Anda di halaman 1dari 1

Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah swt ini mempunyai berbagai-bagai

perangai. Ada yang baik dan tidak kurang juga yang kurang baik. Kita di Malaysia ini,
hendaklah selalu mengamalkan amalan berbudi bahasa ini kerana kita sudah sinonim
dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan-santun.

Banyak faedah yang kita peroleh dengan mengamalkan sikap berbudi bahasa. Antaranya
ialah, kita akan dihormati oleh orang lain. Dengan sikap yang lemah lembut dan tidak
bercakap kasar, kita akan dipandang mulia dan disukai oleh mereka yang berada di
sekeliling kita. Mereka tidak sesekali memandang serong terhadap kita. Malah, mereka
akan berasa senang untuk berdamping dengan kita.

Allah swt juga suka akan orang-orang yang berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana
mereka yang berbudi bahasa tidak akan sesekali mengeluarkan perkataan-perkataan yang
tidak berfaedah dan perkataan yang kurang sedap didengar oleh orang lain. Bukan itu
sahaja, malah kita akan sentiasa diredai oleh Allah swt.
Sikap kita yang berbudi bahasa ini juga akan membawa kesenangan dan kebaikan dalam
diri kita. Apabila kita hendak memohon sesuatu pekerjaan, sikap inilah yang akan dilihat
oleh seseorang majikan itu. Lalu, majikan tersebut tidak akan teragak-agak untuk
mengambil kita bekerja.

Kita juga akan mempunyai banyak kawan. Hanya kawan yang baik sahaja sesuai untuk
berdamping dengan kita yang mempunyai budi bahasa ini. Mereka akan berasa gembira
apabila berada bersama-sama kita sepanjang masa. Hal ini akan membuat seseorang itu
akan berasa yakin pada diri sendiri.

Akhir sekali, amalan berbudi bahasa dapat menjaga maruah kita terutama bagi seorang
muslim. Budi bahasa inilah yang mencorak diri seseorang itu sama ada baik atau buruk
perbuatannya.

Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan amalan berbudi bahasa dengan semua orang tanpa
mengira batas agama atau bangsa. Dengan sikap inilah kita akan dipandang mulia
sepanjang zaman. Tepuk dada tanyalah selera. Hanya kita yang akan membentuk budi
pekerti dalam diri sendiri.