Anda di halaman 1dari 9

Kompleks Pendidikan Islam Bangi ( KPi Bangi )

October 19, 2013


KESILAPAN SOLAT JAMAK QASAR: TAPI ANDA
TIDAK PERASAN.
Menghadiri conference dalam dan luar negara bukan
perkara ganjil. Ramai yang pergi dan kembali, bahkan
ramai yang berulang-alik ke pelbagai destinasi dengan
niat mengembangkan ilmu. Ini perkara rutin bagi
seorang researcher atau ahli akademik di universiti
atau research centre. Tidak ketinggalan bagi yang
suka melancong, musafir adalah perkara ghalib.
Sungguhpun setiap musafir dengan niat kerana Allah
besar ganjaran pahalanya, namun harus ditelusuri
feqah yang berkaitan dengan musafir tersebut, adakah
bertepatan dengan syariah? Mungkin ramai yang tidak
pernah mengambil kisah akan adab musafir mengikut
sunnah. Amat rugi, jika kita tidak mengambil
kepentingan dari perkara adab dan sunnah Rasul.
Namun perkara sunat bukanlah aula jika yang wajib
masih terumbang-ambing. Antara sedar atau tidak,
ramai yang melakukan kesalahan berulang akan hal
yang wajib seperti SOLAT.
Walaupun isu solat jamak atau jamak qasar bukan lagi
menjadi topik perbincangan mutakhir ini, namun saya
melihat ianya masih lagi perlu diperhalusi kerana masih
banyak salah faham yang berlaku. Malah, masalah ini
seringkali berlegar-legar dalam kumpulan teman-teman
yang bermusafir bersama saya. Tidak kira musafir ke
tempat jauh atau dekat, isu solat tidak boleh dipandang
remeh.
Lihat situasi berikut:
Sehingga ke hari ini, masih ramai yang menganggap
bahawa solat jamak qasar boleh dilakukan 3 hari
pertama berada di sesuatu tempat. Sedangkan
menduduki tempat melebihi 3 hari tidak lagi dikira
musafir tetapi bermukim (sudah gugur taraf musafir).
Jadi, solat jamak qasar sama sekali tidak valid apabila
anda telah sampai ke destinasi. Tiada nas yang
membenarkan solat jamak qasar pada 3 hari pertama
anda bermukim. Solat jamak qasar hanya valid
sepanjang perjalanan anda yang melebihi 89 km dan
tidak valid sebaik tiba di destinasi yang anda ingin
duduki melebihi 3 hari. Sekali lagi diingatkan, jamak
qasar selama 3 hari hanya dibenarkan untuk orang
yang benar-benar singgah tidak melebihi tiga hari di
sesuatu tempat.
Namun, anda masih diberi rukhsah untuk
menjamakkan solat apabila berada dalam situasi yang
sukar. Dan jamak ini dibenarkan sepanjang tempoh
mukim atas sebab-sebab yang diizinkan syarak. Salah
faham berlaku apabila kebanyakan kita tidak jelas akan
perbezaan antara solat jamak qasar dan solat jamak.
Mungkin silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah
perlu dikaji semula kerana belum mampu memberi
kefahaman tentang masalah feqah yang paling utama
ini. Ataupun ustaz ustazah perlu mengkaji kaedah
pengajaran agar lebih berkesan dan dapat difahami
oleh pelajar di sekolah.
Sedikit pencerahan tentang solat qasar dan solat
jamak.
1) Solat Qasar
Sekiranya anda bermusafir ke sesuatu tempat yang
perjalanannya melebihi dua marhalah atau 89
kilometer, maka diharuskan untuk mengqasarkan solat.
(Dua marhalah bersamaan empat burudin di mana
setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap
farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan
moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89
km.)
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu
tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat
jika kamu takut diserang oleh orang kafir [an-Nisa :
101]
Bahkan dalam satu hadith Riwayat An-Nasai dan Abu
Daud, Rasulullah s.a.w mengharuskan para sahabat
mengqasarkan solat walaupun bermusafir dalam
keadaan aman.
Qasar adalah memendekkan solat, yang 4 kepada 2.
Syarat qasar :
1) Jarak perjalanan > 89 km
2) Bermusafir tidak melebihi 3 hari penuh (tidak
termasuk hari berangkat dan pulang)
3) Sudah memulakan perjalanan dan keluar dari mukim
atau kawasan kampungnya.
Apa bezanya solat qasar dan solat jamak?
2) Solat jamak
Pada asasnya, solat jamak tidak berkaitan secara
langsung dengan solat qasar dan ianya boleh
dilakukan atas pelbagai keperluan yang dibenarkan
syarak. Solat jamak maksudnya menghimpunkan solat
tanpa mengurangkan rakaat.
Perkara yang membolehkan jamak:
Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi r.a berkata:
Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang
tidak musafir, bila terdapat suatu kepentingan, asalkan
hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan
pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki,
juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari
golongan Syafii, juga dari Ishak Marwazi dan dari
jemaah ahli hadis, serta pendapat yang dipilih oleh
Ibnul Mundzir. [al-Majmu, jil. 4, ms. 264]
Dalam kitab feqah karangan Dr. Basri Ibrahim ada
menjelaskan keharusan jamak kepada beberapa
golongan yang memerlukan seperti sakit, ketakutan,
pekerjaan yang punya maslahat kepada umat, bencana
alam dan musafir. Bahkan syarat bagi musafir untuk
menjamakkan solat tidak diwajibkan melebihi dua
marhalah. Waima orang yang terperangkap dalam
kesesakan jalan raya dan tidak mampu keluar dari
situasi tersebut boleh berniat jamak, dan
melaksanakan solat jamak takhir apabila sampai di
rumah. Ini kerana solat jamak tidak terikat kepada
syarat jarak perjalanan, musafir, bermukim dan keluar
dari mukim.
2 Jenis solat jamak yang anda sedia maklum:
1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan
solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan
solat Isya dalam waktu Maghrib.
Syarat jamak Taqdim :
1) Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan
solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib
daripada solat Isya'.
2) Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat
pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam
takbiratul ihram.
3) Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.
4) Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama
(Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan
solat yang kedua (Asar atau Isya).
2. Jamak Takhir pula ialah mengerjakan solat Zuhur
dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib
dan solat Isya dalam waktu Isya.
Syarat jamak Takhir :
1) Hendaklah berniat jamak takhir dalam waktu
pertama iaitu Zuhur atau Maghrib. Tidak sah solat
jamak takhir yang dilakukan akibat luput waktu solat,
tanpa diniatkan sedari awal waktu solat yang pertama.
Jadi, apa perbezaan jamak qasar dan jamak?
Sangat berbeza kerana,
1. Jamak qasar bermaksud menghimpunkan dan
memendekkan, manakala jamak bermaksud
menghimpunkan sahaja.
2. Jamak qasar hanya dibenarkan bagi orang yang
sedang bermusafir melebih 2 marhalah dan singgah
tidak melebihi 3 hari penuh.
3. Jamak pula dibenarkan pada pelbagai keadaan
mengikut keperluan yang syarie.
Lihat situasi berikut :
Contoh 1: Ulama membincangkan masalah solat jamak
sebelum memulakan perjalanan. Jumhur ulama
berpendapat, boleh menjamakkan solat sebelum
bertolak sekiranya dibimbangi berlaku kesukaran untuk
solat dalam perjalanan. Pendapat ini berdasarkan
hadith:
"Rasulullah saw menjamakkan solat Zohor dan Asar di
Madinah, pada masa itu tiada ketakutan dan tidak pula
musafir, Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada
Sa'ed (iaitu Ibn Jubair), Kenapa baginda melakukan
begitu? Dia berkata, Aku telah bertanya Ibn 'Abbas
soalan yang sama, dan dia berkata : Baginda tidak
mahu sesiapa dikalangan umatnya menghadapi
kesukaran" [Hadith Riwayat Muslim no. 705].
Tapi perlu diingat.. yang dibenarkan adalah solat
JAMAK, bukan JAMAK QASAR.
Sekali lagi ditekankan bahawa jamak qasar hanya
boleh dilakukan apabila anda sudah memulakan
perjalanan dan keluar daripada mukim.
Diantara syarat-syarat sah memendekkan (qasar)
solat adalah hendaklah musafir melepasi pagar
kampung (balad) yang dimulakan permusafirannya" [al-
Fiqh al-Manhaji 1/187].
Contoh 2: Anda sudahpun dalam perjalanan pulang ke
rumah. Akibat kesulitan sepanjang perjalanan pulang
menyebabkan anda tidak mampu menunaikan solat
dalam perjalanan. Sebagai contoh, jalan yang sangat
'jam' (musim perayaan) yang boleh menyebabkan
terluput waktu solat. Maka dibolehkan anda jamak
takhir di rumah. Sekali lagi ditegaskan, dibolehkan
JAMAK, bukan JAMAK QASAR. Kerana jamak qasar
tidak valid apabila anda telah sampai di rumah.
Contoh 3: Apabila mengalami sebarang kesulitan di
tempat anda bermukim (musafir yang melebihi 3 hari),
maka dibolehkan jamak. Contoh kesulitan berbeza
mengikut situasi. Berada di tempat asing
memungkinkan kita berhadapan dengan pelbagai
masalah. Hanya yang mengalaminya dapat
merasakannya. Jangan tinggalkan solat, sebaliknya
jamaklah pada sesetengah keadaan yang sulit. Allah
telah memberi kelonggaran kepada hamba-hambanya
pada setiap keadaan agar kita menjadi hamba yang
sentiasa taat.
Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah
menyatakan hal ini :
"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak
musafir) menjamakkan dua solat jika ia menjadi terlalu
sukar untuk melakukan solat yang kedua pada
waktunya. Kebenaran menjamakkan solat adalah
LUAS berbanding dengan memendekkan solat, kerana
memendek (qasar) solat hanya dibenarkan kepada
musafir sahaja. Akan tetapi jamak dibenarkan kepada
musafir dan bukan musafir untuk menjamak solat
apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat
samaada pada waktunya atau didalam jemaah".
Dengan itu, jelas sekali ketetapan untuk solat tidak
pernah gugur walaupun kita berada dalam kesulitan.
Bahkan Allah telah memberi kemudahan untuk kita
tetap thabat di atas jalan-jalan orang yang abid.
"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-
Baqarah : 185]
"dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu
keberatan dan susah payah dalam perkara agama" [al-
Haj : 78]
____________________________________________
_____________________________________
Disclaimer Note : Setiap pendapat saya adalah bukan
pendapat peribadi yang condong kepada mana-mana
fahaman. Pangkal dalam setiap hukum syariat Islam
adalah dalil dari al-Quran dan hadith. Telah berkata
Imam Malik r.a, mana-mana pendapat yang
dilontarkan setiap muslim boleh diambil dan boleh
ditolak, kecuali yang datang dari Muhammad s.a.w.
Jadi, sekiranya terdapat pendapat yang tersasar
daripada dalil yang sahih, maka lakukan penolakan.
Yusuf Qardhawi pernah mengingatkan bahawa setiap
muslim adalah tawanan hujah yang kuat serta dalil
yang sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga telah
mengupas mengenai isu jamak dan qasar ini dalam
Fatwa Muasarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha,
Beirut ).
Allah Lebih Mengetahui.
ASMAH ALIAS. UiTM. AS 990, 9 Sept 2012, 22 Syawal
1433

Anda mungkin juga menyukai