Anda di halaman 1dari 14

BAB 5 (TING 4) hlm/ 1

BAB 5: KERAJAAN ISLAM DI MADINAH



Hasil Pembelajaran
Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah dan kesannya
Aras 1
Menyatakan kepentingan Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua
Menerangkan maksud Hijrah dalam Islam
Menyenaraikan sebab-sebab Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah
Menyatakan kepentingan peristiwa Hijrah dalam sejarah Islam
Aras 2
Menghuraikan kepentingan Perjanjian Aqabah Pertama dan Kedua
Menjelaskan sebab-sebab Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah
Menghuraikan kepentingan peristiwa Hijrah dalam sejarah Islam
Aras 3
Membuat justifikasi pendapat orientalis yang mentakrifkan Hijrah sebagai melarikan diri
Merasionalkan konsep Hijrah dalam kehidupan masa kini

1. a. Terangkan latar belakang kota Madinah secara ringkas. (Rujuk Buku Teks m.s: 118)


Madinah terletak di utara Makkah dan merupakan kota yang penting bagi
pedagang Arab sebelum kemunculan Islam. Kedudukannya yang strategik di
tengah-tengah perjalanan di antara Makkah dan Syam telah mendorong pedagang
luar mengunjunginya. Terdapat tiga golongan penduduk di Madinah iaitu, Nasrani,
Yahudi dan Arab. Golongan Yahudi terdiri daripada Bani Quraizah, Bani Qunaiqa
dan Bani Nadhir. Golongan Arab pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj.
Suasana kehidupan di Madinah kurang aman disebabkan oleh pergeseran yang
berlaku di kalangan suku Arab dan penguasaan ekonomi oleh orang Yahudi.

2. a. Ceritakan peristiwa yang menyebabkan Perjanjian Aqabah pertama ditandatangani.
(Rujuk Buku Teks m.s: 118)
Semasa dakwah Islamiah disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Makkah,
baginda telah dikunjungi oleh beberapa orang Arab Madinah yang terdiri daripada
suku Khazraj. Mereka telah menemui Nabi Muhammad s.a.w. di Aqabah dan
kemudian memeluk Islam. Sekembalinya mereka ke Madinah, mereka telah
menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Madinah yang lain.
Pada musim haji yang berikutnya, iaitu pada tahun 621 M., sekumpulan orang
Arab Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan khazraj telah mengunjungi Nabi
Muhammad s.a.w. sekali lagi. Menerusi pertemuan ini terjalinlah perjanjian antara
Nabi Muhammad s.a.w. dengan orang Arab Madinah tersebut. Perjanjian ini
dikenali sebagai Perjanjian Aqabah Pertama.



BAB 5 (TING 4) hlm/ 2


b. Senaraikan perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini.

1. Suku Aus dan Khazraj hendaklah beriman kepada Allah dan Rasul.
2. Mereka juga berjanji akan membantu perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
3. Tidak akan melakukan amalan jahiliyah seperti mencuri, meminum arak dan
membunuh bayi perempuan.

3. a. Apakah Perjanjian Aqabah kedua? (Rujuk Buku Teks m.s: 118-119)
Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 622 M., antara suku Aus dan Khazraj
dengan Nabi Muhammad s.a.w.

b. Apakah perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini?

1. Suku Aus dan Khazraj memeluk Islam dan mengukuhkan lagi taat setia kepada
Nabi Muhammad s.a.w.
2. Suku Aus dan Khazraj menjemput Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam di
Makkah berhijrah ke Madinah.
3. Mereka secara sukarela akan menyediakan tempat tinggal dan menjanjikan
keselamatan untuk baginda dan orang Islam Makkah serta menyatakan
kesediaan mempertahankan Islam.

4. a. Bilakah peristiwa hijrah berlaku? (Rujuk Buku Teks m.s: 119)

Peristiwa hijrah orang Islam Makkah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal
bersamaan 12 September tahun 622 M.
Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi
Muhammad s.a.w. berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar al-Siddiq,
selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-
Siddiq memakan masa selama lebih kurang 12 hari.
Umar bin al-Khattab berhijrah secara sendirian dan terang-terangan kerana sifat
keberaniannya.

5. a. Apakah hijrah? (Rujuk Buku Teks m.s: 119-120)

Hijrah ialah perkataan Arab yang bermaksud berpindah (berlaku dari satu tempat
ke satu tempat yang lain).
Dalam konteks Islam hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota
Makkah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan Islam serta
merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang luas dan mendalam, antaranya
Perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan
dan kejahatan.
Dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh
berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara
berfikir dan tingkah laku.

BAB 5 (TING 4) hlm/ 3


b. Apakah pandangan Orientalis Barat tentang hijrah?
Mentafsirkan hijrah secara negatif, iaitu sebagai suatu pelarian.

c. Nyatakan hujah-hujah yang boleh kita gunakan untuk menyangkal pandangan
negatif Orientalis Barat tersebut?
Empat hujah;
1. Penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang
Arab Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah Kedua.
2. Ketibaan orang Islam Makkah juga telah disambut dengan rela dan meriah oleh
orang Madinah.
3. Orang Islam Makkah diberikan tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin
tentang keselamatan mereka oleh orang Arab Madinah.
4. Nabi Muhammad s.a.w. telah dilantik sebagai pemimpin Madinah dan baginda
diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madinah termasuk orang bukan
Islam.

d. Ceritakan peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah.
Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah bermula setelah baginda berjaya
melepaskan diri daripada kepungan pemuda Quraisy terhadap rumah baginda.
Sebelum itu, Ali bin Abu Talib telah menawarkan diri untuk tidur di tempat tidur
baginda dengan menggunakan selimut baginda. Setelah keluar dari rumah, baginda
telah menemui Abu Bakar al-Siddiq dan menyatakan tentang
perintah Allah supaya baginda berhijrah. Namun, baginda dan Abu Bakar al-
Siddiq telah bersembunyi di Gua Thur sebelum meneruskan hijrah ke Madinah.
Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah dipandu oleh Abdullah
bin Arqat (belum memeluk Islam semasa menjadi jurupandu hijrah).
6. a. Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke
Madinah. (Rujuk Buku Teks m.s: 121)

1. Perintah Allah menerusi wahyu. Dalam wahyu ini, Allah telah menyatakan niat
dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh baginda dan Allah telah
memerintahkan baginda supaya segera berhijrah. (Surah al-Anfal)

2. Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Di Makkah, ancaman
daripada orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam. Walau
bagaimanapun, penghijrahan itu bukan bererti yang orang Islam kecewa dengan
penentangan tersebut tetapi ini merupakan strategi Nabi Muhammad s.a.w. untuk
mengembangkan Islam.

3. Jemputan masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi konflik. Pada
ketika itu, suku Aus dan Khazraj di Madinah sering bertelagah sesama sendiri dan
ekonomi mereka pula dikuasai oleh orang Yahudi. Oleh itu, orang Arab Madinah
memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad s.a.w. untuk
mengetuai kepimpinan mereka. Baginda juga diperlukan untuk mendamaikan
masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan.
BAB 5 (TING 4) hlm/ 4


7. a. Huraikan kepentingan hijrah. (Rujuk Buku Teks m.s: 122-124)

1. Dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung
lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu.

2. Memberikan peluang kepada Nabi Muhammad s.a.w. mendamaikan suku Arab
di Madinah yang sering bersengketa khususnya suku Aus dan Khazraj, melalui
semangat persaudaraan sesama Islam.

3. Menjalinkan hubungan persaudaraan antara orang Islam Makkah dengan orang
Islam Madinah. Hubungan ini terjalin melalui sikap yang diperlihatkan oleh
orang Islam Madinah sehinggakan orang Islam Makkah yang berhijrah tidak
berasa asing atau rendah diri berada dalam masyarakat baru yang terbentuk .
Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya telah memberikan gelaran Muhajirin kepada
orang Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah manakala orang Islam Madinah
yang memberi bantuan kepada Muhajirin digelar Ansar.

4. Menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada suku, budaya dan
agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini
sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan
kegiatan ekonomi, agama, dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan
kemakmuran hidup.

5. Pembinaan sebuah masjid iaitu Masjid al-Nabawi. (Bagaimanapun, masjid yang
pertama dibina dalam sejarah perkembangan Islam ialah Masjid Quba). Masjid
telah dijadikan sebagai tempat untuk beribadat dan belajar di samping sebagai
tempat untuk bertemu dan membincangkan masalah yang dihadapi oleh orang
Islam. Di kawasan persekitaran masjid juga dibolehkan orang Islam
mengadakan aktiviti harian seperti berjual beli.

6. Wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula
digunakan pada zaman Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab.

7. Nabi Muhammad s.a.w. telah menukarkan nama Yathrib kepada Madinah al-
Munawwarah atau kota bercahaya. Perubahan ini merupakan salah satu usaha
baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pusat tamadun Islam dan agama
Islam menjadi cara hidup yang merangkumi semua bidang termasuk politik,
ekonomi dan sosial.

8. Menunjukkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh
melahirkan masyarakat cemerlang. Orang Madinah telah memberikan bantuan
yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup
memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang
lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian
daripada masyarakat Madinah.

BAB 5 (TING 4) hlm/ 5


9. Hijrah berjaya dengan sokongan dan pengorbanan sahabat-sahabat Nabi
Muhammad s.a.w. sendiri. Seperti Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abu Talib dan
Abdul Rahman bin Auf.

10. Mempelihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain
sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya,
puteri Abu Bakar al-Siddiq, Asma. Beliau telah berjaya membantu perjuangan
Nabi Muhammad s.a.w. apabila beliau dengan beraninya telah menghantar
makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi
Muhammad s.a.w. di Gua Thur walaupun, menyedari tindakannya berbahaya
serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar.

11. Menampakkan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. mengatur strategi
perjuangan. Semasa berhijrah, baginda tidak terus berangkat ke Madinah tetapi
bersembunyi terlebih dahulu di Gua Thur. Baginda memilih jalan lain, iaitu
jalan ke selatan menuju ke Tihamah berhampiran Laut Merah. Baginda
berpendapat jalan ke Madinah menerusi utara Makkah kurang selamat.


Hasil Pembelajaran
Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami kepentingan Piagam Madinah
Aras 1
Menyatakan prinsip-prinsip umum kandungan Piagam Madinah
Menyatakan kepentingan Piagam Madinah
Menerangkan usaha penyebaran Islam di Madinah
Aras 2
Menghuraikan prinsip-prinsip umum kandungan Piagam Madinah
Menjelaskan kepentingan Piagam Madinah
Menghuraikan penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w
Aras 3
Merasionalkan Piagam Madinah dalam konteks menjamin perpaduan kaum
Merasionalkan penyebaran Islam bukan melalui kekerasan
Membandingkan keadaan masyarakat Arab sebelum dan selepas kedatangan Islam

8. a. Apakah Piagam Madinah? (Rujuk Buku Teks m.s: 124-129)
Piagam Madinah atau sahifah Madinah merupakan sebuah perlembagaan bertulis
yang telah dirangka oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M.,
berpandukan wahyu Allah. Piagam madinah menjadi asas pemerintahan kerajaan
Islam Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam dan masyarakat bukan
Islam. Piagam ini mencatatkan tentang peraturan, tanggungjawab ketua negara
dan rakyatnya, serta dirangka berasaskan persetujuan orang Islam (Muhajirin dan
Ansar) dan orang bukan Islam (Yahudi dan suku Arab yang lain).

BAB 5 (TING 4) hlm/ 6


b. Terangkan kandungan Piagam Madinah
Piagam Madinah mengandungi 47 fasal, 23 fasal membincangkan hubungan
dalam kalangan orang Islam dan tanggungjawab mereka dan 24 fasal lagi adalah
tentang tanggungjawab orang bukan Islam termasuk orang Yahudi terhadap
negara Madinah. Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan bertulis yang
pertama digubal di dunia yang menjadi asas kepada sebuah negara berdaulat.

Kandungan PiagamMadinah boleh dirumuskan kepada tujuh aspek penting yang
merangkumi bidang politik, sosial dan ekonomi, iaitu dalam aspek pentadbiran,
agama, sosial, perundangan, pertahanan, dan kedudukan kaum Yahudi seperti
yang tertera dalam jadual dibawah.

Intisari kandungan Piagam Madinah.
Bil Perkara Rumusan
1. Politik Nabi Muhammad s.a.w. pemimpin di Madinah.

Baginda adalah sebagai hakim yang
menyelesaikan masalah yang timbul antara
orang Islam dengan orang bukan Islam.
2

Agama

Masyarakat Madinah bebas mengamalkan
agama masing-masing.

Mereka bebas mengamalkan adat mereka
masing-masing selagi tidak bertentangan
dengan Islam.
3 Sosial

Masyarakat Madinah dianggap sebagai satu
ummah dan mempunyai tanggungjawab yang
sama terhadap negara.

Masyarakat Madinah tidak boleh bermusuhan
sesama sendiri.
4 Perundangan Undang-undang Islam diguna pakai secara
menyeluruh tetapi peraturan kekeluargaan di
dalam sesuatu kabilah boleh diamalkan selagi
tidak bertentangan dengan Islam.

5 Ekonomi Kerjasama antara masyarakat Madinah dituntut
demi memajukan ekonomi negara.

Unsur penipuan dan riba dihapuskan dalam
sistem perniagaan.
6 Pertahanan Semua anggota masyarakat dikehendaki
mempertahankan Madinah daripada ancaman
luar.
BAB 5 (TING 4) hlm/ 7


7 Kedudukan
Yahudi
Keselamatan orang bukan Islam (khususnya
Yahudi) terjamin selagi mereka mematuhi
perlembagaan Madinah.

c. Jelaskan kepentingan Piagam Madinah.

1. Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membentuk masyarakat baru berasaskan
ummah, iaitu masyarakat yang hidup bersatu dan aman. Nilai hidup yang
ditanam adalah berasaskan semangat ukhuwah Islamiah. Taraf dan
kedudukan rakyat adalah sama. Dengan itu, konsep keadilan sosial telah
dipraktikkan di Madinah. Dari segi hak, Islam telah menekankan persamaan
hak dan persaudaraan Islam. Tiada lagi perbezaan taraf di kalangan masyarakat.

2. Menerusi pembentukan perlembagaan ini, masyarakat Madinah daripada
pelbagai keturunan, budaya dan agama dapat mendiami sebuah negara yang
mempunyai undang-undang yang lengkap dan sempurna. Syariah Islam yang
diperkenalkan adalah adil.

3. Cara Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan sebuah kerajaan berbeza daripada
cara yang dilakukan oleh pemimpin lain di dunia. Baginda menyusun
perlembagaan negara terlebih dahulu sebelum mengasaskan sebuah kerajaan. Di
sini menunjukkan bahawa masyarakat Madinah telah diikat dahulu dengan
perjanjian yang lengkap sebelum bernaung di bawah sebuah pemerintahan.
Sistem pemerintahan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan
sistem pemerintahan yang meletakkan Allah sebagai kuasa yang tertinggi.

4. Piagam Madinah juga berjaya menyusun masyarakat yang sistematik. Setiap
kaum terikat dengan undang-undang yang telah digariskan. Orang Yahudi,
misalnya, tidak boleh menindas kaum Arab yang lain. Kesemua bangsa ada hak
dalam negara Madinah dan mereka harus mematuhi peraturan dan cara hidup
yang menjadi panduan masyarakat. Mereka bertanggungjawab mempertahankan
keselamatan Negara Madinah daripada serangan luar. Dengan adanya kerjasama
daripada semua masyarakat, negara Madinah menjadi kuat dan disegani oleh
negara luar di sekitarnya dan di Semenanjung Tanah Arab.

9. a. Jelaskan strategi yang diatur oleh Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyebarkan
agama Islam. (Rujuk Buku Teks m.s: 129-131)

1. Strategi yang diatur oleh Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan Islam
dengan menghantar perutusan ke Rom, Rom Timur, Parsi Mesir, Habsyah, dan
wilayah di sekitar Semenanjung Tanah Arab. Dalam menyebarkan Islam, Nabi
Muhammad s.a.w. tidak memaksa mereka memeluk lslam tetapi menggunakan
diplomasi dan menunjukkan nilai-nilai yang baik.

2. Selain menyeru mereka memeluk Islam menerusi warkah, baginda juga
ingin mewujudkan rasa persefahaman dengan wilayah tersebut.
BAB 5 (TING 4) hlm/ 8



3. Oleh sebab orang Arab Quraisy cenderung untuk melakukan keganasan
dengan menyerang kafilah perdagangan Islam, Nabi Muhammad s.a.w, telah
mengambil keputusan untuk membetulkan keadaan itu. Mengikut ajaran Islam,
peperangan tidak dibenarkan kecuali bertujuan untuk mempertahankan maruah
diri, agama dan negara. Peperangan hanya boleh dilakukan dengan keizinan
Allah, iaitu setelah wahyu diturunkan oleh Allah.

...........
Peperangan.

Di Madinah, sejak tahun 622M. atau 1H. sehinggalah pembukaan semula kota
Makkah pada tahun 630M. atau 8H., beberapa siri peperangan antara orang
Quraisy Makkah dengan orang Islam Madinah telah berlaku. Peperangan tersebut
ialah Perang Badar pada tahun 624M. / 2H., Perang Uhud pada tahun 625M. / 3H.,
Perang Khandak 627M. / 5H., dan Perang Tabuk 630M. / 8H..

Di Makkah, setelah beberapa lama ditindas oleh orang Arab Quraisy, Allah telah
memberikan keizinan kepada umat Islam untuk berperang, iaitu setelah orang
Arab Quraisy menyerang orang Islam. Peperangan yang berlaku dalam Islam
juga harus mengi kut pri nsi p t ert entu. Antaranya,
1. Allah membenarkan orang Islam berperang apabila mereka diserang oleh
musuh.

2. Allah juga membenarkan orang Islam berperang untuk mencari keamanan
supaya tempat ibadat mereka terjaga. Peperangan yang berlaku pada masa ini
adalah lebih kepada menjaga maruah negara serta memusnahkan harta benda dan
manusia yang tidak berdosa. Islam tidak melakukan tindakan sedemikian.

3. Setiap pertempuran dan peperangan dalam Islam adalah untuk menentang
kezaliman dan mempertahankan diri. Islam menganjurkan perdamaian,
seandainya musuh Islam inginkan perdamaian, maka, orang Islam harus memilih
perdamaian.

Dalam Islam, dakwah Islamiah mestilah dilakukan dengan bijaksana dan
menerusi nasihat yang balk. Peperangan yang berlaku antara orang Islam
Madinah dengan pihak Arab Quraisy Makkah terbukti adalah untuk
mempertahankan maruah agama, bangsa, dan negara semata-mata.

Sungguhpun peperangan telah berlaku, namun, Islam tidak berkembang dengan
paksaan malah perkembangannya adalah secara sukarela dan toleransi. Misalnya,
dalam Peperangan Badar, walaupun pihak Islam beroleh kemenangan, Nabi
Muhammad s.a.w. telah mengampunkan tawanan Arab Quraisy. Tawanan
wanita dan kanak-kanak telah dibebaskan sementara tawanan lelaki diberikan
syarat untuk membebaskan diri mereka. Tawanan lelaki yang berjaya mengajar
kira-kira 10 orang kanak-kanak Islam membaca dan menulis sehingga pandai,
akan dibebaskan.

BAB 5 (TING 4) hlm/ 9


Tentera Islam yang berjuang di medan peperangan juga dilarang membunuh
sesuka hati malah tumbuh-tumbuhan juga dilarang dimusnahkan.


Hasil Pembelajaran
Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami kepentingan Perjanjian Hudaibiyah dan pembukaan semula kota Makkah
Aras 1
Menyatakan kepentingan Perjanjian Hudaibiyah
Menyatakan proses pembukaan semula kota Makkah
Aras 2
Menghubungkaitkan Perjanjian Hudaibiyah dengan pembukaan semula kota Makkah
Aras 3
Menjana idea kepentingan pembukaan semula kota Makkah

10. a. Apakah Perjanjian Hudaibiyah? (Rujuk Buku Teks m.s: 131-133)
Perjanjian Hudaibiyah dimeterai antara pihak Islam dengan Arab Quraisy (yang
diwakili oleh Suhail bin Amru) di Hudaibiyah pada tahun 628 M. bersamaan 6 H.
b. Ceritakan peristiwa yang menyebabkan Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.
Peristiwa-peristiwa penting yang menyebabkan Perjanjian Hudaibiyah
ditandatangani adalah seperti berikut;
Pada tahun 628 M., rombongan orang Islam telah ke Makkah kerana ingin
menunaikan umrah.
Mereka telah disekat di Hudaibiyah Nabi Muhammad s.a.w. menghantar
Uthman bin Affan ke Makkah untuk menerangkan tujuan kedatangan
mereka.
Orang Islam mendengar khabar angin tentang kematian Uthman telah
bersumpah setia, yang dikenali dengan "Baiah al-Ridwan". Orang Arab
Quraisy berasa bimbang terhadap kata sepakat orang Islam. Lalu, mereka
menemui Nabi Muhammad s a w.,
Baginda bersedia mengadakan perjanjian dan termeterailah Perjanjian
Hudaibiyah antara Nabi Muhammad s.a.w.(Islam) dengan Suhail bin Amru
(Quraisy).
c. Senaraikan syarat-syarat yang dipersetujui dalam perjanjian ini.

Kandungan Perjanjian Hudaibiyah
1. Bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun.
2. Kabilah Arab yang lain bebas memihak sama ada kepada orang Islam Madinah
atau orang Quraisy Makkah.
3. Orang Islam Madinah yang memihak ke Makkah tanpa kebenaran penjaganya
tidak perlu dipulangkan.
4. Orang Quraisy Makkah yang memihak ke Madinah tanpa kebenaran
penjaganya perlu dipulangkan semula.
BAB 5 (TING 4) hlm/ 10


5. Umat Islam hanya boleh mengerjakan umrah pada tahun berikutnya.

............................
Perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai itu, tidak dapat diterima sepenuhnya
oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. pada peringkat awal. Mereka
menganggap perjanjian itu menguntungkan pihak Arab Quraisy. Walau
bagaimanapun, akhirnya, mereka dapat menerimanya sebagai satu pengajaran yang
besar. Demi mencapai kata sepakat dan menjalin hubungan yang baik antara dua
pihak, orang Islam menganjurkan perdamaian. Dengan wujudnya keamanan, misi
perjuangan Islam dapat dilaksanakan.

d. Huraikan kepentingan Perjanjian Hudaibiyah.

1. Menerusi Perjanjian Hudaibiyah, orang Islam berpeluang menunaikan haji
pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 629 M.. Peluang ini juga telah memberikan
kebebasan kepada orang Islam untuk memasuki Makkah dan seterusnya beribadat di
Kaabah pada bila-bila masa.

2. Tempoh perdamaian dalam perjanjian ini membolehkan Nabi Muhammad
s.a.w. merangka program dakwah Islamiah ke seluruh Semenanjung Tanah Arab
secara aman. Menerusi perjanjian ini, suku Arab boleh menganut sebarang agama
yang mereka sukai tanpa halangan daripada mana-mana pihak. Dengan itu Islam
dapat berkembang dengan meluas. Sesetengah sejarawan mengatakan bahawa
selepas dua tahun perjanjian ini dimeterai mereka yang memeluk Islam telah
berganda bilangannya.

3. Kandungan Perjanjian Hudaibiyah menggambarkan bahawa Islam tersebar
dengan aman. Walaupun isi perjanjian yang ketiga dan keempat kelihatan
menguntungkan orang Arab Quraisy tetapi Nabi Muhammad s.a.w. yakin Islam
akan memperoleh keuntungan dari segi jangka panjang. Ini terbukti dengan
pengislaman tokoh panglima Arab Quraisy yang berpengaruh, iaitu Khalid bin
al-Walid, Amru bin al-As, dan Uthman bin Talhah sejurus selepas Perjanjian
Hudaibiyah ditandatangani.

4. Perjanjian Hudaibiyah melambangkan ketokohan Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai pemimpin yang unggul dan dikagumi. Kita mendapati sesuatu tindakan
yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. tidak dilakukan secara terburu-buru
malah baginda melihatnya secara menyeluruh, terperinci dan berwawasan.

5. Persetujuan orang Arab Quraisy menandatangani perjanjian ini menunjukkan
bahawa mereka telah mengiktiraf kerajaan Islam di Madinah. Sebelum ini mereka
tidak mahu langsung bekerjasama dengan orang Islam malah sentiasa mencari
jalan menentang Islam.

6. Perjanjian Hudaibiyah menjadi perintis ke arah pembukaan semula kota
Makkah.
BAB 5 (TING 4) hlm/ 11


................
Walau bagaimanapun, perdamaian yang dipersetujui antara kedua-dua pihak ini
bertahan selama dua tahun sahaja. Orang Arab Quraisy sengaja melanggar isi
perjanjian yang pertama. Mereka memberi sokongan kepada Bani Bakar yang
berperang dengan Bani Khuza'ah. Mengikut syarat Perjanjian Hudaibiyah
gencatan senjata haruslah dikekalkan selama 10 tahun tetapi orang Quraisy
telah mencabulinya. Nabi Muhammad s.a.w. telah bertindak tegas dalam
menangani hal itu dengan menyediakan dan menghantar pasukan tentera ke Makkah.

11. a. Ceritakan peristiwa pembukaan semula Kota Makkah. (Rujuk Buku Teks m.s: 134-
137)

Kota Makkah ialah tempat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan tempat lahirnya
agama Islam. Oleh sebab dakwah Islamiah tidak diterima sepenuhnya oleh orang
Arab Quraisy pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam telah
berhijrah ke Madinah pada tahun 622 M.. Setelah hampir lapan tahun Nabi
Muhammad s.a.w. tinggal di Madinah dan berjaya mendirikan sebuah kerajaan
Islam di situ, baginda akhirnya dapat menguasai semula kota Makkah pada tahun
630 M. bersamaan 8 H.. Tindakan ini dilakukan oleh pihak Islam kerana
mereka mendapati pihak Arab Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiyah
dan tidak menghormati hak kebebasan yang telah dipersetujui bersama.
Mereka telah membunuh beberapa orang Bani Khuza'ah yang berpihak kepada
Islam.

Selain itu, pembukaan kota Makkah juga merupakan strategi jangka panjang bagi
meneruskan penyebaran Islam. Nabi Muhammad s.a.w. berpendapat jika Makkah
dapat dikuasai, kedudukan kerajaan Islam di Madinah tentu akan menjadi
mantap. Oleh itu, baginda merancang untuk memasuki kota Makkah secara bijak
dan berpegang pada prinsip aman tanpa kekerasan.

Kedatangan tentera Islam ke Makkah sangat dikhuatiri oleh orang Arab Quraisy,
khususnya pembesar Quraisy. Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., al-Abbas
dan ketua Arab Quraisy, Abu Sufian, telah mengambil keputusan memeluk Islam
sebelum tentera Islam menguasai Makkah. Mereka memeluk Islam bukan
disebabkan takut dengan kekuatan tentera Islam tetapi menyedari kepalsuan
perjuangan mereka selama ini.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menyediakan empat pasukan tentera yang terdiri
daripada 10 000 orang. Empat pasukan itu ialah pasukan Khalid bin al-Walid, Abu
Ubaidah al-Jarrah, Saad bin Ubadah dan Zubair bin al-Awwam. Keempat-empat
pasukan tentera Islam ini bergerak masuk ke kota Makkah menerusi empat arah
yang berlainan, iaitu dari arah utara, selatan, barat, dan barat daya Makkah. Taktik
ini telah memberi kejayaan yang besar kepada tentera Islam untuk membuka
semula kota Makkah secara mudah kerana orang Quraisy telah dikepung dengan
rapi.

BAB 5 (TING 4) hlm/ 12



Semangat ketakwaan dan keyakinan tentera Islam telah berjaya membuka semula
kota Makkah tanpa mendapat apa-apa rintangan yang besar, kecuali penentangan
kecil yang diterima oleh pasukan Khalid bin al-Walid daripada segelintir orang
Quraisy. Tetapi penentangan tersebut dengan mudah dapat ditewaskan oleh
tentera Islam.

b. Nyatakan kepentingan pembukaan semula Kota Makkah.

1. Kejayaan pembukaan semula kota Makkah menyebabkan Kaabah terpelihara
daripada unsur-unsur Agama menyembah berhala yang selama ini menjadi
amalan masyarakat Arab Jahiliah dihapuskan selama-lamanya dan digantikan
dengan Islam.

2. Masyarakat Islam telah mula mendalami ilmu pengetahuan Islam.

3. Kota Makkah dijadikan sebagai kota suci umat Islam. Dengan terdapatnya
Kaabah di Makkah, kota ini menjadi tumpuan kesemua umat Islam dari seluruh
dunia untuk melakukan ibadat.

4. Pembukaan semula kota Makkah membuktikan bahawa negara Islam yang
dibentuk di Madinah begitu kukuh di bawah kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

5. Kebanyakan sejarawan mengatakan bahawa peristiwa pembukaan semula kota
Makkah ini menjadi pembuka jalan ke arah penyebaran Islam ke seluruh Tanah
Arab. Dakwah Islam telah tersebar secara aman sehingga masyarakat negara kita
juga memeluk Islam secara sukarela, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

6. Penguasaan terhadap Makkah, telah mewujudkan sebuah pusat pemerintahan
Islam yang kuat. Walaupun Makkah telah berjaya dikuasai, namun, Nabi
Muhammad s.a.w. tetap menjadikan Madinah sebagai pusat pentadbiran Islam,
manakala Makkah dijadikan sebagai salah sebuah wilayah Islam. Di Makkah,
baginda telah melantik wakil bagi menjalankan pemerintahan Islam.

....................
Pengislaman Abu Sufian dan Abbas merupakan faktor penting yang
memudahkan kota Makkah dikuasai oleh orang Islam. Dengan pengislaman
kedua-dua pembesar ini, orang Arab Quraisy yang lain turut sama memeluk
Islam.

Nabi Muhammad s.a.w. telah memberi jaminan keselamatan kepada mereka yang
terkepung semasa pembukaan kota Makkah. Jaminan keselamatan ini menjadi
faktor utama kepada kejayaan pembukaan semula kota Makkah.

Setelah berjaya menguasai kota Makkah Nabi Muhammad s.a.w. telah bertawaf
sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah dan kemudian berpidato kepada umat
BAB 5 (TING 4) hlm/ 13


Islam dengan membacakan ayat al-Quran yang menekankan kepentingan
perpaduan diamalkan dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
bangsa dan agama.

Sifat pemaaf Nabi Muhammad s.a.w. terhadap orang Arab Quraisy yang
dikepung begitu ketara. Nabi Muhammad s.a.w. tidak membalas dendam
terhadap penduduk Makkah yang selama ini memusuhi Islam, malah baginda
memaafkan mereka. Amalan sifat pemaaf ini menjadi kunci kejayaan penyebaran
Islam seterusnya.

....................
Pembukaan Semula Kota Makkah
Semasa memasuki kota Makkah, Nabi Muhammad s.a.w. telah meminta seorang
sahabat mengumumkan kata-kata yang berunsurkan pengampunan kepada orang
Quraisy yang ditawan. Antara kata-kata itu termasuklah "Wahai kaum Quraisy,
sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufian, maka, dia selamat, sesiapa yang berada
di rumah sendiri dia akan selamat, sesiapa yang memasuki Masjid al-Haram, dia
juga akan selamat".

Semasa berhadapan dengan orang Quraisy yang ditawan, baginda juga telah
bertanya kepada mereka. Kata baginda "Wahai orang Quraisy, menurut
pendapat kamu apakah yang akan aku lakukan kepada kamu sekarang? Jawab
orang Quraisy "Tentu yang baik, kerana saudara orang baik, daripada anak orang
yang baik-baik dan pemaaf lagi pemurah". Selepas mendengar jawapan orang
Quraisy itu Nabi Muhammad s.a.w. terus mengatakan "Pergilah kamu sekalian,
kamu sekarang sudah bebes. Dengan ucapan itu, kesemua orang Quraisy dan
penduduk Makkah telah diampunkan oleh Nabi Muhammad s.a.w..


12. a. Nyatakan pengajaran daripada sejarah perkembangan Islam di Madinah ini?
(Rujuk Buku Teks m.s: 137-138)

1. Kesabaran, kebijaksanaan dan kemurniaan akhlak yang dipaparkan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. merupakan kunci kejayaan pembentukan tamadun Islam.

2. Pembentukan kerajaan Islam Madinah yang kukuh dan mengambil kira
perpaduan serta keharmonian hidup perlu dicontohi.

3. Prinsip dan nilai murni yang ditunjukkan oleh Nabi Munammad s.a.w. dapat
menjadi pedoman kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan
negara.

BAB 5 (TING 4) hlm/ 14



4. Sikap tidak pernah menyerah kalah untuk meneruskan perjuangan murni harus
ditanam dalam jiwa kita. Rintangan dan halangan harus ditempuhi dengan cekal
demi memperoleh kejayaan yang cemerlang. Dengan akhlak yang terpuji ini,
Nabi Muhammad s.a.w. dapat berhadapan dengan golongan penentang Islam
sebelum ini dan menerima mereka sebagai kawan. Inilah ciri dan sifat yang harus
dimiliki oleh generasi Islam pada masa sekarang demi menghadapi zaman yang
mencabar.

Ya Allah, cukuplah Engkau sahaja tempat aku berlindung dan memohon
pertolongan.

Ya Allah, berikanlah jiwaku ketakwaan, dan sucikanlah jiwaku ini.
Engkaulah sebaik-baik zat yang mensucikannya. Engkaulah jua sebaik-baik
pemberi pertolongan dan perlindungan.