Anda di halaman 1dari 15

1

REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI (RBT3119) PENDIDIKAN RENDAH



ISI KANDUNGAN

Panduan Kursus
Modul ini disediakan untuk membantu anda menguruskan pembelajaran anda agar anda
boleh belajar dengan lebih berkesan. Anda mungkin kembali semula untuk belajar secara
formal selepas beberapa tahun meninggalkannya. Anda juga mungkin tidak biasa dengan
mod pembelajaran arah kendiri ini. Modul ini memberi peluang kepada anda untuk
menguruskan corak pembelajaran, sumber-sumber pembelajaran, dan masa anda.
Pembelajaran arah kendiri memerlukan anda membuat keputusan tentang pembelajaran
anda. Anda perlu memahami corak dan gaya pembelajaran anda. Adalah lebih berkesan jika
anda menentukan sasaran pembelajaran kendiri dan aras pencapaian anda. Dengan cara
begini anda akan dapat melalui kursus ini dengan mudah. Memohon bantuan apabila
diperlukan hendaklah dipertimbangkan sebagai peluang baru untuk pembelajaran dan ia
bukannya tanda kelemahan diri.
Modul ini ditulis dalam susunan tajuk. Jangka masa untuk melalui sesuatu tajuk bergantung
kepada gaya pembelajaran dan sasaran pembelajaran kendiri anda. Latihan-latihan
disediakan dalam setiap tajuk untuk membantu anda mengingat semula apa yang anda
telah pelajari atau membuatkan anda memikirkan tentang apa yang anda telah baca. Ada di
antara latihan ini mempunyai cadangan jawapan. Bagi latihan-latihan yang tiada mempunyai
cadangan jawapan adalah lebih membantu jika anda berbincang dengan orang lain seperti
rakan anda atau menyediakan sesuatu nota untuk dibincangkan semasa sesi tutorial.
Modul ini akan menggantikan satu kredit bersamaan dengan lima belas jam interaksi
bersemuka dalam bilik kuliah. Tiada kuliah atau tutorial diadakan untuk tajuk-tajuk dalam
modul ini. Walau bagaimanapun, anda boleh berbincang dengan pensyarah atau rakan anda
melalui email jika terdapat masalah berhubung dengan modul ini.
Anda juga diperlukan untuk menduduki peperiksaan bertulis pada akhir kursus. Tarikh dan
masa peperiksaan akan diberitahu apabila anda mendaftar. Peperiksaan bertulis ini akan
dilaksanakan di tempat yang akan dikenal pasti.
2

Tip untuk membantu anda melalui kursus ini.

1. Cari sudut pembelajaran yang sunyi agar anda boleh meletakkan buku dan diri anda
untuk belajar. Buat perkara yang sama apabila anda pergi ke perpustakaan.

2. Peruntukkan satu masa setiap hari untuk memulakan dan mengakhiri pembelajaran
anda. Patuhi waktu yang diperuntukkan itu. Setelah membaca modul ini teruskan
membaca buku-buku dan bahan-bahan rujukan lain yang dicadangkan.

3. Luangkan sebanyak masa yang mungkin untuk tugasan tanpa mengira sasaran
pembelajaran anda.

4. Semak dan ulangkaji pembacaan anda. Ambil masa untuk memahami pembacaan
anda.

5. Rujuk sumber-sumber lain daripada apa yang telah diberikan kepada anda. Teliti
maklumat yang diterima.

6. Mulakan dengan sistem fail agar anda tahu di mana anda menyimpan bahan-bahan
yang bermakna.

7. Cari kawan yang boleh membantu pembelajaran anda.

3

1. PENGENALAN KEPADA PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN
PETA MINDA






PERNIAGAAN
definisi perniagaan
perniagaan dan bukan
perniagaan
perniagaan dan untung
perniagaan dan ekonomi
perniagaan dan masyarakat
faktor-faktor pengeluaran
perniagaan kini dan masa
depan
KEUSAHAWANAN
definisi usahawan dan
keusahawan
perbezaan antara
keusahawanan dan perniagaan
peranan usahawan dalam
masyarakat
sebab-sebab usahawan
menceburka diri dalam
perniagaan
sebab-sebab kegagalan
usahawan
4

1.1. PENGENALAN
Kesedaran tentang kepentingan perniagaan dan keusahawanan terhadap kemajuan
ekonomi serta pembangunan modal insan telah lama wujud daripada peringkat
persendirian hinggalah secara besar-besaran. Perkembangan ekonomi dunia yang
semakin mencabar peranan keusahawan yang mampu bersaing dan merebut peluang
dalam pasaran global agar dapat memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi negara.
Oleh itu topik 1 ini membincangkan konsep perniagaan dan keusahawanan hinggalah
punca kepada kegagalannya.
1.2. Perniagaan
1.2.1. Definisi Perniagaan
Perniagaan telah lama dijalankan oleh manusia bagi mendapatkan barang dan
perkhidmatan. Bagi peniaga ia merupakan aktiviti jual-beli barang dan perkhidmatan
bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang bertujuan mendapatkan
keuntungan. Perniagaan meliputi empat aspek iaitu barang atau perkhidmatan,
pertukaran nilai, keuntungan perniagaan dan kepuasaan atau nilai faedah kepada
pengguna.

Barang merupakan produk yang fizikal. Ia boleh dilihat, dipegang dan dirasa seperti
makanan, pakaian, mesin, alat tulis dan sebagainya.

Perkhidmatan pula adalah produk bukan fizikal yang merupakan kepakaran atau
kemahiran. Ia dapat memberi kepuasan atau nilai faedah seperti pendidikan,
perlindungan keselamatan, komunikasi, pelancongan dan pengangkutan.

Pertukaran nilai adalah nilai aktiviti perniagaan dalam bentuk wang samada dibayar
menggunakan wang tunai, kad kredit, cek, wang pos dan sebagainya. Nilai wang
membantu peniaga mencatat urusniaga dalam sebutan wang ke dalam buku akaun
untuk pengiraan.

Keuntungan perniagaan adalah matlamat utama sesuatu perniagaan dan adalah
pulangan atau ganjaran hasil daripada sesuatu aktiviti jual-beli.

Apabila penguna akhir membeli barangan dan perkhidmatan, mereka akan
mengharapkan kepuasan yang maksimum atau nilai faedah daripada
penggunaannya. Adalah menjadi etika peniaga untuk menjual barangan dan
perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.

1.2.2. Perniagaan dan bukan perniagaan
Terdapat dua jenis organisasi iaitu organisasi perniagaan dan bukan perniagaan.

5

Organisasi perniagaan adalah organisasi yang menjalankan aktiviti jual-beli dan
perkhidmatan bagi tujuan mendapatkan keuntungan. Keuntungan ini digunakan
untuk membiayai secara berterusan kos operasi perniagaan.

Organisasi bukan perniagaan pula mendapat pembiayaan daripada pihak kerajaan,
pihak swasta, masyarakat dan individu-individu melalui yuran ahli, derma, penajaan
persatuan. Organisasi bukan perniagaan pula terbahagi kepada dua kategori iaitu
agensi kerajaan dan badan sukarela. Contohnya bidang-bidang yang berkaitan
dengan minat, sukan, kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan keagamaan.
Agensi kerajaan adalah bertujuan menjaga kepentingan dan memberi perkhidmatan
kepada masyarakat seperti hospital, sekolah, bomba dan sebagainya. Badan sukarela
pula ditubuhkan oleh sekumpulan manusia untuk menjaga kepentingan ahli dan
memberi perkhidmatan tertentu kepada ahli atau masyarakat umum seperti FOMCA,
PEMADAM, kelab, koperasi dan badan-badan sukarela menjalankan aktiviti bercorak
sosial.

Perbezaan antara perniagaan dan bukan perniagaan

Dimensi Perniagaan Bukan Perniagaan
Matlamat utama Keuntungan Kebajikan ahli dan
kesejahteraan awam
Sumber kewangan -keuntungan
-modal
-pinjaman
Yuran dan bantuan
Aktiviti Jual beli Perkhidmatan masyarakat
Cukai Dikenakan atas
keuntungan
dikecualikan


1.2.3. Perniagaan dan untung
Ganjaran yang diterima hasil daripada menjalankan perniagaan dipanggil untung. Ia
merupakan pulangan kepada peniaga hasil usaha kesanggupannya mengambil risiko
menjalankan perniagaan. Untung ini digunakan sebagai sumber modal tambahan
bagi pengembangan perniagaan, mengukuhkan kedudukan kewangan dan
kelancaran operasi perniagaan. Keuntungan perniagaan menunjukkan kejayaan,
nama baik, dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk membeli barang dan
perkhidmatannya dan mencerminkan potensi perniagaan dalam bersaing dalam
pasaran. Untung adalah bakil hasil setelah ditolak segala kos perbelanjaan operasi
dan perbelanjaan pentadbitan perniagaan.
6


Rumus untung adalah:
Untung = Hasil Perbelanjaan.

1.2.4. Perniagaan dan ekonomi
Pencapaian ekonomi mencerminkan aktiviti perniagaan sesebuah negara yang
diukur berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu pertumbuhan keluaran
negara. Tahap perkembangan perniagaan dipengaruhi oleh faktor kestabilan
ekonomi negara, kestabilan nilai mata wang, kekukuhan sistem kewangan, galakkan
pelaburan oleh kerajaan, insentif oleh kerajaan kepada peniaga dan kuasa beli
masyarakat. Justeru itu aktiviti perniagaan amat penting kepada ekonomi kerana ia
membantu meningkatkan pendapatan kerajaan melalui kutipan hasil cukai
perniagaan, menambahkan kualiti dan kuantiti kemudahan infrastruktur awam,
mengembangkan industri hiliran dan huluan, menambahkan peluang pekerjaan,
meningkatkan taraf hidup rakyat, meningkatkan kualiti produk, harga yang mampu
dibeli oleh pengguna membantu perniagaan sokongan yang lain.

1.2.5. Perniagaan dan masyarakat
Perniagaan dan masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Masyarakat
memerlukan perniagaan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan bagi
memenuhi kehidupan harian. Perniagaan pula memerlukan masyarakat untuk
membeli barangan dan perkhidmatan mereka pada tingkat harga yang mampu
dibeli bagi mendapatkan keuntungan.

Faedah perniagaan kepada masyarakat adalah dapat menawarkan berbagai-bagai
barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan kuantiti yang betul bagi memenuhi
keperluan dan kehendak pada harga berpatutan. Perniagaan dapat menyediakan
peluang pekerjaan dan ini membantu mengurangkan pengangguran bagi masyarakat
setempat. Apabila masyarakat mempunyai pendapatan, maka dapatlah mereka
membeli barangan bagi keperluan hidup dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Perniagaan dapat membangunkan kemudahan infrastruktur setempat kerana
kemudahan yang disediakan untuk perniagaan seperti jalan raya, bekalan tenaga
elektrik dan air sekali gus dapat dinikmati oleh penduduk di sekitarnya. Ini dapat
mengurangkan masalah sosial. Oleh kerana perniagaan mempunyai tanggungjawab
sosial, masyarakat akan mendapat manafaatnya dalam bentuk sumbangan
kebajikan, derma, penajaan, bantuan kewangan untuk aktiviti kemasyarakatan
daripada perniagaan.

Akhirnya hasil daripada perkembangan perniagaan yang pesat dapatlah
pertumbuhan ekonomi negara ditingkatkan secara maksimum. Kepentingan bukan
perniagaan kepada masyarakat adalah menyediakan kemudahan asas, menyediakan
7

tapak perniagaan, memberi perlindungan dan keselamatan, mengurangkan masalah
sosial dan menyediakan maklumat-maklumat dan khidmat masyarakat.

1.2.6. Faktor-faktor pengeluaran
Faktor-faktor pengeluaran digunakan oleh perniagaan sebagai input seperti bahan
mentah bagi mengeluarkan output seperti barangan dan perkhidmatan. Faktor
pengeluaran terdiri daripada pengusaha, modal, buruh dan tanah.

Pengusaha adalah tenaga manusia yang merancang, menanggung risiko dan
mengurus sesuatu perniagaan. Seseorang pengusahan akan menyelaras dan
menggabungkan berbagai-bagai faktor pengeluaran bagi mengeluarkan sesuatu
output. Pulangan atau ganjaran bagi usahawan adalah untung.

Modal ialah dana yang digunaka untuk menjalankan perniagaan. Contohnya
barangan, tunai, jentera dan mesin, peralatan dan premis yang digunakan untuk
mengeluarkan sesuatu barangan dan perkhidmatan yang lain. Kos yang telibat bagi
penggunaan modal adalah faedah.

Punca keluaran yang menggunakan tenaga manusia dalam sesuatu pengeluaran
barangan dan perkhidmatan adalah dipanggil buruh. Sumbangan buruh sama ada
mental dan fizikal sangat diperlukan untuk menggerakkan perniagaan. Ganjaran bagi
buruh adalah upah atau gaji.

Konsep tanah ini dikaitkan dengan anugerah alam yang dicipta oleh Tuhan untuk
melancarkan proses pengeluaran. Ia meliputi hasil bumi seperti perhutanan, sumber
lautan, pertanian, sumber galian dan tapak perusahaan. Ganjaran yang diterima bagi
faktor tanah ialah sewa.

1.2.7. Perniagaan kini dan masa depan
Cabaran perniagaan kini untuk maju dan berkembang adalah bergantung kepada
kecekapan pihak pengurusan, kreativiti dan inovasi pengusaha. Antara cabaran
perniagaan adalah menggunakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan
teknologi terkini untuk mengeluarkan barangan dan perkhidamtan yang berkualiti
dan berdaya saing. Teknologi terkini banyak menggunakan jentera dan mesin yang
digerakkan menggunakan teknologi robotik dalam mengeluarkan produk secara
cekap, menjimatkan masa dan besar-besaran. Teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) juga meningkatkan kecekapan hubungan jaringan perniagaan seperti
berhubung dengan pembekal, pelanggan dan pihak yang berkepentingan samada
dalam negara atau luar negara. Contohnya menggunakan kemudahan komputer dan
internet untuk mengurus operasi, mempromosi, mendapat pesanan, mendapatkan
bekalan, mengagihkan tempahan, mengurus pengangkutan dan pembayaran,
8

penjualan dan mmebuat keputusan yang kesemuanya boleh dijalankan secara
pantas menggunakan elektronik dan atas talian. Ini juga boleh meningkatkan e-
dagang, e-niaga, e-perbankan, e-pemasaran, pengurusan inventori secara automasi
dan pemprosesan urus niaga.

Cabaran masa depan yang perlu diambilkira oleh pengusaha adalah globalisasi iaitu
dunia tanpa sempadan. persaingan sengit dari segi kualiti, harga, penyampaian,
mobiliti pekerja dan modal dan masalah celaru budaya; kemajuan pesat teknologi
maklumat dan komunikasi dari aspek perubahan produk, tempoh pasaran yang
semakin pendek, desakan kepada kemahiran teknologi dam modal yang tinggi;
kekurangan sumber tenaga buruh yang mahir dalam bidang berkenaan; perubahan
citarasa masyarakat dan struktur demografi seperti kebanjiran tenaga wanita dalam
pasaran pekerjaan, keperluan kemudahan suasana kerja yang berbeza daripada
biasa, hayat pekerja yang semakin panjang dan pekerja yang matang; peningkatan
tanggungjawab sosial seperti batasan aktiviti komersial, desakan pihak bukan
kerajaan (NGO), kerajaan, pihak berkepntingan, buruh kanak-kanak, keprihatinan
terhadap Orang Kurang Upaya (OKU); peningkatan kepada sistem perniagaan Islam
seperti produk Halal, perbankan Islam dan lain-lain pematuhan syariah; dan sumber
yang semakin berkurangan yang menyebabkan ada batasan pengeluaran, keperluan
kepada inovasi produktiviti dalam kecekapan penggunaan sumber.

1.3. Keusahawanan
1.3.1. Definisi usahawan dan keusahawanan
Istilah usahawan dalam Bahasa Inggeris alah entreprenuer. Istilah entreprenuer
berasal daripada bahasa Perancis entreprendre (Richard Cantillon, 1755).
Usahawan didefinisikan sebagai Individu yang kedudukannya adalah di antara
pembekal dan pengguna. Usahawan adalah orang yang menggabungkan faktor-
faktor pengeluaran untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu, mengenal pasti
peluang-peluang perniagaan, menghasilkan idea-idea perniagaan, melakukan inovasi
dan sanggup mengambil risiko. Projek pengeluaran yang diusahakan adalah yang
berskala besar. Usahawan mengambil inisiatif, mengorganisasi mekanisme sosial
dan ekonomi. Tindakan usahawan adalah didorong oleh keperluan mendapatkan
sesuatu untuk pencapaian diri, memenuhi keperluan pengguna dan dan
menggunakan modal.

Keusahawanan ialah satu proses mewujud dan mengembangkan perniagaan secara
berterusan yang menyumbang kepada proses pembangunan negara. Ia didefinisikan
oleh Gartner (1989) sebagai proses penciptaan sesebuah organisasi. Definisi ini
disokong oleh Kuratko & Hodgetts (1995) yang berpendapat bahawa keusahawanan
merupakan penciptaan usaha niaga baharu melalui 4 dimensi iaitu Individu,
Persekitaran, Organisasi dan Proses. Histrich & Peter (1998) pula mengatakan
9

bahawa ianya merupakan proses keusahawanan yang baharu dari segi nilai dengan
memperuntukkan masa dan tumpuan serta tenaga yang diperlukan, menanggung
bersamanya risiko kewangan, psikik, sosial dan memperoleh ganjaran daripada
usaha tersebut. Jeffrey A Timmons (penulis buku The Entrepreneurial Mind)
berpendapat keusahawanan melibatkan tindakan kreatif manusia dalam
membangunkan sesuatu yang mempunyai nilai tambah. Aktiviti keusahawanan lebih
mengejar peluang perniagaan yang menguntungkan daripada memikirkan sumber
atau kekurangan sumber yang dimiliki.

1.3.2. Perbezaan antara keusahawanan dan perniagaan
Perbezaan perniagaan dibandingkan dengan keusahawanan adalah perniagaan
melibatkan aktiviti jual-beli untuk mendapatkan keuntungan. Keusahawanan pula
manjalankan perniagaan mengikut undang-undang dan peraturan, halal di sisi
agama, mengikut adat resam negara serta menyumang ke arah pembangunan dan
kemajuan masyarakat. Sumbangan usahawan adalah untuk memebri jasa dan bakti
kepada pembagunan dan ekonomi negara.


1.3.3. Peranan usahawan dalam masyarakat
Peranan usahawan dalam masyarakat boleh dibahagikan kepada dua iaitu dari
aspek mikro dan makro. Dari aspek mikro, usahawan menyumbangkan idea baharu
atau produk baharu. Usahawan membuat tambahan nilai, ciri-ciri dan mewujudkan
kegunaan atau fungsi baharu.
Usahawan melihat masalah baharu, mencari idea bagi menyelesaikan masalah yang
wujud dan melaksanakan rancangan perniagaan secara strategik bagi menghasilkan
idea baharu bagi tujuan menyelesaikan masalah.
Usahawan mengusahakan faktor pengeluaran seperti modal, bahan mentah, tenaga
kerja dan mengeluarkan input-input kepada output yang berfaedah untuk kegunaan
atau keperluan pengguna lalu dipasarkan atau diedarkan ke pasaran.
Memastikan perniagaan yang ditubuhkan dapat diteruskan dan berkembang.
Kekaburan , ketidakpastian, oleh itu usahawan berusaha agar keuntungan dan
perkhidmatan terhadap pelanggan tidak terjejas.
Peranan usahawan dalam aspek makro pula adalah mewujudkan peluang pekerjaan,
menambah tahap kebajikan dan kemakmuran. Usahawanan dalam kalangam
generasi muda dapat mengalakkan diri terlibat dengan kegiatan yang sihat atau
berfaedah. Usahawan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan. Dasar
pembangunan Nasional (DPN) yang bermatlamat untuk menyusun atau membasmi
kemiskinan rakyat. Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pula dapat meningkatkan
pendapatan pendapatan per kapita yang diukur melalui kuasa beli perbandingan.
Selaian itu industri sokongan dapat dibangunkan. Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
10

dapat meransang pertumbuhan masyarakat perdagangan dan perindustrian. Contoh
lain seperti industri berat HICOM dapat mewujud industri sokongan. Barangan di
pasaran dapat dipelbagaikan oleh usahawan seiring dengan kemajuan atau
peningkatan teknologi. Oleh itu pelbagai barangan dapat diperkenalkan di pasaran
dalam dan luar negara. Usahawan tidak akan pernah ketandusan idea, mereka akan
menggunakan sumber dengan cekap tanpa mensia-siakan sumber yang ada sama
ada bernilai atau tidak di pandangan orang lain. Barang yang tidak diperlukan tidak
dibuang begitu sahaja sebaliknya dikita semula dan tidak akan berlaku pembaziran.
Usahawan yang berjaya akan menjadi model ikutan masyarakat. Akhir sekali ciri-ciri
usahawan yang memiliki keperibadian yang unik akan menjadi sumber inspirasi
kepada usahawan baharu.
1.3.4. Sebab-sebab usahawan menceburkan diri dalam perniagaan
Terdapat beberapa sebab usahawan melibatkan diri dalam perniagaan iaitu
pengalihan negatif, tempoh peralihan , tarikan positif dan tolakan positif:

a. Pengalihan/ anjakan negatif yang bermaksud kewujudan usahawan adalah
akibat penyisihan seseorang individu atau kumpulan daripada masyarakat terasing.
Ianya tiada sesiapa untuk bergantung dan mereka cenderung untuk menjadi
usahawan.Contohnya status imigran, diberhentikan kerja, bosan, marah, krisis
pertengahan umur, bercerai dan kematian pasangan.

b. Tempoh peralihan iaitu seseorang yang berkedudukan tertentu bertukar
pekerjaan kepada menjadi usahawan. Antaranya adalah anggota tentera yang akan
bersara, pelajar institusi pengajian tinggi ke alam perniagaan dan banduan yang akan
dibebas.

c. Tarikan positif iaitu usahawan datang dari bakal rakan kongsi, mentor,
keluarga, pelabur atau pelanggan dan pembekal. Bakal rakan kongsi mulanya
ditawarkan untuk berkongsi pengalaman, membantu kerja-kerja perniagaan dan
penyebaran risiko. Perkaitan kuat hubungan antara keluarga juga dapat
menggalakkan individu dalam pemilihan kerjaya usahawan.

d. Tolakan positif termasuklah akibat disingkirkan oleh rakan kongsi, pelabur
menghentikan komitmen, kerana masalah persefahaman dengan rakan kongsi,
tamat tempoh perjanjian perkongsian, bertukar mentor, kurang yakin pelanggan
terhadap perniagaan asal. Ini akan menyebabkan usahawan menceburi bidang
keusahawan yang lain.

1.3.5. Ciri-ciri usahawan
1. Komitmen dan nekad
Sikap ini merupakan satu bentuk personaliti yang amat penting dalam
menentukan kejayaan usaha teroka seseorang usahawan dan ianya
11

memerlukan usahawan itu untuk melibatkan diri mereka sepenuhnya dalam
perniagaan.

2. Berinisiatif
Mempunyai inisiatif yang tinggi, mempunyai kecenderungan untuk melihat
dan menganalisis sesuatu situasi dan mengambil tindakan secara proaktif
sebelum sesuatu berlaku.

3. Berkeinginan kepada tanggungjawab
Kesanggupan untuk menerima tanggungjawab terhadap natijah yang
dihasilkan melalui usaha teroka mereka adalah berkait rapat dengan
keinginan usahawan untuk mengekalkan lokus kawalan.

4. Sentiasa melihat dan merebut peluang
Memikirkan pencapaian matlamat dan matlamat yang ditetapkan datang
dari keupayaan melihat dan mengambil peluang yang terdapat di luar sana.
5. Bertolak ansur terhadap risiko kakaburan dan ketidakpastian
Mereka hidup dalam dunia yang dicirikan sebagai dunia yang mempunyai
kadar perubahan risiko dan kekaburan yang tinggi.

6. Berkeyakinan diri
Mempunyai keyakiana diri terhadap keupayaan diri.Percaya apa yang
mereka capai adalah keupayaan mereka sendiri. Memandangkan dunia ini
penuh dengan cabaran dan halangan maka mereka percaya apa yang
mereka lakukan adalah keupayaan mereka sendiri. Selain itu usahawan juga
melihat bahawa [roses mencari ilmu pengetahuan adalah proses yang
berpanjangan. Dengan itu usahawan hendaklah membaca yang dapat
membantunya mmembuat keputusan dan melihat peluang peluang yang
ada serta melibatkan diri dalam persatuan dan banyak lagi.

7. Berfikiran kreatif dan anjal
Usahawan mestilah menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa keanjalan
usahawan agak sukar untuk terus mempertahankan perniagaan yang
ditubuhkan dalam dunia hari ini yang mengalami perubahan dalam
ekonomi. Terdapat beberapa cara yang dapat dipelajari dalam
meningkatkan keupayaan kreativiti.

8. Keinginan kepada maklumbalas
Seorang usahawan yang berjaya suka untuk mengetahui tahap pencapaian
mereka. Mereka memiliki keinginanyang kuat untuk menggunakan
pengetahuan yang mereka ada bagi memperbaiki prestasi mereka.
Usahawan selalu dirujuk sebagai pendengar yang cemerlang dan dapat
mempelajari sesuatu dengan cepat.

9. Tahap tenaga yang tinggi
12

Tenaga dalaman dan luaran menjadi faktor yang kritikal untuk melancarkan
usaha teroka yang dilakukan memandangkan usahawan perlu bekerja jeras
dan jangka waktu kerja yang panjang. Ianya diperlukan bagi menangani
masalah yang bakal dihadapi dengan lebih matang dan tidak berputus asa.

10. Menitikberatkan mutu kerja yang cemerlang
Sentiasa menitikberatkan mutu kerja dan sentiasa memastikan standard
penghasilan barangan atau perkhidmatan mencapai tahap cemerlang.

11. Berorientasikan masa depan
Mempamerkan keprihatinan terhadap masa depan jika dibandingkan
dengan usahawan yang memegang teraju usaha teroka yang
pertumbuhannya rendah dan sederhana.

12. Kesanggupan untuk belajar dari kesilapan.
Menumpukan seluruh tenaga kearah usaha kejayaan.membezakan
kegagalan dalam perniagaan dan kegagalan seorang usahawan.

13. Berkeupayaan memimpin
Merupakan seorang yang memiliki pengetahuan tentang teknologi dan
keadaan pasaran dimana dia beroperasi.

14. Berwawasan
Pembentukan matlamat dan wawasan memerlukan perancangan dan
penelitian yang rapi serta pemikiran yang cemerlang.

1.3.6. Sebab-sebab kegagalan usahawan
1.3.6.1. Aspek pengurusan
1. Carta organisasi
2. Huraian tugas kakitangan
3. Rancangan pentadbiran perniagaan
4. Pengalaman mengurus
5. Latihan pengurusan
6. Khidmat nasihat pengurusan
7. Rakan kongsi
8. Pekerja
9. Meningkatkan motibvasi pekerja

1.3.6.2. Aspek Pemasaran
1. Promosi
2. Mengenal pasti pelanggan
3. Penyelidikan pasaran
4. Masalah untuk memasarkan barangan/ perkhidmatan
5. Rangkaian pengedaran
13

6. Kecekapan jurujual
7. Keistimewaan barangan/ perkhidmatan
8. Kesan persaingan
9. Tahap persaingan
10. Saiz pasaran
11. Latihan dalam pemasaran
12. Hubungan dengan pembekal
13. Perancangan pemasaran
14. Cara menetapkan harga
15. Lokasi perniagaan

1.3.6.3. Aspek Kewangan
1. Penyediaan rekod-rekod kewangan
2. Pengendalian rekod-rekod kewangan
3. Penyediaan penyata-penyata kewangan
4. Perancangan kewangan
5. Masalah-masalah kewangan yang dihadapi

1.3.6.4. Aspek Undang-undang
1. Masalah undang-undang dalam perniagaan
2. Mendapatkan nasihat undang-undang
3. Dokumen berkaitan undang-undang
4. Saluran undang-undang
5. Masalah insolvensi

1.3.6.5. Faktor Diri: Ketrampilan Keusahawanan
1. Inisiatif
2. Melihat dan merebut peluang
3. Kecekalan
4. Kemampuan mencari maklumat
5. Menitikberatkan mutu kerja
6. Komitmen terhadap perjanjian kerja
7. Orientasi ke arah kecekapan
8. Perancangan yang sistematik
9. Penyelesaian masalah secara kreatif
10. Keyakinan diri
11. Ketegasan
12. Kemampuan meyakinkan orang lain
13. Kemampuan menggunakan strategi pengaruh

14

Ujian 1
1. Nyatakan perbezaan antara usahawan dengan peniaga?
2. Huraikan perbezaan antara perniagaan dengan bukan perniagaan.
3. Terangkan cabaran bagi perniagaan masa kini.
4. Mengapakah bidang keusahawanan penting?
5. Bagaimanakah usahawan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat?

Ujian 2
1. Norman bercadang untuk membuka sebuah kilang pembungkusan makanan ringan
dan telah memilih sebuah tapak kilang di kampungnya. Kemahiran yang Norman ada
dalam bidang pengurusan stok telah memberi keyakinan untuknya membuka kilang
ini. Ketua kampung menasihati Norman supaya menjalankan perniagaan yang boleh
memberi kebaikan kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, semangat untuk
meneruskan cita-citanya menurun apabila Norman mendapati beberapa industri
pembungkusan makanan ringan di daerahnya menghentikan operasinya kerana tidak
mampu bersaing dengan perniagaan yang lebih matang. Situasi ini menyebabkan
Norman merasa amat kecewa.

a. i Jelaskan bagaimanakah kilang Norman dapat menyumbang bakti
kepada masyarakat di sekitar kilangnya?
[5 markah]

ii Apakah cabaran-cabaran perniagaan akan datang yang perlu
dijangkakan oleh Norman?
[5 markah]

b. Berdasarkan latar belakang Norman, apakah ciri-ciri yang dia perlu ada untuk
mengatasi cabaran-cabaran berkenaan?
[10 markah]

15

Rujukan
Abu Bakar Hamed (2005). KEUSAHAWANAN & Pengurusan Perniagaan Kecil. Universiti Utara
Malaysia.
Aini Hayati Ahmad dll (2008). Pengajian Perniagaan 1. Longman
Chell, E. (2001). Entrepreneurship: Globalization, innovation and development. UK: Thomson-
Learning.
Jaafar Muhamad (2003). Asas pengurusan perniagaan. Selangor: Fajar Bakti.
Khairuddin Khalil (2003). Keusahawanan sebagai kerjaya (Edisi kedua). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kirby, D. (2003). Entrepreneurship. UK: McGraw-Hill.
Kurato, D.F. & Hodgets, R.M. (2004). Entrepreneurship A contemporary approach (5
th

edition). Harcourt College Publishers.
Longenecker, J.G., Moore, C.W. & Petty, J.W. (2003). Small business management: An
entrepreneurial emphasis. Thompson: South Western.
M.B. Muda dll (2003). Pengajian Perniagaan 1 (Edisi kedua). Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
M.B. Muda dll (2003). Pengajian Perniagaan 2 (Edisi kedua). Kuala Lumpur: Fajar Bakti
Muda, M.B. & Saiful Bahri Sufar (2004). Pengurusan perniagaan II. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Zaidatol Akmaliah Lope & Habibah Elias (2000). Perdagangan, keusahawanan dan ekonomi
asas. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.