Anda di halaman 1dari 7

36

3.2 PUISI TRADISIONAL (PANTUN)



Pantun dilahirkan untuk mewujudkan sesuatu maksud tertentu. Ia bertujuan
memperindah lagi sesuatu ucapan. Dalam konteks ini, pantun sangat sesuai dengan
jiwa orang Melayu kerana dapat menunjukkan keperibadian orang Melayu yang
mempunyai kesenian serta kebudayaan sendiri. Pantun juga merupakan salah satu
jenis puisi lama yang sangat luas dikenali dalam bahasa-bahasa Nusantara. Orang
Melayu telah mencipta pantun dalam bentuk berangkap.

3.1 Ciri-ciri Pantun Tradisional
3.1.1 Pembayang atau sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun.
Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada
maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan
pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.
3.1.2 Maksud atau isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap
rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak
disampaikan dalam pantun tersebut(tema).
3.1.3 Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap
baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang
sama bilangannya. Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan setiap
baris.Contoh pantun yang baik :
Baik/ ber/alas/ baik/ ti/ak/,
Buli/-buli/ bertali/ benang/;
Baik/ berbatas/ baik/ tidak/,
Asal/ budi/ sama/ dikenang/.

37

3.1.4 Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam
tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata.
Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak. Pantun di
bawah mengandungi 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/;
Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

3.1.5 Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap
baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap
pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris
pertama maksud dan begitulah seterusnya. Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan
ada juga berima a,a,a,

3.2 Fungsi Pantun dalam Kebudayaan Melayu
Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu
mempunyai beberapa fungsi.

3.2.1 Untuk mendidik
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian budak;
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengajar hukum dan syarak.

Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat.
Sebagai golongan yang makan garam terlebih dahulu, pastinya mereka mempunyai
38

pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara.
Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan
untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan
menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan.
Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;
Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu
untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan
dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang
salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;
Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


3.2.2 Untuk meluahkan rasa kasih sayang dan rindu
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat baju melayu;
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengubat hati rindu.

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang
dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna
kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun
sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian
yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam.
Sebagai contoh, dapatlah kita lihat daripada pantun Melayu lama ini;

39

Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun
kepada pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau
suami isteri atau anak kepada ibu bapanya.

3.2.3 Untuk menyampaikan rasa penghargaan
Apa guna orang bertenun,
Untuk menghias kain kasa;
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengingat semua jasa.

Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang
budi dan jasa. Oleh itu, banyak dapat kita lihat pantun Melayu yang dicipta untuk
menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah
berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ini adalah seperti
pantun di bawah.Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.




Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Kedua-dua rangkap pantun di atas memperlihatkan masyarakat Melayu
zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.

40

3.2.4 Untuk adat istiadat
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain pelekat;
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengkaji adat istiadat.

Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam
kehidupan seharian. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam
upacara yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah
majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata
sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-
pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat. Sebagai contoh, dapatlah kita lihat
dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerapkali dilafazkan dalam majlis
merisik sehingga sekarang ini;
Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.





3.2.5 Untuk sindiran dan tempelak
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain cindai;
Apa guna orang berpantun,
Untuk membaiki laku perangai.
Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa
tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata
lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat
menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap
41

sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan
berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka..
Perhatikan pantun sindiran Melayu lama di bawah ini yang masih kita gunakan
sehingga sekarang;
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Pantun juga merupakan satu bentuk komunikasi yang memerlukan
pendengarnya memahami bait kata agar dapat membentuk kelakuan yang lebih baik
melalui sindiran yang ditujukan.


3.2.6 Untuk menguji minda
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain dan baju;
Apa guna orang berpantun,
Untuk menimba berbagai ilmu.

Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun
sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji
minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang
masih diingati ialah;
Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

3.2.7 Untuk hiburan
Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain selerang;
Apa guna orang berpantun,
Untuk hiburan masa senggang.
42


Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada
zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun
bersifat jenaka atau mengusik. Contohnya seperti pantun Melayu lama di bawah yang
sememangnya kita ingat sejak kecil lagi.
Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.

Kesimpulannya, pantun mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam
masyarakat kita. Situasi ini menjadikan kedudukan pantun itu sesuatu yang bernilai
dan harus dikekalkan dalam kebudayaan kita. Dalam masyarakat Melayu, pantun
merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu,
dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud
termasuk kiasan atau sindiran. Namun, pantun semakin lama semakin terhakis akibat
perubahan zaman yang berlaku dengan pantas itu. Bak kata pepatah, 'biar mati anak,
jangan mati adat' yang membuktikan bahawa pantun itu sesuatu yang berharga dalam
kebudayaan kita.

Anda mungkin juga menyukai