0 IMPLIKASI TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM BILIK
DARJAH. Implikasi perkembangan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran ialah seseorang kanak-kanak itu akan mula mengenal objek, memberi nama kepada objek, mengenal huruf, mengkaitkan huruf dengan objek, mengenal perkataan dan mengkaitkannya dengan objek. Contohnya, seseorang kanak-kanak akan mula mengenal sesuatu objek seperti objek yang berbentuk segi empat dan berkaki empat adalah meja. Di samping itu, guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti yang dapat menggilap potensi intelek kanak-kanak. Contohnya dalam menyelesaikan masalah Matematik Tahun 1, kemahiran mengira menggunakan objek dapat mengembangkan lagi potensi pelajar untuk berfikir secara logik dan guru perlu tahu potensi murid-murid adalah berbeza antara satu sama lain. Selain itu, implikasi pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku secara beransur terhadap pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan bayi dapat dilihat apabila bayi tersebut memegang objek dengan tangan sebelum menggunakan jari. Implikasi seterusnya dilihat dari aspek perkembangan fizikal terhadap pengajaran dan pembelajaran. Guru dinasihatkan membantu murid-murid tetapi hanya sekadar mana yang perlu. Bantuan yang berlebihan akan menggalakkan pergantungan murid-murid terhadap ibu bapa atau guru dan seterusnya menimbulkan perasaan tidak yakin untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Kanak-kanak juga berkembang pada tahap yang berbeza. Oleh itu, elakkan daripada membanding beza antara kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang aktif, guru boleh menyediakan aktiviti seperti bermain bola, berlari dan aktiviti ini mestilah mengambil kira perkembangan otot khususnya otot-otot kecil yang belum sempurna. Perbezaan individu juga memberi impak kepada aktiviti pengajaran guru di sekolah. Antaranya, seseorang guru perlulah mempelbagaikan bahan bantu mengajar supaya pelajar yang tertarik terhadap apa yang disampaikan. Penggunaan transparensi, internet, dan akhbar juga dapat menarik minat pelajar. Bagi menggalakkan pelajar menonjolkan diri mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru haruslah mempelbagaikan strategi P&P seperti mengadakan kuiz, perbincangan kumpulan, lakonan dan lawatan. Melaluinya, para pelajar dapat berinteraksi antara satu sama lain dan mewujudkan suasan P&P yang aktif. Di samping itu, guru perlu menumpukan perhatian mereka terhadap perbezaan sikap dan nilai murid-muridnya kerana dua perkara ini dapat menentukan matlamat yang akan dicapai mereka. Tindakan guru dalam menghadapi emosi kanak-kanak yang berbeza ini ialah memuji mereka apabila tidak membuat bising di dalam kelas manakala melewatkan masa rehat atau masa balik bagi mereka yang membuat bising. Implikasi perkembangan emosi terhadap P&P pula ialah guru-guru mestilah membina asas kepercayaan di dalam bilik darjah seperti memberi layanan yang sama rata terhadap semua murid, elakkan daripada membandingkan antara murid tetapi menumpukan kepada pencapaian individu dan menelakkan daripada memberi layanan atau hukuman berdasarkan khabar angin. Teori-teori kecerdasan turut memberi kesan terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, dalam proses pengajaran dan pembelajaran seseorang guru boleh menggunakan pendekatan menggunakan emosi dan tingkah laku untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajarnya. Di samping itu, guru perlulah membantu murid menyedari emosi dan meluahkan perasaan. Antara cara yang boleh digunakan ialah menggalakkan murid menulis jurnal dan mengenali emosi orang lain.