Anda di halaman 1dari 2

TEORI RELEVANS

Teori relevans telah dicadangkan oleh Sperber dan Wilson (1986) bagi menggantikan
teori Grice. Teori relevans mencakup fakta tentang pembentukan dan pemilihan konteks
serta prinsip relevans. Teori ini juga menekankan aspek perbualan lisan, kesan poetik,
dimensi penggunaan bahasa dari segi deskriptif dan interpretif, ujaran literal, metafora,
ujaran gemaan, ironi, dan juga pertuturan (speech acts). Seperti yang telah dikatakan di
atas, teori ini lebih menekankan bentuk komunikasi yang dapat difahami antara penutur
dan pendengar. Selain itu, penutur seharusnya dapat menjamin yang diperbual itu benar-
benar relevan serta sesuai untuk difahami oleh pendengar. Dengan kata lain, penutur
dapat memastikan yang diperkata itu mempunyai ciri relevan yang optimal. Relevan yang
optimal bermaksud setiap ujaran itu mempunyai kesan kesan konteks yang maksimum
yang dapat dirumuskan dalam masa sesingkat mungkin. Dengan itu, konteks haruslah
seimbang dengan masa memproses bagi menghasilkan kandungan maklumat yang
diharapkan.

Apabila sesuatu ujaran disampaikan, menjadi tanggungjawab si penutur untuk


menjamin maklumat yang disampaikan itu relevan dan setimpal dengan perhatian yang
diberikan oleh pendengar apabila diproses mengikut konteks. Bagi pendengar dia cuba
untuk memperoleh kesan konteks yang mencukupi dan kesan ini mestilah mudah untuk
diperoleh. Kerjasama yang erat ini memungkinkan maklumat dapat disampaikan dengan
mudah bagi penutur dan bagi pihak pendengar pula dapat menerima maklumat yang tepat
dan jitu. Untuk memproses maklumat dengan tepat, teori relevan telah menetapkan tiga
gagasan utama iaitu konteks, kesan konteks dan kos memproses. Tiga gagasan ini dibantu
oleh subgagasan yang lain iaitu pengayaan, pemilihan rujukan, dan penyahtaksaan
maklumat bagi melicinkan penginterpretasian makna. Konteks adalah seberkas andaian
tentang dunia yang dibina secara psikologi oleh pendengar. Ia tidak terhad kepada
maklumat tentang persekitaran fizikal yang paling dekat dan ujaran terdahulu yang paling
hampir. Konteks juga dapat melibatkan masa depan, hipotesis santifik atau kepercayaan
keagamaan, kenangan lucu, andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap
pemikiran si penutur. Kesemuanya memainkan peranan dalam interpretasi. (Sperber dan
Wilson; 1986:15). Kita seharusnya sedar bahawa pembinaan konteks adalah bahagian
terpenting dalam penginterpretasian ujaran, perkara yang berlaku iailah daripada bentuk
proposisi yang didengar, si pendengar akan menetapkan konteks yang sesuai bagi
melahirkan (kesan konteks).
Selain konteks, kesan konteks juga penting bagi menghuraikan proses pemahaman
sesuatu ujaran. Sesuatu ujaran dianggap lebih relevan jika mempunyai lebih kesan
konteks. Soalnya sekarang apakah yang dimaksudkan dengan kesan konteks? Kesan
konteks ialah andaian awal yang ada pada pendengar. Dalam perbualan pendengar akan
menggabungkan atau memperkuat atau menggugurkan konteks yang dikemukakan
oleh penutur dengan andaian awalan yang sedai ada bagi menghasilkan kesan konteks.
Bagaimana kesan konteks terbina? Dalam perbualan, pendengar akan membina
kemudiannya memproses beberapa andaian sebagai wacana awalan. Latar belakang
konteks akan terus berubah selagi ada maklumat baru ditambah. Iai bermakna kita akan
terus membuat andaian baru kepada andaian yang telah sedia ada dan juga telah diproses
pada peringkat awalnya. Jadi, bagi mengelakkan kekeliruan, pendengar mestilah sentiasa
sedar bahawa apabila beliau menginterpretasi sesuatu ujaran, beliau tidak hanya terbatas
kepada andaian lama yang telah sedia ada. Tetapi juga harus peka dengan kehadiran
maklumat serta andaian baru.
Seterusnya, kos memproses ialah usaha pendengar dalam memproses maklumat
atau makna ujaran. Sekirnya ujaran itu dapat difahami dengan mudah, maka kos
memproses maklumat bagi ujaran tersebut dapat dianggap rendah. Tetapi jika ujaran yang
dihasilkan itu dipenuhi dengan soalan-soalan, ia akan meningkatkan lagi kos memproses
sesuatu ujaran. Sesuatu ujaran akan dianggap kurang relevan sekiranya kos memproses
tinggi. Bagi pihak penutur, os memproses penting bagi memastikan ujarannya dapat
difahami dengan mudah oleh pendengar.