Anda di halaman 1dari 7

KERATAN AKHBAR

Rencana

Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah-Dewan Masyarakat April 1975 oleh
Malek Murad SAUDARA Malek Murad dalam rencananya Krisis disiplin di
kalangan penuntut sekolah Dewan Masyarakat April 1975, antara lain
menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap
pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan
peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.
Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan
masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan baru, cuma
pendekatannya berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak
melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti
pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup
sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.


Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak.
Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak mereka terutamanya
ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai
keadaan yang berlaku membabitkan remaja.


Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita
membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya
masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut
mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita
didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang
mereka lakukan.


Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk jenayah
memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah
dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan
harian dan menempuh masa depan.


Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai
murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka
supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam
cabaran di luar kelak.
Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni termasuk
Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan
sudah cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak
tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni di
kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa
moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni
yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis,
tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai murni
yang disogokkan kepada mereka lewat karya sastera kemudian diterjemah
dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan
sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk pelajar
menjadi insan mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan
rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk
tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi
kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan
perkara berfaedah.

Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada
pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah.
Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak
mereka walaupun anak ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah tidak akan
dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi
pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di
kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya
kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita.

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai
serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah
mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru dan
sebagainya yang memperlihatkan bahawa jenayah dan salah laku bukan hanya
dilakukan orang dewasa, malah golongan yang sedang menimba ilmu
pengetahuan.

Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan pelajar dalam aktiviti yang ditetapkan
di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada
melakukan pelbagai salah laku.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan
pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah,
terbabit dadah dan jenayah lain?

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang
ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak
memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di
sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau
tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak
bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat
menengah, mungkin hampir seratus guru mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri,
merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah
kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.

Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh
menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling,
sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian
lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah
melahirkan insan lebih bijak menilai mana kaca dan permata.

Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke
arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang
membentuk sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih
melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih 30 tahun perkara ini
diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat
mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara kita.






Rotan kaedah terbaik tangani disiplin pelajar

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
CADANGAN Kementerian Pelajaran melaksanakan semula hukuman rotan yang
dihentikan pada 2006 dengan menggantikan kaedah kaunseling perlu dilakukan
secara berhemah, termasuk berbincang dengan ibu bapa.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia,
Azam Mat Atan, berkata pelaksanaan semula hukuman itu selepas sesi
kaunseling gagal dilihat paling berkesan bagi mendisiplinkan pelajar terutama
peringkat menengah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai
aspek termasuk terlebih dulu memberi amaran pertama, kedua dan ketiga
kepada pelajar terbabit sebelum memanggil ibu bapa.
Kami di sekolah hanya akan melaksanakan hukuman rotan jika keadaan
semakin kritikal dan disiplin pelajar membimbangkan.

Setiap hukuman dilaksanakan mereka berkelayakan. Ia dilakukan guru disiplin
dengan disaksikan ahli jawatankuasa disiplin sekolah. Setiap hukuman akan
direkodkan, katanya kepada Berita Harian.

Beliau mengulas laporan akhbar ini baru-baru ini yang memetik Kementerian
Pelajaran mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk
mengembalikan semula hukuman rotan sebagai tindakan akhir selepas sesi
kaunseling gagal memulihkan disiplin pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Persatuan Guru
Malaysia, Jemale Paiman, berkata pihaknya yakin hukuman dilaksanakan sejak
sekian lama itu kaedah terbaik menangani masalah disiplin pelajar.

Saya yakin ibu bapa bersedia bekerjasama jika mereka dipanggil berbincang
mengenai masalah disiplin anak mereka.

Perbincangan dua pihak ini penting supaya menemui jalan penyelesaian terbaik,
seterusnya sekolah tidak perlu melaksanakan hukuman rotan, katanya.

Sambil menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru mengenai cadangan kementerian itu, beliau berkata, mana-mana pihak
yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh merujuk persatuan
berkenaan di sekolah anak masing-masing.

Mengenai pelaksanaannya pula, Jemale berkata, hukuman itu perlu
dilaksanakan dengan berhemah termasuk memanggil saksi, manakala guru
diarah melaksanakannya mestilah berwibawa.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan, guru bertugas perlu merujuk
pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara berkenaan bagi
memastikan tindakan dibuat berdasarkan prosedur ditetapkan.
Berita Harian Online: 28 Ogos 2009




Rotan = Disiplin?

Oleh Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my


ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan
langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar
peraturan.

Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini
dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan
penyelesaian terbaik.

Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan
pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu
bapa.

Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan
mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan,
sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.

Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima
hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan
disegani masyarakat.

Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana
mengambil tindakan berkenaan.

Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan
zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman'
ibu bapa.
Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau
memukul guru yang merotan anak mereka.

Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan
dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.

Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis
terpaksa campur tangan.

Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd
Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera
berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi
menangani masalah disiplin pelajar sekolah.

"Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan
utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.

"Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang
terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan,"
katanya.

Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru
merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.

Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan,
tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.

Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis
dikeluarkan kepada pelajar.

Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti
direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.

Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?

ARKIB : 16/10/2004
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services
16
`Guru tak pandai mengajar' -- Antara punca ponteng sekolah semakin
berleluasa di kalangan pelajar
Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Guru yang dikatakan `tidak pandai mengajar' menjadi
antara punca masalah ponteng sekolah semakin berleluasa di kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Md. Khir berkata, segelintir guru yang
tidak kreatif dalam pengajaran sehingga menyebabkan sesi pengajaran membosankan,
akan mendorong pelajar ponteng kelas.
Malah, menurutnya, tiada aktiviti yang menyeronokkan serta berfaedah yang boleh diisi
terutamanya selepas musim peperiksaan turut mendorong ke arah perbuatan terbabit.
``Selain itu, subjek yang diajar tiada kaitan dengan keperluan mereka dan tidak minat
belajar juga sering dikaitkan berlakunya gejala ponteng,'' katanya kepada Utusan
Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai masalah ponteng sekolah yang didedahkan oleh
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Mohamed Che Hamid, terus serius
apabila ada sebuah sekolah menengah di Felda di negeri itu mencatatkan hanya 50
peratus pelajar sahaja yang ke kelas terutamanya pada hari Ahad dan Khamis.
Menurut Mahadzir, bagi isu di Terengganu ini, Kementerian Pelajaran telah
mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri menyiapkan laporan yang konstruktif, punca
berlakunya masalah ponteng di sekolah-sekolah secepat mungkin.
Laporan lengkap ini penting untuk mengenal pasti kategori ponteng yang berlaku di
sekolah tersebut termasuklah ponteng sekolah (keluar rumah dengan memakai pakaian
seragam tetapi tidak ke sekolah), ponteng kelas (ke sekolah tetapi pada masa pengajaran
subjek-subjek tertentu), ponteng akibat bangun lewat atau tidak menyiapkan kerja rumah.
``Kementerian juga telah meminta supaya laporan tersebut disertai dengan langkah
yang telah dan akan diambil oleh Jabatan Pelajaran Negeri bagi menangani masalah itu
sebelum tindakan susulan diambil,'' jelasnya.
Menurutnya, isu ponteng kini berada pada tahap yang kritikal dan dianggap sebagai
langkah pertama remaja memasuki dunia penuh masalah.
``Laporan menyeluruh perlu dibuat terutamanya untuk mengenal pasti punca sebenar
masalah ponteng itu bukan sahaja yang berlaku di Terengganu malah di seluruh negara
dan seterusnya dicari jalan penyelesaian,'' katanya.
Tambah beliau, dalam kes ini, Pengarah Pelajaran Negeri perlu memanggil dan
berbincang dengan guru besar sekolah yang terbabit dan mencari punca sebenar berlaku
perkara tersebut.
``Setelah itu, pihaknya boleh mengemukakan langkah-langkah yang perlu diambil tanpa
perlu merujuk kepada kementerian bagi menyelesaikan masalah tersebut,'' katanya.
Mahadzir juga memberitahu, pihak pengurusan sekolah perlu berusaha untuk memastikan
sekolah menjadi tempat yang seronok kepada para pelajar mereka bagi menangani
masalah ini.
Selain itu, hubungan mesra antara guru dengan murid, kemudahan untuk menyokong
kehadiran mereka ke sekolah serta keprihatinan ibu bapa dan masyarakat dijangka dapat
menyelesaikan isu tersebut.

Anda mungkin juga menyukai