Anda di halaman 1dari 9

ANALISIS KARYA AGUNG

RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI PENSEJARAHAN MODEN.


BINCANGKAN.

1.0 PENDAHULUAN:

Kajian kali ini adalah berkaitan dengan teks Salalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah
Melayu. Saya akan mendiskusikan teks ini dalam kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai
maksud itu, saya akan membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini berdasarkan pelbagai aspek.
Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini adalah berkaitan dengan penggunaan pandangan
dan kaedah pensejarahan barat terhadap teks Salalatus Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya
pensejarahan tradisional umumnya dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan dikaji dengan
mengaplikasikan teori-teori dan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh para sarjana barat. Oleh
yang demikian, kajian ini akan mengupas perihal ini dengan lebih lanjut untuk mencapai solusi yang
bernas dalam menjawab persaolan ini.

2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:

Penggunaan konsep pensejarahan yang lebih saintifik dilihat bermula hasil daripada cetusan idea
yang dicanang-canangkan oleh Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada abad ke-
19.[1] Konsep yang agak sinonim dengan diri beliau dalam dunia pensejarahan ialah konsep yang
berbunyi Saya hanyalah berhajat semata-mata untuk memperlihatkan bagaimana keadaannya yang
sebenar (wie es eigentlich gewesen).*2+ Menurut Profesor Leonard Krieger, Ranke merupakan
seorang yang memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan kajian yang lebih kritikal terhadap
sumber-sumber. Beliau juga telah memperkenalkan beberapa lagi konsep pengkajian sejarah.
Antaranya ialah konsep Historicism dan Quellinkritik.*3+

Selain itu, sejarah yang dikatakan sebagai suatu displin ilmu yang ilmiah menurut pandangan
R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat ciri. Pertama, sejarah yang bersifat ilmiah ialah sejarah
yang bersifat saintifik iaitu bermula dengan mengemukakan pelbagai persoalan. Persoalan-persoalan
yang dikemukakan oleh ahli sejarah adalah bertujuan mencari jawapan terhadap setiap perkara yang
dikaji oleh mereka. Kedua, sejarah juga perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan iaitu
mengemukakan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada waktu-waktu tertentu
pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan suatu bidang kajian yang rasional dan
memerlukan bukti-bukti tertentu dalam penyelidikannya. Akhirnya, sejarah juga perlulah bersifat
menjelaskan diri iaitu dapat memberi pengetauhan dan penerangan tentang sesuatu perkara yang
telah berlaku dan mungkin berlaku.

Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga memperlu mempunyai empat ciri yang tertentu iaitu
berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu
bersifat objektif.[4]Selain itu juga, isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang pensejarahan
moden. Menurut Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun
mengenakan penilaian tertentu kepada peristiwa sejarah atau kepada seorang pelaku dalam
sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini diaplikasikan dalam bidang pensejarahan bertujuan
memastikan sejarah yang ditulis itu benar-benar objektif dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara
inilah yang mencetuskan sedikit permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan tradisional di
negara ini. Hal ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang tersurat dalam teks-teks ini sememangnya
mempunyai percanggahan yang agak lebar umpama langit dan bumi. Justeru itu, timbullah
persoalan iaitu adakah layak karya-karya pensejarahan tradisional Melayu dinilai dan dikaji
berdasarkan teori-teori dan kaedah-kaedah ini.

3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:

Terdapat beberapa ciri khusus dalam karya pensejarahan tradisional. Kebanyakan ciri yang
terkandung dalam karya pensejarahan tradisional kelihatannya begitu bertentangan dengan ciri-ciri
pensejarahan moden. Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional ialah sejarah atau
historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk diperturunkan kepada generasi akan datang dan
mengandungi unsur-unsur kesusasteraan. Unsur-unsur sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair,
mitos, lagenda dan sebagainya.[6] Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi oleh unsur
penaungan iaitu kebanyakan penulisnya menulis dalam keadaan yang tidak bebas kerana
dikongkong oleh kuasa pemerintah. Ciri lain pula ialah terdapatnya unsur anakronistik iaitu kesilapan
atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang
sebenarnya.[7] Seterusnya, unsur mitos, lagenda, dongeng merupakan unsur yang kerapkali
mewarnai karya-karya pensejarahan tradisional yang akhirnya menyebabkan karya-karya ini
dihurungi pelbagai konterversi jika dilihat berdasarkan konsep pensejarahan moden.

4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI SUMBER SEJARAH:

Antara faktor yang menyukarkan karya Salalatus Salatin untuk berdiri sebagai sumber sejarah ialah
kerana karya ini tidak mempunyai ciri-ciri sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah. Menurut
R.G. Collingwood, sebuah hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat ciri iaitu bersifat saintifik,
bersifat kemanusiaan atau mengemukakan perkara-perkara yang tertentu pada masa yang lalu,
bersifat rasional dengan berdasarkan kepada bukti yang sahih dan perlu bersifat menjelaskan diri.[8]

Kaedah penulisannya yang dikatakan tidak rasional adalah disebabkan pengarangnya
mengaplikasikan pelbagai unsur magis yang bercorak mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya.
Hal ini berlaku kerana pengarangnya menulis bukan atas maksud untuk menghasilkan karya yang
bersifat ilmiah bahkan hanya untuk menyukakan kuasa sang pemerintah. Hal ini dapat difahami
berdasarkan petikan ini:

Setelah fakir allazi murakabun ala jahili (mendengar titah yang Maha Mulia itu), maka fakir
perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan
saniil alam, dan minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang
akram; maka fakir karanglah hikayat ini, kama samituhu min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan
duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini Sulalatus Salatin, yakni pertuturan segala raja-
raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri
umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan dibicarakan dengan sempurna bicara.*9+

Berdasarkan wacana ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa motif utama penulisan Tun Seri
Lanang adalah semata-mata untuk menyukakan hati pemerintah Johor yang pada ketika itu di bawah
pimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika itu sangat berpegang
kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi
dengan pengamalan konsep daulat dan tulah dalam suasana persekitaran masyarakat Melayu lama.

Selain itu, antara isu yang mencetuskan konterversi terhadap karya ini adalah disebabkan
penggunaan kaedah pensejarahan yang dipraktikkan oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun
Seri Lanang mengaplikasikan lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang kebanyakan sejarahwan
fahami masa kini?. Ternyata Tun Seri Lanang hanya menggunakan sumber bertulis dan sumber lisan
dalam skop penulisannya. Antara sumber bertulis paling pokok yang digunakan ialah teks Sejarah
Melayu induk sendiri yang dibawa dari Goa. Hikayat ini kemudiannya diperbaiki dan disunting
semula sehingga akhirnya teks ini dinamakan dengan istilah Sulalatus Salatin.*10+ Sumber lain yang
digunkan ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang tradisi dan naratif Iskandar
Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang mengisahkan Raja Suran yang mendirikan negeri di benua
Keling dan Hikayat Raja-Raja Pasai tentang kerajaan tua Pasai. Selain sumber ini, pengarang juga
menggunakan kaedah sumber lisan. Penggunaan kaedah ini sememangnya popular pada abad ke-16
dan abad ke-17.[11] Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai kelemahan kerana
kaedah ini secara lazimnya mudah dicemari dengan unsur-unsur tokok-tambah yang akhirnya
mencemarkan sifat sejarahnya. Hal inilah yang menyukarkan karya ini untuk layak berdiri sebagai
sumber sejarah. Sedangkan Bapa Sejarah Dunia iaitu Herodotus juga seringkali dikecam oleh
beberapa sarjana tentang gelarannya sebagai pelopor sejarah dunia walaupun beliau telah
menjalankan beberapa kaedah penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian dalam
penghasilan karya beliau yang berjudul Sejarah Perang Parsi.*12+

Selanjutnya, persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada yang berbunyi adakah Tun Seri
Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan kritikan dalaman sewaktu penghasilan penulisan beliau.
Jika beliau dikatakan ada mengaplikasikan kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang
berbentuk magis dan anankronistik tidak akan wujud dalam karya tersebut. Disamping itu, untuk
sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai sumber sejarah perlulah dijalankan aktiviti penafsiran sumber
berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan sumber tersebut.

Sementelahan itu, Salalatus Salatin juga dilihat hanya mampu berdiri sebagai sebuah karya sastera.
Salalatus Salatin adalah sebuah hasil sastera sejarah iaitu sebuah karya ciptaan berjasadkan sejarah.
Sejarah yang dipaparkan dibentuk oleh matlamat-matlamat di luar sejarah dan dibungai dengan
pelbagai gejala yang mencairkan sifat kesejarahannya.[13] Menurut Ahmad Mahmood Musanif,
Salalatus Salatin hanya layak dilihat sebagai hasil sastera sejarah. Hal ini dapat difahami berdasarkan
petikan ini.

Sejarah Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam kategori hasil sastera sejarah kerana karya
ini hanya mengambil bahan-bahannya dari peristiwa-peristiwa sejarah, baik sejarah mengenai
sebuah negeri maupun sejarah mengenai seseorang pahlawan atau raja serta kandungannya pula
dipenuhi oleh unsur dongeng dan puisi yang indah.*14+

Kelihatannya, faktor utama yang menyebabkan sesetengah sarjana agak sukar untuk mengiktiraf
Sulalatus Salatin sebagai sumber penulisan sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih
kerap menampilkan elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak pantun, gurindam
dan syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh sastera dan budaya asing iaitu Hindu
dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur emas
dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama
juga muncul pada nama-nama tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa
Sanskrit yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi agama Hindu merujuk
kepada suatu upacara mensucian seseorang Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang
ditonjolkan dalam teks Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci yang
lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran Parameswara. Walaupun
terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu,
contoh lain yang adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep devaraja telah
diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri
Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu sahaja,
pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan dengan konsep
baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan sewaktu perlantikan seseorang khalifah.
Maka mungkin kerana ini terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus
Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak untuk
dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai. [19]

Seterusnya, sebab utama yang menyebabkan karya ini kurang layak untuk berdiri sebagai sumber
sejarah adalah kerana isi kandungannya yang lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur
mitos, lagenda, khayalan dan hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John Crowfort mengatakan:
Sejarah Melayu adalah karya dimana pengarangnya telah mengkahwinkan keadaan semasa dengan
dongeng-dongeng dan legenda-legenda yang terdapat dalam cerita dewa-dewi.*20+ Manakala
J.C.Bottom pula mengatakan, history as the Malay has seen it a mixture of truth and legend,
fantasy and fact, entertainment and instruction.*21+ J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah bagi
orang Melayu bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh penulis sastera yang
berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan fakta dan konkrit.[22] Ternyata,
pandangan ini mempunyai kerelevanannya yang tersendiri. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan
petikan ini: a demon with eyes as red as flame, with creel- like matted hair and a beard down to
his waist.*23+ Petikan memaparkan bahawa Badang telah berdepan dengan sejenis makhluk yang
mempunyai paras rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah benar-benar wujud makhluk yang
sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah daripada sang penulis.


Selain itu, tiada konsep pentarikhan yang tepat dalam teks Salalatus Salatin. Ada yang berpendapat
bahawa Salalatus Salatin dikarang pada hari Khamis iaitu yang terdapat dalam pendahuluan hikayat
yang berbunyi seribu dua puluh satu tahun kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan Rabiul
Awal kepada hari Khamis iaitu bersamaan 13hb Mei 1612.*24+ Tetapi ada juga tokoh yang
mengatakan Salalatus Salatin dikarang pada hari Ahad. Selain itu juga, sesuatu peristiwa yang
berlaku mestilah mengikut kronologi. Namun begitu, dalam teks ini, perkara yang mengikut
kronologinya adalah sesuatu peristiwa yang berlaku tetapi masa dan juga tahun sesuatu peristiwa
yang berlaku tidak dapat diperoleh. Kronologi sejarah juga dikaitkan dengan rentetan peristiwa yang
teratur mengikut urutan masa dari awal hingga yang terakhir.[25] Misalnya seperti kisah pelayaran
Sri Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa kewujudan tarikh
dalam peristiwa, sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap sebagai sumber sejarah. Teks Salalatus
Salatin juga mengandungi unsur anankronistik iaitu kesilapan atau percanggahan untuk
menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat pada zaman yang sebenarnya.[26]

5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK SULALATUS SALATIN:

Sulalatus Salatin walaubagaimanapun menyemat 1001 macam kebenaran dan keunikannya yang
tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu dikaji dan diselidiki dalam pelbagai aspek yang meluas
dan universal. Hal ini kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik isinya yang tersurat.
Antara peranan penting yang dimainkan oleh karya ini adalah bertindak sebagai salah satu rujukan
penting dalam mengkaji perihal suasana kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu terutamanya
pada abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika menulis berkaitan dengan kehidupan masyarakat
Melayu zaman dahulu berdasarkan sumber barat terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana
kolonial seperti R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan menimbulkan
masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun interpretasi yang dikemukakan oleh sarjana ini
lazimnya berdasarkan kaca mata barat. Kebanyakan mereka dilihat memanipulasikan soal
entosentrisme. Entnosentrisme secara mudahnya ialah kepercayaan bahawa kebudayaan sendiri
lebih unggul, tinggi nilainya dari kebudayaan lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai
kebudayaan lain berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya, seperti orang Eropah
yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil apabila masyarakat Asia makan dengan
menggunakan tangan dan memasuki rumah mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan
masyarakat Eropah makan dengan menggunakan sudu dan garpu serta memasuki rumah mereka
dengan menggunakan alas kaki. Oleh sebab itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang
menekankan pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya masyarakat
peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana kehidupan masyarakatnya. Hal inilah yang
membawa kepada kemunculan konsep Malaysia-sentrik iaitu karya sejarah atau apa-apa karya yang
mempunyai nilai sejarah tentang negara ini atau satu bahagian yang dahulunya terangkum dalam
entiti Melayu. Berdasarkan konsep ini, hanya sarjana tempatan sahaja dilihat lebih layak menulis
tentang sejarah Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi :

Sejarah Melayu benar-benar merupakan satu sumber terpenting bagi pengkajian Sejarah Alam
Melayu umumnya dan Melaka khususnya pada zaman sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Tidak ada buku atau manuskrip lain yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka dengan cara
yang lebih baik dan jelas dari Sejarah Melayu.*28+

Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam
penghasilannya. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara
kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri.[29] Mereka mampu berfikir melalui
bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear
tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau kita belajar daripada sejarah budaya dan tamadun
bangsa Melayu itu, kita akan dapati bahawa tiga akar tunjang iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu
dan agama Islam itulah model yang membentuk pandangan dan jati diri atau identiti Melayu
sebagai suatu bangsa yang bebas, berdaulat, bermaruah, berakal budi, bijaksana dan bermoral tinggi
sepanjang zaman. Selama lebih 430 tahun dunia Melayu-Indonesia berada dalam zaman globalisasi
penjajahan yang dibawa oleh tiga kuasa Barat, Portugis, Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat
menakjubkan ialah bangsa Melayu itu masih mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga hari
ini. Kita tidak menjadi suku kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di Amerika yang tamadun
mereka, budaya mereka dan bahasa mereka dimusnahkan oleh kuasa penjajah dari Eropah. Orang
Melayu terus dapat berkembang menjadi bangsa atau nation yang mempunyai kerajaan, agama,
budaya dan kesusasteraan yang tinggi.

Sementelahan itu, kajian terhadap karya pensejarahan tradisional perlu dilihat berdasarkan kajian
yang tersirat. Kajiannya tidak boleh dilihat secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya tersirat
disebalik yang tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor yang memudahkan
masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun kepercayaan Hindu-Buddha telah lama
menapak dalam hati dan sanubari mereka. Dalam isu ini, kita dapat melihat bahawa betapa
terbukanya minda Melayu.[30] Kita melihat apabila budaya Hinduisme dan Islam yang datang secara
aman, tidak melalui paksaan, tidak melalui pedang dan peperangan, maka budaya dan kepercayaan
ini mudah berkembang di rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila orang Melayu
sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan pemikiran yang cukup
revolusioner. Namun, apabila budaya atau tamadun dari luar itu cuba dipaksakan kepada orang
Melayu melalui keganasan, peperangan dan penjajahan, maka mereka akan menolaknya. Orang
Melayu menolak budaya Portugis kerana bangsa Eropah datang secara agresif; mereka memerangi
orang Melayu dan merampas kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa
orang Melayu tidak masuk Kristian dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya mereka,
padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus tahun (hingga tahun 1641).

Selanjutnya, kita juga akan melihat bahawa lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam teks Sulalatus
Salatin seperti Temasik atau Singapura, Palembang, Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau,
Tanjung Pura, Srivijaya, Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud sehingga kini. Berdasarkan
hujah ini, ternyata menilai karya pensejarahan tradisional Melayu berdasarkan kaca mata barat
adalah suatu kesilapan. Hal ini didorong oleh beberapa faktor seperti faktor perbezaan budaya,
tujuan penulisan teks dan kaedah penulisan. Pensejarahan moden yang menggunakan rujukan atau
sumber barat tidak sesuai untuk menilai karya pensejarahan tradisional. Hal ini hanya mendorong
kepada isu berat sebelah dan akhirnya pensejarahan baratlah yang akan mendominasi pensejarahan
tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan penulisan yang berbeza juga menyebabkan pensejarahan
tradisional tidak relevan dinilai berdasarkan kaca mata barat.

Karya pensejarahan tradisional lazimnya bertujuan memaparkan sejarah keagungan
negara,pemerintah dan bangsanya sedangkan pensejarahan moden ditulis dengan tujuan untuk
memaparkan penulisan sejarah yang bersifat saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya penulisan juga
berbeza. Kebanyakan karya pensejarahan tradisional diwarnai dengan unsur-unsur kesusasteraan
seperti sajak,puisi,gurindam dan mitos.[31] Unsur-unsur ini diaplikasikan untuk memenuhi sifat
masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur tersebut juga penting sebagai hiburan atau penarik
serta kritikan terhadap pihak tertentu secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini
dilihat berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah sekali. Menurut
Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti sahih dan buannya daya imaginasi semata-
mata seperti mana yang dilakukan oleh penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya, penulisan
sejarah pada hari ini yang dianggap moden dan saintifik mungkin juga akan dianggap sebagi
ketinggalan zaman dan tidak saintifik pada masa akan datang.





6.0 KESIMPULAN:

Jelasnya, karya pensejarahan tradisional umunya dan karya Sulalatus Salatin khususnya tidak layak
untuk diukur atau dinilai berdasarkan kaca mata barat. Hal ini kerana, terdapat perbezaan yang amat
ketara antara pensejarahan tradisional dengan pensejarahan moden yang dibentuk barat. Justeru itu,
karya pensejarahan tradisional sememangnya layak untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah
kerana kandungannya yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan masyarakat
peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang kebanyakannya ditulis oleh para
sarjana kolonial. Hal ini kerana, kebanyakan para sarjana kolonial menulis dengan persepsi yang
kurang menyenangkan terhadap suasana kehidupan masyarakat peribumi pada masa silam dan
akhirnya hal ini membawa kepada unsur berat sebelah kepada sejarah masyarkat peribumi. Jelasnya,
untuk mengenepikan karya pensejarahan tradisional sebagai rujukan sejarah adalah suatu perkara
yang tidak relevan walaupun kebanyakannya isi kandungannya bercanggah dengan konsep dan teori
pensejarahan moden.



BIBLIOGRAFI.
BUKU:

Ahmad Mahmood Musanif. 1992. Pemahaman dan Penghayatan Sejarah Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.
Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu or Malay Annals (terj.). London: Oxford University Press.
Flaron bin Daud. 1985. Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi
Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber,
Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah Terpilih Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints
Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarahwan dan Pensejarahan: Ketokohan
dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim (eds.). 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican.
Suntharalingam, R. 1987. Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th Edition. 2001. Colombia: University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh. 1978. Sejarah Melayu: Satu Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai
Bidang. Kuala Lumpur: Heineman Educational Book (Asia) Ltd.

ARTIKEL:

Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. "Sejarah Melatyu: Antara dan Dakyah". Kajian Malaysia, Jilid III,
NO.2.
Bottom, J.C. 1962. "Malay Historical Works" dalam K.G.Tregonning (ed.). Singapore: Malaysian
Historical Sources.
Hassan Ahmad. 2007. "Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu Terhadap Dirinya", dalam
Dewan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thilagavathi Gunalan, V. 2005. "Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan: Parameswara dalam teks
Sejarah Melayu" dalam Prof.Emeritus DatoDr. Mohd Yusoff Hashim (penyt.), Parameswara Pengasas
Empayar Melaka. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP.
Yusoff Iskandar. 1986. "Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah", dalam Zahrah Ibrahim
(penyt.), Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sumber: http://jironakamura.blogspot.com/2007/09/relevankah-sulalatus-salatin-dinilai.html

Anda mungkin juga menyukai