Anda di halaman 1dari 9

http://itukamibudakseni.blogspot.

com/2009/11/sejarah-perkembangan-
kurikulum-kbsr.html



SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM KBSR PENDIDIKAN SENI
VISUAL SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA
SUBJEK : PENGAJIAN DAN PENGURUSAN KURIKULUM PENDIDIKAN SENI VISUAL
KBSR(PSV3104)

Pendidikan Sebelum Merdeka

Pendidikan Seni Visual (PSV) bermaksud proses penghasilan karya seni dengan
melibatkan aspek pemahaman,penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetik
dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid. Dahulunya PSV dikenali
sebagai subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan. Setelah beberapa perubahan
berlaku mengikut peredaran dan keperluan semasa, maka mata pelajaran Lukisan
dan Pertukangan Tangan telah ditukar menjadi mata pelajaran Pendidikan Seni.
Setelah beberapa tahun mata pelajaran Pendidikan Seni diperkenalkan ia telah
diubah pula menjadi Pendidikan Seni Visual atas kesedaran masyarakat terhadap
kepentingan Pendidikan Seni Visual dalam kehidupan.

Sebelum kedatangan kuasa penjajah pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan
formal dan tidak memberatkan perkembangan kongnitif pelajar-pelajar. Corak
pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-
quran, tingkah laku,dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni
mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta
perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan. Pendidikan Melayu yang
awal menekankan pengajaran Quran dan pengetahuan asas membaca, menulis dan
mengira(3M). Pendidikan Melayu diadakan hanya diperingkat rendah sahaja. Anak-
anak Melayu yang bercita-cita tinggi dan ingin melanjutkan pelajaran terpaksa
memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar. Tujuan utama sekolah-sekolah
Melayu diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 ialah untuk membolehkan
anak-anak Melayu terus kekal di desa, mewarisi kemiskinan keluarga. Oleh itu
pendidikan yang berbentuk sekular dalam bahasa melayu dihadkan kepada empat
tahun sahaja dengan skop dan kokurikulum yang terhad. Pendidikan Melayu tidak
dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti
menegak di kalangan masyarakat Melayu.

Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua (1929) telah digunakan oleh guru-guru Melayu
untuk mengajar pelbagai mata pelajaran termasuk Lukisan dan Pertukangan Tangan
di sekolah-sekolah Melayu di seluruh tanah air pada masa itu. Kitab Pedoman Guru
Penggal I (1928) dan Kitab Pedoman Guru Penggal II (1929) yang disusun oleh O.T.
Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib adalah buku pertama yang ditulis di
Malaya mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Lukisan dan Pertukangan
Tangan. Buku ini sangat penting digunakan oleh guru-guru yang mengajar mata
pelajaran ini di sekolah-sekolah Melayu di Malaya etika itu.

Kepentingan buku ini boleh dilihat dari segi kaedah mengajar Pendidikan Seni yang
dirancang dari unsur-unsur yang senang sehinggalah kepada yang lebih susah.
Misalnya kaedah asas menggunakan alat dan bahan seperti pensel, pemadam, dan
pembaris diperkenalkan. Kemudian diikuti dengan latihan asas membuat garisan.
Diikuti pula dengan latihan melakar bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi dan
segi tiga, sehinggalah kepada yang lebih sukar seperti melakar objek bunga dan
binatang berasaskan kepada bentuk-bentuk geometrik yang telah
dipelajari.Bahantara pensel dan dakwat telah digunakan di sekolah-sekolah Melayu
alam pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan sejak tahun 1900-an. Meluasnya
penggunaan pensel dan pena dakwat dalam kalangan pelajar Melayu dan orang
Melayu yang berminat dalam bidang artistik menyebabkan bertambahnya keinginan
untuk menghasilkan karya-karya yang bersifat lakaran dan sekali gus
memperlihatkan kepentingan konsep visual dalam pengilustrasian buku.

Pada awal abad ke 20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap
Pendidikan menengah, Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model
English Grammar School pada tahun 1905. Akan tetapi, sekolah ini adalah khas
untuk golongan bangsawan sahaja. Latihan guru-guru Melayu dimulakan pada tahun
1984 di Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1922, bagi memenuhi permintaan
yang bertambah terhadap guru-guru sekolah Melayu yang berkelayakan, Maktab
Perguruan Sultan Idris telah ditubuhkan atau dikenali sebagai Sultan Idris Training
College (SITC).Di sini mata pelajaran Pendidikan seni telah diajar di samping subjek-
subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan
pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat
ketika itu. Sukatan pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan
mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki
mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun
pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah
lebih meluas lagi pada tahun ketiga. Buku teks yang digunakan ialah Kitab Rajah-
rajah Anyaman oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.


Perkembangan Pendidikan Awal Merdeka

Selepas perang dunia kedua perkembangan politik negeri China, India , dan negara
jiran banyak berubah , Masyarakat pendatang menganggap Tanah Melayu sebagai
tempat kediaman mereka dan kebangkitan nasionalisme Melayu melihatkan tentang
masalah kerumitan kaum tentang pendidikan.

Orang Melayu mula mendesak ,supaya Kerajaan membaiki mutu pendidikan di
sekolah - sekolah Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran.
Sebuah jawatan kuasa ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Barnes. Laporan Barnes ini
diterbitkan pada awal tahun 1951, dan mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-
sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunakan bahasa
Inggeris atau bahasa Melayu sebagai pengantar utamanya. Sekolah Cina dan Tamil
akan ditukar secara beransur - ansur kepada sekolah Kebangsaan dengan
memperkenalkan aliran Kebangsaan. Cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang
Cina.

Laporan Fen wu , memperakukan untuk mengekalkan serta pembaikan Sekolah Cina
telah memburukkan lagi pertikaian yang hangat tentang pendidikan di Tanah Melayu
,Laporan Jawatankuasa Fen Wu telah mengemukakan cadangan-cadangan yang
pada asasnya menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa melayu,
bahasa Inggeris, dan bahasa Cina dijadikan bahasa pengantar.

Pendidikan Malaysia

Beberapa kajian telah dibuat untuk mendapatkan formula terbaik bagi sistem
pendidikan di Tanah Melayu pada masa itu. Walau bagaimanapun setelah mendapat
kemerdekaan, Akta Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan
di negara ini. Justeru itu Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah
diperkenalkan. Mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-
murid dalam KLSR antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik,
Sains, Tawarikh, Ilmu Alam, Hal Ehwal Tempatan, Tata Rakyat, Jawi,Pendidikan
Agama Islam, Lukisan dan Pertukangan Tangan, Pendidikan Jasmani dan lain-lain.

Persekolahan peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak KLSR
sehinggalah kajian dibuat pada tahun 1974 hingga 1979 oleh jawatankuasa diketuai
Dr.Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR ini. Laporan kajian yang
dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati bahawa KLSR sudah tidak relevan lagi dan
perlu diganti dengan kurikulum ynag baru. Implikasi daripada laporan ini ialah
pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun
1982.Namun begitu, pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal
pasti kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya
sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah. Dari segi kurikulum, mata pelajaran-mata pelajaran yang telah
sedia ada mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa
depan termasuklah Pendidikan Seni Visual.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah memainkan peranan yang positif dalam
membangunkan dan memperkembangkan kurikulum Pendidikan Seni Visual. Hal ini
dapat dilihat berdasarkan semakan terhadap Kurikulum Pendidikan Seni Visual itu
sendiri yang telah beberapa kali melalui proses perubahan. Perubahan-perubahan
tersebut meliputi aspek falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi
kandungan mata pelajaran tersebut.Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat
dilihat seawal pertengahan abad ke-19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan di
Penang Free School dengan memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar
yang mahir dalam kraf (Carline, (1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md
Nasir bin Hj. Ibrahim-Isu dan Permasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual).

Selepas merdeka, bermula dari tahun 1965 Kementerian Pelajaran Malaysia telah
menggubal dasar baru pendidikan. Melalui dasar baru ini, murid-murid daripada
darjah 1 hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali
sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran elektif.

Kini, sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada
melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi individu
dan pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari serta sikap
dalam menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan
identiti bangsa. Perubahan-perubahan ini melibatkan falsafah, matlamat, objektif,
pendekatan, kaedah dan isi kandungan yang lebih mantap dan akan dapat menarik
minat lebih ramai pelajar.

Dalam KBSR, Pendidikan Seni Visual merupakan mata pelajaran wajib yang mesti
dipelajari oleh semua murid. Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal selaras
dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat FPK. Matlamat mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh
PPK padaa tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif
dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya
membnatu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara, selaras
dengan hasrat FPK.Terdapat empat bidang yang terkandung di dalam mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual seperti berikut :

(a) Melukis dan membuat gambar
(b) Membuat corak dan rekaan
(c) Membentuk dan membuat binaan
(d) Mengenal kraf tradisional

Fokus yang diberikan kepada setiap bidang pula ialah pemerhatian aktif, interaksi
yang kreatif dengan alat dan bahan, serta aprisiasi aspek seni.Pendidikan Seni
Visual memainkan peranan sebagai pengimbang kepada mata pelajaran lain yang
ditawarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Mata pelajaran ini menyumbangkan ke arah
perkembangan murid-murid melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan
kraetiviti. Manakala aktiviti seni yang dijalankan semasa pengajaran dan
pembelajaran dilakukan dalam konteks peranan seni sebagai media komunikasi,
seni dalam kehidupan dan persekitaran, dan seni sebagai warisan budaya dan
identiti bangsa. (Mazlan Mohamad.1996)












https://bkree66.21classes.com/archive/2010/09/04/konse
p-5p-pendidikan-seni-visual.htm



Konsep 5P Pendidikan Seni Visual
KONSEP 5P DALAM KBSR
Konsep 5P merupakan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR. Konsep ini
merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar
dapat menyesuaikan maklumat dalam ransangan serta menghasilkan satu pelajaran yang
bersepadu dan menyeluruh serta mengelakkan kebosanan dalam kalangan murid. Konsep 5P
terdiri daripada proses penggabungjalinan kemahiran, penyerapan pengetahuan, penerapan nilai
murni, pemulihan dan juga pengayaan.
0.1 PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN
Apa yang disebut sebagai strategi penggabungjalinan kemahiran ialah satu proses yang
menggabungkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi
mewujudkan satu pelajaran yang intergratif dan menyeluruh. Ia merupakan integrasi beberapa
kemahiran yang berkaitan secara bersepadu serta menyeluruh dalam suatu proses pengajaran
dan pembelajaran. Tujuan strategi ini dilaksanakan ialah bagi membantu murid dalam penguasaan
pelbagai kemahiran dalam sesuatu masa pengajaran dan pembelajaran secara serentak serta
meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu strategi ini juga penting untuk menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran disamping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna murid.
Proses penggabungjalinan kemahiran juga dapat memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan
dan perkembangan murid secara seimbang dan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang
dilaksanakan di dalam kelas yang melibatkan murid secara aktif serta seluruh kelas.
Terdapat tiga jenis bentuk penggabungjalinan kemahiran iaitu penggabungjalinan pelbagai
kemahiran dalam satu mata pelajaran, penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain
dan penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum. Penggabungjalinan pelbagai kemahiran
dalam satu mata pelajaran ialah apabila proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan
melibatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran lisan atau pertuturan, membaca, menulis,
mengira, melukis, mewarna dan lain-lain.
Penggabungjalinan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua kemahiran yang digabungkan dalam
sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran-kemahiran ini boleh dibahagikan kepada
dua kategori iaitu kemahiran fokus dan kemahiran sampingan. Kemahiran fokus merupakan
kemahiran utama yang hendak disampaikan sebagaimana yang terdapat dalam objektif pengajaran
dan pembelajaran manakala kemahiran sampingan pula ialah kemahiran yang digabungkanjalinkan
setelah dipilih berdasarkan kaitannya dengan kemahiran yang di fokus.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam pelaksanaan pengajaran yang melibatkan
proses penggabungjalinan seperti membuat penelitian terhadap keperluan mata pelajaran untuk
mengenal pasti kemahiran yang di fokus dan kemahiran sampingan yang akan terlibat ketika
proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Penilitian ini sangat penting dalam menentukan
kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar agar objektif pengajaran dapat
dicapai. Di samping itu guru perlu memastikan keutamaan kemahiran agar kemahiran fokus dapat
dikuasai oleh murid berbanding kemahiran sampingan.
Selain itu guru juga perlu menetapkan susunan atau tertib kedudukan kemahiran-kemahiran
tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai persediaan sebelum bermulanya
proses pengajaran guru boleh menyediakan keperluan bahan-bahan yang diperlukan bagi tujuan
pelaksanaan kemahiran-kemahiran tersebut selaras dengan objektif mata pelajaran.
Bentuk penggabungjalinan yang seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada mata
pelajaran lain.Proses ini memerlukan penggabungan kemahiran-kemahiran yang terdapat di dalam
sesuatu mata pelajaran lain ke dalam mata pelajaran yang diajar. Sebagai contoh yang jelas dapat
dilihat penggabungjalinan yang diaplikasikan ialah seperti penggabungan kemahiran dalam mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual dengan mata pelajaran Kajian Tempatan iaitu melalui aktiviti
seperti melukis Jalur Gemilang atau pelan kedudukan sekolah. Penggabungjalinan ini perlu
diwujudkan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain bagi meningkatkan kemahiran
dalam kalangan murid.
Penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum pula melibatkan kemahiran-kemahiran yang
terdapat dalam kurikulum seperti kemahiran belajar untuk proses pembelajaran murid, kemahiran
berfikir secara kreatif dan kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah. Setiap kemahiran ini
mempunyai hubungan dan berkait rapat dengan kehidupan seharian murid. Oleh itu kemahiran-
kemahiran ini perlu dititikberatkan ole setiap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Selain itu guru yang juga perlu menitikberatkan soal kemahiran pelbagai kecerdasan
serta kemahiran generik kerana kemahiran ini melibatkan kecerdasan murid dan penting untuk
proses pertumbuhan dan perkembangan murid.
Implikasi daripada proses penggabungjalinan kemahiran ini objektif bagi setiap mata pelajaran
dapat dicapai disamping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan
bermakna. Proses ini juga merupakan suatu pengukuhan kepada kemahiran yang telah diperoleh
oleh murid daripada mata pelajaran lain. Kemahiran sampingan yang terdapat dalam
penggabungjalinan dapat membantu penguasaan kemahiran fokus sebagaimana yang dikehendaki
dalam objektif pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu murid-murid juga berpeluang untuk menyepadukan kemahiran-kemahiran yang perlu
dalam kehidupan. Kemahiran-kemahiran yang telah mereka perolehi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dapat diaplikasikan dalam aktiviti kehidupan seharian seperti membaca, menulis,
melukis dan mengira. Penggabungjalinan juga berkeupayaan untuk menimbulkan suasana
pembelajaran yang menarik dan dapat mengelakkan kebosanan murid disamping menggalakkan
proses pertumbuhan dan perkembangan murid-murid secara seimbang, harmonis dan bersepadu.

0.2 PENYERAPAN PENGETAHUAN
Penyerapan pengetahuan melibatkan proses penyebatian dan penyepaduan pengetahuan atau
unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi mata
pelajaran yang diajar. Hal ini adalah kerana setiap perkara yang dipelajari dalam suatu mata
pelajaran adalah saling berkaitan dan amat berguna bagi mata pelajaran lain. Sebagai contohnya
isi pengetahuan daripada mata pelajaran Sains dan Matematik diserapkan seiring dengan
penguasaan kemahiran-kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
Konsep ini sedikit berbeza dengan konsep penggabungjalinan kerana proses penyerapan
pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukannya kemahiran. Dalam proses ini murid
akan dapat melihat perkaitan antara suatu mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain. Hasil
daripada penyerapan ini maka wujudlah beberapa kelebihan kepada proses pengajaran dan
pembelajaran antaranya seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat menjadi lebih menarik
walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya bersifat sebaliknya.
Oleh itu secara tidak langsung aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif serta
efektif. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat
disampaikan disamping murid-murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang telah dipelajarinya
melalui penyerapan kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung isi
pengajaran telah dihubungkaitkan dengan pengetahuan dari mata pelajaran lain. Guru haruslah
bijak memilih isi pengetahuan yang menarik daripada mata pelajaran lain untuk meransang minat
murid terhadap pengajaran dan menjadi lebih ceria, aktif serta progresif.
0.3 PENYERAPAN NILAI MURNI
Penyerapan nilai murni merupakan proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum
dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai murni ini melibatkan semangat kewarganegaraan
masyarakat Malaysia yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran, penyerapan nilai murni ini telah dilakukan
secara sedar dan terancang tetapi murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara semulajadi dan
sendirinya.
Walaubagaimanapun, secara terperincinya penyerapan nilai-nilai murni ini telah
berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan juga pendekatan eksplisit.
Pendekatan implisit digunakan apabila guru-guru secara tidak langsung telah menerapkan sesuatu
nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti apabila guru bercakap benar, berpakaian
kemas dan adil. Pendekatan ini boleh berlangsung secara merentas kurikulum serta oleh semua
guru kerana nasihat, bimbingan, teguran, contoh dan teladan boleh berlangsung pada bila-bila
masa dan di mana-mana yang difikirkan sesuai.
Pendekatan eksplisit pula boleh diaplikasikan dengan mengadakan ssesuatu peraturan,
arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan sepert
arahan untuk tidak membuang sampah di merata-rata serta menjaga kebersihan persekitaran.
Terdapat juga sesetengah pihak sekolah yang mengadakan program atau aktiviti yang khusus
untuk menerapkan sesuatu nilai murni dalam kalangan murid seperti program motivasi, khemah
ibadat, sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Guru, kempen kebersihan dan pelbagai lagi aktiviti-
aktiviti lain yang bersesuaian. Penyerapan nilai murni melalui pendekatan eksplisit adalah lebih
terancang bersesuaian dengan matlamat dan kaedah pelaksanaan serta penilaian yang jelas.
Terdapat 17 nilai murni yang perlu diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
iaitu:
NILAI CONTOH
Baik hati 1. Belas kasihan
2. Bertimbang rasa
3. Murah hati
4. Saling memahami
5. Sedia memaafkan
Berdikari

1. Bertanggungjawab
2. Tidak berharap atau bergantung kepada
bantuan orang lain
3. Jaya diri
4. Yakin kepada diri sendiri
Berhemah tinggi 1. Kesopanan
2. Mengaku kesalahan sendiri
3. Ramah mesra
Hormat-menghormati 1. Hormat kepada ibu bapa
2. Hormat kepada orang yang lebih tua
3. Taat kepada raja dan Negara
4. Hormat kepadda hak asasi
5. Hormat kepada undang-undang
6. Menghargai maruah diri
Kasih sayang

1. Sayang kepada nyawa
2. Sayang kepada alam sekeliling
3. Cinta kepada Negara
4. Cinta kepada keamanan dan keharmonian
Keadilan 1. Bertindak adil
2. Sentiasa saksama
Kebebasan


1. Kebebasan di sisi undang-undang
2. Kebebasan dalam sistem demokrasi
Keberanian 1. Berani dengan tidak membuta tuli
2. Berani kerana benar
3. Berani mempertahankan kebenaran
4. Berani bertanggungjawab
Kebersihan fizikal dan mental 1. Kebersihan diri
2. Kebersihan persekitaran
3. Pertuturan dan kelakuan yang sopan
Kejujuran

1. Bersifat amanah
2. Bercakap benar
3. Sentiasa ikhlas
Kerajinan

1. Cekal
2. Daya usaha
3. Dedikasi
4. Gigih
5. Tekun
Kerjasama

1. Persaudaraan
2. Tanggungjawab bersama
3. Gotong-royong
4. Toleransi
5. Kebaikan bersama
6. Perpaduan
Kesederhanaan

1. Sederhana dalam meningkatkan kepentingan
diri dan orang lain
2. Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan
tingkah laku
Kesyukuran

1. Berterima kasih
2. Mengenang budi
3. Menghargai
Rasional 1. Boleh membuat pertimbangan
2. Boleh membuat penaakulan
3. Berfikiran logik dan terbuka
Semangat bermasyarakat 1. Bermuafakat
2. Kejiranan
3. Peka kepada isu-isu sosial dan masyarakat
Semangat kewarganegaraan 1. Berbangga menjadi rakyat Malaysia
2. Bersemangat patriotik
3. Berusaha ddan produktif
0.4 PEMULIHAN
Konsep seterusnya ialah konsep pemulihan. Konsep ini telah dibentuk dengan melaksanakan
aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi membantu murid yang mengalami masalah dalam kemahiran asas
3M. Pendidikan pemulihan adalah lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan
membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang
lembab mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian
pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap pencapaian yang sepatutnya (Koh Boh
Boon, 1982).
Rasionalnya pendidikan pemulihan adalah amat penting kerana melalui pendidikan
pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan tumpuan yang lebih berbanding
murid lain. Hal ini berlaku kerana murid adalah berbeza dari segi pengalaman, minat dan juga
kebolehan. Oleh itu murid yang lemah atau menghadapi masalah tertentu perlulah diberi perhatian
dan bimbingan. Objektif pendidikan pemulihan diadakan adalah untuk membolehkan murid-murid
menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti-aktiviti alternatif yang sesuai
dengan murid.
Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid mendapat layanan
dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental mereka di
samping membolehkan murid mengurangkan masalah yang dihadapi melalui bantuan guru-guru
dan juga pihak lain. Murid juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi
diri mereka dalam pelajaran dan minat mereka untuk mencuba ke tahap yang lebih maju serta
sama-sama melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti sosial sama ada di dalam atau di luar
bilik darjah.
Antara faktor yang membawa kepada masalah pembelajaran ialah apabilawujudnya
perasaan tidak yakin, rendah diri dan takut dalam kalangan murid. Selain itu masalah
pembelajaran juga berlaku akibat daripada sikap negatif yang ada dalam diri murid tersebut sendiri
seperti tidak mahu mengikut kata, tingkah laku yang kurang baik serta disiplin diri yang rendah.
Faktor kecacatan sejak lahir dan selepas lahir juga turut menyumbang kepada masalah
pembelajaran. Murid yang mengalami kecacatan ini akan ditempatkan disekolah khas yang
bersesuaian dengan keadaan mereka.
Aktiviti pemulihan boleh dilakukan melalui lima kaedah iaitu pengajaran individu,
pengajaran kumpulan kecil, pengajaran kumpulan besar, pengajran bimbingan rakan sebaya dan
juga pengajaran kolaboratif. Bagi pengajaran individu guru akan membimbing murid bagi
mengatasi masalah yang dihadapi dengan alat bantuan yang sesuai manakala bagi pengajaran
kumpulan kecil pula guru akan membimbing murid yang berada dalam kelompok kumpulan yang
sama dan mempunyai masalah yang sama tetapi mendapat perhatian secara individu dari guru.
Berapa langkah khas harus diambil kira ketika menjalankan langkah-langkah pemulihan
bagi memastikan objektif aktiviti pemulihan tercapai seperti membuat perancangan dan memilih
teknik pengajaran yang sesuai, menentukan masalah yang sama tidak berulang, mengikuti
kemajuan murid dengan menggunakan senarai semak dan juga membuat penentuan aktiviti
penhukuhan yang sesuai dan secocok bagi menyelesaikan masalah. Setelah selesai proses
pemulihan sebagaimana yang telah dijadualkan satu penilaian harus dilakukan bagi menguji tahap
penguasaan murid. Penilaian ini bertujuan bagi memastikan sama ada objektif pengajaran
pemulihan terlah tercapai atau tidak dan tindakan susulan akan diambil ke atas murid.

0.5 PENGAYAAN
Cabang konsep yang terakhir ialah aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan melibatkan murid-murid
yang berpencapaian melebihi sederhana atau murid-murid pintar cerdas. Konsep ini mengambil
kira bahawa murid-murid yang pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau
aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan
kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. Pada
kebiasaannya aktiviti pengayaan dijalankan ke atas kumpulan murid yang telah mencapai tahap
yang memuaskan atau telah menguasai kemahiran asas.
Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman
serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid. Aktiviti pengayaan juga dapat
membuka peluang kepada murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu,
bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan
juga masyarakat.
Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang
lebih mencabar kebolehan mereja disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat
membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka. Selain itu aktiviti ini juga dapat
membuatkan murid berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi
membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta meelahirkan daya kreativiti
menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri.

Secara keseluruhannya pelaksanaan konsep 5P ini dalam KBSR adalah penting dan wajar demi
meningkatkan kredibiliti anak bangsa. Konsep integrasi dalam kurikulum dan pengajaran yang
diterapkan adalah ke arah pembangunan individu insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Di dalam KBSR konsep ini membawa maksud bahawa
penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bahasa dan pemupukan nilai-nilai murni secara
bersepadu dan menyeluruh.

Anda mungkin juga menyukai