Anda di halaman 1dari 2

LANGKAH LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

Perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang
harmoni. Perpaduan ini dapat dipupuk dengan semangat kejiranan yang utuh. Sememangnya tidak
dapat disangkal bahawa masyarakat yang bersatu padu bermula dengan adanya semangat kejiranan
yang tersemai dalam jiwa. Oleh itu,setiap individu haruslah memiliki semangat kejiranan yang tinggi
demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara yang berbilang kaum. Namun
begitu,semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. Justeru,senario ini haruslah
disusuli dengan langkah yang efektif supaya dapat dibendung sebelum masalah seumpama ini terus
menular menjadi barah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha memupuk semangat kejiranan termasuklah
mengamalkan amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama
jiran. Malah,amalan ziarah-menziarahi ini sangat digalakkan dalam Islam. Misalnya,apabila jiran
bertandang ke rumah,sudah semestinya kita akan menyambut baik kedatangan mereka dan melayan
mereka dengan penuh adab sopan. Hal ini seterusnya akan melahirkan rasa hormat dan kasih sayang
sesama individu. Oleh itu,amalan ziarah-menziarahi wajar dibudayakan dalam masyarakat.

Selain itu,semangat kejiranan dapat turut dipupuk melalui amalan gotong-royong. Amalan
gotong-royong sememangnya membawa banyak manfaat kepada masyarakat. Hal ini kerana apabila
segolongan masyarakat bersatu menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan
perumahan, mereka bukan sahaja dapat memelihara kebersihan tempat kediaman mereka malah dapat
mengeratkan hubungan sekaligus memupuk semangat kerjasama. Di samping itu, nilai kerjasama dan
masyarakat yang prihatin juga dapat diwujudkan. Justeru,masyarakat mestilah melibatkan diri dalam
aktiviti seumpama ini untuk kebaikan bersama.

Tambahan pula,rumah-rumah terbuka yang lazimnya diadakan ketika musim perayaan wajar
dilihat sebagai satu langkah yang efektif dalam usaha memupuk semangat kejiranan. Negara kita yang
mempunyai masyarakat yang berbilang kaum membolehkan kita melihat pelbagai jenis adat dan
budaya. Apabila rumah terbuka diadakan,masyarakat akan dapat mengenali adat dan budaya kaum lain.
Hal ini akan dapat mewujudkan persefahaman dan sekaligus mengelakkan perselisihan faham yang
boleh menjejaskan perpaduan kaum. Oleh itu,amalan rumah terbuka ini wajar diteruskan dalam
masyarakat.

Akhir sekali, semangat kejiranan yang semakin luntur tidak wajar dipandang enteng. Sebaliknya,
perlulah dianggap sebagai satu perkara yang sangat penting dalam masyarakat. Kerajaan haruslah terus
melakukan usaha-usaha yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat di negara kita.
Sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Oleh itu,perpaduan kaum haruslah bermula semangat
kejiranan yang utuh.