Karangan Contoh 21 : Usaha-usaha Pelbagai Pihak untuk
Menggalakkan Amalan Membaca Dalam Kalangan Remaja.
Soalan:
Membaca jambatan ilmu. Namun, kepesatan kemajuan teknologi maklumat kini, menyebabkan remaja leka dengan ciptaan gajet-gajet terkini dan mengabaikan amalan membaca dalam kehidupan. Bincangkan usaha-usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.
Analisis soalan:
Tema/Isu : amalan membaca Tugasan/Arahan : usaha-usaha mengalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja. Format : Tiada - karangan perbincangan
Memang tidak dapat dinafikan dalam meneroka zaman kepesatan kemajuan teknologi maklumat kini, manusia cenderung kepada kebendaan. Justeru, amalan membaca telah diabaikan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja kerana mereka leka dengan ciptaan-ciptaan gajet teknologi maklumat seperti telefon bimbit dan internet. Sebenarnya, kepentingan membaca sebagai wahana untuk menimba ilmu pengetahuan terpancar melalui cogan kata yang sering diwar-warkan iaitu 'Membaca Jambatan Ilmu'. Malahan, amalan membaca sangat penting bagi mempercepat usaha kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020 melalui pembentukan rakyat yang berilmu pegetahuan. Justeru, fenomena kurang membaca dalam kalangan remaja perlu dibenteras daripada berterusan. Persoalannya, apakah langkah-langkah berkesan yang perlu diambil untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.
Sebenarnya, usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja mesti bermula daripada diri remaja sendiri. Hal ini demikian kerana, walaupun banyak usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, untuk menggalakkan amalan membaca ini, namun tidak akan mendatangkan impak yang diharap-harapkan jika remaja sendiri tidak mempunyai kesedaran tentang hal tersebut. Perumpamaannya 'kita boleh memaksa seekor kuda untuk masuk ke dalam air sungai, tetapi kita tidak akan dapat memaksa kuda tersebut minum air sungai tersebut' Dalam hal ini, setiap remaja perlu menyedari akan betapa pentingnya amalan membaca dalam mengubah diri mereka menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berkualiti. Sehubungan dengan itu, remaja perlu memiliki jati diri dan berpendirian teguh dalam mengurus kehidupan mereka dan tidak hanyahanyut dan tenggelam dalam arus kemajuan teknologi maklumat semata-mata. Remaja juga mesti memiliki disiplin diri untuk memastikan amalan membaca dipraktikkan setiap hari. Contohnya, remaja boleh meluangkan sedikit masa untuk membaca surat khabar, majalah, novel, buku-buku teks mata pelajaran, dan sebagainya sebagai rutin harian. Hal ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual harian dan memasukkan aktiviti membaca sebagai aktiviti yang utama. Justeru, jika remaja sendiri dapat mendisiplinkan diri sendiri untuk mengamalkan aktiviti membaca ini, sudah pasti membaca akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Selain itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru , amalan membaca perlu dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil kerana jiwa anak-anak kecil umpama sehelai kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Jiwa kanak-kanak juga masih lembut umpama rebung dan mudah dilentur dan dididik menjadi insan yang suka akan buku dan seterusnya suka membaca. Contohnya, sejak kecil lagi ketika anak-anak belum boleh membaca, ibu bapa sendiri boleh membacakan untuk mereka buku-buku cerita yang bersesuaian. Ibu bapa juga boleh menghadiahi anak-anak mereka buku-buku pada hari ulang tahun kelahiran ataupun sebagai penghargaan atas pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang. Jelaslah, jika ibu bapa dapat menyemai amalan membaca ini sejak anak- anak masih kecil, usaha untuk melahirkan remaja yang suka membaca akan tercapai.
Tambahan pula, pepatah Melayu juga menyebut "Bagaimana acuan, begitulah kuihnya" yang menjelaskan bahawa ibu bapa sendiri mesti mengamalkan budaya membaca di rumah sekiranya ingin membentuk anak-anak yang juga gemar membaca. Hal ini demikian kerana, ibu bapa berperanan menjadi suri teladan atau 'role model' kepada anak-anak terutama yang masih di bangku sekolah. Ibu bapa perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi yang menyeronokkan dan boleh dilakukan bersama-sama anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah sebagai perpustakaan mini yang menempatkan pelbagai buku dan bahan bacaan untuk keluarga. Di ruang inilah ibu bapa boleh membaca bersama-sama anak-anak pada waktu lapang atau cuti hujung minggu. Oleh itu,jelaslah sekiranya ibu bapa sendiri berjaya menjadikan amalan membaca sebagai rutin kehidupan, pastilah amalan ini akan dicontohi oleh anak-anak dan amalan mulia ini akan berkembang mekar dalam sanubari mereka sehingga mereka melangkah ke alam remaja seterusnya menjadi dewasa kelak.
Seterusnya, peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkan dalam usaha menggalakkan amalan membaca ini. Hal ini demikian kerana, selain di rumah, remaja menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah. Justeru pihak sekolah perlu melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar-pelajar. Contohnya, melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dilaksanakan oleh pihak sekolah merupakan penggabungan semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai kepada pelajar mengikut bilangan buku yang telah dibaca. Usaha-usaha galakan membaca yang berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah melalui aktiviti-aktiviti koakademik yang dikendalikan unit Pusat Sumber Sekolah, Ketua-ketua Bidang Mata pelajaran, Panatia-panatia Mata Pelajaran, persatuan-persatuan dan sebagainya. Contohnya, aktiviti seperti Bulan Bahasa, Bulan Membaca, pertandingan yang berkaitan dengan membaca dan sebagainya perlu dijalankan. Selain itu, semua guru perlu sentiasa menekankan kepentingan membaca kepada pelajar-pelajar dan memberi dorongan serta ganjaran yang sewajarnya. Oleh itu, sekiranya usaha-usaha untuk menggalakkan amalan membaca yang lebih sistematik, terancang dan berterusan akan membentuk pelajar-pelajar yang suka membaca dan seterusnya menjadi insan yang cemerlang pada masa depan. Selain itu, masyarakat sekitar, seperti syarikat penerbitan buku, majalah, surat khabar dan agensi-agensi kerajaan turut mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menggalakkkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, syarikat penerbitan surat khabar seperti Berita Harian dan New Straits Times boleh membuat tajaan surat khabar keluaran mereka di sekolah-sekolah untuk dijadikan bahan bacaan dan bahan bantu mengajar kepada guru di dalam bilik darjah. Syarikat penerbitan buku pula boleh mengadakan pameran di sekolah serta memberi potongan harga yang bersesuaian untuk menarik minat pelajar membeli bahan-bahan bacaan yang disukai. Pendedahan dan kemudahan memperoleh buku sudah pasti menjadi pemangkin untuk menggalakkan pelajar membaca pelbagai bahan bacaan dan tidak terhad kepada buku teks dan buku rujukan mata pelajaran sahaja.
Secara lebih meluas pula, syarikat penerbitan dan agensi kerajaan wajar mengadakan pameran bagi mempamerkan buku-buku dan bahan bacaan terbitan terbaru dan menarik isi kandungannya. Pesta buku juga harus diadakan untuk mempamerkan buku-buku dan bahan bacaan yang terbaru dan berkualiti. Dalam pameran dan pesta buku, pihak penganjur juga boleh menjemput penulis terkemuka untuk memberi peluang kepada sesiapa yang berminat dengan karyanya bersua muka. Aktiviti-aktiviti yang menarik ini pastinya akan mencetuskan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kekangan utama untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja khususnya dan masyarakat amya berkait rapat dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan. Oleh itu, dalam usaha untuk membentuk masyarakat berilmu pengetahuan, pihak kerajaan tidak harus menutup sebelah mata kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman. Kerajaan telah menyediakan perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak untuk membekalkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada golongan ini. Kemudahan untuk memperoleh bahan bacaan ini dapat menggalakkan mereka untuk membaca. Juseru, untuk menyemai kepentingan membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah dengan memperbanyak kempen membaca. Kempen membaca yang diadakan disertakan dengan pelbagai aktiviti menarik, contohnya, pertandingan yang berkaitan dengan bahan bacaan yang sesuai dengan tahap dan minat mereka secara berterusan. Dengan ini jelaslah, dengan usaha kerajaan yang berterusan, visi untuk membentuk masyarakat yang gemar membaca akan berjaya direalisasikan.
Ekoran daripada itu, salah satu wahana yang berkesan untuk memupuk minat membaca ialah melalui media massa. Melalui media massa seperti radio, televisyen, surat khabar dan internet, kepentingan membaca dapat dihebahkan. Misalnya, melalui surat edaran atau risalah, syarikat penerbitan boleh mempromosikan bahan bacaan yang baru diterbitkan. Manakala melalui televisyen dan radio, orang awam berkesempatan untuk mengetahui buku-buku yang baru diterbitkan serta isi kandungannya. Program televisyen berbentuk rencana dan bual bicara tentang kepentingan membaca perlu diperbanyak untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya amalan membaca.
Kesimpulannya, amalan membaca sangat penting untuk melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan matang akal fikiran. Remaja berilmu merupakan tonggak kepimpinan negara yang berkualiti pada masa depan. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan melangkah sederap dalam usaha untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja supaya gemar membaca untuk menyediakan generasi pelapis bakal pemimpin yang akan menerajui negara ke mercu kejayaan pada satu masa nanti. Sesungguhnya, generasi berilmu penjana kemajuan dan kemakmuran negara.
BAGAIMANA NAK FAHAM PEMBEZAAN & PENGAMIRAN DALAM SATU RUANG
Sekarang kita tinggalkan dahulu kisah pasal cerita-cerita misteri akhir zaman. Semakin banyak kita bercakap perkara itu, semakin berat kepala kita menampungnya .
Tetapi bercakap mengenai Muhamad (seorang lelaki yang soleh), saya tergambar sikapnya yang tenang & cool. Dia lulusan kejuruteraan logam di negaranya. Setiap kali saya bercakap dengannya, saya merasa doa saya dimakbulkan Tuhan.
Saya seperti gelisah bila tidak dapat berjumpa dan chatting dengannya. Padahal dia itu lebih muda daripada saya. Tetapi itulah kelebihan Muhamad. Akhlaknya yang membawa saya dekat kepadanya.
Saya hampIr nak ketawa bila ramai pelajar kata pembezaan itu payah & pengamiran itu lagi payah. Aduh, aduh, aduh. Macam mana nak skor Addmath kalau semuanya payah.
Sebenarnya pembezaan itu adalah songsangan kepada pengamiran. Dan begitu juga sebaliknya.
Mari kita lihat contoh berikut.
CONTOH 1 Diberi y = 4x 2 + 5x. Cari dy/dx. (biasanya disebut kerbeda y terhadap x) So, kita dapat dy/dx = 8x + 5.
TUJUAN. Anda kena ingat pesanan saya. Tujuan dy/dx ini ialah untuk mendapat kecerunan. Lepas dapat kecerunan, mesti buat persamaan.
CONTOH SOALAN. Sila cari kecerunan pada lengkung y = 4x 2 + 5x pada titik (2,0). Seterusnya cari persamaan tangent pada titik berkenaan.
STEP 1 : dy/dx = 8x + 5
STEP 2 : Pada titik (2,0), x = 2
STEP 3 : dy/dx = (8 X 2) + 5 = 21
STEP 4 : Maka kecerunan = 21 atau m1 = 21.
PERSAMAAN TANGEN. Bagaimana nak cari persamaan tangent. Anda boleh guna kaedah ini.
y y1 = m1 (x x1) pada titik (2,0) y 0 = 21 (x 2) y = 21x 42.
TUTORIAL 1 : Sila cari kecerunan pada lengkung y = 3x 2 3x pada titik (1,9). Seterusnya cari persamaan tangent pada titik berkenaan.
TUTORIAL 2 : Sila cari kecerunan pada lengkung y = x 2 + 13x - 7 pada titik (2,11). Seterusnya cari persamaan tangent pada titik berkenaan.
Sekarang mari kita beralih kepada Pengamiran dan melihat bagaimana ia bertindakbalas secara songsang kepada pembezaan.
PENGAMIRAN Sekarang mari kita pusing soalan. Cari pengamiran bagi 8x + 5. Atau kadang-kadang soalan di tulis sebagai /(8x + 5)
APA TUJUAN PENGAMIRAN? Tujuan pengamiran ialah untuk mendapat persamaan. Selepas itu untuk dapatkan nilai kecerunan. Mudah sahaja konsepnya. Terbalikkan daripada pembezaan.
So, kita dapat /(8x + 5) = 8x 2 /2 + 5x = 4x 2 + 5x
Kadang-kadang ada soalan mengelirukan seperti di bawah.
CONTOH SOALAN. Diberi kecerunan sebuah lengkung pada titik (1,3) ialah 2X 3 -1, Cari persamaan lengkung tersebut.
Kecerunan = dy/dy = 2x 3 -1 Maka dy/dx = 2x 3 1 Maka dy = (2x 3 -1) dx.
Kalau kita bubuh pengamiran pada kedua-dua sisi, kita dapat
/dy = /(2x 3 -1) dx So, y = 2x 4 /4 x + c So, y = x 4 /2 x + c
Pada titik (1,3), 3 = - 1 + c, maka c = 3.5 atau 7/2 Maka persamaan y = x 4 /2 x + 7/2
Sekarang anda tentu dah faham. Sebagai langkah pengukuhan, elok anda siapkan tugasan berikutnya.
Anda jangan panic. Ikut sahaja arahan & penerangan saya sebelum ini.
TUTORIAL 3. Diberi kecerunan sebuah lengkung pada titik (3,3) ialah 2x + 5, Cari persamaan lengkung tersebut.
TUTORIAL 4 Diberi kecerunan sebuah lengkung pada titik (1,1) ialah (2x + 6)/2, Cari persamaan lengkung tersebut.
Cuba anda selesaikan tugasan saya di atas dengan baik. Anda mungkin keliru tutorial no 4 di atas. Elok saya tunjukkan beberapa tips yang boleh membantu.
(2x +6)/2 = 2x/2 + 6/2 = x + 3.
Selamat mencuba & selamat berusaha.
SELASA. 12/6/2013.
CONTOH KARANGAN ULANG KAJI TINGKATAN 4 1. CARA-CARA SESEORANG PELAJAR MENCAPAI KEJAYAAN
(TEMA) Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mengimpikan kejayaan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi. Kejayaan yang dicapai akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. (ISU) Kejayaan Nik Nur Madihah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2008 yang berjaya memperoleh 20A walaupun beliau merupakan seorang anak tukang sapu dan nelayan bukanlah satu perkara yang mustahil. Untuk mendapatkan kejayaan, usaha yang gigih amat diperlukan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.(ARAHAN) Persoalannya, apakah cara- cara yang sewajarnya dipraktikkan oleh seorang pelajar untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelbagai lapangan?
(ISI 1) Cara perdana untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran ialah seseorang pelajar itu perlulah belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam bidang akademik. (HURAIAN - MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana kejayaan dalam bidang kurikulum atau akademik merupakan satu platform yang signifikan untuk menjejakkan kaki di menara gading dan sekali gus merealisasikan cita-cita kita. (CONTOH BAGAIMANA + UNGKAPAN) Oleh itu, kita perlulah mengulang kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu kerana usaha itu tangga kejayaan. Sesungguhnya, kejayaan itu tidak akan datang kepada manusia yang leka.(HURAIAN CONTOH KESAN) Dengan ini, pelajar yang cemerlang dalam bidang kurikulum akan dapat dilahirkan dan masa depannya akan lebih cerah. (PENEGAS) Tegasnya, kejayaan seseorang pelajar dapat dicapai melalui kesungguhannya dalam bidang kurikulum.
(ISI 2) Usaha yang seterusnya untuk mencapai kejayaan bagi seseorang pelajar adalah dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. (HURAIAN MENGAPA) Aktiviti kokurikum dapat mendedahkan pelbagai kemahiran kepada seseorang pelajar dan membentuk disiplin para pelajar. (CONTOH BAGAIMANA) Sebagai contohnya, badan beruniform pengakap sering mengadakan aktiviti berkawad dan perkhemahan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan tahap disiplin mereka. (HURAIAN CONTOH KESAN + UNGKAPAN) Ekoran daripada aktiviti-aktiviti seumpama ini, pelajar akan menjadi lebih berdisiplin dan dapat bekerjasama antara satu sama lain bagai aur dengan tebing untuk memburu kejayaan. (PENEGAS) Pendek kata, penglibatan aktif para pelajar dalam bidang kokurikulum dapat menjana kejayaan mereka di samping melahirkan insan yang holistik.
(ISI 3) Jika kita lihat dari perspektif yang berbeza, pelajar yang ingin kejayaan perlulah sentiasa menjaga sahsiah diri dan disiplin diri. (HURAIAN MENGAPA) Pelajar yang bertingkah laku positif akan sentiasa memastikan dirinya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif yang akhirnya akan menjejaskan pelajarannya. (CONTOH BAGAIMANA) Oleh itu, mereka akan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah dan terlibat dalam kes buli. (HURAIAN CONTOH KESAN) Rentetan daripada itu, maruah pelajar tidak akan tercemar dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain. (UNGKAPAN MENARIK)Bukan itu sahaja, usahanya untuk memburu kejayaan juga tidak akan menjadi angan-angan Mat J enin. (PENEGAS)Izharlah bahawa pelajar yang sentiasa menitikberatkan penjagaan maruah dan disiplin diri akan beroleh kejayaan yang diimpikan.
(PENUTUP - KESIMPULAN ISI-ISI) Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa cara yang perlu dipraktikkan oleh seseorang pelajar yang ingin mengecapi kecemerlangan. Ingatlah kata orang tua-tua bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (CADANGAN)Oleh itu, setiap pelajar yang menginginkan kejayaan perlulah mengatur langkah yang efektif dan pragmatik dan tidak mengamalkan sikap bertangguh kerana bertangguh itu pencuri masa. Ibu bapa juga perlulah sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. (HARAPAN) Semoga kejayaan para pelajar di negara kita ini dapat melahirkan generasi muda berminda kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk bersaing dengan negara lain di pentas global.
2. KEJAYAAN MALAYSIA DALAM PELBAGAI BIDANG
(TEMA) Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. (ISU) Kalau dijejaki atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan rakyat Malaysia dalam rentang masa 55 tahun kemerdekaan negara. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang Barat yang jauh lebih maju daripada kita. (ARAHAN) Persoalannya, apakah kejayaan-kejayaan yang diraih oleh nusa tercinta ini?
(ISI 1) Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. (HURAIAN MENGAPA) Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. (CONTOH BAGAIMANA) Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. (HURAIAN CONTOH KESAN) Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan pendapatan negara kita. (PENEGAS)Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.
(ISI 2) Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan yang menjadi kebanggaan negara. (HURAIAN MENGAPA + UNGKAPAN) Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai belut diketil ekordapat dilihat melalui pembinan bangunan-bangunan yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur.(CONTOH BAGAIMANA) Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. (HURAIAN CONTOH KESAN) Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun.(PENEGAS) Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah membuktikan kejayaan negara dicapai.
(ISI 3) Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II. (HURAIAN MENGAPA & CONTOH - BAGAIMANA)Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama iaitu Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. (HURAIAN CONTOH KESAN) Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi.(UNGKAPAN MENARIK) Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (PENEGAS) Sesungguhnya, penerokaan negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara yang patut dibanggakan.
(ISI 4) Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia.(HURAIAN MENGAPA) Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. (CONTOH BAGAIMANA & KESAN) KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA menjimatkan masa, wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. (PENEGAS) Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.
(ISI 5) Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. (HURAIAN MENGAPA) Sukan negara semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. (CONTOH BAGAIMANA) Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David. Kini, Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.
(PENUTUP KESIMPULAN ISI-ISI) Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang yang menakjubkan. Pencapaian yang menakjubkan dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang Barat.(CADANGAN) Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang. (HARAPAN) berharap agar kejayaan luar biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia.
3. PUNCA OBESITI
(TEMA) Obesiti dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Dalam erti kata lain, obesiti ialah badan yang tidak ideal dengan ketinggian. (ISU) Pada zaman yang semakin pesat dengan revolusi perindustrian seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, semakin banyak remaja yang menghadapi masalah obesiti. Kebanyakan remaja pada zaman sekarang kurang menjaga bentuk atau fizikal badan mereka. Fenomena ini terjadi kerana para remaja suka makan makanan segera yang tinggi dengan kalori. Remaja menganggap bahawa obesiti sebagai satu fenomena biasa. Buktinya, Institut Jantung Negara (IJN) dalam kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap penyakit jantung pada tahun tersebut. Sepatutnya, setiap individu perlu berpegang teguh serta mengamalkan cogan kata yang berbunyi badan sihat, otak cerdas. (ARAHAN) Persoalannya, apakah punca-punca masalah kegemukan dalam kalangan remaja yang semakin mewabak pada era ini?
(ISI 1) Punca masalah obesiti dalam kalangan remaja semakin merebak pada masa ini ialah para remaja tidak mempraktikkan amalan pemakanan seimbang. (HURAIAN MENGAPA) Pada zaman revolusi perindustrian ini, banyak syarikat makanan segera yang berkalori tinggi dan berlemak tinggi. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka senang dan gembira dengan perkembangan perindustrian makanan segera ini kerana mereka tidak sempat menyediakan makanan untuk anak-anak lantaran berkejar-kejar ke tempat kerja. (CONTOH BAGAIMANA) Jadi, anak-anak dibekalkan dengan makanan segera seperti sosej, nuget, burger dan sebagainya. Senario ini dapat dibuktikan apabila pensyarah dari Unit Makanan dan Kesihatan Universiti Malaya telah membuat bancian mengenai gaya pemakanan harian bagi remaja. Hasilnya, sebanyak 70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa mengambil makanan segera sebagai makanan harian. (UNGKAPAN MENARIK) Jelaslah bahawa ibu bapa pada zaman ini lebih mengutamakan hal-hal lain daripada anak sendiri ibarat anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. (PENEGAS) Tuntasnya, remaja zaman ini yang tidak mengamalkan pemakanan seimbang telah menatijahkan obesiti dalam kalangan mereka.
(ISI 2) Punca lain bagi masalah kegemukan dalam kalangan remaja kini ialah mereka tidak bersukan dan beriadah.(HURAIAN MENGAPA) Fenomena ini terjadi kerana mereka leka dengan hiburan daripada kaca televisyen dan corong-corong radio, lebih selesa tidur malah sikap mereka sendiri yang malas untuk bersukan atau beriadah. Remaja yang malas juga tidak suka bersukan mahupun bersosial dengan masyarakat luar. Remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang langsung tidak mendatangkan faedah. (CONTOH BAGAIMANA) Buktinya, kita sering melihat remaja kini lebih cenderung melepak, merokok, merayau-rayau dan sebagainya. Mereka berpelesiran ke sana dan ke sini seperti tiada arah tujuan. (HURAIAN CONTOH KESAN) Sikap ini tentulah tidak mendatangkan kesedaran kepada para remaja untuk menjaga kesihatan diri. (PENEGAS) Pendek kata, jelaslah bahawa remaja yang kurang gemar bersukan dan beriadah telah menyumbang kepada masalah obesiti yang melanda Malaysia pada alaf baharu ini. (ISI 3) Punca lain tercetusnya masalah kegemukan dalam kalangan remaja juga adalah kerana sikap remaja itu sendiri. (HURAIAN MENGAPA) Sikap remaja yang tiada pendirian dan suka terpengaruh menyebabkan mereka suka mengambil makanan ringan. Bukan itu sahaja, remaja juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang implikasi yang bakal dihadapi oleh mereka jika terlalu banyak mengambil makanan yang berlemak serta berkalori tinggi yang akhirnya akan mengundang penyakit obesiti. Mereka terlalu mengikut hawa nafsu. (CONTOH BAGAIMANA) Apabila syarikat pengeluar makanan segera mencipta produk baharu, mereka akan mengiklankan produk itu kepada orang awam.(HURAIAN CONTOH KESAN & UNGKAPAN) Cara ini telah menyebabkan remaja terpengaruh oleh iklan-iklan yang yang indah khabar daripada rupa. Unit Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyatakan bahawa remaja sekarang kurang kesedaran terhadap kesihatan diri mereka. (PENEGAS) Ringkasnya, sikap remaja itu sendiri akan mengundang masalah obesiti.
(ISI 4) Kegemukan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka. (HURAIAN MENGAPA & UNGKAPAN) Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh sehingga mengikut telunjuk mereka. Apabila anak-anak hendak makan apa-apa pun, ibu bapa akan memberikannya walaupun makanan tersebut tidak berkhasiat dan kurang sesuai dengan tumbesaran anak-anak mereka.(CONTOH BAGAIMANA) Ibu bapa akan memenuhi hasrat anak-anak yang ingin makanan segera seperti yang terdapat di Restoren McDonald, Pizza, KFC dan lain-lain lagi. (HURAIAN CONTOH KESAN) Unit Kesihatan dari Hospital Universiti Malaya telah membuat kajian mengenai ayam goreng di KFC bahawa ayam tersebut mengandungi garam yang tinggi, lemak yang tinggi serta berkalori tinggi yang mengundang sahaja mengundang obesiti malah turut mengundang penyakit kronik yang lain. (PENEGAS) Konklusinya, kegemukan dalam kalangan remaja bertitik-tolak daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka sejak kecil lagi.
(PENUTUP KESIMPULAN ISI-ISI) Secara intihanya, beberapa punca yang telah dibincangkan menjadi pencetus masalah obesiti di negara kita. Masalah ini kian serius dan membimbangkan semua pihak. (CADANGAN) Oleh itu, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak mereka makan makanan yang berkhasiat. Masyarakat juga haruslah melakukan anjakan paradigma supaya tubuh badan mereka sihat selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melahirkan insan yang badan cergas, minda cerdas. Kerajaan juga boleh mengadakan kempen secara besar-besaran mengenai keburukan obesiti ini. Kempen yang dijalankan juga sewajarnya secara berketiak ular dan bukan bermusim sahaja atau seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. (HARAPAN) Komitmen daripada semua pihak sudah pasti dapat merealisasikan usaha negara untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam menuju Wawasan 2020 yang kita semua impikan.
4. LANGAKAH MENANGANI OBESITI
1. Penjagaan makanan:
Cara makanan yang baik adalah cara makanan orang miskin iaitu makan makanan biasa seperti nasi sayur, dan sejenis protin sahaja setiap kali makan utama dan makan besar hanya sekali sekala sahaja. Begitulah cara orang miskin makan. Mereka hanya makan besar sekali sekali seperti ketika ada jemputan kenduri. Sebab itulah banyak orang miskin kurus. Bagi menjaga pemakanan yang baik, kawalan nafsu makan adalah sangat perlu. Badan kita adalah apa yang kita makan. Kuih-mueh muih patut makan dengan banyak. Seperti yang ditulis di atas kueh banyak mengandungi bahan-bahan yang boleh menggalakkan kegemukan. Jika hendak bersnek, ambillah buah seperti jambu, sengkuang, betik dan sebagainya.
2. Elakkan makanan ringan/ makanan segera:
Penjajahan Barat bukan setakat mengongkong politik dan ekonomi kita agar serasi dengan mereka bahkan turut melibatkan budaya kita termasuklah jenis makanan kita. Mereka menjadikan negara kita sebagai tempat lambakan barangan mereka. Salah satu produk mereka adalah makanan ringan dan makanan segera. Makanan dan minuman jenis ini mengandungi bahan-bahan yang sudah diproses yang sudah hilang keasliannya. Pewarna dan perasa tiruan, kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh mengganggu sistem penghadaman den pembesaran badan yang kemudiannya menggalakkan kegemukan.
3. Bersenam:
Bersenam perlu diamalkan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan sekurang-kurangnya 20 minit satu sesi. Bersenam dapat melancarkan perjalanan darah. Apabila perjalanan darah lancar, organ-organ badan dapat menerima oksigen dengan mencukupi dan dapat menjalankan berfunginya dengan baik. Salah satu sebab masalah kegemukan berlaku apabila organ-organ yang terlibat dengan kerja-kerja memproses makanan dalam badan tidak dapat befungsi dengan baik akibat kekurangan bekalan oksigen.
4. Kawal nafsu makan:
Makanan yang dihidangkan bukan untuk dimakan semuanya. Kita hanya perlu makan yang diperlukan oleh badan kita sahaja untuk melakukan kerja harian kita. Seseorang itu mungkin berkata, "Saya makan apa-apa sahaja. Badan saya tidak gemuk," kata-kata itu mungkin betul untuk masa iu. Akan tetapi, perubahan mungkin berlaku apabila ia menjangkau usia 40-an dan hal itu sudah banyak kita lihat dalam realiti kehidupan dalam mana seseorang yang slimketika usia belasan dan 20-an tahun tetapi menjadi gemuk setelah usia 40-an. Oleh itu, khasnya untuk generasi muda, kawal nafsu makan hari ini untuk keselesaan hari esok. Menarik & matang: i. Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, Gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit. ii. Kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat. iii. Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) iv. Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengandaikan makanan segera umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. v. Petikan hadis yang bermaksud jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit jelas menunjukkan betapa pentingnya kesihatan sebagai aset yang paling berharga kepada manusia. vi. Institut Jantung Negara (IJN) dalam kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap penyakit jantung. vii. 70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa mengambil makanan segera sebagai makanan harian