Anda di halaman 1dari 20

9:27:22 AM

TEKS UCAPAN

'Bangsa Angkasa' bertamadun hebat


ALHAMDULILLAH, eloklah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka sekali lagi kita dapat bersama-sama
menghadiri perhimpunan bersejarah di Dewan Merdeka yang indah ini.

Masih seakan-akan terdengar gema laungan Merdeka, Merdeka, Merdeka! di dataran


dan stadium seluruh negara sempena Sambutan Perayaan 50 tahun Kemerdekaan
pada 31 Ogos 2007 lalu. Wanita, Pemuda dan Puteri telah tampil dengan gagah dalam
melakar sejarah, sempena sambutan setengah abad pembinaan tamadun negara.
Setinggi-tinggi tahniah kita rakamkan kepada semua.

Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari adalah sayap utama, tulang belakang parti keramat kita, parti Umno.
Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai bidang tugas dan kumpulan sasar berbeza,
namun matlamatnya tetap sama. Sesungguhnya matlamat mulia kita ialah untuk
mendaulat agama, membela bangsa dan membina negara.

Arena pentas juang kita bukan hanya di gelanggang nasional, namun merentas hingga
ke persada internasional. Kejayaan kita kini dari mendasari lautan hinggalah melangit ke
angkasa lepas.

Saudara-saudari adalah saf pejuang parti yang terbukti dalam pilihan raya kecil dan
pilihan raya umum, menjadi barisan hadapan menghadapi parti pembangkang.
Kepintaran, kegagahan dan kesegaran daya juang saudara-saudari membantu
memastikan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan kita yang masih
panjang.

Saudara-saudari adalah pewaris perjuangan dan sumber generasi baru yang sedang
dan bakal menjadi pemimpin bangsa. Pucuk pimpinan dan Majlis Tertinggi sentiasa
mengiktiraf hakikat penting ini. Kita akan terus bersama menyokong idealisme serta
aspirasi saudara saudari. Perjuangan kalian semua akan sentiasa dikenang oleh anak
bangsa dan insya-Allah akan sentiasa dikurnia keberkatan.

Dalam setengah abad negara kita merdeka, Perhimpunan Agung Umno kali ini
menempa sejarah tersendiri. 50 tahun kemerdekaan adalah peristiwa penting sebagai
batu tanda perjuangan sebuah negara bangsa. Tahun-tahun yang berlalu adalah jejak
bertapak negarawan dan pejuang yang telah melakar sejarah demi membina tamadun.

Saudara-saudari adalah pendukung tamadun negara bangsa yang telah dan sedang
dibina. Terpikul di bahu, digalas dan dipangku suatu amanah untuk merencana dan

www.happysus.com 1
9:27:22 AM
2

TEKS UCAPAN

membina peradaban 50 tahun kedua yang sudah bermula pada detik 12 malam 31
Ogos 2007 lalu. Langkah bertapak kita selepas ini adalah jejak-jejak perwira yang akan
menjadi ingatan untuk 50 tahun akan datang.

>> Mengangkasa Tamadun Bangsa

Bangsa kita yang sekian lama berkampung di hulu dan membumi di darat perlu
menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan. Dalam persaingan global
sekarang ini tidak cukup dengan mengantarabangsakan Melayu. Malahan, kita sudah
sampai ke tahap tertinggi iaitu mengangkasakan bangsa kita.

Semuanya bermula dengan impian besar, impian yang kini semakin menjadi realiti.
Peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad diangkat Allah ke langit Sidratul Muntaha,
sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir
oleh manusia.

"Bangsa Angkasa" atau 'space nation' adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian
tertinggi. Bangsa Angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa
Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Kita perlu menggali sains dan
teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana
ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa.
Justeru, 'Mengangkasa Tamadun Bangsa' adalah tema ucapan saya pada tahun
bersejarah ini.

Istilah 'mengangkasa' yang dimaksudkan ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang
dijadikan wawasan, impian dan cita-cita. Ia boleh juga bermakna menggemilangkan atau
memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada kini ke tahap lebih tinggi.

Ia bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha
sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti
pada suatu masa nanti. Tamadun pula bermaksud keadaan masyarakat manusia yang
dicirikan pada taraf kemajuan pembangunan serta perkembangan pemikiran, termasuk
sosial, budaya, politik dan ekonomi yang mencapai tahap yang tinggi. Ia juga dikenali
sebagai peradaban iaitu keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan
rohani sesuatu masyarakat.

Ibnu Khaldun, adalah tokoh sarjana Islam pertama yang membuat kajian khusus
mengenai tamadun dalam bukunya Muqaddimah. Tulisan beliau itu adalah karya kurun
ke-14 sedangkan di Eropah perkataan civilisation hanya mula diungkapkan pada kurun
ke-18. Tamadun Malaysia yang terus kita bina adalah kombinasi peradaban Melayu
Islam dan nilai-nilai yang baik serta universal daripada tamadun China, India, Barat
mahupun Timur. Merujuk kepada istilah bahasa Arab yang lain, tamadun adalah sama
pengertiannya dengan hadarah atau umran.

Apabila diutarakan hasrat mengangkasa hadarah atau tamadun, ia adalah sejajar


dengan gagasan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai gagasan

www.happysus.com 2
9:27:22 AM
3

TEKS UCAPAN

Islam Hadhari, pendekatan Islam yang menekankan aspek tamadun. Hasrat kita di satu
ketika, peradaban yang dibina mampu mencapai tahap terbilang, setinggi dan seluas
angkasa, menjadi rujukan dan tanda aras kepada seluruh dunia.
Jika diteliti dalam perjalanan membina peradaban 50 tahun negara dan 61 tahun Umno,
mengimbau langkah patriot ke arah kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan, ternyata
jalan-jalannya tidaklah terlalu mudah dan tidak juga terlalu sukar. Ketika kita berada di
persimpangan, pemimpin kita telah membuat pilihan yang tepat. Kita tidak mabuk kuasa
tetapi lebih mengutamakan permuafakatan demi membina negara majmuk ini.

Kini, untuk 50 tahun kedua pembinaan tamadun negara, penyambung warisan iaitu
generasi baru kepada pejuang dan rakyat zaman merdeka, sedang meneruskan
perjuangan. Umpamakan sebuah larian berganti-ganti yang panjang, baton larian dan
obor perjuangan itu kini berada di tangan kiri dan kanan setiap kita yang bergelar
pemimpin, besar atau kecil dalam dewan ini serta di luar sana.

Jika saya katakan pewaris pejuang dan pembina peradaban itu adalah kita semua, ya
benar, kitalah orangnya; Mamat dan Dollah, Timah dan Joyah, Sabran dan Suparman;
Fidah, Hisham dan Ani; Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Persoalannya, adakah
kita sudah bersedia, untuk mendukung amanah menggalas perjuangan mengangkasa
tamadun bangsa?

>> Sejarah Pembinaan Tamadun

Membina peradaban memerlukan usaha berterusan. Ia telah dibina ketika zaman


kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka dulu. Ketika itu, rantau kita dikenali
sebagai pusat Tamadun Melayu Islam. Kemudian bangsa kita berpecah dan lemah,
dijajah bersilih ganti selama 446 tahun, hinggalah kita mencapai kemerdekaan.

Dalam memperjuang dan mengisi kemerdekaan, kita terhutang budi yang tiada taranya,
kepada negarawan pembina tamadun negara; Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman,
Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad serta
pemimpin kaum lain juga. Mereka adalah Pengasas Negara Bangsa, Bapa
Kemerdekaan, Bapa Pembangunan, Bapa Perpaduan, Bapa Pemodenan dan pembina
tanah air tercinta ini.

Selepas setengah abad berlalu, kita dapat melihat pembangunan yang mengubah
landskap di bandar-bandar ibu negeri, di Kuala Lumpur dan di Putrajaya. Menara
berkembar KLCC yang tertinggi di dunia tersergam gagah di bumi bertuah. Putrajaya
adalah lambang terbaru dalam usaha pembinaan hadarah.

Aman, makmur, harmoni,


Tamadun bangsa, diangkasakan,
Di tanah air tercinta ini,
Satu idealisme perjuangan,
Mari bersama kita renungi,
Tanpa noktah, tiada kesudahan.

www.happysus.com 3
9:27:22 AM
4

TEKS UCAPAN

Menyingkap khazanah sejarah, selepas wujud peradaban terutama Romawi dan Parsi,
maka Tamadun Islam telah mewarnai kehidupan, menguasai dunia selama hampir 700
tahun iaitu dari kurun kesembilan hingga kurun ke-15. Antara pusat kegemilangan Islam
pada ketika itu selain Makkah dan Madinah ialah Baghdad, Cordova, Bukhara, Damsyik,
Marakesh, Samarkhand, Kufah, Toledo, Isfahan dan Granada. Sedangkan dunia Barat
pula, pada masa itu berada dalam zaman kelam sebelum tibanya zaman pembaharuan.

Namun, mulai kurun ke-15, dunia Barat mengambil alih, menjajah ke serata tempat
untuk menyebar ideologi 3G; Gold, Gospel and Glory atau 3K; Kekayaan, Ketuhanan
dan Keagungan. Akibat pelbagai sebab, Kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh ke tangan
Portugis pada 1511. Maka bermulalah era Tamadun Barat yang cuba disogokkan
kepada kita. Berkat agama Islam, bahasa dan budaya Melayu, jati diri kita, tetap teguh
hingga kini. Kaum Cina dan India yang berhijrah, telah kita terima sebagai rakyat
Malaysia yang sama-sama membangun negara.

>> Lima Teras Mengangkasa Tamadun Bangsa

Memiliki sejarah peradaban yang gemilang itu penting, tetapi yang lebih utama ialah
zaman ini dan akan datang itu mestilah lebih gemilang. Nostalgia warisan lepas adalah
untuk teladan dan sempadan. Pada saat ini, kita di sini dan eloklah pada hari esok dan
lusa, tamadun setinggi angkasa itu sepatutnya sudah berada di depan mata.

Perjalanan yang panjang berliku telah diimbas dengan ringkas untuk mengingatkan kita
kepada kejayaan dan kegagalan. Untuk seterusnya, kita memerlukan ‘peta jalan dan
batu tanda’ perancangan hebat dan pelaksanaan yang cekap bagi memastikan
kegemilangan.

Ucapan ini hanyalah suatu pemangkin terhadap usaha bersepadu membabitkan iltizam
politik, jentera parti dan kerajaan dengan dukungan semua rakyat. Tamadun yang
holistik merangkumi himpunan membabitkan agama, budaya, warisan, bahasa, sejarah,
kesenian, sains, teknologi, kreativiti, inovasi, bangunan, gedung ilmu, prasarana desa,
pekan, kota dan kehidupan masyarakat sesebuah negara.

Justeru, pada pandangan saya, untuk mengangkasa tamadun bangsa, kita memerlukan
lima teras utama berikut:

• Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju,


• Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan,
• Agama dan budaya sebagai asas peradaban,
• Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan; dan
• Kestabilan politik sebagai prasyarat.

>> Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju

Dalam ucapan pada 2005 di perhimpunan ini, saya mengutarakan perlunya 'Menjana
Melayu Glokal' iaitu Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Kita hebat

www.happysus.com 4
9:27:22 AM
5

TEKS UCAPAN

dalam negara dan kita berperanan di arena antarabangsa bertunjangkan kepada


budaya Melayu dan ajaran Islam yang mulia. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun
akal kita menerjah ke seantero dunia.

Dalam mengangkasa tamadun bangsa, Melayu Glokal adalah suatu dimensi baru yang
menuntut kita melonjak ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing untuk
berlumba menjadi yang terbaik di pentas dunia. Glokalisasi pula ialah suatu proses
pemikiran dan perlakuan dalam kehidupan manusia yang ingin hebat di arena global di
samping cemerlang di medan lokal. Pemikiran glokal ini, hendaklah direalisasikan oleh
semua agar dapat bersama membina negara yang berjaya.

Terpenting untuk menjadi Melayu Glokal ialah melalui minda yang diasah dan diasuh
dengan sempurna. Maka, pada tahun lalu di perhimpunan ini, saya menyarankan untuk
'Memacu Minda Melayu'. Bermula daripada otak yang sihat, terbentuklah minda, akal
dan pemikiran iaitu kunci untuk membuka pintu kejayaan.

Jika kita ingin maju, gunakanlah kapasiti minda ke tahap maksimum untuk bertarung di
gelanggang dunia. Sesungguhnya, pertarungan pada masa kini dan masa hadapan
adalah pertarungan minda.

Lantaran itu, minda Melayu perlu dipacu dengan pembelajaran dan latihan mengenai
pemikiran positif, kreatif, lateral, proaktif dan inovatif. Saya telah menyarankan agar
perlunya mengubah minda Melayu melalui kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai
satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, melalui pegangan akidah dan terus
membina generasi muda.

Semuanya ini adalah resipi untuk kekuatan mental bangsa Melayu Glokal yang
berminda kelas pertama.

Kita perlu mencipta pemikiran baru dalam persekitaran dan realiti baru agar roh
perjuangan sentiasa segar dan relevan. Maksud pemikiran baru ialah berfikir dalam
kerangka minda mengikut peredaran masa, kreatif dan inovatif mencipta metodologi
baru dalam membawa perubahan.

Selain kuasa politik dan kuasa ekonomi, pada hemat saya, kuasa minda adalah yang
terpenting dan mesti dimiliki bagi memastikan kegemilangan tamadun yang sedang
dibina.

Dengan semangat glokal dan kuasa minda yang hebat, maka kejayaan demi kejayaan
akan terus kita capai. Contohnya, tepat jam 9.21 malam, 10 Oktober 2007 yang lalu,
pada malam 28 Ramadan, seluruh negara dan dunia Islam seharusnya bergembira
kerana dikurniakan seorang angkasawan, Dr Sheikh Muszhapar Shukor.

www.happysus.com 5
9:27:22 AM
6

TEKS UCAPAN

Beliau berjaya sebagai angkasawan meneroka alam ciptaan Tuhan, mengharumkan


Malaysia dan menjadi orang Melayu Islam pertama berada dalam bulan Ramadan dan
Syawal di angkasa lepas. Ini adalah contoh kejayaan secara literal, maksud
mengangkasa tamadun bangsa yang menjadi tema ucapan saya.

Seorang lagi, Mejar Dr Faiz Khaleed juga telah berjasa, sebagai sahabat pemberi
semangat dan angkasawan pasukan kedua. Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)
menjadi frasa baru perbualan kita, di mana juga. Perkataan angkasawan disebut dalam
istilah aeroangkasa seumpama astronaut Amerika dan cosmonaut Rusia.

Kejayaan sempena 50 tahun kemerdekaan ini tercatat dalam lipatan sejarah dengan
tinta emas yang terukir sepanjang zaman. Kita akan terus melangkah ke era
penerokaan baru untuk memahami ilmu dan teknologi aeroangkasa. Usaha ini bukan
sekadar menghantar seorang angkasawan, tetapi adalah simbol impian satu bangsa
yang boleh mencapai kejayaan setinggi bintang.

Kejayaan ini juga memberi semangat bahawa sebenarnya anak Melayu, anak Malaysia
mampu mencapai ke puncak pelbagai kegemilangan. Maka, di perhimpunan bersejarah
ini, kita merakamkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan angkasawan negara.
Mudah-mudahan ia akan terus menjana motivasi di kalangan anak bangsa, menjadi
idola generasi muda dan teladan rakyat Malaysia untuk menempa nama dalam semua
bidang agar menggenggam kemanisan kejayaan perjuangan.

Dalam masa kurang 48 jam, antara 21 dan 23 Oktober 2007, negara sudah mencipta
tiga sejarah pada peringkat antarabangsa. Pada masa itu, Dr Sheikh Muszaphar
selamat mendarat di bumi, berjaya melengkapkan misi sebagai angkasawan pertama
negara.

Di Perancis, kapal selam tercanggih, Scor pene dilancarkan dengan nama KD Tunku
Abdul Rahman, menjadi kapal selam pertama negara. Sementara itu, Menteri Pelajaran
kita pula berjaya menjadi Ahli Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi bagi
rantau Asia Pasifik. Ini adalah simbol kejayaan yang unik dan menjadi peristiwa
bersejarah, sebagai petanda cita-cita mengangkasa tamadun bangsa adalah usaha
yang bukan khayalan.

>> Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan

Perubahan zaman telah menukarkan penekanan terhadap faktor modal tanah,


bangunan dan wang, kepada yang lebih utama iaitu modal insan. Kita ingin membina
generasi yang disebut Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 100, sebagai
Ulul Al-Bab, generasi yang mempunyai pemikiran bernas, menggunakan akal fikiran,
cerdik dan bijaksana untuk membina kehidupan.

www.happysus.com 6
9:27:22 AM
7

TEKS UCAPAN

Generasi ini adalah insan yang terampil dengan pekerti dan akhlak termulia, lengkap
dengan ilmu dan kefahaman agama, malah pada ketika yang sama mahir dalam
pelbagai bidang. Mereka adalah graduan pelbagai jurusan, doktor pakar, akauntan
bertauliah, jurutera, arkitek dan peguam serta usahawan tulen. Sementara, jiwa dan
pekerti mereka adalah penuh dengan keimanan dan ketakwaan.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
yang dilancarkan tahun ini juga menuju ke arah membina generasi Ulul Al-Bab, insan
berminda saintifik dan bertaqwa. Ia telah ditegaskan dalam ucapan dasar Presiden
sewaktu Perhimpunan Agung Umno tahun 2006 mengenai pembinaan masyarakat Ulul
Al-Bab yang membolehkan ummah mendaki tangga kemajuan hingga ke puncak
kejayaan.

Firman Allah yang pertama daripada keseluruhan ayat al-Quran adalah Iqra' iaitu
Bacalah. Tafsiran yang luas terhadap Iqra’ ialah pendidikan menyeluruh dari buaian
hingga ke liang lahad, dalam segala aspek ilmu dunia akhirat. Jika bangsa Melayu dan
umat Islam menghayati, mengamalkan semangat Iqra' , suruhan menuntut ilmu, maka
kita yakin kegemilangan peradaban akan dapat dibina semula.

Pada setiap tahun, satu angka yang besar pelajar keluaran sekolah menengah di
negara ini tamat alam persekolahan dengan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM), tanpa memiliki kemahiran lain. Angka ini perlulah dikurangkan secepat mungkin.
Mereka mesti dicari dan diberi pelbagai latihan yang sesuai dengan pasaran semasa
industri dan keperluan negara. Memberi kemahiran kepada anak bangsa dan peluang
kali kedua ini, mestilah diberikan fokus bersepadu dan tindakan segera oleh semua
pihak yang berkaitan.

Generasi baru Felda misalnya sedang melalui transformasi dilatih melalui falsafah jika
generasi pertama meneroka ladang, generasi seterusnya perlu meneroka minda.
Setakat tiga tahun ini, lebih 19,000 orang telah dan sedang diberi pelbagai kemahiran
termasuk 169 bakal menjadi jurutera penyelenggaraan pesawat. Lulusan dari Malaysia
Airlines Engineering Training Centre (METC) ini mempunyai pengiktirafan antarabangsa
dan boleh berkhidmat di serata dunia. Mereka bakal menjadi generasi glokal, walaupun
asalnya dari rancangan nun jauh di luar bandar.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah diluluskan pengambilan 200,000 pelajar
menjelang tahun 2010 sedang giat melaksanakan keputusan itu. Kampus baru UiTM
dilancarkan di Kuala Pilah, sementara kampus di Puncak Alam serta Fakulti Perubatan
dan Pergigian di Sungai Buluh sedang dalam pembinaan. Kampus negeri kedua di
Tapah, di Bukit Besi dan di Bertam, serta Kampus Kota di Johor Baru, Melaka dan di
Kota Bharu sedang dalam pelaksanaan. Sejumlah 22 kolej francais sudah mula
beroperasi membantu UiTM mencapai hasrat 200,000 pelajar itu.

www.happysus.com 7
9:27:22 AM
8

TEKS UCAPAN

Sebagai sumbangan Umno secara langsung kepada pendidikan anak bangsa, Universiti
Tun Abdul Razak (UniTAR) sekarang ini dimiliki sepenuhnya oleh parti kita. UniTAR
setelah disusun dan distrukturkan sepenuhnya akan menjadi universiti yang khusus
dalam bidang keusahawanan dan pengurusan kepimpinan.

Kurikulumnya sedang dibangunkan bersama Babson College Amerika Syarikat, sebuah


kolej nombor satu di dunia dalam bidang pendidikan keusahawanan. Semuanya ini
menjadi bukti usaha kita untuk merungkaikan lambakan ketempangan bangsa yang
telah bertimbun sekian lama.

Kini, terdapat lebih 330,000 siswa-siswi di IPTA seluruh negara. Daripada angka itu,
lebih 200,000 atau 60 peratus setiap tahun adalah siswi yang berumur puteri, bakal
menjadi wanita muda yang profesional. Bayangkan kekuatan puteri pelbagai kaum itu
yang bakal bekerja di seluruh pelosok negara. Bayangkan kekuatan Puteri Umno dan
juga Pemuda jika siswa-siswi Melayu itu suatu ketika nanti menjadi ahli Umno dan turut
bersama mengangkasa tamadun bangsa. Bayangkan ibu bapa yang merasa amat
bahagia kerana melahirkan generasi yang berjaya.

Percayalah bahawa umat Melayu boleh maju. Percayalah bahawa kita boleh berjaya.
Kita boleh maju dan berjaya untuk mencapai apa saja citra dan cita-cita mulia. Syarat
utamanya ialah melalui ilmu dan pendidikan. Oleh itu, pelaburan terpenting sesebuah
keluarga Melayu bukan untuk memiliki tanah, rumah dan kereta besar saja. Namun,
yang nombor wahid adalah untuk memastikan anak-anak, cucu-cicit kita menguasai ilmu
dan berjaya dalam pendidikan setinggi mungkin.

>> Agama dan budaya sebagai asas peradaban

Mendaulatkan Islam adalah perjuangan mulia yang wajar dikekalkan dalam sebuah
negara Islam Malaysia. Umno adalah peneraju, pembela, pejuang agama kita yang suci.
Jangan kita tergelincir daripada landasan kebenaran dan menggadai prinsip untuk
mendaulatkan agama. Pendekatan Islam Hadhari adalah contoh kreatif pemikiran yang
melihat Islam melebihi kebiasaan daripada agama yang hanya berbentuk ritual. Pada
ketika yang sama, hak kebebasan kaum lain untuk mengamalkan agama mereka tetap
termaktub dalam Perlembagaan negara.

Hakikatnya, Islam adalah suatu budaya, cara hidup yang syumul dan sempurna
mencakupi keseluruhan hal kehidupan. Islam adalah mengenai akidah, syariah, akhlak
dan juga aspek pembangunan. Umat Islam wajar menjadi contoh termasuk dalam
mencipta sejarah dan membina personaliti terbilang sebagaimana pada zaman
kegemilangannya. Perbalahan soal ritual dan tertutupnya minda, terhadap kepentingan
menguasai kedua-dua ilmu wahyu dan ilmu duniawi hanya akan melemahkan kita.

www.happysus.com 8
9:27:22 AM
9

TEKS UCAPAN

Sewaktu Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam berlangsung pada awal
tahun ini di Kuala Lumpur, bertema "Sains Islam Mendahului Zaman", telah dihimpunkan
150 ciptaan ilmuwan Islam yang menakjubkan. Teknologi sains itu memberi anjakan
paradigma baru dalam bidang astronomi, geografi, navigasi, penerokaan alam,
perubatan, matematik, kesenian, arkitek dan pelbagai lagi.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam sebuah hadis antara lain bermaksud:
"Barang siapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah
memudahkan baginya satu jalan menuju Syurga...". Cendekiawan Islam dulu pastinya
telah mentafsir hadis ini dengan persis sekali hingga menghasilkan pelbagai kejayaan
dalam membina tamadun manusia.

Nama-nama besar dalam sejarah tamadun Islam telah termaktub sebagai saintis,
pencipta dan cendekiawan. Ibnu Sina yang dilahirkan pada 980 Masihi adalah seorang
tokoh perubatan dunia yang terulung. Bukunya Al-Qanun Fil Tabib diterjemahkan ke
dalam 15 bahasa dan menjadi rujukan beratus-ratus tahun dalam bidang perubatan.
Sebuah buku beliau yang lain menghuraikan 760 jenis penyakit.

Al-Farabi pula digelar Aristotle kedua, adalah ahli falsafah Islam yang terkenal. Al Razi
telah menghasilkan 200 karangan termasuk buku dan majalah dalam bidang sains,
sejarah dan falsafah. Al-Hazen mahir dalam bidang falak, matematik dan geometri. Jabir
Ibnu Haiyan dikenali sebagai bapa ilmu kimia moden. Al-Zahrawi adalah seorang pakar
bedah manakala Al-Khawarizmi sarjana matematik dan astronomi. Sementara Al-
Ghazali pula adalah seorang ulama tafsir, tasawuf dan falsafah yang telah menulis 300
buah kitab.

Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk mencapai ke tahap kehebatan cendekiawan
Islam yang disebut itu. Namun, jika kita selalu alpa, buat kerja alang-alang dan alon-alon
(bahasa Jawa yang bermaksud lambat-lambat), dengan pelbagai alasan, maka alamat
akan alah atau kalah kita di gelanggang persaingan dalam alaf yang mencabar.
Semuanya juga bermula dengan al – alpa, alang-alang, alon-alon, alasan, alamat kita
alah dalam alaf ini.

Apa yang kita usahakan ini adalah sesuai dengan firman Allah dalam surah Ar-Rahman
ayat 33 yang bermaksud: "Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat
menembusi (menjangkau) keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi, maka cubalah
menembusi keluar. Kamu tidak akan menembusi keluar melainkan dengan satu
kekuasaan".

Tafsiran semasa ayat ini adalah merujuk kepada istilah kekuasaan untuk merentasi
langit dan bumi. Kekuasaan boleh diertikan sebagai kekuatan minda dan ilmu
pengetahuan, sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kekayaan

www.happysus.com 9
9:27:22 AM
10

TEKS UCAPAN

harta benda, serta sikap mereka yang ingin berjaya seperti mengamalkan budaya
ketepatan. Setelah dirancang dan diusahakan dengan penguasaan ilmu dan budaya
kerja yang hebat, dengan izin Allah SWT jua, merentasi langit dan bumi akan menjadi
realiti.

>> Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah Melayu masih belum menguasai ekonomi yang
sewajarnya. Kita mesti terbabit dengan aktif dalam bidang ekonomi, barulah pengagihan
kekayaan itu merata sifatnya. Kaedah kongsi kuasa pelbagai kaum di negara ini
sepatutnya bukan hanya dalam politik tetapi tidak kurang penting ialah berkongsi kuasa
ekonomi. Kita tidak berhasrat untuk merampas hak orang lain. Namun, yang kita
kehendaki ialah sepotong kek yang lebih saiznya daripada kek ekonomi yang sudah
tentunya semakin membesar. Ini adalah satu usaha untuk kita melangsai himpunan
kelemahan bangsa yang terkumpul sekian lama.

Ada pemimpin pembangkang Melayu pernah menyebut bahawa Dasar Ekonomi Baru
(DEB) perlu ditolak kerana memperkayakan sebilangan kecil Melayu dan menuduh
hanya tiga empat kerat saja yang dapat. Dasar Ekonomi Baru sebenarnya telah
mewujudkan banyak kejayaan seperti menambah golongan menengah Melayu.

Kejayaan lain ialah menambah bilangan akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, doktor
veterinar, jurutera, juru ukur dan peguam Melayu kepada 42,414 orang atau 38.8
peratus. Ini ialah daripada 109,532 orang profesional sebagaimana data laporan
Rancangan Malaysia Kesembilan. Angka 42,414 orang Melayu ini bukannya tiga atau
empat kerat, berbanding pada awal DEB, profesional Melayu hanyalah lima peratus atau
225 orang saja. Pihak pembangkang jangan sekali-kali cuba memalsukan fakta yang
benar!

Selain angka itu, ratusan ribu orang Melayu lagi adalah hasil produk DEB, lulusan
pelbagai universiti, juga adalah anak kelahiran dasar ini. “Anak-anak DEB”
kebanyakannya adalah dari pekan dan desa yang asalnya serba kekurangan,
termasuklah sebilangan besar yang berada dalam dewan ini. Seorang Melayu yang
menjadi ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang terkemuka di negara ini,
menguruskan berbilion ringgit urusan syarikat, mengakui bahawa beliau adalah anak
seorang buruh, bersyukur dan bangga menjadi anak DEB.

Oleh itu, selagi Umno ada, selagi hayat dikandung badan, kita akan sentiasa berjuang
untuk meneruskan agenda ekonomi Melayu. Agenda ini bukan saja untuk kebaikan kita,
tetapi untuk perpaduan seluruh rakyat di Malaysia.

Melayu mesti menjadi bangsa yang hebat dan terbukti telah melayari lautan, mendaki

www.happysus.com 10
9:27:22 AM
11

TEKS UCAPAN

gunung tertinggi, merentasi, menerjuni kutub dan merenangi selat. Kita sedang
mencuba ekspedisi ekstrim di tujuh benua, berbasikal mengelilingi dunia, meredah
samudera juga meneroka angkasa. Namun, Melayu mesti juga hebat dalam
penguasaan ekonomi, berniaga di arena antarabangsa, bersaing dalam persekitaran K-
ekonomi, hebat mencipta dengan memiliki paten dan harta intelek, menceburi bidang
perniagaan strategik dan menguntungkan. Barulah kita boleh menjadi bangsa yang
berdarjat dan membina tamadun yang bermartabat.

Atas prinsip pengagihan ekonomi yang adil dan perkongsian kuasa ekonomi, maka
kerajaan telah melancarkan tiga koridor baru pembangunan wilayah. Wilayah
Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah
Ekonomi Koridor Timur (ECER) adalah usaha yang bukan satu fatamorgana atau pun
mimpi di siang hari. Wilayah Ekonomi Sabah dan Sarawak juga akan dilancarkan.
Dalam beberapa tahun akan datang, transformasi yang besar kepada landskap
pembangunan sosioekonomi di merata tempat seluruh negara akan berlaku. Hasrat kita
ialah agar tiada kelompok yang tidak akan merasai nikmat pembangunan negara.

Kelima-lima wilayah ini adalah ilham Presiden dan Perdana Menteri, dibantu kita semua
bagi membangunkan negara agar akhirnya tamadun yang dibina adalah lebih seimbang
dan tidak berpusat hanya di Lembah Klang. Paling mustahak ialah pembabitan kita
mengambil inisiatif dan peluang dalam pembangunan wilayah-wilayah itu. Jangan sekali
lagi untuk sekian kalinya, peluang sebesar ini kita lepaskan berlalu tanpa berbuat
sesuatu, untuk membuat lonjakan berganda, memperkasa ekonomi bangsa dan negara.

Sehubungan itu, “budaya wiraswasta” dan karier sebagai usahawan mestilah


ditanamkan sejak di bangku sekolah dan menara gading lagi. Merujuk Kamus Dewan
2007, wiraswasta ialah orang yang bijak dan berkebolehan dalam mengusahakan
perniagaan dan perdagangan secara profesional. Kita berharap syarikat GLC akan terus
melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu menggandakan usahawan Melayu
termasuklah wiraswasta wanita yang berdaya saing dan berdaya tahan. 50 GLC juga
sedang menempa kejayaan berkat kegigihan pengurusan dan profesional yang
majoritinya Bumiputera.

Pada masa yang sama, kita mesti mencari formula seumpama tongkat ali dan kacip
fatimah bagi meningkatkan daya tahan ahli perniagaan Melayu dalam persaingan
kampung sejagat yang semakin menggugat. Antara formula daya tahan usahawan ialah
melalui peningkatan ilmu dan kemahiran berdagang. Berniaga adalah seumpama
berenang di dua lautan; merah dan biru. Saya telah merujuk mengenai “Strategi Lautan
Biru” yang menekankan hal mencipta pasaran tanpa saingan dan kaedah menjadikan
persaingan tidak lagi relevan. Jangan berenang di lautan merah yang penuh dengan
persaingan berdarah.

Bidang perniagaan baru wajarlah diterokai oleh ahli perniagaan Melayu. Antaranya ialah

www.happysus.com 11
9:27:22 AM
12

TEKS UCAPAN

pengeluaran produk halal, bidang perubatan, logistik, bioteknologi, pertanian moden,


kewangan Islam, aeroangkasa, minyak dan gas, pelancongan dan animasi. Ribuan
graduan lulusan universiti atau yang makan gaji dengan syarikat, wajar menjadi
usahawan, berani menghadapi risiko setelah mendapat ilmu dan latihan yang cukup.
Setelah semuanya diusahakan, kita mahu suatu ketika nanti wujud sekumpulan
usahawan yang mantap, generasi wiraswasta bangsa yang akan berjaya menguasai
ekonomi negara.

>> Kestabilan politik sebagai prasyarat mengangkasa tamadun

Kestabilan politik adalah prasyarat kepada tamadun yang ingin kita bina dengan
bercirikan keamanan, keharmonian serta kemakmuran. Realiti politik di negara ini
menghendaki kita terbabit dan memenangi pilihan raya. Kemenangan pula hendaklah
dengan majoriti lebih dua pertiga untuk memerintah dengan berkesan demi memastikan
kestabilan.

Tahun hadapan adalah tahun keempat dalam penggal pilihan raya kali ke-11 ini. Tarikh
pilihan raya ke-12 kita serahkan kepada Perdana Menteri. Sekarang ini radar politik
semakin jelas dan suhu politik semakin panas. Paling penting ialah persiapan kita untuk
menghadapi pilihan raya. Bukanlah persediaan itu maknanya menempah 'bush jacket'
baru atau baju kurung bergemerlapan. Atau mula mengadu domba dan ke sana sini
membawa salinan biodata diri.

Jika kita telah ditakdirkan dipilih, maka terpilihlah kita. Sama ada terpilih atau tidak,
terimalah segalanya dengan reda, kerana setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya.

Persiapan yang saya maksudkan ialah pengaktifan jentera pilihan raya di cawangan,
peti undi, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bahagian di seluruh negara. Terdapat
sekurang-kurangnya 15 portfolio dalam jawatankuasa pilihan raya. Jangan ia hanya
berada dalam laporan atau atas softboard di bilik gerakan. Ia wajar bergerak secara
nyata di akar umbi, mengadakan pelbagai aktiviti menemui rakyat serta turun padang
dalam erti kata yang sebenar.

Keyakinan kita mengulangi kejayaan dalam pilihan raya akan datang ini adalah sangat
berasas. Tahniah atas kerjasama dan kerja keras semua, maka Pas telah tewas di
Kuala Berang. Kemudian Pas terlepas kerusi Pengkalan Pasir dan Bebas hilang deposit
di Batu Talam. DAP pula tertiarap di Machap dan PKR kecundang di Ijok.

Kita menang dengan majoriti yang cemerlang kerana sokongan rakyat yang mantap
kepada parti keramat Umno dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang bersyarah

www.happysus.com 12
9:27:22 AM
13

TEKS UCAPAN

bagai halilintar, terbukti rakyat dan pengundi adalah lebih pintar. Mereka bijak memilih
yang mana kaca dan yang mana permata.

Pas, PKR dan DAP tidak akan mampu untuk mengatasi rekod kecemerlangan Barisan
Nasional. Selama 50 tahun memerintah, Barisan Nasional telah berlaku adil untuk
manfaat semua di tanah air tercinta. Berkat amal soleh kita yang cekap memimpin,
berkat pembelaan kita kepada agama, bangsa dan negara, insya-Allah, Barisan
Nasional akan terus menjadi pilihan dan akan terus menguasai kerajaan.

Jika berkata, dari kalbu,


Bila berjanji, orang percaya;
Mari kita, bersatu padu,
Untuk menangi, pilihan raya.

Bila berjanji, orang percaya,


Perlu diingat, jati diri;
Untuk menangi, pilihan raya,
Membela rakyat, membangun negeri.

Saya ingin mengulangi pendekatan 4M sebelum ini sebagai formula kesiagaan parti kita
menghadapi pilihan raya. M pertama ialah merapatkan barisan antara sesama Umno,
Wanita, Pemuda, Puteri dan parti dalam komponen Barisan Nasional. M kedua ialah
menambah ahli dan pengundi yang sewajarnya sentiasa diteruskan. M ketiga ialah
mesra rakyat membabitkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya.
Sementara M keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan
cekap serta berkesan.

Kita perlu menambat hati serta minda orang ramai terhadap apa yang kita lakukan. Ada
dua kaedah utama untuk menarik hati rakyat iaitu dengan melakukan perkara yang
rakyat suka dan menghindarkan perkara yang mereka benci. Sesiapa pun suka
terhadap kebajikan, pembelaan, cepat menyelesaikan masalah, kerja kuat, ceria, mudah
didekati dan sederhana. Khidmat yang baik kepada rakyat tidak mengira masa; siang,
malam, pagi, petang, subuh mahupun senja.

Apabila hati rakyat sudah tertambat – umpama dara dan teruna yang sedang berkasih
akan membawa ke jinjang pelamin – nescaya sokongan rakyat kita dapat. Bila Barisan
Nasional menang, rakyat akan senang! Rekod Barisan Nasional sememangnya
membawa kesenangan kepada rakyat dalam bentuk prasarana asas, pendidikan

www.happysus.com 13
9:27:22 AM
14

TEKS UCAPAN

percuma, kesihatan, pertanian era baru, peluang pekerjaan, perniagaan, pembuatan,


perkhidmatan dan kehidupan yang berkualiti.

Pada ketika yang sama, kita perlu turut memerangi jenayah dan saling ambil peduli
kesengsaraan orang lain demi memastikan ketenteraman awam. Kadang-kadang kita
terlupa bahawa keamanan tidak terjadi dengan sendiri. Ada negara yang sentiasa
bergolak disebabkan pelbagai hal. Mereka mati berperang dan kebuluran. Sebaliknya
orang kita pula mati kemalangan jalan raya atau sebab tidak menjaga makan. Tidak
dinafikan ada perkara yang boleh dibaiki, namun secara umumnya, rakyat berpuas hati
hidup aman, makmur dan harmoni.

>> Cabaran Mengangkasa Tamadun Bangsa

Sebagai satu bangsa, orang Melayu tidak mampu lagi berpecah. Sejarah adalah guru
terbaik kehidupan agar kita tidak mengulangi kekhilafan. Jika perpecahan berlaku,
bererti semua mengundang padah kerana ia akan menyebabkan pemerintahan yang
kita tunjangi mengecil dan akhirnya menyusahkan bangsa sendiri. Inilah antara cabaran
utama dalam usaha kita mengangkasa tamadun bangsa.

Perpecahan bangsa yang berlaku di atas perbezaan politik akan membawa petaka.
Mereka yang sentiasa benci kepada segala usaha pemimpin Melayu yang ditunjangi
Umno adalah sebenarnya melemahkan bangsa. Pemimpin pembangkang pernah
menganjurkan agar perubahan dibuat secara demonstrasi jalanan dan sering memutar
belit isu agama untuk mendapatkan sokongan.

Sedarilah, realiti politik hari ini yang mana kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh jika kita
bertikai dan berpecah. Kelemahan politik dan ekonomi akan mengembalikan orang
Melayu ke zaman sebelum merdeka di mana kita daif, lekeh dan tidak ada jati diri.
Ingatlah, bahawa bangsa yang malas akan malap, bangsa yang merempit akan
merempat dan bangsa yang tiada wawasan akan ditewaskan.

Perpecahan juga akan menjejaskan umat Islam Malaysia yang dianggap contoh. Tentu
semua tidak mahu apa yang terjadi di beberapa negara Islam yang berkonflik berlaku di
negara kita. Jauhkanlah bencana ini dan bersatulah kerana apabila kuasa tidak ada lagi
di tangan, maka tangisan air mata darah sekalipun tidak akan bermakna. Pantun ini
wajar dijadikan hembusan iktibar:

Tegak rumah, kerana sendi,


Runtuh sendi, rumah binasa;
Tegak bangsa, kerana budi,
Runtuh budi, bangsa binasa.

www.happysus.com 14
9:27:22 AM
15

TEKS UCAPAN

Jika berfikir, jangan termenung,


Mencari idea, kerja berkat;
Bulat air, kerana pembetung,
Bulat manusia, kerana muafakat.

>> Penyelesaian Pertikaian

Apabila kita bercakaran, maka perlulah dicari jalan penyelesaian. Saya pernah
menyebut falsafah tiga hujung orang Bugis dalam menyelesaikan perbalahan. Hujung
pertama ialah hujung lidah, iaitu melalui perbincangan, dialog dan musyawarah. Hujung
kedua ialah hujung "anunya" itu, berdamai melalui perkahwinan dengan membina
silaturahim dan keluarga. Hujung ketiga ialah hujung keris iaitu melalui peperangan dan
pertumpahan darah. Ini adalah pilihan terakhir, selalunya tidak akan diguna sebab telah
memadai dengan dua hujung sebelumnya.

Begitulah kaedah penyelesaian konflik salah satu suku kaum Melayu kita yang elok
untuk dijadikan teladan. Namun, simbolisme keris dalam budaya Melayu membawa erti
yang pelbagai mengikut era dan waktu. Ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
mengisytiharkan bahawa tarikh merdeka adalah pada 31 Ogos 1957, dalam program
khas di Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956, Wanita Umno telah menyerahkan
sebilah keris berumur 100 tahun yang kemudian dihunus sebagai tanda kejayaan
perjuangan dengan disaksikan penuh kebanggaan oleh semua kaum.

Jadi, apabila Pemuda Umno menjadikan keris Panca Warisan sebagai simbol, dikucup
dan dihunus, tidak wajarlah ia dijadikan isu khasnya oleh pihak pembangkang. Pemuda
bukan mengisytiharkan perang, tetapi menegaskan perjuangan untuk membela nasib
bangsa dalam ruang lingkup hak serta perlembagaan negara. Janganlah dikelirukan
maksudnya hingga boleh menjejaskan perpaduan negara. Perpaduan adalah amat
penting demi menjaga kerukunan hidup dalam kerencaman kaum dan agama.

Mari kita mengambil iktibar daripada kisah penderma dan penerima jantung baru-baru
ini yang merentas sensitiviti antara kaum. Adik Muhammad Fikri Nor Azmi, 17 tahun,
telah menjalani pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 15 Disember
2005. Beliau telah menerima jantung daripada seorang penderma bukan Melayu.
Sekarang beliau sihat dan hidup normal seperti remaja lain.

Satu kes yang terbaru, setelah setahun menunggu, pada 5 Oktober 2007, adik Tee Hui
Yee, 14 tahun, dibedah setelah menerima jantung yang didermakan oleh seorang
remaja Melayu dan kemudiannya jantung seorang remaja Cina yang meninggal dunia
akibat kemalangan jalan raya. Pasukan pembedahan IJN membabitkan 34 orang doktor
dan pembantu pakar terdiri daripada 24 orang Melayu, lima orang Cina dan lima orang
India diketuai oleh Datuk Dr Azhari Yakub dan Dr Mohamad Ezani Md Taib.

www.happysus.com 15
9:27:22 AM
16

TEKS UCAPAN

Inilah dua kisah benar yang menyentuh hati, menjadi lambang perpaduan yang amat
unik dan bersejarah. Kisah ini elok kita jadikan teladan yang berupaya merapatkan
hubungan kaum dan amat baik untuk dijadikan resipi dalam mengangkasa tamadun
bangsa. Ia juga adalah lambang kejayaan kepakaran perubatan dan lambang kehebatan
profesional bangsa kita.

>> Nilai Mulia Tamadun

Melayu mampu bekerja kuat, boleh berdisiplin, selalunya taat, mengutamakan


kesepakatan, sanggup berjuang demi kebenaran dan saling membantu. Istilah "kulaan
mengayuh berumbai" dalam bahasa Banjar misalnya, membawa maksud saudara yang
bekerja bersama-sama. Mari kita bina bangsa ini atas kekuatan nilai murni agar kita
sentiasa dihormati. Ayuh kita belajar juga daripada kekuatan bangsa lain. Kita mesti
mengamalkan suruhan Islam yang indah lagi universal. Segera kita membina kekuatan
diri berteraskan nilai mulia dan wawasan yang dikongsi bersama.

Perjuangan pemimpin dan ahli Umno selama 61 tahun wajar dimuhasabah agar
sentiasa menuju ke arah kemuliaan. Perjuangan dulu banyak mengorbankan harta,
masa, tenaga secara sukarela. Kini, semuanya membabitkan bayaran, kos dan imbuhan
dengan pelbagai faedah dan kaedah. Dulu, tiada rasuah politik atau politik wang.
Sekarang untuk bertanding G7 dan G2 pun ada gejala politik wang. Semuanya ini
mestilah dikuburkan jika perjuangan kita hendak dimurnikan.

Seorang veteran Umno berpesan dalam bentuk sindiran mengenai nilai politik sekarang
ini menyebut:

Tebang buluh dengan kapak,


Bila hulur baru nampak.
Ada duit, mudah dikuit,
Tiada wang, tergolek seorang.

Sejajar dengan nilai mulia juga, perjuangan kita wajar sentiasa diperbaiki agar ia lebih
berkesan. Usaha untuk menambah "inovasi yang bernilai" adalah sesuai dengan konsep
'value innovation' dalam ilmu pengurusan terkini. Tidak cukup dengan kaedah lama
dalam melaksanakan aktiviti. Umpamanya, petugas parti menggunakan pembaris dan
pensil untuk memeriksa daftar pemilih.

Era kini perlu dilengkapkan dengan kecanggihan pelbagai jenis komputer untuk tugasan
seumpama itu. Contohnya sebuah 'Personal Digital Assistant' (PDA) sebesar dompet
boleh memuatkan seluruh data yang terperinci mengenai pengundi di sesebuah

www.happysus.com 16
9:27:22 AM
17

TEKS UCAPAN

kawasan.

Dulu cukup sekadar menghantar surat untuk sesuatu permohonan. Kini kita mengguna
laman web, portal, e-mail, SMS dan MMS. Dulu pejabat wakil rakyat cukup sekadar di
satu ruang rumah kedai. Kini sudah banyak pejabat dan pusat servis bergerak seperti
menggunakan van. Ini adalah contoh penambahbaikan terhadap perkhidmatan kita
kepada rakyat.

>> Semangat Juang

Mengimbas kembali sejarah untuk mencapai kemerdekaan, yang wajar dijadikan


teladan ialah kekayaan semangat juang pada ketika itu walaupun mereka miskin harta.
Ramai yang sanggup berjalan jauh, menderma gelang emas, naik basikal tua,
menumpang lori ikan, berkorban wang, masa, tenaga secara sukarela hanya ingin
terbabit dalam gerakan memerdekakan negara.

Mereka masa itu miskin harta tetapi kaya dengan semangat juang. Setelah masa
berubah, kini kita berkuasa, sistem nilai juga semakin berbeza. Awas! asakan nilai
materialisme boleh melebur jati diri. Kepada generasi muda yang tetap cinta dan
kasihkan perjuangan parti Umno ini, dirakamkan tahniah atas segala kesetiaan. Kepada
generasi lama, yang terus-terusan mencurah bakti selama ini, tidak terbalas jasa
mereka kepada ibu pertiwi.

Tidak dinafikan wujud kelemahan di kalangan kita seperti kurang gemar membayar
hutang, kurang menepati masa, kurang tekun, kurang suka kepada kerja tertentu hingga
menyebabkan kebanjiran tenaga asing.

Tentunya ini semua perlu diubah kepada budaya baru, budaya yang kaya dengan
semangat juang seperti generasi terdahulu. Segera kita bebaskan sikap negatif yang
bersangkar dalam kepompong diri. Ayuh kita suburkan semangat sukarela untuk
membela agama, bangsa dan negara. Marilah kita menjadikan perjuangan suci ini
sebagai suatu jihad dan amal soleh yang pahalanya adalah berpanjangan.

Kita perlu mengguna dan meneruskan segala kebijaksanaan dan pragmatisme yang ada
demi memperkasa usaha untuk melonjak ke mercu jaya. Kedua-dua sifat ini adalah
contoh ciri utama kepemimpinan transformasi iaitu kepemimpinan yang berwawasan
dan berkesan dalam tindakan bagi membangun bangsa dan mentadbir negara.
Pemimpin transformasi akan sentiasa berjuang untuk mengubah kegagalan kepada
kejayaan dan kemunduran kepada kemajuan.

>> Mengukuhkan Akar Umbi Perjuangan

Struktur Umno bermula di cawangan, bahagian, negeri dan pusat. Mustahak ia kukuh di
akar umbi kerana ahli-ahli berpusat di cawangan, bertebaran di seluruh negara. Data
terkini ialah jumlah ahli Umno seramai 3,345,612 orang, cawangan 20,391 buah,

www.happysus.com 17
9:27:22 AM
18

TEKS UCAPAN

bahagian 191 di 13 negeri. Andainya kita mempunyai tiga atau empat pemimpin iaitu
Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, maka Umno mempunyai hampir 60,000
orang pemimpin akar umbi di seluruh negara. Inilah bukti kehebatan parti kita yang
menjadi tonggak pelbagai kejayaan!

Hakikatnya ialah Umno yang kuat bermula di peringkat cawangan. Baikilah cawangan
kita dengan menambah ahli, mendaftar pengundi, mengadakan aktiviti, bersama
membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana
banjir, membantu orang kurang upaya, ibu dan bapa tunggal, warga emas dan
berkempen rumah ke rumah. Hendaklah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di
lingkungan pengaruh kita.

Seperti sebuah pokok, tidak akan subur, mekar bunga dan lebat buahnya jika akar umbi
yang mencari air dan makanan tidak berfungsi dengan baik. Bajailah dengan nilai murni
perjuangan agar ia terus subur. Pohon Umno yang rendang dapat dijadikan naungan
dari panas dan hujan; tumpang berteduh bukan hanya untuk orang Melayu, namun
rakyat Malaysia secara keseluruhan.

>> Merakyatkan Perjuangan Umno

Kita perlu merakyatkan perjuangan Umno dengan menyebarkan semangat perjuangan


parti kepada seberapa ramai rakyat. Semangat perjuangan Umno adalah untuk
membela semua di negara ini. Apabila kita membasmi kemiskinan, kita membasmi
tanpa mengira kaum. Jika membuat kebajikan melalui program sosial, tumpuan kita
kepada semua. Limpahan gema perjuangan kita melangkaui batasan bangsa dan
agama.

Merakyatkan perjuangan juga bermaksud membuka pintu Umno seberapa luas kepada
semua orang Melayu. Oleh itu, gerakan menambah ahli mesti diteruskan melalui
Kempen Keluargaku Ahli Umno yang telah pun dilancarkan. Kita mesti memastikan
anak-anak dan saudara-mara kita terlebih dulu menjadi ahli Umno. Semakin ramai ahli,
maka semakin merakyatlah perjuangan kita.

Tradisi membela rakyat adalah semangat waja perjuangan. Membela rakyat pelbagai
kaum di kota dan desa adalah tugas utama Umno dan Barisan Nasional. Kepuasan
tercapai bila dapat membantu khasnya mereka yang susah dan memerlukan. Gembira
tidak terkata seorang yang miskin apabila rumah yang bocor kita ganti atapnya, lantai
yang reput kita tukar baru dan anak yang ramai kita bantu persekolahan. Inilah contoh
tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebat.

>> Gagasan Besar Perjuangan

Umno mempunyai gagasan yang besar untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu

www.happysus.com 18
9:27:22 AM
19

TEKS UCAPAN

dan rakyat Malaysia. Antara gagasan besar kita ialah semangat Dasar Ekonomi Baru,
Wawasan 2020, Pendekatan Islam Hadhari, Misi Nasional, Pembangunan Seimbang
melalui lima koridor dan Gagasan 2057. Pada hari ini, selaras dengan gagasan besar
itu, marilah kita meneruskan langkah dengan penuh sedar untuk Mengangkasa
Tamadun Bangsa.

Agenda Melayu tetap menjadi agenda Umno yang utama. Melayu masih tertinggal
dalam pelbagai bidang. Agenda Melayu meliputi sosioekonomi, pendidikan,
pembangunan yang adil, mendaulat agama Islam demi maslahat umum.

Kita telah menyuratkan pelbagai perkara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk
membela bangsa. Agenda Melayu sebenarnya adalah suatu Agenda Nasional. Kaum
lain wajar sentiasa memahami bahawa jika Melayu maju, ia akan menguntungkan
semua. Perpaduan rakyat juga akan bertambah kukuh, sementara negara pula akan
terus bersinar di ufuk yang aman dan makmur.

Kita mesti terus memantapkan politik, menguasai ilmu dan pendidikan, memurnikan
sosiobudaya serta terbabit aktif dalam ekonomi sewaktu meniti arus gelombang
globalisasi. Persiapan rakyat dan generasi akan datang adalah menjadi amanah Umno
dan pimpinannya.

Tanggungjawab berat ini mesti kita galas, mesti kita dokong demi memastikan obor
gagasan besar perjuangan bangsa, terus marak menyala, menyinari seluruh pelosok
negara.

>> Kemantapan Jentera Pilihan Raya

Selama ini, Wanita telah bertungkus lumus, tanpa mengira masa, berkhidmat untuk
keluarga, parti dan negara. Semangat sukarela dan komitmen yang tinggi kepada
pelbagai aktiviti telah mekar menjadi budaya cemerlang Wanita. Hasrat agar 30 peratus
bilangan pembuat keputusan terdiri daripada wanita akan terus kita usahakan. Datuk
Seri Rafidah Aziz, bersama jentera Pergerakan Wanitanya dengan gigih sudah tentu
akan memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.

Pemuda terus melangkah gagah dengan pelbagai program yang menarik. Suara
Pemuda semakin lantang menyuarakan hati nurani bangsa. Langkah Pemuda semakin
jauh ke persada dunia. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, bersama angkatan
Pemuda, tentunya akan menjadi benteng dan penggempur utama terhadap parti
pembangkang tidak kira di mana juga mereka berada.

www.happysus.com 19
9:27:22 AM
20

TEKS UCAPAN

Puteri pula terus menyerlah dalam meremajakan parti melalui pelbagai aktiviti kreatif,
mewakili suara generasi baru wanita muda. Kecanggihan era digital dan perubahan
tahap pendidikan menjadikan kewujudan Puteri bertambah relevan. Datuk Noraini
Ahmad yang telah menyarankan penubuhan Puteri Barisan Nasional, bersama pasukan
Puterinya sudah pasti akan dapat mengukuhkan jentera pilihan raya.

Kemantapan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri ini hanya akan bermakna jika kita
semua memberi sokongan jitu dan dukungan padu kepada pucuk pimpinan Umno dan
Barisan Nasional, yang diterajui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dengan
semangat perwira membujur lalu melintang patah, berazimat "Takkan Melayu hilang di
dunia", berkat rahmat dari Allah SWT; marilah kita bersatu tenaga bersama memastikan
kemenangan besar pilihan raya, demi mencapai hasrat Mengangkasa Tamadun
Bangsa.

Bismillahirrahmanirrahim,
Ya Allah Tuhan Semesta Alam,
Kami pohon rahmat dan berkat-Mu,
Kurniakanlah kekuatan dan perpaduan.
Kami pohon kudrat dan hidayah-Mu,
Anugerahkanlah kedamaian dan kemakmuran.
Kami pohon naungan dan lindungan-Mu,
Untuk mendaulatkan agama,
Membela bangsa dan
Membina negara yang tercinta.
Di bawah naungan rahmat-Mu,
Kami merintis jejak negarawan.
Di bawah lindungan berkat-Mu,
Bersama menggaris tapak perjuangan.
Di bawah lembayung kudrat-Mu,
Kami menjana umat cemerlang.
Di bawah limpahan reda-Mu,
Bersama Mengangkasa Tamadun Bangsa.
Amin, amin, Ya Rabbal Alamin.

Dengan lafaz doa yang mulia itu, dengan penuh sukacita, saya merasmikan
Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno tahun 2007. Wabillahi Taufiq
Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Petikan : http://www.emedia.com.my/Misc/Umno55/artikel/najib/20071106092136/Article5

www.happysus.com 20