Anda di halaman 1dari 10

Pendahuluan

Seni

Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni
memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh
faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah
melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut
zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya
mengambilkira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga
mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.

Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang
merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni
ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah,
terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu
kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk
melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni
adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan
bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).


Seni Visual

Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus,
dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan
reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni
visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk
menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik
yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea
ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila
bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau
persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.


Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan
campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad
kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah
menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk
komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran,
perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).

Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual,
justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni
halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan
seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk
seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407),
sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk
seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan
dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.

Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni
keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai
bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu
yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam
kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi
keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip
agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki
konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.

Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan
hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta
penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni
Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji
perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.

1. Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual





1. Maksud Sejarah Seni Visual

Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga
muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas.
Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-
bentuk seni, malahan melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri,
termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik,
bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-
kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.

Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman
yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual
pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau
kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh
kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan
kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu
bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni
Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam
kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey
dan Kleiner, 1996).

1. Tujuan Sejarah Seni Visual

Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu
sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan
mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa
lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-
dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara
apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak
sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan
fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi,
fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji
faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner,
1996).




1. Kaedah Sejarah Seni Visual

Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah atau sumber
primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan seni menjadi asasnya. Kaedah
mendekati atau menganalisis karya seni boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan
asas tentang karya yang sedang dikaji ataupun dihayati.

Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia
dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek
sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia
dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan
soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?;
bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah
harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61).
Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya
seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya,
bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi cuba
menyesuaikan diri kita dengannya.

Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:

"We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from
a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view
is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be
anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work
assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations."
(Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).

Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk
(aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna
(ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan
dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah
dan kebudayaan.



(b) Konsep dan Kaedah Kritikan Seni Visual

(i) Pengertian Kritikan Seni Visual

Kritikan seni bermaksud wacana tentang sesuatu karya seni sama ada dalam bentuk lisan
ataupun tulisan (Feldman, 1994). Kritikan seni dilakukan daripada pelbagai sudut berasaskan
satu sistem atau strategi yang teratur, merangkumi aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan
pertimbangan. Kritikan seni penting dalam perkembangan seni visual kerana ia
mempengaruhi profesion karyawan, persepsi dan daya apresiasi khalayak, cita rasa dan
strategi pengumpul seni, pemilik galeri serta promoter seni. Justeru itu, kritikan seni yang
baik boleh dianggap sebagai suatu alat terbaik menentukan arah perkembangan seni
pengkarya dan seni visual secara umumnya.

(ii) Tujuan Kritikan Seni Visual

Kritikan seni memainkan peranan penting dalam perkembangan seni visual baik bagi
pengkarya mahupun khalayak secara umumnya. Bagi pengkarya, kritikan boleh membantu
mereka mempertingkatkan profesion menerusi penambahbaikan dalam proses pengkaryaan
dengan mengambil kira reaksi serta maklum balas dari pengkritik mahupun khalayak. Bagi
penghayat pula, kritikan seni boleh mempertingkatkan tahap apresiasi serta persepsi mereka
terhadap seni visual secara umumnya.

Kritikan seni merangkumi pelbagai persoalan asas dan ruang litup seni visual, seperti bentuk,
makna dan konteksnya. Dalam kritikan seni, pengkritik perlu mengambil kira aspek hal
benda, komposisi, dan kandungan karya menerusi strategi terancang yang melibatkan
aspek diskripsi, analisis, interpretasi danpertimbangan. Sesebuah karya kritikan seni boleh
terhasil dalam bentuk jurnalistik mahupun ilmiah, diterbitkan serta disebarkan untuk
pengetahuan pengkarya dan khalayak.

Dalam kritikan, pengkritik seni menyentuh persoalan-persoalan yang meliputi aspek
perasaan, idea, serta pelbagai perkara lain yang diungkapkan pengkarya melalui karyanya,
sama ada dalam bentuk catan, lukisan, arca, periklanan, kartun, komik, reka bentuk laman
web, poster dan seumpamanya. Pengkritik berperanan sebagai penghubung antara pengkarya
dan khalayak menerusi hasil kritikannya yang mengupas kepelbagaian nilai serta makna.
Dengan kata lain, pengkritik juga berupaya mengupas serta memperjelaskan nilai-nilai yang
tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya seni untuk makluman khalayak dan pengkarya itu
sendiri. Menurut Feldman (1994), pengkritik mempunyai dua peranan besar, iaitu mengulas
organisasi estetik dan pengolahan teknik karya, di samping menyentuh persoalan-persoalan
minat serta nilai yang disimbolkan dalam sesebuah karya seni.

Oleh kerana kritikan seni mengulas, menganalisis, menginterpretasi, dan menilai karya seni
visual yang juga merupakan objek budaya, maka ia pada dasarnya berhubungan dengan hal
ehwal kebudayaan. Dalam konteks ini, kritikan seni sebenarnya turut berperanan dalam
menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan. Karya seni adalah cerminan
masyarakat dan budaya yang terungkap melalui pengucapan tatabahasa visual pengkarya.
Pengkritik mengupas persoalan-persoalan tersebut, justeru memaklumkan kepada khalayak
tentang kedudukan pengkarya dan kebudayaan secara umumnya. Pertimbangan serta
penilaian pengkritik boleh dijadikan landasan serta panduan penambahbaikan mahupun
penentuan arah seni dan budaya. Dalam konteks ini, tujuan-tujuan kritikan seni adalah untuk
membimbing, memberi kefahaman dan penjelasan kepada khalayak mengenai sesuatu karya
yang dikupas. Menerusi pertimbangan serta penilaian yang dilakukan, pengkritik berupaya
memperjelaskan ataupun menyelesaikan isu-isu berkenaan estetik dan kebudayaan. Justeru
itu, kritikan seni pada dasarnya tidak terpisah daripada konteks kebudayaan pengkarya,
masyarakat mahupun tamadun.

Kritikan seni boleh mempengaruhi profesion pengkarya kerana ia merupakan suatu bentuk
reaksi, maklum balas, pengesahan malahan pengiktirafan terhadap sesuatu produk seni yang
dihasilkan. Menerusi maklum balas itu, pengkarya boleh menambahbaik mutu atau gaya
karya mereka secara berterusan. Proses penambahbaikan ini boleh menyentuh persoalan idea,
konsep, teknik, tema, hal benda, atau gaya persembahan secara umumnya. Hal ini demikian
kerana kritikan seni lazimnya menyentuh kepelbagaian aspek itu, berdasarkan kemampuan
serta pendekatan yang diambil oleh pengkritik.

Bagi pemilik galeri dan promoter seni, kritikan boleh membantu mereka mempromosi serta
menjual karya seseorang pelukis. Ia boleh mewujudkan suatu bentuk komunikasi antara
pemilik galeri atau promoter seni dengan pembeli atau khalayak. Kritikan membolehkan
pemilik galeri dan promoter seni mengenalpasti bakat-bakat baru di samping terus
mempromosikan pelukis-pelukis sedia ada. Meskipun dalam etika kritikan, seseorang
pengkritik tidak seharusnya secara langsung bekerjasama dengan pemilik galeri ataupun
promoter seni bagi menaikkan seseorang pengkarya ataupun sesuatu produk, tulisannya yang
neutral itu boleh mempengaruhi khalayak secara umumnya.

Bagi pengumpul karya seni, kritikan boleh mempertingkatkan nilai sesuatu karya yang
mereka miliki. Sesebuah karya seni akan menjadi lebih terkenal jika ia diperkatakan serta
dibicarakan secara meluas, justeru itu memungkinkan ia dikenali lebih ramai dan menjadi
popular. Kepopularan karya boleh mempertingkatkan nilai komersilnya. Di samping itu,
kritikan juga berupaya mengesahkan atau membenarkan persepsi atau tanggapan pengumpul
seni terhadap sesuatu karya yang mereka miliki atau berhajat untuk dibeli. Bagi muzium,
galeri seni awam dan swasta, serta yayasan kesenian yang mengumpul seni, kritikan seni
berupaya memperkayakan dokumentasi serta bahan rujukan koleksi, di samping memberi
mereka panduan bagi membeli karya-karya yang baru, baik dan berpotensi.

Penulisan sejarah serta kritikan seni merupakan dokumen-dokumen penting bagi pengkaji
dan khalayak untuk mengenali sesebuah karya itu dengan lebih berkesan dan bermakna. Hal
ini memungkinkan mereka mempertingkatkan kefahaman, persepsi dan daya apresiasi
tentang seni secara umumnya. Menerusi kritikan seni, khalayak boleh memahami dengan
lebih lanjut akan sesebuah karya itu, misalnya dari sudut tema, teknik, gaya dan makna.
Khalayak memahami aspek bentuk dan makna karya secara tersurat dan tersirat, bukan
melihat secara luaran sahaja kerana kritikan seni menampilkan diskripsi, analisis, interpretasi
dan pertimbangan yang membolehkan mereka meletakkan seni pada konteks ruang dan
masanya.

Bagi sejarawan dan pengkaji seni, kritikan seni boleh membantu usaha mereka meletakkan
kedudukan seseorang pengkarya mahupun produk seni itu dalam peta perkembangan seni
yang lebih luas. Hal ini menunjukkan bahawa, selain daripada menjadi wadah pendidikan,
kritikan seni juga boleh menjadi dokumen-dokumen sejarah yang penting lagi berharga.

(iii) Kaedah Kritikan Seni Visual

Pendekatan Kritikan Seni

Secara umumnya, kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas, iaitu ilmiah, dan
jurnalistik. Pendekatan ilmiah adalah bentuk penulisan yang terperinci lagi sistematik dan
lazimnya terbit dalam jurnal, majalah dan buku. Pendekatan ilmiah selalunya disokong oleh
fakta serta sumber-sumber rujukan dan kajian lain yang menyokong serta memperkukuhkan
sesuatu hujahan. Penulisan seperti ini lazimnya dilakukan oleh sarjana seni, misalnya
profesor, kurator muzium, penyelidik, dan penulis. Pendekatan jurnalistik pula berbentuk
laporan, penerangan dan penulisan diskriptif yang terbit dalam surat khabar dan majalah, atau
disiarkan melalui radio dan televisyen untuk tatapan umum

Strategi Kritikan Seni

Kritikan seni amat berkait rapat dengan apresiasi seni yang terbentuk menerusi kefahaman
terhadap aspek-aspek asas karya seperti hal benda, komposisi dan kandungan. Kebolehan
menangani serta menghuraikan ketiga-tiga aspek ini akan memberi laluan kepada penghasilan
kritikan yang lebih bermakna lagi berkesan. Dalam strategi pertama iaitu diskripsi, seseorang
pengkritik perlu mengenalpasti ciri-ciri fizikal karya, seperti pengolahan formal dan
mengenal pasti imejan. Dia perlu mengumpul data-data asas atau data-data visual karya dan
fakta-fakta pengkarya seperti biodata, tajuk, medium, dan tarikh: jelasnya, menyediakan
suatu inventori akan perkara-perkara utama itu.

Pada tahap analisis karya, pengkritik perlu menganalisis fakta-fakta visual, contohnya dari
sudut pengolahan komposisi, garis, cahaya, bentuk, warna, permukaan, dan jalinan. Ini
dihubungkan dengan persoalan proses dan teknik serta mencari pertaliannya dengan
persoalan idea dan perasaan misalnya. Menerusi strategi ini, pengkritik seharusnya berupaya
mengenal pasti kepelbagaian hal benda dalam karya yang antara lain merangkumi figura,
alam semula jadi, alam persekitaran dan objek buatan manusia. Keupayaan mengenal pasti ini
seharusnya diiringi dengan kebolehan membaca bentuk penampilan imejan yang mungkin
berkaitan dengan pelbagai aliran dan gaya seni, baik yang bersifat tradisi, moden,
pascamoden mahupun kontemporari. Pengetahuan ini memungkinkan pengkritik membuat
perbandingan serta perhubungan di antara satu karya dengan karya-karya yang lain, ataupun
satu gaya dengan gaya-gaya yang lain. Hal ini amat penting bagi membentuk pandangan dan
pertimbangan kendiri oleh pengkritik.

Komposisi merangkumi aspek-aspek asas seni reka, media dan teknik. Pengkritik sewajarnya
berupaya menganalisis pengolahan komposisi karya dengan memberi tumpuan kepada
prinsip dan unsur seni serta memahami kepelbagaian bentuk tatabahasa visual seperti abstrak,
realistik, naturalistik, dan separuh abstrak yang digunakan pengkarya bagi mengungkapkan
bentuk dan makna karyanya. Pengetahuan pengkritik mengenai penggunaan media dan teknik
akan mempertajamkan kritikannya kerana dia berupaya menyelami kaedah-kaedah
pembentukan sesebuah karya dengan lebih mendalam.

Berdasarkan analisis hal benda dan komposisi, seseorang pengkritik berupaya
melakukan interpretasi iaitu
mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan
fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada
konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek
asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.

Kritikan seni memerlukan daya kefahaman individu yang baik terhadap pelbagai aspek karya
seni visual yang dibicarakan. Justeru itu, untuk menjadi seorang pengkritik yang baik,
seseorang individu itu sewajarnya mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni serta
berpengetahuan luas. Dia seharusnya berupaya berkomunikasi dengan baik dan jelas, sama
ada secara lisan ataupun tulisan. Dia juga sewajarnya bersifat terbuka, bersedia untuk
berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan khalayak, serta mempunyai kejelasan
pemikiran dan ekspresi. Aspek-aspek ini amat perlu bagi seseorang pengkritik dalam
menghasilkanpertimbangan dan penilaian yang berbentuk "formalisme, ekspresivisme,
mahupun instrumentalisme" (Feldman, 1994). Pertimbangan dari sudut formalisme adalah
pertimbangan berasaskan aspek-aspek keindahan dan harmoni; ekspresivisme ialah
pertimbangan berdasarkan keupayaan menyampaikan perasaan dan idea; sementara
instrumentalisme bermaksud pertimbangan berdasarkan keberkesanan karya sebagai suatu
wadah atau alat, contohnya dalam konteks sesuatu institusi, masyarakat dan negara.

Rujukan
Bender, J.W. and Blocker, H.G., 1993. Contemporary Philosophy of Art. New
Jersey: Prentice-Hall.
Gaitskell, C.D. dan Al Hurwitz, 1970. Children and Their Art. New York: Harcourt
Brace and World Inc.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History. New York: Alfred A. Knopf.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History
dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods. New York: Phaidon Press
Limited.
Hornby, A.S., 1974. Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English.
Oxford University Press.
http://www.newcastle.edu.au/discipline/fine-art/theory/analysis/panofsky.htm
Lester, P. M., 2000. Visual Communication: Images with Messages.Wadsworth
Thomson Learning.
Martin, J., 1986. Longman Dictionary of Art. Longman.
Mbiyo Saleh, 1987. Estetika. Jakarta: Yayasan Umbi.
Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis dan Seni Reka. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muliyadi Mahamood, 2000. Sejarah Seni: Zaman Pertengahan hingga Abad ke
20. Kuala Lumpur: Univision Press.
Muliyadi Mahamood, 2001. Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era
Pluralis. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-
1993). Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P. R., Bone, R. O., and Cayton, D. L., 1998. Art
Fundamentals: Theory and Practice. McGraw-Hill.
Osborne, H., 1979. The Oxford Companion to Art. Oxford University Press.
Pointon, M., 1994. History of Art. London and New York: Routledge.
Preble, D., Preble, S. and Frank, P., 1999. Art Forms. New York: Longman.
Read, H., 1959. The Meaning of Art. Penguin Books.
Rupa dan Jiwa. Katalog Pameran Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi Dalam
Seni Rupa Malaysia Sezaman. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 15 Jun-2
Julai, 1993.
S.H. Nasr, 1989. Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus. Terjemahan Baharudin
Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidi Gazalba, 1977. Pandangan Islam tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Pustaka
Antara.
Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan
Pustaka.
Smagula, H., 1991. Re-Visions: New Perspectives of Art Criticism. New Jersey:
Prentice Hall.
Stern, A., 1973. "The Child's Language of Art" dalam In Child Art: The Beginnings
of Self-Affirmation. Edited by Milda Present Lewis. Berkeley: Diable Press Inc.
Tansey, R. G. dan Kleiner, F. S., 1996. Gardner's Art Through the Ages. New
York: Harcourt Brace College Publishers.
Zakaria Ali, 1989. Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai