Anda di halaman 1dari 13

DIDIK BAIK

S u n d a y , 2 S e p t e m b e r 2 0 1 2
ISU MURID SEKOLAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS


1.0 PENGENALAN

Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan
bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan
peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu,
jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah
sebagai agen perubahan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud
berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak
kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu
bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem
pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek,
berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai
sejagat, katanya. Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai
dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan
pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.

"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya
perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum,
kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik. "Langkah untuk meningkatkan
profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati,
disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya. Katanya, warga pendidik
sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara
sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

Namun, pada masa kini tugas guru telah dipersoalkan dalam semua bicara. Tugas
guru yang dahulunya terlalu diangkat tinggi oleh masyarakat sekeliling telah menjadi
satu bidang yang telah dipersoalkan mutunya. Ramai masyarakat berpendapat
profesion keguruan tidak mencapai standard yang telah ditetapkan dan ini merupakan
salah satu isu yang tidak patut timbul di kalangan masyarakat. Siapakah yang patut
dipersoalkan? Guru, murid, staf sekolah ataupun masyarakat sekeliling?


2.0 ISU MURID SEKOLAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS

Saya ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru'
di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya murid-murid yang masih tidak boleh
membaca dan menulis. Ketika negara memasuki fasa kedua menuju Wawasan 2020,
terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah di seluruh negara
didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Datuk Mohd. Sarit Yusoh berkata,
``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu ke hilir, melaungkan
Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid sekolah rendah tidak tahu membaca,
menulis dan mengira. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kementerian
Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi
murid-murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau
merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan pemantauan sewajarnya terhadap
murid-murid sekolah rendah sehingga timbul masalah itu.

Selain itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui
hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak
tahu membaca, menulis dan mengira pada masa ini. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim
Pheng berkata, senario membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk
kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami
masalah membaca dan menulis. ``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di
setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini dengan
mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini. ``Tetapi kita dapati guru yang
mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan hanya seorang
guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun satu hingga tahun
tiga,''

Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun belajar di institut
pendidikan guru ialah di institut pendidikan guru, kami diajar bahawa murid yang tidak
mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman
ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh
murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh
melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan
kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid
boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh
menghalang mereka.

Di institut pendidikan guru, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid
berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus
membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri
Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru
yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang
menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi
kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa
pertandingan pun. Di institut pendidikan guru, kami diajar supaya memikirkan cara
bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai
kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis
jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan
memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-
kadang satu buku pun tidak ada.




3.0 KAITAN DENGAN ETIKA PERGURUAN

Integriti mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kejujuran dan
ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Ia juga merangkumi keikhlasan, keterbukaan,
amanah, berpegang kepada prinsip, sukar dipengaruhi dan boleh dipercayai. Dalam
teras memartabatkan profesion keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar
guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha
meningkatkan keupayaan diri.

Dalam permasalahan ini, guru memainkan peranan yang amat penting sebagai
pendidik masyarakat. Guru mestilah prihatin dan peka terhadap keadaan atau kondisi
pembelajaran murid-murid mereka. Apabila guru dapat mengesan murid yang
menghadapi masalah membaca dan menulis ini, guru mestilah segera mengambil
tindakan yang khusus untuk membendung masalah ini sebelum menjadi lebih kritikal.
Isu yang terlibat dalam masalah ini ialah isu kepedulian guru.

Menurut beberapa orang tokoh, kepedulian guru bermaksud perwakilan komposit
perasaan, pemikiran, dan perhatian yang diberikan kepada sesuatu isu atau tugas dan
gabungan perasaan, pemikiran dan perhatian yang diberi oleh guru terhadap isu yang
dihadapi semasa melaksanakan tugasnya. Kepedulian guru boleh dikategorikan kpd 3
peringkat iaitu
i. Penyempurnaan diri
ii. Tugas-tugas pengajaran
iii. Impak pengajaran

Kepedulian terhadap impak pengajaran terlibat secara langsung dalam masalah
ini iaitu guru perlu yakin terhadap kebolehan murid dan perlu lebih fokus kepada
keperluan murid dan penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada murid yang terlibat.
Guru yang mementing kepedulian perlu mewujudkan suasana kondusif, memahami
pelajar secara individu, berempati dan memenuhi keperluan akademik dan emosi
pelajar dengan sepenuhnya.


4.0 PUNCA
Selain faktor kekurangan guru kelas pemulihan, masalah ini juga disebabkan oleh faktor
berikut:

4.1 Murid kelas pemulihan juga terpaksa mengikuti kelas sukatan pelajaran lain, jadi
mereka tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas pemulihan.
Kebanyakan guru tidak mempedulikan tahap murid di dalam kelas masing-masing.
Mereka berasa culas untuk mengasingkan murid-murid yang lemah ini. Bagi mereka,
yang penting sekali adalah untuk menghabiskan silibus yang diwajibkan ke atas mereka
tanpa mempedulikan murid-murid yang akan ketinggalan.

4.2 Murid tidak mendapat pendidikan asas dari awal (prasekolah) sehingga
menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok murid pintar. Hal ini juga
melibatkan peranan ibubapa sebagai guru di rumah. Ibubapa perlu mendedahkan anak
mereka dengan pendidikan awal untuk membiasakan mereka dengan keadaan
pembelajaran. Ramai murid yang baru memasuki Tahun 1 tidak dapat menyesuaikan
diri dengan suasana pembelajaran yang baru dan ini mengakibatkan mereka berasa
janggal dan tidak dapat mengikut pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu ada juga
murid lewat mendaftar masuk kelas tahun satu (ada yang lewat hingga satu dan dua
bulan) menyebabkan mereka tidak mengikuti pendidikan asas membaca dari awal.

4.3 Masalah keluarga, murid kerap tidak hadir ke sekolah sehingga ketinggalan
dalam proses pembelajaran. Ada segelintir ibubapa yang memandang ringan terhadap
kehadiran anak-anak mereka ke sekolah. Kadang-kadang ada murid yang tidak
menyiapkan kerja sekolah, malas untuk bangun awal untuk ke sekolah, berpura-pura
sakit dan sebagainya. Ibubapa yang terlalu manjakan anak mereka akan melayan
kerenah anak mereka dan apabila murid-murid tidak menghadirkan diri ke sekolah,
mereka akan ketinggalan dalam pembelajaran dan kadang-kadang guru tidak akan
mengulang kembali pengajaran yang telah dilakukan dan ini telah menyebabkan salah
satu punca murid-murid tidak dapat membaca dan menulis.

4.4 Wujud kelompok murid yang mempunyai daya pemikiran yang pantas dan
lembap. Jika tidak diasingkan, yang lembap akan terus ketinggalan. Dalam aspek
kepedulian, guru perlu peka dan prihatin terhadap kemampuan murid sendiri. Jika
terdapat murid yang mempunyai daya pemikiran yang tajam dan pantas, mereka perlu
diasingkan dari murid yang lain. Guru perlu sensitif dan mengambil berat akan masalah
ini. Kadang-kadang guru berasa selesa dengan murid yang selalu faham dan tidak
pernah bertanyakan mengenai isi pembelajaran dan langsung melupakan murid-murid
yang lemah dan tidak faham akan pengajaran guru.

4.5 Murid tidak mempunyai sebarang minat untuk belajar. Masalah ini merupakan
masalah yang paling berat dan perlu dipandang serius oleh setiap guru.jika timbul
sekelumit perasaan ini dalam diri klien mereka, maka tugas guru akan menjadi lebih
mencabar dan rumit. Guru dan ibubapa perlu bersekongkol untuk memastikan masalah
ini tidak timbul dalam sanubari kanak-kanak walaupun sekelumit.

4.6 Kaedah Pengajaran Guru salah satu punca berlakunya masalah membaca
dalam kalangan murid. Masalah dalam kaedah pengajaran guru yang dapat dirumuskan
kepada tiga punca utama, iaitu
(i) kurang pengalaman,
(ii) penggunaan kaedah pengajaran membaca secara beramai-ramai dan individu
(iii) tidak ada kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca.

4.7 Faktor seterusnya yang dikenal pasti punca berlakunya masalah membaca
dalam kalangan murid ialah persekitaran yang tidak kondusif. Terdapat tiga faktor
persekitaran yang ditemui dalam iaitu
(i) keluarga,
(ii) sekolah
(iii) rakan.


4.8 Faktor sekolah juga adalah penyumbang kepada masalah ini. Masalah
membaca ini sepatutnya sudah selesai atau tidak lagi ada bagi murid darjah 6. Contoh
saya pada masa ini lebih fokus kepada murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR ,
saya tidaklah lagi akan banyak menumpukan perhatian kepada mengajar membaca
murid-murid yang lemah ini, kerana bagi saya murid darjah 6 ini mesti lulus peperiksaan
PSR ini nanti. Caranya saja ialah murid yang lemah ini diajar oleh guru-guru lain khusus
untuk membaca sahaja. Bagi saja ini sudah terlambat. Sepatutnya mengatasi
kelemahan membaca ini sudah bermula sejak murid itu dikenal pasti lemah membaca
itulah. Kerana pada Darjah 1, 2 atau 3 mereka ini sepatutnya sudah mantap dengan
kemahiran membaca. Jadi bila dia berada di darjah 4, 5 dan 6 tumpuan guru hanya
kepada pengajaran mata pelajaran seperti Matematik, Sains, Geografi, Bahasa Inggeris
dan Bahasa Melayu.

4.9 Faktor Psikologi
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca.
Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami
proses pembacaannya. Terdapat dua factor yang berkaitan dengan psikologi, iaitu
(i) kurang minat belajar dan
(ii) kurang mengambil perhatian semasa belajar.
Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada
wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid.

4.10 Faktor Individu
Faktor individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid-murid
yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan
cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Dalam
konteks kajian ini, faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan kecerdasan murid
lemah dalam pembelajaran dan membaca. Murid-murid ini juga mempunyai ingatan
yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat dan apa yang telah dipelajari dalam
jangka masa yang panjang. Faktor kecerdasan murid atau individu adalah berkait rapat
dengan kebolehan membaca mereka. Kecerdasan murid yang rendah menjadikan
individu berkenaan tidak boleh mengingati apa yang dipelajari untuk jangka masa
panjang dan menyebabkan murid-murid ini membuat tanggapan yang meleset dari apa
yang telah dipelajari



5.0 KESAN DAN AKIBAT

Kemahiran membaca merupakan aspek yang sangat penting dalam menguasai
sesuatu ilmu pengetahuan. Seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan
mudah dapat memperolehi serta meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai
bidang. Sehubungan itu kemahiran asas yang diajar di sekolah, sejak zaman berzaman
yang lalu, ialah menguasai kemahiran membaca dan menulis. Para pendidik bersetuju
bahawa membaca merupakan petanda pencapaian akademik yang paling signifikan.

Namun begitu, walaupun penekanan diberikan terhadap kemahiran-kemahiran
tersebut, sehingga kini masih terdapat murid-murid yang tidak dapat menguasai
kemahiran tersebut. Keadaan ini tidak dapat dipandang ringan kerana dalam zaman
globalisasi ini, dengan perubahan yang mendadak dari segala aspek kehidupan,
pendidikan terus berperanan bukan sahaja sekadar untuk mencelikkan mereka yang
buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan generasi muda
kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan sopan santun.
(Majalah Pendidik Bil 55/ Dis 2008)

Kegagalan murid membaca dengan baik seringkali dikaitkan dengan kegagalan
dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan ini banyak dipengaruhi oleh
kesukaran murid-murid untuk memahami isi kandungan pelajaran yang dipelajari
disebabkan oleh kegagalan mereka membaca dengan baik.

Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati berhadapan dengan
masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa Melayu. Akibat daripada
kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian mereka terhadap mata
pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains juga terjejas.

Minat dan motivasi sangat dominan dan berperanan dalam membina tabiat suka
membaca. Di samping itu, dorongan dan pemupukan minat perlu ditanamkan oleh guru,
ibu bapa serta komuniti setempat. Minat yang tinggi terhadap membaca membolehkan
individu tersebut berjaya dalam kehidupannya. Murid yang lemah menguasai kemahiran
membaca akan menghadapi berbagai-bagai impak psikologi. Murid yang lemah dan
tidak pandai membaca akan disingkirkan oleh kawan-kawan mereka, menyebabkan
murid ini terasa terasing dan tidak dipedulikan menyebabkan mereka tidak minat belajar.
Saya mendapati murid yang lemah membaca ini selalu merasa rendah diri di kalangan
kawan-kawan mereka kerana mereka tahu yang mereka ini tidak ada kebolehan seperti
kawan-kawan mereka itu. Disebabkan mereka tidak boleh membaca menyebabkan
murid ini malas untuk belajar mungkin kerana terlalu banyak sudah mencuba akhirnya
mereka merasa malaslah untuk mencuba. Murid yang lemah membaca ini juga kurang
motivasi untuk belajar berbanding murid yang pandai membaca.


6.0 LANGKAH MENGATASI

Tanggungjawab guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran
sememangnya berat kerana guru bukan sahaja bertanggungjawab memberi
pengalaman kepada pelajar dalam bidang mata pelajaran yang diajar tetapi ia juga
bertujuan membentuk pelajar menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Kalau itu tidak
mencukupi banyak lagi tugas dan tanggungjawab guru yang ditanggungnya di luar
proses pengajaran. Tugas guru bukannya mudah kerana ada banyak perkara lain yang
dianggap seseorang guru harus boleh lakukan sungguh pun guru itu tidak mendapat
latihan khusus dalam bidang itu.

Tanggungjawab dalam bidang pengajaran dan pembelajaran membaca
bukannya terhad pada seseorang guru sahaja. Untuk setiap mata pelajaran disediakkan
buku teks. Ini bererti setiap guru mata pelajaran juga harus menjadi seorang guru
bacaan. Kalau ditanya kepada guru, ramai akan mengatakan bahawa buku teks
digunakan sebagai rujukan atau untuk memberi latihan kepada pelajar. Persoalannya
ialah bilakah pelajar betul-betul berpeluang untuk diberi kemahiran membaca dalam erti
kata membaca dengan penuh perhatian. Begitulah juga keadaannya di dalam kelas
bahasa, membaca tidak begitu penting, yang penting ialah menjawab soalan
kefahaman, lalu kita akan bertanya tanggungjawab siapakah untuk mengajar membaca.
Latihan yang diterima oleh guru dalam bidang membaca terlalu minima dan ada guru
yang tidak pernah menerima sebarang pendedahan tentang pengajaran membaca dan
ilmu membaca terutamanya guru mata pelajaran. Kefahaman tentang ilmu membaca
terlalu penting untuk diabaikan dalam proses pendidikan guru. Sekurang-kurangnya
apabila seorang guru itu tamat pengajiannya dia telah pun menerima pendedahan
dalam bidang ilmu membaca dan pengajaran membaca.

Pihak Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan beberapa program di
sekolah antaranya program KIA2M atau Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis
serta program pemulihan bagi memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran
membaca dan menulis sejak di peringkat awal lagi. Program Kelas Intervensi Asas
Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum
menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu.
Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai
kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid
pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam
kelas. Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah
sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini
dengan seberapa segera yang boleh.
a. Berpusatkan Guru
Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar
berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.
b. Berpusatkan Murid
Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan
sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.
c. Berpusatkan Bahan
Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan
perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti
yang akan dijalankan.
d. Pendekatan secara kelas
Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan
meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini
lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.
e. Pendekatan secara berkumpulan
Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan
strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid.
Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang
sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan
menggunakan modul pengajaran yang disediakan.
f. Pendekatan secara individu
Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu
membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada
rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.


7.0 PENUTUP

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk
kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai
digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru
hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya
guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian
darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan
kaedah tersebut.

Dengan jumlah penduduk yang tidak ramai dan dilengkapi dengan kemudahan
pendidikan yang serba maju, sepatutnya masalah tidak boleh membaca ini tidak boleh
berlaku atau sekurangnya dalam jumlah yang sedikit. Terdapat banyak faktor yang
telah dikenal pasti. Oleh itu, agensi-agensi bawah Kementerian Pelajaran seperti Pusat
Perkembangan Kurikulum, Bahagian Buku Teks, Bahagian Pendidikan dan Latihan
Guru, Jabatan Pendidikan Dearah dan lain-lain perlu mengenalpasti langkah-langkah
untuk mengatasi masalah ketidakbolehan membaca dalam kalangan murid ini.

Dalam kajian ini, saya dapat mengasah lagi kemahiran dan ilmu saya dalam bidang
perguruan. Saya dapat mengkaji dan memahami beberapa masalah yang semakin
meruncing dalam profesion keguruan. Saya harap, melalui kajian ini dapat saya
manfaatkan dengan sepenuhnya untuk kegunaan saya pada masa hadapan.




8.0 BIBLIOGRAFI


BUKU

Syed Ismail Bin Syed Mustafa, Ahmad Subki Bin Miskon, Asas Kepimpinan dan
Perkembangan Profesional Guru, 2010, Kuala Lumpur terbitan Multimedia Sdn Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, Asas Kepimpinan dan
Perkembangan Profesional Guru, 2010, Kuala Lumpur terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd


WEB

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec
=Forum&pg=fo_01.htm
http://motivasimindamu.blogspot.com/2005/10/100000-murid-tahun-2-hingga-6-tidak.html




9.0 REFLEKSI
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya, saya telah
dapat menyiapkan Kerja Kursus Projek (KKP) bagi subjek (EDU 3108) Asas
Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru dengan jayanya. Bagi melaksanakan
kerja kursus ini, saya telah memilih satu kajian mengenai isu masalah membaca dan
menulis di kalangan murid sekolah. Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan
kepekaan saya terhadap isu-isu semasa dalam profesion keguruan.

Apa yang saya dapat kaji dalam projek ini ialah keupayaan membaca di
kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian
terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran
menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar
bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti
dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih
berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik.

Daripada pengalaman saya menyiapkan KKP ini, banyak ilmu dan pengalaman
yang cukup berguna kepada saya sebagai seorang bakal pendidik di era globalisasi ini.
Antara pengalaman berguna yang saya perolehi dalam kajian ini ialah saya dapat
memaksimakan pengetahuan saya dalam bidang guru terutama sekali dalam isu
masalah menulis dan membaca di kalangan murid sekolah. Saya telah mengkaji
dengan mendalam dan dapat mengenal pasti segala akar umbi masalah ini dan syukur
pada Tuhan, saya juga dapat menigkatkan ilmu saya dalam subjek Asas Kepimpinan
Dan Perkembangan Profesional Guru.

Akhir sekali, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Puan Latifah A.Jamil selaku
pensyarah bagi mata pelajaran Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru
yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu berguna kepada saya sepanjang
menyiapkan kajian ini. Tidak lupa juga kepada semua waga kelas Kajian Sosial 1 yang
telah memberi kerjasama dan bantuan sepanjang saya menjalankan kajian ini. Terima
kasih juga kepada ahli kumpulan saya iaitu Rahman dan Noh Hilmi diatas bantuan dan
panduan kalian dalam membetulkan segala salah silap saya dalam kajian ini.




10.0 LAMPIRAN
100,000 murid tahun 2 hingga 6 tidak tahu membaca
Dalam Negeri
Petikan Berita Utusan Malaysia 12 Oktober 2005

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketika negara memasuki fasa kedua menuju Wawasan 2020,
terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah di seluruh negara
didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira.
Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) semasa mendedahkan angka itu berkata:
``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu ke hilir, untuk melaungkan
Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid sekolah rendah tidak tahu membaca,
menulis dan mengira. ``Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran
perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid
sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau menyatakan demikian
ketika membahaskan Bajet 2006 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Bagi sebuah
negara seperti Malaysia, kata Mohd. Sarit lagi, keadaan itu tidak seharusnya berlaku.
Beliau merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan pemantauan sewajarnya
terhadap murid-murid sekolah rendah sehingga timbul masalah itu. Sehubungan itu ahli
Parlimen tersebut menggesa agar dilaksanakan program bagi mengatasi masalah
berkenaan yang dianggapnya sebagai defisit pendidikan. Mohd. Sarit juga membangkitkan
mengenai infrastruktur pendidikan yang tidak selari di seluruh negara kerana ada sekolah-
sekolah yang tidak ada bekalan air, elektrik dan kemudahan lain. ``Apa yang menjadi
persoalannya ialah bukan kita tidak mampu, kalau tidak mampu lain cerita. Ini kita mampu,
bagaimana keadaan ini boleh berlaku,'' ujarnya.
Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pelajaran menyelesaikan masalah itu
dengan segera dengan harapan ia tidak lagi timbul tahun depan.


NUTP akui banyak murid tak tahu baca

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui
hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak tahu
membaca, menulis dan mengira pada masa ini.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, senario membimbangkan itu
dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekurangan guru bagi mengendalikan kelas
pemulihan bagi murid yang mengalami masalah membaca dan menulis. ``Masalah ini
sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba
menangani masalah ini dengan mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini.
``Tetapi kita dapati guru yang mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah
yang menyediakan hanya seorang guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua
kelas tahun satu hingga tahun tiga,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang penyokong kerajaan yang mendedahkan
114,000 murid dari tahun dua hingga tahun enam di seluruh negara tidak tahu membaca,
menulis dan mengira.








Kementerian sedar wujud murid tidak tahu membaca

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran menyedari wujudnya masalah murid yang
tidak tahu membaca, menulis dan mengira seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat
semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha mengatasi
masalah itu sedang dilakukan termasuk persetujuan Kabinet supaya guru pemulihan khas
segera ditambah segera ke sekolah terbabit. ``Jadi tugas kita sekarang adalah untuk
bekerjasama dengan JPA bagi memastikan perjawatan guru pemulihan khas dapat diisi dan
dihantar segera dengan tumpuan akan diberikan kepada sekolah kurang murid dan sekolah
luar bandar.
``Malah Kabinet juga mahu supaya program pemulihan khas dimantapkan dan
semua ini memang sedang dalam proses pelaksanaan kerana masalah ini memang kita
sedar ada berlaku,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan Majlis Penutup Wacana Ilmu Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Wilayah
Persekutuan di sini hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai pendedahan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd.
Sarit Yusoh di Parlimen semalam bahawa terdapat 100,000 murid sekolah rendah dari
tahun 2 hingga tahun 6 tidak tahu membaca, mengira dan menulis. Jumlah itu mewakili tiga
peratus dari murid sekolah rendah di negara ini.
Menurut Hishammuddin, bilangan sebenar murid yang tidak dapat menguasai
kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) belum dapat disahkan sama ada benar
100,000 atau kurang daripada itu. Untuk itu, katanya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr.
Ahamad Sipon diarah menyiapkan laporan lengkap mengenai masalah itu. ``Ia akan
dimaklumkan esok dan dari situ baru kita dapat tahu jumlah serta di sekolah-sekolah mana
yang perlu diatasi segera.
``Namun saya percaya jumlah pelajar yang tidak dapat menguasai sepenuhnya
ketiga-tiga kemahiran itu mungkin tidak sampai 100,000 tetapi jumlah 100,000 mungkin
mencakupi kegagalan menguasai salah satu dari tiga kemahiran itu,'' jelasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pelajaran sebenarnya sudah melihat masalah ini
sejak awal tahun ini lagi dengan Ahamad sendiri diamanahkan untuk mengatasinya. ``Kita
sebelum ini berhadapan dengan bilangan guru pemulihan yang terhad hingga kita kena
kenal pasti betul-betul mana sekolah yang efektif untuk kita hantar,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Hishammuddin berkata, beliau berhasrat
melihat sekolah-sekolah agama setanding dengan sekolah terkenal di negara ini. ``Bukan
sahaja di Malaysia tetapi di dunia dan pelajar yang dilahirkan di sekolah agama juga sebaris
dengan pelajar yang dilahirkan sekolah-sekolah terkenal di dunia lain. ``Ini cabaran kita,
malah sepanjang saya menghadiri persidangan UNESCO (Pertubuhan Kebudayaan, Sains
dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Perancis baru-baru ini, isu persepsi terhadap
umat Islam juga sangat panas dengan tragedi pengeboman Bali.

Anda mungkin juga menyukai