Anda di halaman 1dari 3

Model ADDIE

Model ADDIE diasaskan oleh Rosset pada tahun 1987 dan sering menjadi asas
kepada model reka bentuk yang lain. Model ADDIE adalah dinamik dan dapat
diaplikasi untuk penyediaan modul atau program latihan yang efektif. Model ini
merupakan salah satu model reka bentuk sistem pembelajaran yang
memperlihatkan lima tahap sistem pembelajaran yang sederhana dan murdah
dipelajari, seperti yang ditunjukkan di bawah :
i. A Analysis (Analisis)
ii. D Design (Reka Bentuk)
iii. D Development (Perkembangan)
iv. I Implementation (Pelaksanaan)
v. E Evaluation (Penilaian)

Satu ciri yang baik tentang Model ADDIE ialah penambahbaikan yang
berterusan berasaskan maklum balas pada peringkat proses pembentukan.
Mengikut Noriati A. Rashid (2012), Model ADDIE merupakan proses generik
yang perlu diubah suai sebelum dapat digunakan. Setiap langkah dalam model
ini mengandungi satu set soalan yang jawapannya menjadi asas kepada langkah
yang seterusnya. Soalan dan jawapan kepada soalan-soalan itu menggerakkan
skop reka bentuk, iaitu kurikulum, kursus, modul atau sesi pengajaran.

Dalam Model ADDIE, peringkat analisis merupakan fasa yang pertama.
Pada peringkat ini, beberapa analisis akan dilakukan. Masalah pengajaran
dijelaskan, objektif dan matlamat pengajaran ditetapkan. Persekitaran
pembelajaran dan pengalaman sedia ada murid juga akan dikenal pasti.
Beberapa soalan boleh dijadikan sebagai panduan semasa melakukan proses
analisis, seperti yang berikut :
a) Siapakah kumpulan sasaran dan apakah sifat-sigat mereka?
b) Apakah hasil pembelajaran?
c) Apakah jenis halangan pembelajaran yang wujud?
d) Apakah pilihan strategi penyampaian pembelajaran?
e) Berapakah tempoh masa yang diperlukan untuk pelaksanaan?

Fasa kedua ialah peringkat reka bentuk (design). Tahap ini memberikan
tumpuan kepada objektif pembelajaran., alat taksiran, latihan, isi kandungan,
perancangan pengajaran-pembelajaran dan pemilihan media. Peringkat ini
hendaklah dilaksanakan secara sistematis dan teliti.

Seterusnya, model ADDIE diikuti dengan fasa ketiga, iaitu peringkat
perkembangan. Kerja-kerja pemilihan dan penyatuan isi kandungan dan
teknologi akan dilakukan mengikut keperluan. Setiap program atau projek akan
melalui proses ujian dan percubaan supaya ianya akan menjadi lebih konsisten
dan dapat beroperasi dengan berkesan. Hasil maklum balas daripada ujian dan
percubaan ini akan digunakan untuk menghasilkan program atau projek yang
lebih berkualiti.

Fasa keempat dalam model ini merupakan peringkat pelaksanaan.
Prosedur latihan akan dibentuk dalam peringkat pelaksanaan. Latihan termasuk
memahami kurikulum, hasil pembelajaran, penggunaan media, cara
penyampaian dan proses penilaian bagi pengajar. Di peringkat ini, pendaftaran
pelajar dan penyediaan alat, buku serta sumber yang sesuai turut perlu diambil
kira. Kesemua alatan hendaklah dikenalpasti bahawa ianya adalah berfungsi
dengan baik. Sekiranya berlaku apa-apa masalah atau kesilapan, kerja
pembaikan akan dilakukan.

Peringkat penilaian merupakan fasa yang kelima dalam Model ADDIE, di
mana ianya juga merupakan fasa yang terakhir. Fasa penilaian terbahagi kepada
2 bahagian, iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif
dilaksanakan sepanjang proses ADDIE pada setiap peringkat. Manakala
penilaian sumatif pula diadakan dalam bentuk ujian untuk domain kursus dan ini
merupakan maklum balas daripada pihak pengguna atau pelajar seperti isi
kandungan, strategi penyampaian dan elemen-elemen lain melalui kaedah temu
bual, soal selidik dan sebagainya.