Anda di halaman 1dari 6

Pengurusan Sumber Manusia

Pengenalan
Manusia merupakan elemen dan sumber yang paling utama dalam sesebuah organisasi.
Mereka ini dikenali sebagai pekerja. Dalam apa-apa bentuk organisasi yang mantap, hanya
akan wujud dengan memiliki pekerja yang berkualiti serta berkebolehan tinggi. Selain
daripada itu program latihan yang berkesan juga penting dalam memberikan motivasi kepada
pekerja. Organisasi yang baik adalah yang berkeupayaan dan upah yang setimpal untuk para
pekerja, serta hak-hak dan layanan yang baik terhadap pekerja. Dalam dunia yang serba
moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dari manusia.
Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan
komuniti disekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan sebuah keluarga, komuniti
atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara.
Pengurusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep
pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu pengurus , organisasi dan tatacara atau
garis panduan pengurusan. Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan
mempunyai hubungkait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan oleh pengurus yang
adakalanya bertindak sebagai master-mind dan pada satu keadaan yang lain pengurus juga
bertindak sebagai pelaksana. Sebagai master-mind, pengurus bertindak memimpin
kelompok subordinat yang bertindak menterjemah segala visi, misi dan objektif dalam bentuk
perlaksanaan yang akan dijalankan mengikut jadual perancangan yang digariskan. Usaha
untuk mengarah dan memantau perkembangan proses perlaksanaan dikendalikan oleh
pengurus dengan dengan pendekatan yang subjektif berdasarkan gaya kepimpinan dan
kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi yang unik dan tersendiri. Sebagai
pelaksana pula, pengurus bertindak membimbing dan pada masa yang sama bergerak seiring
bersama subordinat untuk melaksanakan visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan.
Segolongan daripada organisasi-organisasi besar di beberapa negara telah pun menerima
hakikat bahawa pekerja adalah aset terpenting mereka. Mengikut prinsip ini, tenaga pekerja
anda dapat membantu memajukan dan meningkatkan prestasi organisasi. Teknologi adalah
penting. Tetapi ia tidak dapat mengambil alih peranan pekerja anda. Aset-aset lain seperti
kewangan, bangunan, alat-alat, teknologi dan sebagainya hanya bernilai jika pekerja
menggunakan kebijaksanaan dan kepakaran mereka dalam pengurusannya.
Apakah langkah yang organisasi anda akan ambil mengenai perkara yang sangat penting
ini?
Organisasi anda tidak mempunyai banyak pilihan jika ia ingin terus bersaing dalam suasana
perniagaan yang semakin menjadi rumit dan kompetitif. Pekerja anda akan dapat membantu
dalam aspirasi ini. Oleh itu pengurusan perlu tahu dan perihatin dengan kehendak setiap
pekerjanya. Ini kerana pekerja adalah pemangkin utama yang menjana, menggerakkan dan
menyelaras sumber bagi mencapai matlamat organisasi.
Latar Belakang Konsep Pengurusan Sumber Manusia
MacLaughlin (1983) ada menyatakan bahawa konsep pengurusan sumber manusia telah
muncul sejak tahun 1960an lagi. Pengaruh aliran kelakuan di Amerika Syarikat telah
membawa kepada kemunculan konsep hubungan pekerja sebagai satu cabang atau variasi
pengurusan personel. Ini kemudiannya berkembang menjadi pengurusan sumber manusia.
Seterusnya semenjak tahun1980an, pengurusan sumber manusia merupakan istilah yang
sering digunakan untuk merujuk kepada amalan pengurusan tenaga kerja sehinggalah ke hari
ini. Terdapat 6 faktor yang menjelaskan kenapa minat terhadap pengurusan sumber manusia
meningkat (Guest, 1987). Iaitu keinginan untuk mencari lebih banyak persaingan,
kemunculan model-model negara-negara cemerlang, kegagalan pengurus-pengurus personel
menggalakkan amalan pengurusan tenaga kerja dengan lebih berkesan, kemerosotan
pengaruh kesatuan sekerja, perubahan sifat tugas serta tenaga kerja dan kemunculan teori
serta model baru dalam pengurusan.
Definisi
Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses
kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai
garis panduan tertentu. Kata kerja mengurus (management) berasal dari bahasa Itali
maneggiare iaitu menangani dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin
manus (tangan). Perkataan bahasa Perancis mesnagement telah banyak mempengaruhi
perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris management pada abad-abad ke 17 dan
18. Pengurusan itu terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri
daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan mengharmonikan
kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringkali merangkumi sumber
sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi. Pengurusan juga boleh
merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan.
Mary Parker Follet (1868 -1933) menyatakan bahawa pengurusan adalah sebagai seni untuk
mencapai sesuatu melalui orang lain. Pengurusan juga boleh ditakrifkan berdasarkan
fungsinya sebagai tindakan untuk mengukur sesuatu kuantiti pada tempoh-tempoh yang
tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubahsuai rancangan asal ataupun tindakan untuk
mencapai maklumat yang dirancang. Pengurusan juga adalah proses merancang,
mengorganisasi , memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi dan menggunakan
sumber-sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan.
Sumber manusia yang ditadbir dengan cekap dan berkesan dapat menghasilkan pekerja yang
berkemahiran serta berprestasi tinggi. Ini adalah amat penting dalam menentukan pencapaian
misi serta visi organisasi. Untuk itu diwujudkan Jabatan Pengurusan Sumber Manusia di
dalam sesebuah organisasi. Melaluinya amalan pengurusan dapat dilaksanakan demi untuk
mengekalkan tenaga kerja yang lebih efektif. Sesuatu isu jika tidak ditangani dengan betul
dan teliti boleh mengakibatkan kesan dan implikasi yang buruk ke atas sesebuah organisasi,
seterusnya menjejaskan imej dan reputasi organisasi tersebut. Dalam menangani pelbagai isu
yang timbul akibat daripada perubahan-perubahan yang mempengaruhi persekitaran
pekerjaan, pelbagai faktor dan implikasi ke atas sesebuah organisasi itu perlu
dipertimbangkan, seperti faktor dasar, implikasi kewangan serta pembangunan dan
pengurusan sumber manusia yang menjadi asset utama sesebuah organisasi. Oleh itu,
pengurusan yang mapan sumber manusia mampu mengatasi sebarang permasalahan dan
kesulitan yang disebabkan oleh gelagat dan perlakuan manusia, selain daripada faktorfaktor
persekitaran yang mempengaruhi pembangunan sumber manusia itu sendiri. Beberapa dekad
kebelakangan ini mempamerkan satu gelombang transformasi yang melanda dunia, yang
menyentuh hampir kesemua aspek kehidupan manusia sejagat. Fenomena globalisasi ini
muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestic yang
membolehkan ekonomi, politik, budaya dan ideologi sesuatu negara menerobosi sempadan
negara lain (Abdul Rahman Embong, 2000). Keadaan ekonomi dunia dan persekitaran global
jelas memberi kesan tertentu kepada keupayaan negara untuk menangani cabaran
pembangunan dan pengurusan sumber manusia. Justeru keperluan perubahan dalam
membangun dan mengurus sumber manusia merupakan kriteria penting yang berupaya
menentukan keupayaan daya saing negara. Di dalam perancangan sumber manusia, adalah
penting untuk pengurus membangunkan strategi pengurusan yang lebih sistematik serta
komprehensif (berkesan) yang melibatkan 2 bahagian utama iaitu memahami keperluan
semasa pekerja dan meramalkan keperluan pekerja pada masa depan.

Pengurusan pekerja berhubung-kait dengan aktiviti-aktiviti lain yang perlu dilaksanakan oleh
organisasi. Perkara-perkara seperti pemasaran, pengeluaran, perakaunan, kewangan, kajian
dan pembangunan, dan pengurusan sistem maklumat adalah penting. Fungsi pengurusan
pekerja adalah untuk membantu meningkatkan keberkesanan aktiviti-akitiviti ini. Sebagai
contoh strategi pengurusan sumber manusia harus digunakan di dalam pengurusan
perniagaan. Adalah amat penting untuk mengetahui bahawa, antara sifat utama konsep
pengurusan sumber manusia ialah penekanan kepada pengurusan tenaga kerja yang strategik.
Ini membawa maksud bahawa amalan pengurusan sumber manusia itu sendiri, adalah
merupakan sesebuah organisasi yang mana hendaklah, memenuhi kehendak strategik
organisasi. Teori pengurusan sumber manusia yang strategik menunjukkan pendekatan yang
berorientasikan strategi, seharusnya menghasilkan amalan pengurusan sumber manusia yang
mempunyai kesan positif terhadap prestasi organisasi tersebut.










Bibliografi
1. Guest, D. 1987. Human Resource Management and Industrial Relations. Journal of
Management Studies, 24 (5): 503 521.

2. MacLaughlin, D. 1986. The Turning Point in Human Resource Management. In
Foulkes (ed) Strategic Human Resource Management: A Guide For Effective
Practice. Englewood Cliffs: Prentice Hall.

3. Mary Parker Follett, Elliot M. Fox, Lyndall Fownes Urwick. 1977. Dynamic
Administration: The Collected Papers of Mary Parker Follett. New York: Hippocrene
Books.

4.

Anda mungkin juga menyukai