Soalan Contoh:
Gejala gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa ini. Keadaan ini amat membimbangkan
masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung
gejala ini daripada terus menular.
Sejak kebelakangan ini, gejala gangsterisme semakin menjadi-jadi di negara kita. Perkara ini tidak
akan ada penamatnya jika tidak dipandang berat oleh semua pihak. Gejala ini dapat dilihat dengan
jelas apabila berlakunya peningkatan mengenai kes ini dalam dada-dada akhbar dan perkara
sebegini telah membimbangkan masyarakat kita. Tegasnya, pelbagai langkah yang proaktif dan
konkrit sewajarnya diambil bagi menangani masalah ini.
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah
memantau dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini
demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya dan wang berbanding
meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata pepatah kera di hutan disusukan,
anak di rumah mati kelaparan. Lantaran itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-
perkara yang tidak baik. Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi
itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.
Selain itu, setiap individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja
pada masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya hanya
untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus dalam melakukan
aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut kumpulan-kumpulan gangster dan
sebagainya. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.
Di samping itu, pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung
masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah pelajar di sekolah.
Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara-
perkara yang tidak berfaedah berbanding menyertai program yang memberi keinsafan dan
pengajaran. Dengan ini, pelajar yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang
diadakan ini. Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut
dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara sebegini,
remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.
Konklusinya, kita seharusnya mengambil langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya
gejala gangsterisme ini. Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap setiap aktiviti yang
dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah.
Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan
berlakunya gejala gangsterisme bak kata peribahasa tepuk sebelah tangan tidak berbunyi.
Soalan Contoh:
Benteng utama untuk menghadapi pelbagai gejala sosial dewasa ini terletak pada pengukuhan
institusi keluarga. Berikan komen anda berkaitan dengan pandangan ini.
Institusi keluarga biasanya terbentuk daripada kelompok yang paling asas, iaitu ayah, ibu, dan
anak-anak. Sementara itu, gejala sosial merujuk kepada perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh
sesiapa saja. Gejala sosial yang melanda masyarakat kita hari ini berkait rapat dengan nilai
kehidupan dalam institusi keluarga. Banyak pihak yang berpendapat bahawa kanak-kanak yang
dididik dengan baik dapat meryerapkan nilai-nilai murni sebagai persiapan untuk menghadapi
pelbagai cabaran kehidupan.
Salah satu usaha pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha pemupukan semangat yang
kental. Melalui cara ini, benteng bagi menangkis sebarang masalah sosial yang melanda masyarakat
kita dewasa ini akan wujud. Antara masalah sosial itu termasuklah masalah penyalahgunaan
dadah, perlakuan sumbang mahram, kes pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan
pelajar, dan gejala laku musnah. Oleh itu, setiap anggota keluarga perlulah berganding bahu untuk
memastikan bahawa semangat yang kental terjelma dalam kalangan anggota keluarga dan akhirnya
dapat mengelak daripada gejala-gejala sosial.
Selain itu, melalui usaha pengukuhan institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi pendedahan
tentang kemahiran keibubapaan. Hal ini demikian kerana kemahiran keibubapaan bagi
sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara kemahiran yang dapat diterapkan termasuklah
komunikasi efektif, mesra keluarga, nilai kekeluargaan, toleransi, keibubapaan cemerlang, dan kasih
sayang. Penerapan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan alam rumah tangga dapat membentuk
keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan sendirinya anak-anak remaja tidak akan terdorong
untuk keluar rumah mencari keseronokan yang berkemungkibnan mendedahkan gejala-gejala negatif
kepada mereka.
Selanjutnya, pemupukan nilai-nilai murni mampu mengukuhkan institusi keluarga. Dengan
berlandaskan anggapan bahawa daya kekuatan sesebuah keluarga itu bermula dari rumah, yang
penting kini ialah usaha mencurahkan segala tenaga kita untuk mengukuhkan institusi
tersebut. Dalam konteks ini, ibu bapa yang berjaya ialah ibu bapa yang dapat menerapkan nilai-nilai
murni sosial dan kekeluargaan di kalangan anak mereka. Lantaran itu, saranan agar ibu bapa
memberikan perhatian yang sewajarnya untuk mengawasi segala tindak-tanduk anak-anak mereka
perlu disambut oleh semua ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terperangkap dalam gejala
penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral.
Kesimpulannya, masalah sosial perlu ditangani segera. Jika tidak ditangani segera, masalah ini
pasti akan menggugat kestabilan masyarakat dan negara. Peranan ibu bapa dan anggota keluarga
amat penting untuk melahirkan anak yang mampu menangani segala dugaan dan cabaran
ini. Tegasnya, pengukuhan institusi keluarga tetap menjadi benteng utama demi menghadapi
pelbagai masalah sosial dewasa ini.
Soalan Contoh:
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa
Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.
Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.
Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan
manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya
perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan
masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri
sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat
kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang
dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti
berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan
menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa
takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan
masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak
menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti
membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan
keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam
memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah
terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah sakit. Jadi,
tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu
untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda
mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi.
Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah
sejak kecil.
Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka
sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita
dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata
untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej
negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta
yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-
sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah
mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan
benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam
bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam
bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk
memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya
menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.
Soalan Contoh:
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.
Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah
individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh
menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era
moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai
segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam
kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan
sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet
yang seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang
menyukarkan seseorang untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang
seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang
diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari
bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu
untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan
mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik serta menjadikan sistem
imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah
tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka.
Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi
manusia dipenuhi dengan efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi
untuk memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk
menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu
menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu
persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka
semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup
sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah
memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
Soalan Contoh:
Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan
pendapat anda tentang perkara tersebut.
Aktiviti kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang berpersatuan,
lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya untuk memberikan satu
perspektif baharu kepada pelajar dalam menjalani kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah.
Kelebihan kegiatan ini turut dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang
membuktikan manfaat menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa
pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.
Sebenarnya, aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki menerusi
pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan itu. Keyakinan diri ini timbul
kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu tugasan itu mereka akan menimba pengalaman
yang memberi mereka satu jangkaan awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan
ini memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar
suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada seseorang pelajar
itu.
Selain itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin diri yang
tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana semua aktiviti kokurikulum
memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa peraturan tertentu yang meliputii pakaian
seragam, aktiviti, masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua aktiviti
ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai disiplin yang tinggi kerana masa
untuk belajar dan beraktivti hanya boleh diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu,
pelajar yang melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap
mementingkan disiplin yang tinggi.
Malah, pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia dan baik.
Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap aktiviti kokurikulum
menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan melakukan aktivit ini secara tidak langsung
akan menerapkan nilai-nilai kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu
membentuk pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.
Mungkin satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan pelajar satu
sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan pelajar tidak gentar untuk
menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka seolah-olah sudah lali untuk mengharungi
kehidupan yang penuh dengan dugaan dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa
mereka.
Konklusinya, pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya memiliki
satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di dalam hujah ini akan membantu
mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar
yang sebegini lebih mudah untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara,
pemudi harapan bangsa sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.
Soalan Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari maklumat
melalui internet. Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Mayapada, manusia tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi
yang canggih dalam kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah satu ciptaan
manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan kini. Internet telah digunakan
oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina dan juga usia. Pelbagai faedah yang dapat
diperoleh sekiranya kita tahu menggunakan aplikasi ini dengan sebaik-baiknya.
Antara faedah apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi melalui
laman-laman sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya internet kita terpaksa
menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat yang hanya terdapat dalam buku-buku
atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita boleh mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat
tanpa perlu menghabiskan terlalu banyak masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh
mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian
kotak pencarian dan maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya, internet memudahkan
kita mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya hujung jari kita.
Selain itu, internet juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain sama ada melalui e-mel
ataupun ruang sembang. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat yang mengambil masa
yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun telefon untuk berhubung dengan orang
yang jauh daripada kita. Dengan internet, kita dapat berutus surat secara elektronik dan bersembang
dalam alam maya dengan suasana yang lebih kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai
penyedia platformuntuk kita mengutus surat dan bersembang seperti Yahoo Messenger dan
Gmail. Internet sememangnya telah sedikit sebanyak telah mendominasi penghantaran surat pada
hari ini.
Seterusnya,internet juga memudahkan kita untuk mendapatkan hiburan, sama ada lagu ataupun
filem dari dalam dan luar negara. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada media elektronik seperti
televisyen dan radio untuk mendapatkan hiburan. Dengan ini, kita boleh mendengar dan menonton
secara online sesuatu program hiburan yang kita inginkan. Tamsilnya, terdapat pelbagai perisian
seperti Ares yang membolehkan kita memuat turun sesuatu bahan hiburan dengan hanya menaip di
ruangan pencarian yang disediakan. Hal ini jelas menunjukkan betapa internet telah memudahkan
kita semua untuk mendapatkan pelbagai bentuk jenis hiburan dalam sekelip mata sahaja.
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang kita peroleh sekiranya
menggunakan kemudahan ini. Dengan demikian, kita hendaklah menguasai teknologi ini dengan
sebaik mungkin. Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu kita tidak akan ketinggalan
dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini. Jelaslah bahawa internet telah
membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada masa ini.
Soalan Contoh:
Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap golongan masyarakat. Lebih-lebih lagi,
golongan remaja pada masa ini yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit. Huraikan pendapat
anda tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit kepada mereka.
Kebelakangan ini, isu penggunaan telefon bimbit merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara yang menimbulkan pertanyaan kepada kita adalah
mengapakah telefon bimbit yang sepatutnya digunakan bagi menyenangkan pengguna berubah
menjadi suatu barang yang boleh memberikan unsur negatif kepada mereka? Siapakah yang
bertanggungjawab dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku? Segala persoalan ini kerap
kali menerjah minda kita namun penyelesaiannya masih belum ditemui. Adakah kerjasama yang
diberikan oleh beberapa pihak dalam membendung isu ini seperti ibu bapa, pihak sekolah serta
masyarakat sekeliling masih tidak mencukupi? Apakah kesan negatif yang akan timbul sekiranya
golongan remaja tersebut begitu ghairah menggunakan telefon bimbit?
Antara kesan negatif yang akan diperoleh sekiranya para remaja begitu ghairah sewaktu
menggunakan telefon bimbit ialah berlakunya kerosakan bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian
kerana golongan remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa menggunakan Sistem Khidmat
Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang pesanan. Lantaran itu, golongan remaja yang
sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini akan turut menggunakan perkataan singkatan
tersebut sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah terutamanya dalam subjek-
subjek yang memerlukan mereka menulis atau mengarang. Tamsilnya, golongan remaja yang begitu
ghairah menggunakan telefon bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan
tersebut semasa mengarang essei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu,
keghairahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan bahasa
Melayu sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kesan negatif yang akan diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan
telefon bimbit ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah pelajaran di sekolah
dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berlaku bemikian kerana mereka
terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit sehingga hilang fokus untuk belajar. Lantaran itu,
prestasi akademik remaja tersebut akan merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar akan
mula terhakis. Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit tersebut
seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah menjadikan mereka
menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit
tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan remaja untuk memberi tumpuan kepada
pelajaran mereka.
Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan juga akan mendatangkan kesan negatif kepada remaja
tersebut seperti berhadapan risiko menerima maklumat palsu atau gambar yang mencolok mata. Hal
ini berlaku demikian kerana terdapat sebilangan individu yang gemar menangguk di air keruh untuk
kesenangan mereka sendiri. Justeru, remaja tersebut akan berasa seronok tanpa menyedari pada
hakikatnya mereka ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tamsilnya, remaja tersebut
akan berhabisan wang semata-mata ingin menikmati tawaran-tawaran yang disediakan seperti
gambar-gambar lucah yang kerap menerjah dunia moden ini. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit
tanpa kawalan jelas memberikan kesan negatif kepada minda generasi muda hari ini.
Natijahnya, jelaslah bahawa keghairahan muda-mudi masa ini menggunakan telefon bimbit banyak
mendatangkan impak negatif dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, pemantauan daripada
pihak yang terlibat haruslah segera dilakukan sebelum perkara ini menjadi barah dalam masyarakat
Malaysia. Sekiranya semua pihak bekerjasama dalam menangani isu ini, sudah pasti isu ini akan
dapat ditangani dengan mudah. Jelaslah isu penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan terutamanya
dalam golongan remaja perlulah diselesaikan bersama-sama dan tidak hanya menuding jari kepada
sebelah pihak sahaja. Bak kata pepatah, berat sama di pikul, ringan sama dijinjing.