Anda di halaman 1dari 6

October 24, 2012

MEMAHAMI POLEMIK HUDUD


DI MALAYSIA
MEMAHAMI POLEMIK HUDUD DI MALAYSIA
Zulkifli Hasan
Pendahuluan
Setelah beberapa tahun isu hudud tenggelam dalam perbincangan arus perdana, ianya kembali
hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek baru-baru ini
semasa Perhimpunan Agung MCA semakin menghangatkan suasana apabila terang-terangan
menghina dan mempersoalkan hukum hudud walaupun ianya menyentuh sensitiviti agama dan
aqidah umat Islam. Lebih mengecewakan ialah majlis ini dihadiri oleh pimpinan utama negara
dan tiada teguran ataupun sebarang bentuk protes yangditunjukkan. Menurut pemerhatian, sejak
akhir-akhir ini MCA begitu konsisten dan tanpa berselindung telah sering kali menyentuh
sensitiviti agama demi survival politik.
Sehubungan dengan kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek ini, badan-badan bukan kerajaan seperti
ABIM, PEMBELA, MAPIM dan lain-lain telah mengeluarkan kenyataan keras menegur dan
membantah kelakuan dan kebiadapan yang dilakukan oleh pimpinan MCA ini. ABIM
umpamanya telah beberapa kali cuba untuk berdiplomasi dengan Datuk Seri Chua Soi Lek dan
pernah menyerahkan teguran berserta dengan makalah-makalah yang menerangkan undang-
undang hudud dari perspektif yang lebih terbuka dan adil. Namun pendekatan ini dilihat tidak
berkesan dan polemik hudud ini terus dimainkan tanpa berselindung lagi. Seiring dengan
polemik ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan dalam isu ini sama ada untuk
menimbulkan persoalan atau bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan
undang-undang Hudud di Malaysia.
Melihat kepada isu ini secara lebih jujur dan adil, pandangan yang bersandarkan kepada ruang
lingkup undang-undang, realiti masyarakat, bidang kuasa dan kehendak rakyat umum perlu
diberikan perhatian serius. Respons yang beremosi dan tidak sensitif tanpa ilmu hanya akan
memburukkan lagi keadaan bahkan akan mengakibatkan kesalahfahaman masyarakat pada isu
yang sepatutnya diselesaikan secara hikmah.
Seiring dengan hasrat untuk membincangkan isu ini secara ilmiah dan jujur, penulis telah
meninjau dan membuat analisis ringkas terhadap kenyataan dan pandangan ahli politik,
agamawan, peguam serta orang awam terhadap isu hudud ini. Di samping itu, penulis juga
berkesempatan menemubual Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia, Profesor Andrew
James Harding, Profesor Undang-undang Universiti Victoria, Kanada. Artikel ini juga ingin
mengetengahkan pandangan-pandangan dan kajian di peringkat antarabangsa mengenai hudud
dan hubungannya dengan hak asasi manusia. Berdasarkan kepada sorotan literatur, analisis
kenyataan, pandangan pakar perlembagaan, kajian dan pandangan sarjana di peringkat
antarabangsa ini, penulis merumuskan bahawa perlaksanaan undang-undang Hudud adalah
bertepatan dengan hak asasi manusia dan ianya boleh dilaksanakan di Malaysia dengan beberapa
pendekatan. Bagi membincangkan topik ini, artikel ringkas ini dibahagikan kepada empat
bahagian iaitu pendahuluan, analisis kenyataan di akhbar, pandangan pakar perlembagaan, hudud
selaras dengan hak asasi manusia dan kesimpulan.
Kenyataan-Kenyataan Mengenai Hudud
Sebelum analisis dibuat, penulis menyenaraikan kenyataan dan pandangan pimpinan kerajaan
Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Agamawan, Peguam dan pandangan awam yang
dilaporkan di akhbar arus perdana. Ringkasan yang dimuatkan dalam artikel ini akan dapat
memperlihatkan komitmen dan tasawwur individu ataupun parti politik dalam berbicara
mengenai undang-undang hudud di Malaysia.
Kenyataan Ahli Politik Barisan Nasional
(i) Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak: Kerajaan tidak akan laksanakan hukum hudud.
Elemen undang-undang Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia.
(ii) Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin: Malaysia tidak bersedia untuk
laksanakan hudud
(iii) Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek: MCA akan keluar BN jika UMNO laksanakan
hudud. Perlaksanaan hudud akan memberi kesan pada pelaburan asing dan boleh menyebabkan
1.2 penduduk hilang pekerjaan.
(iv) Menteri Pertahanan, Dato Seri Zahid Hamidi: Hukum hudud belum dapat dilaksanakan
kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk negara ini.
(v) Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin: Gesa agar kerajaan pusat meminda perlembagaan
bagi membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.
(vi) Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong: Mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat
berkenaan hudud sebagai usaha yang tidak berguna kerana setiap parti anggota pakatan itu
mempunyai pendirian dan ideologi berbeza dalam pelaksanaan hukum hudud.
(vii) Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang: Pemimpin PAS mempunyai impian peribadi
untuk melaksana undang-undang tersebut. PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah
negara yang berbilang kaum dan agama. Adalah tidak wajar PAS memaksa pandangan mereka
ke atas semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
(viii) Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie mendakwa Hudud PAS membenarkan
merogol wanita bukan Islam.
Kenyataan Ahli Politik Pakatan Rakyat
(i) Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim: Hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan
hudud sewajarnya dihormati.
(ii) Pengerusi DAP, Karpal Singh: Tidak bersetuju dengan pendirian Dato Nik Abdul Aziz yang
mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
(iii) Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tetap dengan pendirian untuk menegakkan
hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.
(iv) Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan: Mempertahankan hak PAS untuk melaksana undang-
undang Enakmen Jenayah Shariah II Kelantan 1993 serta Enakmen Jenayah Shariah
Terengganu 2003.
(v) Pakatan Rakyat: Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakan Hudud. Untuk
melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan.
Kenyataan Agamawan
(i) Presiden Catholic Bishops Conference of Malaysia, Dr Paul Tan Chee Ing: Tiada bantahan
untuk melaksanakan hudud selagi mana terpakai kepada Muslim sahaja.
(ii) Mantan Mufti Perlis Profesor Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Pelaksanaan
hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan
zaman dan tempat.
(iii) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria: Menyokong hasrat Pas mahu melaksanakan hukum
hudud di Kelantan. Beliau juga secara keras menyatakan Datuk Seri Chua Soi Lek adalah tidak
layak membicarakan isu hudud.
(iv) Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya: Melaksanakan hukum hudud adalah kewajipan orang Islam
dan tidak boleh dipersoalkan.
Kenyataan Peguam dan Orang Awam
(i) Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee: Hudud tidak boleh dilaksanakan dalam kerangka
Perlembagaan Malaysia dan undang-undang sedia ada.
(ii) Mantan Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah: Hudud tidak boleh dilaksanakan
di Malaysia pada waktu ini berdasarkan kepada status Malaysia yang tidak berciri Islam
sepenuhnya.
(iii) Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw: Menyeru kerajaan Kelantan untuk
membuat referendum bagi meninjau kehendak rakyat terhadap undang-undang Hudud.
Pemerhatian dan Ulasan
Secara umumnya melalui pemerhatian dan pembacaan berdasarkan kepada kenyataan pelbagai di
atas, kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah seperti berikut:-
Pimpinan Barisan Nasional konsisten menolak perlaksanaan hudud dalam kerangka undang-
undang dan realiti masyarakat. Bahkan, MCA sebagai antara komponen utama Barisan Nasional
secara terang-terangan menghina dan merendah-rendahkan hudud yang sememangnya menjadi
sensitiviti umat Islam. Walaupun Khairy Jamaludin menyatakan pendirian untuk menggesa
kerajaan meminda undang-undang untuk membolehkan perlaksaan hudud di Kelantan, ianya
mungkin tidak boleh diambil kira untuk mewakili kerajaan Barisan Nasional atas dasar
pandangan peribadi dan juga kedudukan beliau di dalam kerajaan.
Pimpinan Pakatan Rakyat PKR dan PAS nampak seia sekata dalam isu ini dengan menghormati
hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Hudud. Namun begitu, DAP tetap
konsisten dengan pendirian mereka menolak sebarang idea perlaksanaan hudud termasuk
penubuhan negara Islam. Dalam ketidaksefahaman dan perbezaan ideologi ini, Pakatan Rakyat
telah bersepakat untuk menghormati pendirian masing-masing dan bersetuju untuk
mendahulukan agenda yang disepakati.
Menarik untuk diperhatikan ialah tatkala ada juga pimpinan Islam yang mempersoalkan
perlaksanaan hudud, pandangan Paderi Paul jelas memperlihatkan bahawa sekiranya ada
kefahaman yang baik dalam memahami isu ini, perlaksanaan hudud bukanlah satu perkara yang
boleh menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam di Malaysia. Para Mufti pula amat
konsisten dan sangat bertegas kepada keperluan melaksanakan hudud di Malaysia keranya ianya
merupakan tuntutan akidah.
Merujuk kepada pandangan peguam dalam isu ini, mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa
sebarang usaha ke arah perlaksanaan hudud di Malaysia mempunyai halangan dari segi ruang
lingkup undang-undang. Isu halangan undang-undang ini perlu diberikan perhatian kerana
sekiranya tiada pindaan dan perubahan pada beberapa undang-undang sedia ada, hudud tidak
akan dapat diimplementasikan di Malaysia.
Pandangan dari Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw menunjukkan kematangan dari segi
memahami realiti masyarakat di Malaysia. Idea yang menggesa referendum tinjauan kemahuan
dan kehendak rakyat di Kelantan boleh dijadikan kayu ukur dan penentu kepada hasrat rakyat
serta penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud.
Pandangan Pakar Perlembagaan
Berkesempatan menemubual Profesor Andrew Harding di mana karya penulisannya menjadi
buku teks wajib undang-undang perlembagaan kebanyakan fakulti undang-undang di Malaysia,
pandangan beliau yang lebih bersifat legalistic dan tidak berbau politik sangat baik untuk
dimanfaatkan. Walaupun banyak isu-isu yang dibincangkan semasa sesi dialog dengan beliau,
penulis hanya ingin menyatakan pandangan beliau berkenaan dengan perlaksanaan hudud di
Malaysia.
Amat menarik perbincangan kami apabila beliau dengan tegas menyatakan bahawa
Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Ini menunjukkan bahawa terdapat pengiktirafan
pada Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan. Bahkan tidak ada perkataan yang
menyatakan Islam sebagai agama rasmi negara tetapi apa yang termaktub ialah Islam adalah
agama persekutuan. Namun begitu, beliau berpandangan peruntukan ini tidak boleh dianggap
sebagai mutlak bagi membolehkan perlaksanaan hudud di Malaysia. Implementasi hudud
memerlukan pindaan perlembagaan dan beberapa undang-undang sedia ada yang sekiranya
dilihat dalam konteks komposisi kerajaan dan pembangkang sedia ada agak sukar untuk
dimaterialisasikan.
Menurut pemerhatian beliau, kebanyakan pandangan yang dilaporkan diakhbar adalah bersifat
politik dan ini tidak banyak memberikan manfaat. Beliau lebih cenderung untuk membicarakan
isu hudud ini dari aspek perundangan dan disesuaikan dengan realiti masyarakat di Malaysia.
Walaupun ada pandangan yang melihat bahawa Perlembagaan sedia tidak perlu dipinda untuk
melaksanakan hudud, beliau sangat tidak bersetuju dengan pandangan ini. Beliau dengan serius
menyatakan bahawa perlembagaan harus difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira
faktor aspirasi penggubal perlembagaan, pentakrifan, penafsiran dan banyak faktor perundangan
yang lain. Idea simplistic yang mengambil pendirian bahawa hudud boleh dilaksanakan di
Malaysia berdasarkan kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak tepat.
Hudud Selaras Dengan Hak Asasi Manusia
Sekiranya hudud ini dibicarakan secara ilmiah dengan berpandukan kepada fakta dan prinsip
fundamental, ianya pasti akan diterima secara terbuka oleh semua pihak. Bahkan akan
mengagumi keindahan Islam itu sendiri. Terdapat beberapa kajian dan makalah akademik yang
menyimpulkan bahawa hudud atau undang-undang jenayah Islam ini adalah bertepatan dengan
hak asasi manusia.
Sebagai contoh, laporan yang dibuat oleh Asian-African Legal Consultative Organization pada
2005 bertajuk Human Rights in Islam secara jelas menyatakan bahawa undang-undang jenayah
Islam termasuk hudud adalah bertepatan dengan hak asasi manusia bahkan ianya salah satu
mekanisma perundangan untuk melindungi hak asasi dan menjamin keamanan awam. Kajian
yang dijalankan oleh badan bebas ini menunjukkan bahawa hudud ini bukanlah sepertimana
yang difahami oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa yang memandangnya secara
negatif.
Pandangan yang sama dinyatakan olen Profesor Cherif Bassiouni yang juga dikenali sebagai
Father of International Criminal Law. Dalam artikel bertajuk Crimes and Criminal Process,
beliau telah membuat kesimpulan yang amat menarik mengenai falsafah undang-undang jenayah
Islam dan menyatakan the basic principles of Islamic criminal justice and the accuseds rights
are well articulated and developed in the various jurisprudential schools, and some are more
liberal than others. They correspond to many international human rights standards. Beliau
secara tegas menjelaskan bahawa undang-undang jenayah Islam termasuk hudud menepati
piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Pandangan ini juga disokong oleh Sam, S. Souryal dan
Dennis W. Potts di dalam kajian mereka bertajuk The Penalty Of Hand Amputation For Theft In
Islamic Justice. Kedua-dua sarjana ini bersetuju bahawa hukuman hudud bagi kes curi adalah
sangat bertepatan dengan konsep keadilan.
Kesimpulan
Polemik hudud di Malaysia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan isu yang membelenggu
rakyat Malaysia hingga kini. Isu ini dijuarai oleh ahli politik walaupun sepatutnya ia dibicarakan
secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan
berautoriti. Walaupun tidak dinafikan polemik hudud ini memberikan kesan negatif kepada
persepsi masyarakat kepada undang-undang Islam, tetapi dalam masa yang sama ianya boleh
menjadi pencetus kepada usaha ke arah penanaman pemahaman masyarakat. Ini dibuktikan
dengan sokongan paderi Paul dan Hu Phang Chaw, wakil kelab penyokong Pas berbangsa cina
yang secara terang-terangan tidak mempunyai sebarang masalah atau kegelisahan kepada idea
perlaksanaan hudud di Malaysia. Hal ini juga dibuktikan di Switzerland di mana Daniel Streich,
seorang ahli politik yang anti-Islam membantah pembinaan menara masjid dan sebagainya,
akhirnya memeluk Islam dan kini menjadi aktivis yang sangat aktif bergiat memperjuangkan
Islam di Eropah.
Semoga dengan perbincangan ringkas di dalam artikel ini akan dapat memberikan kefahaman
yang sewajarnya dalam memahami dan menghadami isu perlaksanaan hudud di Malaysia. Bagi
orang-orang Islam, mereka tiada pilihan kerana perlaksanaannya adalah tuntutan akidah.
Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam
seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk
melaksanakan undang-undang Islam. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi,
bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat merupakan faktor penentu kepada keharmonian
beragama di Malaysia.
Rujukan
AALCO. (2005). Human Rights in Islam. New Delhi: Asian-African Legal Consultative
Organization.
Bassiouni, Cherif. Crimes and Criminal Process, Arab Law Quarterly, Vol. 12, No. 3 (1997), pp.
269-286.
Khairul Anuar Abdul Samad. (2011, 22 September). Nik Aziz mahu laksana hudud, Berita
Harian.
Masami Mustaza. (2011, 29 Oktober). Law doesnt allow for hudud in states, New Straits Times.
n.a. (2011, 25 September). Najib: No hudud in Malaysia, Star Malaysia.
n.a. (2011, 23 September). Hudud feud: Anwar backs it, Karpal says no but Kelantan MB
remains adamant, Star Malaysia.
Normairah Jamaluddin, (2011, 5 Disember). Fahami Maksud Sebenar Hudud, Utusan Malaysia.
Sam, S. Souryal and Dennis W. Potts, The Penalty Of Hand Amputation For Theft In Islamic
Justice, Journal of Crtminal Justice, (1994), 22 (3), pp. 249-265
Sylvia Looi And Elween Loke. (2011, 6 Disember). Liow: Hudud Affects All Races, Star
Malaysia.
Yow Hong Chieh. (2011, 4 Disember). Soi Lek: Hudud Akan Musnah Ekonomi Malaysia, Bawa
Binasa Diri, Malaysian Insider.
Yow Hong Chieh. (2011, 27 Oktober). Dr M: Hudud Will Mean Unequal Justice, Malaysian
Insider.