Anda di halaman 1dari 25

I.

Pendahuluan
Berbahasa merupakan kegiatan manusia setiap saat dalam berhubungan dengan orang
lain yang mulai ketika manusia itu melihat dunia. Bayi yang baru lahir misalnya, ketika
menangis hingga tertawa adalah bentuk mula berbahasanya Dilihat dari fungsinya, bahasa
merupakan alat komunikasikan perasaan, Fikiran, dan percakapan kepada orang lain. Kegiatan
yang paling banyak dilakukan manusia ketika berhubung dengan orang lain adalah berbahasa,
atau dalam bahasa masyarakat awam adalah bertutur kata. Ini diwujudkan dalam bentuk
berbahasa secara formal ataupun tidak formal. Dalam berbahasa formal misalnya bahasa dalam
berpidato, promosi produk, ucapan ilmiah dan lain-lain. Sedangkan berbahasa dalam bentuk
tidak formal adalah dalam bentuk percakapan harian
Dalam perkembangannya bahasa menjadi ciri sebuah kebudayaan. Bahasa menjadi
identiti antara masyarakat yang satu dengan masyarakat yang lain dari sisi penggunaan
bahasanya. Bagaimana kita membezakan dialek Kelantan dan dialek Terengganu? Begitu pula
dalam semua bahasa.. Bagaimana kita membezakan suku-suku di jazirah Arab, antara tamim,
nejd,Syiria, Mesir salah satunya yang terpenting adalah dengan mengamati bahasa yang
digunakan. Namun dari sisi akademik, tentu hal ini harus di kaji lebih dalam lagi.
Antara berbahasa dan berbudaya nampaknya menjurus pada proses kreatif bagaimana
kita berbahasa serta berbudaya. Lantas sejauh mana bahasa dan budaya saling mempengaruhi?
Bahasa Melayu yang bagaimanakah yang dapat mencerminkan budaya Melayu dan Malaysia?
Pertanyaan-pertanyaan inilah yang akan dijawab dalam tulisan ini. Dan pembahasan ini akan
dikaitkan dengan sosiolinguistik, khususnya dalam membahas tentang bahasa Melayu.

1. II. Hubungan bahasa dan budaya
Untuk menjelaskan tentang hubungan ini, ada baiknya jika kita memberi batasan yang
jelas tentang apakah itu bahasa dan apakah budaya itu. Ini untuk mengekalkan kaitan antara
keduanya.
1. 1. Bahasa
Banyak pakar yang memberikan batasan tentang bahasa dari berbagai pandangan. Abdul
Khaer berkata bahwa bahasa adalah suatu sistem lambang bunyi yang arbriter yang digunakan
oleh anggota manusia untuk berkomunikasi dengan orang lain, berkomunikasi dan mengenai
diri. Definisi ini lebih menekankan pada unsure-unsur bahasa itu sendiri.
Dari definisi ini kemudian diturunkan beberapa batasan yang lain dalam bahasa, iaitu
;bahasa sebagai sebuah sistem dan lambang bunyi, bahasa adalah bunyi yang bermakna, bahasa
bersifat arbitrer, konvensional, produktif, unik, universal, dinamis, bervariasi dan manusiawi.
Dari batasan dan sifat-sifat bahasa tersebut, maka yang disebut orang yang berbahasa
adalah yang memenuhi kriteria itu. Dalam kajian bahasa, berbahasa adalah pengucapan kata-kata
yang tersusun secara teratur sesuai posisi kata dan memberikan pengertian kepada orang lain.
Bagi ahli-ahli akademik berbahasa adalah berbicara secara benar, baik pengucapan maupun
artikulasinya, ringkas dan tepat sasaran sesuai dengan situasi.
Dalam kaitan dengan adanya bahasa, apakah bahasa merupakan penciptaan Tuhan
terhadap manusia ataukah berdiri sendiri, perlu kajian lebih jauh. Yang pasti, bahasa ada sejak
manusia ada.

1. 2. Budaya
Definisi budaya banyak didefinisikan sebagai sesuatu yang kompleks yang melingkupi
kehidupan manusia sebagai hasil cipta, rasa dan tujuan manusia. E.B. Taylor, mengungkapkan
bahawa kebudayaan adalah Kompleks yang mencakup pengetahuan, kepercayaan, kesenian,
moral, adat-istiadat dan lain kemampuan-kemampuan serta kebiasaan-kebiasaan yang
didapatkan oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam kaitan ini budaya sering berkaitan dengan pencapaian dan penciptaan terhadap
sebuah karya, baik berupa adat, sains, teknologi, seni, agama dan lain sebagainya yang dilihat
dalam banyak bentuk. Secara sistematik, unsur-unsur kebudayaan dirumuskan menjadi; sistem
kepercayaan dan keagamaan, kerangka organisasi kemasyarakatan, unsure pengetahuan, bahasa,
kesenian dan system teknologi dan peralatan. Namun secara keseluruhan, budaya adalah unsur
yang paling rapat dengan masyarakat.











Antara berbahasa dan berbudaya
Bahasa menunjukkan budaya. Begitu hujahan yang disampaikan oleh Whorf-Sapir.
Hujahan itu sebetulnya adalah ungkapan Edward Sapir dalam bukunya Language tahun 1921
menyatakan bahawa sejarah antara bahasa dan budaya memiliki garis yang selari. Lebih jauh
dikatakan bahawa bahasa menentukan pola pemikiran seseorang.
Dalam kehidupan harian, antara orang yang biasa berbahasa santun, maka orang akan
langsung menilai bahawa orang itu berbudi baik. Orang yang berbahasa secara intelek dan
teratur, maka orang itu dinilai sebagai orang yang berpendidikan, terpelajar dan
berilmu. Begitulah orang menilai orang lain dari cara dia berbahasa.
Mustapha Abdallah Bouchouk bahkan mengemukakan bahawa budaya adalah bahasa itu
sendiri. Ini dilihat dari aspek bahawa mempelajari bahasa dengan sendirinya adalah mempelajari
budaya di mana bahasa itu digunakan. Mempelajari bahasa Arab misalnya, maka ia akan
mempelajari bagaimana norma dan nilai budaya yang dianut oleh orang Arab yang berbeza
dengan orang Indonesia; keterbukaan dan keterus terangan.
Sementara itu banyak pakar mengemukakan bahawa bahasa merupakan sebahagian dari
budaya, di mana bahasa berada di bawah kebudayaan. Dari pendapat ini nampak bahawa bahasa
merupakan hasil dari kebudayaan. Ini juga akan menimbulkan perdebatan panjang, kerana
seakan akan dipengaruhi oleh budaya yang berkembang. Sementara banyak ahli ortodoks yang
menganggap bahasa hanya salah satu penyangga budaya yang tidak penting.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa peradaban manusia makin maju sampai sekarang
juga tak lepas dari bahasa sebagai alat komunikasi. Komunikasi ini akan mentransformasikan
idea, gagasan, dan imaginasi serta refleksi manusia menjadi sesuatu yang berkembang dari masa
ke masa menuju arah kesempurnaan. Ini dilihat dengan arah pengembangan teknologi sebagai
sarana pembangunan dengan pelbagai komunikasi. Komunikasi menjadi simbol kemajuan
peradaban saat ini dengan berbagai capaian teknologinya. Ini merambah ke segala liku
kehidupan.
Apapun perdebatan yang terjadi menyangkut posisi masing-masing ( bahasa dan budaya )
namun pendapat bahawa ada pengaruh yang erat antara berbahasa dan berbudaya sangat relevan
untuk dibahas. untuk melihat gejala-gejala budaya maka biasa dilihat dari beberapa unsur yang
membentuk sistem budaya tersebut, diantaranya adalah bahasa ini[17]. Sebagaimana telah
diungkapkan di atas, bagaimana orang intelek berbahasa biasa di bandingkan dalam berbahasa.
Begitu pula bagaimana cara seorang politik berbahasa, ini sudah menunjukkan adanya kaitan
antara bahasa dan budaya.
beberapa tesis menyatakan tentang keterkaitan bahasa dan budaya, antara lain:
1. bahawa pertumbuhan sebuah budaya tidak akan sempurna tanpa bahasa sebagai
perangkat komunikasi utama dan penjaga budaya itu sendiri.
2. bahawa bahasa merupakan wujud dari kebudayaan itu sendiri
3. dengan demikian, bahasa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan
masyarakat.
Bahasa sebagai alat kebudayaan juga banyak dibahas, misalnya oleh Samsuri, yang
memetakan penggunaan bahasa sebagai alat budaya dalam empat bidang yaitu bahasa dan sastra,
bahasa dan politik, bahasa dan ilmu pengetahuan, bahasa dan pembangunan. Sementara Levi
Strauss, sebagaimana dikutip oleh Darsita, menjelaskan bahwa bahasa dan kebudayaan memiliki
hubungan dan membedakan kebudayaan dalam tiga hal, iaitu:
1. Bahasa yang digunakan oleh masyarakat dianggap sebagai refleksi dari kebudayaan
masyarakat yang bersangkutan
2. Bahasa adalah bagian dari kebudayaan, atau salah satu unsure dari kebudayaan
3. Bahasa merupakan kandungan bagi kebudayaan.

Bahasa yang merupakan kandungan bagi kebudayaan menjadi dua hal,
iaitu; pertama, bahasa merupakan asas kebudayaan , di mana bahasa mendahului kebudayaan.
Kerana melalui bahasalah manusia menjadi makhluk sosial yang berkebudayaan dan
berperadaban. Kedua, bahasa merupakan asas bagi kebudayaan karena material yang digunakan
untuk membangun bahasa pada dasarnya adalah bahan yang sama untuk membangun
kebudayaan, dalam erti bahawa bahasa merupakan asas bagi terbentuknya berbagai macam
struktur yang kompleks yang sejajar dengan unsure budaya yang lain.

Dengan demikian menjadi jelas bahwa berbahasa memang menunjukkan bagaimana
sebuah bangsa berbudaya. Antara berbahasa dan berbudaya menunjukkan hubungan timbal balik.
Untuk mempertahankan budaya maka berbahasa menjadi sebuah kelaziman. Demikian juga
untuk mempertahankan bahasa, keberlangsungan budaya sangat penting walaupun budaya adalah
naluri dari kehidupan manusia itu sendiri sebagai makhluk sosial.




PERANAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DALAM MEMBENTUK BANGSA
MALAYSIA;-
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan telah mula
menunjukkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang dibina. Menurut Abdullah Hassan (1997:24), sistem
pendidikan melalui bahasa Melayu telah membina generasi muda yang menggunakan bahasa
Melayu dengan fasih. Rakyat bukan Melayu yang menuturkan bahasa Melayu dengan fasih ini
dapat menunjukkan ciri bangsa Malaysia. Seorang pengkaji telah menggambarkan situasi ini
dengan kaum Cina di Indonesia. Menurut beliau, kaum Cina di Indonesia menganggap dirinya
berbangsa Indonesia apabila mereka dapat menuturkan bahasa Indonesia dengan fasih.
Pendidikan melalui bahasa Melayu ini juga telah menghasilkan generasi bukan Melayu yang
mudah menerima identiti Malaysia. Ada rakyat bukan Melayu yang menggunakan samping dan
songkok untuk menghadiri sesuatu upacara seperti perkahwinan, majlis penerimaan anugerah,
dan lain-lain. Begitu juga dengan sambutan perayaan, kaum lain menjadi lebih terbuka untuk
menikmati perayaan antara kaum, makanan antara kaum, dan lain-lain. Ini merupakan suatu ciri
yang merentas kaum ataupun sudah menjadi ciri kemalaysiaan.
Melalui sistem pilihan raya juga dapat dilihat pertumbuhan yang sihat dalam membentuk
bangsa Malaysia. Pada peringkat awal sistem pilihan raya dijalankan, setiap kaum cenderung
untuk mengundi calon daripada kaumnya sahaja. Namun begitu, kini pengundi muda telah
menunjukkan suatu perkembangan baru apabila pengundi bukan Melayu mula memilih calon
UMNO. Ini menunjukkan sudah timbul perkembangan yang positif dalam pembentukan bangsa
Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, budaya dan agama lagi. Hasil yang signifikan daripada
pembinaan bangsa ialah pendidikan melalui bahasa Melayu telah berjaya mendemokrasikan ilmu
dan memajukan rakyat. Ini menjadikan kaum Melayu yang dahulunya tersisih daripada
perkembangan ekonomi negara dapat sama-sama menikmati kejayaan ekonomi tersebut. Mereka
tidak lagi merasa dalam keadaan yang merugikan. Oleh sebab itu mereka menjadi lebih terbuka
dan menerima konsep bangsa Malaysia.
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan;-
Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu negara,
atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan
lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum,
agama, dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa.
Negara berkenaan perlu menyemai dan mengukuhkan nilai kolektif yang menjadi hak dan ikon
bersama. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan
yang paling berkesan. Bukan sebarang bahasa boleh diangkat sebagai bahasa kebangsaan.
Terdapat tiga ciri yang perlu ada pada setiap bahasa kebangsaan. Pertama, perlunya
bahasa itu berkecuali dari segi politik; kedua, ia hendaklah ada kaitan dengan pelbagai bahasa di
rantau itu; dan ketiga, terdapat bilangan ketara penutur supaya mereka dapat menjadi penutur
contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya. Negara sebagai kesatuan geopolitik, tidak
selalu menandakan ciri-ciri kesatuan sosiobudaya. Justeru, bahasa kebangsaan bertindak sebagai
alat pemersatuan, selain untuk menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan.
Oleh hal demikian, kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri
pertama. Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa adalah wajar bagi kita sebuah negara
membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak
diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh
saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh. Negara yang tidak
mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan
berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan
kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku,
dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi. Sebaliknya,
dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik akan dapat
disatukan.
Ringkasnya, bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok
kehidupan masyarakat, berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Bahasa kebangsaan
akan dapat dijadikan sebagai alat komunikasi utama, selain sebagai wadah yang mendukung
perkembangan ilmu dan pemikiran bangsa dalam segala bidang. Bahasa merupakan ciri yang
menentukan identiti seseorang pada peringkat negara dan antarabangsa. Kata-kata bahasa jiwa
bangsa bukan sekadar slogan, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri kebangsaan sesuatu
bangsa itu. Ternyata, bahasa kebangsaan merupakan alat penting untuk membentuk dan
mengembangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa. Itulah sebabnya, amat penting bagi mana-
mana negara untuk memajukan bahasa kebangsaannya, dengan menjadikannya sebagai agenda
utama pembangunan negara, sebagaimana ia memajukan lapangan lain seperti sains, teknologi,
pertanian dan ekonomi.
Sebagai masyarakat multietnik, masyarakat dalam sesebuah negara adalah terbahagi
mengikut ideologi, kepercayaan, agama, bahasa dan seumpamanya. Dalam keadaan yang
demikian, peranan bahasa kebangsaan sebagai alat untuk menyatukan pelbagai suku kaum amat
dituntut. Melalui bahasa kebangsaan sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun
mengikut acuannya sendiri - sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya. Sesuatu
bangsa perlu memajukan bangsa dan tamadunnya melalui bahasanya sendiri. Sesuatu negara
perlu memajukan bangsanya bukannya mengikut acuan orang lain, sebaliknya hendaklah
memajukannya mengikut acuan yang sesuai dengan aspirasi, budaya, dan nilai. Dalam hubungan
ini, ia perlu menggunakan bahasa kebangsaan sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang,
tetapi ialah cerminan jati diri, kerana sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa. Akhirnya,
kemajuan bangsa bergantung pada acuannya sendiri, dan kemajuan bahasa kebangsaan juga
bergantung pada sejauh mana ia digunakan dalam seluruh kehidupan negara berkenaan.
Sesungguhnya, tidak ada bangsa dan tamadun di dunia ini yang dimajukan melalui bahasa asing,
melainkan melalui bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan.
Bahasa tidak akan mungkin maju atau tumbuh sendiri, melainkan kita sebagai pemegang
amanah bangsa berusaha gigih untuk membinanya. Tidak mungkin bagi mana-mana bahasa
kebangsaan mencapai tahap kemajuan yang seterusnya jika bangsa itu bersikap alpa dan tidak
bersungguh-sungguh. Sebab yang jelas, selain membina bahasa itu dari segi korpus dan taraf,
sesuatu bangsa perlu berusaha memperluas penggunaannya dalam negara, sekali gus menebarkan
sempadan penggunaannya di luar negara. Kalau bahasa itu lemah, mundur dan tidak
berkembang, kelalaian dan kecuaian bangsa itulah yang menyebabkannya dalam keadaan
demikian.
Bahasa kebangsaan ialah lambang kebanggaan kebangsaan dan lambang identiti nasional,
maka rakyat negara berkenaan menyemai sikap bahasa yang positif dan menjunjung bahasa itu
sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa sebagai tunjang
penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali gus memperlihatkan tahap kemajuan sesuatu
negara. Bagi negara ini, bahasa Melayu merupakan wahana komunikasi dan bahasa kebangsaan
yang mutlak dan paling efektif bagi rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ialah pendorong dan
pemangkin lambang pemersatuan, serta berperanan sebagai wadah untuk membina peradaban
moden sesuatu bangsa.
Abdul Hamid Mahmood. (2002). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media
Printext
Abdullah Hassan. (1997). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-esei Lain.
Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

Asmah Haji Omar (1985). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada
Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (1991). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kamisah Ariffin et. al. (2005). Pendidikan Bahasa di Malaysia: Isu, Amalan dan
Cabaran. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA Mangantar Simanjuntak. (1987).
Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu: Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur:
Gateway Publishing House.

Raminah Sabran dan Rahim Syam (1986). Kajian Bahasa; Untuk Pelatih Maktab
Perguruan. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti

Teo Kok Seong. Bahasa Melayu dan Komunikasi Dalam Dunia Globalisasi dalam
Jurnal Bahasa, halaman 100 117, 2006. ______________, (1997). Kamus Linguistik.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. _______________, (2000). Kamus
Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _______________.
(2009). Bahasa Kebangsaan Lambang Jati Diri Bangsa. Diperoleh Januari 28, 2010
daripada http://jeniri-amir.com



















Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu
Bahasa kebangsaan juga dapat menjadi bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi, bahasa
berprestij, bahasa global, dan bahasa abad ini dan masa depan jika kita mempunyai keyakinan,
dengan memberikan pengiktirafan yang wajar kepadanya. Mana-mana negara tidak harus
menjadi pemuja, pengagum dan pentaksub nilai dan bahasa asing. Bahasa asing lain tidak
mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan, bahasa pengungkap dan perakam
peradaban bangsa, iaitu bahasa yang akan merakamkan nilai budaya, sosial dan moral bersama
yang tercipta di negara berkenaan.
Secara luarannya, bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri fizikal yang sempurna kerana ia
sudah mempunyai sistem ejaan, sebutan, nahu, kamus, ensiklopedia, dan rujukan. Menurut
Mangantar Simanjuntak (1997:54), bahasa yang sempurna ciri-ciri fizikalnya dapat
melaksanakan fungsi-fungsi yang tinggi. Ia digunakan dalam bidang diplomatik, perdagangan,
kebudayaan, agama dan lain-lain. Sebenarnya, menurut pakar-pakar bahasa, bahasa Melayu telah
lama menjadi bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera pada peringkat nasional, bahkan
bahasa supranasional.
Bahasa kebangsaan yang matang juga dapat mengungkapkan ilmu yang tinggi seperti
falsafah, sains, seni dan sastera. Jika dilihat sebelum tahun 1955, bahasa Melayu hanya
digunakan di sekolah rendah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kemudian ia mula
digunakan di peringkat pengajian menengah. Selepas itu bahasa Melayu digunakan pula di pusat
pengajian tinggi. Seterusnya hingga kini, universiti-universiti kerajaan telah menjalankan
pengajarannya dalam bahasa Melayu. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2002:79), apabila
dikatakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, ia merujuk kepada peranan bahasa itu sebagai
pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti
sains, teknologi, ekonomi, kejuruteraan di samping sastera dan agama. Dengan perkataan
lainnya, bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan
laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka ilmu moden,
contohnya dalam bidang kejuruteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras-laras bahasa yang
khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan
elektronik dan kejuruteraan kimia. Begitu juga dalam bidang perubatan, bahasa Melayu perlu
mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang anatomi,
biokimia, fisiologi, patologi, pediatrik dan sebagainya. Laras-laras saintifik ini berbeza pula
dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni
dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986:6).
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan
bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak.
Contohnya apabila memperkatakan konsep ekonomi, maka perlulah bahasa Melayu itu
mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk
menyatakan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, pengurusan
perakaunan dan sebagainya. Oleh hal demikian, bahasa Melayu seharusnya setanding dengan
bahasa Inggeris dalam menyatakan konsep dan pemikiran ilmu moden.
Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa
antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan bahasa
Jerman yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.



Berbudaya Melalui Bahasa
Gaya hidup sesebuah masyarakat dapat digambarkan dengan budaya masing-masing.
Sekiranya baik budaya yang dicerminkan pada masa kini, maka baiklah budaya pada masa akan
datang. Tetapi jika sebaliknya yang terjadi, ia akan memberi kesan yang amat besar kepada
pembangunan budaya, bangsa dan negara. Menurut Robiah Kulop Hamzah (1993:13), budaya
ialah cara hidup yang menjadi sendi sesuatu bangsa.
Budaya tidak dapat dibentuk dalam waktu sehari atau dalam masa sekelip mata tetapi
memerlukan masa yang sangat panjang. Oleh itu pembentukan budaya cemerlang untuk
masyarakat akan datang perlu bermula dari sekarang. Setiap golongan atau lapisan masyarakat
perlu bertanggungjawab dalam membina, membentuk dan merealisasikan budaya yang
cemerlang. Antara budaya cemerlang yang harus dipupuk ialah melalui bahasa. Berbahasa
dengan baik menjadi asas yang berkesan untuk pelbagai aktiviti atau situasi yang ditemui sama
ada secara formal atau tidak formal.
Dalam situasi sosial, berbahasa mengikut budaya adalah cara yang dapat menggambarkan
keyakinan, kematangan, kecekapan, kesopansantunan dan kemesraan seseorang individu dalam
menghasilkan interaksi yang berkesan, efektif dan menarik. Menurut Awang Sariyan (2007:54),
antara interaksi berkesan yang harus dikuasai dalam budaya berbahasa ialah budaya menyapa,
mengucapkan selamat, mengucapkan terima kasih, menolak pelawaan, memberi atau membalas
pujian dan sebagainya.
Apabila setiap anggota masyarakat menggunakan ciri-ciri budaya dengan lebih
berkeyakinan, maka hubungan antara kaum di negara ini akan menjadi lebih harmoni dan maju.
Dengan memahami dan menghormati sesuatu budaya, masyarakat akan saling menghargai antara
satu sama lain. Semua budaya disusupi sepenuhnya oleh bahasa ibunda atau bahasa etnik yang
dituturkan oleh ahli-ahlinya. Kesemua perundangan, pendidikan, adat istiadat, peribahasa dan
apa jua yang berkaitan serta diamalkan dalam sesebuah masyarakat, wujud dalam bahasa ibunda
masyarakat berkenaan, dan ini semua dapat diungkapkan dalam keadaan asalnya hanya dalam
bahasa ibunda masyarakat berkenaan.
Bahasa Melayu Menjamin Kehidupan Budaya Bangsa Malaysia
Bahasa ialah alat pengucapan dalam budaya negara ini. Melalui bahasa Melayu kita
menggambarkan nilai-nilai, konsep-konsep budaya bangsa Malaysia. Dalam bahasa itu
terkandung nilai-nilai budaya atau pandangan dunia bangsa Melayu. Abdullah Hassan (1997:45),
telah menyebutkan bahawa, dilihat satu contoh yang nyata apabila Israel kembali ke negara
asalnya, pemimpinnya menghidupkan bahasa asal mereka iaitu Hebrew. Ia bertujuan bagi
mengembalikan jati diri orang Israel. Setiap kanak-kanak akan diajarkan bahasa tersebut.
Dengan demikian mereka telah menghidupkan kembali bangsa Israel, jati dirinya, budayanya,
agamanya, sistem politiknya, dan sistem pendidikannya.
Dengan mengembalikan semula bahasa mereka, bangsanya telah hidup semula sebagai
bangsa yang bermaruah. Ini semua telah dihidupkan kembali melalui bahasa Hebrew, bahasa
kebangsaan Israel. Berdasarkan bukti sejarah, dapat dilihat hilangnya bahasa maka hilanglah
bangsa. Sebagai contoh, hilangnya bahasa Hawai, telah mengakibatkan pupusnya bangsa Hawai.
Kini usaha menghidupkan semula bahasa Hawai menghadapi kesukaran kerana bangsa Hawai
juga sudah tidak tulen lagi. Berbeza dengan bangsa Israel, jati dirinya sangat kukuh. Apabila
terpaksa merantau ke luar negara asalnya, mereka tetap mengekalkan jati diri. Apabila pulang ke
negara asal, mereka masih belum kehilangan jati dirinya yang penting, bahasa, nilai-nilai, dan
pandangan dunianya.
Kehidupan budaya sesuatu bangsa itu hanya melalui bahasanya. Pada bahasa itulah
terletaknya maruah bangsa. Usaha-usaha pemantapan budaya, amalan agama, moral dan nilai
hendaklah melalui bahasa Melayu. Dari segi ini, bahasa kebangsaan memainkan peranan besar
sebagai wahana utama dalam pembentukan kebudayaan, peradaban dan tamadun bangsa. Bahasa
bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi dan hubungan sosial, tetapi sebagai alat yang
membentuk, merakamkan, membina dan menyampaikan fikiran bangsa dari satu generasi ke satu
generasi. Menurut Asmah Haji Omar (1985:67), kemerdekaan sistem politik sesuatu bangsa juga
terletak pada bahasanya sendiri.
Bahasa asing akan membelenggu sistem politik sesuatu bangsa kepada bahasanya.
Negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris akan meminjam konsep-konsep dan proses-
proses politik bangsa Inggeris. Oleh sebab itu kemerdekaan sistem politik dan amalannya,
bergantung kepada bahasa masing-masing. Pada masa itulah terletaknya maruah sesuatu bangsa.
Bahasa Melayu juga akan menjamin hidupnya sistem politik Malaysia, dan maruah bangsa
Malaysia.







KESAN DUNIA GLOBALISASI TERHADAP BAHASA DAN BUDAYA;-
Antara kesan dunia globalisasi yang paling buruk ialah kemusnahan yang berlaku pada
budaya, yang turut merangkumi bahasa di dalamnya. Sehubungan dengan itu, dunia globalisasi
disebut juga sebagai era pengklonan budaya atau lebih jelas lagi sebagai pengklonan budaya
Barat. Ini bermakna budaya di dunia sama ada elemen-elemennya yang tertentu atau beberapa
domain yang penting, telah berubah menjadi serupa dengan amalan Barat. Kamisah Ariffin
(2005:61), pernah menyatakan bahawa kesan dunia globalisasi pada bahasa secara khususnya,
boleh dikaitkan dengan kemusnahan dan kepupusan yang lebih cepat. Ini berbanding dengan
kadar sebelum wujudnya dunia globalisasi, yang disebut-sebut sebagai bermula pada sekitar
1989, iaitu selepas tamatnya Perang Dingin.
Pada kelazimannya, bahasa yang mengalami kemusnahan didapati pupus antara dua
hingga empat generasi atau antara 50 hingga 100 tahun. Tetapi kini dalam dunia globalisasi,
kadar kepupusan ini berlaku pada tahap yang amat menakutkan. Sesuatu bahasa yang musnah itu
didapati pupus hanya dalam satu hingga dua generasi, atau antara 25 hingga 50 tahun sahaja.
Kadar sepantas ini tidak berlaku sebelum wujudnya dunia globalisasi.

Kemusnahan Atau Kepupusan Bahasa;-

Menurut Teo Kok Seong (2006:102), kemusnahan atau kepupusan bahasa boleh wujud
sekurang-kurangnya dalam tiga bentuk. Pertama ialah bentuk yang ekstrem iaitu kematian
bahasa. Bahasa boleh dianggap mati dengan kematian penutur natifnya yang terakhir. Pada
masa kini, kematian bahasa lazimnya berlaku pada bangsa atau masyarakat primitif, yang
bahasanya tidak pernah atau tidak sempat didokumentasikan oleh mana-mana pihak, untuk apa-
apa tujuan. Bentuk kedua ialah kehilangan bahasa, iaitu lenyapnya kebolehan berbahasa dengan
berkesan. Kehilangan bahasa boleh berlaku dalam dua tahap; individu dan masyarakat. Apabila
ia berlaku pada tahap masyarakat, iaitu ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat itu, rata-rata tidak
lagi fasih menggunakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan atau tulisan,
ini merupakan satu tanda yang amat buruk bahawa masyarakat berkenaan sedang mengalami
kehilangan bahasa.
Penggunaan bahasa Melayu Rojak di kalangan masyarakat Melayu yang berleluasa,
adalah kes kehilangan bahasa. Bentuk ketiga ialah peralihan bahasa, iaitu keadaan yang
memperlihatkan berlakunya peralihan penggunaan, khususnya daripada satu bahasa yang kurang
berprestij kepada satu bahasa yang lebih berprestij, dalam bidang-bidang penting; pendidikan,
pentadbiran, perundangan dan penyiaran. Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran sains
dan matematik dalam bahasa Inggeris kini adalah satu kes peralihan bahasa.

Peralihan Bahasa;-
Kurangnya keupayaan bahasa Melayu untuk membolehkan Malaysia belajar sebanyak
mungkin dari dunia Barat, dengan pantas, dan supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam arus
globalisasi tidak dapat dinafikan merupakan antara sebab utama berlakunya peralihan daripada
bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris di Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan sains
dan teknologi.
Dengan berlakunya peralihan bahasa ini, ia turut menyebabkan wujudnya kekeliruan
linguistik dalam kalangan rakyat Malaysia, yang kini menganggap bahawa bahasa Melayu tidak
penting lagi, justeru statusnya selaku bahasa kebangsaan mulai tidak diendahkan lagi oleh ramai
pihak. Ini dapat dilihat dalam beberapa majlis rasmi negara yang dikendalikan sepenuhnya dalam
bahasa lain, dan tidak menggunakan bahasa Melayu, dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi
negara. Contohnya, terdapat pemimpin-pemimpin syarikat swasta yang menggunakan bahasa
Inggeris sepenuhnya ketika membuat pelancaran model-model terbaru mereka. Menurut Awang
Sariyan (1991:70), bahasa Inggeris sering dianggap dan diyakini sebagai bahasa yang paling
cekap untuk pengurusan perdagangan dan perhubungan politik. Ia juga dianggap sebagai bahasa
globalisasi yang dapat menjadikan sesebuah negara itu antarabangsa.
Sesungguhnya anggapan demikian adalah tidak benar. Bahasa Melayu telah memiliki
segala ciri dan keupayaan untuk mengendalikan komunikasi moden dengan baik dan berkesan.
Hal ini meliputi teknologi tinggi seperti dalam bidang penerbangan, teknologi maklumat dan
komunikasi. Maka bahasa Melayu telah mampu mengungkap komunikasi moden dan dibina
mengikut lunas-lunas ilmiah dalam ilmu perancangan bahasa.

Kesan Peralihan Bahasa;-
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu untuk pendidikan sains dan
teknologi, sesungguhnya boleh membawa kepada perubahan politik, sosial dan budaya di
Malaysia. Kamisah Ariffin (2005:75), menyatakan bahawa pertimbangan politik untuk beralih
daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran dua mata
pelajaran; sains dan matematik, melalui nasionalisme baharu mulai 2003, yang mementingkan
penggunaan bahasa Inggeris, pada kadar yang lebih besar, tidak dapat dinafikan mempunyai
kesan besar dalam sistem sosial dan budaya Malaysia.
Pertentangan antara nilai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu utama, pada satu
masa dahulu, dengan bahasa Inggeris yang baru bertindak sebagai bahasa pengantar bersama
menjadi lebih penting, pada masa kini, dari segi sosial dan budaya, boleh memusnahkan
khazanah budaya yang terkandung dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya, khazanah budaya
inilah yang menjadi pati kepada bangsa atau masyarakat Melayu, yang dimanifestasikan melalui
beberapa bentuk yang penting, iaitu jati diri.
Penyaluran daripada satu generasi kepada generasi yang lain, sudah tentu boleh
memastikan bukan sahaja khazanah budaya Melayu, terus diwarisi dalam bentuk yang utuh,
tetapi jati diri Melayu yang tidak terhakis, dapat juga terus dipertahankan. Menurut Awang
Sariyan (1991:83), penggunaan bahasa Melayu dalam kegiatan budaya tinggi, sebagai contoh
dalam bidang pendidikan, contohnya untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi,
adalah penting, khususnya dari segi demografi, yang diteliti dari tahap kegiatan kebahasaan yang
terlibat. Bahasa Melayu yang digunakan dengan cara begini, sudah tentu berjaya menikmati lebih
banyak jaringan dan pengaruh komunikasi, selain kualiti komunikasi yang lebih luas pula,
daripada penggunaannya dalam kegiatan budaya rendah, seperti membeli ikan di pasar atau
menghitung durian di dusun.
Menurut Nik Safiah Karim (1986:81), penggunaan bahasa Melayu untuk komunikasi
dalam dunia globalisasi, bukan sahaja dapat memperluas jaringan dan pengaruh, serta
mempertingkat kualiti bahasa Melayu, dari dimensi komunikasi, tetapi yang lebih penting dalam
dunia globalisasi, yang banyak memperlihatkan kepupusan jati diri sesuatu bangsa atau
masyarakat itu, ialah bahasa Melayu sebenarnya dapat menjamin penerusan jati diri bangsa atau
masyarakat Melayu. Ini kerana bahasa Melayu itu secara indeksnya, dikaitkan dengan objek-
objek khas Melayu, sistem nilai, aspirasi, hubungan kekeluargaan, flora dan fauna dan lain-lain,
yang dikenali oleh bangsa atau masyarakat Melayu, dan diidentifikasikan dengan bangsa atau
masyarakat Melayu sahaja. Sesungguhnya semua ini membentuk tradisi, warisan dan peradaban
yang bersifat distingtif Melayu.
Menurut Raminah Sabran dan Rahim Syam (1986:43), pertalian antara bahasa Melayu
dengan budaya Melayu (Malaysia), dalam bentuk-bentuk amalan sosial, kunikan dan keaslian
cara hidup sejati bangsa atau masyarakat Melayu, adalah antara ciri kehidupan yang boleh
musnah, apabila bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan bahasa Melayu, dan mengambil
bahasa lain sebagai penggantinya. Apabila ini berlaku, bangsa atau masyarakat Melayu boleh
menjadi sebuah kelompok yang tidak mempunyai arah dari segi linguistik, untuk satu atau
beberapa generasi, iaitu mereka kurang pasti tentang bahasa mana yang perlu digunakan atau
bahasa mana yang lebih penting.
Untuk tempoh satu atau beberapa generasi ini, pertalian unik dan sejati antara bahasa
Melayu dengan budaya Melayu, yang wujud semenjak sekian lamanya, boleh menjadi terhakis
sehingga hilang akhirnya. Apabila ini berlaku, budaya Melayu akan menjadi satu cara hidup
yang sudah berubah. Cara hidup yang sudah berubah ini, akibat penggantian bahasa Melayu
dengan bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris, tidak lagi memungkinkan bangsa atau masyarakat
Melayu, menikmati keunikan dan keaslian cara hidup yang asal itu, buat selama-lamanya, yang
berlatarkan konteks sosial dan budaya yang asal itu.
Sehubungan dengan ini, bahasa Melayu juga tidak dapat dinafikan sebagai simbol kepada
bangsa atau masyarakat Melayu, semenjak sekian lamanya. Menurut Nik Safiah Karim
(1986:84), di dalam bahasa Melayu, sesungguhnya tersimpan catatan sejarah, nukilan persuratan,
cerita pahlawan serta pejuang, asuhan puluhan generasi nenek moyang, kisah lampau serta
aspirasi untuk masa depan, bangsa atau masyarakat Melayu. Semua ini boleh hilang apabila
bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan kaitan simbolik yang semula jadi ini, dengan sejarah
dan masa lampau, serta pencapaian dan kemajuan bangsa atau masyarakat Melayu.
Dengan perkataan lain yang lebih mudah, identiti Melayu boleh berubah buat selama-
lamanya, walaupun tidak terhakis sepenuhnya. Bahasa Inggeris yang menggantikan bahasa
Melayu, dalam komunikasi dunia globalisasi, boleh pasti dalam satu atau beberapa generasi,
berjaya membentuk pertalian baharu antara bahasa Inggeris dengan budaya Melayu. Apabila ini
berlaku, pertalian bahasa Inggeris; budaya Melayu ini didapati tidak sesimbolik pertalian bahasa
Melayu dengan budaya Melayu, yang telah terhakis itu. Lebih penting lagi ialah pertalian baharu
ini tidak boleh dijadikan kekuatan kepada jati diri bangsa atau masyarakat Melayu. Inilah
akibatnya sekiranya bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan bahasa Melayu, melalui apa-apa
cara jua, sama ada bahasa Melayu Rojak ataupun peralihan bahasa, yang menggunakan bahasa
Inggeris untuk menggantikan bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar ilmu, untuk pendidikan
sains dan matematik.
Kehilangan bahasa Melayu sesungguhnya adalah kehilangan sebahagian besar budaya
bangsa atau masyarakat Melayu, dan segala khazanah budayanya. Sehubungan dengan ini,
bangsa atau masyarakat bukan Melayu juga perlu ikut memastikan bahawa bahasa Melayu,
khususnya dalam kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tidak
musnah. Bangsa atau masyarakat bukan Melayu tidak boleh membiarkan bahasa Melayu
musnah, walaupun ia bukannya bahasa etnik mereka. Ini antaranya adalah kerana Malaysia yang
lokos dengan kemusnahan budaya Melayu adalah persekitaran yang tidak boleh menguntungkan
sesiapa pun.
Tidak dapat dinafikan bahawa banyak hal menarik dan menyeronokkan dalam kehidupan
rakyat Malaysia terkandung di dalamnya; bahasa Melayu sebagai bahasa negara, jati diri bangsa
Melayu sebagai kelompok dominan, dan budaya Melayu selaku teras kebudayaan kebangsaan.
Dan apabila bahasa Melayu musnah dan akhirnya pupus, semua rakyat Malaysia akan
kehilangan pelbagai keseronokan itu, antaranya bahasa Melayu pasar, pantun Melayu, peribahasa
Melayu dan sebagainya.





















KESIMPULAN;-
Berasaskan modal linguistik yang dimiliki oleh bahasa Melayu, ia sebenarnya mampu
menjadi wahana pembentukan bangsa, selain menjadi wahana budaya dan tamadun moden,
yang tidak seharusnya berpaksikan sains dan teknologi sahaja, tetapi perlu diimbangi dengan
pendidikan sains kemasyarakatan, bagi Malaysia. Lebih-lebih lagi dalam konteks
pembangunan dan kemajuan Malaysia yang berasaskan acuan sendiri, bahasa Melayu perlu
dilibatkan sepenuhnya. Bahasa Melayu bukan sekali-kali sebagai satu sistem bebas atau entiti
yang abstrak. Seperti yang diperlihatkan dalam kajian ini, ia sesuatu yang konkrit, iaitu bahasa
Melayu ialah hasil daripada sejarah perkembangan bangsa atau masyarakat Melayu, semenjak
sekian lamanya, dan digunakan oleh bangsa atau masyarakat Melayu, untuk mengungkap serta
menyalurkan identiti Melayu dan khazanah budaya Melayu, selain menyampaikan pemikiran
Melayu.
Dalam konteks ini bahasa Melayu bukan sahaja merupakan realiti sosial kepada bangsa
atau masyarakat Melayu, tetapi yang lebih penting lagi, ia juga merupakan realiti yang boleh
menghubungkaitkan bangsa atau masyarakat Melayu, dengan emosi, aspirasi dan nilai-nilai
Melayu. Sehubungan dengan ini, kehilangan bahasa Melayu boleh menyebabkan kepupusan,
iaitu lenyap buat selama-lamanya, hubung kait secara langsung dan penting dalam hal ini,
dengan warisan Melayu pada masa lampau. Bukan sahaja banyak kenangan dan pengetahuan
turut hilang, tetapi ia turut menyebabkan kehilangan kebolehan menggunakan bahasa Melayu
yang boleh mencerminkan sistem linguistiknya yang utuh, selain mencerminkan pelbagai
orientasi budaya Melayu, melalui penggunaan pelbagai kategori nahu dan leksikonnya. Dalam
konteks ini, tidak ada bahasa lain yang boleh mengungkap dan mengendalikan hal-hal Melayu
dengan baik dan berkesan, kecuali bahasa Melayu itu sendiri.