Anda di halaman 1dari 10

BONGAI : MUZIK TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN

Masyarakat Melayu kaya dengan kebudayaan dan kesenian


yang diwarisi sejak zaman berzaman. Melaka terkenal
dengan Dondang Sayang, Pulau Pinang dengan Boria
Kelantan dengan Dikir Barat dan sebagainya. Begitu juga
di Negeri Sembilan yang majoriti masyarakatnya
mengamalkan Adat Perpatih mempunyai kesenian dan
kebudayaan yang tersendiri. Sebagaimana yang diketahui,
masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan merupakan
peneroka yang datang dari Ranah Minang. Norma
kehidupan yang sederhana, berkampung halaman,
kelebihan berbudi bahasa dan mampu menyesuaikan diri
dengan keadaan sekeliling maka mereka telah diterima
dengan baiknya. Secara tidak langsung, kebudayaan dan
kesenian orang Minangkabau telah diterima dan diamalkan
oleh masyarakat Adat Perpatih. Muzik seperti taklempong
(caklempong), randai, bangsi dan rebana di samping tarian
dan nyanyian terus menjadi budaya masyarakat Adat
Perpatih. Ini telah menambah kepelbagaian di dalam seni
budaya masyarakat Adat Perpatih.

Masyarakat Adat Perpatih juga telah membina dan
mewujud kebudayaannya sendiri di mana tidak bergantung
sepenuhnya kebudayaan yang dibawa oleh masyarakat
Minangkabau. Di antara muzik tradisional yang popular di
Negeri Sembilan ialah Bongai. Bongai merupakan salah
satu muzik tradisional Negeri Sembilan di mana ia
dinyanyikan secara solo ataupun berduet. Sesi nyanyian
dipanggil sebagai berbongai manakala penyanyi akan
dipanggil sebagai pembongai. Di dalam persembahan
bongai, hanya seorang pembongai yang akan menyanyi di
mana orang lain tidak dibenarkan mengganggu atau
mengacau. Ia hanya boleh disambut oleh pembongai lain
setelah pembongai pertama telah selesai nyanyiannya.
Jumlah pembongai sekurang-kurangnya dua orang dan ia
terbuka kepada penonton yang ingin turut serta sebagai
pembongai.

Secara amnya, berbongai merupakan sesi berbalas pantun
yang disampaikan secara berlagu oleh pembongai.
Pembongai pertama haruslah bijak dan pandai memilih
tema persembahan seperti cinta, agama ataupun nasihat di
samping irama bongai yang ingin dinyanyikan. Beliau juga
perlu menyanyikan pantun-pantun yang cantik dan indah
bersesuaian dengan tema yang dipilih. Apabila pembongai
seterusnya menjawab atau membalas pantun pembongai
pertama, ia harus bertepatan dengan tema dan irama yang
telah dinyanyikan oleh pembongai pertama. Tema dan
irama hanya boleh ditukar jika lagu baru dinyanyikan.
Persembahan ini kadangkala berlanjutan sehingga ke awal
pagi. Pada zaman dahulu, peralatan yang digunakan di
dalam persembahan bongai ialah rebana yang diperbuat
daripada batang kelapa, serunai batang padi dan lesung
indik atau lesung mengemping padi. Namun begitu, kini
mengikut peredaran zaman, peralatan moden seperti
akordion, gitar, biola dan caklempong telah digunakan. Ini
bertujuan untuk menarik minat orang ramai dan juga
penambahbaikan dari segi persembahan.

Pelbagai pendapat yang diberikan oleh penggiat seni
mengenai bongai. Menurut Udin bin Russin, Tokoh Bongai
Negeri Sembilan (Ismail Hadi, 1996), bongai berasal dua
perkataan iaitu bong dan lai yang membawa maksud
sayang. Manakala Abdul Latif Oyek (Ismail Hadi, 1996)
berpendapat bongai merupakan gabungan dua perkataan
iaitu bong dan aye di mana bong bermaksud yang
dihormati manakala aye bermaksud saya Aye atau Ayo
merupakan ganti nama diri bagi saya di Negeri Sembilan.
Oleh yang demikian, bongai membawa makna orang yang
saya hormati. Begitu juga, Ismail Marzuki (Ismail Hadi,
1996) menerangkan bahawa bongai merupakan cantuman
dua perkataan iaitu bong bermaksud panggilan untuk
lelaki yang bertujuan memberi penghormatan kepada
orang yang dihormati atau dikasihi manakala ai adalah
keluhan. Oleh yang demikian, bongai juga boleh
menggambarkan keluhan seseorang individu terhadap
orang yang dikasihinya. Berdasarkan kajian oleh Profesor
Madya Dato Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (Rusman
Wahab, 2011), bongai adalah berasal dari Negeri Sembilan
dan mula bertapak di Kuala Pilah. Beliau menegaskan
bahawa perkataan bong merupakan ringkasan perkataan
embong yang merupakan gelaran bagi ibu saudara yang
paling disayangi dan dihormati. Manakala ai adalah suku
kata tambahan bagi menguatkan lagi panggilan embong
tersebut. Ini menunjukkan bahawa bongai merupakan satu
kaedah yang digunakan oleh masyarakat Adat Perpatih
untuk meluahkan perasaan kasih sayang, hormat dan juga
keluhan hati mereka kepada orang yang disayangi atau
dihormati.

Luahan ini boleh dilihat melalui senikata lagu-lagu Bongai
seperti Anak Bocek, Hitam Manis, Cantik Manis dan lain-
lain. Keunikan dan kekuatan bongai terletak pada
senikatanya di mana pembongai akan menggunakan
pantun tradisi atau pantun yang dicipta secara spontan
dengan tujuan sindiran, gurauan, kasih sayang, menasihati
dan lain-lain. Di dalam bongai pantun-pantun yang
mempunyai maksud kurang baik seperti hasad dengki,
dendam atau memburukkan orang lain tidak akan
dinyanyikan oleh pembongai. Oleh sebab kebanyakan
pantun yang dinyanyikan oleh pembongai merupakan
pantun nasihat dan spontan maka pembongai perlu
mempunyai budi bahasa yang tinggi, berpengalaman luas,
peka dan mampu menjadikan alam sekeliling sebagai asas
mencipta pantun. Kegagalan pembongai mencipta pantun
yang menarik akan menyebabkan penonton merasa bosan.

Pembongai perlu mempunyai sifat sabar di mana mungkin
terdapat sindiran oleh pembongai yang lain, bersuara
merdu dan lunak di samping mempunyai perbendaharaan
kata yang luas bagi mendapatkan perkataan yang tepat
dan indah agar perkataan-perkataan tersebut mempunyai
maksud yang tersirat. Pembongai juga harus berani dan
bersemangat kerana kadangkala akan berlaku ejekan
disebabkan oleh pantun yang dinyanyikan. Kebolehan
pembongai mencipta pantun yang berkait antara satu sama
lain seolah-olah menceritakan sesuatu peristiwa yang
berlaku akan menarik minat penonton. Sebagai contoh,
bongai sering kali dijadikan alat penyambung semula
ikatan persahabatan atau persaudaraan yang terputus
malah dikatakan ada pasangan yang bercerai, rujuk semula
hanya disebabkan oleh bongai. Kebiasaannya pantun yang
dinyanyikan berbentuk pujuk rayu, kasih sayang, rindu dan
juga mohon kemaafan. Secara tidak langsung, ia
menyebabkan perasaan pasangan akan terusik dan
teringat kembali kenangan lama ketika bersama sehingga
wujud perasaan kasih sayang semula.


Bengkel Bongai anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan
dan
Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan


Ini digambarkan di dalam senikata lagu Cemperai. Lagu
ini menggambarkan kehidupan suami isteri diibaratkan
seumpama pokok cemperai yang pucuknya enak dan manis
jika dimasak. Kehidupan berumah tangga pula dibaratkan
sebagai batang keladi di mana ia gatal tetapi sedap
dimakan. Kegatalan ini merupakan pertengkaran dan
perselisihan faham. Jika tidak diubati atau dicegahi, ia
kadangkala menyebabkan perceraian berlaku. Maka, ketika
ini suami mahupun isteri perlu mengingati semula
kemanisan kehidupan berumah tangga seumpama
memakan pucuk cemperai. Pantun yang digunakan di
dalam lagu ini ialah gulai cemperai sebelanga, gulai keladi
ketulangan, adik bercerai sudah lama, ingin di hati nak
berpulangan. Ada juga pantun seperti cemperai
sebelanga, gulai keladi ketulangan, abang bercerai sudah
lama, bagaimana nak pulang digunakan.

Begitu juga bagi jejaka, gadis, duda mahupun janda
menyampaikan hasrat hati terhadap pasangan masing-
masing. Ini jelas di dalam senikata lagu Mengusik Rasa
yang berbunyi menggiling lada menggiling di tengah
laman, menjeling dara menjeling mencari teman,
menggiling lada menggiling di tengah laman, menjeling
duda menjeling berangan-angan, menggiling lada
menggiling di tengah laman, menjeling dara menjeling
mencari teman, menggiling lada menggiling di tengah
laman, menjeling janda menjeling penuh pengalaman.

Di dalam senikata lagu bongai ada juga unsur-unsur
nasihat buat anak-anak yang bertujuan memberi nasihat
dan teguran. Ini jelas di dalam lagu Irama Mendodoikan
Anak di mana senikatanya : Buailah buai anak berbuai,
lelapkan mata ibu dodoikan, airlah mata jatuh terurai,
marilah mari ibu sapukan, kalau bermain bermainlah
dengan baik, kalau nak tidur tidurlah yang lena, kalau
bermimpi mimpilah yang baik, kalau bercakap biarlah
bermakna. Lagu ini menasihati anak-anak agar melakukan
sesuatu perkara biarlah bersungguh-sungguh di samping
perlu berbudi bahasa di antara satu sama lain. Nilai-nilai
mulia dan berbudi bahasa diterapkan oleh orang-orang tua
melalui nyanyian dan ia sering dinyanyikan sehingga
tertanam di dalam jiwa anak-anak.

Di antara lagu bongai yang seringkali dinyanyikan dan
popular ialah Anak Bocek. Lagu ini mengisahkan ibu dan
bapa yang tidak menjaga perasaan anaknya sehinggakan
anak tersebut terasa hati dan merajuk. Bagi memujuk anak
tadi, ibu dan bapa membawa pelbagai jenis pisang.
Namun, anak tersebut menolak pujukan tersebut dan tidak
mahu pulang. Lagu ini menasihati ibu bapa agar menjaga
perasaan anak walaupun dalam apa jua keadaan. Ibu bapa
tidak boleh menganggap kanak-kanak kecil boleh dilakukan
sewenang-wenangnya dan dianggap tidak mempunyai
perasaan. Adalah dikhuatiri jika rajuk anak itu
menyebabkan berlaku suatu perkara yang di luar jangkaan.

Kini, banyak kumpulan bongai yang bergerak aktif telah
mulai berkurangan. Hanya satu atau dua kumpulan yang
masih memperjuangkan bongai di Negeri Sembilan. Selaras
dengan perkembangan zaman, bongai telah mula
dikomersialkan dan diberi penambahbaikkan dari segi
penggunaan peralatan muzik moden dan juga iramanya.
Ini bertujuan untuk menarik anak-anak muda agar kembali
meminati lagu-lagu tradisional. Kumpulan bongai yang
begitu aktif dalam usaha memartabatkan bongai di Negeri
Sembilan ialah Warisan Pusako Anak Bochek. Kumpulan ini
telah menerbitkan album bongai dan juga bergerak aktif
dengan menganjurkan bengkel bongai untuk orang ramai.
Malah lagu Anak Bocek pernah dipersembahkan di dalam
bentuk teater muzikal oleh pelajar-pelajar sekolah dengan
kerjasama Warisan Pusako Anak Bocek. Oleh yang
demikian, bagi memastikan kelangsungan bongai agar
tidak pupus dimamah zaman, Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negeri harus membantu dan giat
mempromosikan bongai. Seharusnya bongai dimartabatkan
sebagai muzik tradisional Negeri Sembilan.