Anda di halaman 1dari 3

Tuesday, May 13, 2008

SUMBANGAN ISLAM KEPADA TAMADUN BARAT


Umum sudah memahami bahawa tamadun Islam telah melahirkan ribuan ulama dan ilmuwan dalam
pelbagai bidang sama ada dalam bidang teologi, fekah, bahasa, falsafah, sains dan teknologi.
Semasa tamadun Islam pada abad Pertengahan (sehingga abad ke 14 Masihi) berada di dalam
kegemilangannya, Barat masih lagi dalam zaman kegelapannya. Barat ketika itu masih memusuhi
sains, dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama Kristian, bahkan pengembang
ilmu sains dan falsafah telah dituduh kafir dan dihukum bunuh, dibakar atau dipenjarakan. Semasa
Barat berada dalam zaman kemundurannya, ketika itu beberapa orang sarjananya mula beralih ke
Timur mempelajari ilmu falsafah, sains dan teknologi dari ulama-ulama Islam sama ada di Baghdad,
Sicily, Andalusia dan di kota-kota Islam. Hakikat bahawa sarjana Barat giat berguru dengan ulama
Islam telah didedahkan oleh Fuat Sezgin, seorang berbangsa Turki yang menerbitkan karyanya
bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums. Buku ini telah membuktikan bahawa dunia Barat
pada zaman Pertengahan giat meniru, menjiplak dan memplagiat karya ahli sains Islam. Kajian
Sezgin membuktikan penjiplakan terlalu berleluasa hinggakan suatu dekri yang menghalang
penjualan hasil tulisan sains kepada orang Kristian dikeluarkan di Seville seawal abad ke-12 Masihi
kerana orang Kristian menterjemahkan tulisan tersebut dan menerbitkannya di bawah nama lain
(Mohammad Ilyas, 2003:7).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi Islam ke Barat banyak dimainkan oleh kerajaan Islam yang
berpusat di Sicily (pulau berhampiran Italy) dan Andalusia (Sepanyol). Pemerintahan Islam di Sicily
bermula pada tahun 902 Masihi apabila Dinasti Aghlabid memerintah Sicily sehingga tahun 909
Masihi. Orang Islam memerintah Sicily telah menjadikan Palemo sebagai ibu negara. Pemerintahan
Islam di Sicily mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Abu al-Futuh Yusuf ibn
Abd Allah (989-998). Kegemilangan ini bertahan selama 189 tahun iaitu sehingga 1091 Masihi
apabila seluruh Sicily dirampas oleh tentera Norman. Walaupun dikuasai oleh tentera Norman, umat
Islam di Sicily masih kekal menerajui kebudayaan dan kesarjanaan di pulau itu. Roger II dan cucunya
Frederic II menyukai orang Arab. Al-Idrisi (mati 1166 M) terkenal kerana karyanya tentang geografi
telah berkhidmat di istana Roger II (Mohammad Ilyas, 2003: 45).

Andalusia pula telah dikuasai oleh orang Islam selama lebih kurang lapan abad bermula dari tahun
711 M hingga 1492 M. Tamadun Islam di Andalusia mencapai kemuncaknya di sekitar abad ke 9 M
hingga 11 M. Terutamanya pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III dan puteranya al-
Hakam II. Andalusia telah menjadi pusat tamadun dunia terutama dari sebelah Barat, yang menjadi
tumpuan kegiatan kebudayaan, ilmu pengetahuan dan perdagangan. Universiti-universiti yang
terdapat di sini telah menjadi tempat mahasiswa terutama dari Eropah berguru dengan ilmuwan
Islam. Antaranya, Gelbert of Aurillac antara pelajar Eropah yang terkemuka datang belajar di
Andalusia. Beliau telah mempelajari ilmu matematik dan astronomi yang pada ketika itu masih
terlarang di Eropah. Beliaulah yang pertama memperkenalkan bentuk angka Arab Andalus yang
dikenal dengan nama Huruf al-Ghubbar ke Eropah (Azam, 1990: 169-170).

Melalui Andalus dan Sicily hampir keseluruhan hasil karya klasik Greek/Yunani sampai ke tangan
orang Eropah melalui teks yang telah diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sarjana-sarjana Islam
Andalus. Justeru itu, sumbangan sarjana Islam dalam kelahiran tamadun Barat amatlah besar.
Hampir keseluruhan ilmu yang berkembang di Eropah/Barat pada waktu itu mempunyai pengaruh
kesarjanaan Islam. Sebagai contoh dalam bidang astronomi istilah-istilah Arab digunakan seperti
Aldebaran, alidade, almanac, altair, azimuth, betelgeuse, deneb, nadir, zenith dan banyak lagi (Azam,
2000:128).Universiti Cardova di Andalus telah menarik minat para pelajar dari seluruh dunia. Ramai
guru ternama mengajar di Universiti ini dalam bidang teologi, kesusteraan, matematik, astronomi,
sains, perubatan dan falsafah. Andalus juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkenal seperti Abu
al-Qasim Maslamah al-Majriti (1007) dari Cardova, Abu Ishaq ibn Yahya al-Zarqali dari Toledo,
dikenali di Barat sebagai Arzachel yang menulis Jadual Toledo, satu jadual astronomi yang
digunakan secara meluas, Jabir ibn Affah yang dikenali sebagai Geber yang membuat kemajuan
penting dalam trigonometri sfera, Abu Ishaq Nur al-Din al-Bitruji yang dikenali di Barat sebagai
Alpertraguis. Beliau cuba membetulkan kesilapan dalam sistem Ptolemy dengan memberikan
penjelasan yang lebih baik tentang pergerakan planet (Mohammad Ilyas, 2003:46).

Di samping itu, al-Zahrawi melalui kitabnya al-Tasrif telah diterjemahkan ke bahasa Latin dan menjadi
teks perubatan di universiti-universiti Eropah. Ibnu Sina yang merupakan tokoh falsafah dan
perubatan Islam yang terkenal, banyak dari karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Barat.
Antaranya, karya perubatan beliau iaitu Qanun fi al-Tib yang dianggap sebagai Injil Perubatan oleh
sarjana Barat telah diterjemahkan sebagai Cannon dan dijadikan teks rujukan bidang perubatan di
Eropah sehingga abad ke 16 M. Dalam masa 30 tahun terakhir abad ke 15 M, buku ini telah
diterbitkan sebanyak 15 kali dalam bahasa Latin dan sekali dalam edisi Ibrani (Nourouzzaman,
1985:103).

Pengaliran ilmu sains dan teknologi dari tamadun Islam terutama melalui medium Sicily dan Andalus
telah dimangkinkan dengan kemunculan penterjemah-penterjemah masyarakat Barat Kristian sendiri
yang aktif melakukan penterjemahan karya-karya ulama Islam ke dalam bahasa Latin. Antaranya
Adelard dari Bath, seorang sarjana ulung Inggeris (1090-1159) yang lahir sebelum zaman Roger
Bacon. Beliau telah menterjemahkan buku aritmetik karya al-Khawarizmi ke bahasa Latin. Melalui
terjemahan ini orang-orang Barat mendapat dua manfaat besar iaitu mengenal angka Arab dengan
sistem dan metodenya serta mengetahui ilmu pengetahuan muzik. Pengenalan angka Arab dan
sistemnya yang dimulai dari kosong (sifar) hingga sembilan bukan sahaja memudahkan kerja hitung
menghitung malah telah menyederhanakan penulisan angka-angka itu sendiri. Ini kerana sistem yang
dikenali di Barat pada ketika itu ialah dengan menulis bilangan angka berkenaan (huruf Roman).
Sebagai contoh, untuk menulis angka sejuta, mereka terpaksa menulis seribu huruf M kerana Mille
bernilai seribu (Nourouzzaman, 1985:104-15).

Gerard of Cremona (1114-1187 M) yang berasal dari Itali telah menterjemahkan sejumlah 71 hingga
100 buah karya Arab ke bahasa Latin. Antara hasil karya Arab yang beliau terjemahkan meliputi
bidang biologi, astronomi, falsafah, matematik, kedoktoran dan lain-lain lagi. Buku-buku yang terkenal
beliau terjemahkan antaranya hasil karya al-Farghani dalam bidang biologi bertajuk al-Madkhal Ila
hayat al-Aflak dan kitan al-Hayah karya Jabir ibn Aflah. Dalam bidang astronomi, beliau
menterjemahkan buku al-Majasti karya Ptolemy menurut versi al-Farghani. Dalam bidang Matematik,
karya al;Khawarizmi iaitu Hisab al-Jabr Wa al-Muqabalah, manakala bidang perubatan karya al-Razi
bertajuk Kitab al-Mansuri telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan tajuk Almanzores
(Nourouzzaman, 1985:103). Penterjemah Barat yang lain lagi antaranya Micheal Scott (1175-1253
M), Robert of Cester (1110-1160 M), William of Lunis, Philip of Tripoli dan lain-lain lagi.

Ringkasnya, dengan banyaknya aktiviti penterjemahan ini, maka ilmu pengetahuan khususnya dalam
bidang sains dan teknologi mulai berkembang ke Eropah. Masyarakat Eropah.yang berada dalam
zaman kegelapannya pada abad Pertengahan telah beransur-ansur menuju ke zaman Renaissance
yang berlaku mulai abad ke 14 M sehingga abad ke 16 M. Renaissance bererti zaman kelahiran
semula semangat pembelajaran ilmu di Eropah bermula di Itali yang sebenarnya telah
disumbangkan oleh sarjana dan ulama Islam. Tetapi malangnya, perkembangan ilmu sains dan
teknologi di Barat tidak seperti perkembangan ilmu tersebut dalam tamadun Islam. Ini kerana,
perkembangan ilmu sains di Barat berlaku setelah ilmuwan mereka mensekularkan ilmu atau
memisahkan ilmu dari agama sehingga ilmu tersebut menafikan tuhan dan agama sehingga
melahirkan berbagai fahaman ateis dan materialisme dalam perkembangan ilmu tersebut di Barat.
Akhirnya, tamadun Barat Moden muncul dengan sikap permusuhannya terhadap agama, kerana
agama Kristian pada awal kemunculan semangat penerokaan sains oleh sarjana Barat telah
memusuhi ahli-ahli sains mereka. Tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam perkembangan ilmu sains
Islam, kerana perkembangan ilmu-ilmu tersebut dimotivasikan oleh al-Quran, Hadis dan dalam
kerangka agama. Mengenai realiti penentangan Gereja terhadap ilmu sains, Yusuf al-Qardhawi telah
menjelaskan:

Pihak gereja telah mendirikan mahkamah untuk memerangi ilmu (sains), menghakimi akal pemikiran,
memerangi penemuan penciptaan dan semua yang baru. Lalu ia melakukan perlakuan-yang belum
pernah wujud dalam sejarah sama sepertinya-penentangan terhadap ilmuwan, pemikir dan pereka
cipta barang baru di bidang ilmu pengetahuan. Mereka dibunuh dan kemudian dibakar (Al-
Qardhawi, 1999:24).


Satu fakta sejarah yang juga tidak dapat dinafikan lagi oleh masyarakat Barat bahawa pada awal
zaman Pertengahan, institusi-institusi pendidikan Islam telah mempunyai pengaruh terhadap
perkembangan institusi pendidikan di Barat terutama melalui Andalus (Spanyol), Sicily, Perancis dan
Itali. Seluruh institusi pengajian tinggi Barat yang kemudiannya berkembang menjadi universiti-
universiti Barat moden mempunyai hubungan rapat dengan sistem madrasah Islam. Istilah-istilah
seperti Chair yang digunakan di universiti-universiti Barat adalah terjemahan langsung daripada
istilah Arab iaitu kursi. Sistem pendidikan Islam telah mempengaruhi perkembangan institusi
pendidikan tinggi Barat yang bermula pada zaman Pertengahan seperti Universiti Salamanca,
Universiti Paris, Universiti Bologna, Universiti Oxford dan Cambridge yang mempunyai banyak
persamaan dengan sistem pendidikan Islam klasik (Seyyed Hossein Nasr, 1994:214). Di Andalusia
(Spanyol hari ini), pemerintahan Islam ketika memerintah negara tersebut telah membina pusat-pusat
pengajian yang terus berkembang pesat dan memberi sumbangan yang besar kepada
perkembangan ilmu dalam masyarakat Barat. Di Cardova telah didirikan sebuah akademi dengan
perpustakaan yang mengandungi 300,000 jilid buku dan merupakan pusat yang terkenal. Pusat
pengajian juga didirikan di Seville, Toledo dan Muncia. Golongan Mozarab iaitu penganut agama
Kristian yang mahir bertutur dalam bahasa Arab di Andalus adalah golongan yang memainkan
peranan penting penyebaran tamadun Islam ke Eropah. Mereka adalah golongan yang menekuni
ilmu dari ulama dan institusi pendidikan Islam di Andalusia. Mereka telah banyak membelanjakan
wang untuk membina perpustakaan besar bagi menyimpan buku-buku Arab. Perbuatan ini semua
menjadi semacam suatu sumber status kepada mereka. Golongan ini menjadi agen perantara
memindahkan elemen-elemen tamadun Islam ke masyarakat Eropah Kristian.

Frederick II dari Empayar Roman pada tahun 1224 M telah menubuhkan Universiti Naples bagi tujuan
mengembangkan sains Muslim ke Eropah. Di universiti ini kegiatan terjemahan dilakukan daripada
bahasa Arab ke bahasa Latin dan Ibrani. Frederick II juga telah mendorong Micheal Scott berhijrah ke
Toledo pada tahun 1217 M dan membuat terjemahan komentar Ibn Rushd terhadap Aristotles.
Universiti Montpeller di Selatan Perancis adalah sebuah universiti yang ditubuhkan oleh doktor-doktor
yang berhijrah dari Andalusia. Di Universiti ini, Qanun Ibn Sina telah dijadikan sukatan matapelajaran
bidang perubatan . Di Bologna, Itali, falsafah Ibn Rushd telah mendapat sanjungan dan menjadi teks
rujukan utama bersama buku Qanun Fi al-Tib Ibn Sina(Ahmad Jelani Sidek, 1997:15).
Posted by ABDUL HALIM BIN RAMLI at 9:19 AM