Anda di halaman 1dari 5

Apakah jenis-jenis perhiasan yang dilarang di dalam Islam?

1. Emas dan sutera bagi kaum lelaki; Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan emas dan
sutera kerana ia dikhususkan bagi kaum perempuan sahaja.

2. Perkakas dari emas dan perak; Diharamkan menggunakan emas dan perak selain untuk perhiasan
diri dan juga sebagai mata wang. Oleh itu, tidak harus menjadikan emas dan perak sebagai perkakas
makan dan minum (yakni pinggan, cawan, mangkuk dan sebagainya), alat-alat tulis (pen dan
sebagainya), bekas celak, hiasan rumah, majlis-majlis, masjid atau surau, kedai dan sebagainya.
Sebagaimana diharamkan mengguna, begitu juga haram menyimpannya.

3. Merubah kejadian Allah; Syariat Islam mengharamkan seseorang sama ada lelaki atau wanita
berhias dan bersolek hingga ke tahap mengubah kejadian Allah pada diri tanpa ada keperluan yang
mendesak.

4. Menyerupai lelaki atau perempuan; Dilarang sama sekali lelaki meniru-niru gaya kaum wanita dan
wanita meniru-niru gaya kaum lelaki sama ada pada pada pakaian, perhiasan, gaya berjalan, bercakap
dan sebagainya.

5. Dilarang bertabarruj; iaitu wanita berhias untuk lelaki-lelaki ajnabi iaitu lelaki-lelaki yang haram ia
mendedahkan auratnya kepada mereka.

6. Tiada israf dan ikhtiyal; iaitu berlebih-lebihan dan berbangga-bangga dengan pakaian dan perhiasan

Apa dalil pengharaman emas dan sutera ke atas kaum lelaki?

Iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;


Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita
mereka. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asyari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan
soheh)

Dalam hadis yang lain baginda bersabda;


Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat. (Riwayat Imam
Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah r.a.)

Selain memakai sutera, juga diharamkan duduk di atas hamparan dari sutera.

Apa dalil pengharaman menggunakan perkakas-perkakas dari emas dan perak?

Iaitulah sabda Nabi s.a.w.;


Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan di dalam
talam[1] dari keduanya kerana ia adalah untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia. (Riwayat Imam
Muslim dari Huzaifah r.a.)

Apa dalil pengharaman berhias dengan merubah kejadian Allah?

Pengharaman ini dapat difahami dari larangan Nabi s.a.w. terhadap perbuatan menyambung rambut,
bertatu, mencabut bulu kening dan menjarangkan gigi. Sabda baginda;


Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya, orang yang minta disambung rambutnya, orang
yang melakukan tatu dan orang yang minta dilakukan tatu kepadanya. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim
dan lain-lain dari Abdullah bin Umar r.a.)

Sabda baginda juga;


Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada
badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan
yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan
Allah. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Apa dalil pengharaman menyerupai lelaki atau perempuan?

Larangan ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a. yang menceritakan;


Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang
meniru-niru lelaki. (Riwayat Imam Bukhari)

Perbuatan tersebut tergolong dalam dosa-dosa besar menurut ulamak kerana terdapat laknat Rasulullah
ke atasnya. Contoh perbuatan meniru wanita ialah seperti lelaki yang memakai rantai, anting-anting dan
gelang, berinai, memakai emas dan sutera, memakai pakaian menyerupai wanita, melembutkan suara
dan cara berjalan dan sebagainya lagi dari perlakuan atau gaya yang selalunya ada pada wanita sahaja.
Contoh meniru lelaki pula ialah seperti memakai pakaian lelaki, berjalan dan bercakap dengan gaya lelaki
dengan perbuatan yang dibuat-buat, mencukur rambut, memakai lilitan kepala yang menyerupai serban
dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.[2]

Adakah larangan penyerupaan itu merangkumi juga kanak-kanak?

Ya. Dilarang ibu-bapa atau penjaga memakaikan kepada anak lelaki pakaian atau perhiasan untuk anak
perempuan dan begitu juga diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki.
Diceritakan bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan kepadanya
pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; Janganlah kamu memakaikan kepadanya
pakaian dari sutera. Begitu juga, Ibnu Masud pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada
anak lelakinya.[3]

Apa dalil larangan bertabarruj?

Larangan tabarruj terkandung di dalam ayat 32 dari surah an-Nur tadi dan juga larangan Allah dari
bertabarruj yang terdapat dalam firmanNya;


dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah
laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu .. (al-Ahzab: 33)

Apa maksud tabarruj? Dan apa yang termasuk dalam kategori tabarruj?

Tabarruj dari segi bahasa bermaksud membuka dan menampakkan sesuatu untuk dilihat mata. Imam
Zamakhsyari berkata; hakikat tabarruj ialah sengaja membuka/mendedahkan apa yang sepatutnya
disembunyikan. Namun tabarruj dalam ayat di atas adalah khusus untuk perempuan terhadap para lelaki
iaitu ia menampakkan perhiasannya dan kecantikannya kepada mereka.[4] Menurut Imam an-Nasafi,
tabarruj ialah berjalan melenggang-lengguk dan mendedahkan perhiasan.[5]

Secara amnya, perkara yang tergolong di dalam pengertian tabarruj ialah;[6]

1. Mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup
2. Mendedahkan perhiasan pada badan yang tidak sepatutnya diperlihatkan melainkan kepada suami
atau mahram sahaja
3. Bertingkah-laku dan bercakap dengan gaya yang boleh menggairahkan lelaki.
4. Bergaul bebas dengan para lelaki
5. Tidak memakai tudung kepala dengan sempurna hingga menampakkan rambut dan perhiasan-
perhiasan di leher, telinga dan sebagainya.
6. Bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan perasaan ghairah kepada kaum lelaki. Ini
termasuklah memakai gincu bibir, memakai pipi merah, berwangi-wangian di luar rumah dan sebagainya.

Apa maksud tidak berlebih-lebihan dan berbangga-bangga dengan pakaian dan perhiasan? Apa
dalil pengharamannya?

Syarat umum dalam menikmati segala yang baik/halal yang dikurniakan Allah ada dua;[7]

Tidak ada israf (berlebih-lebihan hingga membazir)
Tidak ada ikhtiyal (bermegah-megah atau berbangga-bangga)

Israf mermaksud melampaui batas dalam menikmati/menggunakan suatu yang halal atau harus. Dalam
memperkatakan tentang keharusan memakai perhiasan dalam ayat 31-32 dari surah al-Araf tadi, Allah
memperingatkan manusia agar jangan israf (berlebihan);


dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-
lebihan..

Adapun ikhtiyal (bermegah-megah), maka ia berkait dengan niat dan hati iaitu memakai sesuatu untuk
tujuan berbangga-bangga dan membesarkan di hadapan orang lain. Firman Allah;


Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. (al-Hadid: 23)

Sabda Rasulullah s.a.w.;


Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya
pada hari kiamat. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Untuk memastikan seorang muslim menjauhi setiap perkara yang dikhuatiri menimbul ikhtiyal, maka
Rasulullah menegah pakaian asy-syuhrah (yakni pakaian kemasyhuran) yang sememangnya jika
dipakai- akan menimbulkan perasaan angkuh, bangga diri di hadapan orang lain dengan bentuk-bentuk
lahiriyah yang kosong. (Sila baca penjelasan tentang pakaian Syuhrah di bawah tajuk Pakaian dalam
blog ini).

Adakah lelaki juga diharuskan berhias?

Ya, harus tetapi dengan tidak melanggari batasan yang ditetapkan Syarak di atas, iaitu;
1. Tidak menyerupai perempuan; cth; berinai
2. Bukan dengan material yang dilarang Syarak iaitu emas dan sutera.
3. Tidak mengubah ciptaan Allah
4. Bukan dengan tujuan berbanga-bangga atau besar diri.

Contoh perhiasan yang diharuskan lelaki ialah memakai cincin perak yang bertatah batu-batu berharga
(zamrud, delima, nilam dan sebagainya), memakai baju atau pakaian yang cantik-cantik, kasut dan
sebagainya.

Sejauhmana harus wanita memperlihatkan perhiasan pada badannya?

Perhiasan pada badan ada dua jenis;
1. Perhiasan yang berada pada bahagian yang bukan aurat (iaitu muka dan tangan); seperti celak, cincin,
gelang tangan dan sebagainya. Ia harus diperlihatkan. (*Tentunya tanpa solekan yang menimbulkan
ghairah lelaki sebagaimana dinyatakan tadi dalam huraian tentang tabarruj).
2. Perhiasan yang berada di bahagian badan yang aurat iaitu di kepala, kaki, leher dan sebagainya
seperti rantai, anting-anting, gelang kaki dan sebagainya. Perhiasan ini haram diperlihatkan kecuali
kepada suami dan mahram.

Apa hukum berinai?

Digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin berhias untuk suaminya. Antara cara berhias itu ialah
dengan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya.[8] Menurut ulamak; mewarnai
tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi wanita-wanita yang telah berkahwin dengan syarat
mendapat keizinan suaminya. Jika tanpa keizinan beliau (yakni beliau tidak menyukainya) tidaklah harus.
Bagi wanita yang belum berkahwin; hukumnya adalah makruh mengikut kebanyakan ulamak kerana tidak
ada keperluan dan juga bimbang timbulnya fitnah.[9] Namun ada juga ulamak yang berpendapat;
diharuskan bagi wanita secara umumnya untuk berinai sama ada telah berkahwin atau belum berkahwin
kecuali wanita yang kematian suami dan masih dalam eddah.[10] Itu adalah hukum berinai secara
umumnya. Adapun berinai dengan cara mengukirnya di tangan atau kaki (yakni bukan dengan mewarnai
keseluruhan tangan atau jari-jarinya), maka perbuatan itu menurut ulamak adalah makruh. Berkata
Syeikh Yusuf al-Ardibili dalam kitabnya al-Anwar li Amal al-Abrar; Jika seorang wanita hendak
mewarnai dua tangannya, hendaklah ia mewarnai keseluruhan dua tangannya dengan pewarna. Tidak
disunatkan baginya membuat lukisan/ukiran, begitu juga mewarnakan dengan hitam, mewarnakan
sebahagian jari sahaja dan memerahkan pipi. Malah diharamkan setiap satu dari perbuatan-perbuatan
tersebut ke atas wanita bujang (yakni tidak bersuami) dan juga wanita bersuami jika tidak diizinkan
suaminya (2/332).[11]

Adakah harus lelaki berinai?

Diharamkan ke atas lelaki mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana
perbuatan tersebut meniru/menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi s.a.w.; Allah melaknat
lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu Abbas
r.a.).[12]


Dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah dibawa kepadanya seorang pondan/banci
yang mewarnai dua tangan dan kakinya dengan inai. Lalu Nabi bertanya; Kenapa orang ini?. Dikatakan
kepada baginda; Ya Rasulullah, ia ingin meniru kaum wanita. Nabi lalu memerintahkan agar ia diusir ke
wilayah Naqi. Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah, perlukan kami membunuhnya?. Baginda
menjawab; Aku ditegah membunuh orang yang mengerjakan solat. (Riwayat Imam Abu Daud).

Namun dikecualikan jika tujuan memakai inai itu adalah untuk pengubatan.

Apa hukum pondan atau banci?

Pondan atau banci dalam bahasa Arab disebut al-Mukhannas yang bermaksud; lelaki yang menyerupai
wanita pada perilaku, ucapan dan perlakuan serta tindak-tanduknya. Jika semulajadi (yakni dilahirkan
dalam keadaan sedemikian) tidaklah dicela oleh agama, akan tetapi ia hendaklah berusaha untuk
membuang/menghilangkan sifat keperempuanan itu. Adapun jika sengaja dilakukan (yakni dibuat-buat),
maka ia dicela oleh agama.[13]

Apa hukum lelaki memakai gelang atau rantai?

Tidak harus lelaki memakai gelang atau rantai untuk berhias kerana ia meniru/menyerupai wanita. Allah
melaknat lelaki yang menyerupai wanita sebagaimana hadis tadi. Lebih diharamkan lagi jika gelang atau
rantai itu dibuat dari emas kerana ia melanggar dua larangan Allah iaitu larangan meniru wanita dan
larangan memakai emas.[14]

Anda mungkin juga menyukai