Anda di halaman 1dari 11

bm_press|bm_pre

Ekonomi Malaysia pada tahun 2002


Pemulihan ekonomi Malaysia bertambah pesat pada tahun 2002, meskipun berada dalam
persekitaran luaran yang lebih mencabar, dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) benar
meningkat 4.2% (2001: 0.4%). Pertumbuhan ekonomi adalah menyeluruh, didorong oleh permintaan
dalam negeri yang kukuh dan diperteguhkan oleh prestasi eksport yang lebih baik. Pertumbuhan
permintaan dalam negeri telah disokong oleh rangsangan fiskal dan monetari yang berterusan serta
pengukuhan harga komoditi yang nyata.
Mencerminkan dasar pengembangan fiskal yang berterusan, penggunaan awam benar meningkat
dengan ketara sebanyak 13.8%, manakala pelaburan awam berkembang 4.6%. Perbelanjaan fiskal
yang lebih tinggi, penurunan cukai pendapatan, kadar faedah yang rendah, harga komoditi yang
tinggi dan prospek pekerjaan serta pendapatan yang lebih baik telah memulihkan perbelanjaan
sektor swasta dan seterusnya menyumbang 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK.
Penggunaan swasta benar meningkat 4.2%, manakala penurunan pelaburan swasta menyederhana
dengan nyata kepada 6.1%. Apa yang penting adalah pembentukan modal swasta bertukar arah
untuk meningkat dengan sederhana pada separuh kedua tahun 2002. Ini disebabkan beberapa
industri seperti elektronik, barangan kimia serta alat kelengkapan pengangkutan mula beroperasi
pada tahap penggunaan kapasiti yang tinggi berikutan permintaan luar negeri yang lebih kukuh.
Pelaburan baru dalam bentuk perkhidmatan nilai ditambah yang lebih tinggi seperti telekomunikasi
dan teknologi maklumat mengukuhkan lagi perkembangan ini. Malaysia turut mendapat manfaat
daripada beberapa peralihan aliran pelaburan asing, khususnya melalui aktiviti penggunaan khidmat
pihak ketiga dan pemindahan operasi serta penubuhan ibu pejabat operasi, pusat pengagihan
serantau dan pusat perolehan antarabangsa oleh beberapa syarikat multinasional.
Sejajar dengan keadaan permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh, kesemua sektor ekonomi
telah berkembang, dengan penggerak utama pertumbuhan adalah daripada sektor perkhidmatan
dan perkilangan. Sektor perkhidmatan meningkat 4.5% pada tahun 2002, disokong oleh pemulihan
permintaan dalam negeri, peningkatan aktiviti yang berkaitan perdagangan dan peningkatan dalam
ketibaan pelancong. Pengukuhan permintaan dalam negeri dan pemulihan eksport telah
menyebabkan sektor perkilangan pulih, dengan nilai ditambah meningkat 4.1% berbanding
penguncupan 6.2% pada tahun 2001. Pertumbuhan di sektor pembinaan kekal pada 2.3% pada
tahun 2002, sementara sektor perlombongan meningkat 4.5% disebabkan oleh peningkatan
pengeluaran daripada medan minyak dan gas yang baru, peningkatan permintaan dan harga yang
lebih baik.
Sementara itu, sektor pertanian mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 0.3% pada
tahun 2002 kerana pengeluaran minyak sawit mentah merosot disebabkan oleh hasil yang lebih
rendah dan kesan aktiviti penanaman semula yang lebih tinggi. Namun begitu, peningkatan harga
dan pendapatan yang ketara di sektor pertanian memberi kesan pengganda yang besar terhadap
permintaan penggunaan swasta dan keseluruhan pertumbuhan KDNK pada tahun 2002. Sektor
pertanian merupakan aktiviti luar bandar yang penting dan menyediakan pekerjaan kepada 15%
daripada jumlah tenaga pekerja di Malaysia. Harga komoditi yang lebih tinggi telah memberi
manfaat kepada kira-kira 500,000 keluarga pekebun kecil di sektor getah, kelapa sawit dan koko.
Asas makroekonomi Malaysia terus menjadi kukuh pada tahun 2002. Tekanan inflasi kekal rendah
pada pada tahun 2002. Walaupun indeks harga pengguna (IHP) adalah tinggi sedikit pada kadar
1.8%, inflasi berasaskan permintaan atau inflasi teras kekal rendah, hanya meningkat sebanyak 0.4%.
Peningkatan IHP adalah disebabkan oleh pelarasan harga terutamanya bagi subkumpulan
pengangkutan dan perhubungan dan oleh itu, ia tidak menandakan tekanan inflasi sebenar. Keadaan
pasaran pekerja kekal memuaskan pada tahun 2002 untuk menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.
Kadar pengangguran berkurangan kepada 3.5% pada tahun 2002 disebabkan oleh pengurangan yang
ketara dalam pemberhentian pekerja serta permintaan tenaga pekerja yang lebih tinggi.
Kedudukan luar negeri kekal kukuh dengan peningkatan eksport pada tahun 2002. Imbangan
pembayaran keseluruhan meningkat dengan ketara untuk mencatat lebihan yang lebih besar
disebabkan oleh hasil lebihan akaun semasa yang mapan, aliran masuk modal jangka panjang yang
lebih besar dan aliran keluar modal jangka pendek swasta bersih yang lebih rendah. Lebihan akaun
semasa berkurangan sedikit tetapi kekal tinggi sebanyak RM27.4 bilion atau 8.1% daripada keluaran
negara kasar (KNK). Lebihan dalam akaun barangan adalah lebih daripada mencukupi untuk
mengimbangi defisit dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan dan juga aliran keluar bersih dalam
akaun pindahan semasa. Faktor yang menyebabkan lebihan dalam akaun semasa berkurangan
sedikit adalah aliran keluar bersih yang lebih tinggi dalam akaun pindahan semasa disebabkan oleh
penghantaran pulang wang sekali sahaja oleh pekerja asing tanpa izin yang pulang ke negara asal
masing-masing di bawah Program Pengampunan. Sementara itu, akaun kewangan mencatatkan
kedudukan yang bertambah baik bagi tahun ketiga berturut-turut untuk mencatatkan aliran keluar
bersih yang lebih rendah sebanyak RM12 bilion, disebabkan terutamanya oleh aliran masuk
pelaburan langsung asing (FDI) dan pinjaman luar negara oleh Kerajaan Persekutuan yang lebih
tinggi. Walaupun pelaburan portfolio bersih mencatatkan aliran keluar yang tinggi pada tahun 2002,
aliran keluar swasta yang lain berkurangan pada tahun tersebut disebabkan terutamanya oleh
perbezaan kadar faedah yang memihak kepada Malaysia.
Walaupun dalam keadaan ketidaktentuan global dan saingan yang lebih sengit daripada negara-
negara membangun yang baru, Malaysia menerima jumlah pelaburan masuk langsung asing yang
tinggi sebanyak RM12 bilion pada tahun 2002 atau 3.6% daripada KNK. Aliran masuk pelaburan
langsung asing ke Malaysia adalah terutamanya dalam bentuk pendapatan yang tidak diagih
berikutan prestasi eksport syarikat multinasional yang lebih baik dalam industri elektronik. Terdapat
juga beberapa pelaburan ekuiti baru yang disalurkan terutamanya ke sektor perkhidmatan, minyak
dan gas dan perkilangan. Peralihan dalam corak pelaburan langsung asing ke sektor perkhidmatan
terus dapat dilihat pada tahun 2002. Pelaburan baru tersebut disalur ke pelbagai jenis aktiviti seperti
industri runcit, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan pembangunan perisian komputer. Ciri
utama yang membezakan pelaburan baru ini adalah walaupun ia bernilai kecil, ia dapat
meningkatkan produktiviti dan daya saing, seterusnya menjana nilai ditambah serta pertumbuhan
ekonomi yang lebih tinggi.
Pelaburan luar negeri oleh syarikat Malaysia turut meningkat, diterajui oleh beberapa syarikat besar
di sektor minyak dan gas, perkilangan serta utiliti. Satu perkembangan baru adalah pelaburan luar
negeri kini melibatkan projek utiliti dan perladangan yang lebih besar berbanding tahun-tahun
sebelumnya, yang mana ia tertumpu kepada syarikat induk dan perdagangan. Perkembangan
penting ialah pelaburan luar negeri kini menjana penghantaran balik keuntungan dan dividen yang
tinggi ke Malaysia berjumlah RM0.7 bilion pada tahun 2002.
Mencerminkan kedudukan luar negeri yang kukuh, rizab antarabangsa bersih Bank Negara Malaysia
meningkat AS$3.7 bilion kepada AS$34.6 bilion pada akhir tahun 2002. Pada 14 Mac 2003, jumlah
rizab meningkat lagi kepada AS$34.7 bilion, cukup untuk membiayai 5.3 bulan import tertangguh
dan 4.4 kali ganda hutang luar negara jangka pendek. Kedudukan hutang luar negara Malaysia kekal
pada paras berhemat. Walaupun jumlah hutang luar negara meningkat kepada RM185.3 bilion
(AS$48.8 bilion) pada akhir tahun 2002, ia kekal stabil pada 55.1%, manakala nisbah khidmat hutang
kekal rendah pada 6%. Profil hutang negara kekal memuaskan dengan 60% daripada hutang
mempunyai tempoh matang melebihi tiga tahun. Hutang jangka pendek hanya mencakupi 17%
daripada jumlah hutang luar negara.
Asas ekonomi yang kukuh pada tahun 2002 juga dicerminkan oleh kadar tabungan yang tinggi.
Keseluruhannya, pendapatan negara kasar meningkat pada kadar yang lebih pesat sebanyak 8.9%
berbanding tabungan negara kasar (7.6%). Oleh yang demikian, bahagian tabungan negara kasar
kepada KNK kekal pada 34.4%. Kadar tabungan ini kekal tinggi berbanding negara serantau dan telah
membolehkan Malaysia menyokong pertumbuhan ekonomi yang dibiayai terutamanya daripada
sumber dalam negeri.

Pengurusan Makroekonomi pada tahun 2002
Dasar makroekonomi pada tahun 2002 tertumpu kepada usaha untuk menangani ketidakpastian
yang berpunca daripada persekitaran luaran dan memperkukuhkan asas ekonomi jangka panjang.
Sektor awam memainkan peranan utama dalam memperkukuhkan pertumbuhan dengan memberi
sokongan yang sewajarnya kepada permintaan swasta dan luaran menerusi perbelanjaan langsung
dan penyediaan suasana yang menggalakkan yang dapat mengukuhkan keyakinan pengguna dan
dapat membantu pemulihan dalam aktiviti pelaburan syarikat. Tahap mudah tunai yang mencukupi
dan langkah untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan telah memastikan bahawa
pertumbuhan aktiviti kewangan menyokong pemulihan ekonomi.
Oleh kerana langkah-langkah sokongan telah diambil untuk menangani kesan negatif yang dijangka
timbul akibat ketidakpastian di persekitaran luaran, perbelanjaan fiskal adalah lebih besar daripada
yang dianggarkan pada awalnya. Akibatnya, kedudukan kewangan keseluruhan Kerajaan telah
mencatat defisit sebanyak 5.6% daripada KDNK (5.5% pada tahun 2001). Walaupun perbelanjaan
Kerajaan adalah tinggi, komitmen Kerajaan terhadap dasar fiskal yang berhemat telah memastikan
kedudukan kewangannya masih terkawal. Hasil semasa terus mengatasi perbelanjaan operasi dan ini
telah membolehkan perbelanjaan pembangunan dibiayai dahulu melalui lebihan operasi. Kadar
tabungan yang tinggi dan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan dalam negeri juga
membolehkan sebahagian besar defisit fiskal dibiayai melalui sumber dalam negeri. Keadaan
pasaran luaran yang menggalakkan, terutamanya suasana kadar faedah yang rendah serta
permintaan yang tinggi untuk hutang berdaulat negara-negara membangun di pasaran modal
antarabangsa, telah membolehkan Kerajaan untuk mengambil kesempatan sepenuhnya untuk
memperoleh dana dari sumber luar negara. Terbitan hutang luar negara Kerajaan bukan sahaja
bertujuan untuk menandakan kehadiran Malaysia tetapi juga adalah untuk mewujudkan tanda aras
bagi syarikat Malaysia yang ingin mendapat pinjaman daripada pasaran kewangan antarabangsa.
Pada tahun 2002, dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi. Dasar
monetari dan fiskal yang akomodatif serta pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh mengakibatkan
permintaan pinjaman oleh sektor swasta meningkat. Permohonan pinjaman pulih untuk meningkat
14.1% berikutan permintaan dana yang lebih kukuh oleh sektor korporat dan isi rumah. Sebagai
tindak balas, sektor perbankan dan pasaran modal meningkatkan pembiayaan sebanyak RM40.8
bilion atau 9.9%. Sistem perbankan terus menyokong aktiviti ekonomi dengan pinjaman yang
diluluskan meningkat sebanyak 9.7% manakala pengeluaran pinjaman meningkat sebanyak 10.3%.
Satu perkembangan penting adalah peningkatan pinjaman kepada peminjam kecil. Pinjaman yang
berjumlah kurang daripada RM500,000 kini mencakupi sebahagian besar jumlah pinjaman (53%).
Jumlah pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah dan pinjaman bersaiz di antara RM100,000 dan
RM500,000 masing-masing meningkat sebanyak 15% dan 12% pada tahun 2002 (11% untuk kedua-
duanya pada tahun 2001). Hasil daripada perkembangan ini, pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah
mencakup 30% daripada jumlah pinjaman (2001: 27%) dan pinjaman bersaiz di antara RM100,000
dan RM500,000 mencakup 23% daripada jumlah pinjaman (2001: 21%). Perniagaan kecil terus
mendapat akses pembiayaan. Pada tahun 2002, pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah yang
diberikan kepada perniagaan meningkat dengan ketara sebanyak 17.8%. Peningkatan dalam
pembiayaan kepada peminjam kecil, terutamanya perusahaan kecil adalah selaras dengan usaha
yang dilakukan oleh Kerajaan untuk membangunkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
yang berdaya maju di Malaysia. Lebih daripada 71,000 PKS telah menerima pembiayaan daripada
institusi perbankan berjumlah RM29.8 bilion pada tahun 2002. Bagi memberi tumpuan yang lebih
untuk membangunkan PKS, hampir kesemua bank perdagangan telah menubuhkan unit khas PKS
untuk menyediakan bukan sahaja pembiayaan malahan juga memainkan peranan menyediakan
perkhidmatan sampingan kepada industri.

Prestasi Sistem Perbankan
Daya ketahanan sistem perbankan dipertingkatkan pada tahun 2002 apabila nisbah modal
berwajaran risiko kekal melebihi paras 12% di sepanjang tahun manakala kualiti aset menjadi kukuh
dengan ketara. Peningkatan kualiti aset disebabkan terutamanya oleh persekitaran ekonomi yang
memuaskan dan kemajuan yang ketara dalam penstrukturan semula hutang korporat dan program
pemulihan yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.
Pada tahun 2002, hutang tidak berbayar (NPL) yang diklasifikasikan semula kepada status bukan NPL
meningkat 43% kepada RM13.2 bilion dan kutipan balik hutang yang telah diklasifikasikan sebagai
NPL meningkat kepada RM10.4 bilion berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2001. Nisbah NPL bersih
berdasarkan klasifikasi 6 bulan berkurangan kepada 7.4% pada penghujung bulan Disember 2002.
Nisbah NPL bersih berdasarkan klasifikasi 3 bulan juga turut berkurangan kepada 10.1% daripada
11.4% pada penghujung tahun 2001. Dengan pengurangan NPL, peruntukan hutang lapuk dan ragu
(termasuk nilai cagaran) sistem perbankan meningkat kepada 162.1% daripada jumlah NPL pada
akhir tahun 2002 berbanding 147.8% pada akhir tahun 2001.
Dengan persaingan yang semakin hebat di pasaran pinjaman, keuntungan operasi kasar sistem
perbankan meningkat 2.2% kepada RM11.1 bilion pada tahun 2002. Peningkatan keuntungan
operasi kasar yang kecil ini mencerminkan pertumbuhan yang mendatar bagi pendapatan faedah
bersih dan kos overhed yang tinggi, sekaligus mengimbangi peningkatan yang tinggi dalam
pendapatan berasaskan fi. Kedua-dua kumpulan bank perdagangan dan syarikat kewangan
mencatatkan pertumbuhan keuntungan operasi kasar yang positif masing-masing sebanyak 3.5%
dan 0.2%, yang telah mengimbangi penurunan sebanyak 3% yang dialami oleh kumpulan bank
saudagar.
Peruntukan hutang lapuk dan ragu bagi tahun 2002 adalah jauh lebih rendah berbanding dengan
tahun sebelumnya disebabkan oleh kesan keseluruhan daripada peruntukan bagi hutang lapuk dan
ragu yang berkurangan sebanyak RM2.2 bilion (-19.2%) dan peningkatan dalam jumlah pemulihan
sebanyak RM3.4 bilion (+69.9%). Ini telah dicapai berikutan persekitaran ekonomi yang baik dan
penyusunan semula pinjaman yang telah meningkatkan keupayaan peminjam untuk membayar balik
pinjaman. Dengan itu, sistem perbankan telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang belum
diaudit sebanyak RM9.3 bilion pada tahun 2002. Hasilnya, pulangan ke atas aset dan ekuiti sistem
perbankan masing-masing meningkat kepada 1.3% dan 16.8%.
Institusi-institusi seperti Danaharta, Danamodal dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang
Korporat (CDRC) yang ditubuhkan untuk melaksanakan penstrukturan semula kewangan berikutan
krisis kewangan Asia berada di kedudukan yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab yang
diberikan. Penutupan CDRC pada 15 Ogos 2002 menandakan penyelesaian usaha penstrukturan
semula hutang korporat yang dilaksanakan semenjak tahun 1998. Daripada 48 kes yang melibatkan
hutang berjumlah RM52.6 bilion yang dibawa kepada CDRC, 32 kes berjumlah RM36 bilion telah
diselesaikan sepenuhnya, sementara 16 kes selebihnya berada di beberapa peringkat pelaksanaan.
Bagi Danaharta, pelaksanaan strategi pemulihan untuk memaksimumkan pemulihan daripada NPL
yang diambil alih akan diteruskan. Dengan kemajuan yang dicapai, Danaharta kini berada dalam
kedudukan yang baik untuk membubarkan operasinya pada tahun 2005. Program permodalan yang
dijalankan oleh Danamodal telah pun selesai dengan jumlah pelaburan berkurangan daripada RM7.1
bilion dalam 10 institusi kepada RM2.1 bilion dalam tiga institusi. Danamodal dijangka akan
membubarkan operasinya pada tahun 2003.

Pengurusan Sistem Perbankan
Proses penstrukturan semula sistem perbankan kini hampir selesai dan tumpuan dasar telah beralih
ke arah membangunkan kapasiti serta meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan yang
disediakan oleh institusi kewangan. Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) dengan jelasnya
menggariskan jadual waktu untuk mencapai matlamat ini. Sepuluh lagi daripada cadangan yang
terkandung dalam pelan tersebut telah dilaksanakan pada tahun 2002, menjadikan jumlah cadangan
yang dilaksanakan sehingga akhir bulan Februari 2003 kepada 19. Cadangan tersebut tertumpu
kepada meningkatkan kapasiti dan keupayaan institusi kewangan dalam negeri, menggalakkan
kestabilan, membina infrastruktur sistem pembayaran yang cekap dan stabil serta menyediakan
rangka kerja perlindungan yang cekap dan berteraskan pasaran. Satu tindakan yang penting dalam
proses peningkatan taraf tersebut adalah program tanda aras yang membandingkan prestasi institusi
kewangan di Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa. Untuk melengkapi program tanda aras
tersebut, pihak Bank telah melancarkan kajian analisa pasaran untuk membina sebuah indeks mutu
perkhidmatan bagi menilai mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri.
Industri perbankan Islam terus berkembang pada tahun 2002 dengan mencatatkan peningkatan
bahagian pasaran dari segi aset, pembiayaan dan deposit masing-masing kepada 8.9% (8.2% pada
tahun 2001), 8.1% (6.5% pada tahun 2001) dan 10.2% (9.5% pada tahun 2001) berbanding
keseluruhan sistem perbankan. Aset di sektor perbankan Islam berjumlah RM9.1 bilion pada akhir
tahun 2002. Dari segi keuntungan, sektor perbankan Islam mencatatkan peningkatan keuntungan
sebelum cukai sebanyak 12.3% kepada RM948 juta pada tahun 2002. Satu pencapaian penting
dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa pada tahun 2002
adalah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (LPKI) di Kuala Lumpur pada 3
November 2002. LPKI merupakan satu kesatuan bank pusat, lembaga kewangan dan institusi lain
yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan menyebarkan piawaian berhemat
pengawalseliaan dan amalan terbaik serta diterima pakai di peringkat antarabangsa bagi industri
perkhidmatan kewangan Islam, selaras dengan prinsip Syariah. LPKI dijangka dapat menyokong
pembangunan sebuah sistem kewangan Islam yang teguh dan stabil dan seterusnya menyediakan
landasan ke arah menyepadukan sistem kewangan Islam ke dalam sistem kewangan antarabangsa
secara berkesan
Bagi menyediakan satu rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang komprehensif untuk
memastikan pengurusan kewangan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang selamat dan utuh,
Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 15
Februari 2002. AIKP bertujuan memastikan penyeliaan IKP yang efektif serta dinamik dan
memperuntukkan pelantikan Bank Negara Malaysia sebagai badan pengawalan dan penyeliaan
pusat untuk IKP. Setakat 31 Disember 2002, enam buah institusi, iaitu Bank Pembangunan dan
Infrastruktur Malaysia Berhad, Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad, Malaysia Export Credit
Insurance Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
dan Bank Simpanan Nasional telah diwartakan sebagai "institusi yang ditetapkan" di bawah
subseksyen 2(1) AIKP. Sejajar dengan pertumbuhan keseluruhan ekonomi, aktiviti pembiayaan IKP
mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 20%, meningkatkan jumlah pinjaman kepada RM28
bilion pada akhir tahun 2002. Jumlah perlindungan insurans dan jaminan yang disediakan oleh IKP
juga meningkat 7.9% kepada RM3.8 bilion pada akhir tahun 2002.

Prospek untuk Ekonomi Malaysia pada tahun 2003
Prospek pertumbuhan ekonomi dunia terus terjejas oleh ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi
serta kesan negatif kenaikan harga minyak terhadap penggunaan dan pelaburan sektor swasta.
Memandangkan kepada keadaan yang semakin tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global
dijangka akan meningkat dengan sederhana pada kadar 3.1% pada tahun 2003 (2002: 3%),
sementara perdagangan dunia meningkat pada kadar 3.5 - 4.5%. Pertumbuhan di negara-negara
perindustrian utama sebagai satu kumpulan dijangka meningkat 1.8% (2002: 1.6%).
Pada tahun 2003, pertumbuhan Ekonomi Perindustrian Baru Asia (NIE Asia) sebagai satu kumpulan
dijangka kekal pada kadar 4.2 - 4.5% (2002: 4.4%), mencerminkan keadaan permintaan dalam negeri
dan luar negeri yang secara umumnya stabil. Keseluruhan ekonomi ASEAN dijangka mencatat
pertumbuhan antara 3.5 - 4.6% (2002: 4%), dengan jangkaan pertumbuhan eksport terus kekal
kukuh dan sumbangan penggunaan dan pelaburan dalam negeri sebahagian besarnya dapat
dikekalkan. Penggunaan dalam negeri yang kekal dan pemulihan sektor elektronik dijangka terus
menyokong pertumbuhan perdagangan intraserantau. Selaras dengan perbelanjaan pengguna
swasta yang kukuh di rantau ini, perdagangan intraserantau menjadi semakin meningkat, di mana
Republik Rakyat China memainkan peranan sebagai pengimport utama di rantau ini. Pada tahun
2003, perdagangan intraserantau dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri di
kebanyakan negara-negara serantau, dengan perdagangan intraserantau dijangka terus
menyumbang kepada pertumbuhan. Dengan prospek pertumbuhan yang kukuh, terutamanya aliran
masuk pelaburan langsung asing yang terus meningkat ke Republik Rakyat China dijangka
meningkatkan eksport dari negara-negara serantau.
Berasaskan kepada pertumbuhan dunia yang sederhana, sedikit peningkatan dalam industri
elektronik sedunia, harga komoditi yang kekal kukuh dan peningkatan dalam perdagangan
intraserantau, pertumbuhan KDNK benar di Malaysia berpotensi untuk kekal di sekitar 4.5% pada
tahun 2003. Pertumbuhan didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri dan disokong oleh
pertumbuhan permintaan luar negeri yang sederhana. Sementara sektor awam akan terus
menyokong pertumbuhan negara, permintaan sektor swasta pula dijangka memainkan peranan
penting dalam pertumbuhan ekonomi pada tahun 2003. Asas ekonomi dalam negeri yang
bertambah baik akan memberi sokongan kepada penggunaan yang kukuh dan pemulihan berterusan
dalam pelaburan swasta. Apa yang menggalakkan adalah, setelah mencatatkan pertumbuhan
negatif untuk dua tahun berturut-turut, pelaburan swasta dijangka pulih untuk meningkat 8.1% pada
tahun 2003, disokong oleh peningkatan kapasiti dalam negeri dan aliran masuk pelaburan langsung
asing yang stabil.
Pertumbuhan dijangka menyeluruh dan dicerminkan dalam kesemua sektor ekonomi. Nilai ditambah
sektor perkilangan dijangka meningkat 5% pada tahun 2003, berdasarkan unjuran terhadap prospek
pertumbuhan ekonomi global dan sektor elektronik global yang sederhana. Pertumbuhan akan
didorong oleh peningkatan jumlah barangan oleh kerana harga, terutamanya bagi barangan elektrik
dan elektronik, akan jatuh berikutan persaingan yang hebat. Sektor pertanian juga dijangka
meningkat 1.5% hasil daripada peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah, getah dan keluaran
pertanian yang lain. Di sektor perkhidmatan, pertumbuhan dijangka mapan pada 4.4%. Perdagangan
yang dijangka meningkat, ketibaan pelancong yang lebih tinggi dan pertumbuhan industri
telekomunikasi dijangka akan memberi manfaat kepada subsektor pengangkutan dan komunikasi
serta subsektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Berdasarkan prospek harga
petroleum dan gas asli yang lebih baik pada tahun 2003, pertumbuhan di sektor perlombongan
dijangka kekal mapan pada 4.5%. Walau bagaimanapun, aktiviti pembinaan dijangka menjadi
perlahan (1.9%) pada tahun 2003 berikutan aktiviti yang lebih perlahan di subsektor kejuruteraan
awam dan kediaman. Ini mencerminkan perbelanjaan yang lebih rendah ke atas projek infrastruktur
oleh kedua-dua sektor swasta dan Kerajaan berikutan siapnya beberapa buah projek yang sedang
berjalan. Bagi subsektor kediaman, terdapat peningkatan dalam jumlah harta tanah yang tidak
terjual serta kadar jualan yang lebih rendah bagi projek yang baru dilancarkan pada separuh
pertama tahun 2002. Sementara itu, aktiviti di subsektor bukan kediaman akan terus terjejas oleh
keadaan lebihan penawaran.
Asas makroekonomi Malaysia dijangka akan kekal kukuh pada tahun 2003. Inflasi dijangka akan
menyederhana kepada 1.5%, sementara pasaran pekerja dijangka akan kekal memuaskan. Berikutan
matangnya beberapa bon dan pinjaman yang diperoleh terdahulu, hutang luar negara yang belum
dijelaskan dijangka berkurangan kepada RM184.5 bilion (AS$48.6 bilion) pada akhir tahun 2003 atau
bersamaan dengan 52.3% daripada KNK.
Pertumbuhan KDNK yang sederhana dijangka akan mengekalkan kekukuhan kedudukan imbangan
pembayaran dengan akaun semasa terus mencatatkan lebihan (7.9% daripada KNK) pada tahun
2003. Akaun kewangan dijangka disokong oleh aliran masuk dana pelaburan yang berterusan. Aliran
masuk pelaburan langsung asing yang mantap ke Malaysia adalah dijangkakan, terutamanya dalam
bentuk pelaburan semula serta pelaburan baru di sektor perkilangan. Pelaburan di sektor
perkhidmatan dijangka kekal mapan. Insentif pelaburan yang diberi dalam Bajet tahun 2003,
termasuk penubuhan ibu pejabat operasi dan pusat pengagihan serantau dijangka menarik FDI
dengan nilai ditambah yang lebih tinggi ke sektor perkhidmatan. Sementara itu, pelaburan di sektor
minyak dan gas dijangka kekal besar. Pelaburan langsung di luar negara dijangka terus kekal tinggi
memandangkan beberapa syarikat telah mengumumkan hasrat mereka untuk beroperasi secara
global bagi mewujudkan sinergi yang lebih besar kepada aktiviti korporat mereka.

Pengurusan Ekonomi, Monetari dan Kewangan pada tahun 2003
Meskipun ekonomi dunia terus menghadapi persekitaran yang tidak menentu, kekukuhan asas
ekonomi Malaysia, kestabilan kadar pertukaran dan kemajuan yang dicapai dalam penstrukturan
semula sektor kewangan dan korporat memberikan pihak berkuasa lebih fleksibiliti untuk
menggunakan dasar bagi menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri. Oleh itu, dasar-dasar pada
tahun 2003 akan tertumpu kepada penggalakan pertumbuhan dalam negeri yang diterajui oleh
sektor swasta, dengan pihak Kerajaan menyediakan persekitaran yang sesuai bagi aktiviti dan
inisiatif sektor swasta.
Walaupun sektor awam kini dalam proses penyatuan, ia akan terus menyediakan sokongan yang
diperlukan bagi membolehkan sektor swasta memainkan peranannya sebagai penggerak utama
pertumbuhan. Oleh itu, dasar fiskal kekal berkembang dengan sederhana pada tahun 2003 (defisit
4% daripada KDNK). Walaupun persekitaran luar negara telah menjadi kurang menggalakkan
semenjak pengumuman Bajet tahun 2003, pemulihan global dijangka akan berterusan, tetapi pada
kadar yang lebih sederhana berbanding jangkaan sebelumnya. Bajet tahun 2003 yang mengembang
kekal relevan, dan insentif serta peruntukan perbelanjaan akan membantu pemulihan sektor swasta.
Dalam hal ini, strategi utama Bajet tahun 2003 tertumpu kepada menggalakkan pelaburan dalam
negeri di kesemua sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan, terutamanya bagi menggalakkan
aktiviti di bidang pertumbuhan baru dan khusus di sektor perkhidmatan, pertanian dan perkilangan;
meningkatkan pembangunan sumber manusia untuk menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan;
dan mengukuhkan daya saing Malaysia. Insentif cukai dan bukan cukai terus diberikan untuk
menggalakkan pembangunan PKS dan memudahkan penembusan pasaran eksport baru serta
menggalakkan pengilang-pengilang menjalankan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi
seperti reka betuk dan penyelidikan dan pembangunan. Insentif fiskal langsung tertumpu kepada
mengurangkan kos perniagaan kecil melalui pemotongan cukai korporat serta menarik pelaburan
yang lebih tinggi di beberapa bidang sasaran di sektor pertanian (termasuk aktiviti hiliran bukan
tradisional), dan aktiviti berkaitan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.
Dalam suasana inflasi yang rendah, dasar monetari akan kekal akomodatif bagi menyokong
pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 2003, dasar monetari akan terus menyediakan persekitaran
yang sesuai bagi mengukuhkan penggunaan dan pelaburan swasta, walaupun kadar faedah
dikekalkan rendah. Keutamaan akan diberikan kepada meningkatkan infrastruktur kewangan untuk
membolehkan lebih banyak segmen komuniti perniagaan mendapat akses kepada pembiayaan yang
lebih baik, terutamanya perusahaan industri dan perkhidmatan yang baru muncul, PKS dan
peminjam kecil. Dari aspek kadar pertukaran, tumpuan dasar ialah untuk memastikan asas ekonomi
terus menyokong kadar pertukaran tetap memandangkan kestabilan kadar pertukaran memberikan
kelebihan ketara dalam meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.
Dengan adanya sektor perbankan yang berdaya tahan dan teguh, dasar sektor kewangan terus
tertumpu kepada mengukuhkan daya tahan dan mengekalkan kestabilan kewangan, meningkatkan
kapasiti dan keupayaan institusi perbankan dalam negeri untuk bersaing dalam suasana yang lebih
liberal, memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada pembiayaan, terutamanya
PKS dan perusahaan kecil, dan mempertingkatkan rangka kerja pendidikan dan perlindungan
pengguna.
Bagi meningkatkan kapasiti institusi perbankan, program tanda aras yang sedang dilaksanakan akan
diperluas untuk merangkumi mutu perkhidmatan pelanggan dan mengasaskan pembentukan
sebuah indeks kualiti perkhidmatan untuk institusi perbankan. Persekitaran bagi menggalakkan
penggabungan di antara bank perdagangan dan syarikat kewangan akan diwujudkan. Sehubungan
dengan ini, Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 akan dipinda pada tahun 2003 untuk
merasionalisasikan keperluan yang diwajibkan ke atas bank perdagangan dan syarikat kewangan
serta bagi memudahkan penggabungan. Di samping itu, rangka kerja pengawalseliaan dan
pengawasan untuk bank pelaburan akan disiapkan pada tahun 2003. Bank pelaburan yang akan
dibentuk hasil daripada penggabungan di antara bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat
diskaun kelak akan dikawal selia secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya
Sekuriti. Peringkat pertama rangka kerja formal pengawalseliaan dan pengawasan bagi konglomerat
kewangan juga akan digubal, yang menggariskan keperluan-keperluan berhemat untuk mengekalkan
kekukuhan kedudukan kewangan mereka. Usaha ini akan dilengkapi dengan program
penyahkawalseliaan secara berperingkat terhadap dasar-dasar tertentu bagi membolehkan institusi
perbankan mempunyai fleksibiliti yang lebih untuk memperkenalkan produk baru bagi
menggantikan keperluan pralulus ke atas produk yang sedia ada.
Bagi membangunkan industri PKS, Bank Negara Malaysia telah mencadangkan satu rangka kerja
yang komprehensif, termasuk pengenalan undang-undang baru dan agensi PKS serta penambahan
mekanisme pembiayaan melalui institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan dan syarikat
modal teroka. Sebuah Jawatankuasa Pemandu ditubuh pada bulan Oktober 2002 bagi menyelia dan
memberikan panduan dan haluan strategik untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang
terkandung dalam Fasa 1 rangka kerja tersebut. Jawatankuasa itu, yang mengandungi Ketua
Setiausaha beberapa Kementerian yang berkenaan dan Ketua Agensi yang terlibat dalam
pembangunan PKS, dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia.
Menyedari kepentingan pembangunan sumber manusia, Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama
beberapa pusat pengajian perniagaan terkemuka, akan mewujudkan Pusat Kepimpinan Kewangan
Antarabangsa untuk memberikan tumpuan latihan dan pendekatan yang selaras dalam
pembangunan sumber manusia kepada pengurusan kanan institusi kewangan. Pusat ini dijangka
memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan kecemerlangan dan pembangunan modal
manusia yang berkualiti dalam industri kewangan.
Selaras dengan objektif untuk menggalakkan penglibatan pengguna bagi meningkatkan kecekapan di
sektor perbankan, usaha akan terus diambil untuk membangunkan satu rangka kerja perlindungan
pengguna yang cekap dan berorientasikan pasaran pada tahun 2003. Pelancaran program
pendidikan pengguna untuk tempoh 10 tahun, BankingInfo, bagi meningkatkan tahap celik
kewangan di kalangan masyarakat pada awal tahun ini akan disokong oleh beberapa strategi
komprehensif untuk mencapai rangka kerja perlindungan pengguna yang mencukupi dan berkesan.
Ini termasuklah mempertingkatkan ketelusan produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan,
meningkatkan peranan Biro Pengantaraan Perbankan, membangunkan peraturan anti pakat dan
menubuhkan dana insurans deposit.
Menyedari faedah aliran modal, Malaysia kekal komited untuk terus meliberalisasikan aliran modal
merentasi sempadan. Oleh itu, peraturan pertukaran asing dikaji semula dari masa ke semasa bagi
memastikan ia tidak menjadi halangan kepada sistem perbankan untuk mencapai keberkesanan
yang lebih tinggi. Kajian semula yang dilakukan pada tahun 1994-96 dan 1999-2001 telah membawa
kepada pelonggaran beberapa peraturan pertukaran asing untuk mengurangkan formaliti dan
memudahkan urus niaga perniagaan. Sebagai sebahagian daripada proses kajian semula yang
berterusan ini, Bank Negara Malaysia akan meliberalisasikan beberapa lagi peraturan pertukaran
asing berkuat kuasa 1 April 2003. Langkah ini bertujuan memperbaiki persekitaran perniagaan di
Malaysia dengan memberikan fleksibiliti yang lebih kepada pemastautin dan bukan pemastautin
untuk mendapatkan dana ringgit, menguruskan risiko pertukaran asing dan meningkatkan
kecekapan keseluruhan operasi dengan mengurangkan beberapa kos pengawalan.

Akaun Tahunan Bank Negara Malaysia yang telah diaudit untuk tahun 2002
Kedudukan kewangan Bank Negara Malaysia pada tahun 2002 telah diperiksa dan diperakui oleh
Ketua Auditor Negara. Jumlah aset Bank Negara meningkat kepada RM162.2 bilion pada akhir tahun
2002 (RM149.7 bilion pada akhir tahun 2001). Kenaikan rizab antarabangsa menyumbang kepada
peningkatan aset yang besar ini. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada
RM131.4 bilion (AS$34.6 bilion) pada akhir tahun 2002. Bank Negara mencatatkan keuntungan
bersih RM0.8 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2002 dan mengisytiharkan dividen
sebanyak RM0.5 bilion kepada Kerajaan bagi tahun 2002.




Last Updated Date : 28 March 2003

00644224515266 FORID:9 UTF-8 470
Kata kunci carian


Sentiasa Berhubung
Facebook
Berinteraksi dengan kami.
Twitter
Ikuti perkembangan terkini.









Terma Penggunaan | Kenyataan Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian | Hubungi Kami
1-300-88-5465 | SMS to 15888: BNM TANYA [your enquiry] | Email : bnmtelelink@
bnm.gov.my
Bank Negara Malaysia, 2014. Hak Cipta Terpelihara
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 : 15,694,720 <div class="statcounter"> <a
title="wordpress stats plugin" href="http://www.statcounter.com/wordpress.com/"
target="_blank"><img class="statcounter"
src="http://c.statcounter.com/5560724/0/f0708a1e/0/" alt="wordpress stats plugin" ></a>
</div>
Last Updated Date : 05 August 2014