Anda di halaman 1dari 18

PROGRAM BERTERUSAN JARAK JAUH ( PBJJ )

KURSUS SKSJ 2153 KERAJAAN DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA


FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
SEMESTER 1 2009/2010

BINCANGKAN BEBERAPA PERUNTUKAN KHAS YANG DIBERIKAN OLEH


PERLEMBAGAAN KEPADA NEGERI SABAH DAN SARAWAK.
MENGAPAKAH PERUNTUKAN KHAS INI DIBERIKAN
KEPADA NEGERI BERKENAAN

DISEDIAKAN OLEH:
ZAINAL BIN SANUSI ( GB 00762 )
E-MAIL : javas622@yahoo.com

DISEDIAKAN UNTUK:
PROF. MADYA DR. MOHAMMAD AGUS YUSSOF

TARIKH HANTAR : 22 NOVEMBER 2009

1.0 PENDAHULUAN
Setiap negara memerlukan perlembagaan untuk menjamin kestabilan politik dan sistem
pemerintahan negara yang cekap serta adil. Keperluan perlembagaan menjadi lebih ketara dalam
sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik seperti Malaysia. Justeru, perlembagaan
diperlukan untuk mewujudkan suatu mekanisma politik, ekonomi dan sosial yang akan
memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara serta melindungi kepentingan semua
kumpulan etnik. Umumnya, perlembagaan merupakan susunan prinsip undang-undang yang
menentukan kuasa pemerintah, hak-hak mereka yang diperintah (rakyat ) dan sifat perhubungan
kuasa antara kedua-duanya. Menurut Abdul Aziz Bari ( 2008 ), perlembagaan boleh dikatakan
sebagai dasar atau formula yang menyatakan bagaimana kuasa-kuasa awam di dalam sebuah
negara dibahagi-bahagi dan digunakan. Selain daripada itu, perlembagaan juga melihat prinsip
yang membentuk institusi-institusi negara seperti eksekutif, perundangan dan kehakiman
sekaligus menyatakan kuasa dan peranan masing-masing dalam kerangka itu.
Walau bagaimanapun, para sarjana memberikan pelbagai tafsiran mengenai definisi
perlembagaan yang sebenar. Misalnya, Abdullah Sanusi Ahmad ( 1987 ) mengatakan bahawa
perlembagaan ialah buku yang mengandungi undang-undang agung negara. Ia menyatakan
keunggulan politik, ekonomi, sosial serta kebudayaan sesebuah negara agar pengendalian
pentadbiran kerajaan dapat dilaksanakan secara licin dan saksama. Sementara itu, menurut
Sheela ( 1994 ), perlembagaan adalah sekumpulan undang-undang dasar, yang menjadi garis
panduan kepada pemerintahan sesebuah negara dan ia akan membawa kepada lahirnya beberapa
undang-undang yang lain. Perlembagaan mengandungi peraturan yang menentukan struktur
kerajaan dan kuasanya, sistem kehakiman, hak asasi, kebebasan beragama, soal bahasa, syarat-
syarat kerakyatan dan pilhanraya. Wheare. K.C. ( 1993 ) pula menjelaskan erti perlembagaan
dari dua sudut yang berbeza. Pertama, dalam suasana biasa, perlembagaan digunakan untuk
memperlihatkan keseluruhan sistem kerajaan sesebuah negara dan ia merujuk kepada satu
himpunan kaedah-kaedah yang menubuh dan mengawal kerajaan itu. Kedua, beliau memberi
tafsiran lebih luas iaitu perlembagaan bermaksud kumpulan undang-undang, institusi-institusi
dan adat-adat yang berpunca daripada beberapa prinsip pemikiran tetap yang membentuk sisem
umum.
Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh para sarjana, maka dapatlah kita membuat
beberapa kesimpulan mengenai definisi perlembagaan itu, antaranya :

2
i. Perlembagaan merupakan undang-undang dasar yang menjadi teras panduan
pemerintahan negara;
ii. Ia juga menjadi kerangka asas yang membentuk dan memandu sistem
pemerintahan sesebuah negara;
iii. Ia merupakan undang-undang tertinggi dan asas semua undang-undang lain di
dalam negara;
iv. Ia menjadi rujukan tentang aspirasi dan plan induk pemerintahan negara;
v. Ia mengawal pemerintah dan yang diperintah dalam mempertahankan
kewujudan dan kesinambungan negara.

2.0 LATARBELAKANG

Menurut Mohamad Salleh Abas ( 1984 ) di dalam buku Sejarah Perlembagaan Malaysia
ada menerangkan bahawa sejarah Perlembagaan Malaysia berasal sejak Tanah Melayu
berlindung di bawah naungan Kerajaan Inggeris pada akhir abad ke-19. Menjelang tahun 1895,
kerajaan Inggeris telah berjaya menguasai negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Negeri-negeri ini kemudiannya dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sehubungan
dengan itu 4 orang Residen British telah dilantik di setiap negeri dan diletakkan di bawah
seorang Residen General yang bertanggungjawab kepada Gabenor Negeri-negeri Selat
( ditubuhkan pada 1824 terdiri daripada negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura ) yang
diangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sementara itu, negeri-
negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor pula dikenali sebagai Negeri-
negeri Melayu Tidak Bersekutu yang mempunyai kuasa otonomi yang sedikit kerana agak lewat
menerima pengaruh British. Hampir semua negeri berkenaan kecuali Johor, sangat ketinggalan
dari sudut ekonomi dan kurang diberi perhatian oleh British. Dalam konteks negeri Johor,
lokasinya yang berhampiran dengan Singapura ternyata diberi perhatian yang agak lebih oleh
British. Selain daripada itu, pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor telah
memperkenalkan perlembagaan bertulis di negeri ini. Keadaan ini telah mewujudkan satu sistem
pentadbiran yang moden di Johor menjelang kedatangan Residen Johor pada tahun1914.

3
Apabila Jepun menyerah kalah di dalam Perang Duia Kedua, Inggeris telah kembali ke
Tanah Melayu. Sejurus selepas itu, mereka merancang untuk memperkenalkan malah
meluluskan penubuhan Malayan Union pada 10 Oktober 1945 dan Sir Harold Mac Micheal telah
dihantar untuk mendapatkan tandatangan persetujuaan daripada Raja-raja Melayu. Antara
sebab-sebab penubuhan gagasan Malayan Union adalah:

i. Untuk menyatukan negeri-negeri dan meningkatkan kecekapan pengurusan


pentadbiran;
ii. Pihak Inggeris menyimpan perasaan anti – Melayu kerana orang Melayu telah
bekerjasama dengan Jepun sebelum ini dan bertujuan untuk melemahkan
kuasa orang Melayu terutamanya kuasa raja-raja;
iii. Menjadi asa kepada pihak Inggeris untuk masyarakat tempatan memerintah
negara sendiri.

Walaupun pihak Inggeris mempunyai alasan sendiri untuk memperkenalkan gagasan


tersebut, namun ia mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Mereka
menganggap ia adalah perjanjian yang berat sebelah dan akan melenyapkan kuasa raja-raja dan
orang Melayu keseluruhannya. Penentangan tersebut didorong oleh beberapa sebab iaitu:

i. Hak kerakyatan diberikan atas dasar prinsip Jus Soli iaitu penduduk asing
yang bermastautin lebih 10 tahun dan lahir selepas Malayan Union secara
automatik mendapat kerakyatan atau menjadi warganegara;
ii. Kuasa raja-raja Melayu dilenyapkan dalam urusan pentadbiran negeri dan
hanya berkuasa dalam soal agama Islam, adat istiadat Melayu dan mengetuai
Majlis Penasihat Melayu;
iii. Hak yang sama rata kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa akan
menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang keistimewaan;
iv. Tindakan Sir Harold Mac Micheal mendapatkan tandatangan raja-raja secara
paksa dianggap keterlaluan dan menimbulkan kemarahan orang Melayu yang
cukup setia dan menjunjung ke atas rajanya.

4
Melihatkan penentangan hebat oleh orang-orang Melayu menyebabkan pihak British
akur dan memansuhkan Malayan Union seterusnya digantikan dengan Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1948. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah dipersetujui dan
berjalan dengan beberapa pengubahsuaian sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957. Pada tahun 1955 Pilihanraya Umum telah diadakan dan parti PERIKATAN
telah mencapai kemenangan. Keputusan pilihanraya itu telah membuka mata dan menyedarkan
pihak British bahawa orang Melayu dan bukan Melayu sebenarnya boleh bekerjasama di dalam
membentuk serta mentadbir sebuah negara. Perkembangan yang positif ini telah menarik minat
pihak British untuk menawarkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sehubungan dengan itu,
pada bulan Januari 1956 rombongan 8 orang wakil Persekutuan Tanah Melayu telah berangkat
ke London dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman untuk mengadakan rundingan tersebut.
Rundingan yang berlangsung selama 3 minggu telah berakhir pada 8 Februari 1956, maka
termetrailah perjanjian yang dipanggil sebagai Perjanjian London. Antara isikandung perjanjian
tersebut ialah:

i. British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pad 31 Ogos 1957;


ii. Tanah Melayu berada dalam lingkungan Komanwel dan menjalankan
pemerintahan demokrasi;
iii. British mendapatkan hak menempatkan askarnya di Tanah Melayu;
iv. Sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menggubal Perlembagaan Tanah
Melayu dinamakan Suruhanjaya Reid;
v. Jawatan Setiausaha Kewangan dan Pengarah Gerakan akan digantikan dengan
Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan dipegang oleh rakyat tempatan.

Penubuhan Suruhanjaya Reid ini merupakan titik tolak kepada proses penggubalan
Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang hakim
kanan daripada negara-negara Komanwel iaitu Sir Ivor Jennings ( Britain ), Sir William Mackell
( Australia ), Mr. B Malik ( India ), Jstice Abdul Hamid ( Pakistan ) dan Lord Reid ( Britain )

5
selaku Pengerusi. Sehubungan dengan itu, suruhanjaya ini telah mengadakan sebanyak 118
rundingan dengan pelbagai pihak di Tanah Melayu untuk mendapatkan pandangan mereka
tentang perlembagaan baru yang bakal digubal. Hasilnya, sebanyak 131 memorandum telah
diterima berupa maklumbalas, aspirasi dan kehendak rakyat Tanah Melayu yang mewakili
pelbagai kepentingan sebagai usul cadangan untuk dimasukkan ke dalam perlembagaan
merdeka. Namun, Suruhanjaya Reid ternyata memberi perhatian istimewa terhadap
memorandum yang dihantar oleh Parti Perikatan yang mewakili tiga kelompok etnik terbesar di
Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India. Ini susulan daripada kemenangan besar parti
berkenaan dalam pilihan raya persekutuan yang pertama pada tahun 1955 ( memenangi 52
daripada 51 kerusi yang dipertandingkan ). Justeru, Perikatan dianggap mempunyai mandat kuat
daripada rakyat untuk berunding dengan British dan mengusulkan cadangan-cadangan yang
sesuai untuk Perlembagaan Tanah Melayu.
Maka dengan itu, pada 11 Februari 1957 Suruhanjaya Reid telah menerbitkan
laporannya yang merupakan draf Perlembagaan Tanah Melayu. Laporan ini kemudiannya
dihantar kepada jawatankuasa kerja yang terdiri daripada wakil Raja-raja Melayu, Perikatan dan
kerajaan British untuk disemak serta dibuat pengubahsuaian sebelum diterima pakai sebagai
Perlembagaan rasmi negara Malaya merdeka yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Pada hari
ini, Perlembagaan Malaysia mempunyai sebanyak 15 Bahagian dengan 183 Perkara dan 13
Jadual. Menurut Milne dan Mauzy ( 1999 ), Perlembagaan Malaysia banyak mengikut apa yang
diamalkan di dalam perlembagaan-perlembagaan Britain dan India. Walaupun Britain tidak
mempunyai perlembagaan bertulis, namun prinsip-prinsip pemerintahan moden Britain banyak
mempengaruhi kandungan Perlembagaan Malaysia. Di samping itu, walaupun terdapat banyak
persamaan dengan kandungan Perlembagaan India tetapi Perlembagaan Malaysia nyata
mengambil kira realiti sejarah dan sosio-politik Tanah Melayu yang jauh berbeza dengan suasana
di negara India.

3.0 PERUNTUKAN KHAS PERLEMBAGAAN KEPADA NEGERI SABAH DAN


SARAWAK.

6
Bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua negeri Borneo ini mempunyai sejarah dan proses
politik yang agak berbeza daripada negeri-negeri Melayu di Semenanjung. Kedua-dua negeri
tersebut sebelum 1946 adalah merupakan wilayah-wilayah yang berada di bawah perlindungan
British. Hanya mulai tahun 1946 sahaja kedua-dua negeri tersebut menjadi koloni British secara
langsung. Disebabkan latar sejarah dan demografi yang sangat berbeza di kedua-dua negeri
tersebut dengan negeri-negeri lain di semenanjung, maka terdapat beberapa peruntukan khas di
dalam perlembagaan yang diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak seperti dalam Perkara
95B, 95D, 112A, 112B, 112C, 112D, 161, 161B dan 161E. Antara beberapa perkara yang
melibatkan peruntukan khas tersebut adalah:

3.1 Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan

Perkara 95D, Perlembagaan Persekutuan telah mengecualikan Sabah dan Sarawak


daripada peruntukan Perkara 95A iaitu menubuhkan suatu Majlis Negara bagi Kerajaan
Tempatan yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai Pengerusi, seorang wakil dari
setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang Di Pertua Negeri.
Sehubungan dengan itu, kerajaan tempatan di dua buah negeri ini telah ditadbir secara
langsung oleh kerajaan negeri masing-masing. Walau bagaimanapun, kedua-dua
kerajaan negeri masih menghantar wakil mereka menghadiri mesyuarat rundingan majlis
berkenaan sebagai pemerhati tanpa hak mengundi. Di negeri Sabah, kerajaan tempatan
dibentuk melalui peruntukan yang terdapat di bawah Ordninan Kerajaan Tempatan 1961.
Ordinan ini turut menggariskan bidang tugas dan tanggungjawab pihak penguasa
tempatan di Sabah. Perjalanan pentadbiran pihak berkuasa tempatan di sini diuruskan
oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang telah dibentuk selepas
pilihanraya Dewan Undangan Negeri ( DUN ) pada tahun 1963.
Di negeri Sarawak pula, pihak berkuasa tempatan ditubuhkan di bawah Ordinan
Penguasa Tempatan 1966. Ordinan ini adalah mewarisi sebahagian perundangan
tempatan yang sebelum ini digubal di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1948. Selain
daripada itu, terdapat beberapa undang-undang lain yang mengawal tugas penguasa
tempatan seperti Ordinan Bangunan 1994, Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999
dan juga undang-undang kecil di bawahnya. Sementara itu, penguasa tempatan di

7
bahagian Kuching pula tertakluk di bawah Ordinan Perbandaran Kuching 1988 dan juga
Ordinan Bandar Raya Kuching Utara 1988. Melalui ordinan ini, tiga penguasa tempatan
telah dibentuk iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan
( MBKS ) dan juga Majlis Perbandaran Padawan. Kedua-duannya kemudian diletakkan
di bawah peruntukan Ordinan Penguasa Tempatan 1996. Kementerian Alam Sekitar dan
Kesihatan Awam telah diberi tanggungjawab secara khusus untuk menjalankan
pentadbiran pihak berkuasa tempatan di negeri Sarawak.

3.2 Penyerahan Hasil Kepada Negeri Sabah dan Sarawak

Penyerahan hasil kepada kedua-dua negeri ini oleh ini jelas dinyatakan dalam
Perkara 112C yang mengatakan bahawa Persekutuan hendaklah membuat kepada Negeri
Sabah dan Sarawak berkenaan dengan setiap tahun kewangan pemberian yang dinyatakan
dalam Bahagian IV Jadual Kesepuluh. Antara yang dinyatakan di dalam Bahagian IV
Jadual tersebut adalah:-
3.2.1 Mengenai Sarawak, pemberian sebanyak RM5,800,00 bagi
Tiap-tiap satu tahun;
3.2.2 Mengenai Sarawak, pemberian yang jumlahnya bagi tahun
1964 dan bagi tiap-tiap satu tahun dari empat tahun yang
Berikut masing-masing ialah RM 3 ½ juta, RM 7juta, RM
11 ½ juta, RM 16 juta dan RM 21 juta, dan bagi tahun-tahun
yang kemudiannya, jumlahnya hendaklah ditetapkan
mengikut suatu ulangkaji di bawah Perkara 112D;
3.2.3 Mengenai Sabah, pemberian yang jumlahnya sama banyak-
nya bagi tiap-tiap satu tahun dengan dua perlima daripada
jumlah lebihnya hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan
dari Sabah daripada hasil bersih yang tetap didapati oleh
Persekutuan dari Sabah daripada hasil bersih yang tetap
didapati oleh Persekutuan bagi tahun 1963 jika:
( a ) Akta Malaysia berjalan kuatkuasanya dalam tahun itu
seperti dalam tahun 1964;dan

8
( b ) Hasil bersih bagi tahun 1963 dikira dengan tidak
mengambil apa-apa perubahan mengenai apa-apa
cukai atau bayaran yang dibuat pada atau selepas Hari
Malaysia;

3.2.4 Mengenai Sabah, bagi mana-mana tahun sebelum 1968 dalam


mana pemberian jalan Negeri adalah kurang daripada RM 5,
179,500 suatu tambahan kepada pemberian itu, yang banyaknya
sama dengan kekurangan itu.

3.3 Penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda Di Negeri Sabah dan
Sarawak Di Mahkamh

Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu hendaklah


menjadi bahasa Kebangsaan Persekutuan, Bahasa Inggeris akan terus digunakan untuk
tempoh sepuluh tahun selepas hari Malaysia. Bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa
rasmi Borneo Utara untuk tujuan baik pada peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Berdasarkan perkara ini, Bahasa Melayu hendaknya menjadi bahasa kebangsaan
Persekutuan dan pada masa yang sama bahasa Inggeris akan terus digunakan untuk
tempoh sepuluh tahun selepas hari Malaysia di Sabah dan Sarawak. Kenyataan ini
dijelaskan lagi dalam Perkara 161 iaitu:
( 1 ) Tiada Akta Parlimen yang menamatkan atau menyekat penggunaan bahasa
Inggeris bagi apa-apa maksud yang disebut Fasal ( 2 ) hingga ( 5 ) Perkara 152
boleh mula berkuatkuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam
apa-apa hal yang disebut dalam Fasa ( 2 ) Perkara ini sehingga sepuluh tahun
selepas Hari Malaysia.
( 2 ) Fasal ( 1 ) terpakai :
( a ) Bagi penggunaan bahasa Inggeris di dalam mana-mana satu
Majlis Parlimen oleh seseorang ahli bagi atau dari Negeri
Sabah atau Sarawak; dan

9
( b ) Bagi penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalama
Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau di salam satu
Makamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak atau bagi
apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau
Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam fasal
( 4 ); dan
(c) Bagi penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau
Sarawak di dalam Dewan Undangan atau bagi maksud
Rasmi yang lain ( termasuk rasmi Kerajaan Persekutuan ).

Selain daripada itu bahasa ibunda kedua-dua negeri boleh digunapakai untuk urusan
di Mahkamah Anak Negeri atau bagi apa-apa kanun undang-undang dan adat anak
negeri. Ini dijelaskan dalam Perkara 161 :-

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 152, di dalam Negeri
Sabah dan Sarawak sesuatu bahasa ibunda yang pada masa ini di-
gunakan di Negeri itu boleh digunakan di dalam Mahkamah Anak
Negeri atau bagi apa-apa kanun undang-undang dan adat anak
negeri, dan dalam hal Sarawak, sehingga siperuntukkan selainnya
melalui enakmen Badan Perundangan, bahasa ibunda itu boleh di-
gunakan oleh ahli apabila berucap di dalam Dewan Undangan atau
Mana-mana jawatankuasanya.

3.4 Hak-hak Istimewa Bumiputera

Dalam konteks ini, secara prinsipnya suku kaum Bumiputera di Sabah dan
Sarawak akan menikmati hak khusus setanding dengan apa yang diperolehi oleh

10
masyarakat Melayu di semenanjung. Ini dijelaskan dalam Perkara 161A ( 4 ) mengenai
Kedudukan istimewa anak negeri-negeri Negeri Sabah dan Sarawak iaitu :

( 4 ) Perlembagaan-perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh


membuat peruntukan yang bersamaan ( dengan ubah suaian yang
perlu ) dengan Perkara 153.

Hak-hak istimewa ini digunapakai dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh,


dalam soal pemberian / perezeban tanah seperti yang dinyatakan dalam perkara 161A ( 5
) iaitu:-
(5) Perkara 89 tidaklah terpakai bagi Negeri Sabah atau Sarawak, dan
perkara 8 tidaklah menidaksahkan atau melarang apa-apa perun-
tukkan undang-undang Negeri di Negeri Sabah atau Sarawak bagi
merizabkan tanah bagi anak negeri Negeri itu atau bagi memberi-
kan layanan keutamaan kepada mereka berkenaan dengan
pemberian hakmilik tanah oleh negeri itu.

Perkara 161A ( 6 ) pula menerangkan siapakah yang dikatakan sebagai `` anak


negeri `` dalam konteks Perlembagaan yang melayakkan mereka memperolehi
keistimewaan tersebut :-

( a ) Berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganega-


ra dan sama ada yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang
dinyatakan dalam Fasal ( 7 ) sebagai ras asli bagi Negeri itu atau
yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-
ras itu; dan
( b ) Berhubung dengan Sabah, seseorang yang merupakan warganegara
Ialah anak atau cucu kepada seseorang daripada suatu ras asli bagi
Sabah, dan telah lahir ( sama ada atau tidak pada atau selepas Hari
Malaysia ) sama ada di Sabah atau dengan bapanya berdomisil di
Sabah pada masa kelahiran itu.

11
3.5 Perlindungan Perlembagaan Terhadap Negeri Sabah dan Sarawak

Menurut Dr. Abdul Aziz Bari ( 2008 ) dalam bukunya Perlambagaan Malaysia :
Asas-asas dan Masalah, Sabah dan Sarawak sebenarnya mempunyai kedudukan yang
istimewa berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan. Ini adalah kerana
Sabah dan Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mempunya kuasa untuk tidak
mempersetujui pindaan terhadap peruntukan-peruntukan mengenai mereka. Jelasnya,
majoriti dua per tiga dalam Dewan Undangan Negara dan Dewan Rakyat adalah tidak
memadai untuk meminda peruntukan-peruntukan berkenaan jika tidak mendapat
persetujuan Yang Di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak.
Keadaan ini dijelaskan di dalam Perkara 161E( 2 ) Pemeliharaan Kedudukan Dari
Segi Perlembagaan Negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang menyatakan :-

161E ( 2 ) : Tiada apa-apa boleh dibuat kepada Perlembagaan dengan tiada


persetujuan Yang Di Pertua Negeri bagi Negeri Borneo itu atau
tiap-tiap satu Negeri Sabah atau Sarawak yang berkenaan itu,
jika pindaan itu adalah dari jenis yang akan menyentuh perja-
lanan kuatkuasa Perlembagaan mengenai mana-mana daripada
perkara yang berikut:-
( a ) Hak untuk menjadi warganegara bagi orang-orang yang
lahir sebelum Hari Malaysia oleh sebab perhubungan
mereka dengan Negeri itu, dan ( kecuali setakat mana
peruntukan yang berlain-lain dibuat oleh Perlembagaan
sebagaimana berkuatkuasa pada Hari Malaysia) Laya-
nan sama rata, tentang kewarganegaraan mereka sendiri
dan juga orang lai, bagi orang-orang yang lahir atau
bermastautin di negeri-negeri Tanah Melayu:

( b ) Keanggotaan dan bidangkuasa Mahkamah Tinggi


di Sabah dan Sarawak dan perlantikan, pemecatan

12
dan penggantungan jawatan hakim-hakim mahkamah
itu;

(c) Perkara-perkara yang Badan Perundangan bagi Nege-


ri itu boleh ( atau Parlimen tidak boleh ) membuat
undang-undang mengenainya; dan kuasa pemerintah
negeri itu dalam perkara-perkara itu, dan ( setakat
mana yang berkaitan dengan perkara-perkara itu )
perkiraan-perkiraan kewangan antara Persekutuan
dengan negeri itu;

(d) Ugama dalam negeri itu, penggunaan apa-apa bahasa


di dalam Parlimen dan layanan istimewa bagi anak-
anak negeri Negeri itu;

(e) Peruntukan bagi negeri itu, di dalam mana-mana Par-


limen yang dipanggil bermesyuarat sebelum akhir
bulan Ogos 1970, suatu kuota ahli-ahli Dewan Rak-
yat yang tidak kurang, mengikut perkadaran jumlah
yang diuntukkan bagi negeri-negeri lain yang men-
jadi anggota Persekutuan pada Hari Malaysia, dari-
pada kuota yang diuntukkan bagi Negeri itu pada
Hari Malaysia.

4.0 FAKTO-FAKTOR KEWUJUDAN PERUNTUKAN TERSEBUT

Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan wujudnya peruntukan-peruntukan istimewa


diberikan kepada kedua-dua buah negeri ini. Antaranya ialah :-

13
4.1 Hakikat Sejarah

Keistimewaan yang dinikmati oleh kedua-dua negeri itu sebenarnya hampir sama
seperti apa yang dimiliki oleh orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Jika perkara ini
ditafsir secara literal, maka kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah
dan Sarawak itu terletak pada hakikat sejarah mereka dan hubungannya dengan negeri
tersebut. Sejarah membuktikan bahawa kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak
merupakan penduduk asal negeri berkenaan. Jelasnya, kedua-dua negeri itu pada suatu
masa dahulu adalah milik mutlak mereka. Walaupun telah menjadi Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1963 dan telah menerima kemasukan orang-orang Cina serta India
sebagai sebahagian daripada rakyat negeri mereka, namun hakikat sejarah hubungan di
antara kaum bumiputera dengan negeri mereka sendiri teap kekal abadi. Justeru itu,
adalah munasabah untuk mereka menikmati keistimewaan sebagai kaum bumiputera
Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 161A Perlembagaan
Persekutuan.

4.2 Faktor Politik

Apabila dilihat dalam konteks politik, peruntukan-peruntukan yang dikhaskan


untuk Sabah dan Sarawak ini sebenarnya adalah untuk memenuhi apa yang dipanggil
sebagai Perjanjian 20 Perkara di antara kedua-dua buah negeri dengan Persekutuan.
Apakah sebenarnya Perjanjian 20 Perkara yang dimaksudkan itu? Menurut Dr. Abd Aziz
Bari ( 2008 ), secara ringkasnya ia adalah tuntutan yang dikemukakan oleh Parti
Perikatan Sabah dan Sarawak sebelum menyertai Persekutuan Malaysia. Pada
hakikatnya ia samalah seperti memorandum yang dikemukakan oleh oleh pelbagai pihak
dan parti politik kepada Suruhanjaya Reid untuk dimasukkan ke dalam dokumen
perlembagaan. Justeru itu, perjanjian yang mengandungi soal agama, bahasa, hak
istimewa bumiputera, Imigresen, hasil bumi dan sebagainya boleh dianggap sebagai
landasan kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan kedua-dua negeri tersebut. Walau
bagaimanapun, tidak semua tuntutan yang terkandung dalam Perjanjian 20 Perkara itu

14
kekal hingga ke hari ini. Ini adalah kerana beberapa perkara seperti soal agama telah
dimansuhkan dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi di kedua-dua buah negeri
berkenaan.

4.3 Faktor Kepelbagaian Etnik

Menurut Kamus Dewan, etnik ialah berkenaan bangsa manusia, ia juga tidak
memaksa perubahan terhadap kepercayaan agama atau membuang unsur sesuatu kaum.
Kumpulan etnik lazimnya bermula daripada satu konsep keturunan, iaitu sesuatu generasi
kumpulan etnik hari ini mempunyai nenek moyang yang sama, dan turun-temurun
daripada moyang itu. Etnik boleh dikelaskan melalui perbezaan budaya. Selain daripada
itu, ia juga boleh dikategorikan secara demografi mengikut kedudukan geografi dan
sempadan negari. Dalam konteks Sabah dan Sarawak kepelbagaian etnik di kalangan
rakyatnya seperti Kadazan, Melanau, Dusun, Iban, Bidayuh, Penan, Murut dan banyak
lagi menjadi salah satu faktor mengapa suatu peruntukan khas diberikan oleh
perlembagaan untuk memelihara kepentingan setiap kelompok berkenaan. Di samping
itu, pentingnya perkara itu dimaktubkan dalam perlembagaan adalah agar etnik lain tahu
kedudukan mereka dan sama-sama bernaung di bawah hak kesamarataan.

4.4 Kesan Penjajahan British

Proses penjajahan British di negeri ini telah memberi kesan bukan sahaja kepada
struktur demografi penduduk, malahan turut melibatkan perubahan drastik kepada sosio-
politik dan ekonomi setempat. Kaum bumiputera akhirnya mendapati mereka terkepung
oleh sejumlah kaum imigran yang ramai dan menguasai kedudukan sosio-ekonomi yang
jauh lebih baik daripada mereka. Kewujudan golongan imigran ini pada asalnya adalah
bertujuan untuk membantu merangsang perkembangan ekonomi kedua-dua negeri
memandangkan kebanyakan mereka lebih mahir dalam bidang berkenaan. Walau
bagaimanapun lama kelamaan golongan inilah yang mendominasi ekonomi dan
menjadikan kaum bumiputera yang serba kekurangan tersisih. Justeru itu, keistimewaan
yang diberikan oleh pelembagaan untuk kaum bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi

15
perkara seperti jawatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan, biasiswa, pemberian
permit dan lesen menjalankan perniagaan diharapkan memberi saingan secara sihat dalam
mengurangkan jurang ekonomi dengan kaum-kaum lain.

5.0 KESIMPULAN

Walaupun terdapat peruntukan khas untuk negeri Sabah dan Sarawak dalam
perlembagaan Persekutuan, namun pada masa yang sama ia tidak mengganggu gugat hak sah
yang dimiliki oleh negeri-negeri lain di negara ini. Berdasarkan kenyataan ini sekiranya terdapat
desakan untuk mengubah kedudukan yang ada dalam perlembagaan atas nama perubahan dan
perpaduan nasional, cadangan itu perlu diperhalusi dengan sedalam-dalamnya. Sehubungan
dengan itu, faktor tolak ansur yang menjadi tulang belakang kepada perlembagaan kita perlu
diambil kira kerana ia akan mempengaruhi kestabilan negara keseluruhannya.

RUJUKAN

1. Abdul Aziz Bari ( 2008 ). Perlembagaan Malaysia : Asas-asas dan Masalah. Dewan
Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

16
2. Abdullah Sanusi Ahmad ( 1987 ). Kerajaan, Pentadbiran dan Rakyat .Dewan Bahasa
dan Pustaka. Kuala Lumpur.
3. Abdul Aziz Bari. Perlembagaan Malaysia,Teori dan Praktis ( 2008 ).Arah
Publications.Kuala Lumpur

4. Mohd Salleh Abbas ( 1984 ). Sejarah Perlembagaan Malaysia.Dewan Bahasa dan


Pustaka.Kuala Lumpur.

5. Milne, R.S., & Mauzy, D.K. ( 1999 ). Malaysian Politics Under


Mahathir.Routledge.London.

6. Sheela Abraham ( 1994 ).Sejarah Perkembangan Negara. Fajar Bakti.Kuala Lumpur

7. Wheare, K.C. ( 1993 ). Perlembagaan Moden. Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala


Lumpur

8. International Law Book Services ( 2009 ).Perlembagaan Persekutuan.Golden Books


Centre Sdn Bhd.Petaling Jaya

9. http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutuan_Malaysia/Perhubungan
_Antara_Persekutuan.11/11/2009

10. http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutuan_Malaysia/Perlindungan_Tamb
ahan_bagi_negeri_Sabah _Sarawak.11/11/2009
11. http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutuan_Malaysia/Peruntukan
Kewangan11/11/2009

17
18

Anda mungkin juga menyukai