Anda di halaman 1dari 3

Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan

PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang
pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu,
jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen
perubahan.
Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu " Guru : Pencetus
Kreativiti, Penjana Inovasi " adalah amat bertepatan sekali.
Sememangnya diakui bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan
dapat menyediakan murid-murid yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih
mencabar. Peranan teknologi maklumat sangat penting dalam sistem pendidikan yang semakin
mencabar dan menghadapi persaingan global ini. Dunia yang dianggap sudah tidak bersempadan
daripada sudut pergerakan maklumat telah memberikan inspirasi supaya setiap sekolah
menerima tanpa soal jawab aplikasi dan implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan.
Hal ini telah disedari oleh kerajaan dan kerajaan mula mengatur langkah bagi
menghadapi situasi tersebut. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya
pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Kerajaan mula mengorak langkah dengan
menyediakan barisan guru yang mantap dan berpengetahuan luas terutamanya dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi.
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan teknologi maklumat dan
komunikasi memerlukan anjakan peranan pendidikan dan profesion keguruan. Untuk mencapai
matlamat menjadikan negara sebagai negara yang maju, kita memerlukan lebih ramai guru yang
mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat.
Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar
dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam
pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan
kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus
berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau
apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran
sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku
kanak- kanak.
Menurut Abd. Ghafar Ketua Pengarah Pelajaran (2012), usaha memartabatkan profesion
keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan
atau kementerian sahaja.
Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan
berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.
"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan
sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.
"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini
seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid
untuk menimba ilmu," jelasnya.




















RUJUKAN

Rahim Selamat. (1992). Teknologi Sistem Pengajaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Maizun binti Jamil. (2009). Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam
Pendidikan Telah Memberi Kesan Positif Dalam Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran Di
Institusi Pengajian Tinggi. Penilaian Tahap Kecekapan. Universiti Putra Malaysia.

Robiah Ridin & Nor Sakinah Mohamad. (2007) ICT dalam Pendidikan: Prospek dan Cabaran
dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007).

Peranan guru jana transformasi pendidikan.Oleh Mohd Fadzly Mohd
Izab.pendidikan@utusan.com.my