Apakah maksud pengguna ? Pengguna ialah seseorang yang menggunakan
barang, perkhidmatan atau alam sekitar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan. Secara mudahnya , kita sebagai individu adalah pengguna tanpa mengira usia dan kedudukan kita dalam masyarakat . Sebahagian besar dari apa yang kita gunakan hari ini ialah hasil usaha orang lain sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Pengguna juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara . Pengguna yang bijak pula ialah pengguna yang serba tahu tentang haknya sebagai pengguna serta bertindak dengan bijaksana dan bertanggungjawab. Terdapat banyak tanggungjawab saya sebagai seorang pengguna. Antara tanggungjawab saya sebagai seorang pengguna ialah saya harus mengetahui hak-hak saya sebagai pengguna. Hak-hak itu termasuklah hak untuk mendapatkan keperluan asas , hak untuk mendapat maklumat , hak untuk membuat pilihan dan hak untuk menyuarakan pendapat. Saya sebagai pengguna berhak untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan. Selain itu , saya juga harus diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkan saya untuk membuat pilihan yang bijak. Jikalau saya tidak berpuas hati dengan sesuatu produk saya berhak menyuarakan pendapat saya. Di samping itu, saya sebagai pengguna juga berhak untuk mendapatkan pendidikan pengguna yang sempurna demi kebaikan diri sendiri. Pendidikan ini boleh bermula sejak awal lagi dan harus diteruskan sehingga usia lanjut. Tanggungjawab saya untuk mengambil tahu dan menyedari hak-hak saya sebagai pengguna adalah amat penting demi masa depan saya. Sebagai seorang pengguna yang bijak , saya haruslah menyedari keupayaan saya untuk mengkritik. Saya mestilah sedar bahawa saya boleh mengkritik jika terdapat sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna. Sebagai contoh , jika terdapat seorang penjual menyorokkan barang untuk menaikkan harga barang tersebut, saya berhak untuk mengkritikkannya dan sekali gus melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. Dalam era globalisasi ini, medium yang paling mudah bagi saya mengadukan perkara tersebut ialah E-Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Tindakan akan diambil ke atas pesalah tersebut dan ini akan memastikan saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pengguna yang prihatin. Selain itu , saya haruslah menglibatkan diri dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mamastikan saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pengguna. Tamsilnya, saya boleh menglibatkan diri dalam Hari Pengguna yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti pihak sekolah. Pihak sekolah terutamanya Kelab Pengguna Sekolah telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Hari Pengguna pada setiap tahun . Dengan adanya Hari Pengguna , pelajar-pelajar boleh mengambil peluang keemasan ini untuk menampilkan bakat- bakat mereka dalam menonjolkan diri dalam sesuatu pertandingan. Di samping itu , saya juga haruslah mengambil kesempatan ini untuk menceburi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Pengguna Sekolah seperti Pertandingan Mengarang Esei , Pertandingan Melukis Poster , Pertandingan Buku Skrap dan lain-lain. Keprihatinan saya ini bukan sahaja mengajar dan membimbing saya untuk lebih mengetahui tentang kepengunaan malah akan menyumbang kepada markah kokurikulum saya yang amat penting demi masa depan saya. Penglibatan diri dalam Hari Pengguna ini juga merupakan satu lagi kaedah yang saya boleh laksanakan demi menjaga tanggungjawab saya sebagai pengguna. Antara tanggungjawab saya sebagai pengguna adalah untuk membeli secara rasional dan bijak . Pada zaman ini, pembelian secara elektronik telah berkembang dengan pesatnya dan meninggalkan kesan-kesan yang agak buruk kepada pengguna. Masalah yang sering dihadapi oleh pengguna ialah penipuan barangan yang dijual dalam sesuatu laman web. Sebagai seorang pengguna yang rasional dan bijak , saya haruslah menangani masalah ini dengan membuat peninjauan terlebih dahulu tentang kesahihan laman web tersebut. Saya boleh memperolehi pendapat pembeli yang mungkin pernah berurusan dengan penjual dalam laman web tersebut. Sekiranya saya mendapati bahawa laman web tersebut adalah tidak sahih dan boleh menimbulkan masalah terhadap pembeli , maka saya haruslah mengambil langkah- langkah yang sewajarnya untuk membelenggu masalah tersebut. Antara langkah yang boleh saya ambil untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan menyebarkan maklumat tentang laman web yang palsu itu dalam media sosial supaya bakal pembeli daripada laman web tersebut dapat menghindarkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. Pengguna-pengguna zaman ini patut lebih berhati-hati dan berwaspada apabila melakukan transaksi secara elektronik. Saya sebagai pengguna juga haruslah menyedari bahawa terdapatnya badan- badan yang tertentu yang sedia membantu pengguna apabila ditimpa masalah. Salah satu badannya, ialah Federation of Malaysian Consumers Association yang ditubuhkan untuk meneliti isu-isu dan masalah pengguna dan berjuang untuk hak- hak pengguna. FOMCA akan memberikan pendidikan dan perlindungan kepada pengguna tehadap hak-hak mereka supaya pengguna tidak ditindas oleh penjual atau pengeluar. Sekiranya saya menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan kepenggunaan , saya boleh mengadukan masalah yang timbul itu kepada FOMCA yang akan mengesahkan kesahihan aduan tersebut dengan menyiasat, membuat kajian dan ujian. Sekiranya aduan tersebut adalah sah , FOMCA akan mengemukakan aduan tersebut kepada pihak atasan untuk tindakan yang selanjutnya. Sebagai seorang pengguna , saya haruslah sedar bahawa badan-badan ini merupakan media yang amat penting untuk menjaga hak dan tanggungjawab pengguna. Akhir sekali , saya juga haruslah menanamkan sikap bekerjasama dan bersatu padu demi menjaga kepentingan hak pengguna. Jika timbulnya sesuatu masalah, saya haruslah berganding bahu dengan pihak lain untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut. Dengan adanya , semangat bekerjasama yang tinggi , masalah tersebut dapat diatasi dengan senang berbanding jika saya bertindak secara berseorangan bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Di samping itu , sesuatu persetujuan juga tidak dapat dicapai tanpa sifat toleransi dan sikap sanggup berkorban dalam diri setiap pengguna. Cara yang terbaik bagi saya memaparkan semangat kekitaan adalah dengan melibatkan diri dalam Persatuan dan Kelab Pengguna. Persatuan dan Kelab Pengguna ini dapat memberikan saya sebuah petunjuk kepada menghadapi masalah secara berkumpulan dengan integrasi pihak lain. Kesimpulannya, saya haruslah menanamkan sikap bersatu padu dan menggalakkan sikap ini kepada pengguna lain juga untuk mengekalkan kepentingan hak-hak kita sebagai pengguna. Tanggungjawab saya dan semua rakyat Malaysia sebagai pengguna amat penting dalam pembangunan negara. Penyelewengan ekonomi akan berlaku sekiranya tiada penghalangan ataupun penglibatan kita sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab. Kita haruslah memastikan hak-hak kita tidak ditindas oleh penjual yang hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Oleh itu , kita seharusnya meghadapi masalah ini dengan kerjasama semua pihak untuk melahirkan sebuah Malaysia yang bebas daripada penyelewengan ekonomi serta berkembang maju dalam sektor perniagaan sehingga terkenal di persada dunia .