Anda di halaman 1dari 11

1

PENAAKULAN MORAL: KEPENTINGAN TERHADAP CALON


GURU PENDIDIKAN MORAL
Norzihani Saharuddin (norzihani@yahoo.com),
Nur Surayyah Madhubala Abdullah, Samsilah Roslan

Jabatan Pendidikan Bahasa & Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia


ABSTRAK: Penaakulan moral merujuk kepada satu sistem perlakuan yang berdasarkan kepada
prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan (Abdul Rahman Aroff & Chang
Lee Hoon, 1994). Tahap penaakulan moral yang tinggi haruslah dipunyai oleh bakal guru yang
akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah kelak. Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang amat
penting dengan mengambil kira peranan guru di sekolah sebagai agen moral. Tumpuan
perbincangan pada kali ini adalah berkenaan keperluan untuk menyelidik kepentingan aspek
penaakulan moral dalam kalangan calon guru Pendidikan Moral. Selain itu kertas ini akan
membincangkan tentang pandangan teori perkembangan moral kognitif terhadap aspek
penaakulan moral calon guru yang bakal ditempatkan di sekolah. Turut disentuh dalam kertas
ini adalah beberapa kajian di dalam mahupun luar negara yang menunjukkan bahawa
penaakulan moral merupakan suatu elemen terpenting yang perlu dititikberatkan dalam program
pendidikan calon guru.


Pendahuluan
Pendidikan siswazah di Eropah dilihat sebagai sesuatu yang bertanggungjawab untuk
membentuk kemahiran penaakulan moral dan tingkahlaku etika di kalangan pelajar mereka
(McClellan, 1999). Secara tradisi, atribut ini dilihat sebagai hasil terbaik daripada program
pendidikan. Walaubagaimanapun pada masa dan ketika ini, pemerolehan kemahiran
penaakulan moral sering sahaja dikaitkan dengan isu moral tertentu atau kursus etika
professional dan amat jarang sekali dianggap sebagai hasil utama pembelajaran di kalangan
pelajar siswazah kolej dan universiti. Menurut Derrik Bok (2006), walaupun penawaran
etika dalam bentuk subjek adalah biasa, tetapi mereka jarang menggunakannya. Hasilnya,
"Majoriti pelajar bergraduat tanpa mempunyai kemahiran penaakulan moral atau
dalam subjek yang diperlukan untuk menyediakan mereka menjadi rakyat
berpengetahuan dalam sebuah negara demokrasi ... "(2006, ms 147, 311-12).
Dalam usaha untuk memperkembangkan kemahiran penaakulan moral pelajar
dengan efektif, proses yang dilakukan dalam institusi pendidikan tinggi perlulah secara
berfokus dan secara holistik. Jika kita hanya bergantung kepada pengagihan kursus
mengikut keperluan atau kelas etika terpencil untuk menghasilkan siswazah dididik dengan
moral, maka kita bakal berdepan dengan kegagalan (Hersch & Schneider, 2005).
Pengajaran telah disifatkan Chang (1994) sebagai bermoral secara semulajadi.
Turut dijelaskan oleh (Sockett, 1993) bahawa tingkahlaku moral adalah perkara yang
terkandung dalam pengajaran. Menurut Goodlad, Soder dan Sirotnik (1990), pengajaran
adalah asas kepada kemoralan di mana orang dewasa bertanya dan mengkehendaki kanak-
kanak berubah arah kepada apa yang telah dipilih oleh orang dewasa. Memahami
pengajaran dalam sudut sebegini akan membuat mereka dihunjam oleh persoalaan yang
tidak ada akhirnya seperti :
2

1. Menurut autoriti apa saya akan paksa perubahan dalam hidup kanak-kanak
ini?
2. Apakah nilai terhadap kebebasan dan autonomi mereka?
3. Di manakah tanggungjawab saya terhadap mereka akan bermula dan
berakhir?
4. Bagaimana saya akan berhadapan dengan dilema moral?
5. Bagaimana kesakitan mahupun ketidakselesaan yang sanggup saya tanggung
bagi pihak pelajar saya?
6. Bagaimana perwatakan saya akan memberi kesan terhadap hidup orang lain?
Tindakbalas dan respon terhadap persoalan sebegini akan membuat guru melakukan
pertimbangan moral yang melibatkan mengenalpasti apa sebenarnya isu moral tersebut,
bagaimana konflik ini ingin diselesaikan dan rasional pemilihan tindakan tersebut (Rest,
Thoma & Edwards, 1997). Walaupun persoalan tentang domain moral dalam pengajaran
telah ditimbulkan sejak 20 tahun yang lalu, namun hanya sedikit perhatian diraih dalam
melaksanakan pendekatan saintifik untuk mengkaji penaakulan moral dan tingkahlaku calon
guru mahupun guru yang sedang berkhidmat. Guru PM seharusnya mampu untuk melihat
lebih jauh, melangkaui kepentingan diri dan mengambil pandangan yang lebih luas terhadap
aspek kemoralan yang mengambil kira perspektif kesemua pelajar tanpa mengira bangsa,
kaum, budaya dan mengiktiraf hak untuk dihargai sebagai manusia.

Konsep-Konsep Utama
Antara konsep yang ingin diketengahkan dalam kertas ini adalah, pertama
penaakulan moral. Penaakulan moral merujuk kepada satu sistem perlakuan yang
berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan (Abdul
Rahman Aroff & Chang Lee Hoon, 1994). Berkowitz (1964) menyatakan bahawa ia
merujuk kepada kelakuan yang melibatkan pertimbangan atau penaakulan yang mematuhi
norma sosial yang ditetapkan sebagai tingkah laku yang betul. Penaakulan moral bermaksud
proses seseorang individu mencapai keputusan tentang apa yang patut dilakukan dalam
sesuatu dilema moral (Rest 1976). Selain itu penaakulan moral turut didefinisikan sebagai
sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh individu untuk menghasilkan sesuatu
keputusan moral (Gibbs, Basinger dan Fuller, 1992). Mengikut sukatan pelajaran
Pendidikan Moral Malaysia penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam
pengajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988). Pengetahuan Moral
yang diuji di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar tingkatan 5 juga adalah
berasaskan penilaian penaakulan moral (Jeevajothi 1997).
Konsep kedua adalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral. Dalam
sukatan pelajaran terdahulu, P&P dalam PM menekankan aspek-aspek kerohanian,
kemanusiaan, sosial dan pembentukan nilai individu. Ia menekankan pemupukan dan
penghayatan nilai-nilai murni yang terdapat dalam masyarakat Malaysia, berdasarkan
pelbagai tradisi agama dan budaya, masyarakat yang berbeza dan juga sejajar dengan nilai-
nilai sejagat. Objektif am PM di sekolah rendah dan sekolah menengah adalah pembentukan
individu yang mengiktiraf, menerima, dan mengenalpasti peranan mereka sebagai pembuat
keputusan yang bertanggungjawab mengenai nilai-nilai moral dalam masyarakat yang
demokratik. Sebagai contoh sebarang tindakan mereka dalam semua keadaan adalah
dikawal oleh prinsip-prinsip moral. Kurikulum pertama untuk PM terdiri daripada 16 nilai-
nilai yang diperhatikan dan dipelihara oleh individu dan masyarakat. Nilai-nilai ini adalah
3

penting untuk memastikan interaksi yang sihat di antara individu bersama keluarga, rakan-
rakan, masyarakat dan institusi-institusi lain (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2000).

Latar Belakang
Sejak berdekad yang lalu kajian yang pernah dijalankan telah mendapati bahawa tahap
penaakulan moral guru merupakan antara faktor yang terpenting dalam perkembangan moral
pelajar (turiel et al., 1969 & Kohlberg 1975). Dapatan kajian yang dijalankan oleh Rahman
dan Chang (1994), mendapati bahawa pemahaman tentang perkembangan moral pelajar
akan membantu guru-guru memilih kandungan dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan
peringkat perkembangan moral yang telah dicapai oleh pelajar di sekolah. Kaedah ini juga
dapat memberi satu sumbangan yang signifikan terhadap PM di sekolah. Ini kerana melalui
pengetahuan dan pengenalpastian peringkat-peringkat penaakulan moral pelajar, guru
mampu merangsang proses meningkatkan perkembangan moral pelajar ke satu peringkat
seterusnya yang lebih tinggi melalui dilema moral yang dibincangkan di dalam bilik darjah.
Justeru membawa maksud bahawa kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
selaras dengan peringkat perkembangan moral pelajar mungkin dapat merangsangkan
pemikiran yang rasional.
Namun sebelum itu seharusnya para guru turut mempunyai tahap penaakulan moral
yang tinggi demi merangsang pelajar dengan pengajaran yang mendorong pemikiran
kritikal. Namun ironinya daripada kajian yang pernah dijalankan mendapati bahawa pelajar
jurusan perguruan rata-ratanya mempunyai tahap penaakulan moral pada tahap yang
sederhana sahaja. Hal ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu difikirkan semula. Ini kerana,
dapatan kajian OKeefe & Johnson (1989) mendapati bahawa secara spesifiknya, guru yang
mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi mampu untuk lebih empati terhadap para
pelajar, lebih bertoleransi dalam melontarkan pandangan dan lebih fleksibel dalam
pengajaran mereka. Dapatan ini seterusnya disokong oleh Beyer (1997) yang mendapati
bahawa kemampuan guru untuk memahami dimensi moral dalam pengajaran adalah amat
penting dalam berhadapan dengan masyarakat demokratik yang wujud di sekolah. Hal ini
disokong pula oleh Guthrie, King & Palmer (2000) yang menyatakan bahawa guru-guru ini
adalah berada pada tahap perkembangan kognitif yang tinggi di mana mereka lebih berupaya
untuk bersikap toleransi terhadap kumpulan minoriti. Manakala guru yang menaakul pada
tahap yang rendah dikatakan sebagai seorang guru yang kurang efektif, cenderung untuk
membuat penilaian yang kurang tepat terhadap pelajar yang menaakul pada tahap yang
tinggi, dan menggunakan pendekatan yang kurang pelbagai dalam pengajarannya (Thies,-
Sprinthall,1894; Reiman & Peace, 2002).
Sprinthall dan Bernier (1979) telah mengkaji berkenaan perkembangan moral di
kalangan guru di sekolah dengan mengalakkan mereka untuk melibatkan diri dengan aktiviti
secara individu seperti menjalani temuduga dan mempelajari modifikasi tingkahlaku kendiri.
Pengkaji lain seperti (Oja & Sprintall, 1978; Thies-Sprintall, 1980, 1984; Reiman & Thies-
Sprinthall, 1993) telah menggunakan refleksi berpandu untuk meningkatkan pengambilan
peranan sosial, penaakulan moral dan kebolehan konsepsual dikalangan guru mentor yang
bekerja bersama guru pelatih. Hasil yang signifikan telah ditemui pada DIT dan Hunt
Peragraph Completion Test dalam kajian yang dijalankan oleh Miller (1981) untuk
mengkaji kerumitan kognitif. Berikutan daripada kajian berikut, para pengkaji
mencadangkan bahawa adalah menjadi suatu keperluan untuk mewujudkan satu program
pendidikan guru yang lebih berasaskan teori yang menekankan aspek perkembangan konsep
4

kognitif dan prinsip penaakulan moral di kalangan guru pelatih. Hal ini dilihat sebagai suatu
perkara yang amat penting kerana PM merupakan sebuah matapelajaran yang unik dan
memerlukan kaedah pengajaran yang tersendiri yang perlu dikuasai oleh calon guru-gurunya
sebelum benar-benar bersedia untuk mengajar di sekolah.
Bagi mengukuhkan lagi kajian dan kepentingan tentang penaakulan moral terhadap
pengajaran dan pembelajaran PM, Chang (1994) telah menerangkan beberapa karakteristik
guru-guru yang berada pada tahap penaakulan moral pos-konvensional. Antara elemen yang
dikenalpasti adalaha guru-guru ini mampu untuk menerima pendapat yang pelbagai dan
sedaya upaya akan berusaha untuk membantu para pelajar mereka memahami dan menaakul
tentang sesuatu peraturan atau undang-undang dari perspektif yang berbeza. Kajian dari luar
negara oleh Conroy (1987) mendapati bahawa guru-guru yang berada pada penaakulan
moral pos-konvensional mempunyai pandangan humanistik-demokratik terhadap disiplin
pelajar. Tambahan pula guru-guru ini menganggap peranan mereka sebagai seorang yang
demokratik dan pemudahcara (Johnston & Lubomudrov, 1987). Bukan itu sahaja, malahan
guru yang berada pada tahap penaakulan moral pos-konvensional ini juga dikatakan lebih
berupaya untuk memastikan hubungan yang akrab bersama pelajar (Johnston &
Lubomudrov, 1987).
Guru-guru yang berada pada tahaap penaakulan moral yang tinggi dikatakan mampu
mencipta iklim bilik darjah yang berasaskan saling menghormati (Holt, Kauchak & Person,
1980). Chang (1994) turut menambah bahawa guru-guru tersebut memahami konsep
pendidikan daripada perspektif pelajar sebagai seorang individu dan dalam pengertian yang
lebih luas. Ini kerana menurut Chang (1994) juga, guru dengan tahap penaakulan moral
yang tinggi mampu untuk lebih empati terhadap keperluan pelajar dan lebih bersedia untuk
memudahkan perkembangan pelajar, menghormati hak pelajar, dan lebih objektif dalam
mengendalikan masalah yang ditimbulkan oleh pelajar. Secara jelas, guru yang berada pada
tahap penaakulan moral pos-konvensional mampu untuk lebih berpusatkan pelajar dengan
lebih bertimbangrasa, bersikap demokratik dan professional.

Pandangan Teori Perkembangan Moral Kognitif
Menurut Abdul Rahman dan Chang (1994), pemahaman tentang perkembangan
moral pelajar akan membantu guru-guru memilih kandungan dan kaedah pengajaran yang
sesuai dengan peringkat perkembangan moral yang telah dicapai oleh pelajar di sekolah.
Kaedah ini juga dapat memberi satu sumbangan yang signifikan terhadap PM di sekolah.
Ini kerana melalui pengetahuan dan pengenalpastian peringkat-peringkat penaakulan moral
pelajar, guru mampu merangsang proses meningkatkan perkembangan moral pelajar ke satu
peringkat seterusnya yang lebih tinggi melalui dilema moral yang dibincangkan di dalam
bilik darjah. Ini membawa maksud bahawa kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran
yang selaras dengan peringkat perkembangan moral pelajar mungkin dapat merangsangkan
pemikiran yang rasional. Namun sebelum itu seharusnya para guru turut mempunyai tahap
penaakulan moral yang tinggi demi merangsang pelajar dengan pengajaran yang mendorong
pemikiran kritikal. Pandangan berkenaan kemoralan telah dibangkitkan oleh Kohlberg
(1981), di mana teori perkembangan moralnya mengandaikan bahawa wujud hubungan
diantara perkembangan kognitif dan kemampuan penaakulan moral. Kohlberg melalui
penyelidikannya telah mengenalpasti tiga tahap perkembangan moral dan setiap tahap
dibahagikan pula kepada dua peringkat. Tahap-tahap dan peringkat-peringkat perkembangan
moralnya adalah seperti berikut:
5

I. Tahap Prakonvensional
Peringkat 1: Orientasi hukuman dan kepatuhan - Pada peringkat ini, seseorang itu
mementingkan diri sendiri. Mereka mematuhi sesuatu autoriti yang lebih berkuasa
kerana takut kepada hukuman atau denda.
Peringkat 2: Orientasi Instrumental Relativis - Pada peringkat ini, seseorang itu
mengambil berat tentang orang lain tetapi mempunyai kepentingan diri. Motif utama
seseorang adalah untuk memuaskan keperluan diri sendiri dan tidak mempedulikan
keperluan orang lain.
II. Tahap Konvensional
Peringkat 3: Orientasi Persetujuan Antara Individu - Pada peringkat ini, seseorang itu
mengambil berat tentang orang lain dan mengikuti norma-norma mereka. Motif
mereka ialah untuk menjadi seorang yang baik seperti yang diharapkan oleh orang
lain. Kasih sayang dan sikap prihatin memainkan peranan yang penting.
Peringkat 4: Orientasi Undang-undang dan Peraturan - Seseorang itu mengambil
berat tentang ketenteraman dalam sesebuah masyarakat. Seseorang itu mempunyai
tanggungjawab untuk memelihara peraturan-peraturan dalam masyarakat. Fokus
utama adalah untuk memelihara masyarakat dan mengelakkan perpecahan dalam
sistem tersebut.
III. Tahap Poskonvensional
Peringkat 5: Orientasi Contract-Legalistic sosial - Pada peringkat ini, seseorang itu
mempunyai obligasi terhadap undang-undang disebabkan kontrak sosialnya untuk
mematuhi undang-undang demi menjaga kebajikan orang ramai dan melindungi hak
mereka. Undang-undang dibuat untuk kebaikan semua. Walau bagaimanapun, nilai-
nilai seperti kebebasan dan nyawa harus dipertahankan dalam mana-mana
masyarakat tanpa mempedulikan pendapat majoriti.
Peringkat 6: Orientasi Prinsip Etika Sejagat - Pada peringkat ini, seseorang yang
rasional percaya validiti prinsip-prinsip moral sejagat dan mereka mempunyai
komitmen peribadi terhadapnya. Prinsip-prinsip sejagat tersebut adalah seperti
keadilan, persamaan dan hormat kepada kemuliaan orang ramai sebagai seorang
individu. Sesuatu undang-undang atau persetujuan sosial social agreement
tertentu pada kebiasaannya adalah sah kerana ia adalah berdasarkan kepada prinsip-
prinsip tersebut. Apabila sesuatu undang-undang itu dilanggar, seseorang itu akan
bertindak mengikut prinsip tersebut.
Menurut Kohlberg, peringkat-peringkat perkembangan moral itu mempunyai beberapa ciri.
Antaranya ialah:
a) Peringkat-peringkat ini adalah bersifat hierarchial integrations. Ini bermaksud,
apabila seseorang individu didapati berada di satu peringkat yang lebih tinggi, ini
bermakna bahawa ia telah melalui peringkat-peringkat moral yang lebih rendah.
b) Peringkat-peringkat itu adalah structured wholes kerana ia merupakan sistem
pemikiran yang berterusan. Cara seseorang menganalisis dan menginterpretasikan
data serta membuat keputusan mengenai masalah moral dan peribadi merupakan
perkara yang sangat penting dalam perkembangan moral secara keseluruhan.
6

c) Urutan dalam peringkat-peringkat itu adalah tidak varian, iaitu pergerakan dalam
peringkat penaakulan moral selalunya adalah ke depan dan tidak pernah berundur.
Kohlberg (1981) telah menyebut tahap pos-konvensional sebagai tahap penaakulan
moral berprinsip. Teori Kohlberg ini telah dikritik oleh beberapa pengkaji lain antaranya
Gilligan (1982) mengkritik teori ini sebagai bias kepada jantina lelaki. Walau
bagaimanapun Kohlberg tetap meneruskan usaha dalam membongkar isu berkenaan
penaakulan moral dan hasilnya ia turut memberi impak terhadap pemikiran tentang
kemoralan dan perkembangan moral (Wygant & Williams, 1995). Teori ini turut mendapat
gelaran sebagai pasak teras dalam mempelajari kemoralan dari sudut dalam, dan ia adalah
tugas utama dalam pertimbangan moral (Rest et al., 1997, ms 6). Tahap penaakulan moral
pos-konvensional akan diperlukan untuk guru menjalankan peranan pemimpin sebagai agen
moral di sekolah. Chang (1994) mencadangkan bahawa tahap penaakulan moral guru akan
membawa kesan terhadap persepsi pelajar terhadap atmosfera bilik darjah dan juga disebut
bahawa guru yang mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi adalah lebih mudah
untuk memotivasikan pelajar dan mewujudkan perkembangan sosial yang sihat berbanding
guru yang berada pada tahap penaakulan moral yang rendah.
Beyer (1997) juga pernah menegaskan bahawa kemampuan guru dalam mengambilkira
dimensi moral dalam amalan bilik darjah adalah amat penting lebih-lebih lagi dalam
masyarakat demokratik. Jika para guru memandang serius terhadaap tanggungjawab sebagai
agen moral, maka mereka sewajarnya mampu untuk menaakul tentang isu moral mahupun
dilema yang dihadapi pada tahap pos-konvensional justeru mempunyai tahap kesedaran
yang tinggi terhadap tanggungjawab etika dan moral diri mereka sendiri. Hal ini mungkin
tidak akan berlaku melainkan tenaga pengajar kepada calon guru mengambil serius terhadap
tanggungjawab dan tugas mereka dalam menitikberatkan dimensi moral dalam pengajaran
mereka.
Walau bagaimanapun, John Dewey merupakan salah seorang penyelidik yang mula-
mula mencadangkan Teori Perkembangan Moral Kognitif. Teori ini bercorak kognitif
kerana ia mengakui bahawa pendidikan moral mempunyai asas dalam merangsangkan
pemikiran aktif pelajar terhadap isu-isu dan membuat keputusan yang berkaitan dengan
moral (Kohlberg, 1975). Dalam kajiannya, Dewey telah mengenal pasti tiga peringkat
perkembangan moral iaitu:
(1) Peringkat Pramoral (prakonvensional) di mana sesuatu perlakuan itu
dimotivasikan oleh dorongan biologikal dan sosial yang mengakibatkan moral.
(2) Peringkat Konvensional di mana seorang individu menerima standard atau norma-
norma masyarakatnya tanpa banyak tentangan.
(3) Peringkat autonomous di mana perlakuan seseorang itu adalah dibimbing oleh
pemikiran dan pertimbangannya tentang sama ada sesuatu matlamat itu baik atau
pun tidak.
Teori ini semakin berkembang dari masa ke semasa. Menurut Mosher (1980), selepas
menjalankan penyelidikan, Piaget telah menjelaskan semula peringkat-peringkat penaakulan
moral Dewey kepada peringkat-peringkat berikut:
(1) Peringkat Pramoral di mana seseorang itu tidak mempunyai obligasi terhadap
peraturan. Pada peringkat ini, pelajar belum lagi memahami fungsi sesuatu
peraturan.
7

(2) Peringkat Heteronomos iaitu sesuatu yang betul itu merupakan ketaatan kepada
peraturan. Seseorang itu sudah mula menerima peraturan dan mempunyai obligasi
dan kepatuhan terhadap kuasa dan hukuman.
(3) Peringkat Autonomos di mana seseorang itu mempunyai keupayaan untuk
menimbang di antara tujuan dan kesan-kesan sesuatu peraturan. Obligasi terhadap
peraturan adalah berasaskan kepada amalan timbal balik dan pertukaran.
Berdasarkan kepada kajian-kajiannya yang dijalankan dibeberapa negara seperti Amerika
Syarikat, Taiwan, Turki, Mexico dan Yucatan, Kohlberg (1973) mendakwa bahawa teori
perkembangan moralnya itu adalah sejagat dan merentas budaya iaitu;

All individuals in all cultures use the same thirty basic moral categories, concepts
or principles and all individuals in all cultures go through the same order or
sequence of gross stage development, though they vary in rate and terminal point of
development.
Kohlberg (1973)

Dalam aspek perkembangan PM di Malaysia pula, penyelidik-penyelidik tempatan (Chuah,
1989; Azian, 1990 & Loganathan, 1995) telah mengesahkan kesejagatan teori
perkembangan moral Kohlberg melalui kajian-kajian mereka.

Penaakulan Moral Dalam Kalangan Calon Guru
Berdasarkan kepada beberapa kajian yang meninjau tentang tahap penaakulan moral
dikalangan calon guru, kebanyakan program pendidikan guru dilihat sebagai belum lagi
menggabungkan aspek moral dalam pengajaran ke dalam kurikulum mereka. Keputusan
yang diperolehi daripada beberapa kajian tentang penaakulan moral yang dilakukan di luar
negara mendapati bahawa tahap penaakulan moral di kalangan calon guru khususnya adalah
lebih rendah daripada pelajar-pelajar pada bidang lain (Lampe, 1994; McNeel, 1994;
Yeazell & Johnson, 1988). Amat memeranjatkan apabila terdapat kajian yang mendapati
bahawa calon guru yang pada mulanya berada pada tahap penaakulan moral berprinsip di
awal tahun pengajian menunjukkan penurunan yang signifikan terhadap tahap penaakulan
moral mereka pada akhir pengajian (Lampe, 1994; McNeel, 1994). Oleh kerana hanya
sedikit sahaja kajian yang dijalankan untuk mengenalpasti penaakulan moral dikalangan
calon guru, maka seharusnya kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk menentukan sama ada
calon guru benar-benar menaakul pada tahap yang lebih rendah daripada pelajar pada bidang
lain. Kajian terkini yang lebih terperinci dalam bidang ini adalah sesuatu yang amat penting
bagi menilai dan mengenalpasti tingkahlaku moral dan etika para guru (Beyer, 1997;
Hostetler, 1997; Piddocke, Magsino, & Manley-Casimir, 1997; Sockett, 1993; strike &
soltis, 1998; Strike & Ternasky, 1993; Yost, 1997).
Antara kajian penaakulan moral di kalangan guru pelatih yang pernah dijalankan
adalah oleh Hurt (1977) yang mengkaji tahap penaakulan moral guru pelatih melalui
kemahiran kaunseling dalam memupuk sikap empati melalui aktiviti kaunseling sebaya dan
analisis kendiri. Hasil yang signifikan diperolehi melalui ujian DIT yang dijalankan
8

sebelum dan selepas sesi. Kajian oleh Shafer (1978) melibatkan 57 guru pelatih pendidikan
sains dalam membincangkan dilema moral seperti yang dicadangkan oleh Kohlberg (1981,
1984). Skor DIT yang diperolehi pada ujian sebelum dan selepas adalah signifikan. Kedua-
dua pengkaji mencadangkan bahawa intervensi yang memberi impak positif terhadap
kognitif, ego dan perkembangan moral guru pelatih seharusnya menjadi matlamat dalam
program pendidikan guru.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Reiman (2001), guru pelatih didedahkan kepada
kurikulum inovatif yang menggalakkan pengambilan peranan sosial dengan refleksi
berpandu. Min skor P yang diperolehi adalah 12.54 dengan saiz (d=.73). Justeru semua
guru khasnya guru pendidikan moral seharusnya mempunyai tahap penaakulan moral yang
lebih tinggi bagi memastikan pengajaran berkualiti mampu disampaikan kepada para
pelajarnya. Seterusnya daripada kajian longitudinal yang telah dijalankan oleh King &
Mayhew (2005) telah menemukan beberapa dapatan yang penting berkenaan taakulan moral
calon guru. Antara yang hangat diperbincangkan adalah perkembangan moral dikatakan
sebagai matlamat utama sesebuah program pengajian tinggi khususnya program perguruan
di Eropah. Kajian berkenaan antara lainnya cuba untuk membongkar keperluan taakulan
moral yang tinggi di kalangan pelajar calon guru dengan cara meneroka bagaimanaa strategi
pedagogi pengajaran mempengaruhi perkembangan tahap taakulan moral. Dalam kajian ini
turut ditemukan bahawa kandungan moral dalam kurikulum merupakan salah satu faktor
yang menggalakan perkembangan moral. Ini kerana dengan memberi pelajar peluang
berbincang tentang isu yang melibatkan dimensi moral mampu menggalakkan mereka untuk
mengambil perspektif sekaligus menyediakan mereka ruang untuk terlibat dalam membuat
keputusan moral.
Kajian ini turut mendapati bahawa persepsi pelajar tentang bagaimana pensyarah
menstrukturkan kelas mereka serta membincangkan tentang kandungan moral mampu
memberi kesan terhadap kualiti perbincangan isu moral. Penemuan penting kajian ini juga
antara lainnya menyatakan bahawa pembentukan persekitaran pembelajaran yang selamat
dan menyokong pelajar untuk bertanya mahupun menyuarakan pandangan berkenaan isu
moral dikatakan sebagai amat penting dalam menggalakkan pertumbuhan taakulan moral.
Selain itu elemen interaksi pelajar bersama rakan-rakan yang pelbagai dikatakan mampu
mengganggu-gugat perkembangan taakulan moral pelajar seandainya tidak diberi perhatian.
Menurut kajian ini juga pihak fakulti atau institut pengajian bertanggungjawab untuk
menyediakan tenaga pengajar yang efektif, termasuklah memupuk kemahiran untuk
mencipta ruang di mana para pelajar berasa selamat untuk berbual secara jujur berkenaan isu
bangsa antara satu sama lain serta belajar untuk menghormati keterbezaan masing-masing.
Ini adalah kerana menurut pengkaji, mengelak dari membincangkan isu ini akan
menyebabkan perkembangan taakulan moral terbantut seterusnya sedikit sebanyak akan
mencacatkan keberkesanan pensyarah sebagai seorang pengajar yang bertanggungjawab
untuk membantu pelajar mengenalpasti potensi diri menjadi warga yang bertanggungjawab.
Kajian ini sedikit sebanyak telah memberi celik akal terhadap proses mempelajari
pengetahuan dan kemahiran yang disatukan dengan pembangunan penaakulan moral pelajar
perguruan.
Tanpa diduga sebenarnya terdapat segelintir dapatan kajian yang menyatakan
bahawa skor penaakulan moral bagi kebanyakan guru yang sedang berkhidmat dan calon
guru masih lagi belum berada pada tahap pos-konvensional. Sorotan daripada 30 kajian
yang meneroka aspek penaakulan moral di kalangan guru yang sedang berkhidmat dan calon
guru seperti yang dinyatakan Diessner (1990) melaporkan bahawa kebanyakan guru yang
sedang berkhidmat hanya menaakul pada tahap konvensional. Dalam membuat kesimpulan
9

terhadap dapatan ini, Chang (1994) kemudian merumuskan bahawa walaupun mengajar
adalah sesuatu yang bersifat moral secaraa semulajadi dan guru membuat keputusan moral
berterusan, namun para guru dilihat sebagai belum bersedia terhadap aspek tugas ini.
Keputusan daripada beberapa kajian yang meninjau berkenaan penaakulan moral di
kalangan bakal guru menyatakan bahawa pertama, skor penaakulan moral mereka adalah
lebih rendah daripada pelajar dalam bidang lain-lain, kedua, tahap penaakulan moral bakal
guru ini dilihat sebagai tidak meningkat daripada tahun pertama hingga ke tahun akhir
pengajian dan ketiga, skor penaakulan moral pelajar senior bidang pendidikan tidak banyak
bezanya dengan pelajar junior dalam bidang lain (Cummings, et. al, 2001; McNeel, 1994;
Yeazell & Johnson, 1988).
McNeel (1994) turut menyuarakan kebimbangannya dengan menyatakan bahawa
skor penaakulan moral yang rendah dikalangan pelajar bidang pendidikan mempunyai
implikasi yang maha besar, ini kerana kepentingan profesyen pendidikan terhadap
kehidupan masyarakat dan sesebuah negara tidak dapat dinafikan. Para pengkaji lain turut
menyatakan kegusaran mereka terhadap isu ini. Antaranya, Yeazell and Johnson (1988)
yang menyatakan kebimbangan bahawa dikhuatiri bakal guru ini menjadi guru yang
mempunyai tahap pertimbangan moral yang kurang daripada pelajar mereka. Beliau turut
menyatakan bahawa kemampuan penaakulan moral yang rendah bukan hanya menimbulkan
keraguan serius terhadap kemampuan bakal guru ini untuk memahami dan mengajar prinsip
etika dan memudahcara perkembangan panaakulan moral pelajar, namun turut
membangkitkan persoalan serius tentang bagaimana bakal guru ini membuat keputusan di
dalam aktiviti bilik darjah yang melibatkan situasi moral seperti keadilan, penggurusan
kekurangan masa dan sumber dan segala proses berkenaan disiplin kelas.

Kesimpulan
Dalam melaksanakan program Pendidikan Moral di sekolah banyak perkara yang perlu
dititikberatkan antaranya bagaiamanakah tahap penaakulan guru itu sendiri. Hal ini kerana
melalui perbincangan di atas sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa terdapat
perbezaan di antara guru yang menaakul pada tahap penaakulan pos-konvensional dengan
konvensional. Ia dapat dilihat melalui beberapa aspek terpenting seperti gaya dan cara
pengajaran mereka, tanggapan terhadap pelajar, malahan kaedah dan cara yang digunakan
dalam menangani isu dan dilemma moral. Hal ini amat penting kerana sedikit sebanyak
mampu untuk mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan moral pelajar. Ini adalah
kerana perkembangan moral pelajar bukan hanya bertumpu pada pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas semata-mata, bahkan ia berkait secara langsung dengan
individu di mana mereka berinteraksi terutamanya ibu bapa, guru, juga komuniti dewasa di
sekelilingnya. Dapat disimpulkan bahawa guru mempunyai pengaruh yang besar kepada
pelajar, mereka bukan sekadar menjadi role-model yang baik, namun perlu juga di lihat dari
aspek kebolehan guru untuk menghargai perspektif pelajar serta keupayaan untuk membantu
pelajar membentuk pemikiran moral. Justeru guru seharusnya mempunyai kemampuan
untuk menaakul pada tahap penaakulan moral yang tinggi. Selain itu, turut dipaparkan tadi
bahawa jika kandungan kurikulum pendidikan guru dilihat sebagai suatu medium untuk
menangani pembangunan etika dan moral pelajar, maka usaha perlu dibuat untuk
memasukkan kandungan kursus yang bertepatan untuk memenuhi matlamat penghasilan
calon guru PM yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran
malahan mampu menaakul pada aras yang tinggi dalam membuat sesuatu pertimbangan
moral.
10

BIBLIOGRAFI
Rest, J. R., Thoma, S. & Edwards, L. (1997) Designing and validating a measure of moral
judgment: Stage preference and stage consistency approaches. Journal of Educational
Psychology, 89(1), 5-28.
Schlaefli, A., Rest, J., and Thoma, S. (1985) Does moral education improve moral
judgment?: A meta-analysis of intervention studies using the defining issues test. Review of
Educational Research, 55(3), 319 352.

Kohlberg, Lawrence. (1981). The meaning and measurement of moral development.
Worchester, MA: Clark University Press.
Gilligan, C. (1982). In a different voice: Psychological theory and womens development.
Cambridge, MA: Harvard University Press.
Good, J. & Cartwright, C. (1998) Development of moral judgment among undergraduate
university students. College Student Journal, 32, 270-276.
Bok, D. (2006) Our underachieving colleges: A candid look at how much students learn and
why they should be learning more. Princeton, NJ: Princeton University Press.

Kohlberg, L. (1984) Essays on moral development: the philosophy of moral development.
Moral stages and the idea of justice (vol.1) (San Francisco, CA, Harper & Row).

Mayhew, M. J. (2005) Curricular content and pedagogical practices that influence the
development of moral reasoning in undergraduate students, Dissertation Abstracts
International, 65(10), 3720, (AAT 3150033)

King, P.M. & Mayhew, M. J. (2002) Moral judgement development in higher education:
insights from the Defining Issues Test, Journal of Moral Education, 31(3), 247-270

Vishalache, B. (2004a). Project work in teaching Moral Education: A Malaysian review.
Paper presented at Association for Moral Education International Conference, Dana Point,
California.

Hutchings, P. (Ed.). (2000). Approaching the scholarship of teaching and learning. Opening
lines: Approaches to the scholarship of teaching and learning. Menlo Park, CA: The
Carnegie Foundation for the Advancement of Teaching, 1-10.

Curriculum Development Centre. (1988). Curriculum Development Centre of Malaysia
Report. Kuala Lumpur: Government Printers.

McNeel, S. (1994) College teaching and student moral development, in: J. Rest & D.
Narvaez (Eds) Moral development in the profession: psychology and applied ethics
(Hillsdale, NJ, Lawrennce Erlbaum), 26-47

Bebeau, M. (2002) The Defining Issues Test and the Four Component Model: contributions
to professional education, Journal of Moral Education, 31(3), 271-295

Astin, A.W. 1977. Four critical years. San Francisco: Jossey-Bass.
11


Centra, J. 1981. Research Productivity and Teaching Effectiveness. Princeton, N.J.:
Educational Testing Service.

Feldman, K. 1987. Research productivity and scholarly accomplishment of college teachers
as related to their instructional effectiveness: A review and exploration. Research in Higher
Education 26(3): 227-298.

Kantor, R.M. 1977. Men and women of the corporation. New York: Basic Books.

Pascarella, E.T. and P.T. Terenzini. 1991. How college affects students: a third decade of
research San Francisco, CA, Jossey-Bass.

Mukherjee, H. (1983). Moral education in a plural society: Malaysia. Journal of Moral
Education, 12(2), 125130.

Anda mungkin juga menyukai