Anda di halaman 1dari 22

Tajuk 1

Huraikan Gambaran Kebudayaan


Melayu Dalam Institusi Politik,
Ekonomi, Sosial, Bahasa Dan
Kesusasteraan













Pendahuluan

Masyarakat Melayu merupakan salah sebuah masyarakat yang terbesar bilangannya di
rantau Nusantara ini. Hal ini dapat diperhatikan dengan lebih jelas lagi terutamanya di bumi
Malaysia. Kewujudan masyarakat Melayu telah bermula sejak sebelum terbinanya empayar
Kesultanan Melayu Melaka lagi kira-kira 500 tahun\ yang lalu. Ketika ini boleh dikatakan
bahawa masyarakat Melayu adalah antara masyarakat yang tinggi ketamadunannya
kerana dengan wujudnya empayar pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Semenanjung
Tanah Melayu terutamanya di negeri Melaka telah menjalankan kegiatan perdagangan
dengan pedagang-pedagang dari luar negara terutamanya dari Arab, Parsi, India, China dan
lain-lain lagi.

Konsep dan Definisi Budaya

Pengertian budaya secara umum difahami sebagai keseluruhan cara hidup anggota-anggota
masyarakat, yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan itu, seperti peralatan, teknologi,
pemikiran, nilai, world-view dan sebagainya. Itu juga boleh diteliti dari segi budaya material dan
budaya bukan material. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu dengan jelas
menyatakan identiti bagi masyarakat itu. Budaya itu menyatakan secara simbolik bagi sesuatu
masyarakat itu, iaitu segala perlakuan dan penghasilan budaya itu dapat difahami oleh
masyarakat yang mendokong budaya itu.

Budaya juga dapat membezakan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Budaya sesuatu masyarakat dapat menentukan keperibadian kebangsaan sesebuah negara. Di
Malaysia, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan, namun unsur-
unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India turut diambil kira. Secara amnya terdapat
beberapa pendapat atau definisi mengenai budaya yang berbeza-beza mengikut pengkaji.
Akan tetapi maksud budaya yang dikemukakan oleh mereka membawa konotasi yang sama
atau serupa maknanya.

Kata budaya itu berasal daripada cantuman bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu
iaitu;
Budhi (Sanskrit) : kecergasan fikiran dan akal. Ini bermaksud budaya itu adalah
kecergasan akal fikiran seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran mereka
dalam menangani sesuatu permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian
kepada permasalahan tersebut.
Daya (Melayu) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh Kata daya di sini memberi
maksud bahawa sesorang individu itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga
dan pengaruh yang semula jadi bagi membantu menjana pemikiran mereka. Hasil
gabungan kedua-dua kata atau perkataan ini menjelaskan maksud bahawa budaya
merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan, tenaga dan akal
fikiran bagi ke arah meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi menyelesaikan
permasalahan dan seterusnya berupaya menyelesaikan permasalahan tersebut.
Penyelesaian tersebut pula boleh diterima semua ahli masyarakat dan seterusnya
menjadi amalan bersama. Amalan yang yang terima ini seterusnya dijadikan budaya
dalam kehidupan mereka.

Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi
(cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara
hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi
ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.

Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau,
budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang
mampu memenuhi kehendak biologidan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya
dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat
membentuk nilai yang dapat diterima bersama.

Manakala Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi bersepakat bahawa budaya
merupakan alat penghasilan karya seni, rasa, dan penciptaan dalam sesebuah
masyarakat. Penghasilan karya atau kesenian tersebut dipersembahkan dalam pelbagai
bentuk yang akan menjadi asas kebudayaan masyarakat.

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai budaya adalah, budaya dari aspek bahasa
adalah cara hidup yang diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat pada masa kini. Dari
aspek istilah pula, budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalkan oleh kebanyakkan
orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat sesorang dalam
menghadapi sesuatu perkara atau situasi. Budaya juga boleh dikaitkan dengan pengalaman
interaksi sosial individu dengan masyarakat sekelilingnya. Budaya merupakan warisan
sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang boleh diwarisi. Budaya
adalah hak masyarakat yang akan menentukan bentuk tingkah laku mereka.

Ciri-ciri Budaya

Masyarakat mempunyai budayanya yang tersendiri. Budaya yang menjadi amalan
masyarakatnya melambangkan keperibadian, identiti, dan jati diri masyarakat tersebut. Sikap,
amalan, dan penerimaan masyarakat terhadap budayanya dapat menjelaskan budaya
masyakat tersebut. Antara ciri budaya masyarakat adalah seperti yang berikut:

Diwarisi
Budaya itu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Ini
bermakna bahawa budaya Melayu, Cina dan India yang diamalkan hari
ini adalah lanjutan daripada budaya terdahulu.
Peristiwa yang telah berlaku akan memberi kesan kepada hari ini.
Budaya itu juga diwarisi juga membawa maksud bersambung. Teknologi
yang dihasilkan hari ini adalah hasil teknologi awal manusia masa
lampau.
ii. Dipelajari
Budaya tidak lahir secara langsung tetapi perlu dipelajari
Bentuk dan jenis pembelajaran anggota masyarakat bergantung kepada
beberapa faktor iaitu:
Agen-agen sosialisasi seperti keluarga, jiran, sekolah, institusi
latihan dan sebagainya.
Nilai yang mendapat keutamaan dalam sesebuah masyarakat itu.
Umur seseorang.
Tahap pendidikan
Situasi sesuatu peristiwa itu berlaku.
iii. Perkongsian
Budaya itu dikongsi oleh manusia iaitu setiap perlakuan itu diramal dan
didokong oleh sekumpulan manusia.
Nasi lemak dan roti canai menjadi budaya kerana masyarakat
menggemarinya. Bahasa Melayu adalah kebudayaan rakyat Malaysia
kerana dituturkan oleh mereka dalam kehidupan seharian..
Perlakuan yang tidak dikongsi oleh sekumpulan manusia tidak termasuk
dalam budaya seperti perlakuan mencuri walaupun ia wujud dalam
masyarakat. Tanpa perkongsian, ia hanya menjadi perlakuan individu dan
bukannya perlakuan masyarakat.
iv. Kesejagatan
Kesejagatan budaya ialah kebudayaan itu wujud dalam semua kelompok
manusia. Tidak ada masyarakat yang tidak memiliki kebudayaan.
budaya yang sejagat itu berbeza antara masyarakat kerana faktor
pengaruh alam, pengaruh luar dan tahap penyesuaian anggota.
Clyde Kluckhohn mengesan tujuh unsur yang terdapat dalam semua
budaya iaitu:
peralatan dan kelengkapan hidup manusia.
mata pencarian hidup dan sistem ekonomi.
sistem sosial.
bahasa.
kesenian.
sistem pengetahuan.
agama dan kepercayaan.
v. Berubah
Budaya sentiasa berubah dan tidak ada budaya tidak mengalami
perubahan. Perubahan ini dikaji daripada perubahan bentuk, ciri dan
proses yang berlaku. Rumah beratap genting telah digantikan dengan
rumah beratap rumbia.
Perubahan budaya bukan kebendaan dilihat dengan jelas seperti
perubahan sistem ekonomi sara diri kepada ekonomi kapitalis. Namun,
perubahan budaya kebendaan lebih cepat berubah.
Perubahan ini disebabkan beberapa faktor, antaranya:
pertambahan bilangan anggota masyarakat.
pertambahan keperluan dan keinginan manusia.
penemuan dan penciptaan teknologi baru.
pertembungan budaya.
konflik yang berlaku.
perubahan alam sekitar.
vi. Pandangan Semesta
Pandangan semesta ialah bagaimana manusia memberikan tafsiran
terhadap keadaan alam sekeliling ke dalam kehidupan seharian.
Pandangan semesta ini timbul kerana manusia mempunyai pertalian yang
rapat dengan alam sekitarnya.
Pertalian yang erat ini pula diterjemahkan dalam kehidupan seharian
seperti simpulan bahasa (seperti aur dengan tebing), ukuran (sehasta,
sepelaung), tempoh masa (setanak nasi) dan sebagainya.


Gambaran Kebudayaan Melayu dalam Institusi Politik, Ekonomi, Sosial, Bahasa serta
Kesusasteraan


1.0 Politik Masyarakat Melayu

Politik ialah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun
perkataan ini biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh
didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain. Kebanyakan proses politik membentuk
hierarki dominan (dominance hierarchies). Politik manusia awal berbentuk kumpulan tersusun
seperti keluarga, kerabat (clan), dan suku kaum ( tribes ) dan berkembang menjadi kerajaan.

Budaya politik pula dikaitkan dengan kewujudan rantaian sikap, tingkah laku,
kepercayaan dan emosi yang mencorakkan aktiviti politik dalam setiap anggota sesuatu
kelompok. Pada dasarnya, budaya politik mengandungi satu kepercayaan yang boleh
menggambarkan dan nilai yang boleh menjelaskan situasi tindakan politik. Menurut Ahmad
Nizamuddin (2002), budaya politik merangkumi perlakuan, tingkah laku, penglibatan, persepsi,
kepercayaan, jangkaan dan harapan anggota masyarakat di dalam lingkungan politik
masyarakatnya. Perkembangan budaya politik dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia
yang menunjukkan betapa masyarakat telah berubah dari sifat feudal kepada era penyesuaian
kepada demokrasi moden dan kemudiannya melahirkan budaya neo-feudal dan menuju kearah
yang lebih sivil.

1.1 Pemerintahan Beraja

Pemerintahan beraja merupakan sistem politik Melayu yang bermula daripada zaman Kerajaan
Melaka. Pemerintahan beraja bermula daripada pengaruh Kerajaan Sriwijijaya, iaitu Sistem
Beraja Mutlak serta Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem Pembesar Empat Lipatan pula
terdiri daripada Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, dan Laksamana. Sistem ini
kekal turun- temurun hingga kini. Hal ini demikian dibuktikan dengan kenyataan A.Aziz
Deraman yang berbunyi:
Sistem pemerintahan beraja alam Melayu juga unik. Sistem pemerintahan beraja ini berasakan
prinsip kedaulatan yang menjadi warisan budaya yang secara positif menjadi simbol maruah
negara.

Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah telah memberi gambaran serta menjelaskan
sistem politik dan sosio-ekonomi masyarakat Melayu sebelum kedatangan kolonial ke Tanah
Melayu. Ketika itu, masyarakat Melayu terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang
memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada
golongan istana dan bangsawan. Manakala golongan yang diperintah terdiri daripada rakyat
jelata.

Golongan yang memerintah ini dianggap sebagai manusia yang tinggi status dan
martabatnya. Ketika masyarakat Melayu masih beragama Hindu-Buddha, golongan bangsawan
dianggap sebagai jelmaan dewa atau keturunan dewa. Sesiapa sahaja yang terpilih menjadi
pemimpin utama dalam sesuatu kelompok masyarakat akan dianggap sebagai manusia yang
suci, mulia dan bebas dari dosa (Shaharuddin 1988). Oleh yang demikian, orang Melayu
percaya bahawa pemimpin mereka mempunyai pelbagai sifat yang sangat istimewa serta kuasa
dalam bentuk daulat yang tidak boleh ditentang oleh sesiapa. Selepas kedatangan Islam,
tanggapan mereka terhadap golongan pemerintah ini masih tidak berubah. Raja yang awalnya
dianggap sebagai jelmaan dewa dikaitkan pula bahawa raja Melayu mempunyai pertalian
daripada keterunan Iskandar Zulkarnaian.

Raja diterima sebagai ketua agama Islam di dalam masyarakatnya serta di panggil
dengan gelaran Sultan. Gelaran Sultan telah memperkukuhkan konsep daulat iaitu sesiapa
yang menderhaka kepada Sultan adalah suatu kesalahan yang besar. Ini kerana perbuatan itu
akan mendatangkan tulah kepada setiap penderhaka, iaitu sesuatu bentuk pembalasan
daripada kuasa ghaib akibat kemungkaran raja yang diderhakainya (Haron Daud 1993). Oleh
itu budaya politik Melayu tradisional adalah bersandarkan kepada agrarian, patron-client, pasif,
non-political, setia, sensitif dengan darjat dan daulat pemimpin (raja/Sultan) dan struktur
politiknya submissive (kepatuhan kepada pemimpin).

Di dalam masyarakat Melayu dahulu juga, pemimpin politik biasanya terdiri daripada
mereka yang berketurunan bangsawan dan bukannya daripada orang bawahan atau rakyat
biasa. Namun terdapat juga di antara pemimpin politik dilantik dan dipilih berdasarkan kepada
jasa dan pengorbanan kepada kerajaan dan juga mungkin melalui perkahwinan (Mahadzir
1989). Hang Tuah lima bersaudara contohnya adalah di kalangan rakyat biasa yang dilantik
menjadi pembesar di atas jasa dan pengorbanan menyelamatkan Bendahara Melaka dari
serangan orang mengamuk. Watak Hang Tuah adalah aplikasi atau cermin budaya politik
Melayu yang berasaskan kepada konsep kesetiaan dan ketaatan.

1.2 Sistem Demokrasi

Sebelum kedatangan kolonial, bentuk politik di Tanah Melayu adalah bersifat tradisionalisme
dan bercirikan feudal. Orang Melayu beranggapan bahawa Sultan merupakan pemimpin
mereka yang unggul. Mereka percaya bahawa Sultan berusaha untuk menegakkan keadilan
dengan bersandarkan kedudukan baginda yang dianggap sebagai wakil Allah yang diharapkan
untuk menjaga kebajikan, kehormatan dan keselamatan rakyatnya

Namun, kedatangan kolonial telah mengubah sistem politik Melayu kini pula kepada
demokrasi dan telah mewujudkan beberapa ideologi politik yang mula menghakis sistem beraja
di Tanah Melayu. Dengan munculnya beberapa ideologi ini maka satu anjakan baru dalam
sistem dan budaya politik Melayu mula berkembang. Ideologi-ideologi ini meresapi jiwa orang
Melayu ketika itu lebih-lebih lagi ketika usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan
daripada British. Aliran ideologi ini telah menukar wajah budaya politik Melayu, sehingga ada di
kalangan mereka boleh melanggar konsep daulat seperti yang diamalkan sejak zaman Melayu
tradisional. Pergerakan atau peralihan budaya politik Melayu pada zaman kolonial ini bermula
dengan kebangkitan nasionalisme yang timbul sebagai satu bentuk tindak balas untuk
melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu sehingga
tertubuhnya UMNO pada11 Mei 1946 yang telah membawa evolusi baru dalam budaya politik
Melayu.

Nasionalisme dalam perjuangan UMNO menjadi titik tolak perubahan sistem politik
Melayu. Ini kerana UMNO yang menjadi tulang belakang dalam membawa kemerdekaan
Tanah Melayu telah mengubah sistem politik di Tanah Melayu ketika itu. Apabila Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957 Perlembagaan Tanah Melayu
1957 diwujudkan. Dalam perlembagaan tersebut, Majlis Raja-Raja diwujudkan dan cara
melantik Ketua Negara yang dikenali sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang dipilih setiap 5
tahun sekali dari kalangan 9 raja-raja Melayu. Ini menunjukkan bahawa budaya politik Melayu
masih mengekalkan sistem beraja tetapi ia disesuaikan dengan konsep Raja
Berpelembagaan. Dari segi budaya, raja masih diletakkan diposisi tinggi dalam masyarakat
Melayu sebagai Ketua Negara Persekutuan. Peranan dan fungsinya yang tercatat dalam
perlembagaan sebagai salah satu usaha untuk mempertahankan budaya politik Melayu.
Walaupun berlaku perubahan besar dalam sistem politik tetapi dalam konteks budaya politik
Melayu kedudukan dan fungsi raja masih lagi kekal.
Demokrasi berparlimen yang menjadi sistem politik Melayu kini ialah pentadbiran
kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat dengan peranan Raja atau Yang Dipertuan
Agong untuk meluluskan undang-undang yang dibuat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Hal
ini demikian menjelaskan konsep pemerintahan yang berbentuk musyawarah, iaitu ketetapan
bersama dalam menentukan undang-undang yang perlu dilaksanakan. A.Aziz Deraman
membuat kenyataan yang berbunyi: Sistem demokrasi berparlimen adalah rupa bentuk budaya
politik zaman ini, manakala raja berperlembagaan yang unik adalah warisan sejarah budaya
yang diamalkan sejak zaman-berzaman. Institusi yang di Pertuan Agong kekal
kesinambungannya daripada tradisi beraja negara. Segala adat istiadat dan upacara yang
berhubung dengannya bererti pemupukan budaya yang berterusan. .



2.0 Ekonomi Masyarakat Melayu


Ekonomi merupakan satu cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang
terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Hal ini termasuklah kajian tentang pengeluaran dan
penggunaan barang dan perkhidmatan.

2.1 Ekonomi berasaskan Hasil Perdagangan Antarabangsa

Melayu telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar melalui Kerajaan Melaka pada Abad
ke-15 kesan daripada perdagangan yang berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai
kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam,
Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah
berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh
Srivijaya.

Kejayaan Melaka bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi
pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak
sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Hal ini demikian
dibuktikan dengan kenyataan A.Aziz Deraman dalam bukunya pada halaman 9 dan 16 yang
berbunyi: Kerajaan Melayu membangun dengan pesat dalam bidang pelabuhan semasa
sistem kerajaan yang mengagumkan sewaktu Kegemilangan Melayu Melaka pada abad ke-15.
.

2.2 Sistem Sara Hidup Berasaskan Pertanian

Sistem ekonomi Melayu pada abad ke-15 adalah berasaskan hasil pertanian. Hal ini berbeza
daripada sistem ekonomi orang Melayu kini yang tinggal di kota yang kebanyakannya bekerja
dalam sektor perindustrian, perdagangan, pengangkutan, dan lain-lain. Buktinya dapat dilihat
pada halaman ke-9 dan ke-16 yang membuktikan bahawa sistem ekonomi Melayu pada abad
ke-15 adalah daripada hasil pertanian.Melayu pada zaman dahulu berekonomikan sistem sara
hidup yang mengusahakan ladang untuk kegunaan dan keperluan diri sendiri.


3.0 Sosial Masyarakat Melayu


Sosial adalah perihal tentang kemasyarakatan. Secara umumnya sosial meliputi aspek
persahabatan, pergaulan atau ajaran yang bertujuan untuk membangunkan masyarakat secara
damai. Ruang lingkup sosial masyarakat Melayu sangat besar. Oleh sebab itu aspek yang
dibincangkan dalam bidang sosial masyarakat Melayu meliputi nilai murni, kesenian, undang-
undang, adat resam dan bahasa.

3. 1 Nilai-nilai murni

Masyarakat Melayu umumnya mempunyai banyak nilai yang menjadikan bangsa Melayu ini
penuh dengan tatasusila dan terkenal dengan sopan santunnya. Nilai merupakan salah satu
aspek yang sentiasa ditekankan oleh ahli masyarakat. Melalui nilai, kita akan belajar untuk
mencontohi sesuatu amalan yang baik dan positif.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 muka surat: 1081, nilai adalah taksiran harga,
harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan
darjat, kualiti, mutu dan taraf. Ini bermakna, nilai adalah ukuran kepada sesuatu seperti
sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada individu.

Kebudayaan Melayu menerima nilai-nilai yang dibawa Islam seperti kebebasan,
kebenaran, keadilan, kejujuran, kesetiaan dan cinta kepada negara. Norma hidup positif yang
turut diamalkan juga adalah bergotong-royong, muafakat dan kerjasama. Nilai-nilai yang
diamalkan ini merupakan panduan pembentukan imej masyarakat.

Sifat orang Melayu sangat terpuji lebih-lebih lagi setelah penyebaran Islam di Melaka.
Semangat masyarakat Melayu yang cinta akan negara diluahkan A.Aziz Deraman dalam
kenyataan yang berbunyi: Sikap Melayu cintakan negara. Kata pepatah Melayu Hujan emas
di negeri orang, hujan keris lembing di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri .

Menurut Mohd Yusof Hasan dalam bukunya Dunia Melayu (30:1991), nilai ialah asas
pertimbangan bagi seseorang atau sesuatu kelompok manusia untuk menentukan sama
ada sesuatu perkara atau bendaitu baik, benar, bermanfaat, indah dan diingini dan cuba
diperoleh dan dibina, atau sebaliknya, buruk, palsu, berbahaya, dibenci dan berusaha
untuk dijauhi dan dihapuskan. Nilai dapat dibahagikan kepada empat iaitu nilai estetik,
nilai moral, nilai doktrin dan nilai budaya.

Nilai : Berbudi.
Nilai pertama yang dapat dilihat dalam masyarakat Melayu ialah berbudi.
Masyarakat Melayu dibiasakan dengan amalan berbudi. Semangat berbudi ini
sememangnya dapat mewujudkan satu rasa kebersamaan dan saling bergantungan
antara satu sama lain. Sememangnya masayarakat Melayu terutamanya telah
dibiasakan dengan nilai-nilai budi.
Nilai : Kasih Sayang.
Dalam masyarakat melayu, nilai kasih sayang amat penting dalam memupuk
masyarakat yang penyayang dan saling mengasihi antara satu sama lain tidak kira
sahabat, sanak-sudara malah haiwan peliharaan juga menjadi aset untuk memupuk
kasih sayang. Dalam konteks kebudayaan melayu, kasih sayang dapat disifatkan
sebagai nilai budaya yang amat dititkberatkan agar dapat membentuk masyarakat
yang harmoni melalui nilai kasih sayang ini.
Nilai : Patuh kepada perintah agama.
Nilai yang seterusnya yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah nilai kepatuhan
kepada agama. Budaya masyarakat Melayu menggabungkan unsur agama iaitu
Islam dan adat. Kedua-dua aspek ini menjadi asas yang utama dalam proses
sosialisasi dan pembudayaan. Namun demikian, adat dan budaya yang menjadi
asas dalam proses sosialisasi tersebut hendaklah berteraskan kepada syarak. Ini
adalah kerana jati diri Melayu yang bersandarkan adat dan budaya adalah berpaksikan
konsep tauhid dan syariah yang telah mewarnai budaya Melayu sejak dari abad ke-13
lagi. [Pemikir April-Jun (2003: 6)]

3.2.0 Kesenian

Dalam masyarakat Melayu seni dapat dibagi menjadi dua: seni persembahan (tarian, nyanyian,
persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah, kuda kepang) dan seni
tampak (seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan, anyaman dll). Permainan
tradisi seperti gasing, wau, congkak, juga termasuk dalam kategori seni persembahan. Kegiatan
seni Melayu mempunyai identitas tersendiri yang juga memperlihatkan gabungan berbaga-
bagai unsur tempatan dan luar. Hasil seni Melayu jelasnya bukan sekadar pada imejnya walhal
mempunyai takrifan makna bersamanya. Keindahan dan kecantikan dapat dibuktikan dengan
kata-kata A.Aziz yang berbunyi: Dalam kesenian sekalipun tidak membawa imejnya semata-
mata. Falsafah dan pemikiran tergambar pada awan larat dan sobekannya mampu
menunjukkan imej cita-cita budaya kita.

3.2.1 Kemahiran Seni Halus

Bangsa Melayu kaya dengan hasil seni halus. Yang dimaksudkan dengan seni halus ialah hasil
seni yang melibatkan penggunaan motor halus tangan seperti anyaman dan tenunan. Hasil
tangan masyarakat Melayu ini sangat cantik dan berkualiti. Kesenian kita baik seni lakon
(muzik, seni tari, seni suara) mahupun seni tampak (seni lukis, ukir, arca,tekatan, anyaman)
perlu digerakkan secara besar-besaran untuk menonjolkan identiti budaya dan tamadun kita.
Kemahiran yang kita ada perlu dilatih untuk membangunkan kejiwaan contohnya dalam bidang
tradisi tekstil (batik, songket, tenunan), logam (kepandaian bertukang emas, perak, kraf tangan).

3.2.2 Seni Busana/ Pakaian

Bangsa Melayu juga kaya dengan seni busananya. Baju kurung merupakan salah satu pakaian
masyarakat Melayu yang longgar pada lubang lengan, perut, dan dada. Pada mulanya, baju
kurung biasa dipakai untuk upacara kebesaran Melayu dan kini dipakai oleh masyarakat biasa.
Walaupun baju kurung atau baju Melayu ini merupakan asimilasi bangsa ini namun
pemakaiannya berupaya menjaga identiti Melayu. Justeru jelaslah bahawa bangsa Melayu
mempunyai seni busana atau pakaian sendiri yang dipelihara.

Proses penerapan budaya berlaku sejak awal hubungan tamadun Melayu dengan
tamadun Cina, India, dan Eropah mengikut kesesuaian dan kewajaran budaya itu diterima
dalam rumpun Melayu. Pengaruh seperti pada baju Melayu dan songkok sebenarnya berasal
daripada India-Pakistan kini menjadi unsur nasional kita.

3.2.3 Kemahiran Seni Lakon

Identiti budaya kita juga ditonjolkan dengan seni lakon Melayu. Lakonan ialah salah satu aktiviti
manusia yang bertujuan untuk menggembirakan hati dengan cara meniru watak yang berlainan
dengan dirinya yang sebenar. Lakonan teater masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada
lakonan tradisional seperti Bangsawan, Main Puteri dan Menora yang mana watak dan jalan
cerita tidak lagi berubah walaupun setelah berlakunya perubahan zaman.

Wayang kulit bermula semenjak pengenalan kamera wayang pada sekitar 40an, 1950-
an hingga 60-an. Teater moden pula merujuk kepada yang lain daripada yang di atas. Jelaslah
bahawa masyarakat Melayu kaya dengan seni lakonnya. Seni lakon ini dijelaskan oleh A.Aziz
dalam kenyataannya yang menceritakan asal usul pergerakan seni lakon masyarakat Melayu
yang berbunyi: Daripada prinsip unzuru dan tafakkaru inilah budaya Melayu mencipta gerak
tari berdasarkan lambaian sulur, buaian ranting dan dedaun serta gerak geri fauna. Bunyi yang
lahir daripada desiran angin, titisan hujan dan deruan ombak dan diolah menjadi nada lagu.

3.2.4 Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek
moyang masyarakat Melayu. Permainan tradisional merupakan hiburan masyarakat Melayu
pada waktu lapang. Kesenian pula terbahagi kepada bentuk tradisional atau sezaman. Bagi
Malaysia bentuk tradisional ada yang berupa etnik seperti makyung, wayang kulit, ngajat,
gamelan atau kesenian rakyat yang mencirikan penyertaan dan penglibatan rakyat seperti
permainan tradisional wau, gasing, dan sebagainya.

3.2.5 Seni Suara

Seni suara merupakan bunyi yang diterima oleh individu dan berbeza bergantung kepada
sejarah, lokasi, budaya dan cita rasa seseorang. Persembahan seni suara dan muzik dalam
masyarakat Melayu adalah unik bukan sahaja sekadar hiburan kosong. Persembahan seni
suara sebenarnya mempunyai pelbagai maksud pengajaran.

Seni muzik membawa lagu Islam dan zikir, digunakan untuk kepentingan rohaniah di
kalangan sufi bagi mendapatkan ghairat, marhaban, qasidah, berzanji dan digabungkan dalam
bahasa Melayu-Arab dalam dikir berodah.

3.3 Undang-udang, Adat dan Kepercayaan

Nilai dan norma merupakan peraturan masyarakat yang terdiri daripada undang-undang, adat
resam, pantang larang dan gaya perlakuan dalam warisan masyarakat Melayu. Undang-undang
merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat.
Undang-undang kebiasaannya ialah peraturan sesuatu negara. Yang melanggar peraturan
tersebut mungkin dihukum atau didenda.

Adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat
sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Adat merupakan kebiasaan cara hidup yang
diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat
tersebut. Adat memainkan peranan penting di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa
sekalipun. Dalam masyarakat dan budaya Melayu adat tersebut bermula dari dalam perut ibu,
kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian.

Dalam masyarakat Melayu dahulu, adat sebagai hukum dan undang-undang dalam
negara dan masyarakat umum. Misalnya, hukuman yang dikenakan terhadap pelbagai
kesalahan dalam masyarakat ataupun undang-undang adat dalam masyarakat adat perpatih
serta pelbagai hukum kanun lama dari zaman Melaka hingga abad ke-20.

Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya, seperti
sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan tanah dan
pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan dalam pelbagai
masyarakat ialah adat masyarakat itu. Ada masyarakat yang biasa mengamalkan sistem
kekeluargaan matrilokal dan ada yang neolokal. Demikian juga, ada masyarakat yang
membahagikan harta serta pemilikan secara faraid dan ada yang secara sama rata. Institusi
dan organisasi kemasyarakatan sebagai prinsip penyusunan masyarakat merupakan makna
terunggul dalam konsep adat di seluruh Alam Melayu.

Bagi pelbagai masyarakat di seluruh Alam Melayu seperti Iban, Dusun, Dayak, Batak,
Toraja, adat masih membawa makna yang amat luas dan serba merangkumi, iaitu adat
sebagai suatu kebudayaan. Dalam konsep ini, adat adalah keseluruhan corak hidup atau
kebudayaan manusia di alam nyata dan juga menghubungkan manusia dengan alam kosmik
yang simbolis dan sejagat. Adat menjadi ciri kehidupan, bukan sahaja manusia dalam
lingkungan alam tabiinya, bahkan dalam kalangan semua makhluk seperti haiwan dan tumbuh-
tumbuhan. Malah, ciri adat terdapat dalam pergerakan alam tabii itu sendiri, seperti kejadian
semula jadi, ribut dan petir, serta segala-galanya dalam kosmos adalah kerana mengikut adat
alam. Maka, hukum alam adalah juga adat.

Namun, apabila agama Islam yang mula bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7
melalui pedagang daripada China, India dan Tanah Arab, telah berlaku perubahan dalam adat
budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu. Agama ini telah membawa kepada bermulanya
sistem pendidikan secara formal dan peraturan yang menjadi garis panduan masyarakat
Melayu hingga kini.

3.4.0 Bahasa dalam Masyarakat Melayu


Bahasa merujuk kepada pengetahuan yang dimiliki oleh penutur bahasa ibunda, yang
membolehkan mereka berkomunikasi, mengungkapkan rasa, cita dan makna, serta dapat
melaksanakan fungsi bahasa yang lain. Ini menunjukkan bahawa bahasa amat penting bagi
kehidupan di alam ini. Nilai budaya merupakan nilai- nilai yang disepakati dan tertanam dalam
suatu masyarakat, lingkup organisasi, lingkungan masyarakat, yang mengakar pada suatu
kebiasaan, kepercayaan (believe), simbol-simbol, dengan karakteristik tertentu yang dapat
dibezakan satu dan lainnya sebagai acuan prilaku dan tanggapan atas apa yang akan terjadi
atau sedang terjadi. Nilai budaya akan tampak pada simbol-simbol, slogan, moto, visi misi, atau
sesuatu yang nampak sebagai acuan pokok moto suatu lingkungan atau organisasi.

Bila memperkatakan tentang bahasa Melayu, bahasa Melayu mempunyai nilai sastera,
budaya dan agama yang tinggi. Semangat dan nilai yang terdapat dalam bahasa Melayu boleh
menjadi pendorong yang kuat kepada pengamalnya untuk menggerakkan perkembangan ilmu
pengetahuan. Bahasa Melayu, sastera dan budaya akan hidup bersama untuk membangunkan
masyarakat. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan bahawa kebitaraan bahasa
Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama
dengan kedudukannya sebagi bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia,
bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera. Oleh itu, bahasa dan sastera
tidak boleh dipisahkan.

Bahasa Melayu Klasik telah digunakan pada abad ke-14 hingga ke-19. Sepanjang abad
ini bahasa ini mencapai kegemilangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman
Kerajaan Johor-Riau. Bahasa ini juga telah menjadi bahasa baku dalam pemerintahan negara
yang berpusat di istana dan hubungan dengan dunia luar. Pada zaman ini peranan agama
Islam sangat penting untuk membawa kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Hal ini dapat dilihat apabila Islam menyumbang dan memperkenalkan sistem tulisan Jawi
dan kosa kata Arab. Sebelum kedatangan Islam bahasa ini tidak mempunyai tulisan yang
lengkap selepas kedatangan kemasukan agama Islam, Sistem tulisan Jawi telah diperkenalkan
dan diistiharkan sebagai tulisan rasmi di kepulauan tersebut. Selain daripada perkembangan
ilmu undang-undang, sejarah, dan agama kerana kedatangan tulisan ini, ilmu kesusasteraan
merupakan ilmu yang paling berkembang dengan mengunakan tulisan jawi. Selain daripada
sumbangan Islam dalam bidang tulisan, Islam turut memperbanyakkan lagi kosa kata bahasa
Melayu malahan menurut Zaba kosa kata yang diperkenalkan lebih banyak daripada kosa kata
bahasa Sanskrit.

Perkembangan bahasa dalam budaya Melayu dapat dilihat daripada melalui beberapa
buah karya penting yang dihasilkan pada zaman Melayu Klasik. Karya-karya penting ini seperti
Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu, Sejarah Melayu, hikayat
Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Suluh Merah Muda, dan Hikayat Panji semerang dapat
memperlihatkan perkebangan bahasa dalam budaya Melayu hasil daripada beberapa
peradaban yang diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu seperti bahasa Sanskrit, Arab dan
lain-lainnya. Menurut Abdullah Hassan, (1940 : 32 ) sesuatu bahasa hidup lama ialah
keupayaan bahasa itu menerima unsur-unsur daripada bahasa asing dan menjadikan unsur
miliknya sendiri. Manakala bahasa yang mati ialah bahasa yang tidak mahu mengambil unsur-
unsur asing. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang hidup kerana menerima pelbagai unsur-
unsur asing dalam bahasanya.

Mohd Yusof Haji Othman menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan
daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh
daripada itu, bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang yang
mengabaikan bahasanya, bermakna ia mengabaikan budaya hidup diri dan masyarakatnya.
Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus mengagungkan budaya atau sastera
bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam kehidupan lebih tinggi nilai
kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat diberikannya untuk
membangunkan diri, keluarga dan negara. Oleh itu dapat kita katakan bahawa bahasa dan
budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia hingga kini.


Kesusasteraan dalam Budaya Melayu


Perkembangan kesusasteraan sesuatu bangsa pada masa lampau ialah gambaran jelas
tentang sejarah silam bangsa itu sendiri. Terbukti dalam sejarah telah wujud satu bangsa yang
bernama Melayu yang amat mementingkan adat resam, bahasa dan kebudayaan bangsanya.
Sejarah juga telah membuktikan wujud sebuah kerajaan yang bernama Sriwijaya yang
menggunakan bahasa Melayu kuno. Pada zaman awal itulah munculnya berbagai-bagai
bentuk sastera seperti sastera rakyat, sastera berunsur sejarah, lagenda dan kesan-kesan
peninggalan kerajaan Melayu pada zaman silam.

Sastera Melayu pada awalnya adalah bercirikan kesejahteraan dan berkonsepkan
hiburan serta pengajaran. Cerita-cerita juga disampaikan secara lisan. Begitu juga dengan puisi
Melayu lama yang banyak memuatkan mesej tentang akal budi dan pandangan hidup
masyarakat Melayu. Puisi Melayu Tradisional juga telah lahir melalui tradisi lisan dan tulisan.
Pengucapan bahasa diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruh, dan persekitaran.
Oleh sebab itu, kita menemui Puisi Melayu Tradisional yang asli, iaitu pantun, teromba, talibun,
dan peribahasa berangkap. Yang mengandungi pengaruh Hindu ialah gurindam, rejang, seloka,
dan mantera manakala yang mengandungi pengaruh Arab-Parsi ialah dikir atau zikir, endoi,
rubai, nazam, masnawi, ghazal, dan qitah.

Tradisi lisan dalam budaya masyarakat Melayu adalah bahagian dari kebudayaan yang
diciptakan, disebarluaskan dan diwariskan dalam bentuk lisan seperti cerita rakyat, ungkapan
dan sebagainya. Sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama yang disampaikan secara
lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat
Melayu, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Ia
hidup dalam masyarakat Melayu tradisional secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah
sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya. Juga tidak diketahui bilakah
ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan sastera banyak mengalami perubahan
dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan penyesuaian dilakukan bagi
menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat. Perubahan masa dan zaman membawa
perubahan kepada corak penyebaran secara lisan. Pada masa kini, hasil-hasil sastera lisan
telah dibukukan, yakni ditulis.
Tradisi lisan yang mencirikan karya-karya sastera lisan telah menerima perubahan
kepada bentuk bertulis. Sungguhpun, masyarakat telah mengamalkan sistem tulisan, namun
tradisi lisan tetap hidup didalamnya. Sastera lisan tetap merupakan sastera lisan sekalipun
telah menjadi bahan tertulis. Karya-karya sastera lisan yang telah dibukukan masih
mengekalkan ciri-ciri kelisanannya, malah mempunyai ciri-ciri tersendiri. Pada masa kini, kita
boleh membaca cerita-cerita rakyat ini melalui buku-buku yang dihasilkan dari kemajuan media
cetak.

Sastera lisan Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk:

a. Sastera lisan berbentuk cerita (kisah atau naratif)

b. Sastera lisan berbentuk bukan cerita ( bukan kisah atau bukan naratif)

a) Sastera lisan berbentuk cerita (naratif)

Sastera lisan berbentuk cerita ini dikenali juga sebagai cerita rakyat atau cerita lisan. Ia terdiri
daripada cerita-cerita seperti berikut;

Cerita Lipur Lara (panglipur lara)
Cerita Jenaka
Cerita Binatang
Cerita Asal usul
Cerita Hantu
Cerita Teladan
Cerita-cerita mitos dan legenda.

b) Sastera lisan berbentuk bukan cerita (Bukan Kisah atau Bukan Naratif)

Sastera lisan berbentuk bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi, antaranya;

Pantun
Gurindam
Seloka
Teka-teki dan Nyanyian Rakyat
Jampi, Mantera dan Serapah
Pepatah dan Perbilangan Adat
Peribahasa, Bidalan

Agama Islam yang sampai ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah juga telah
memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan bahasa, kesusasteraan, dan
kebudayaan Melayu. Salah satu daripadanya ialah pengenalan huruf-huruf Arab kepada
penganut-penganut agama Islam di rantau ini dengan tujuan menjadikannya abjad baru di
dalam penulisan berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, sistem tulisan yang teratur di dalam
bahasa Melayu wujud setelah kedatangan Islam. Dengan wujudnya sistem tulisan bermulalah
tradisi tulisan di Alam Melayu. Ia bermula dengan penulisan yang berbentuk bukan kreatif, iaitu
penulisan kitab-kitab bercorak agama yang membicarakan mengenai fikah, tafsir Al-Quran,
tauhid dan sebagainya. Setelah itu diikuti dengan penulisan kreatif. Bidang ini bermula dengan
munculnya Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Yusof, Hikayat Nabi
Musa, dan hikayat-hikayat lain seumpamanya. Hikayat Nabi-nabi itu berdasarkan kepada kisah-
kisah tentang diri mereka yang terdapat di dalam Al-Quran. Oleh itu, kesusasteraan Melayu
dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan
agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya.


Kesimpulan

Kebudayaan Melayu merujuk kepada keseluruhan sistem kehidupan yang dipraktikkan oleh
masyarakat Melayu. Dalamnya terkandung unsur sosial, ekonomi, politik, kepercayaan dan
organisasi serta meliputu hal-hal tentang bahasa, agama, kesusasteraan yang menjadi milik
bersama masyarakat Melayu. Justeru, budaya Melayu dalam konteks Malaysia kini merupakan
sebahagian besar inti pati budaya Malaysia itu sendiri.











Bibliografi

A.Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Melayu Edisi
Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala
Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.
Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra
Malaysia. Serdang.
Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu II Edisi Kedua. Shah Alam. Oxford Fajar
Sdn.Bhd.
Wan Abdul Kadir. (2010). Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu
(Malaysia-Indonesia). ccm.um.edu.my(02/02/2010)
























Rujukan Internet
http://kumpulansiswazahguru.blogspot.com/2011/12/asal-usul-bangsa-melayu.html

Anda mungkin juga menyukai