Anda di halaman 1dari 3

PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK AGAR MENJADI PENGGUNA YANG BIJAK

Sambutan Hari Pengguna membawa erti yang cukup mendalam bukan sahaja
kepada pengguna malahan juga kepada peniaga, pengeluar, dan kerajaan. Pelbagai
tema yang membayangkan hasrat kerajaan untuk melahirkan pengguna yang serba
bijak dan berpengetahuan diketengahkan pada setiap tahun. Walaupun pelbagai
tema yang dipilih, matlamatnya tetap sama iaitu untuk memastikan pengguna
terdidik dan bijak serta tahu akan hak mereka. Kini, masalah kenaikan harga
barangan sememangnya begitu ketarabagaikan bangkai gajah tidak dapat
ditutupi nyirunya lagi terutama di kawasanurbanisasi. Sebagai pengguna, kita
perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi
kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu
perlu atau sebaliknya dalam menjalani kehidupan harian itu. Oleh itu, untuk
melahirkan pengguna yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak ibu bapa kerana
ibu bapa merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada anak-anak.

Peranan ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak supaya
menjadi pengguna yang bijak ialah ibu bapa perlu memupuk amalan berjimat cermat
dalam kalangan anak-anak. Anak-anak perlu diajar supaya membeli barangan yang
benar-benar perlu dan tidak membazir kerana amalan membazir itu sebahagian
daripada amalan syaitan. Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan apatah
lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita membeli
apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah, ada orang yang
menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib pada setiap bulan sehingga
sanggup melakukan pembaziran. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak
agar berjimat cermat dalam pembelian dan perlu mengamalkan amalan menabung
untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat sebelum kena,
berjimat sebelum habis. Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat juga merupakan
satu amalan yang mulia yang harus dipupuk oleh ibu bapa dalam diri anak-anak.

Selain itu, ibu bapa harus memberikan teladan kepada anak-anak dengan
tidak berbelanja di kawasan-kawasan mewah dan mengamalkan sikap
kesederhanaan. Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan yang
berbunyi kepimpinan melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual di kawasan
mewah seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya lebih mahal harganya
bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang
lebih tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Selain itu, kebanyakan
pengguna ingin membeli di tempat yang elit ini kerana mereka mengutamakan
jenama. Impaknya, sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa
pengguna berbelanja besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja
kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan tertentu. Oleh
itu, mengapakah kita perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang
hampir sama kualitinya? Tepuk dada tanyalah selera. Konsep hidup sederhana dan
tidak mementingkan aspek kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih
selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula. Jadi, sikap ibu bapa
yang tidak berbelanja di kawasan yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan
akan diteladani oleh anak-anak untuk menjadi pengguna yang bijak
kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Seperkara lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya bijak
mengurus kewangan peribadi. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu
mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan
mereka. Untuk itu, diri anak-anak perlu dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang
dapat membantu anak-anak menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik
dan berkesan. Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak
perbelanjaan harian keluarga dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang
baik. Selain itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak membuat perancangan
yang lebih sistematik dengan membuat catatan wang simpanan dan wang
perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang
sistematik akan membantu berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Selain itu, ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar sentiasa menyediakan senarai
barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna
membeli barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak dapat
mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan dan
sekali gus usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak dapat direalisasikan.

Jika kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan keburukan
membeli barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih
murah. Hal ini kerana pengguna akan berbelanja boros semasa jualan murah
diadakan. Misalnya, ketika musim perayaan, pelbagai potongan harga yang menarik
ditawarkan. Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba
menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup
mengasyikkan pengguna. Lebih mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran
daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapakah yang tidak tergoda
apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70
peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad
kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun begitu, yang
membimbangkan adalah apabila seronok membeli-belah menyebabkan pengguna
akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya
terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, sikap ibu
bapa yang tidak mudah terpedaya oleh jualan murah dan tidak menggalakkan
pembelian ketika jualan murah merupakan antara peranan yang wajar untuk
melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan anak-anak.

Lebih-lebih lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu diamalkan oleh
ibu bapa dan diterapkan dalam diri anak-anak. Barangan buatan Malaysia ialah
barangan yang dihasilkan di dalam negara kita. Banyak kilang yang didirikan untuk
menghasilkan barangan tempatan. Barangan tempatan bukan sahaja murah
bahkan juga berkualiti. Ibu bapa sendiri perlu menggunakan barangan buatan
Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik.
Antara barang buatan Malaysia yang terkenal ialah kereta Proton Saga Proton Waja,
Proton Perdana. barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Di samping
menjimatkan perbelanjaan seseorang, amalan ini juga dapat menunjukkan sokongan
kita terhadap usaha anak watan kita sendiri bak kata pepatah, hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Usaha
kerajaan mendirikan Kedai Satu Malaysia merupakan usaha yang efektif untuk
menggalakkan rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah membeli-belah di
kedai tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh anak-anak kelak.
Secara implisitnya, usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak akan menjadi
kenyataan kelak.

Sebagai akhir kalam, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk melahirkan pengguna
yang bijak dalam dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankanobligasi masing-masing
dengan menitikberatkan amalan kepenggunaan yang bijak. Jikalau anak-anak kini berjaya menjadi
pengguna yang bijak sudah tentu masa depan mereka akan lebih bersinar dan lebih cerah. Usaha ini
bukan sahaja berguna kepada diri anak-anak malahan juga memberi tempias kepada negara kelak
kerana mereka yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara. Diharapkan generasi pelapis
negara ini akan lebih bijak merancang perbelanjaan peribadi dan negara supaya negara kita tidak
terheret dalam lembah kemiskinan kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk
padahnya.

Anda mungkin juga menyukai