Anda di halaman 1dari 3

Bahagian B

Tulis esei cabaran-cabaran mengajar kemahiran menulis Bahasa Melayu di sekolah saya.
Kemahiran menulis adalah salah satu aspek asas yang ditekankan dalam subjek pembelajaran
bahasa. Kemahiran ini perlu dilatih dari tahap pembelajaran yang paling rendah lagi tidak kira
secara formal atau tidak formal. Proses pembelajaran kemahiran menulis merangkumi 4 tahap
utama iaitu contengan, pratulisan, tulisan mekanis dan tulisan mentalis. Setiap tahap ini
mempunyai cabaran masing-masing untuk guru mengajarnya. Terdapat beberapa perkara yang
menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya termasuklah dari segi guru, murid, ibu bapa dan
utiliti yang dibekalkan.
Sebagai seorang guru, saya mengakui saya mempunyai beberapa kelemahan untuk
mengajar kemahiran tulisan. Pertama, cabaran dari segi pendagogi. Walaupun saya telah lebih
dari 20 tahun mengajar Bahasa Melayu, tetapi saya dapat merasakan bahawa pengalaman sedia
ada sahaja kurang membantu. Perkara ini berlaku kerana semakin hari semakin banyak elemen
baru yang diperkenalkan untuk mengajar kemahiran tulisan. Kedua, kurangnya kemahiran ICT.
Dalam era modani ini, kepantasan penyebaran informasi melalui media elektronik memang
sangat membantu. Tetapi, saya kurang mahir untuk mengekstrak maklumat dari bahan-bahan
maya ini jika tanpa bantuan seseorang yang lebih pakar. Ketiga, kekangan masa. Pembelajaran
Bahasa Melayu tidak tersekang hanya kepada kemahiran menulis sahaja, tetapi merangkumi
kemahiran mendengar, kemahiran bertutur dan kemahiran membaca. Maka, peruntukan masa
yang diberikan perlulah dibahagikan secara efektif supaya murid dapat menguasai semua
kemahiran yang dinyatakan seoptimum mungkin.
Murid adalah pelanggan guru dan pihak sekolah. Tetapi tidak seperti urusan jual beli di
pasar raya yang menggunakan slogan Customer always right di sekolah kita perlu menjadi
lebih demokrasi. Kita harus sedar, sebagai manusia, murid kita pasti mempunyai ciri perbezaan
individu antara satu sama lain. Ada antara murid yang cergas pemikirannya dan ada juga yang
sebaliknya. Maka, perbezaan ini perlu dititikberatkan semasa proses pengajaran dan pengajaran
dijalankan. Guru perlu bijak menstandardkan teknik dan strategi mengikut tahap murid yang
sedang diajarnya. Aplikasi kaedah yang tepat dapat membantu meningkatkan tahap fokus murid
di samping menyuburkan minat mereka untuk belajar kemahiran menulis. Contohnya seperti
konsep belajar sambil bermain bagi kanak-kanak yang masih tiada kesediaan untuk ke sekolah
(school readiness).
Kualiti masa yang dihabiskan di sekolah belum tentu memadai untuk murid menguasai
kemahiran menulis. Oleh itu, ibu bapa serta penjaga perlu memberi kerjasama kepada pihak
guru. Sebenarnya, guru yang empati akan cuba membantu muridnya untuk menguasai kemahiran
yang diajar dengan pelbagai cara. Salah satu cara tradisi guru di Malaysia ialah dengan memberi
murid kerja rumah. Kerja rumah sebenarnya satu bentuk latihan pengayaan atau pemantapan
penguasaan murid terhadap sesuatu yang telah diajarkan. Tugas ibu bapa di sini ialah memantau
anak jagaan mereka membuat kerja rumah tersebut. Dari segi kemahiran menulis terutamanya
peringkat asas teknik menulis huruf dengan betul, saya kurang menggalakkan ibu bapa atau
penjaga mengajar anak jagaan mereka. Hal ini kerana wujud situasi salah teknik menulis huruf
yang salah dikalangan murid yang sudah belajar menulis huruf di rumah. Perkara ini memang
nampak remeh tetapi memberi impak yang agak besar dari teknik menulis murid hingga ke tahap
yang lebih tinggi.
Seterusnya adalah dari segi kemudahan utiliti yang ada. Utiliti dan fasiliti sekolah yang
tidak lengkap sebenarnya sedikit sebanyak menggangu proses pengajaran kemahiran menulis.
Contohnya untuk pengajaran teknik menulis huruf menggunakan VCD bekalan Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) kepada murid prasekolah atau tahun 1. Seandainya guru terpaksa
menggunakan komputer riba sebagai skrin tayangan untuk murid berkapasiti lebih 10 orang
pastinya sesi pengajaran tersebut menjadi tidak kondusif. Selain itu, timbul juga isu bahan
kurang menarik atau tidak sesuai dengan standard murid. Misalnya, bekalan buku asas menulis
yang mengandungi tulisan berangkai bagi murid prasekolah. Perkara ini memang tidak relevan
kerana murid prasekolah majoritinya masih belum berkembang dari segi motor halusnya untuk
menulis tulisan berangkai.
Kesimpulannya, cabaran mengajar kemahiran menulis di sekolah adalah sangat banyak
mengikut tahap murid yang sedang kita ajar. Apa yang penting sebenarnya ialah semua pihak
perlu berfikir secara logik dan proaktif dalam mengatasi setiap cabaran semasa mengajar
kemahiran ini. Tabiat suka menunding jari dan pasif perlu dielakkan kerana impaknya lebih
banyak negatif dari positif. Sebaliknya, ambillah langkah proaktif seperti berdiskusi antara satu
sama lain bagi menghadapi apa jua cabaran. Sesungguhnya cara ini adalah lebih afdal dan
memberi manfaat untuk setiap pihak yang terlibat