Anda di halaman 1dari 13

1.

2 PROSES PEMBENTUKAN KATA DALAM BAHASA MELAYU


Dalam bahasa Melayu, perkataan yang terhasil melalui empat proses iaitu
proses tunggal (kata tunggal), proses pengimbuhan (kata terbitan), proses
pemajmukan (kata majmuk), dan proses penggandaan (kata ganda).

Rajah 1.2.1 : Pembentukan Kata Bahasa Melayu
Berdasarkan rajah di atas, perkataan bahasa Melayu dapat dihasilkan melalui
empat proses pembentukan kata. Setiap proses akan menghasilkan kata yang
berbeza. Sebahagian besar perkataan bahasa Melayu terhasil melalui proses
terbitan iaitu kata dasar menerima imbuhan untuk membezakan makna kata.
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), bahasa Melayu merupakan salah satu
bahasa di dunia yang tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang
bersifat derivatif. Jenis bahasa yang sedemikian membentuk kebanyakan
perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar
dengan morfem imbuhan secara rentetan mendatar, iaitu imbuhan digabungkan
serentak dengan kata dasar, sama ada mendahului (awalan), menyisip (sisipan)
atau mengikuti (akhiran) kata dasar tersebut.
Selain menghasilkan perkataan melalui proses pengimbuhan, perkataan
bahasa Melayu juga boleh terhasil melalui proses pemajmukan dan penggandaan.
Melalui proses pemajmukan, makna-makna baharu kata dapat dihasilkan khususnya
bagi menjelaskan sesuatu konsep. Misalnya, dua kata iaitu meja dan makan dapat
menghasilkan satu konsep baharu iaitu meja makan. Melalui proses penggandaan
pula, makna jamak atau banyak dapat dihasilkan bagi sesuatu perkataan.

PEMBENTUKAN
KATA
Kata Tunggal Kata Terbitan Kata Majmuk Kata Ganda
1.2.2 Bentuk Kata Tunggal
Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima
sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan pemajmukan.
Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal,
iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang
mengandungi dua suku kata atau lebih. Jika dilihat dari segi penyukuan kata,
perkataan boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.
Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) sahaja, satu vokal
disertai satu konsonan (K), atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan-
konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak dihadapan dan
di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).
Dalam bahasa Melayu, proses pembentukan kata tunggal boleh dilihat melalui
pola vokal dan konsonan dalam sesuatu kata. Pembentukan kata tunggal terhasil
melalui gabungan vokal dan konsonan yang akan dijelaskan seperti berikut: Akronim
juga tergolong dalam kata jenis ini juga.
(a) Kata Tunggal Satu Suku Kata
Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), jumlah keseluruhan kata tunggal
dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu sangat terhad, iaitu antara 500-1000
kata sahaja. Kebanyakan perkataan tersebut merupakan kata pinjaman daripada
bahasa-bahasa asing, terutamanya bahasa Arab, bahasa Inggeris, dan bahasa
Jawa. Pola pembentukan kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata
adalah seperti berikut:
1. KV (ya, yu)
2. VK (am)
3. KVK (tin, sen)
4. KKVK (gred, graf)
5. KVKK (golf, bank)
6. KKKV (skru)
7. KKKVK (skrip)


(b) Kata Tunggal Dua Suku Kata
Terdapat banyak perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada dua suku
kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan suku kata adalah seperti yang berikut:
1. V + KV (ini, apa)
2. V + VK (air, aur)
3. V + KVK (alas, ulat)
4. VK + KV (asli, anda)
5. VK + KVK (indah, umbut)
6. KV + V (dia, doa)
7. KV + VK (luas, laut)
8. KV + KV (bata, kata)
9. KV + KVK (kapak, telus)
10. KVK + KV (bantu, serta)
11. KVK + KVK (jemput, sandar)

(c) Kata Tunggal Tiga Suku Kata
Dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata, jumlah kata tunggal dengan
tiga suku kata agak kecil. Namun demikian pola-pola susunan konsonan-vokalnya
agak banyak. Jika diperhatikan perkataan-perkataan tiga suku kata ini banyak
daripadanya ialah kata-kata pinjaman (Nik Safiah Karim et al. 2009). Antara pola-
polanya:
1. KV + V + KV (suara, tiada)
2. KV + V + KVK (kaedah, ziarah)
3. V + KV + V (idea, asia)
4. KV + KV + V (peria, petai)
5. KVK + KV + V (pantai, santai)
6. KV + KV + VK (keluar, seluar)
7. KVK + KV + VK (berlian, tempias)
8. V + KV + KV (usaha, azali)
9. V + KV + KVK (alamat, akibat)
10. VK + KV + KV (asmara, antara)
11. KV + KV + KV (budaya, sutera)
12. KVK + KV + KV (kembara, misteri)
13. VK + KV + VK (ilmiah, ikhtiar)
14. V + KV + VK (akaun, amaun)
15. KV + KV + KVK (selaput, kelawar)
16. KVK + KV + KVK (mahkamah, sembilan)
17. KV + KVK + KV (terumbu, kelambu)
18. KVK + KVK + KV (sempurna)
19. KV + KVK + KVK (kelompok, pelantar)

(d) Kata Tunggal Empat Suku Kata dan Lebih
Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata
dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contoh-contohnya:
1. KVK + KV + VK + KV (biduanda, keluarga)
2. KV + KVK + KV + KV (bijaksana, peristiwa)
3. KVK + KV + KV + KV (bendahari, sandiwara)
4. KVK + KV + V + KV (sentiasa)
5. KV + KV + KV + KV (samudera, selesema)
6. KV + KV + KV + KVK (muzakarah, kapitalis)
7. KVK + KV + KV + KVK (sentimeter)
8. KVK + KVK + KV + KV (dispensari, singgahsana)
9. KV + KV + V + KVK (mesyuarat, nasional)
10. V + KV + KVK + KV + KV (universiti)
11. KVK + KV + KV + KV + KVK (kosmopolitan)
12. KV + KV + KV + KV + KV + KV (maharajalela)





1.2.3 Bentuk Kata Terbitan
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), kata terbitan ialah bentuk perkataan
yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan
imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang
disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar
ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata
dasar sahaja merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan ialah bentuk
morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat, iaitu harus diimbuhkan pada
bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kedudukannya pada
kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
Contohnya :
1. Imbuhan Awalan Memasak,terjatuh, diambil
2. Imbuhan Akhiran Bantuan, besarkan, duduki
3. Imbuhan Apitan Menyalahkan, meratapi
4. Imbuhan Sisipan Gerigi, selerak, seruling

(a) Imbuhan Awalan
Imbuhan awalan ialah imbuhan yang hadir pada awal kata dasar. Imbuhan
awalan dapat dihasilkan bersama-sama kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan
kata adjektif terbitan seperti yang disenaraikan berikut:
(i) awalan kata nama (ii) awalan kata kerja (iii) awalan kata adjektif
Contohnya :
(i) awalan kata nama
Pe- (penulis, perakus, penyapu)
Pem- (pemberi, pembuat, pembuka)
Pen- (pendamai, pendua, penderma)
Peng- (penggosok, penggubal, pengguna)
Penge- (pengecat, pengetin, pengelap)
Pel- (pelajar, pelbagai)
Per- (perasap, perbara, pertapa)
Pe- (pesara, pesakit, petani)
Ke- (ketua, kelipat, kelepek)
Juru- (jurutera, juruwang, juruterbang)
Maha- (mahasiswa, mahaguru, maharaja)
Tata- (tatanegara, tatabahasa, tatacara)
Pra- (prasekolah, prakata, prasangka)
Sub- (subkelas, subsistem, substandard)
Supra- (suprakelas, suprasegmental)
Eka- (ekabahasa, ekawarna, ekasamping)
Dwi- (dwibahasa, dwifungsi, dwilambang)

(ii) Awalan kata kerja
Me- (melawan, menyikat, merasa)
Mem- (membawa, membilang, memfitnah)
Men- (mendaki, mendakwa, mentadbir)
Meng- (menggali, menggiling, mengikut)
Menge- (mengecat, mengekod, mengetut)
Memper- (memperisteri, memperluas)
Ber- (berjalan, berganti, berserta)
Be- (beraja, berasa, berupa)
Bel- (belajar, belunjur)
Ter- (terjebak, terbentuk, terjerlus)
Di- (diatur, ditimbang, disusun)
Diper- (diperisteri, dipercepat, diperoleh)

(iii) Awalan kata adjektif
Ter- (terbesar, terputih, terjernih)
Te- (teruncing, terendah, teringan)
Se- (secantik, secerah, setebal)



(b) Imbuhan Akhiran
Imbuhan akhiran ialah imbuhan yang hadir pada akhir kata dasar. Imbuhan
akhiran dalam bahasa Melayu hanya dapat wujud dalam kata nama terbitan dan
kata kerja terbitan sahaja seperti yang berikut:
(i) akhiran kata nama (ii) akhiran kata kerja
Contohnya:
(i) Akhiran kata nama
-an (pakaian, jahitan, mainan)
-wan (sasterawan, angkasawan, usahawan)
-man (budiman, seniman)
-wati (seniwati)
-isme (nasionalisme, sosialisme, komunisme)
-in (hadirin, muslimin)
-at (hadirat, muslimat)
-ah (ustazah, sultanah)

(ii) Akhiran kata kerja
-kan (buatkan, gunakan, besarkan, tinggikan)
-i (turuti, duduki, berkati, dekati)

(c) Imbuhan Apitan
Imbuhan apitan ialah imbuhan yang hadir serentak di hadapan dan belakang
kata dasar. Imbuhan apitan wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan
kata adjektif terbitan. Imbuhan apitan juga dikenali sebagai imbuhan terbahagi atau
imbuhan lingkungan. Jenis imbuhan apitan seperti yang disenaraikan berikut:
(i) apitan kata nama (ii) apitan kata kerja (iii) apitan kata adjektif
Contohnya:
(i) Apitan kata nama
Pe-...-an (pelaksanaan, perasaan, penyiaran)
Pem-...-an (pembuatan, pembinaan, pemfitnahan)
Pen-...-an (pentakrifan, pendapatan, pencarian)
Peng-...-an (penggunaan,pengguguran)
Penge-...-an (pengehadan, pengesahan)
Pe-...-an (persisiran, peperangan, perkarangan)
Per-...-an (persalinan, perkuburan, permainan)
Ke-...-an (kelainan, kelebihan, kedukaan)

(ii) Apitan kata kerja
Me-...-kan (memainkan, melukakan, menakutkan)
Men-...-kan (mendermakan, menzarahkan)
Mem-...-kan (membaharukan, memvetokan)
Meng-...-kan (menggunakan, menghairankan)
Ber-...-kan (beralaskan, berlaukkan, berbajukan)
Ber-...-an (berlanjutan, bermaafan, berjauhan)
Di-...-an (dibiarkan, digunakan, dibaringkan)

(iii) Apitan kata adjektif
Ke-...-an (keinggerisan, kearaban, kecinaan)


(d) Imbuhan Sisipan
Imbuhan sisipan ialah imbuhan yang hadir secara menyisip dalam sesuatu kata
dasar. Bentuk sisipan tidak produktif lagi dalam pembentukan kata terbitan dengan
maksud kata terbitan baharu tidak lagi dibentuk dengan sisipan. Bentuk-bentuk kata
sisipan sudah membeku dalam kata terbitan tertentu dan tidak dapat hadir dalam
perkataan-perkataan yang lain kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta.
Sisipan bahasa Melayu dapat wujud dalam: (i) kata nama (ii) kata adjektif
Contohnya:
(i) Sisipan kata nama
-el- (kelengkeng, telunjuk, kelabut)
-er- (keruping, seruling, serabut)

(ii) Sisipan kata adjektif
-el- (kelebak, selerak, gelembung)
-er- (serabut, gerigi)
-em- (gemilang, semerbak, gemerlap)
-in- (sinambung)



















1.2.4 Bentuk Kata Majmuk
Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau
lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu.
Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya
tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain, misalnya pasar untuk raya.
Dalam bahasa Melayu, bentuk kata majmuk boleh dibahagikan kepada tiga
jenis, iaitu:
(i) Rangkaian Kata Bebas, Contohnya; pasar raya, nasi ayam, terima
kasih
Kata atau nama gelaran juga termasuk di bawah kata majmuk rangkaian kata
bebas, contohnya; Ketua Menteri, Profesor Madya, Guru Kanan

(ii) Istilah Khusus, contohnya; papan kekunci, reka bentuk pengajaran, lut
sinar

(iii) Simpulan Bahasa, contohnya; telinga kuali, hati batu, buaya darat

(iv) Bentuk yang Telah Mantap
Kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu
perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mengandungi dua kata dasar,
akan dieja sebagai satu perkataan sahaja. Terdapat 33 kata majmuk yang dieja
rapat, contohnya:
Matahari Antarabangsa Jawatankuasa Dinihari Apabila
Setiausaha Olahraga Kakitangan Perikemanusiaan Manakala
Sukarela Warganegara Kerjasama Sukacita Padahal
Suruhanjaya Pesuruhjaya Peribadi Dukacita Darihal
Tandatangan Beritahu Peribahasa Kepada Barangkali
Tanggungjawab Bumiputra Haribulan Daripada Kadangkala
Apakala Walhal Bagaimana

1.2.4.1 Penggandaan kata majmuk
Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata
sahaja. Contohnya; Kapal-kapal angkasa, Pembantu-pembantu Am, Pegawai-
pegawai Khas
Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap,
penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya; J awatankuasa-
jawatankuasa, Setiausaha-setiausaha, Pesuruhjaya-pesuruhjaya
1.2.4.2 Pengimbuhan kata majmuk
(i) Jika kata majmuk menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja,
perlu dieja terpisah. Contohnya:
anak tiri dianak tiri
ubah suai diubah suai
campur aduk bercampur aduk

(ii) Jika kata majmuk menerima imbuhan apitan, perlu dieja rapat.
Contohnya:
campur aduk mencampuradukkan
daya serap berdayaserapan
garis pusat menggarispusatkan













1.2.6 Bentuk Kata Majmuk
Dalam bahasa Melayu, proses penggandaan ialah proses menggandakan kata
dasar. Tujuan utama proses penggandaan ialah untuk menghasilkan maksud jamak.
Misalnya buku (sebuah buku) digandakan menjadi buku-buku akan menghasilkan
maksud banyak buah buku). Bagaimanapun, terdapat kata ganda yang tidak
membawa makna jamak seperti rama-rama, labah-labah, anai-anai dan sebagainya
yang hanya merujuk pada seekor rama-rama atau seekor labah-labah sahaja.
Terdapat empat bentuk penggandaan, iaitu:

(a) Penggandaan penuh
Pembentukan kata ganda penuh terhasil melalui proses menggandakan
keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun
tidak. Penggandaan penuh yang terjadi pada kata dasar yang tidak ada imbuhan
menggandakan seluruh kata dasar. Contohnya; Bas-bas, Kecil-kecil, Kerusi-
kerusi
Kata nama yang mengandungi imbuhan juga boleh digandakan sepenuhnya,
iaitu termasuk imbuhan sekali. Contohnya; Pentadbir-pentadbir, Persatuan-
persatuan, Pemeriksa-pemeriksa

(b) Penggandaan separa
Pembentukan kata ganda separa terhasil melalui proses menggandakan
sebahagian kata dasar sahaja. Penggandaan separa boleh berlaku di hadapan atau
di belakang kata dasar. Penghasilan kata ganda separa lazimnya melibatkan dua
proses utama iaitu pengguguran suku kata dan proses pelemahan vokal, misalnya a
e, ie, dan oe. Contohnya:
Bola bobola bebola
Daun dadaun dedaun
Laki lalaki lelaki

(c) Penggandaan berentak
Pembentukan kata ganda berentak terhasil memalui proses menggandakan
kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan
berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau
diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi-bunyi demikian, maka
penggandaan berentak boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
(i) penggandaan berentak pengulangan vokal
(ii) penggandaan berentak pengulangan konsonan
(iii) penggandaan berentak pengulangan vokal

(i) Penggandaan berentak bebas
Penggandaan ini mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi
vokal tertentu, iaitu terdapat ciri-ciri keharmonian vokal. Contohnya: Hiruk-
pikuk, Gotong-royong, Cerai-berai, Tungkus-lumus, Hingar-bingar.

(ii) Penggandaan berentak pengulangan konsonan
Penggandaan ini mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi
konsonan tertentu. Contohnya: Mandi-manda, Bolak-balik, Batu-batan,
Gunung-ganang, Bukit-bukau.

(iii) Penggandaan berentak bebas
Penggandaan ini tidak mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi
vokal atau konsonan. Contohnya: Anak-pinak, Saudara-mara, Lintang-
pukang, Titik-bengik.

(d) Penggandaan Berimbuhan
Pembentukan kata ganda berimbuhan terhasil melalui proses menggandakan
sesuatu kata dasar yang menerima apa-apa bentuk imbuhan. Biasanya,
penggandaan ini berlaku pada golongan kata kerja dan kata adjektif. Proses
penggandaan boleh berlaku pada bahagiaan hadapan atau belakang kata dasar.
Pengandaan berimbuhan tidak boleh disamakan dengan kata ganda separa kerana
kedua-dua penggandaan tersebut terhasil melalui proses morfologi yang berbeza.
Contohnya, mencari-cari, berturut-turut, sepandai-pandai, kejar-mengejar,
bantu-membantu.