Anda di halaman 1dari 2

SETIAP tahun, penduduk dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar pada tarikh 5 Jun.

Pilihan tema tahun ini


adalah Pelbagai Spesies, Satu Planet, Satu Masa Depan (Many Species, One Planet, One Future). Jika disentuh
tentang alam sekitar, pasti tergambar di kotak fikiran kita betapa dunia kini sarat dengan pelbagai jenis masalah
dan pencemaran. Selain isu pemanasan global yang tidak henti-henti dibincangkan umum, masalah lain seperti
pencemaran sungai, pencabulan hutan, jerebu dan lain-lain turut menjadi perbahasan hangat di merata dunia.
Tidak terkecuali, negara kita juga dilanda aneka bentuk pencemaran yang jika tidak diatasi akan membawa
padah kepada seluruh generasi. Antara pencemaran yang begitu menjejaskan alam sekitar di kawasan bandar
adalah sungai tercemar.
Satu ketika dahulu, sungai dikaitkan sebagai nadi kehidupan masyarakat terutama pada zaman awal pembukaan
penempatan manusia.
Malah, bandar purba dan sebahagian bandar moden hari ini tumbuh dan berkembang di sekitar muara-muara
sungai di seluruh dunia. Misalnya, penempatan bandar pertama dunia iaitu Uruk, Erina dan Ur kira-kira 6,000
tahun lalu (4000 SM) di Mesopotamia dan Babylon dibina di lembangan sungai yang subur di Sungai Tigris dan
Sungai Euphrates. Manakala banyak bandar-bandar utama di Malaysia hari ini berkembang di kuala-kuala
sungai, misalnya Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Fakta itu membuktikan kepentingan sungai sudah menyerlah sejak ribuan tahun lalu sebagai sumber yang
membekalkan air bagi keperluan harian, pertanian, dan sistem pengangkutan utama.
Namun, kepentingan itu semakin dilupakan apabila sungai-sungai yang pernah menjadi nadi kehidupan manusia
'rosak' dan semakin tenat.
Lihat sahaja betapa Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal dalam senarai antara sungai paling
tercemar di negara ini.
Tahap pencemaran kedua-dua sungai itu menyebabkan kualiti airnya diletakkan di dalam kelas 4 (tercemar) dan
kelas 5 (mati).
Bahan pencemar utama di kedua-dua sungai itu adalah sisa dari kilang-kilang yang banyak terdapat di kedua-dua
tebing sungai tersebut.
Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar sehingga mencecah ratusan juta ringgit
untuk memulihkannya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris
berkata, lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, pemantauan dilakukan mengikut hari, tetapi jika sungai tersebut mempunyai loji pembersihan air
untuk bekalan air penduduk, maka pemantauan akan dilakukan mengikut jam.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk
memulihkan sungai tercemar.
"Jumlah itu memang besar, tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk memulihkan pencemaran sungai di
seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia.
Pencemaran sungai yang teruk mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara memandangkan kos
pemulihan sungai memakan dana yang besar.
Kos bagi tujuan pemulihan sungai adalah antara RM100 juta hingga RM400 juta.
Adalah lebih baik jika peruntukan yang amat besar itu digunakan untuk tujuan lain khususnya dalam
menyediakan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.
Mengulas kaedah pemulihan sungai, Dr. Ahmad Zaharin berkata, terdapat tiga kaedah yang digunakan iaitu
fizikal, kimia dan biologikal.
Kaedah fizikal memerlukan satu sistem penapis diletakkan di sungai bagi memproses sistem pengudaraan di
dalam air sekali gus meningkatkan kualiti air.
Kaedah itu didapati berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kurang praktikal untuk jangka masa panjang.
Manakala kaedah kimia melibatkan rawatan kualiti air dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.
Dr. Ahmad Zaharin yang menumpukan pada kaedah biologikal berkata, ia menggunakan konsep teknologi hijau.
"Saya telah menjalankan kajian di makmal yang mana saya dapati terdapat mikrob dan bakteria yang telah
dikultur mampu merawat air tercemar," ujarnya sambil memberitahu jenis bakteria yang digunakan adalah
daripada keluarga basilus.
Menjelaskan kaedah itu, katanya ekstrak yang diambil dari bakteria tersebut akan bertindak sebagai bahan
pengumpul (bioflocullant) bahan-bahan terampai di dalam sungai tercemar.
Mengulas mengenai punca utama pencemaran sungai, katanya ia berpunca daripada aktiviti pembangunan tanah
dan pelepasan sisa dari kilang. Selain itu, penyumbang lain adalah sisa dari ladang ternakan babi yang mana ia
dilepaskan ke dalam sungai sehingga ada sungai yang 'mati' akibatnya.
Sehubungan itu, Dr. Ahmad Zaharin menasihatkan tauke ternakan babi menerima cadangan supaya sistem
ternakan berpusat dapat dijalankan di negara ini.
"Memang kos permulaan mahal untuk membangunkan sistem ternakan berpusat seperti di negara maju, tetapi
untuk jangka masa panjang, ia lebih baik. Bak kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat," katanya yang
merujuk pencemaran sungai merupakan antara faktor merebaknya wabak penyakit tertentu.
Beliau yang kesal dengan sikap masyarakat tempatan yang masih tidak berubah dengan menjadikan sungai
sebagai 'tong sampah', memberitahu keadaan itu diburukkan lagi dengan masalah penempatan haram pendatang
tanpa izin dari Indonesia, India, Sri Lanka dan Bangladesh.
Menurutnya, sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing dari negara-negara tersebut yang menjadikan
kawasan tebing sungai sebagai penempatan mereka, menjejaskan lagi kualiti air sungai terutama di kawasan
bandar.
"Mereka membawa mentaliti dari negara asal iaitu membuang sampah di dalam sungai adalah perkara biasa,"
ujarnya.
Justeru, pihak berkuasa tempatan perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap agar
penempatan haram di tebing-tebing sungai diruntuhkan demi kesejahteraan sungai kita.


Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0605&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2v41
fiIPU
Utusan Melayu (M) Bhd

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

Anda mungkin juga menyukai