Anda di halaman 1dari 11

Salah Laku Guru Mencalar Kewibawaan Profesion Perguruan

(1) Pengenalan

Dalam era globalisasi kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang
haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-
nilai murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut (Syed
Ismail etc., 2010:24). Menurut Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem
dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dengan erti kata lain, etika
menjadi teras dan tunggak kepada keperibadian atau tatakelakuan penjawat awam
supaya berurusan dengan apa yang baik dan tidak baik mengikut kewajiban dan
tanggungjawab moral mengikut profesion tersebut. Etika juga dikatakan sebagai satu
garis panduan yang menyenaraikan prinsip-prinsip tingkah laku untuk tujuan
meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan. Justeru,
adalah wajar setiap kerjaya yang digelar profesional menyenaraikan kod etika kerja
supaya memastikan pekerja-pekerja terlatih tertakluk kepada kod etika tersebut untuk
menyediakan perkhidmatan berkualiti.
Memandangkan setiap organisasi perlu mempunyai kod etika profesion sebagai
panduan tingkah laku setiap ahli, bidang pendidikan juga tidak terlepas dari membina
kod etikanya sendiri. Menurut kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia sehingga 30 Jun 2008, bilangan guru yang berkhidmat di sekolah rendah dan
sekolah menengah di seluruh negara adalah seramai 369,928 orang dengan guru lelaki
sebanyak 118,380 orang dan guru perempuan sebanyak 251,548 orang. Tahun demi
tahun, jumlah bilangan guru di seluruh Negara meningkat dan sebagai usaha
memartabatkan profesion perguruan ini sebagai profesion yang profesional, sebuah
Etika Profesion Perguruan telah dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja
Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971) bagi
pembentukan tatasusila guru. Semua guru yang menjawat di sekolah perlu
mematuhinya yang mana etika kerja guru diwujudkan adalah untuk memastikan guru
akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut panduan yang menjadi
pegangan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia berdasarkan nilai-nilai akhlak
mulia.
Antara rumusan Etika Profesion Perguruan secara keseluruhan adalah seperti
yang disenaraikan dalam karya Syed Ismail, etc. (2010:46-47):
i. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan
sifat profesionalnya yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap
profesion perguruan

x. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupaya yang
boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan

xiii. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh
mengurangkan keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya

Begitulah suaranya antara kandungan Etika Profesion Perguruan yang mengingatkan
guru kita agar tidak melibatkan diri dalam salah laku semasa memberi perkhidmatan
pendidikan di Negara kita. Tetapi sehinggakan hari ini, berita-berita yang tidak
menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau
mahupun salah laku guru sendiri yang masih lagi kedengaran. Persoalannya adakah
guru-guru di sekolah pada zaman kini tidak menyedari keruntuhan akhlak di kalangan
profesion ini sehinggakan mencalar kewibawaan profesion perguruan di Negara kita?

2) Isu : Salah Laku Guru

Sebuah artikel bertarikh Ogos 2009,(Kosmo! Online) berjudul Rogol, cabul
murid dalam makmal yang dikarang oleh Adham Shadan telah dimuat turun dari laman
web Kosmo Online. Menurut sumber artikel, kes ini berlaku di sebuah sekolah rendah
jenis kebangsaan di Pasir Puteh, Kota Bharu dimana seorang guru lelaki berusia 29
yang mengajar Sains dan Bahasa Cina di sekolah tersebut telah didakwa merogol
mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains di antara pukul 8
pagi hingga 3 petang. Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan
mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen
354 Kanun Keseksaan(KK) iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul
kehormatan. Tertuduh didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas
mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap
kedua-dua tuduhan itu. Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan dia mengambil
kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan
murid dalam menjatuhkan hukuman. Kata Rofiah Selepas mendengar hujahan pihak
pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan
sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan
mencabul.
Guru yang terbabit sebenarnya juga telah melanggarkan peraturan dalam kod
Etika Profesion Perguruan dengan melakukan tingkah laku mencabul anak murid
perempuan yang mana ini telah menyebabkan pihak ibu bapa dan khalayak ramai tidak
percaya kepada sifat profesional profesion perguruan. Seperti mana yang dikemukakan
sebelum ini, salah sebuah kod yang terkandung dalam Etika Profesion Perguruan
adalah menegaskan bahawa guru haruslah sentiasa menjaga tingkah lakunya supaya
keprosefionalannya tidak tercemar akibat kehilangan kepercayaan orang ramai
terhadap profesion perguruan. Pernyataan ini menjelaskan bahawa setiap tindak tanduk
dan sikap yang guru lakukan adalah mendapat perhatian masyarakat sekeliling
terutamanya pelajar dan ibu bapa.
Sesungguhnya, amat penting bagi seseorang guru agar menjada perlakuan agar
tidak mencalar kewibawaan profesion perguruan sehingga boleh menghilangkan
kepercayaan masyarakat terhadap nilai-nilai murni seorang guru yang sepatutnya
membawa tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak bangsa supaya bertingkah
laku baik dan berakhlak mulia. Jika seorang guru gagal untuk menjaga tingkah laku dan
sikapnya, maka imej guru seluruh Negara akan dipersoalkan dan pada akhirnya,
masyarakat tidak akan mempercayai guru dalam peranan sebagai pengganti ibu bapa
di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Pendek kata, tindakan guru disiplin
lelaki yang dianalisis dalam sumber artikel telah membuat pihak masyarakat
mempersoalkan sifat profesional guru dan ini sebenarnya telah mencabar kewibawaan
profesion perguruan di Negara kita.

(2.1) Sebab: Guru kurang menghayati dan memahami kod etika

Jika diteliti, apakah sebenarnya sebab-sebab yang menyebabkan berlaku kes
salah laku di kalangan guru? Pada pendapat penulis, senario ini berlaku dengan antara
sebabnya ialah guru terbabit kurang menghayati dan memahami kandungan yang
tertera dalam kod Etika Profesion Perguruan. Sesungguhnya, kod etika yang
disediakan dapat dijadikan suatu garis panduan kepada para guru di Negara kita
tentang bagaimana tingkah laku yang sesuai dilakukan apabila diri individu itu telah
menceburi profesion perguruan. Ini bermakna jika guru yang terbabit dengan kes salah
laku dapat menghayati dan memahami peraturan-peraturan yang disenarai dalam kod
Etika Profesion Perguruan, maka, beliau akan mengetahui apa yang boleh dilakukan
dan apa yang kurang sesuai dilakukan sebagai seorang guru. Beliau juga akan
mengetahui bahawa tindak-tanduk seorang guru yang buruk mampu mencemarkan
nama seluruh ahli komuniti guru justeru berusaha untuk mengelakkan dirinya untuk
terlibat dengan kes-kes salah laku. Natijahnya, penulis berasa bahawa salah satu
sebab yang menyebabkan guru terbabit melibatkan diri dalam kes salah laku adalah
berpunca daripada kekurangan pemahaman dan penghayatan keperluan mengikuti
peraturan mengikut kod Etika Profesion Perguruan.

(2.2)Sebab: Kursus, Latihan dan Bengkel mengenai kod etika kurang berkesan

Selain itu, penulis juga terfikir sejenak mengenai satu lagi punca yang mana
mungkin secara tidak langsung telah menyebabkan keadaan ini berlaku. Apakah sebab
sebenar yang menyebabkan guru-guru di Malaysia mengambil sikap tidak acuh kepada
kod Etika Profeion Perguruan? Mungkin kita perlu berhenti untuk menilai dan
mempersoalkan keberkesanan kursus dan latihan yang diberikan kepada guru
mengenai kod etika serta kepentingan mematuhi kod etika guru tersebut. Pada
pendapat penulis, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang sama kritikal dalam
menyebarkan pemikiran mengenai kepentingan guru mematuhi kod etika kerja. Namun,
realitinya, kursus dan latihan serta bengkel berkenaan kod etika profesion guru masih
lagi kurang dan tidak memadai untuk memberi pendedahan yang tegas kepada guru-
guru di Negara kita mengenai kepentingan menjaga tingkah laku mereka berdasarkan
tatatertib etika. Rumusnya, penguatkuasaan dan pemantauan yang kurang berkesan
akan menyebabkan berlakunya kes salah laku di kalangan guru.

(2.3) Sebab: Tekanan Emosi

Pada masa yang sama, penulis juga berpendapat bahawa kes guru terlibat
dalam kes salah laku berpunca daripada tekanan emosi atau lebih dikenali sebagai
stres. Kyriacou (2000) menjelaskan stres guru sebagai pengalaman guru terhadap
emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan
kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Stres juga didefinisikan
sebagai tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang
boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Sebenarnya, setiap individu
mengalami kelima-lima jenis stres yang disenaraikan, apa yang membezakan adalah
kekerapan dan tahap keseriusan tekanan emosi tersebut kepada setiap individu,
menurut Noriati A. Rahid, etc. (2010:67).
Dengan perkembangan yang pesat pada abad ke-21 ini, guru di sekolah bukan
sahaja menghadapi cabaran dalam menguruskan perihal pengajaran dan pembelajaran
di sekolah, malah golongan tersebut juga menghadapi cabaran yang lebih ketara
dengan tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan
kementerian demi meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam proses menjalankan tugas
dan tanggungjawab, guru kian menghadapi halangan, kesuntukan masa, perselisihan
faham antara guru justeru tekanan emosi sememangnya berlaku jika guru tidak dapat
menyelesaikan masalah atau menangani cabaran yang dihadapi.
Dalam kes yang dirujuk, guru lelaki tersebut mungkin telah mengalami tekanan
emosi yang mana pada akhirnya menyebabkan dia bertindak terpesong daripada etika
kerjaya sebagai seorang guru. Stres yang hasil daripada tekanan kerjaya berkaitan
yang menyebabkannya mengalami kekangan dalam menyelesaikan ketidak-
seimbangan yang berlaku dalam dirinya. Kita faham bahawa kecelaruan dalam diri
seseorang akan membawa kepada tindakan yang berada pada luar jangkaan diri
sendiri yang amat berbeza dengan personaliti asalnya, dimana guru terbabit mungkin
mencabul murid perempuan berkaitan walapun dirinya sendiri tidak sedar bahawa dia
sedang melakukan salah laku terhadap muridnya.

(2.4) Implikasi Salah Laku Guru

Menurut laporan Magendran Rajagopal dan Norliza Wasilan dalam Berita Harian
secara online, Kementerian Pelajaran telah menerima 200 aduan berhubung pelbagai
salah laku guru di seluruh Negara sejak tahun 2007. Sumber menjelaskan baahwa
antara kesalahan yang dilakukan oleh guru ialah tidak hadir bertugas (37%), cabul dan
gangguan seksual (17%), terbabit dalam rasuah dan disiasat Badan Pencegah Rasuah
(15%), penyalah-gunaan dadah (9.5%), kecurian (6%), jenayah syariah (7%) dan
keterhutangan serius (1%). Peningkatan bilangan guru-guru di Malaysia yang terbabit
dalam kes salah laku sesungguhnya mendatangkan kesan yang amat buruk jika
masalah ini dibiarkan berterusan.
Antara kesan yang dapat dilihat daripada permasalahan ini adalah merosotnya
kewibawaan profesion perguruan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Syed
Ismail etc. (2010:190), Pada zaman ini guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi
pengganti ibu bapa, kaunselor, pembimbing dan rakan. Peranan guru begitu penting
memandangkan beliau merupakan individu yang paling dekat dengan murid semasa
mereka berada di sekolah. Namun, apakah pandangan ibu bapa di luar persekitaran
sekolah yang mengharapkan guru menjadi penggantinya, melihat kes-kes salah laku
yang berlaku di kalangan guru di sekolah? Adakah masyarakat di Negara kita akan
terus menyanjung, menghormati dan mempercayai profesion perguruan sebagai suatu
jawatan yang mulia apabila guru-guru sekarang terjurus untuk terbabit dalam salah
laku?
Realitinya, peningkatan kes-kes salah laku melibatkan guru-guru di sekolah telah
menyebabkan ibu bapa dan masyarakat Negara kita memandang sinis terhadap
profesion perguruan. Mereka tidak yakin dengan kebolehan guru seluruh negara dalam
mendidik anak-anak mereka walaupun hanya berakibatkan tindakan salah seorang
guru di Malaysia. Nampaknya, pengaruh yang dibawa oleh permasalahan tidak
mematuhi kod etika kerja guru terhadap profesion perguruan di Malaysia adalah begitu
luas sehingga menjejaskan imej semua guru di Negara kita. Malah sesetengah pihak
telah melabelkan profesion ini sebagai pilihan terakhir setelah tiada kerjaya profesional
yang lain atau disebabkan ingin mengelakkan diri daripada menganggur. Kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga.
Di samping itu, kes salah laku yang berlaku di kalangan guru juga memaksa
pihak berkuat-kuasa melucutkan jawatan guru di sekolah. Ini secara tidak langsung
menyebabkan kekurangan sumber guru yang berkualiti di sekolah-sekolah seluruh
Negara. Menurut sumber pada tahun 2010, bilangan sekolah rendah yang didirikan di
Malaysia adalah sebanyak 7,714 buah. Cuba bayangkan sekiranya seluruh sekolah di
Malaysia mempunyai hanya seorang guru yang membabitkan diri dalam kes salah laku.
Dengan ini, pihak berkuat-kuasa terpaksa melucutkan kira-kira 7 ribu orang guru yang
memegang jawatan di sekolah. Ini sudah tentu menimbulkan permasalahan yang tidak
berterusan kepada proses pembelajaran murid-murid di sekolah, malah sistem
pendidikan di Negara kita. Jadi, jelaslah bahawa tindakan salah laku guru akan
menyebabkan sistem pembelajaran di Negara kita tergendala.

(2.5) Cara mengatasi isu ini

Memandangkan isu atau permasalahan salah laku guru di Negara kita akan
membawa kesan yang begitu serius kepada imej guru dan sistem pendidikan di Negara
kita, langkah-langkah yang sesuai serta berkesan haruslah diambil supaya isu ini dapat
diturunkan kadarnya, diperbaiki keadaannya dan pada akhirnya dibasmi
permasalahannya. Terdapat beberapa pihak yang terlibat dalam usaha mengatasi isu
salah laku di kalangan guru di Negara kita. Antaranya ialah pihak pentadbir sekolah,
pihak rakan sejawat guru dan juga pihak individu yang tertuduh tersebut.
Pertama sekali, pihak pentadbir sekolah haruslah mempertingkatkan lagi sistem
pemantauan (monitoring) dan susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan
cekap dalam pemantauan terhadap guru-guru di sekolah agar isu salah laku di
kalangan guru dapat dielakkan. Pihak tersebut seharusnya mewujudkan sebuah sistem
pantau yang dapat menghalang guru-guru untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara
yang dikatakan telah melanggar peraturan kod Etika Profesion Perguruan. Sekiranya
betul didapati guru berkenaan masih tidak terlepas dari terbabit kes salah laku, pihak
pentadbir sepatutnya membuat persediaan untuk memberi perkhidmatan nasihat dan
kauseling kepada guru tersebut supaya dia sedar bahawa dirinya sedang menjurus ke
arah yang terpesong daripada profesionnya.
Walau-bagaimanapun,jika guru terbabit masih ingkar, maka amaran dan
tindakan tatatertib harus dilaksanakan dengan tegas agar kes salah laku tidak
berterusan. Ketegasan pihak pentadbir dalam menguruskan hal salah laku
sememangnya membantu pihak berkuasa membasmi isu salah laku di kalangan guru.
Pihak pentadbir juga berperanan memastikan guru di sekolah, khususnya guru
permulaan yang baharu saja dilantik agar memahami dan menghayati kod Etika
Profesion Perguruan. Sekiranya perlu, kursus, latihan, seminar dan bengkel
menerangkan tentang etika kerja tersebut harus diadakan dengan kerap agar guru-guru
sentiasa peka dengan tindak-tanduk sendiri.
Selain itu, rakan sejawat guru juga memainkan peranan kritikal dalam mengatasi
masalah salah laku di kalangan guru. Sebagai salah seorang ahli dalam komuniti
pendidik, individu tersebut seharusnya sentiasa berusaha menjadi teladan kepada ahli-
ahli lain dalam komuniti berkaitan. Adalah diingatkan bahawa sebagai seorang guru,
tingkah laku beliau bukan sahaja sentiasa menjadi role model kepada murid-muridnya
di dalam kelas, malah rakan-rakan sejawatnya yang sentiasa berkomunikasi
dengannya. Jadi, adalah wajar sebagai seorang guru untuk sentiasa menjaga tindak-
tanduknya. Sebagai rakan sejawat, individu tersebut juga bertanggungjawab memberi
dorongan dan nasihat sewajarnya kepada guru yang didapati terbabit dengan
kesalahan.
Kita dididik agar tidak menjaga tepi kain orang dan ini menyebabkan kita jarang
mengambil peduli tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan kita. Namun, sebagai
rakan sejawat, sikap ini haruslah diubah dimana individu tersebut haruslah berusaha
mengamalkan pendekatan kepedulian. Dari segi moral, pendekatan kepedulian
merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Dalam konteks
ini, kepedulian dapat diertikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. Oleh
yang demikian, setiap guru haruslah memikul tanggungjawab sebagai seorang rakan
sejawat untuk mempedulikan masalah salah laku yang dihadapi orang guru sejawat di
sekolah.
Pada masa yang sama, rakan sejawat juga perlu sentiasa saling memberi
peringatan dan nasihat agar tidak terjurus daripada terlibat dalam kes salah laku.
Menurut Syed Ismail, etc. (2010:56), kita perlua sama-sama menjaga nama baik
profesion perguruan supaya pelanggan dan stakeholderkita berasa berpuas hati dan
kehendak mereka yang sah dapat dipenuhi. Beliau juga menyatakan bahawa
Sebagai seorang guru yang berakauntabiliti terhadap rakan, kita hendaklah sentiasa
berusaha membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baharu dalam terlibat
dalam profesion peguruan ini. (Syed Ismail, etc., 2010:57) Oleh yang demikian,
jelaslah bahawa tugas kita sebagai guru sebenarnya tidak terhad kepada murid, ibu
bapa, masyarakat dan Negara. Kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk
melindungi dan menjaga nama baik rakan sejawat kita yang berkecenderung untuk
melakukan tindakan terpesong agar kewibawaan profesion perguruan ini tidak tercalar.
Di samping itu, setiap orang guru di Negara kita sebenarnya mempunyai peranan
masing-masing dalam memastikan kes salah laku berhenti dari terus berlaku dalam
kalangan pendidik. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya
sentiasa bermuhasabah dan membuat reflektif diri mengenai apa yang dilakukan
olehnya. Dengan cara ini, kekuatan dan kelemahan diri akan dapat dikenal-pasti dan
dibaiki dengan kadar yang cepat. Ia juga menimbulkan kesedaran untuk menjadikan diri
individu itu berkembang ke arah lebih baik. Umpamanya jikalau guru berkaitan
mendapati dirinya mempunyai masalah tekanan emosi yang menyebabkannya terjurus
untuk melakukan tindakan terpesong, maka beliau bolehlah dapatkan nasihat dan
kaunseling dari pihak berpengalaman sebelum kes salah laku berlaku. Sikap kepekaan
dan rendah diri terhadap keperluan diri untuk menerima nasihat amat membantu dalam
konteks ini. Sudah tentu masalah salah laku di kalangan guru dapat diselesaikan
sebelum keadaan berkenaan berubah menjadi jenayah serius sehinggakan didakwa.
Seterusnya, guru juga haruslah bijak memilih kawan yang mampu menjadi
teladan dan contoh kepada profesion perguruan beliau. Seperti peribahasa dalam
Bahasa Inggeris yang menyatakan bahawa A man is known by the company he
keeps. Ini bermakna seorang individu akan menerima pengaruh daripada teman-teman
yang berdampingan dengannya. Sekiranya seorang guru sentiasa berkawan dan
berdampingan dengan golongan guru yang dikatakan mempunyai sikap negatif, maka
lama-kelamaan guru tersebut juga akan terjurus untuk melakukan tingkah laku negatif
akibat pengaruh rakan tersebut. Sebaliknya, sekiranya guru berkenaan berdampingan
dengan rakan sejawat yang mampu menjadi teladan dan contoh malah model tiruan
dalam profesion perguruan, maka guru tersebut akan terarah untuk mengikuti arus
supaya menjadi seorang guru yang ideal.

(3) Kesimpulan

Sebagai rumusan kepada ulasan-ulasan yang telah dikemukakan, Etika
Profesion Perguruan sebenarnya diwujudkan dengan hasrat untuk membentuk tingkah
laku positif dan membaiki potensi sesetengah individu pada satu-satu masa. Etika juga
bertujuan mengawal tingkah laku para profesional agar lebih beretika dalam bidang
yang diceburi dan pada akhirnya membimbing para profesional ke menara berjaya
suatu hari nanti. Begitu juga keadaannya dalam kerjaya guru. Dengan adanya Etika
Profesion Perguruan, para guru di Malaysia akan dapat merujuk dan mendapatkan
garis panduan untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti
terhadap semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, masyarat dan Negara serta rakan
sejawat.
Pada masa yang sama, adalah wajar bagi setiap individu bagi memahami
bahawa pelaksanaan Etika Profesion Perguruan bukanlah untk membebankan individu
yang terlibat dalam profesion tersebut. Tujuannya seperti yang dinyatakan sebelum ini,
sesungguhnya adalah untuk membantu dalam guru yang berkhidmat dalam bidang
pendidikan untuk menjadi lebih komited, dan dapat memupuk akauntabiliti dalam
menjalankan kerja atau profesion beliau. Dengan pemahaman tentang kepentingan
kewujudan etika kerja, maka diharapkan guru-guru di Malaysia akan lebih menyedari
keperluan diri mereka mematuhi peratuan kod etika seperti yang tertera bagi menjaga
imej profesion guru serta memelihara kelancaran dalam pelaksanaan sistem pendidikan
di Negara kita.
Menurut Baharin Abu, etc. telah mengunkapkan bahawa Guru adalah pendidik
dan pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu
pengetahun untuk kemajuan bangsa dan Negara pada masa hadapan. Semamangnya
guru memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan Negara. Selain meyebar
ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain
mereka dapat membina masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi.
Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik
hati, pandai berjenaka, sabar, bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat
kepimpinan (Mook Soon Sang, 1988). Sesungguhnya, guru-guru harus merenungkan
kenyataan yang diungkapkan oleh Imam Ghazali (1980) dalam buku Ihya Ulumiddin
yang berbunyi rosaklah pemimpin kerana guru yang jahat.