Anda di halaman 1dari 9

GB 6423 PSIKOLOGI SILANG BUDAYA

MINAT KERJAYA DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH


PERBANDINGAN BERDASARKAN ETNIK, JANTINA
DAN PERSEKITARAN TEMPAT TINGGAL:
KAJIAN DI SMK. ABD. RAHMAN TALIB,
TELUK INTAN PERAK

TUGASAN KUMPULAN
KHAIRUL AZMI BIN JAIT – P23916
ROSHAIMMI BIN MOHAMAD – P23966
MOHAMED JAMATOLAIL BIN MOHAMED RAMLI – P23937

PENSYARAH
PROF. MADYA DR. ZURIA MAHMUD
DR. NOOREINY MAAROF

PROGRAM SARJANA
BIMBINGAN & KAUNSELING
FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
PENGENALAN

Pada hari ini kedudukan kelas dan pekerjaan selalu menjadi pengukur mobiliti sosial.
Peranan pendidikan sebagai alat mobiliti sosial menegak sebelum kemerdekaan sangat terhad.
Dasar pecah dan perintah Ingeris telah mengekalkan struktur stratifikasi masyarakat di mana
anak-anak setiap kaum masih meneruskan pekerjaan ibu bapa mereka. Dasar penjajah mahu
menjadikan anak-anak melayu sebagai petani seperti ibu bapa mereka. Keadaan yang sama juga
berlaku kepada kaum India. Jika mereka tamat bersekolah pun, kebanyakan peluang adalah
untuk menjadi buruh-buruh di jabatan kerajaan seperti di Jabatan Kerja Raya manakala
selebihnya meneruskan kerja-kerja di ladang. Manakala kaum Cina lebih banyak menumpukan
kepada bidang perniagaan di bandar-bandar.
Kerjaya menurut Mohamad Yahya (2001) adalah satu rangkaian pekerjaan atau
pengalaman yang dilakukan oleh seseorang itu dalam jangka masa tertentu bagi menjalankan
tanggungjawabnya. Kerjaya juga meliputi persediaan sebelum seseorang itu melibatkan diri
dalam bidang pekerjaan serta peranan-peranan lain yang dilakukan selepas seseorang itu
bersara.
Pemilihan bidang kerjaya dan pendidikan semakin dirasai rumit disebabkan terdapatnya
berbagai kebolehan manusia. Di samping itu kemajuan yang semakin pesat yang dialami oleh
negara telah menyebabkan bidang pengkhususan pekerjaan dan pendidikan berkembang dengan
begitu pesatnya. Pertumbuhan bidang pengkhususan ini sebahagian besarnya adalah disebabkan
oleh sistem ekonomi negara yang semakin kompleks. Pemilihan kerjaya juga dipengaruhi oleh
etnik, jantina dan persekitaran tempat tinggal.
Sebelum individu menceburkan diri dalam bidang pekerjaan, mereka terlebih dahulu
mengenalpasti bidang yang mereka minati. Individu berkenaan juga akan menggunakan
pengetahuan dan kebolehan mereka untuk mengenalpasti bidang-bidang kerjaya yang ada.
Mereka membentuk stereotaip mengikut minat dan adalah baik jika mereka mendapat kerja
yang sesuai dengan streotaip tersebut. Ini adalah penting kerana jika menceburi bidang yang
tidak diminati, mereka tidak akan mencapai tahap kepuasan kerja. Ini menyebabkan seseorang
itu akan bertukar kerja sebelum menemui bidang yang benar-benar diminatinya. Mereka yang
memeilih bidang berdasarkan minat mereka akan mencapai kepuasan kerja dan ini akan
menyebabkan mereka meneruskan kerjaya tersebut. Kenyataan ini menyokong pendapat Tolbert
(1974) yang menerangkan mengapa terdapat sesetengah orang mungkin meneruskan satu-satu
kerjaya dengan hanya satu pekerjaan sahaja dalam hidupnya, manakala sesetengah orang pula
menceburi bidang kerjaya yang berbeza-beza.
Setiap individu bebas memilih kerjaya yang mereka minati kerana menurut Super
(Osipow, 1983), setiap individu mempunyai minat yang berbeza-beza dan mereka bebas
menentukan bidang yang mereka minati. Holland (1973), juga menyatakan salah satu faktor
penting dalam pemilihan kerjaya adalah minat individu, iaitu kecenderungannya terhadap
sesuatu kerjaya.

Minat kerjaya

Terdapat berbagai definisi yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi kepada minat kerjaya.
Holland (1973) menyatakan minat kerjaya adalah satu ekspresi personalitii dalam pekerjaan,
hobi, aktiviti sampingan dan sebagainya. Tolbert (1974) pula menyatakan minat kerjaya adalah
kecenderungan terhadap sesuatu kerjaya dan segala minat terhadap aktiviti pekerjaan. Strong
(1964) pula mendefinisikan minat kerjaya berdasarkan jantina iaitu bagi lelaki minat kerjaya
adalah bidang mekanik. Aktiviti saintifik dan kegiatan fizikal. Wanita pula dalam bidang
kesusasteraan, hiburan dan hal-hal kemasyarakatan.
Dalam kajian ini minat kerjaya adalah minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang
kerjaya yang bakal mereka tempuhi. Minat kerjaya tersebut diukur bedasarkan kepada bidang-
bidang kerjaya yang terdapat dalam CII

Etnik

Etnik bermaksud kumpulan manusia atau bangsa . Ia merujuk kepada pengenalan diri
seseorang ke dalam kumpulan yang mempunyai latarbelakang keturunan nenek moyang yang
sama. Mereka mempunyai kesamaan dari segi sejarah,negara asal, bahasa, tradisi, budaya,
struktur dan sistem nilai. Perasaan kekitaan ke dalam kumpulan etnik berkembang menerusi
hubungan kekeluargaan, rakan-rakan dan kejiranan yang berkongsi ciri-ciri kehidupan yang
rapat. Kumpulan etnik sememangnya membantu mengekalkan pertalian kumpulan dan
mengukuhkan kedudukan etnik berkenaan dalam masyarakat. 
Sistem pendidikan yang mewujudkan sistem persekolahan yang berasingan mengikut
kaum telah menjuruskan ke arah semangat perkauman yang menebal. Sungguhpun di peringkat
menengah, murid-murid terpaksa memasuki sekolah yang beraliran Bahasa Melayu, dapat
dilihat dengan jelas tiga kelompok kaum yang berasingan
antara satu sama lain.
Merujuk kepada peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan juga
kuota memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), ianya memang memihak kepada
kaum bumiputera. Namun begitu, kini timbul rasa tidak puas hati kaum lain terhadap
keutamaman yang diberikan ini. Isu ini amatlah sensitif kerana ianya menyentuh hak-hak
keistimewaan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan. Kesannya amat
berbahaya kepada perpaduan kaum di Malaysia.
Pengkaji-pengkaji Barat telah banyak membuat kajian tentang minat kerja di kalangan
pelajar berdasarkan etnik. Carter dan Swanson (1990) dalam kajian mereka mendapati pola
minat kerjaya masyarakat kulit hitam mempunyai perbezaan dengan pola minat kerjaya
masyarakat kulit putih. Doughtie, Cheng, Arston, Wakefield dan Yom (1971) pula mengkaji
pola minat kerjaya di kalangan pelajar Afrika-Amerika. Keputusan yang didapati menunjukkan
pelajar Afrika-Amerika lebih berminat dalam bidang sosial.
Hill, Pettus dan Heddin (1990) juga membuat kajian ke atas minat kerjaya dalam bidang
sains di antara pelajar kulit putih dengan pelajar kulit hitam. Keputusan yang di dapati
menunjukkan pelajar kulit hitam mempunyai minat yang lebih tinggi dalam bidang sains
berbanding dengan pelajar kulit putih. Kajian seterusnya dilakukan oleh Tomlinson dan Evans-
Hughes (1991). Keputusan kajian mereka bercanggah dengan kajian sebelumnya iaitu mereka
mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan minat kerjaya di kalangan remaja kulit putih
dengan remaja kulit hitam.

Jantina

Menurut Matsumoto (2000) definisi jantina adalah merujuk kepada tingkahlaku atau
paten berhubung dengan aktiviti di mana masyarakat ataupun budaya setempat menganggap
tingkahlaku itu bersesuaian untuk seorang lelaki dan seorang perempuan. . Contoh yang dapat
diambil ialah bagaimana pandangan umum berhubung dengan ciri-ciri seorang lelaki itu ialah
agresif dan tidak mudah emosional dan itulah sebabnya mengapa seorang lelaki itu mesti keluar
rumah setiap hari untuk mencari rezeki manakala wanita pula sifatnya ialah mendidik ,
bertanggungjawab dan mudah beremosi dan kerana itu dia mesti berada di rumah, menjaga
rumah dan mendidik anak. Ini akhirnya telah mewujudkan kepada sikap stereotaip terhadap
peranan yang mesti dimainkan oleh lelaki dan wanita (Matsumoto, 2000)
Sehubungan dengan itu , stereotaip berkaitan dengan peranan yang perlu dimainkan oleh
lelaki dan perempuan seperti yang telah diterima oleh satu-satu budaya itu telah membawa
kepada pengaruh bagaimana seseorang itu memilih kerjaya terutama di kalangan pelajar-pelajar
sekolah mahupun mereka yang telah berjaya di dalam akademik. Kajian awal oleh Olive (1971)
mendapati dalam kajiannya, pelajar perempuan lebih berminat kepada pekerjaan yang
mempunyai ciri-ciri kewanitaan seperti kesenian dan personel sosial. Manakala pelajar lelaki
pula lebih berminat kepada bidang kerjaya yang lebih mencabar seperti biodang perniagaan dan
kejuruteraan. Begitu juga bila melihat kepada kajian yang pernah dibuat oleh Munson (1990)
yang telah membuat kajian terhadap pelajar sekolah menengah, beliau mendapati pelajar
perempuan mempunyai sikap kerjaya yang menonjol dalam bidang berkaitan dengan sekolah,
rumahtangga dan masyarakat manakala pelajar lelaki pula lebih menonjol dalam bidang
pekerjaan yang bercorak kelakian. Tomlinson dan Evans-Hughes (1991) telah membuat kajian
berdasarkan teori Holland yang mengandungi  6 orientasi iaitu “realistic”, ”investigative",
“artistic”, ”social”, ”enterprising” dan”conventional”. Keputusan yang didapati menunjukkan
pelajar lelaki lebih berminat kepada kerjaya yang “realistic” berbanding dengan pelajar
perempuan yang lebih berminat dalam bidang artistic. Kajian juga pernah dibuat oleh Rohany
Nasir (1980) ke atas 88 orang pelajar universiti tempatan dengan menggunakan occupational
inventory mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara jantina dan minat
kerjaya. Pelajar lelaki lebih berminat dalam pekerjaan yang berkaitan dengan “verbal” dan
“manipulative”. Pelajar lelaki ini lebih berminat dalam bidang yang menggunakan alat-alat
mesin,perniagaan dan bidang sains. Pelajar perempuan pula lebih berminat dalam bidang
kesusasteraan dan personel sosial. Ini menunjukkan bahawa rata-rata apa yang telah
diperbincangkan di atas menunjukkan stereotaip terhadap jantina berkaitan dengan pemilihan
kerjaya seolah-olah di terima oleh masyarakat dunia yang ada hubung kait dengan fungsi
seseorang itu sebagai seorang lelaki ataupun wanita. Seorang lelaki dilihat sebagai seorang yang
aktif, kuat, kritis, kelihatan dewasa dan sebagainya manakala wanita pula dipandang sebagai
seorang yang pasif, mendidik, terlalu bimbang dan mudah beremosi.

Persekitaran

Persekitaran  remaja juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi minat
kerjaya mereka. Oleh itu para pengkaji telah membuat kajian ke atas hubungan persekitaran
dengan minat kerjaya mereka. Menurut Williams dan Best (1990) hasil daripada kajian terhadap
penduduk dari 14 buah negara berkaitan dengan apakah yang mereka percayai dan apakah
harapan dan matlamat mereka, di dapati bahawa negara Netherlands, German dan Finland kaum
wanita mereka menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan manakala kaum wanita
dari negara Nigeria, Pakistan dan India lebih bersifat kepada fahaman yang lama seperti yang
telah diperbincangkan pada tajuk berkaitan dengan jantina. Secara khususnya di dapati negara-
negara yang tinggi pembangunan sosio-ekonominya , peratus yang tinggi terhadap permintaan
pekerjaan oleh kaum wanita, persamaan hak terhadap kaum wanita memasuki ke universiti-
universiti dan  sikap individualistik yang tinggi telah mempengaruhi kaum wanita untuk
memasuki alam pekerjaan serta berusaha meningkatkan ilmu berbanding dengan negara-negara
yang rendah dari beberapa sudut yang telah dibicarakan tadi. (Matsumoto.2000)
Ginzberg (1951) dan Osipow (1983) mendapati remaja lelaki yang berasal dari keluarga yang
mempunyai status ekonomi yang tinggi beranggapan bahawa mereka akan memasuki universiti
atau kolej lebih awal dan seterusnya akan memilih pekerjaan yang profesional manakala remaja
yang berasal dari kelurga yang status sosialnya rendah memilih pekerjaan yang mendapat
ganjaran yang lebih sedikit dari pekerjaan bapa mereka.
Menchon AK Mering (1992) juga telah membuat kajian ke atas hubungan Status Sosio
Ekonomi dengan pemilihan kerjaya pelajar. Subjek kajian adalah seramai 120 orang pelajar
Universiti Kebangsaan Malaysia yang di pilih secara rawak. Faktor Status Sosio Ekonomi dalam
kajian beliau meliputi pendapatan ibu bapa, taraf pendidikan ibu bapa dan pekerjaan ibu bapa
mendapati bahawa ketiga-tiga faktor ini mempengaruhi pemilihan kerjaya. Taraf pekerjaan ibu
bapa memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kerjaya para pelajar.
Crites (1969) mendapati pemilihan kerjaya individu dipengaruhi oleh beberapa
perubahan seperti perubahan budaya dan sub budaya individu berkenaan tinggal dan di
besarkan. Sub budaya tersebut termasuklah tempat tinggal individu berkenaan iaitu di bandar
ataupun di luar bandar. Bloom (1979) dalam kajiannya mendapati terdapat bidang-bidang bakat
yang tidak berkembang atau separuh berkembang di dalam suatu masyarakat kerana amalan
penggalakkan yang berbeza antara masyarakat. Oleh itu didapati persekitaran individu
mempengaruhi minat kerja mereka.

METOD KAJIAN

Kajian ini merupakan kajian lapangan tentang minat kerjaya di kalangan pelajar SMK.
Abdul Rahman Talib Teluk Intan. Pembolehubah terikat adalah minat kerjaya, iaitu dilihat
melalui bidang-bidang kerjaya yang terdapat dalam alat kajian Career Interest Inventory (CII).
Terdapat 15 bidang kerjaya yang terdapat dalam CII. Bidang-bidang tersebut adalah Sains
Sosial, Perkeranian, Perubatan, Pertanian, Perkhidmatan Perundangan, Pengangkutan, Jualan,
Pengurusan, “Benchwork” dan Pengendalian Mesin/Jentera. Pembolehubah bebas pula adalah
terdiri daripada etnik, jantina dan persekitaran tempat tinggal pelajar tersebut. Pembolehubah-
pembolehubah bebas ini dijangka akan mempengaruhi pembolehubah terikat.
RUJUKAN

Bloom, S.S,. 1979. International Comparisons on talent encouragement, MESA Seminar.


Winter.

Carter, R.T., & Swanson, J.L. 1990. The validity of the Strong Interests Inventory with
Black Americans: A review of the literature. Journal of Vocational Behavior. 36, 195-
209)

Crites, J.O. 1969. Vocational Psychology. New York: McGraw-Hill.

Doughtie, E.B., Chang, W.C., Alston, HIL., Wakefield, J.A., Jr., & Yom, B.L. 1979.
Black-white differences in Vocational Preference Inventory. Journal of Vocational
Behavior, 8, 41-44.

Hill, O.W., Pettus, W.C., Hedin, B.A. 1990. Three studies of factors affecting the
attitudes of blacks and females toward the pursuit of science and science related careers.
Journal of Research in Science Technology, 27 (4), 289-314.

Holland, J.L. 1973. Making Vocational Choices: A Theory of Careers. New Jersey:
Prentice-Hall.

Matsumoto, D. 2000, Culture and Psychology. 2nd .ed. Wadsworth: USA.

Menchon Ak Mering. 1992. Hubungan status sosio ekonomi dan bentuk didikan ibu bapa
dengan orientasi pemilihan kerjaya pelajar. Latihan Ilmiah. Jabatan Psikologi. Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Mohd Yahya Mohamed Ariffin. 2001. Antara Akademik, kerjaya dan anda. Kuala
Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Olive, H. 1971. Sex differences in Adolescent Vocational Preference. The Vocational


Guidance Quarterly, 2.

Osipow, S.H. 1983. Theories of Career Development. Ed. Ke-3. Englewood Clifs,. New
Jersey: Prentice-Hall Inc.

Rohany Nasir. 1980. Minat dan proses perkembangan kerjaya: Implikasi terhadap
Bimbingan Kerjaya. Kertas Seminar Psikologi dan Masyarakat kedua. Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Strong, E.K., Jr. 1964. Vocational Interest of Men and Women. Palo Alto: Stanford
University Press.

Tolbert, E.L. 1974. Counseling for Career Development. Bonson: Houghton Mifflin
Company.

Tomlinson. S.M, & Evans-Hughes, G. 1992. Gender, ethnicity and college student’s
responses to the Strong-Campbell Interest Inventory, Journal of Counseling and
Development, 70, 151-155.

Anda mungkin juga menyukai