Anda di halaman 1dari 10

1

1.0 PENGENALAN
Pembentangan kertas kerja merupakan salah satu bentuk penulisan berformat yang
mengandungi idea-idea tertentu untuk disampaikan kepada pihak-pihak tertentu bagi
mendapatkan kelulusan. Oleh itu, khalayak perlu membaca kertas kerja tersebut untuk
mendapatkan maklumat berkaitan idea yang hendak disampaikan. Dengan itu, khalayak
boleh terdiri daripada kumpulan kecil seperti jawatankuasa projek ataupun kumpulan besar
seperti peserta seminar dan persidangan. Kertas kerja juga boleh dibentangkan kepada
khalayak dalam bentuk lisan dalam keadaan tertentu.
Walau bagaimanapun, komunikasi lisan tersebut hanya berperanan dalam
menyampaikan maklumat yang memang telah disediakan dalam kertas kerja atau dengan
kata lain menerangkan apa yang terkandung dalam kertas kerja itu. Perkara yang lebih
diutamakan ialah hasil penulisan kertas kerja itu sendiri. Kertas kerja yang akan
dibentangkan perlu melalui proses penulisan dan disemak dengan teliti.
Pengucapan awam ialah satu proses berkomunikasi antara seorang pengucap
dengan sekumpulan pendengar (audiens). (Khairuddin Mohamad, 2012: 169) Pidato pula
merupakan ucapan yang disampaikan dalam khalayak ramai untuk menghuraikan dan
menjelaskan tentang sesuatu tajuk atau persoalan. Aliran komunikasi dalam pidato adalah
sehala, iaitu maklumat disampaikan oleh pemidato kepada pendengar.
Tujuan pidato adalah untuk memberi penerangan tentang sesuatu tajuk kepada
pendengar, memaklumkan tentang sesuatu yang baru kepada pendengar, menyakinkan
pendengar tentang pendirian pemidato terhadap sesuatu persoalan dan juga mempengaruhi
pendengar supaya memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara.
Terdapat lima bahagian utama dalam pidato iaitu pembuka kata, bahagian menarik
minat dan membina keyakinan pendengar, bahagian isi, penutup isi dan penutup pidato.
Pidato yang baik perlu dimulakan dengan baik juga. Untuk memberikan pidato yang
sempurna, dua peringkat perlu dilalui iaitu peringkat persediaan dan peringkat permulaan
ucapan.
Akhir sekali, pendapat atau pandangan dalam sesuatu pidato adalah intipati pidato
itu sendiri. Oleh itu, kemahiran melahirkan pendapat adalah signifikan. Hal ini demikian
kerana pendapat yang baik tetapi tidak dapat dizahirkan dalam pidato tidak akan sampai
kepada pendengar. Terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dalam soal kemahiran
melahirkan pendapat ini iaitu pemilihan kata, pemilihan ayat, penyusunan fakta, kesepaduan,
koheran, pertautan, ringkas dan padat.
2

2.0 KEMAHIRAN PENYAMPAIAN
Terdapat sepuluh bentuk kemahiran menyampai yang berkesan secara lisan, iaitu
pengumuman, pembentangan kertas kerja, pengacaraan majlis, pembentangan laporan,
pengucapan awam, pidato, ucapan, syarahan, taklimat dan ceramah.
2.1 PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
Saya telah memilih pembentangan kertas kerja yang merupakan salah satu bentuk
daripada kemahiran menyampai. Saya telah membuat nota ringkas termasuklah definisi, ciri-
ciri dan strategi penyampaian yang baik serta alat bantu dalam penyampaian dalam bentuk
grafik atau power point yang menarik dan kreatif.

















3

3.0 PENGUCAPAN AWAM
Pengucapan awam merupakan satu proses komunikasi yang melibatkan
penghantaran mesej oleh seorang pengirim kepada sekumpulan pendengar. Pengucapan
awam dapat dikategorikan kepada tiga jenis yang utama, iaitu ceramah umum, pidato umum
dan sesi diskusi umum.

3.1 PIDATO
Sebagai syarat memenuhi kerja kursus, saya dikehendaki untuk menulis teks pidato
bertemakan pendidikan dengan menggunakan tatabahasa Melayu yang betul. Setelah
menulis teks pidato, saya dikehendaki untuk menyampaikan pidato dalam masa tujuh minit
dengan menggunakan bahasa yang gramatis. Tajuk pidato yang telah saya pilih ialah
NEGARAKU CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG. Teks pidato saya adalah seperti
berikut:
NEGARAKU CEMERLANG,GEMILANG,TERBILANG
Salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
Cuba kita renung, kita berfikir sejenak. Lipatan sejarah yang membawa kepada siapa
kita pada hari ini. Bermula dari zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehinggalah kini
di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Semuanya membawa intipati
yang sama, iaitu untuk memastikan Malaysia terus dijulang. Maka mauduk pidato saya
mendukung cokmar yang sama iaitu Negaraku Cemerlang, Gemilang, Terbilang.
Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara pengerusi, kombinasi kehakiman
berintegriti, pendidik bangsa yang disanjungi dan hadirin yang dihormati. Sebelum idea
dikupas indah, saya ingin mengajak anda semua untuk turut sama-sama memahami,
menyelami dan mendalami tadahan mauduk bicara saya.
Menurut Stogdil, negara cemerlang, gemilang, terbilang didefinisikan sebagai sebuah
negara yang menikmati kejayaan secara berterusan. Secara konsepnya, pendefinisian ini
membawa pengertian bahawa sebuah negara yang dihormati perlulah menguasai setiap
aspek kehidupan.
Kulawangsa dewan yang budiman,
Rempuhan idea pertama ialah kepimpinan integriti dijadikan asas utama, membawa
kepada kedaulatan negara, politik terus diperkasa, agar negara tetap merdeka. Kini kita
4

boleh berbangga dengan apa yang kita nikmati hasil daripada usaha anak watan Malaysia
yang tekad berani. Mengimbau sejarah perjuangan Rentap yang menggegar
Sungai Saribas, Sharif Masahor membuka pencak mempertahankan Sarikei yang dipijak-
pijak kedaulatannya lantas memantapkan kekuda menyelamatkan bangsa demi anak bumi
tercinta. Akhirnya, lebih lima dasawarsa kita merdeka hasil pengorbanan khalifah penjulang
bangsa.
Malaysia kini menduduki tangga ke-19 dalam senarai negara paling aman di dunia
daripada 156 buah negara dan negara yang paling selamat di rantau Asia Tenggara.
Kejayaan Malaysia dalam bidang politik juga terserlah apabila sistem politik negara kita
dijadikan contoh bagi meningkatkan kualiti dasar politik di Negara Ghana. Ringkasnya,
Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang dalam aspek politik hasil kepimpinan berintegriti
yang dijana.
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea yang kedua ialah kesaksamaan dijadikan asas utama, membawa
kepada keharmonian bangsa, ekonomi terus diperkasa, agar negara tetap sejahtera. Semua
peringkat masyarakat, dari golongan raja sehinggalah rakyat biasa, semuanya menikmati
kekayaan ekonomi tanpa mengira agama, bangsa dan juga budaya. Bermula dari Dasar
Ekonomi Baharu sehinggalah Model Ekonomi Baharu, semuanya kita laksanakan bagi
menjaga kepentingan ekonomi rakyat jelata dan negara.
Tatkala kemelesetan ekonomi melanda dunia, Amerika, Greece dan Portugal
menjadi mangsa, tetapi Malaysia tetap di puncak dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) meningkat sekata, meninggalkan negara-negara nusantara. KDNK Malaysia berada
pada angka 5.3%, 5.3%! Bahkan, Malaysia kini berada pada tangga ke-2 dalam senarai
negara paling berdaya saing di Asia, ke-6 di Asia Pasifik dan ke-25 di dunia. Pendek kata,
Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang dalam bidang ekonomi hasil kesaksamaan dalam
ekonomi.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Pencetus minda yang ketiga ialah sukan maju bangsa sejahtera, sukan berjaya
negara perkasa. Malaysia kini boleh berbangga dengan kejayaan atlet negara. Inilah
gambaran rangkuman kejayaan atlet Malaysia mengharumkan nama negara di persada
dunia. Misalnya, kejayaan Datuk Lee Chong Wei dengan badmintonnya, Datuk Nicol Ann
David dengan skuashnya, Azizulhasni dengan basikalnya dan semua kejayaan yang mereka
miliki pada hari ini tidak dikecapi tanpa pimpinan jurulatih mereka yang berkualiti.
5

Tamsilnya, kejayaan Ong Kim Swee yang membimbing pasukan bola sepak
Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea telah mengangkat Malaysia sebagai antara
pasukan terbaik di Asia. Kejayaan pasukan bola sepak Malaysia meraih emas dalam acara
bola sepak pada sukan sea 2011 telah menjulang negara sebagai antara negara kuasa
besar bola sepak di rantau asia. Tuntasnya, Malaysia terus cemerlang, gemilang, terbilang
dalam arena sukan. Dasar satu murid satu sukan dilaksanakan untuk melahirkan atlet-atlet
bertaraf dunia.
Hadirin budiman,
Keempatnya, bidang pendidikan teras utama, memacu negara ke puncak jaya,
melahirkan bangsa berjaya, bagi mendaulatkan negara tercinta. Pendeta Zaba pernah
menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan
manusia daripada belenggu kemunduran. Atas bimbingan guru, lahirlah golongan
profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. Seperti kata mutiara
Sasterawan Negara Usman Awang, Lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam,
dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya baca dan
tulis. Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk dada tanya selera. Oleh itu,
pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan agar kita kekal relevan dalam
persaingan menuju negara maju.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang dijana telah berjaya meningkatkan
kualiti pendidikan negara. Kini, enrolmen murid daripada pelajar sekolah rendah hinggalah
pelajar sekolah menengah telah berjaya ditransformasi dengan kadar sebanyak 97%
berbanding 40% pada tahun 1950. Kadar literasi negara juga meningkat kepada kadar 95%
pada hari ini. Benarlah nukilan pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang di kaki,
berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Kesimpulannya, Malaysia cemerlang,
gemilang, terbilang dalam bidang pendidikan.
Hadirin sekalian,
Konklusinya, dunia kita mula sedar dari tidur lena, kejayaan Malaysia mula
dimartabat, politik stabil menjamin kesejahteraan sejagat, ekonomi negara berkembang
pesat, sukan pula menjadi mandat, dan pendidikan pula diperkasakan untuk menjulang
nama Malaysia. Kita perlu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, hati gajah sama dilapah,
hati kuman sama dicecah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni untuk memastikan
Malaysia terus cemerlang, gemilang, terbilang dalam aspek politik, ekonomi, sukan dan
pendidikan. Sekian, terima kasih.
6

4.0 RUMUSAN
Untuk menghasilkan kertas kerja yang baik, terdapat pelbagai kaedah dan format
yang boleh digunakan. Sebenarnya format penulisan kertas kerja bergantung kepada
beberapa faktor iaitu apa tujuannya, siapa khalayaknya, bagaimana penyampaiannya, apa
isi kandungannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat format umum yang boleh
diikuti oleh penulis sebagai panduan dalam menyediakan kertas kerja. Untuk penulisan
sesuatu kertas kerja, perkara yang dominan ialah ketekalan bentuk penulisannnya.
Selain itu, kertas kerja perlu memenuhi beberapa kriteria dan ciri-ciri penulisan
tertentu untuk mencapai matlamat penulisannya. Penggunaan bahasa yang baik dan tepat
sangat penting dalam penulisan kertas kerja. Maklumat dalam kertas kerja juga perlu
dijelaskan oleh penulis secara ringkas, tepat dan padat agar mudah difahami oleh pembaca.
Penggunaan laras yang tepat termasuk pemilihan kata, frasa, ayat, khalayak dan bidang
yang diperkatakan amat penting dalam penghasilan kertas kerja. Wacana yang merupakan
satu satuan bahasa terlengkap dengan koheren dan kohesi tinggi yang berkesinambungan
juga perlu dalam penulisan kertas kerja.
Di samping itu, bentuk penulisan harus dipersembahkan dalam bentuk yang tekal
dan konsisten terutama dari segi ejaan agar kertas kerja yang sempurna dapat dihasilkan.
Penomboran juga penting dalam penulisan kertas kerja kerana terdapat beberapa tajuk kecil
yang perlu ada dalam satu kertas kerja. Penulis juga digalakkan untuk membuat rujukan
atau semakan dengan pihak-pihak tertentu supaya maklumat yang diperlukan tidak
tertinggal. Penulis boleh merangka kepanjangan yang sesuai bagi kertas kerja bergantung
kepada tujuan, khalayak, perkara yang diperkatakan, peruntukan kewangan dan sebagainya.
Penulis juga perlu menggunakan halaman lampiran untuk menyampaikan maklumat
tambahan agar kertas kerja yang dihasilkan tidak menjadi terlalu panjang.
Bukan itu sahaja, pidato yang baik perlu dimulakan dengan baik juga. Pada peringkat
permulaan ucapan, penyampaian yang menarik akan meningkatkan kualiti pidato dan
memudahkan usaha menyakinkan pendengar tentang tajuk yang cuba diketengahkan dalam
pidato tersebut. Antara elemen penting dalam penyampaian yang baik ialah kelancaran,
nada dan intonasi, kecekapan berbahasa, dan gaya penyampaian.
Kelancaran bermakna pemidato menyampaikan pidatonya secara berterusan tanpa
tempoh masa henti yang agak panjang. Tempoh masa henti yang panjang di tengah-tengah
pidato akan memberi gambaran seolah-olah pemidato sudah kehabisan idea. Pidato yang
lancar dan berterusan akan menyakinkan pendengar. Selain itu, nada dan intonasi iaitu naik
turun suara perlu dikawal dan dipelbagaikan supaya pidato tidak bersifat mendatar dan
7

membosankan. Nada tinggi dan bersemangat adalah untuk menarik perhatian. Nada
perlahan dan mendayu ialah apabila ingin merayu dan meminta simpati. Nada sederhana
dan mesra apabila memujuk manakala nada tinggi dan lantang apabila ingin membakar
emosi.
Sementelahan pula, kecekapan berbahasa bermakna kemahiran menggunakan
istilah yang tepat dan menguasai tatabahasa yang baik untuk menghasilkan ayat-ayat yang
tersusun. Bahasa yang tunggang-langgang akan mengelirukan pendengar. Aras bahasa
perlulah disesuaikan dengan sifat umum pendengar. Misalnya, jika berpidato dalam
kalangan kaum nelayan, tidak perlulah menggunakan bahasa yang terlalu bombastik.
Unsur-unsur keindahan bahasa perlu diselitkan untuk menarik minat pendengar. Misalnya,
penggunaan pantun, bahasa kiasan, peribahasa dan perumpamaan.
Seterusnya, gaya penyampaian atau bahasa badan (body language) adalah aspek
dominan dalam pidato. Pemidato perlu bijak menggunakan gerak tangan, gerak mata dan
gerak badan yang diselaraskan dengan fakta-fakta tertentu dalam pidatonya. Mimik muka
juga perlu dijaga. Pemidato perlu senyum apabila memberi fakta gembira, sedih apabila
gundah dan marah apabila sampai peringkat emosi tinggi. Contohnya, pemidato tidak wajar
ketawa gembira apabila menceritakan tentang kesengsaraan masyarakat.
Sebelum menamatkan pidato, pemidato perlu membuat rumusan keseluruhan
tentang tajuk pidatonya. Jangan biarkan pendengar membuat rumusan mereka sendiri
kerana mereka mungkin lupa tentang persoalan utama pidato tersebut. Pemidato juga perlu
menegaskan semula pendiriannya tentang tajuk. Hal ini bertujuan untuk menyakinkan
semula pendengar tentang isu yang disampaikannya.








8

5.0 RUJUKAN
Sumber Buku:
Abdul Muati. (2008). Panduan Pengucapan Awam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Abdul Sukor Shaari. (2003). Bahasa Melayu Komunikasi. Kuala Lumpur: PTS Publication &
Distributors Sdn. Bhd.
Eddy Rosyadie. (2007). Juara Pentas: Panduan Praktikal Pengucapan Awam. Kuala Lumpur:
PTS Millennia Sdn. Bhd.
Khairuddin Mohamad et.al. (2012). Bahasa Melayu Kontekstual. Shah Alam: Oxford Fajar
Sdn. Bhd.
Mohd. Baharudin Othman, & Mohd. Khairie Ahmad. (2007). Pengantar Komunikasi. Sintok:
Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Nuraini Yusoff et.al. (2005). Bahasa Melayu untuk Pengurusan. Sintok: Penerbit Universiti
Utara Malaysia.
Rahmat Ismail. (2000). Pidato Berpidato Seni dan Teknik. Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (1997). Siri Pendidikan Perguruan: Aktiviti Lisan. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Sumber Internet:
2010. Dr. Khairuddin Mohamad. Kemahiran Menyampai.
http://literasibahasamelayu.blogspot.com/2010/09/seperti-kelazimannya-ramai-
kalangan.html
Dipetik pada: 6/8/2013
2010. Mohd Fairullah Bin Muhammad. Penulisan Kertas Kerja.
http://www.slideshare.net/fairullahs/penulisan-kertas-kerja
Dipetik pada: 7/8/2013
9

2011. Panduan Menulis Kertas Kerja.
http://www.samizul.net/2011/07/panduan-menulis-kertas-kerja.html
Dipetik pada: 7/8/2013
2012. Syafawani Jamil. Pengucapan Awam.
http://teachersyafa.blogspot.com/2012/08/pengucapan-awam.html
Dipetik pada: 9/8/2013
2012. Pidato Syarahan.
http://putramail.blogspot.com/2012/05/pidatosyarahan.html
Dipetik pada: 9/8/2013
2007. Abdul Muati @ Zamri Bin Ahmad, Ph.D. Keberkesanan Penyampaian.
http://disertasi.blogspot.com/2007/07/kertas-kerja-ii-keberkesanan.html
Dipetik pada: 10/8/2013
2009. Mohd. Syamsul Salleh. Kebejatan Moral Petanda Keruntuhan Tamadun.
http://www.youtube.com/watch?v=D0H0Yxymv3g
Dipetik pada: 12/8/2013
2011. Amirrudin Abdul Rahman. Bangsa Berilmu, Bangsa Bertamadun.
http://www.youtube.com/watch?v=Fo5tmqlNZHc
Dipetik pada: 13/8/2013
2012. Fathiah. Keluarga Bahagia, Masyarakat Sejahtera.
http://www.youtube.com/watch?v=FJbtX3cNZt0
Dipetik pada: 14/8/2013



10

6.0 LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai