Anda di halaman 1dari 11

PENDAHULUAN

Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke


atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang
akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut
keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah
maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga
sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini disokong oleh Schafer (1992), yang
menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang dalam
memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang. Tambahan
pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk
permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal
serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani
permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif.
Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada
tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu
tekanan yang diterima. Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan
mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak
mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut
tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar. Sementara itu, menurut Levine
dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu perubahan fisiologi dan
perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan. Oleh itu, boleh
dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana
seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan melakukan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar, memulakan
pertengkaran, terlibat secara fizikal dalam pergaduhan, penyalahgunaan dadah,
terlibat dalam jenayah dan sebagainya yang membuktikan walau sekecil mana
sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak diuruskan dengan betul mampu membawa
malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka yang terlibat. Namun semuanya
bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang kerana ianya dapat
membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima tekanan tersebut
secara positif.

Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan
tekanan terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran seseorang.
Faktor luaran ini bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan tanggungjawab di
pejabat, tahap perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal kediaman, tahap
kebisingan, kesesakan jalanraya dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan
seharian manusia. Faktor dalaman pula bermaksud faktor yang mempengaruhi
seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran tadi seperti tahap kesihatan fizikal
dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang mencukupi. Bagi mereka yang
mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk mereka menghadapi
tekanan disebabkan perkara yang remeh-temeh adalah rendah dan cara mereka
bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang mempunyai
tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan
bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan
mental dan fizikal yang lemah.

Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial
yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun
kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan
pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru
menjadi semakin mencabar.Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk
menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa,
kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan
memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran
dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga
profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha
mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap
kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon,
2007). Peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah
dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa guru berada pada tempat
keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang
lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa
tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh
sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo
Sew Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar
dan jalan penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai
perkara yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas,
kerenah murid, kurang motivasi dan sebagainya.

PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH

Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah
mahupun rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman
mengenai punca sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru matematik
di negeri Johor. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang paling mempengaruhi
stress adalah faktor masalah disiplin pelajar yang mencatatkan nilai min keseluruhan
tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun
2009 menunjukkan bahawa guru tidak terlepas daripada perlakuan dan sikap
segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Antara contoh perlakuan pelajar
yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang lewat ke kelas, membuat
bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa
alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini menyebabkan
guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk
menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan ini
melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak
stabil boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak contoh
sebenarnya yang berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan
oleh guru yang berkait dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di
mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang
telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden
asrama mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun
sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah
bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana memakai
seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ( Berita
Harian, 20 Mei 2006 ).

Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah
tetapi juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat
tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam
pelajaran. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit
Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006
yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan
tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang mengharapkan guru-guru di sekolah
boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai pelajar yang cemerlang
dalam akademik. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa
akan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka
kepada guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan
dalam akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa
kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan
kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak
kurang pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Akibat daripada
harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak masa
mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu
persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.

Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan
guru-guru mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru merupakan
pengurus pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan,
kemahiran dan nilai yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan
tanggungjawab guru untuk menyediakan maklumat-maklumat untuk diajar tidak
semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan dengan tugas-tugas lain seperti
tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan menjalankan aktiviti sekolah,
menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus yang telah ditetapkan oleh
pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya. Perkara ini mungkin
dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang amat tinggi
kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang
berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari.
Tambahan pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu
sehingga menyebabkan guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama
keluarga. Ia menjadi menjadi satu masalah yang besar dan dipandang serius oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi
mengkaji bebanan tugas guru yang terlampau banyak. Menurut Ketua Pengarah
Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don yang mempengerusikan jawatankuasa itu,
beberapa cadangan sudah dikenalpasti bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini
ditubuhkan bagi memberi maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam satu
sidang media yang diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa
banyak pihak yang menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.

Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin
atasan memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut.
Perkara yang sama juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau
guru besar yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan
pembangunan sekolah serta sumber manusianya. Guru sememangnya bergantung
harap kepada guru besar untuk memastikan kelancaran pentadbiran di sekolah di
samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya. Sekiranya perkara ini tidak
berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat kerja yang tidak
membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini
kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat corak
pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah. Malahan, ada
juga program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau pelajar sebaliknya
untuk kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusan-keputusan tentang
peraturan dan dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah juga akan
membangkitkan ketidakpuasan hati guru. (Hamedah binti Wok Awang, 2004). Selain
itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan peruntukan sekolah untuk kegunaan
peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan mencantikkan bilik guru
besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya harus digunakan untuk
pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini telah
dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan
akan mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa
mereka termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut mantan Menteri Pelajaran
Malaysia, hal ini kerana terdapat beberapa kes yang diterima oleh pihak kementerian
setiap tahun yang menyebabkan tindakan tegas perlu diambil secara serta merta. Hal
ini secara langsung akan mengundang tekanan emosi terhadap guru kerana mereka
akan berasa kurang senang dengan keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil
kira kebajikan perkhidmatan mereka. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya
akan menghakis kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua
terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan
motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

IMPLIKASI HUJAH-HUJAH

Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada tekanan
terhada guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu untuk
menyelesaikannya. Guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan
tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara yang
menyalahi undang-undang dan etika pengurusan.

Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu
yang tertekan ( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini dibuktikan
melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember
2009 iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia
terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada sesetengahnya yang tidak hadir ke
tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar daripada Berita Harian bertarikh
27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke
sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan
tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan disipilin yang tegas
terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat beliau dari perkhidmatan
perguruan. Hal ini disokong melalui pernyataan yang dibuat oleh Ho (1997) bahawa
guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu untuk
satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak dapat
diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan sukatan pelajaran dan
kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko kurikulum di sekolah. Selain itu,
rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah
tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan baru perlu disusun semula.
Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat impak yang sangat negatif apabila mereka
tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya apabila
melibatkan peperiksaan-peperiksaan umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari
proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.

Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk
melakukan tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu
untuk bertahan dalam kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan tugas
yang melampau, etika kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin pelajar
yang rendah merupakan faktor utama mengapa guru berniat meninggalkan kerjaya
utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf, 2009). Isu ini turut disentuh oleh satu
kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra (2006) yang menyebut
bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja berfikir untuk
meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang sememangnya
berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk menarik diri
daripada jawatan ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000), beliau
mendapati 50 peratus daripada guru yang menjawab borang soal selidik mengakui
bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat tekanan yang berlebihan di sekolah.
Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang sangat besar sekiranya
kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan niat untuk
meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses pendidikan di
sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang besar dan
menghabiskan masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guru-guru baru bagi
menggantikan kekosongan tersebut.

Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam
kalangan guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program latihan
fisioterapi khas untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut pengarah
urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che Kamaruddinata,
program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam
memberi panduan bagaimana menguruskan stress semasa bertugas. Program ini telah
berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh
Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan kakitangan sekolah tersebut. Program
ini disokong penuh oleh pengetua sekolah tersebut, Siti Endon Mohamad Dahlan yang
berpendapat bahawa program itu banyak memberi kesedaran kepada guru dalam
menangani masalah stress di tempat kerja.

Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu
memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP,
Hashim bin Adnan, beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat
bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas
pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh
individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan
aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar
Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu.
Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan
perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi,
menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan
rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru
tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat,
mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah untuk
diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu pula komitmen mereka
terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin serius apabila
murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan utama dan
seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia.

CADANGAN DAN RUMUSAN

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi
mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa
sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian,
guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang
memudaratkan ini.

Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru
dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru
mestilah berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang
amat mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah
kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus
memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara khususnya.
Guru juga perlu meningkatkan perbincangan dan bersosial dengan rakan-rakan
sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan tugas di sekolah. Hal ini
mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh guru. Sekiranya
masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan menyebabkan guru lebih
mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak ibu bapa dan pengurusan
sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada
guru-guru di sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik anak adalah tanggungjawab ibu
bapa dibantu oleh guru di sekolah. Adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya
tugas mendidik anak-anak sekadar diletakkan di bawah tanggungjawab guru dan hal
ini secara tidak langsung memberikan tekanan hebat kepada para guru di sekolah.

Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang
cukup mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk
memberi yang terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu dilakukan
segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-punca
tekanan ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Boleh
dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh guru sekiranya mereka
mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan tersebut.
Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka
sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam dunia perguruan yang
mendatang.

Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya
seorang guru lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu mengawal
diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja
akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras
pula atas segala kesalahan yang dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku
dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini pula ternyata menyebabkan guru
juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu untuk membuat perubahan
secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan akhirnya membawa
kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah amnya dan
di Malaysia khasnya.

Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah
kepada kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat
kerja yang harmoni dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku akan
berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka
seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak iaitu pentadbiran dan akademik.
Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu ditingkatkan oleh segenap lapisan
masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem pendidikan di Malaysia seterusnya
usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan tidak terhenti.

REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan
dengan jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara
langsung dan tidak langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar.

Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat mencabar
buat saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina satu laman
blog untuk memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat mencabar kerana
ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan blog, apatah lagi blog yang
bersifat ilmiah seperti ini. Namun Alhamdulillah, tugasan berjaya disiapkan
sepenuhnya. Kami berganding bahu mempelajari cara-cara membuat blog dengan
menggunakan aplikasi atas talian yang sangat banyak di laman sesawang. Kami
bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial yang disediakan dan
akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga meminta bantuan rakan-
rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami cara menghasilkan sebuah
laman blog yang menarik dan berkualiti.
Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku kekangan
masa dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari raya yang
diperuntukkan agak padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya tergesa-gesa
menyiapkan tugasan ini. Namun, berkat sokongan dan dorongan rakan-rakan
sekumpulan, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya juga berpuas hati kerana
berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang pada hemat saya sebuah artikel yang
baik untuk menjadi rujukan semua pembaca.
Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah
kemahiran menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada
seluruh masyarakat. Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran
menganalisis sesuatu isu menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujah-
hujah yang dilontarkan atau lebih dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini
juga sangat penting buat saya dalam usaha untuk menyelesaikan penulisan kajian
tindakan pada semester ini.
Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih
giat menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya,
menggunakan medium ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan
tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga
membantu memajukan diri sendiri dalam bidang yang menjadi pilihan ini. Penulisan
artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi seorang guru meluahkan
masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

BIBLIOGRAFI


Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di Sekolah
dan di Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur

Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di Empat Buah Negeri Di
Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala Lumpur

Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau
Pinang. UPM. Kuala Lumpur

Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008

Dr Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah
Menengah Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor
Sains: Serdang. Universiti Putra Malaysia.

Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And
Job Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management
Research News, London

Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas

Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd

Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn
Bhd. Kuala Lumpur

Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress,
Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di Kalangan
Guru Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda.

Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications

Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja ( Stress ) di Kalangan
Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London

Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd
ed.). Journal of Managerial Psychology

Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA

Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA

Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia

Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia

Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan
Malaysia.

Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian

Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia

Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian

Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian

Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian

Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun
1997). BERNAMA

Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA

http://www.nutp.org/new/ms/
http://www.jpa.gov.my/index.php?lang=ms
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120424/pe_01/Guru-lebih-stres

Anda mungkin juga menyukai