Anda di halaman 1dari 13

pengujian, pengukuran dan penilaian

PENGENALAN

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah satu bahagian dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ketiga-tiga konsep ini, walaupun mempunyai tafsiran
yang berbeza dari segi pengertian, tujuan dan ciri-ciri, memangnya ada kaitan yang
rapat dengan proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Malah, ketiga-tiga
perkara ini saling membantu dalam pencapaian matlamat yang sama dalam proses
pendidikan.

Pengujian, pengukuran dan penilaian memainkan peranan penting dalam
kurikulum pendidikan dan sebahagian dari kurikulum itu sendiri. Ianya dilakukan untuk
menilai samada sesuatu objektif yang ditetapkan itu tercapai atau tidak. Dalam
pengajaran dan pembelajaran, ketiga-tiga aspek ini dilakukan bagi mengetahui sama
ada guru mengajar dan pelajar belajar. Oleh itu pemahaman terhadap
konsep pengujian, pengukuran dan penilaian sangat penting bagi seseorang guru untuk
memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.

Dalam bidang pendidikan, kita seringkali berhadapan dengan apa yang
dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang
memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat
pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah tentang
pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung sama ada telah mencapai objektif
yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian
yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru
dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama
pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

KONSEP PENGUJIAN
Pengujian dalam bilik darjah merupakan proses penyerahan set soalan yang
piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang
sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau
pelajar. Dalam erti kata lain, pengujian ini merupakan alat pengukuran yang digunakan
untuk mendapatkan maklumat tentang pencapaian pelajar-pelajar daripada pelbagai
bidang kognitif, psikomotor ataupun efektif. Dalam konteks pembelajaran dalam bilik
darjah, pengujian digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku yang mempunyai
kaitan dengan aktiviti pembelajaran para pelajar.
Menurut Cronbach (1970), Ujian adalah satu prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan
bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Contohnya :
Skala bernombor :
i. 30/100 untuk ujian penglihatan,
ii. 100/200 untuk ujian kecerdasan ( IQ test)
iii. 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.
Sistem berkategori:
i. ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti
ii. rabun warna bagi ujian penglihatan.
Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah
laku pelajar dikukuhkan lagi oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah
Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa Ujian adalah suatu cara untuk
mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan
yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan
dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan.
Hasil daripada jawapan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut
sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji. Proses pengujian lazimnya
bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan
berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah
seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai
sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.
Dalam bilik darjah, pengujian adalah untuk mengukur perubahan tingkah laku murid berkaitan dengan
aktiviti pembelajaran murid. Kaedah yang lazimnya digunakan untuk mengesan pencapaian murid secara formal
ialah dengan menggunakan kertas dan pensil. Ianya terdiri daripada satu set soalan atau tugasan yang mana murid
perlu memberi tindak balas. Pengujian dapat mengukur ciri-ciri tingkah laku dalam masa terhad kepada sebahagian
aspek pembelajaran sahaja seperti kognitif, afektif atau psikomotor.

CIRI-CIRI PENGUJIAN
Sesuatu ujian yang berkualiti perlu mempunyai elemen-elemen kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan,
dan kebolehtadbiran.
i. Kesahan
Merujuk kepada takat sesuatu ujian yang dapat memenuhi tujuannya. ia terbahagi
kepada empat iaitu kesahan isi, kesahan ramalan, kesahan gagasan, dan kesahan
serentak.
Kesahan isi adalah untuk menentukan setakat mana sesebuah
ujian meliputi bidang ujian yang hendak diuji. Untuk mencapai kesahan isi,
kandungan ujian hendaklah ditentukan terlebih dahulu.
Kesahan ramalan bermaksud ketepatan sesuatu ujian untuk
meramal kebolehan sebenar seseorang pelajar untuk menjalankan
sesuatu ujian pada masa hadapan dalam situasi yang lain. Contohnya
seorang pelajar memperolehi 8A dalam peperiksaan percubaan di sekolah
juga harus memperoleh pencapaian yang sama dalam peperiksaan SPM
yang sebenar.
Kesahan gagasan adalah ciri yang sah yang terkandung dalam
sesuatu ujian yang digunakan untuk mengukur tret, tingkah laku atau
mental manusia. Contohnya, markah seseorang mungkin dipengaruhi
oleh kecerdasan, kebolehan menaakul, dan sebagainya.
Kesahan serentak merujuk kepada pencapaian seseorang dalam
ujian itu sepadan dengan pencapaiannya dalam satu ujian lain yang diakui
sah. Sebagai contoh, jika pelajar memperolehi skor yang tinggi dalam satu
ujian, dan apabila ujian tersebut diulangi, guru mesti menyemak yang
pelajar tersebut mempunyai skor yang hampir sama untuk menentukan
kesahan serentak.
ii. Kebolehpercayaan
Merujuk kepada ketekalan sesuatu ujian. Contohnya, jika seseorang calon mendapat
markah sebanyak 80 peratus dalam suatu ujian pada hari pertama dan mendapat
markah yang sama atau hampir sama tiga hari kemudian atau selepas seminggu, maka
ujian itu dikatakan mempunyai sifat kebolehpercayaan.
iii. Keobjektifan
Keobjektifan sesuatu ujian merujuk kepada ketepatan guru dalam memeriksa jawapan
pelajar yang ramai. Sebuah ujian objektif dikatakan mempunyai keobjektifan yang tinggi
jika pemarkahan ujian ini tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor kemahiran dan emosi guru
yang memeriksa ujian ini. Sebaliknya, ujian subjektif mempunyai keobjektifan yang
rendah kerana pemarkahan mungkin berbeza antara dua orang pemeriksa yang lain
walaupun kedua-duanya menanda berdasarkan skima pemarkahan yang sama.
iv. Kebolehtadbiran
Merujuk kepada kelicinan pelaksanaan sesebuah ujian di dalam bilik darjah atau dewan
peperiksaan. Ciri kebolehtadbiran merangkumi aspek-aspek seperti penyediaan dewan
peperiksaan, pengedaran kertas soalan, pengawasan, pengutipan skrip jawapan serta
pemarkahan.
TUJUAN PENGUJIAN
i. Mengesan hasil pembelajaran yang telah dicapai.
ii.Mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang pencapaian hasil-hasil
pembelajaran yang lain.
iii.Mengesan kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar.
iv.Menentukan perubahan tingkah laku pelajar.
v.Menentukan pencapaian pelajar dalam pembelajaran yang tertentu.
vi.Menempatkan pelajar dalam kumpulan yang sesuai mengikut keputusan
pengujian.
vii.Menggalakkan pelajar mengulangkaji pelajarannya.
viii.Melatih pelajar sebagai persediaan untuk peperiksaan awam yang akan
datang.
ix.Ujian petempatan akan menentukan kemahiran dan penguasaan sedia
ada pelajar sebelum pengajaran.
x. Ujian diagnostik menentukan punca masalah pembelajaran dan dengan
itu membantu guru menentukan teknik pemulihan yang perlu digunakan.
KONSEP PENGUKURAN
Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding pengujian.
Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses untuk mendapatkan penjelasan
secara numerik (melalui angka) tentang sebanyak mana individu iaitu pelajar
mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu. Oleh yang
demikian pengukuran ialah proses menentukan sejauh mana seseorang individu
memiliki ciri-ciri tertentu.
Biasanya, kita mewakilkan sesuatu pengukuran berbentuk angka kepada
prestasi seseorang individu untuk menggambarkan keupayaan individu tersebut.
Sebagai contoh, Muhammad mendapat 60 peratus dalam ujian Sains. Kita tidak
menyatakan prestasi Muhammad sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita
hanya mengukur pencapaian sains tanpa memberikan nilai kepada ukuran yang
diperoleh. Justeru, pengukuran hanya menentukan tahap prestasi atau ciri tertentu
seseorang pelajar mengikut alat yang digunakan.
Pengukuran boleh juga dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh,
kemahiran melukis seseorang pelajar boleh diukur melalui pemerhatian dan
pencerapan, sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual.
Oleh itu, kita boleh menganggapkan pengukuran sebagai proses untuk mendapatkan
sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula
merupakan salah satu daripada kaedah tersebut.
Pengukuran tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental
seseorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya.
Ketinggian fizikal seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur
yang tepat seperti penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang pelajar yang
mendapat skor 80 tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda daripada pelajar
yang mendapat skor 40, walaupun skor 80 itu dua kali ganda 40. Seseorang pelajar
yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai tidak mempelajari
atau mengetahui tentang sesuatu pelajaran yang diajar guru. Ini jelas menunjukkan
ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana ukuran
ketinggian fizikal pelajar menggunakan pembaris.
Justeru, seseorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan
ukuran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah
pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat. Proses pengukuran menunjukkan
pencapaian keseluruhan murid tetapi tidak semestinya membayangkan kebaikan atau
tingkah laku seseorang individu.

JENIS-JENIS PENGUKURAN
Terdapat pelbagai bentuk pengukuran yang berbeza, contohnya, pengukuran
yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza
daripada pengukuran yang digunakan untuk menentukan tahap apresiasi agama
pelajar. Begitu juga membuat pengkelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi rendah,
sederhana atau tinggi tidaklah setepat ukuran yang menggunakan skor sebenar
motivasi pelajar. Penyataan dan pengkelasan pembolehubah dalam bentuk kuantitatif
melibatkan pengukuran yang menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat
dua jenis pembolehubah asas dalam pengukuran, iaitu jenis kuantitatif seperti 20%,
50%, 80% dan jenis kategori seperti motivasi rendah, motivasi sederhana, motivasi
tinggi.
Kedua-dua jenis pembolehubah ini boleh diukur dengan menggunakan empat
jenis skala, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah. Secara ringkasnya, skala
boleh ditakrifkan sebagai angka yang digunakan untuk mengkelas atau menunjukkan
tahap dan nilai sesuatu ukuran.



i. Skala Nominal
Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai
ketepatan yang paling rendah. Skala ini mengkategorikan pembolehubah berdasarkan
persamaan dan seterusnya memberikan nama kepada pembolehubah berkenaan.
Contohnya, guru ingin mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut etnik atau jantina. Guru
berkenaan perlu meletakkan nilai tertentu kepada pembolehubah tersebut bagi mewakili
etnik berkenaan.Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, etnik Cina diwakili nombor 2,
etnik India diwakili nombor 3 dan etnik-etnik lain diwakili nombor 4. Nombor 1 dalam
sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan yang kecil berbanding nombor 2, 3 atau 4.
Dalam skala nominal ini, kita boleh menukar ganti nombor berkenaan untuk
mewakili kategori etnik tertentu, misalnya, nombor 4 untuk etnik Melayu, nombor 3
untuk etnik Cina, nombor 2 untuk etnik India dan nombor 1 untuk lain-lain etnik. Nombor
yang digunakan di sini hanyalah mewakili atau melambangkan kategori pembolehubah
yang dinyatakan, iaitu etnik. Nombor ini tidak mempunyai sebarang nilai dan skala yang
menggunakan nombor untuk mengkategori pembolehubah ini disebut sebagai skala
nominal. Ciri-ciri utama skala nominal adalah seperti berikut:
Setiap ahli hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja, misalnya, individu yang dikelaskan
ke dalam kategori Melayu tidak boleh menjadi ahli kategori etnik lain.
Nombor yang mewakili setiap kategori tidak mempunyai nilai pemeringkatan, tetapi
dianggap sebagai nama kategori sahaja.
Pengkelasan data asal kepada data nominal bersifat satu kepada satu.
ii. Skala Ordinal
Ukuran bersifat ordinal pula memberikan nilai pemeringkatan. Data boleh disusun
sama ada daripada yang terrendah kepada yang tertinggi atau daripada yang lemah
kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang diguna menggambarkan ukuran
asal pembolehubah mengikut susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada
kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik.
Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan kedudukan pelajar dalam darjah
dari segi pencapaian akademik adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat
markah keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti nombor 2, 3, 4 dan
seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan
berikutnya. Ciri-ciri utama skala ordinal adalah seperti berikut:
Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data ordinal adalah saling
eksklusif.
Ukuran yang diguna menunjukkan pemeringkatan secara logik.
Ukuran mempunyai pemberat, iatu setiap kategori mempunyai pemberat yang
kurang atau lebih berbanding kategori lain.
iii. Skala Sela
Data jenis ini mempunyai ciri pemeringkatan dan juga mempunyai perbezaan
bagi setiap unit sela yang sama nilai. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan
antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan kesamaan dalam unit ukuran yang
digunakan. Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin. Ini bermaksud
skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek
pemeringkatan. Jarak numerik yang sama dalam skala sela menggambarkan jarak
yang sama pada ciri-ciri yang diukur.
Contohnya, andaikan terdapat empat orang pelajar yang diukur pencapaiannya
dalam skala sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A yang mendapat 95%
dengan Pelajar B yang mendapat 70% adalah sama dengan perbezaan pencapaian
pelajar C yang mendapat 50% dengan pelajar D yang mendapat 25%. Bagaimanapun
kita tidak boleh mengatakan pencapaian pelajar C adalah dua kali lebih baik daripada
D, kerana skala sela tidak mempunyai nilai mutlak, tetapi hanya berdasarkan jarak.
Dalam skala sela, nilai sifar (0) merupakan suatu nilai yang arbitrari, yang tidak
menggambarkan nilai kuantiti kosong, iaitu skala sela tidak mempunyai nilai
mutlak. Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:
Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data sela adalah saling eksklusif.
Ukuran yang diguna menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.
Ukuran yang diguna mempunyai pemberat, iaitu sesuatu ukuran sama ada lebih
kecil atau lebih besar daripada yang lain.
Ukuran dalam skala sela bernilai arbitrari (tidak mutlak). Nilai sifar (0) juga
adalah arbitrari.
Perbezaan satu unit ukuran mempunyai nilai yang sama bagi semua perbezaan
ukuran.
iv. Skala Nisbah
Skala keempat ialah skala nisbah, iaitu skala yang mempunyai semua ciri skala
sela dan juga nilai mutlak. Dalam skala nisbah nilai sifar (0) adalah kosong. Misalnya,
perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. Malah
kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45. Contoh ukuran berskala nisbah
ialah wang, jarak dan tinggi.
TUJUAN PENGUKURAN
i.Menentukan tahap pencapaian dan kedudukan di antara pelajar.
ii.Membuat perbandingan pencapaian dan kedudukan di antara pelajar dalam
mata pelajaran yang tertentu ataupun keseluruhan pencapaian akademiknya.
iii.Untuk pengelasan dan menempatkan pelajar dalam jurusan kurikulum yang
sesuai.
iv.Untuk membuat analisis, pentafsiran dan rumusan dalam sesuatu penyelidikan
daripada keputusan pengukuran.
v.Untuk pensijilan sebagai tahap pencapaian akademik dalam sesuatu peringkat
persekolahan.
vi.Sebagai rujukan kriteria bagi pihak yang berkenaan untuk tujuan yang tertentu.
KONSEP PENILAIAN
Penilaian ditakrifkan sebagai proses menentukan, mendapatkan dan
memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan
selanjutnya. Dalam konteks pendidikan, penilaian ialah suatu sistem atau proses yang
meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran, untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil
tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran
selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan.
Banyak definisi telah diberikan kepada istilah penilaian. Antaranya ialah Gay
(1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa
mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang
telah ditetapkan itu telah tercapai. Ini seterusnya membolehkan guru membuat
pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian
ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.
Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan
mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada
matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat
dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu
perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang
pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M) di kalangan pelajar sekolah rendah.
Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran,
penganalisian dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini boleh dilaksanakan dalam lima
peringkat yang dijelaskan secara ringkas seperti berikut :
Peringkat
Interpretasi &
tindakan
Peringkat
analisis
Peringkat
Pemeriksaan &
pengukuran
Peringkat
Pentadbiran
ujian
Peringkat
Persediaan
ujian



Berdasarkan keterangan di atas, pengujian dan pengukuran merupakan aktiviti-
aktiviti utama dalam aktiviti penilaian. Kepentingannya di antara ketiga-tiga sistem ini
dapat dilihat dalam rajah 1 di bawah.

pengujian



peng
ukuran
penilaian
Rajah 1 : perkaitan penilaian, pengukuran, dan pengujian

Secara umumnya, penilaian pendidikan merangkumi aspek-aspek hasil
pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat
asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan
mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita
boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang
dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan
menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain
menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data
berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.
Oleh itu, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang
berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan
maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred seperti A, B, C, D
atau E bersama penjelasan nilainya seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal.
Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam
bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat,
tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu
menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai atau interpretasi
ukuran.

JENIS-JENIS PENILAIAN
Di bawah program KBSR dan KBSM, terdapat tiga jenis aktiviti penilaian iaitu
penilaian mengesan penguasaan, penilaian mengesan kemajuan, dan penilaian
mengesan pencapaian. Pada amnya, ketiga-tiga aktiviti penilaian ini boleh digolongkan
kepada dua jenis iaitu penilaian formatif yang digunakan untuk mengesan penguasaan
dan kemajuan, dan penilaian sumatif yang digunakan untuk mengesan pencapaian.
Penilaian formatif meliputi aktiviti mengesan kekuatan dan kelemahan
penguasaan pelajar dalam sesuatu kemahiran yang telah diajarkan. Cara penilaian ini
merupakan dalam bentuk tidak formal seperti pemerhatian, bersoal jawab secara lisan,
kuiz matematik, memeriksa hasil kerja pelajar dalam kelas atau kerja rumah. Penilaian
formatif ini biasanya digunakan untuk mengesan bidang kelemahan penguasaan
kemahiran pelajar secara individu supaya dapat membetulkan kesalahannya dengan
serta merta.
Oleh itu penilaian ini kerap kali dijalankan selepas sesuatu kemahiran diajarkan.
Di samping itu, penilaian formatif juga digunakan untuk mengesan kemajuan pelajar di
dalam kelas melalui ujian kertas pensel dalam bentuk formal. Ujian kertas pensel
lazimnya diadakan selepas beberapa unit kemahiran ataupun pembelajaran telah
diajarkan. Keputusan ujian ini akan direkodkan dalam borang prestasi yang akan
digunakan untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Penilaian sumatif pula meliputi aktiviti pengujian dan pengukuran atas beberapa
unit pembelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal atau dua penggal. Cara
penilaian yang digunakan adalah bentuk formal dengan menggunakan ujian kertas
pensel, peperiksaan amali atau bertulis, skala radar dan senarai semak. Penilaian
sumatif ini biasanya digunakan untuk menentukan pencapaian pelajar dalam beberapa
unit pembelajaran. Keputusan ujian itu akan digunakan untuk merancang aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengayaan dan pemulihan, merekod
keputusannya dalam rekod profil serta menempatkan semula kedudukan pelajar dalam
kumpulan yang sesuai.
Tujuan penilaian sumatif ialah untuk mengesan pencapaian pelajar dalam kelas
atau membuat perbandingan pencapaian mereka di antara kelas. Oleh itu, penilaian ini
biasanya dijalankan secara formal dalam bentuk peperiksaan pada pertengahan dan
akhir tahun persekolahan. Selain daripada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun,
penilaian sumatif juga meliputi peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dan sebagainya, yang mana keputusannya digunakan untuk menggredkan pelajar
mengikut peringkat pencapaian dalam satu tahap persekolahan serta menentukan taraf
pensijilan.












TUJUAN PENILAIAN
Sistem penilaian merupakan sistem yang penting dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Tujuan menggunakan sistem penilaian dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran ini ialah :
i. Mengumpul maklumat tentang pencapaian pelajar selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran supaya membuat penafsiran dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
ii. Menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar dalam pelajaran sesuatu kemahiran supaya
merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan.
iii. Menentukan kesan pengajaran guru untuk merancang strategi pengajaran yang lebih
berkesan.
iv. Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk merancang aktiviti
pengajaran dan pembelajaran pada masa yang akan datang.
v. Merekod keputusan-keputusan penilaian dalam rekod prestasi dan rekod profil untuk
dirujuk oleh pihak-pihak yang berkenaan.
vi. Menilai keberkesanan pelaksanaan sesuatu program baru seperti program KBSR atau
KBSM.

PENUTUP
Kesimpulannya, seseorang guru merupakan orang yang berperanan penting
dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian para pelajar
dalam bilik darjah. Guru yang menentukan hasil pembelajaran bagi pelajar-pelajarnya
serta merancang dan melaksanakan penilaian dan juga merekod segala maklumat
yang diperoleh, dan seterusnya melaksanakan tindakan susulan. Melalui aktiviti
penilaian ini, guru dapat memastikan perkembangan potensi individu pelajar secara
menyeluruh agar menepati dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
ingin melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan
intelektual.




REFLEKSI

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana akhirnya saya
berjaya menyiapkan tugasan yang telah diberikan walaupun dalam kesibukan
melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru dan ketua keluarga. Tugasan ini
banyak memberikan saya input-input baru yang sangat berguna untuk saya praktikkan
di sekolah nanti. Tugasan ini juga menjadikan saya lebih memahami apa itu pengujian,
pengukuran dan juga penilaian.
Banyak ilmu baru yang saya perolehi setelah menyelesaikan tugasan ini. Ia
memberikan saya satu dimensi baru dan menjadikan saya seorang yang teliti atas
sesuatu tugasan yang diberikan. Ilmu yang saya perolehi ini akan saya gunakan dan
akan saya kongsikan kepada rakan-rakan yang lain di tempat kerja. Selain itu, saya
telah memperolehi satu pengalaman baru yang mana sikap bekerja dengan
bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu tugasan yang diberikan merupakan
faktor kejayaan seseorang. Pengalaman dalam menjayakan tugasan ini cukup berharga
buat saya. Saya berharap agar ilmu yang saya dapat ini akan terus berada dalam
ingatan dan seterusnya akan diaplikasikan sepanjang kehidupan untuk menjadi
seorang guru yang cemerlang.
Sepanjang melaksanakan tugasan ini pelbagai rintangan dan dugaan yang
terpaksa saya tempuhi. Antara masalah yang paling ketara ialah tidak mempunyai
masa yang mencukupi untuk melaksanakan penyelidikan dan mengumpulkan
maklumat. Walaubagaimanapun masalah ini dapat diatasi dengan baik dengan
mengurus masa yang betul dan sistematik. Selain itu, kurangnya pengalaman dan ilmu
yang cetek juga menyebabkan saya terpaksa menyelidik dan membuat kajian dengan
bersungguh-sungguh agar tugasan ini dapat menepati apa yang dikehendaki.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga
kepada pensyarah subjek Ilmu Pendidikan iaitu Encik Kamarul Zaman Bin Mohd Kutty
yang telah memberi panduan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugasan yang
diberikan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kawan-kawan
yang telah banyak membantu sama ada secara formal atau tidak formal dalam
menjayakan tugasan ini. Terima kasih juga kepada keluarga tercinta kerana memberi
sokongan dan dorongan serta doa agar saya berjaya dalam pengajian ini.

DISEDIAKAN OLEH : HUMAIDI BIN MAT YAACOB
No. Matrik : IPGKB : D25A-0911-0136
KURSUS: KDPM-SABK-PA2






















RUJUKAN

1. Ee Ah Meng (1990), Pedagogi Satu Pendekatan, Fajar Bakti Bakti
Sdn.Bhd.
2. Dr.Ragbir Kaur A/P Joginder Singh (2010), Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI) Sekolah Rendah Dan Menengah, Kumpulan
Budiman sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
3. Mok Soon Sang (2009),Ilmu Pendidikan Untuk KPLI, Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
4. Mokhtar Ismail (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
5. Siti Rahayah Ariffin. (2003). Teori, Konsep dan Amalan Dalam
Pengukuran dan Penilaian. Pusat Pembangunan Akademik Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai