Anda di halaman 1dari 8

1

BUAT CINTA

GELI-GELEMAN rasanya apabila dia memintaku menulis tentang cinta. Masuk kali ini,
entah kali ke berapa cintaku ditolak mentah-mentah. Sungguh majal apa yang bernama
cinta. Sudahnya, kembalilah aku menjadi penyepi, pembilang bintang di langit hati. Aku
lebih suka berkisah tentang politik, hikayat-hikayat klasik, atau paling jelik pun tentang
kulinari dan masakan-masakan aneh seluruh dunia; tetapi nampaknya dia tidak mampu
memahamiku. Hei, cinta itu apa?
Cinta mawasku dengan penulis novel pop-popan; alisnya lentik, menyalin raut
pelakon Samarinda, sering menyandang tas tangan Micheal Kors, haruman Dior-nya
bikin linglung; kereta dan banglo agamnya hasil royalti buku pertama yang meletup di
pasaran. Pelajar sekolah menggilai tulisan cinta empat seginya. Untung-untung kalau
dapat belajar tutorial melilit tudung atau like status di Facebook dan Instagram.
Kata gadis itu (berikan namanya F), alangkah indahnya jika laluan kehidupan ini
sama seperti dia menukang kisah-kisah cinta di halaman novel. Katanya, dia pasti akan
menyusun plot paling sempurna, menambah perisa konflik paling istimewa, mencipta
dialog-dialog paling dekat dengan jiwa, memasukkan watak di mana-mana, memilih
untuk meneruskan klimaks atau mahu meleraikannya; sehingga jadi cipta cinta yang
mempesona kita semua. Hubungan kami tidak kekal, bukan kerana aku cemburu lelaki-
lelaki K-Pop mendampinginya, tetapi aku benci dia menuduh sastera Melayu tidak ada
masa depan, tidak boleh buat wang. Fine, aku tinggalkan dia mentah-mentah tanpa aku
sempat dakwahkan Salina atau Ranjau Sepanjang Jalan. Kasihan, selepas itu kariernya
mati di persimpangan.
2

F tidak melekat dalam memoriku, ah apalah sangat cinta mawas!; lagi pun dia
hanya wanita tipikal yang agungkan kebendaan dan larut berhijabista. Hanya, aku rasa
perlu berterima kasih kepadanya kerana telah memberikan definisi-definisi cinta kepada
aku, mengajarku tentang keanehan makhluk cinta. Kurasa, kita tidak perlukan masa 3
tahun atau 3 bulan untuk mengenali cinta. Kadang-kala kita hanya perlukan waktu
sesingkat 3 minggu atau 3 hari bahkan 3 saat untuk belajar mencintai. F membawa aku
ke dimensi baru kalbu. Memaksaku membuka kamus cinta dan definisi-definisinya.
Mula-mula, kutemukan definisi cintanya di seberang.
Perempuan itu, Sri Ayati; pengarang jantung hati. Hanya sesudah tahun-tahun
kemudian, dalam satu bicarawara, perempuan itu memberitahu khalayak:
"... Saya sendiri tidak mengerti apa yang dikaguminya daripada saya. Saya
merasa tidak mempunyai keistimewaan sama sekali. Saya juga baru mengetahui sajak
itu dipersembahkan untuk saya, setelah Mimi Syahrir (anak angkat Sutan Syahrir)
menyampaikan kepada saya suatu hari. Sesudah itu, tahulah saya bahawa dia
mencintai saya namun tak pernah mengatakan, tak pernah cuba mengungkapkan
kepada saya ..."
Nama perempuan pujaan itu, Sri Ayati; yang menangis pilu dalam satu
pertemuan seniman akhir 70-an di Kota Magelang sehingga dia tidak mampu
menyudahkan deklamasi bait-bait sajak yang dinukil khusus buatnya.
Hubaya-hubaya, inilah cinta yang mendekam dalam hati, tercoret hanya dalam
puisi. Tidak mampu diluahkan. Tidak mampu dimiliki. Tidak bersatu. Memang, sudah
kutemui definisi cintamu, Chairil -- lewat jiwaku. Definisi cinta kaum misterius.

3

"Ini kali tidak ada yang mencari cinta
di antara gudang, rumah tua, pada cerita
tiang serta temali. Kapal, perahu tiada berlaut
menghembus diri dalam mempercaya mau berpaut."

Kini, berlabuhlah senja di pelabuhan yang kecil. Kecil namun sakti. Melewati
mawar cinta Chairil Anwar buat Sri Ayati.
Kemudian, kutemukan ketololan definisi cinta seterusnya sebelum senja tiba;
dalam renyai gerimis di luar jendela. Sewaktu tengkujuh. Sewaktu kubaca nota cintanya
di kotak e-mel.
Manusia November itu terlalu mengagumi cinta. Dia pemikir besar, inti falsafah
digalinya. Juga penyair besar, bait puisi dan ideologi bergema di akalnya. Nyata, dia
akan dikenang sepanjang sejarah zaman, diangkat sebagai tokoh peradaban. Namun,
tidak semua ingin mengetahui puing-puing derita cintanya, dilema kasihnya.
Cintanya unggul tapi aneh. Perempuan penjarah hati, pencuri aqli, penawan
nurani; itulah Attiya Faizi. Attiya Faizi di mata Iqbal.
Perkahwinan tokoh besar ini direkodkan sebanyak 4 kali sebagai catatan
kehidupan peribadi. Dia unggul mengemudi idea negara, jatuh sewaktu mengemudi
bahtera rumah tangga. Pun, cintanya kudus buat Attiya Faizi, abadi di sanubari.
Pertemuan di London berakhir dengan surat-surat cinta.
Surat cinta yang aneh. Surat cinta tepu falsafah. Kecantikan Attiya Faizi di mata
Iqbal terletak pada intelektualnya seorang wanita, kebijaksanaannya, penenang
sewaktu bara. Jauh, telah jauh dan jauh meninggalkan kotak-kotak klise bahawa wanita
4

itu letaknya di dapur sahaja. Attiya Faizi nyata mencairkan tokoh pemikir besar melalui
keunggulan fikirnya.
Mereka tidak bersatu dalam cinta, tidak berusaha memiliki. Iqbal hanya
mendedahkan rasa hati melalui gema-gema kiasan serta luahan yang berselimut di
sebalik filsafat. Misalnya melalui surat 17 Julai 1909, tulis Iqbal: "My Dear Miss Atiya! I
am totally grateful for the letter I have just received. Today, since morning, my
temperament has been uncommonly joyful. Therefore, if you perceive the sweetness of
jocularity in this missive consider it a compulsion."
Benarlah, cinta itu sisi dan permukaannya amat pelik bagi insan-insan istimewa.
Cinta di samudera akal. Derita cintanya panjang, menyakitkan. 'The intellect is burnt in
astonishment at how strange this is!' Benarkah?
Kutemukan bait-bait cintanya sewaktu senja tiba, menatap langit disepuh warna
keemasan. Sebenarnya, kubaca perasaanku sendiri lewat cinta Iqbal kepada suri
hati, Attiya Faizi.
Lagi-lagi, kutemukan definisi cinta lain sewaktu malam larut dan hati seperti diisi
alunan bayu berpuput. Lembut dan syahdu.
Namanya Mansor Adabi. Cintanya kepada gadis ayu Belanda. Bukan kerana
rupa. Bukan kerana kecantikannya. Bahkan kerana akidah. Ini cinta luar biasa, dijalin
ikatan dua negara berbeza tetapi satu agama. Mereka pun berenang di lautan asmara.
Perempuan yang mengocak kebeningan teluk kelakiannya; itulah Natrah, meredakan
ombak jiwa yang mendesah.
Kali ini tidak seperti derita cinta Chairil dan Iqbal mereka disatukan atas ijab
dan qabul. Melayari bahtera, mendayung ke muara. Karam di samudera pesona.
5

Perempuan itu, tangkai nyawa dan jantungnya; Natrah. Dalam satu wawancara,
akhirnya dia mendedahkan gema batin sendiri: "... saya sukakan dia kerana dia lemah
lembut orangnya, baik hati, penyabar, berwajah manis dan penyayang. Dia tidaklah
'handsome' tetapi yang menarik perhatian saya ialah kecantikan di dalam diri Mansor
Adabi sendiri. Dia tidak suka memaksa dan tidak pernah menyuruh saya melakukan
sesuatu yang saya tidak suka. Dia sangat memahami dan sangat 'gentleman'. Dia
selalu berpegang kepada janji."
Rahsia keanehan cinta menuju puncaknya di sini:
"Dia tidak pernah menyentuh saya apabila berkahwin kerana janjinya kepada
Che Aminah kami hanya akan bersama apabila saya berumur 21 tahun. Itulah
keistimewaan pada diri Mansor Adabi yang tidak pernah saya temui pada lelaki lain
selepasnya. Tidak juga dari suami saya selepasnya..."
Cinta sentiasa tidak berbicara dalam bahasa yang mudah. Sering melontarkan
teka-teki yang harus dijawab langsung dari hati, bukan dengan topeng-topeng palsu. Ini
bicara cinta yang tragedi mereka dipisahkan tanpa rela. Dipisahkan oleh tangan
manusia. Juga tangan takdir. Cinta kadang-kala sukar ditebak, kadang-kala payah
dijangka. Simpangnya berliku, kerikilnya tajam.
Mansor Adabi-Natrah; generasi masih mengingati cintanya. Bagaimana dalam
wawancara pada tahun 24 November 1975, Natrah menangis teresak-esak apabila
ditanya tentang kekasihnya, Mansor Adabi. Kekasih sepanjang hayatnya, meski
dipisahkan badai, dipisahkan gelora. Cinta itu ditandai ikatan setia; Mansor berulang-
ulang kali ke mahkamah membuat tuntutan sehinggalah surat palsu daripada Natrah
menjadi pemutus ikatan cinta.
6

Mansor Adabi, guru yang memahami jari-jari takdir; memilih untuk menyimpan
rahsia cinta milik mereka, menjalani hidup seperti biasa. Dia berkahwin, punyai anak-
anak yang sihat, bahagia di Singapura. Sedangkan Natrah, dia tenggelam dalam lara
cinta, dalam lara keadaan, dalam lara manusia. Hatinya remuk, akalnya galau, dia
hidup dalam jasad yang kehilangan cinta. Cintanya ditinggalkan buat Mansor Adabi.
Masih, masih kutafsirkan definisi cinta. Saat malam tidak lagi dara. Kuingati bait-
bait puisi yang kunukil 6 atau 7 tahun lalu, terkandung juga dalam kumpulan puisi
Perjalanan Teluki (ITBM, 2013); khusus buat Natrah, antara baris-baris yang kuingat:
malam ini beku, natrah
sebeku cinta kita yang kontang
dan puaka
di sungai akidah
di kali sejarah
di sumur maruah
nah,
sekarang senggama aku dengan nafas berahi
mukah lagi dengan gelora nafsi
atau gejolak rintih maknawi
sebelum kerambit melayu ini menikam gaun belandamu.

Begitu cinta Mansor Adabi kepada Natrah. Atau cinta Natrah kepada Mansor
Adabi. Di lipatan zaman, masih abadi. Di dalam hati, masih sejati. Kukumpul segala-
galanya di ruang definisi. Walaupun tidak pernah sesiapa pun yang peduli.
7

Seterusnya, kugapai manikam cinta lewat Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.
Kasih yang merdeka menurut Dr. Hamka. Definisi cinta yang aneh, ajaib sekali.
Sayangnya bersumberkan nurani Zainuddin dan Hayati. Duhai, kerana darjat
mereka terpisah. Kadang-kala, wanita terlalu sukar mempercayai sesuatu yang nisbi.
Begitulah Zainuddin sengsara dalam meladeni cinta sukma. Sedang Hayati memilih
yang lain; yang menyebabkan keparahan, kesengsaraan Zainuddin. Cinta sering kali
menjadikan manusia sakit.
Kata Hayati, jiwanya tersepit antara dua keadaan. Akhirnya, tatkala rumah
tangga yang dibina berkecai dan Zainuddin menjadi tokoh pengarang yang luar biasa
(hasil kisah cinta mereka), di situlah dia mahu kembali ke dalam kelongsong cinta yang
asal. Zainuddin menolong, menebarkan budi, yang tidak mahu diberinya cuma hati.
Cintanya kesakitan yang memberi dorongan. Potret Hayati pun digantung
dengan rahsia di sudut kamar. Cinta kini tidak lagi jadi kelopak-kelopak yang realistik
malah kekal dalam keajaiban. Ajaib atas nama sukma. Hanya Zainuddin yang
mengetahui di hatinya, telah terbina rumah keciil milik Hayati. Sehinggalah kapal pun
berlayar di lautan, di laman perasaan. Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.
Tenggelamnya bukan bersama keanehan cinta. Cintanya kekal, di helaian-helaian
masa kini. Dibaca buat generasi. Seperti cinta Zainuddin buat Hayati.
Sehingga kutafsirkan definisi-definisi ini, fikiranku jatuh kepada F. Entah di mana
dia kini, barangkali dilambung ringgit. Atau barangkali sudah miliki anak-anak comel, jua
suami tegap mantap. Aku tidak peduli, cinta mawas hanya untuk dikenang-kenangkan
leluconnya, jenakanya, bukan kemanisannya. Cinta boleh jadi eros, ludus, pragma,
mania, atau macam-macam istilah yang asing. Seasing planet Mars dan Venus.
8

F, cinta mawasku telah mengajarku tentang cinta, ops bukan. Tentang hidup dan
kehidupan, sebenarnya. Ya, F memberitahuku tentang kehidupan melalui kekejaman
cintanya. Lantas, kehidupan ini apa?
Fikirku, hidup ini seperti wau. Ada kalanya kita di atas, sesekali di bawah. Ada
yang sangat kuat berbunyi busurnya. Silang-menyilang dalam aneka warna. Ada yang
terbang terbuai nun sayup di angkasa. Malang, ada juga yang terputus tali, tak sempat
berlegar-legar tinggi.
Fikirku lagi, cinta juga seperti wau. Kita pernah menjadi yang tertinggi, jaguh di
udara, berbuai-buai lama. Hanya sedetik, sedetik sahaja, kita 'ditewaskan' pesaing. Kita
kembali menjadi wau paling rendah dan lebih tidak beruntung, terus kematian angin.
Hidup dan cinta; sama seperti wau. Kedua-duanya kejam dan saling bersaing.
Yang tertinggi pasti akan menang. Selebihnya, tewas.
Apa kata kau?


Tuah Sujana
GENERASI 90