diarahkan untuk mendirikan khemah di kawasan yang telah ditetapkan sebelum dibahagikan
kepada 14 kumpulan untuk aktiviti yang seterusnya. Pada sebelah malam, para peserta telah
mengikuti aktiviti ice-breaking untuk mewujudkan keserasian antara ahli kumpulan
sebelum aktiviti pertandingan pertolongan cemas dilaksanakan sebagai penutup aktiviti bagi
malam yang pertama.
Aktiviti pada hari yang kedua diteruskan lagi dengan aktiviti senaman pagi yang telah
dikendalikan oleh Pn. Lyndiana dan Pn. Annie. Suasana pagi yang segar dengan diselangi
oleh deruan ombak telah menimbulkan satu suasana yang menyeronokkan kepada para
peserta. Seterusnya, aktiviti jungle trekking telah diadakan sekitar jam 7.15 pagi dengan
kendalian En. Tonny yang mana para peserta berpeluang meredah hutan sekitar kawasan
perkhemahan bagi menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Aktiviti ini juga menguji
kekuatan minda dan fizikal para peserta yang mana mereka turut diarahkan untuk mencari
jalan keluar dari hutan ke kawasan pantai mengikut arahan yang telah diberikan. Selepas
berakhirnya aktiviti jungle trekking, aktiviti sukaneka mengambil alih dengan dikendalikan
oleh Pn. Roslina dan Pn. Maslilaidah untuk menguji kerjasama dan kreativiti setiap peserta.
Pada sebelah petang, aktiviti masakan rimba telah dijalankan dibawah kelolaan Pn.
Faridah dan Pn. Idreyanna. Setiap kumpulan pelajar telah diberikan dengan seekor ikan
mentah beserta sayur-sayuran segar. Kemudian, setiap kumpulan diarahkan untuk
menyediakan hidangan yang bersesuaian dengan bahan yang diberikan. Aroma ikan bakar
yang disediakan oleh setiap kumpulan telah menjadikan suasana petang di tapak
perkhemahan menjadi sangat meriah. Kreativiti setiap kumpulan terserlah apabila dapat
menyediakan hidangan yang menarik dengan hanya menggunakan bahan dan peralatan yang
diperolehi daripada alam semulajadi.
Seterusnya, aktiviti kawad kaki telah dijalankan dengan kendalian En. Zubir bin
Awang. Setiap kumpulan diarahkan untuk melakukan kawad kaki mengikut kumpulan
masing-masing mengikut arahan yang telah diberikan. Aktiviti ini telah menguji disiplin para
peserta dalam berkawad dan mengikut arahan yang diberikan oleh setiap ketua kumpulan.
Sejurus aktiviti kawad kaki selesai dijalankan, para peserta telah diberikan masa untuk
membuat persediaan untuk malam kebudayaan.
Sekitar jam 8.30 malam, aktiviti malam kebudayaan telah dijalankan dengan
dikendalikan oleh Pn. Siti Araini dan Pn. Noraliza. Setiap kumpulan telah diundi bagi
menentukan giliran persembahan masing-masing. Kreativiti dan bakat peserta terserlah
menerusi persembahan pelajar yang pelbagai. Lakonan, nyanyian dan tarian yang
dipersembahkan oleh setiap kumpulan menimbulkan suasana yang ceria dan menyeronokkan
dikalangan peserta perkhemahan. Seterusnya, aktiviti malam burung pungguk telah
dijalankan sekitar jam 11.30 malam sebagai penutup kepada aktiviti pada hari tersebut. Para
peserta dikehendaki menutup mata dan dibawa berjalan sekitar kawasan perkhemahan bagi
menguji kerjasama serta kekuatan mental dan psikologi para peserta.
Keesokan harinya, seawal pagi lagi, para peserta telah diarahkan untuk mengemaskan
khemah masing-masing dan seterusnya melakukan khidmat masyarakat dengan
membersihkan kawasan tapak perkhemahan. Majlis penutupan program perkhemahan kali ini
telah dijalankan pada jam 7.30 pagi dengan dihadiri oleh yang dipertua PIBG SMK Bahang,
En. Tujuh Nalin. Suasana pilu turut dirasai ketika para peserta bertolak meninggalkan
binsulok nature resort sekitar jam 9 pagi untuk menaiki keretapi ke tanjung aru pada jam
11.30 pagi.

Anda mungkin juga menyukai