Anda di halaman 1dari 15

1

BAHAGIAN A
a) Tujuan kajian ini dilakukan ialah bagi melihat sejauh mana tahap keyakinan guru
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran seni bahasa. Selain itu, kajian ini
juga bertujuan untuk mengenalpasti sejauhmana guru telah mengaplikasikan
elemen dan teks sastera untuk mempertingkatkan lagi kemahiran pembacaan
murid.

Rasional kajian yang dilakukan ini sangat releven dan bersesuaian dengan hal
semasa. Kajian ini penting bagi menilai semula para guru dalam menggunakan
kemahiran mengajar khususnya berkaitan dengan elemen dan teks sastera. Selain
itu, kajian ini juga dapat melihat sejauhmana aspek kemahiran seni bahasa ini
dapat memberi kesan ke atas standard kandungan dan standard pembelajaran yang
baru sahaja diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Bukan itu sahaja, kajian ini juga dapat melihat kepentingan seni bahasa apabila
digunakan di dalam pengajaran Bahasa Melayu setelah diperkenalkan dalam
kurikulum KSSR. Malah, kajian ini juga dapat dijadikan rujukan atau panduan
daripada pihak kementerian bagi melihat sejauh mana keberkesanan pendekatan
seni bahasa dalam bahasa Melayu yang baru diperkenalkan.









2

(b) Bincangkan bagaimana penyelidik menghuraikan konsep seni bahasa serta
contoh-contoh yang diberikan. Beri pendapat anda tentang takrifan penyelidik.

Artikel ini membincangkan tentang pelaksanaan elemen sastera dalam Pengajaran dan
Pembelajaran seni bahasa berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
yang telah dihasilkan oleh Shamsudin Othman dan Abdul Rashid Jamian. Hasil kajian
yang dilakukan tentang seni bahasa di dalam Bahasa Melayu mengikut kehendak
kurikulum KSSR dapat diberikan pujian. Pengkaji telah memberikan konsep seni bahasa
yang tepat dan jika diteliti bagi maksud seni dan bahasa, ia merupakan konsep yang
tepat bagi menggantikan konsep didik hibur.
Berdasarkan penulisan yang telah dibuat oleh pengkaji, saya mendapati bahawa
laras bahasa yang digunakan amat mudah untuk difahami dan pembaca daripada pelbagai
latar belakang akademik mampu untuk memahami isi yang hendak disampaikan. Selain
itu, saya juga mendapati bahawa pengkaji tidak melakukan sebarang kesalahan ejaan dan
tatabahasa di dalam artikel ini. Namun, saya mendapati bahawa pengkaji hanya
menumpukan sampel kajian terhad kepada guru sahaja. Pengkaji juga perlu mengambil
sampel pelajar untuk mengukuhkan lagi bukti bahawa pendekatan seni bahasa ini benar
memberikan impak positif ke atas pembelajaran Bahasa Melayu.
Begitu juga dengan contoh-contoh yang ditunjukkan bagi pembelajaran seni
bahasa yang sangat bertepatan dengan konsep seni bahasa yang telah dinyatakan oleh
pengkaji. Sebagai contoh, pengkaji telah menunjukkan contoh-contoh lagu dan pantun
yang sangat menarik dalam artikel ini. Seni bahasa yang digunakan ini sangat bersesuaian
dengan tahap perkembangan murid, iaitu murid pada usia 7 hingga 10 tahun. Pengkaji
telah mendefinisikan seni bahasa sebagai cara atau kaedah pembelajaran bahasa Melayu
yang sangat menyeronokkan murid-murid semasa P&P berlangsung. Seni bahasa juga
dapat didefinisikan juga sebagai kaedah didik hibur. Kaedah didik hibur ini membawa
maksud bahawa ia merupakan satu proses pembelajaran yang sangat menyeronokkan
sekaligus mendorong murid belajar sambil berhibur.

3

Namun, berlainan pula dengan pengkaji lain tentang seni bahasa. Bagi pendapat
Awang Sariyan (2006: 184) dalam kertas kerjanya bertajuk Penerapan Tatabahasa
Dalam Karya Kreatif menerangkan bahawa wujud hubungan antara ilmu bahasa dengan
penghasilan karya kreatif. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa bahasa merupakan alat
komunikasi atau sebagai alat penyampaian karya sastera. Walaupun gaya bahasa yang
digunakan indah ataupun sebaliknya, namun bahasa tetap digunakan sebagai alat untuk
berkarya. Ilmu bahasa sebenarnya mempunyai hubungan yang amat rapat dengan
penghasilan karya kreatif. Oleh hal yang demikian, ia tidak harus dianggap sebagai batu
penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah. Oleh itu, seni bahasa
amat bersesuaian untuk digunapakai di dalam pembelajaran bahasa Melayu bagi
mewujudkan masyarakat yang mempunyai kesenian yang kreatif.
Bagi pendapat yang diutarakan oleh Shamsudin Othman (2006: 301) pula dalam
Kertas Kerjanya yang bertajuk Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam
Wahana Pendidikan Nasional, beliau menyatakan bahawa hubungan bahasa Melayu
dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun dahulu. Antara bukti yang
menunjukkan bahasa Melayu mempunyai hubungan dengan Kesusasteraan Melayu ialah
hubungan ini wujud melalui bukti penulisan. Sebagai contoh, beribu-ribu nafkah karya
kesusasteraan tradisional Melayu khususnya yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah Bin
Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah pada
pertengahan kurun ke-19. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa elemen sastera telah wujud
dalam bahasa Melayu sejak sekian lama dan ia tidak mustahil untuk diterapkan kembali
ke dalam pembelajaran Bahasa Melayu pada hari ini.
Selain itu, pendapat tentang elemen sastera dalam Bahasa Melayu turut diutarakan
oleh Siti Khariah Mohd Zubir (2007). Beliau mengatakan bahawa mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957 lagi. Matlamat kewujudan
subjek ini adalah bagi membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia dapat menjiwai unsur-
unsur sastera dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan,
kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air.
Melalui kewujudan pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat
kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan sekaligus dapat
4

menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu. Ia sama seperti kewujudan elemen
sastera yang terdapat di dalam pembelajaran bahasa Melayu berdasarkan kurikulum
KSSR.
Akhir sekali, apabila membincangkan tentang bahasa dan sastera, ia akan
mendorong kita supaya berpadu tenaga untuk membina, memupuk dan mengembangkan
lagi seni bahasa Melayu. Oleh itu, peranan bahasa dan sastera, umpama irama dan lagu.
Gabungan antara bahasa dan sastera akan dapat menghasilkan buah fikiran, kreativiti dan
inovatif. Sekiranya seseorang itu tidak pernah membesar dalam keluarga yang bertutur
bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan tidak hidup dengan kebudayaan Melayu sejak
kecil lagi, sudah tentu ia akan menjadi lebih sukar untuk memahami tentang simpulan-
simpulan bahasa seperti besar hati, hati batu dan air tangan. Demikianlah
pentingnya bahasa yang merujuk kepada makna yang tersirat untuk memperkatakan
sesuatu secara tidak langsung. Begitu juga dengan sastera, perkembangannya bergantung
di tangan bahasa. Oleh itu, seni bahasa perlu terus diterapkan di dalam bahasa Melayu
agar elemen sastera dapat disampaikan melalui bahasa Melayu.

rujukan
Awang Sariyan. (2006). Penerapan Tata Bahasa Dalam Karya Kreatif. dlm. Sastera
Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsudin Othman. (2006). Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. dlm.
Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Khariah Mohd Zubir. (2007). Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu.
Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5.




5

(c) Dapatan utama kajian
Setelah dianalisis hasil kajian tentang pelaksanaan elemen sastera dalam
pengajaran dan pembelajaran seni bahasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
saya mendapati bahawa seni bahasa merupakan satu pendekatan yang terdapat dalam
pengajaran Bahasa Melayu dan ia merupakan kurikulum KSSR yang baharu dan kaedah
ini juga mampu menambah baik mutu dan kefahaman murid dalam pembelajaran Bahasa
Melayu. Di samping itu, melalui penerapan teknik seni bahasa atau didik hibur seperti
melakukan aktiviti nyanyian, berpantun, bersketsa, tahap pembacaan murid dalam Bahasa
Melayu sangat bagus dengan skor min yang tinggi dalam tahap pembacaan murid
terhadap elemen sastera.
Dalam kajian ini juga, pengkaji ada menumpukan tentang persepsi para guru
tentang seni bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu. Setelah
dianalisis, para guru telah menunjukkan persepsi yang positif terhadap manfaat
pelaksanaan elemen sastera dalam P&P seni bahasa kerana melalui kaedah ini ia mampu
meningkatkan lagi kemahiran murid pada tahap yang lebih baik. Misalnya, murid mampu
memahami maklumat yang disampaikan oleh guru, murid juga boleh mengulang kembali
perkara yang disampaikan oleh guru dengan lebih tepat, berlaku peningkatan dalam
kemahiran lisan, membaca dan menulis dalam kalangan murid, kecekapan pedagogi guru
juga semakin meningkat serta berlaku peningkatan kemahiran murid dalam 4M.
Seterusnya, hasil analisis bagi pengajaran seni bahasa oleh guru KSSR telah
mendapati bahawa secara keseluruhan para guru yang menggunakan seni bahasa dalam
Bahasa Melayu telah menunjukkan pencapaian yang baik. Misalnya, para guru telah
menggunakan pendekatan tersendiri dengan mengaplikasikan teknik didik hibur semasa
mengajar serta menggunakan pelbagai teknik dalam pengajaran seni bahasa. Melalui
kepelbagaian dan kebebasan dalam menggunakan seni bahasa dalam P&P, ia mampu
meningkatkan lagi keyakinan diri guru dan kefahaman para pelajar. Malah, guru juga
diberi kebebasan untuk mengajar di mana-mana tempat dan tidak terhad di bilik darjah
sahaja. Hal ini adalah bagi menunjukkan bahawa wujud keterbukaan dalam pengajaran
seni bahasa di samping menerapkan pengajaran secara santai. Begitu juga dengan bahan
yang digunakan oleh guru telah menunjukkan bahawa mereka tidak mendapat bahan
6

yang mencukupi untuk mengajar. Oleh itu, pihak sekolah perlu menyediakan bahan yang
secukupnya untuk keperluan guru agar murid-murid lebih memahami.
Malah, hasil analisis bagi teks sastera dan bahan bantu mengajar yang digunakan
oleh para guru semasa menggunakan teknik seni bahasa telah menunjukkan bahawa
bahan pengajaran sastera merupakan bahan bantu mengajar yang bagus untuk digunakan
kerana ia bersifat santai, sangat menyeronokkan dan dapat disampaikan dengan
menggunakan pelbagai teknik. Namun, melalui analisis ini, para guru kurang berpuas hati
dengan bahan puisi dan prosa seni bahasa. Walau bagaimanapun, rata-rata guru
menggunakan bahan bantu mengajar multimedia dan bukan elektronik untuk membantu
meningkatkan lagi kefahaman murid. Bahan bantu mengajar yang disediakan oleh guru
juga lebih kreatif dan guru sendiri yang menyediakan bahan bantu mengajar untuk
mengajar. Hal ini telah menunjukkan bahawa komitmen guru yang tinggi dalam
penerapan seni bahasa dalam Bahasa Melayu berdasarkan kurikulum KSSR.
Walau bagaimanapun, hasil analisis kajian juga telah mendapati bahawa seni
bahasa yang telah diterapkan di dalam pengajaran Bahasa Melayu telah mendapat
respons positif dalam kalangan guru. Hal ini demikian kerana, seni bahasa dapat
dijadikan sebagai satu teknik atau kaedah untuk membantu para guru Bahasa Melayu
semasa mengendalikan P&P Bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, para guru juga dapat
menonjolkan kekreatifan mereka dari segi nyanyian, lakonan, puisi dan sebagainya
kepada para pelajar. Melalui cara ini, para pelajar akan mengikut contoh yang telah
disampaikan oleh guru sehingga mampu mencungkil bakat atau kekreatifan para pelajar.
Namun, walaupun respons positif telah diperolehi, tetapi respons negatif tetap
wujud. Hal ini demikian kerana, apabila wujud kurikulum baru dalam KSSR ini, kerja-
kerja pengkeranian akan semakin bertambah. Malah, para guru juga perlu menyediakan
bahan pembelajaran yang mengandungi unsur seni bahasa dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Namun begitu, jika diteliti tentang penerapan seni bahasa dalam Bahasa
Melayu, ia banyak mendatangkan kelebihan kepada guru dan pelajar berbanding dengan
keburukan yang ada.
7

Sudah tiba masanya untuk mengubah cara pengajaran guru yang berbentuk
berpusatkan guru, chalk and talk dan sebagainya kepada kaedah didik hibur atau seni
bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, ia mampu menarik
perhatian para pelajar untuk lebih meminati sesuatu subjek, khususnya subjek Bahasa
Melayu. Oleh itu, saya ingin mengesyorkan bahawa pihak kementerian juga perlu
menerapkan kaedah didik hibur ini ke dalam mata pelajaran-mata pelajaran lain agar
dapat memberi nafas baru dalam teknik atau kaedah pengajaran pada masa kini. Namun,
kaedah ini perlu bersesuaian dengan topik atau subjek yang diajar.















8

(d) Nyatakan implikasi dapatan kajian terhadap pengajaran Bahasa Melayu.

Sememangnya penerapan seni bahasa dalam Bahasa Melayu mengikut kurikulum KSSR,
ia mampu memberikan perubahan atau impak dalam pengajaran Bahasa Melayu sama
ada memberikan impak positif atau impak negatif. Antara impak positif yang boleh kita
perolehi setelah seni bahasa diterapkan ke dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah para
pelajar akan lebih meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Hal ini bermaksud, keadaan
ini akan mengubah persepsi para pelajar sebelum ini yang menganggap bahawa Bahasa
Melayu adalah antara mata pelajaran yang paling membosankan. Namun, setelah wujud
kaedah seni bahasa atau dikenali sebagai didik hibur, maka para pelajar akan menjadi
lebih seronok, kreatif dan bersikap lebih terbuka semasa proses Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P) berlangsung.
Antara implikasi lain yang boleh diperolehi apabila seni bahasa diwujudkan
dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah apabila seni bahasa digunakan, guru dapat
menonjolkan bakat-bakat pelajar. Hal ini demikian kerana, apabila guru menggunakan
kaedah didik hibur atau seni bahasa seperti puisi, sajak, pantun, syair, sketsa, nyanyian
dan sebagainya, ia mampu menonjolkan bakat terpendam para pelajar. Hal ini sekaligus
akan dapat meningkatkan lagi keyakinan para pelajar.
Bukan itu sahaja, melalui penerapan seni bahasa ke dalam pengajaran Bahasa
Melayu juga, kefahaman pelajar tentang pengajaran Bahasa Melayu dalam kalangan
pelajar juga akan semakin meningkat. Hal ini demikian kerana, pendekatan seni bahasa
bukan teknik berpusatkan guru, tetapi ia merupakan teknik yang berpusatkan pelajar.
Dalam pendekatan teknik ini, tiada istilah suapan yang diberikan oleh guru. Tetapi, para
pelajar perlu berdikari dan melibatkan diri dalam mencari penjelasan atau jawapan
kepada persoalan yang dikemukakan oleh guru. Namun demikian, guru masih perlu
membimbing dan memantau pelajar agar objektif pengajaran tidak terjerumus dan berada
pada landasan yang betul.

9

Sungguhpun begitu, impak negatif tetap akan wujud jika sesuatu perkara
dilakukan. Antara impak negatif yang mungkin terjadi selepas seni bahasa diterapkan ke
dalam P&P Bahasa Melayu ialah pelajar akan menjadi leka semasa P&P sedang
berlangsung. Melalui pendekatan didik hibur ini, pelajar akan menjadi kurang serius
semasa belajar dan jika sekiranya terdapat pelajar yang sememangnya pemalas dan nakal,
mereka lebih suka bermain-main sepanjang P&P. Hal ini kerana penerapan kaedah didik
hibur atau seni bahasa ini lebih bersifat terbuka dan bebas kerana guru menggalakkan
pelajar untuk menunjukkan persembahan daripada mereka seperti menyanyi, berpantun,
berpuisi dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, penerapan seni bahasa dalam pengajaran Bahasa Melayu
lebih menjurus kepada impak positif berbanding impak negatif. Oleh itu, seni bahasa
yang terdapat dalam pengajaran Bahasa Melayu perlu diteruskan lagi agar teknik atau
kaedah ini mampu mengubah prestasi pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,
sekaligus dapat meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu.










10

Bahagian b
Kemahiran berfikir merentas kurikulum bahasa melayu.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Bagi mencapai pelaksanaan falsafah tersebut, Kementerian Pendidikan telah
merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Selaras
dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996,
Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah.
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan bagi rakyat di
Malaysia. Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat membina perasaan bangga terhadap
bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat. Di samping itu juga
berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi
bersama oleh semua rakyat negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam satu
wawasan. Pendidikan Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan
diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi.
Sudah jelaslah Kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah bertujuan untuk memenuhi
hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu
tersebut menyediakan dan membentuk murid menguasai kecekapan berbahasa dan
berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat hasil
dari sesi pembelajaran tersebut. Murid akan mampu mengungkapkan bidang ilmu
daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran. Di samping itu, murid akan mampu
mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan juga kreatif. Manakala Huraian
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah merangkumi kemahiran bahasa di
11

kalangan murid-murid, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca,
dan Kemahiran Menulis.
Penumpuan pada kemahiran-kemahiran ini membolehkan murid menggunakan
bahasa Melayu secara lebih berkesan lagi dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa
ilmu untuk pembelajaran seumur hidup mereka. Pendidikan Bahasa Melayu juga
memberikan pertimbangan terhadap pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan
yang berbeza antara satu sama lain di kalangan murid. Hal ini dapat kita lihat dengan
menekankan pembelajaran masteri dan penerapan kemahiran bernilai tambah
terhadapmurid-murid. Aktivti kokurikulum yang dijalankan di luar waktu sekolah juga
penting sebagai sokongan untuk memantapkan ilmu dan pengalaman pembelajaran di
bilik darjah. Huraian Sukatan Pelajaran merupakan perincian kepada kandungan sukatan
pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan berfungsi sebagai panduan untuk guru
dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa elemen dalam pengisian
kurikulum, iaitu ilmu daripada pelbagai bidang ilmu,nilai,kewarganegaraan, peraturan
sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan,
kecerdasan pelbagai, serta pembelajaran secara konstruktivisme, dan kontekstual. Setiap
modul yang diajar kepada pelajar akan di terapkan elemen- elemen seperti merentas
kurikulum (EMK) iaitu keusahawanan, kreativiti dan inovasi dan teknologi maklumat &
komunikasi serta aspek kerohanian, sosioemosi dan nilai murni. Secara keseluruhannya,
KSSR ini adalah berkonsepkan pembelajaran yang memberi faedah kepada pelajar untuk
bekalan sepanjang kehidupan, penyediaan asas di peringkat awal serta sebagai persiapan
mental untuk menjadi anak bangsa yang sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran
dan berani melontarkan idea yang kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang
unggul sebagai rakyat Malaysia. Pelaksanaan kreativiti merentas kokurikulum ini
haruslah melibatkan pengajaran secara kreatif oleh guru. Guru akan membuat persediaan
mengajar, membentuk imaginasi pelajar, mengikuti perkembangan setiap pelajar dan
akhir sekali melaksanakan tindakan terhadap sesi pembelajaran tersebut.


12

Antara aktiviti yang dapat dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran bahasa
melayu yang memerlukan murid untuk berfikir adalah dengan cara menyoal secara
individu. Sebagai permulaan, murid akan membaca terlebih dahulu sebarang pilihan
petikan yang dipilih oleh guru kemudian, guru menyoal dengan menyebut nama murid
dan biarkan murid itu menjawab soalan guru. Soalan guru pula hendaklah soalan yang
berkaitan dengan petikan yang dibaca. Dengan cara ini, murid telah dapat melatih
kebolehan membaca, bertutur dan berfikir secara aktif untuk menjawab soalan yang
diberikan oleh guru. Aktiviti ini juga dapat melatih murid untuk sentiasa berfikir dengan
cepat kerana memerlukan murid menjawab secara spontan dan menggunakan susunan
ayat yang betul. Di samping itu juga, guru dapat mentaksir murid yang mana perlukan
perhatian yang lebih untuk menguasai kemahiran yang diajar pada hari tersebut.

Aktiviti yang kedua yang difikirkan sesuai untuk murid berfikir adalah dengan
membuat karangan berpandu. Karangan berpandu dapat melatih murid untuk berfikir
secara kristis dan kreatif untuk menghasilkan karangan yang bagus dan ianya juga
sekaligus dapat melatih murid untuk menguasai kemahiran menulis. Sebagai permulaan,
guru memberikan tajuk untuk karangan berpandu tersebut. Apabila guru memberikan
tajuk karangan, murid secara lumrahnya akan terus berfikir tentang isi karangan tersebut.
Guru akan meminta murid memberikan jawapan mereka secara terbuka dan guru akan
menulis jawapan murid tersebut pada papan tulis. Guru juga memperbetulkan kesalahan
bahasa yang murid lakukan ketika memberi idea masing-masing. Apabila cukup isi yang
diperlukan untuk membuat karangan, guru membimbing murid untuk membuat
pendahuluan dahulu. Guru memberi contoh pendahuluan dan murid membuat
pendahuluan mengikut kreativiti sendiri. Aktiviti ini dapat meningkatkan kemahiran
berfikir murid untuk menggunakan bahasa melayu dengan betul dan juga untuk
penggunaan bahasa harian bersama rakan-rakan mereka. Aktiviti ini juga mencabar
murid supaya berfikir secara kritikal dan bukan dengan menghafal kerana tajuk yang
diberikan oleh guru adalah secara spontan dan murid tidak sempat untuk menghafal dari
mana-mana buku yang berkaitan. Murid akan lebih mudah mendapat idea jika sesuatu
tajuk itu berkaitan dengan kehidupan hariannya.
13

Aktiviti yang ketiga di dalam bilik darjah yang difikirkan sesuai untuk menjana
pemikiran murid adalah mengisi tempat kosong dengan pilihan jawapan yang sesuai.
Aktiviti ini memerlukan murid untuk membaca keseluruhan petikan dan ini memberikan
mereka penambahan ilmu dari segi kemahiran membaca. Mereka memilih jawapan yang
dirasakan sesuai dan selepas mereka menjawab, guru membincangkan jawapan yang
betul. Perbincangan jawapan bersama guru dapat menjadikan murid tahu tentang
kesalahan yang telah dibuat oleh mereka. Untuk aktiviti di luar bilik darjah pula, semasa
aktiviti kokurikulum iaitu persatuan bahasa melayu guru boleh menyediakan beberapa
aktiviti yang membina pemikiran murid contohnya memberi murid aktiviti mencari
perkataan tersembunyi. Guru mengedarkan kertas aktiviti iaitu mencari perkataan
tersembunyi kepada murid. Kemudian, guru akan memberitahu tajuk tentang perkataan
apakah yang perlu dicari oleh mereka contoh tajuknya ialah sekolah. Murid akan berfikir
dahulu apakah perkataan yang berkaitan dengan sekolah. Aktiviti ini juga dapat
meningkatkan kemahiran membaca murid.
Aspek ko-kurikulum juga tidak kurang pentingnya dalam penyempurnaan
kesepaduan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Aktiviti kokurikulum (badan
beruniform, kelab dan persatuan, sukan dan permainan) menjadi pelengkap kepada
aktiviti kurikulum di dalam bilik darjah, pengetahuan dan amalan. Contohnya, ilmu yang
diperoleh dalam bilik darjah boleh diaplikasikan dalam situasi kehidupan seharian di
rumah, masyarakat dan sebagainya. Pengalaman sedia ada murid dilengkapi dengan
pengalaman baru melalui pelbagai aktiviti yang disertai di sekolah mahupun luar. Elemen
merentas kurikulum (EMK) mempamerkan kesepaduan Unsur merentasi kurikulum
seperti;
Bahasa merentasi kurikulum;
Alam sekitar merentasi kurikulum;
Sains merentasi kurikulum;
Matematik merentasi kurikulum;
Kemahiran berfikir merentasi kurikulum; dan sebagainya.
14

Tambahan pula, EMK dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sangat penting. Sejajar
dengan perkembangan dan usaha Negara menjadi sebuah Negara maju menjelang tahun
2020, bagi memenuhi aspirasi Wawasan 2020; Negara perlu merangka serta
memartabatkan sistem pendidikan ke arah penguasaan ilmu dan kemahiran sepertimana
yang diperlukan dalam Kemahiran abad ke-21. Bidang sains dan teknologi merupakan
asas yang sangat penting.
Oleh itu, guru bahasa melayu di sekolah perlu memainkan peranan yang penting
dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa melayu.
Aktiviti yang dirancang oleh guru kebiasaanya telah difikirkan sesuai dengan tahap
pemikiran muridnya. Ab Rahman Ab Rashid, dan Ab Rahim Selamat (1997) telah
menggariskan empat peranan guru bahasa melayu di sekolah iaitu sebagai perancang
pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran;
pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan sahsiah murid. Jelaslah guru bahasa
melayu perlu memainkan peranan mereka dalam membentuk murid mereka supaya lebih
menguasai kemahiran yang perlu ada di dalah bahasa melayu. Ini adalah supaya murid ini
tidak ketinggalan dengan era moden sekarang.















15

Rujukan
Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kin Fatt & Ab. Rahim Selamat. (1997). Pengajian Melayu
I. Petaling Jaya ; Longman

Dewan Bahasa dan Pustaka[DBP]. (1985). Kamus Dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur;
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sharifah Alwiah Alsagoff.(1983). Ilmu pendidikan Pedagogi. Kuala Lumpur: Heinemann
Asia.

Sharbi Ali. (2005). Sukatan pelajaran bahasa melayu sekolah rendah. Diperoleh
September 12, 2005, daripada http://www.ppk.kpm.my/sphsp/muka22