Anda di halaman 1dari 22

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA: ANTARA SUMBANGAN DAN CABARAN DALAM

MENEMPUH ABAD KE-21.


Pendahuluan
Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan
mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat
menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic
excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti
memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke
taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".
Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta
dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard,
kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa
atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, Pendidikan Bertaraf Dunia bermaksud
kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor
pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :
Pembangunan tenaga manusia
Kepesatan pertumbuhan ekonomi
Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
Pembangunan teknologi dan sains
Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.
Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian
Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan
kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain.
Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan,
sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma
yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu
langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia
pendidikan di peringkat antarabangsa.
SUMBANGAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA KEPADA SEKTOR PENDIDIKAN
Apabila Kementerian Pendidikan telah menetapkan satu matlamat untuk menjadikan
pendidikan bertaraf dunia, dengan sendirinya matlamat tersebut telah mengariskan
apakah langkah-langkah yang perlu diambil. Langkah-langkah tersebut adalah:
1. Pengkorporatan Universiti.
Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, semua pihak di negara ini
yang terlibat dengan kegiatan pendidikan perlu meningkatkan komitmen mereka
supaya sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan kualiti pendidikan
untuk kemajuan dan perubahan. Pendidikan yang berkualiti amat penting bagi
mencorakkan perubahan dan kemajuan pembangunan sumber tenaga manusia
yang produktif di negara ini yang sedang mengorak langkah mencapai status
negara maju.
Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan mempunyai motif tertentu
bukan sahaja bagi tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan dengan
mengurangkan tanggungan kerajaan bagi membiayai perbelanjaan pengajian
tinggi, bahkan juga bagi menjadikan sektor pendidikan di negara ini lebih dinamis
perkembangannya. Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah
diharapkan supaya pihak pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan
universiti mengikut model-model penswastaan, pengkorporatan dan
pensyarikatan yang menekankan kepada perkhidmatan keuntungan dan
produktiviti.
Kerenah birokrasi dan pelbagai red tape yang mengekang perjalanan universiti
akan dapat diatasi melalui pengkorporatan universiti. Dengan ini universiti akan
bertenaga meningkatkan kewibawaan dan memulakan anjakan paradigma
barunya membawa era pendidikan bertaraf antarabangsa. Autonomi universiti
akan digunakan untuk kepentingan korporat.
Pasaran pendidikan tinggi juga akan diperluaskan melalui pengeksportan
pendidikan ke negara lain di samping menarik pelajar ke Malaysia dengan
menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar utama bagi menjamin
kualiti, akauntabiliti dan kredibiliti pendidikan tinggi tempatan.
2. Reformasi pelbagai aspek organisasi pendidikan
Pendidikan bertaraf dunia adalah satu wawasan unggul bagi mereformasikan pelbagai
aspek organisasi pendidikan di semua peringkat persekolahan.
Ini termasuklah membaiki :
Kualiti pengajaran
Kualiti perkhidmatan
Kualiti kurikulum
Kualiti penilaian dan pensijilan
Kualiti pensyarah
Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar
Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi
Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti
Kualiti kepimpinan universiti
Kualiti penyeliaan
Kualiti mentoring
Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar
1. Perubahan Sistematik
Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang hendak dibuat
mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Dalam kontek Malaysia sistem pendidikan
mesti dibangunkan dan dibuat pembaharuan supaya ia dapat memenuhi tuntutan
wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembangunan
sumber manusia dari segi kuantitif dan kualitif. Perubahan dan pembaharuan adalah
berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia,
impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin dapat
dicapai.
Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pendidikan membuat pembaharuan yang
disifatkan sebagai sesuatu yang mesti menjangkau tempoh masa yang agak lama. Ia
mestilah bersifat sistematik iaitu ia tidak boleh terdiri dari satu komponen pendidikan
iaitu educational content, educational tools dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah
sedemikian rupa supaya perubahan menjadi lebih bersepadu, holistik serta
komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat secara menyeluruh dan dalam
kontek yang lebih luas.
Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang ada pada
Kementerian Pendidikan dalam membuat beberapa perubahan sistem pendidikan.
Pembentangan Rang Undang-Undang Pendidikan 1995 membolehkan reformasi
pendidikan dilaksanakan.
Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :
Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan
bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.
Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan
kebangsaan
Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun
Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan
Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan
Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta
Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-komponen lain
sistem pendidikan yang merangkumi ketiga-tiga komponen penting di atas iaitu isi
kandungan pendidikan, alat-alat pendidikan dan infrastruktur. Contohnya, apabila kita
mengubah kurikulum sekolah, faktor-faktor latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan
teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru, profesionalisme dan lain-lain lagi
hendaklah diambil kira.
Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya Institut Perguruan
Sultan Idris yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris. Sejajar
dengan peningkatan taraf ini, adalah diharapkan kewibawaan guru-guru akan
dipertingkatkan untuk melahirkan insan yang cemerlang.
Sehubungan dengan matlamat pendidikan bertaraf dunia, profesyen perguruan perlu
pengkajian semula. Profesyen perguruan di Malaysia memerlukan reformasi
profesionalisme yang radikal dan drastik bagi mengatasi masalah, cabaran dan
jangkaan baru dalam merealisasikan agenda-agenda pembangunan pendidikan
menjelang abad ke 21.
Imej dan status perguruan yang semakin tidak bermaya perlu dipulihkan segera.
Penawaran kursus-kursus perguruan lepasan diploma dan ijazah di institusi pengajian
tinggi adalah merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti dan status
profesyen perguruan.

1. Penggredan Universiti
Penggredan universiti sebagaimana yang diura-urakan oleh Kementerian
Pendidikan adalah satu langkah positif dan menunjukkan komitmen kerajaan
untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi selaras dengan wawasan
pendidikan bertaraf dunia. Secara tidak langsung perlaksanaan penggredan
universiti ini menggalakkan universiti tempatan mengambil inisiatif untuk
mempertingkatkan kualiti dan status pengajaran pensyarah dan profesor di
universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi
dan asas kaedah pengajaran.
Melatih semula pensyarah dan profesor khususnya dalam bidang baru seperti
teknologi maklumat, komputer, teknologi pendidikan adalah antara langkah-
langkah penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan dianggap
sebagai satu program perkembangan staf yang perlu dilaksanakan oleh institusi
pengajian tinggi yang ingin berkembang secara progresif dan dinamis.
2. Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta
Penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang begitu banyak mempunyai
implikasi yang besar kepada perkembangan industri pendidikan negara.
Perlaksanaan program berkembar oleh insitusi-institusi swasta ini, membolehkan
wujudnya peluang pembelajaran yang lebih tinggi dari segi penawaran kursus-
kursus pengajian hasil dari kewujudan program berkembar, sekaligus
menyediakan penempatan pembelajaran yang lebih banyak.
Sehubungan dengan ini, pendidikan di Malaysia tidak hanya akan bergantung
kepada universiti-universiti tempatan yang sedia ada sahaja. Natijahnya, impian
negara untuk melahirkan bakal-bakal pekerja berilmu sebagaimana yang
disuarakan oleh Perdana Menteri dapat direalisasikan.
3. Kelonggaran Sistem Pendidikan
Pendidikan untuk satu dekad yang akan datang digerakkan dengan lebih dinamik untuk
melahirkan lebih ramai golongan pekerja berilmu sebagai langkah dan strategi
pembangunan sumber manusia yang penting untuk mempercepatkan proses
pembangunan negara. Selaras dengan wawasan 2020, Malaysia sedang menyusun
dan merangka satu paradigma perubahan ekonomi untuk menjadikan Malaysia negara
maju dan membangun sepenuhnya dalam bidang perindustrian.
Perubahan paradigma bagi memasuki alaf baru gelombang perubahan ekonomi dan
pembangunan sumber manusia abad ke 21 amat bergantung kepada peranan serta
dasar liberalisasi sistem pendidikan negara ke arah melahirkan lebih banyak pekerja
berilmu, rajin, tekun dan produktif.
Dalam satu ucapan dasarnya semasa mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC)
Malaysia di London, Perdana Menteri Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan
kerajaan Malaysia akan melonggarkan sistem pendidikan negara bagi membolehkan
pelajar dengan keputusan cemerlang di peringkat persekolahan meneruskan pelajaran
pada peringkat pengajian tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan
pekerja yang berilmu. Langkah melonggarkan peluang pendidikan ini dikira perlu
kerana negara kekurangan pekerja yang berilmu bagi menghadapi cabaran masa
depan terutama sekali dalam era teknologi maklumat abad ke 21.
Dengan mewajibkan semua murid mengikuti pendidikan awal di sekolah rendah secara
percuma di samping melonggarkan peluang pendidikan menengah dan tinggi, Malaysia
dikira akan mencapai satu taraf pendidikan yang maju di dunia. Malaysia juga dikira
mempunyai kadar buta huruf yang rendah berbanding dengan negara-negara
membangun yang lain.
Kelonggaran sistem pendidikan juga menjadi satu strategi untuk merapatkan jurang
kemiskinan dalam masyarakat. Pendidikan, latihan dan pembangunan tenaga manusia
mempercepatkan perubahan sosial, meningkatkan produktiviti, membentuk
warganegara yang produktif, menjadi penggerak kepada pembangunan sains dan
teknologi dan kegiatan ekonomi moden selaras dengan kemajuan yang ingin dipelopori
melalui pendidikan bertaraf dunia.
Perubahan alaf baru pembangunan negara abad ke 21 juga memerlukan ribuan tenaga
mahir dan tenaga profesional yang berilmu. Oleh sebab itu pelaburan pendidikan yang
merupakan agenda pembangunan sosial juga menjadi satu agenda yang amat
mendesak bagi meliberalisasikan peluang pendidikan dan latihan ke arah pembentukan
pekerja berilmu.
Langkah bagi melahirkan pekerja berilmu mendorong sesebuah negara
memperuntukan pelaburan yang tinggi dalam pendidikan dan latihan. Langkah ini juga
selaras dengan Teori Modal Manusia (Human Capital Theory) yang menganggap
pendidikan sebagai satu strategi penting bagi meningkatkan potensi modal manusia
seperti kepakaran, kemahiran, berpengetahuan, efisyen, produktif, berdedikasi dan
kreatif, sikap yang baik terhadap kerja dan sebagainya.
CABARAN KE ARAH MENUJU PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.
Dalam Malaysia kearah menuju pendidikan bertaraf dunia, kita tidak dapat lari daripada
cabaran-cabaran yang boleh memberi kesan kepada dunia pendidikan. Di antara
cabaran-cabaran tersebut ialah :
1. Penghijrahan pensyarah (brain drain)
Penghijrahan pensyarah institusi pengajian tinggi awam bukanlah satu fenomena
yang baru. Ia telah lama berlaku. Menurut Encik Wan Mokhtar Wan Yusuf (
Y.D.P. Persatuan Kakitangan Akademik UKM), penghijrahan ini merupakan satu
fenomena biasa yang sering berlaku dalam mana-mana sektor. Penghijrahan ini
sepatutnya dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar yang
bertambah dalam sektor pendidikan swasta sejajar dengan perkembangan
pendidikan negara ini.
Persoalannya apakah penghijrahan pensyarah menjadi satu ancaman kepada
pendidikan di negara ini ? Sudah tentu pasti kerana untuk menghasilkan seorang
pensyarah bukannya satu perkara yang mudah. Institusi pengajian tinggi awam
menghadapi saingan untuk memikat graduan ijazah pertama sewaktu mereka
menamatkan pengajian. Memang tidak dapat dinafikan sektor swasta
menawarkan skim gaji dan beberapa kemudahan yang menarik berbanding
dengan apa yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi awam.
Dilihat dari sudut yang lain, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi memberi
ruang kepada pensyarah institusi pengajian tinggi awam memilih haluan karier
masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada agensi-agensi yang
berada di bawah naungan Kementerian Pendidikan. Penghijrahan pensyarah
bukan sahaja disebabkan oleh gaji pensyarah yang kecil tetapi juga harus dilihat
dari pelbagai sudut sama ada ia berbentuk peribadi atau sebaliknya. Banyak lagi
faktor lain yang dapat dikaitkan seperti tidak mendapat pengiktirafan pada masa
yang diharapkan, rasa terkongkong dan sebagainya. Penghijrahan pensyarah
sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada institusi pengajian tinggi swasta
sahaja, malahan ia juga melibatkan sektor yang lain seperti sektor swasta, sektor
kerajaan atau bekerja sendiri.
2. Dominasi Jantina Dalam Profesyen Perguruan
Keunggulan idealisme perguruan di negara ini menjadi semakin malap apabila
profesyen perguruan ini dimonopoli oleh kaum wanita. Trend yang berlaku
sekarang menunjukkan profesyen perguruan pada masa kini dan menjelang
pada abad 21 akan terus dimonopoli oleh wanita. Salah satu implikasi negatif
pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesyen ini ialah
meluasnya pelbagai perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja,
keruntuhan moral, masalah disiplin, jenayah berat yang semakin meluas berlaku
disebabkan komitmen yang rendah dan ketidakmampuan guru wanita
menangani masalah sosial yang semakin mencabar.
Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosialisasi yang lemah
sekaligus menunjukkan profesyen perguruan tidak berkemampuan dalam
menangani masalah asas pendidikan yang dihadapi oleh masyarakat pada masa
ini dan menjelang abad ke-21. Perasaan ketidakpuasan hati di kalangan guru
dalam profesyen perguruan kebelakangan ini telah meningkat dengan begitu
tinggi.
Ini disebabkan meningkatnya beban kerja dan jangkaan yang pelbagai yang
dilakukan oleh guru. Fenomena ini juga mendorong ramai bilangan guru ingin
berhenti dan memohon untuk pilihan bersara daripada profesyen ini. Selain itu,
kaum guru tidak dapat melarikan diri daripada menjadi sasaran kritikan kerana
pendidikan adalah sentiasa terbuka kepada penilaian dan akauntabiliti pelbagai
pihak.
Banyak pekembangan terbaru yang berlaku yang memerlukan golongan
pendidik di negara ini lebih bersifat profesional dalam melaksanakan tugas dan
menangani masalah rumit yang berkembang dalam masyarakat sekarang.
Kemalangan yang berlaku dari masa ke semasa mendedahkan golongan
pendidik di negara ini dengan pelbagai tekanan psikologi dan mental yang
memerlukan semangat kental dan kesabaran kaum guru.
3. Peperiksaan Mengikut Keupayaan.
Konsep baru peperiksaan yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang
memberi peluang kepada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan,
dikira akan memberi kesan yang luas kepada sistem penilaian dan sistem pelajaran di
sekolah.
Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak
ini, sudah tentu mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan
pelajar. Murid-murid sememangnya berbeza dari segi kebolehan dan kecerdasan
mereka. Ini menyebabkan sebilangan murid didapati lebih mudah dan cepat menguasai
sesuatu pelajaran dan kemahiran berbanding dengan segolongan lagi murid yang
lemah dan lembab.
Banyak faktor yang menyebabkan mengapa perbezaan ini wujud dan memberi kesan
pada pencapaian individu murid. Dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan
faktor sosioekonomi khususnya latar belakang keluarga seperti pekerjaan, pendapatan
dan pendidikan ibu-bapa mempunyai kesan yang amat besar kepada pencapaian
murid-murid. Konsep peperiksaan yang memberi peluang pelajar mengambil
peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan
menggalakkan pelajar yang pintar dan cerdik atau murid-murid yang telah pun bersedia
boleh mengambil peperiksaan lebih awal bagi tahap-tahap tertentu.
Isu kritikal di sebalik perlaksanaan sistem peperiksaan ini ialah ia boleh
menggoncangkan sistem persekolahan kerana ia boleh menjadi alat untuk
mengukuhkan kedudukan dan pengaruh golongan elit dan golongan berada mendapat
pengiktirafan memihak kepada kepentingan mereka berbanding anak-anak golongan
kurang berada dan golongan miskin.
Liberalisme konsep peperiksaan mengikut keupayaan bagaimanapun dikira akan
memberi peluang kepada pelajar lemah menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya
mereka duduki mengikut sistem peperiksaan berjadual sehingga mereka benar-benar
yakin dan bersedia. Soalnya, sehingga bilakah pelajar yang lemah boleh membina
keyakinan mereka untuk menduduki peperiksaan dan adakah mereka yakin mereka
akan berjaya dalam peperiksaan.
Peratusan dan bilangan besar pelajar lemah di sekolah didapati tidak mempunyai
keyakinan dan harapan yang mereka akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Sistem peperiksaan yang diujudkan juga lebih cenderung untuk mengukur kebolehan
dan kecerdasan yang mirip kepada pelajar berkebolehan tinggi di samping ia
mengiktiraf kegagalan pelajar lemah dan kurang kebolehan dari segi akademik.
Sistem peperiksaan yang dikira liberal ini juga tidak menjadikan sesuatu perubahan
kepada yang berkebolehan rendah. Meliberalisasikan konsep peperiksaan tanpa
mengubah rancangan dan program pendidikan untuk memperbaiki kelemahan
akademik golongan berkebolehan rendah sudah tentu tidak memberi apa-apa makna
ke arah merintis masa depan yang cerah kepada golongan yang berkebolehan rendah.
Selain itu, boleh ditimbulkan satu persoalan disini, apakah falsafah dan rangka ideologi
yang mendasari konsep peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini ?
Adakah ia boleh dikira satu perubahan yang penting ke arah menyumbang reformasi
sistem peperiksaan yang sedia ada ? Setakat manakah falsafah dan konsep
peperiksaan mengikut keupayaan ini memberi faedah dan mendukung wawasan
pendidikan untuk melahirkan warga negara yang seimbang serta berketrampilan ?
Cadangan dikemukakan bagi menjadikan sistem peperiksaan dan persekolahan dan
pengajian tinggi di negara kita lebih fleksible dengan cara membenarkan pelajar
merujuk buku dan bahan-bahan yang dikirakan penting semasa di bilik peperiksaan.
Bagaimanapun ia dianggap tidak praktikal dari segi keboleh percayaan dan validitinya
sesuatu peperiksaan. Idea ini juga dikira mempunyai kecenderungan mengalakkan
pelajar meniru dalam peperiksaan yang sukar dikesan.
Salah satu amalan negatif peperiksaan mengikut keupayaan ialah menkelaskan pelajar
mengikut kelas dan kriteria baik, sederhana baik, lemah dan sebagainya. Amalan ini
juga dikenali sebagai "streaming" atau pengaliran. Pengaliran biasanya dibuat oleh
pihak sekolah mengikut pencapaian keseluruhan pelajar, dan kedudukannya yang
bersiri di kalangan pelajar di tahap yang sama.
Konsep peperiksaan seperti ini mengalakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat
tuisyen yang memberi keuntungan yang lumayan di samping mengekspoitasi murid dan
ibu bapa demi mendapatkan kelulusan yang baik di dalam peperiksaan yang diadakan.
Pertumbuhan pusat-pusat tuisyen adalah satu fenomena yang tidak sihat dan ia
mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan sistem persekolahan di negara ini
yang kurang cekap menjamin kejayaan yang baik di dalam peperiksaan. Selain itu
peperiksaan akan mempengaruhi ibu bapa sehingga boleh memberi tekanan mental
dan psikologi kepada anak-anak mereka semata-mata didorong oleh desakan untuk
mencapai kejayaan yanga cemerlang.
Kejayaan di dalam peperiksaan dikira merupakan satu tiket untuk mendapatkan
peluang pekerjaan yang lebih baik di samping untuk mendapatkan tempat memasuki
institusi pengajian tinggi yang begitu berpegang teguh kepada merit dan prinsip
kecemerlangan pencapaian akademik seseorang pelajar.
Dilihat dari perspektif sosiologi, radikal, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan
mendorongkan kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang
mencerminkan realiti keadaan persaingan dan pergelutan masyarakat di luar sekolah.
Keseluruhan falsafah, prinsip, dan proses pendidikan akan terjejas sekiranya sistem
peperiksaan yang mendasari wawasan pendidikan itu menyimpang dari matlamat-
matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan insan yangg seimbang
dan sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan proses persekolahan yang
progresif dan dinamis.
CADANGAN MENANGANI CABARAN KEARAH MERIALISASI PENCAPAIAN
MATLAMAT PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.
Meningkatkan profesionalisme perguruan
Adalah amat mustahak diingat golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa
menghidupkan motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi
cabaran-cabaran baru, disamping meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai
golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi oleh murid, ibubapa dan masyarakat.
Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan
menangani masalah asas pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah
di antara krisis pendidikan yang mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di
negara-negara membangun khususnya di Malaysia memerlukan resolusi yang lebih
redikal dilakukan. Profesyen perguruan boleh dikatakan tidak banyak mengalami
perubahan dari segi inovasi dari segi teknologi walaupun perkembangan teknologi
maklumat berlaku dengan pesatnya dan dalam sektor-sektor lain.
Selaras dengan perubahan era multimedia dan teknologi maklumat profesyen di negara
ini perlu di reformasikan supaya ia benar-benar mampu menjadi agen perubahan
kepada budaya literasi teknologi, khususnya bagi melahirkan masyarakat yang celik
komputer dan bersikap terbuka bagi mengembangkan budaya saintifik.
Pendidikan guru perlu di reformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa
dengan ilmu pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang
progresif, dapat mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk
membangunkan generasi muda yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan moral
yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan dan perubahan.
Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat membangun seperti Malaysia
menjelang abad ke 21 tidak seharusnya di bataskan di atas andaian dan pandangan
yang sempit. Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan peranan
golongan guru sudah tentu akan merugikan masyarakat dan negara.
Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi
mencorakkan perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain,
profession perguruan yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat
kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut
dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. Profesyen perguruan perlu diberi ruang
yang lebih terbuka supaya konsep memasyarakatkan sekolah, murid, pendidikan dan
guru boleh memberi faedah yang besar kepada pembangunan masyarakat setempat.
Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung
kepada profesyen perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif.
Profesyen perguruan yang dinamis perlu melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti,
sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika profesionalisme pendidikan,
berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan pendidikan yang
berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong
belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk
berubah.
Usaha-usaha lain sepearti melatih pensyarah bagaimana mengajar di institusi
pengajian tinggi. Langkah ini turut mencadngkan supaya pensyarah-pensyarah
universiti mestilah memiliki diploma pendidikan bagi membolehkan mereka melayakkan
diri untuk mengajar. Walaupun mendapat reaksi yang "panas dan sinis" daripada
pensyarah dan professor, cadangan ini bagaimanapun perlu dianggaap sebagai satu
cadangan yang positif bagi meningkatkan kualiti pengajaran pensyarah dan profesor di
universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan
asas kaedah pengajaran.
Mengatasi masalah "Brain Drain" di kalangan pensyarah
Kebanyakkan pensyarah yang memilih kerjaya ini adalah kerana komited dengan apa
yang dilakukan. Penyelidikan menjadikan visi hidup mereka. Kerjaya sebagai
pensyarah mempunyai banyak insrintik yang terus menambat hati pensyarah agar terus
kekal di institusi pengajian tinggi.
Namun apa yang menyebabkan wujudnya masalah 'brain drain' antaranya ialah
layanan yang mereka terima berbanding dengan pensyarah yang berrkhidmat di luar
negara. Wan Mokhtar mempersoalkan apakah adil hanya menggangapkan pensyrah
yang berkhidmat di luar negara ditawarkan dengan gaji yang berlipat ganda apabila
kembali ke Malaysia, sedangkan antara keduanya mempunyai kemahiran dan
pendedahan yang sama.
Dalam menangani isu ini, ia melibatkan banyak pihak. Namun begitu ia bukanlah
sesuatu perkara yang sukar. Kerajaan sebagai tunggak, hendaklah peka dengan
keperluan dan tuntutan semasa institusi pengajian tinggi awam agar penghijrahan
keluar pensyarah dapat di atasi. Jangan biarkan pensyarah meminta-minta hak mereka
kerana martabat pensyarah amat tinggi kedudukannya.

Memperbaiki Kualiti Sistem Peperiksaan
Adalah penting langkah dan strategi pembaharuan dilakukan oleh Kementerian
Pendidikan bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti sistem peperiksaan. Sistem
peperiksaan yang dibentuk bukan sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-
mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan dan kualiti serta potensi individu sejajar
dengan falsafah pendidikan negara.
Peperiksaan yang menekankan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak
memberi gambaran menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Selain itu, langkah-
langkah perrlu dibuat bagi memperbaiki kualiti dengan menekankan aspek-aspek
kognitif dengan menguji kebolehan pelajar dari segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik,
pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta, penyelaisaian masalah, aplikasi, membuat
penilaian dan sebagainya.
Konsep peperiksaan berterusan dalam konteks sekolah perlu di ambil kira sebagai
kriteria keseluruhan mengukur perkembangan masyarakat yang sihat, berdaya maju
dan cemerlang di samping memberi peluang kepada kepada setiap orang untuk
mencapai rasa kejayaan dan penghargaan diri.
Perubahan asas dalam sistem pendidikan perlu dibuat. Perubahan ini bukan bersifat
kosmetik tepi perubahan substantif supaya kurang berorientasikan peperiksaan.
Antaranya cadangan supaya tiga peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada
dua. Ini akan mengurangkan tekanan.
Antara perubahan tersebut ialah membolehkan kegiatan ko-kurikulum diambil kira untuk
memasuki universiti. Ketika ini sepuluh peratus daripada nilai markah kemasukan
universiti datangnya daripada aktiviti ko-kurikulum. Apabila kita berubah kepada
sekolah bestari nanti, penekanan akan diberikan kepada soal penguasaan ilmu dan
kemampuan pelajar mengikut kemampuan sendiri iaitu konsep kendiri.
KETERSEDIAAN PENDIDIK MENGHADAPI REFORMASI PENDIDIKAN
Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia kejalan
yang betul dalam pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah.
Mereka bertanggungjawab mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran,
keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai
dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya. Dalam menuju alaf baru
pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat
mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan
progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta
atau mencari, daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada
perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif
dan daripada pasif kepada progresif.
Sebelum perlaksanaan reformasi dibuat secara total ke atas sistem pendidikan negara,
apakah semua yang akan terlibat dalam mendokong dan melaksanakannya telah
tersedia? Kementerian Pendidikan perlu terlebih dahulu memastikan semua dalam
keadaan bersedia bagi mendokong semua dasar atau sistem baru yang lebih futuristik.
Janganlah semua kesilapan seperti pengenalan kurikulum baru sekolah rendah
(KBSR), subjek alam dan manusia (ADM), dasar disiplin dan sistem kenaikan pangkat
baru berdasarkan kepada kelayakan akademik berulang lagi - kasihan generasi remaja
kita yang menjadi mangsa kerana impak dari kesilapan penghitungan dalam menanam
modal dalam"komoditi pendidikan", ia akan memberi impak jangka panjang. Sebagai
contoh, hasil daripada kegagalan KBSR dan subjek ADM yang dilaksanakan 10 tahun
dahulu, bahangnya kita dapat rasai kini dengan kurangnya pelajar kita (melayu
khususnya) yang berminat unutk memilih sains sebagai bidang pilihan mereka di IPT.
Pendidikan telah mempunyai agendanya untuk menubuhkan Sekolah Bestari,
Pendidikan Bertaraf Dunia, Guru Bertaraf Dunia dan berbagai lagi yang akan bertaraf
dunia. Persoalannya, apakah semua kominiti guru telah bersedia untuk mengikut arus
reformasi yang akan mendatang dalam era pasca Teknologi Maklumat masa kini ? Ada
baiknya fenomena ini dibetulkan terlebih dahulu sebelum memikirkan reformasi
pendidikan secara total. Janganlah anjakan paradigma itu dibuat berkelompok-
kelompok, biar ia menyeluruh kepada semua golongan pendidik. Kerana mereka inilah
yang akan membina asas-asas yang mantap dan teguh.

Kesimpulan
Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan
masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu
bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan
negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab,
inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan
negara. Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan seluruh
tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah
memberikan komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.

Anda mungkin juga menyukai