Anda di halaman 1dari 6

Konsep penerokaan angkasa lepas yang cuba dimajukan oleh Malaysia

bukanlah sepertimana yang digambarkan dalam fiksyen sains filem dan


televisyen yang pernah kita tonton.  Konsep penerokaan angkasa lepas
Malaysia lebih menjurus kepada usaha memperkembangkan bidang-bidang
tertentu dalam industri aeroangkasa, di samping cuba membuka ruang yang
lebih luas kepada bidang penyelidikan alam cakerawala.  Dengan kata lain,
sebagai peserta baru dalam bidang ini, Malaysia sedang mencari masa
depannya ke arah menjadi pemain utama dalam industri angkasa dan juga
penerokaan ruang angkasa.
          Apabila Malaysia melancarkan satelit komunikasi pertamanya,
MEASAT-1  pada bulan Januari 1996 dan satelit MEASAT-2 kira-kira 10
bulan kemudiannya, ia telah membuka ruang serta akan merancakkan lagi
bidang kajian sains angkasa di negara ini.  Pada masa yang sama ia turut
membenihkan bibit-bibit kesedaran di kalangan orang ramai tentang industri 
aeroangkasa.
         Perkembangan bidang kajian sains angkasa di negara ini bermula
semenjak tahun 1990-an lagi dengan pembinaan kompleks Planetarium Negara
dan penubuhan Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA) di Jabatan Perdana
Menteri.  Menjelang Julai 1995, BAKSA telah diletakkan di bawah
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk memantapkan lagi
peranannya membantu kemajuan sains dan teknologi di Malaysia.
          Malaysia telah berjaya melancarkan satelit mikro pertamanya,
TiungSAT-I, pada bulan September 2000.  Satelit berkenaan hasil daripada
Program Latihan dan Pemindahan Teknologi di Pusat Angkasa Surrey yang
melibatkan Surrey Satellite Technology Ltd. (SSTL) dan Astronautics
Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dari Malaysia.  Kehadiran satelit mikro itu di
orbit bumi memberi ruang bagi Malaysia meneroka angkasa secara lebih giat
lagi. 
          Kewujudan Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia
(1997) membuktikan kesungguhan Malaysia dalam bidang kajian angkasa
lepas.  Dengan adanya pelan terancang ini industri aeroangkasa akan dapat
dimajukan secara lebih efisyen dan menjadi pemangkin pembangunan negara. 
Komitmen kerajaan dalam membangunkan industri aeroangkasa kian jelas
dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara (AAN) pada bulan Julai 2002. 
Agensi ini berperanan besar dalam menghadapi era globalisasi yang
menekankan kepentingan dasar langit terbuka.  Antara lain, menurut Ketua
Pengarah AAN, Prof Datuk Dr. Mazlan Othman, Malaysia perlu mempunyai
satelitnya sendiri yang mengorbit khatulistiwa agar masalah-masalah berkaitan
dengan geografi dan pertahanan negara dapat ditangani secara berkesan. 
Penubuhan AAN adalah suatu usaha menggembleng idea tenaga pakar
tempatan untuk menjayakan penerokaan angkasa lepas.  Di samping
menggalakkan kerjasama antarabangsa, agensi ini juga dapat menyelaraskan
aktiviti penerokaan angkasa lepasnya seiring dengan peraturan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
          Banyak keperluan negara dapat dipenuhi melalui usaha penerokaan
angkasa lepas yang terancang.  Kejayaan bidang penerokaan angkasa lepas
akan memberi imej baik terhadap kemajuan bidang sains dan teknologi negara
ini, selaras dengan cabaran Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat
saintifik, progresif, inovatif dan berpandangan jauh.  Kejayaan Malaysia dalam
bidang teknologi angkasa lepas akan memacu kemajuan negara dan seterusnya
meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam bidang
penyelidikan angkasa lepas.
          Pelancaran satelit ke orbit boleh memantapkan sistem komunikasi negara
sepertimana yang dicapai oleh satelit MEASAT 1 dan MEASAT 2.  Melalui
penggunaan satelit-satelit berkenaan, komunikasi menerusi telefon mudah alih
menjadi lebih efisyen.  Menurut Prof. Madya Dr. Mustafa bin Subari dari
BAKSA, penggabungan antara satelit navigasi dengan telefon mudah alih
bukan sahaja memudahkan komunikasi tetapi juga memungkinkan kedudukan
individu berkenaan dikesan melalui teknologi Global Positioning System
(GPS).  Keberkesanan penggunaan satelit untuk berkomunikasi dan mengesan
kedudukan jelas dapat dilihat ketika Datuk Azhar Mansur yang belayar solo
mengelilingi dunia menggunakan telefon mudah alih iridium untuk
menghubungi pusat pemantaunya di Langkawi.
          Selain daripada itu, kemajuan penerokaan angkasa lepas juga berfaedah
kepada beberapa bidang tertentu.  Antara bidang yang dapat memanfaatkan
kemajuan berkenaan ialah perdagangan dan pengangkutan.  Satelit navigasi
menerusi teknologi GPS misalnya, kini digunakan secara efektif di Lembah
Kelang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk
memantau pergerakan teksi-teksi yang memberi perkhidmatan kepada para
pelanggan KLIA.  Dengan bantuan Intelligent Vehicles System (IVS),
kenderaan pintar berkenaan boleh dikesan dan dihubungi dengan mudah. 
Sistem ini juga telah digunakan ke atas kenderaan-kenderaan sewa untuk
memantau pergerakkannya.
          Kemudahan satelit juga turut membantu kemajuan bidang perikanan di
negara ini.  Sistem pengesanan jarak jauh (remote sensing) dengan kemudahan
GPS amat berguna bagi nelayan-nelayan laut dalam untuk mengesan
kedudukan ikan-ikan di laut.  Selain daripada itu, teknologi ini berguna ketika
negara dilanda masalah jerebu kerana ia juga boleh membantu mengelakkan
pelanggaran dengan kapal-kapal lain yang sedang melalui perairan negara.
          Antara bidang lain yang turut menerima faedah daripada teknologi
angkasa lepas ialah bidang geografi.  Kajian dan ramalan cuaca dapat dibuat
secara lebih efektif dan tepat melalui kemudahan satelit pengesanan jarak jauh. 
Sebarang bentuk bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan hujan
lebat dapat dikesan lebih awal.  Dengan itu, langkah segera untuk mengelakkan
sebarang tragedi dapat diambil.  Kerja-kerja pemetaan kawasan juga dapat
dilakukan dengan mudah.  Penyediaan peta dan penentuan topografi sesuatu
kawasan akan dapat dibuat secara lebih baik dengan bantuan satelit.
          Dalam bidang pertahanan, kemudahan satelit navigasi akan membantu
kerja-kerja memantau keselamatan negara dengan lebih berkesan.  Oleh kerana
perairan negara kita merangkumi kawasan yang luas serta mengandungi banyak
pulau maka pemantauan menerusi sistem satelit adalah suatu kaedah yang
paling baik.  Perairan Sabah dan kawasan pedalaman Sarawak misalnya,
merupakan kawasan-kawasan yang sukar dipantau melalui penggunaan tenaga
manusia.  Oleh yang demikian, sistem pemantauan melalui satelit secara
berterusan akan membantu mengesan pencerobohan dan juga kegiatan jenayah
penyeludupan di kawasan berkenaan.
          Selain daripada itu penerokaan angkasa lepas turut memberi faedah yang
besar kepada kemajuan industri aeroangkasa di negara ini.  Antara bidang
industri aeroangkasa yang mendapat faedah besar daripada kemajuan
penyelidikan angkasa ialah teknologi pembuatan pesawat.  Bidang ini telah
mencambahkan hasilnya di negara ini apabila Malaysia berjaya mengeluarkan
pesawat peninjau tanpa pemandu pertamanya pada tahun 2001.  Pesawat yang
dikenali sebagai Eagle Airborne Reconnaissance Vehicle (ARV) dibina melalui
projek usahasama  dengan British Aerospace System (BAE).  Selain daripada
membantu kemajuan sistem pertahanan negara kita sendiri, pesawat ini juga
akan dieksport ke luar negara.
          Bidang penerokaan angkasa lepas yang kian berkembang di negara ini
juga banyak memberi faedah kepada institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT)
tempatan.  Kebanyakan IPT tempatan kini mempunyai bahagian kajian sains
angkasa mereka sendiri untuk membuat penyelidikan dalam bidang kepakaran
masing-masing serta melahirkan lebih ramai pakar sains angkasa negara ini. 
Langkah ini sudah tentu akan membantu kemajuan negara dalam bidang
penerokaan angkasa lepas masa hadapan.
          Bidang penerokaan angkasa lepas di Malaysia terus menggalas harapan
yang lebih tinggi pada masa hadapan.  Antara harapan yang ingin direalisasikan
ialah menerbangkan angkasawan sendiri ke angkasa lepas sana.  Kita juga ingin
menjadi pemain utama dalam penerokaan angkasa sepertimana Amerika
Syarikat, Rusia dan China.  Jika dilihat kepada usaha-usaha yang sedang kita
gerakkan pada masa ini, kita bukan lagi sedang mencari masa depan dalam
bidang penerokaan angkasa lepas.  Kita sebenarnya sedang membina masa
depan untuk ditempatkan di ruang cakerawala sana pada alaf akan datang.
Malaysia Di Angkasa Lepas 21.10.07

Jika tidak kerana kejadian pesawat angkasa lepas Columbia yag meletup dan
mengorbankan semua tujuh anak kapalnya pada Februari 2003, sejarah kelahiran
angkasawan pertama negara boleh tercatat lebih awal.

Ini kerana mengikut perancangan asal, angkasawan negara akan mengikuti misi
penyelidikan penerokaan angkasa lepas dengan angkasawan Rusia pada tahun 2005,
sebelum Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika
Syarikat menangguhkannya sehingga ke hari ini.

Ia bagi membolehkan NASA menjalankan siasatan penuh ke atas kejadian malang yang
menimpa pesawat angkasa lepas Columbia itu, seterusnya memastikan ia tidak akan
berulang.

10 Oktober 2007, Malaysia mencipta sejarah dalam bidang aeroangkasa apabila


angkasawan pertama negara memulakan misi penyelidikan di Stesen Angkasa
Antarabangsa (ISS). Penghantaran angkasawan pertama negara itu, sekali gus
menempatkan Malaysia dalam kumpulan elit 37 negara di dunia yang berjaya menakluki
angkasa lepas sejak kejayaan misi pertama manusia ke cakerawala oleh angkasawan
bekas Soviet Union, Yuri Gagarin pada 12 April 1961.
Impian Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi
realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr
Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, selamat dilancarkan dari Kosmodrom
Baikonur, Kazakhstan..

Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa
Antarabangsa (ISS) tepat jam 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia), mencatat satu
lagi kegemilangan dalam lipatan sejarah negara di peringkat antarabangsa. Dr Sheikh
Muszaphar, 35, juga mencatat sejarah sebagai angkasawan Islam pertama yang berpuasa
dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Selain Dr Sheikh Muszaphar Shukor, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga
disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri
Malenchenko dari Russia. Di ISS, angkasawan negara akan menjalankan tiga eksperimen
berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.
Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula pada April 1961 apabila angkasawan
pertama, Yuri Gagarin membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa
108 minit, menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat lima tan.

Anda mungkin juga menyukai